Oleh Abdul Rahman Hashim
![]() |
| Tengku Razaeligh sering menikam UMNO namun dia juga berminat hendak jadi PM di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat? |
Boleh percayakah
bahawa PAS mahukan Tengku Razalegh Hamzah menjadi Perdana Menteri jika
Pakatan Rakyat berjaya mengusir UMNO dari Putrajaya menjelang PRU13
nanti? Saya sendiri meraguinya, kerana kenyataan seumpama ini bukanlah
suatu kenyataan rasmi yang diputuskan oleh PAS, jauh sekali ia bukan
resolusi yang diputuskan oleh Muktamarnya, walaupun kedengaran ada
seorang dua perwakilannya yang berhujah sedemikian.
Pada
saya, orang UMNO tidak perlu buang karan untuk melihat kebenaran di
sebalik andaian tersebut, lagi pun orang PAS tidak akan melayan
keresahan ini jika ia datang daripada adu domba orang UMNO apatah lagi
ia dimanipulasikan oleh pencacai-pencacai yang bukan dari kalangan yang
ada authoriti untuk mengubah ketetapan yang telah dibuat oleh
pemimpin-pemimpin utama parti-parti yang terdapat di dalam Pakatan
Rakyat.
Jika berpandukan
kepada indikasi Dr Hasan Ali yang merasakan dirinya lebih murni daripada
Anwar Ibrahiam, tentulah dia merasakan dirinya lebih layak menjadi
Perdana Menteri jika beliau masih dalam Pakatan Rakyat. Mungkin dia
merasakan dirinya lebih bersih berbanding Ku Li yang masih berada di
dalam UMNO. Sebab itu Hasan Ali melihat ketinggian ilmu yang dimilikinya
jauh lebih baik merentasi tokoh-tokoh hebat bukan sahaja di dalam PAS
malah mungkin juga dia beranggapan dirinya lebih cerdik dan bijak
daripada Najib termasuk Dr Mahathir sendiri. Setakat Noh Omar, Ismail
Sabri, Ali Rustam, Tengku Adnan Mansor dan pemimpin-pemimpin UMNO yang
lain, mungkin Hasan Ali meletakkan dirinya berada di atas langit
manakala mereka yang berkenaan itu hanya layak di letakkan di limbah
rumput sahaja.
Begitu
jugalah jika kita mempercayai bahawa PAS lebih sukakan Tengku Razaleigh
Hamzah yang masih bersenang lenang di dalam UMNO untuk menjadi Perdana
Menteri jika Pakatan Rakyat memerintah nanti, merupakan andaian picisan
di sebalik ketidakyakinan mereka terhadap Anwar Ibrahim untuk dinobatkan
sebagai Perdana Menteri.
![]() |
| Sesi minum teh Anwar & Najib di Dewan Rakyat |
Boleh
diterima akal ke, Tengku Razaleigh yang akan bertanding atas tiket UMNO
berlawan dengan calon PAS di Gua Musang dan menang menewaskan calon PAS
berkenaan, kemudian semudah itu pula hendak mempelawa Ku Li menjadi PM?
Pada saya daripada memperdayakan Ku Li lebih baik PAS menobatkan
presiden mereka sendiri, Datuk Seri Hj Abdul Hadi Awang. Apakah mereka
tidak meyakini ketokohan Hadi Awang untuk mengepalai pemerintahan negara
ini?
Jika itulah
kepercayaan mereka, rasanya golongan inilah yang tidak boleh dipercayai
berada di dalam parti, kerana mereka mencuba untuk memperdayakan
pemimpin mereka sendiri. Apakah benar sikap buruk ini ada pada
sebahagian golongan ahli Majlis Syura Ulamak yang dipengerusikan oleh
Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat? Apakah dengan hanya berbeza pendapat dalam
sesuatu isu yang dipolitikkan, maka ulamak-ulamak ini sanggup pula
menghianati asas perjuangan mereka dalam PAS untuk menerajang UMNO dalam
PRU13?
Jika benar ada
kalangan ulamak PAS berkecenderungan untuk menjadikan Ku Li sebagai PM,
ini bermakna mereka sendiri akan mencetuskan masalah dalam parti.
Justeru, golongan ini dilihat tidak menghormati malah tidak yakin lagi
kepada pucuk pimpinan mereka sendiri semata-mata terkabur dengan silauan
yang dimiliki oleh Ku Li. Mungkinkah mereka ada formula terbaik untuk
membawa Ku Li keluar daripada UMNO supaya boleh dia menyertai PAS
sebelum diangkat menjadi PM? Persoalan lain yang mungkin timbul ialah,
apakah Ku Li sanggup keluar UMNO dan masuk PAS? Kalau bukan masuk PAS,
kalau bukan masuk PKR atau bukan masuk DAP apakah dia boleh diterima
oleh gagasan Pakatan Rakyat untuk menjadi PM?
Oleh
yang demikian teori yang menyatakan bahawa Ku Li lebih layak daripada
Anwar menjadi PM seolah-olah juga menafikan kelayakan Najib sebagai
Perdana Menteri. Jika begitu, kenapa UMNO berminat sangat untuk
memainkan sentimen yang dungu ini? Pada saya, jika terlalu kerap kita
menghayunkan isu kononnya PAS lebih sukakan Ku Li daripada Anwar,
sedangkan ia tidak mampu untuk merobah ketetapan yang telah dimaterai
oleh PAS/PKR/DAP untuk melonjakkan Anwar menjadi PM, maka isu ini hanya
membazirkan karan sedangkan Ku Li masih setia dengan UMNO.
![]() |
| Anwar dibawa oleh Ku Li menyertai UMNO |
![]() |
| Pengumuman Anwar menyertai UMNO di hadapan Mahathir, 1982 |
Saya
percaya jika syarat itulah yang diminati untuk dipersetujui, eloklah
Najib mengikut rentak yang sedang dipalu oleh pencacai-pencacai supaya
gesaan sebilangan ulamak PAS itu yang berkehendakkan Ku Li jadi PM boleh
diterima pakai, dan Najib bersedia pula untuk digantikan. Apakah itu
yang kita mahu??
Oleh yang
demikian paluan gendang yang menjurus kepada desakan sebilangan Ahli
Majlis Syura PAS yang mahukan Ku Li jadi PM bukanlah isu politik yang
akan menguntungkan UMNO, sebaliknya ia akan tertendang ke gawang
sendiri. Dr Haron Din tidak akan tergamak mengkhianati Hadi Awang, tidak
tergamak untuk mengkhianati Nik Aziz semata-mata tidak bersetuju Anwar
Ibrahim jadi PM.
Biarlah mereka bertelagah sesama sendiri, kerana sebenarnya mereka juga tidak mempercayai PM kita untuk mengekalkan kuasanya. Ahli Majlis Syura Ulamak PAS, walaupun mereka mungkin tidak bersetuju dengan Anwar, namun mereka lebih tidak bersetuju dengan Perdana Menteri yang ada, sebab itu mereka nakkan Ku Li menjadi PM. Apa pun Ku Li adalah insan yang bertanggungjawab membawa Anwar ke dalam UMNO sebelum dibawa berjumpa Dr Mahathir.





