assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Sunday, September 11, 2011

PERJANJIAN PANGKOR 1874 MENGUNDANG CAMPUR TANGAN INGGERIS DI NEGERI-NEGERI MELAYU

Oleh Abdul Rahman Hashim

Perjanjian Pangkor 1874 detik permulaan campur tangan Inggeris
di negeri-negeri Melayu

Perjanjian Pangkor (bertulis) yang ditandatangani

Perjanjian Pangkor merupakan satu perjanjian yang ditandatangani di antara Sir Andrew Clarke iaitu Gabenor Negeri-Negeri Selat di pihak Inggeris dan Raja Abdullah ibni Sultan Ja'afar Mua'azzam Shah. Perjanjian ini sekaligus telah memberi kebenaran untuk Inggeris mencampuri urusan negeri Perak - satu kesilapan yang telah dilakukan oleh Raja Abdullah sehingga membuka kepada campur tangan Inggeris secara rasmi dalam urusan negeri Melayu.

Raja Muda Abdullah Ibni Sultan Jaafar, Sultan Perak ke-26 dari 1874 - 1876

Sir Andrew Clarke, Gabenor Negeri-Negeri Selat

Perjanjian ditandatangan di atas kapal HMS Pluto pada tanggal 20 Januari 1874. Selain Sir Andrew Clarke dan Raja Abdullah Perjanjian Pangkor ini juga disertai oleh ketua kongsi gelap Cina, Ghee Hin iaitu Chin Ah Yam dan ketua kongsi gelap Hai San iatu Kapitan Chung Ah Kwee yang membawa kepada tamatnya Perang Larut di mana kedua-dua kumpulan kongsi gelap ini terlibat merebut kawasan lombong bijih timah di negeri Perak.

Kapitan Chung Ah Kwee,
Ketua Kongsi Gelap Hai San

Perjanjian ini berputik daripada kemangkatan Sultan Ali pada tahun 1871. Raja Abdullah sepatutnya dilantik sebagai sultan baru tetapi Raja Ismail yang telah dilantik. Perasaan tidak puas hati inilah yang mendorong Raja Abdullah meminta bantuan Inggeris, lalu baginda mengutus sepucuk surat kepada Sir Andrew Clarke menyatakan hasrat untuk meletakkan Perak di bawah naungan Inggeris. Satu lagi sebab ialah permusuhan dua kongsi gelap Cina, Ghee Hin and Hai San untuk merebut lombong bijih timah.


Dengan persetujuan Sultan Abdullah juga, Gabenor Sir Andrew Clarke berani bertindak menjalan dan menurunkan Sultan Ismail yang bersemayam di Tanjong Belanja, Parit dari pangkat Sultan dan membenarkan pula Sultan Ismail memakai gelaran "Sultan Muda" dengan memberi pencen seribu ringgit tiap-tiap bulan. Che Ngah Ibrahim tidak lagi diakui sebagai pemerintah Larut.

Campurtangan Residen Inggeris telah menimbulkan rasa tidak senang di kalangan orang-orang Melayu, khasnya golongan istana yang merasa kuasa mereka telah hilang. Rasa tidak senang itulah yang membuka jalan nekad orang Melayu Perak bertindak. Tanpa takut dan gentar, mereka telah berpakat membunuh JWW Birch yang akibatnya ialah Perak berhadapan dengan Inggeris dalam siri peperangan hingga tahun 1876.

Ramai wira Perak yang terlibat dalam pembunuhan Birch telah ditangkap dan dihukum bunuh. Antaranya Maharaja Lela, Datuk Sagor, Si Puntum, Pandak Endut, Laksamana Mohamad Amin, Ngah Ibrahim dan lain-lain. Walaupun wira-wira bangsa ini berjaya dibunuh oleh Inggeris, namun peristiwa Pasir Salak itu telah mengajar Inggeris bahawa mereka tidak boleh mengambil mudah dan memperbodohkan orang Melayu.

Inggeris kemudiannya telah membuka lebih banyak lombong bijih timah di Perak dan ladang-ladang getah. Bandar-bandar baru telah muncul dengan pesatnya di Perak. Kemunculan bandar-bandar baru ini telah dengan sendirinya mengasingkan orang Melayu daripada pembangunan.