assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Monday, November 26, 2012

ISU LYNAS - MARATON 300 KM DARI KUANTAN KE KUALA LUMPUR

Oleh Abdul Rahman Hashim 

Berduyun-duyun melangkah kaki ke Dataran Merdeka

Wan Azizah, Lim Kit Siang di antara pemimpin PR yang hadir
memberi sokongan moral kepada aktivis Hijau@Lynas

Perarakan Hijau@Anti Lynas
Aktivis Hijau dari keturunan Cina begitu menyerlah dalam himpunan ini
Menghampiri Dataran Merdeka
Aktivis Hijau melangkah dan meredah DUKE Highway ke Dataran Merdeka

PERHIMPUNAN HIJAU ANTI LYNAS yang diadakan di Kuala Lumpur hari Ahad - 25 Nov 2012 merupakan satu perhimpunan yang aman tanpa adanya provokasi dan pancutan air serta tembakan gas pemedih mata oleh pihak polis. Maraton Himpunan Hijau ini (Anti Lynas) telah berjalan hampir sejauh 300 km selama 13 hari yang bermula di Kuantan. 

Kumpulan aktivis ini telah bermalam di markas tarbiyah PAS di Taman Melewar, Gombak pada hari Sabtu dan telah bergerak melalui Lebuhraya DUKE, Kampung Railway dan Sentul Pasar pada keesokan paginya sebelum sampai Dataran Merdeka. 
Pada jam 3.30 petang, kumpulan daripada Sentul bertemu dengan satu lagi kumpulan yang menunggu di Maju Junction dan kemudiaannya bergerak bersama menerusi Jalan Tunku Abdul Rahman menuju ke Dataran Merdeka. Walaupun terdapat sedikit halangan daripada pihak polis, namun ia tidak menghalang perarakan lebih 10,000 aktivis yang sedang bergerak menghala ke Dataran Merdeka.
Beberapa organisasi bukan kerajaan seperti Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM), wakil daripada Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur (KLCAH), Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) dan banyak lagi turut hadir pada perhimpunan hari ini.
Turut kelihatan juga beberapa pemimpin daripada Pakatan Rakyat (PR), antaraya ialah Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Lim Kit Siang, Chua Tian Chang, William Leong, Fuziah Salleh, Elizabeth Wong dan Chang Lih Kang.


Semasa saya yang melalui Jalan Tun Perak pada sebelah petang, saya melihat sendiri betapa ramainya manusia berpakaian hijau, namun apa yang lebih menarik saya perhatikan ialah terlalu ramai yang menyertai perarakan ini terdiri daripada golongan berbangsa Tionghua. Kini mereka lebih berani menampilkan diri dalam mengenengah isu-isu yang membabitkan kepentingan awam selain daripada isu-isu politik semasa himpunan BERSIH 2.0 & BERSIH 3.0 yang diadakan sebelum ini.
Mereka bukan sekadar berarak, bahkan mereka lebih menyerlah dengan laungan dan jeritan yang meminta kerajaan supaya segera menghentikan projek Lynas yang dianggap boleh membawa kesan bahaya kepada orang ramai di negara ini. Mereka tidak silu lagi dengan memegang poster-poster yang mengecam kerajaan BN yang dikatakan sebagai tidak prihatin dengan keresahan rakyat.
Saya difahamkan akvitis Hijau ini juga akan bermalam di Dataran Merdeka sehingga pagi esok walaupun mereka dihalang oleh pihak polis dan juga pihak Direktorat DBKL berbuat demikian.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Sri Najib menyatakan bahawa kerajaan telah menyemak semula projek kontroversi nadir bumi Lynas Corporation di Gebeng dan fakta saintifik menunjukkan projek tersebut tidak membawa kemudaratan kepada masyarakat setempat. Perdana Menteri berkata, kebimbangan rakyat daripada segi psikologi bahawa projek tersebut akan membawa kesan buruk juga diambil kira oleh kerajaan.