TERKINI....Wow, sudah ada kes baru lagi di Perak. Kali ini MB Perak yang baru, Datuk Dr. Zambry Kadir pula akan dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak. Jika tak betul-betul MB ini akan digantung keahlian sebagai anggota DUN. Inilah bahananya jika kerajaan yang dirampas itu juga tidak stabil - berkedudukan Seri 28-28!Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika mengulas rampasan kuasa yang ditaja oleh UMNO ini berpendapat bahawa cara sedemikian bukanlah satu kaedah yang bijaksana, malah beliau menyatakan bahawa ianya bakal meranapkan UMNO/BN di dalam PRU13. Belum pun tiba PRU13, secara tiba-tiba berlaku pula pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang di Perak yang sebenarnya mahu dielakkan sangat oleh kerajaan yang baru ini. Rakyat Perak dikatakan begitu tidak sabar lagi untuk mengajar UMNO/BN yang telah merampas kerajaan pilihan rakyat ini.
Menteri Besar Perak Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam Exco kerajaan negeri yang mengangkat sumpah Selasa lalu, akan dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Rabu ini, kata Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar.
V. Sivakumar (Foto) ADUN Tronoh dari DAP yang juga Pengerusi Jawatankuasa berkenaan berkata notis saman hadir kepada Zambry, Hamidah Osman, Datuk Ramly Zahari, Dr Mah Hang Soon, Datuk Saarani Mohamad, Mohd Zahir Abdul Khalid dan Zainol Fadzi Paharudin, telah dihantar pada pagi semalam melalui Setiausaha DUN Perak, Abdullah Antong.Katanya keputusan tersebut adalah ekoran surat aduan yang diterimanya daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Canning, Wong Kah Woh Khamis lalu yang meminta supaya ketujuh-tujuh Adun Barisan Nasional (BN) tersebut dirujuk kepada jawatankuasa berkenaan kerana didakwa telah menghina dewan, lapor Bernama.
“Setelah bersidang, pihak jawatankuasa berpendapat terdapat asas ataupun prima facie terhadap aduan yang dibuat oleh YB Wong Kah Woh. Oleh yang demikian jawatankuasa sebulat suara membuat keputusan untuk merujuk kesemua tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di Ipoh hari ini.
Katanya, jawatankuasa yang bersidang pada 12 Februari lalu, telah dihadiri oleh beliau sendiri, Husin Din (Adun Selingsing), Chan Ming Kai (Simpang Pulai), Ong Boon Piow (Tebing Tinggi), Loke Chee Yan (Kepayang) dan Sum Chok Leng (Bercham) manakala wakil tunggal daripada BN iaitu Adun Temengor Datuk Hasbullah Osman tidak dapat hadir kerana mempunyai program di Gerik.
Hamidah merupakan Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, ICT, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita, Ramly (Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air), Mah (Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam).
Begitu juga di dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Perak yang akan diadakan nanti akan menyaksikan Menteri Besar dan exco kerajaan Perak yang baru saja dinobatkan ini akan berdepan dengan satu kemelut yang bakal menggoyahkan kerajaan negeri pimpinannya.
Ini kerana Speaker Dewan Undangan Negeri Perak masih lagi di tangan ADUN DAP dari Tronoh, V. Sivakumar. Sekalipun jumlah ADUN BN pada masa itu ialah 28 mengatasi 1 kerusi ADUN Pakatan Rakyat yang tinggal 27 (tak termasuk 1 lagi kerusi Speaker), namun jawatan Speaker tidak boleh dilucutkan sekalipun dengan usul undi tidak percaya.
Demikian perndapat beberapa pakar perundangan yang mengulas mengenai perkembangan ini, termasuk memetik kenyataan dan juga pandangan yang diberikan oleh Speaker DUN Selangor Teng Chang Khim yang juga seorang peguam. Jawatan Speaker akan menjadi kosong hanyalah jika V.Sivakumar meletakkan jawatannya sebagai ADUN atau dia sudah tidak layak dari memegang jawatannya atau meletakkan jawatannya secara sukarela.
Sivakumar dibolehkan, jika beliau mahu, menghalang bekas ADUN-ADUN Pakatan Rakyat yang melompat, iaitu yang telah "meletakkan jawatannya" daripada menghadiri persidangan, dan ia pastinya akan mengurangkan majoriti BN di dewan undangan negeri berkenaan.
Sebagai Speaker Negeri sebelum ini, Sivakumar telah mengisytiharkan ADUN Behrang Jamaluddin Mohd Radzi, ADUN Changkat Jering Osman Jailu dan Jelapang Hee Yit Foong telah mengosongkan kerusinya selepas beliau menerima surat perletakan jawatan ketiga-tiga ADUN berkenaan.
Sekiranya Sivakumar meletakkan jawatannya kerana apa-apa sebab, Dewan Undangan Negeri akan dikira "badan perundangan yang tergantung" kerana Undang-undang tubuh negeri Perak memperuntukkan dewan tidak boleh bersidang sewaktu kekosongan Speaker kecuali untuk tujuan perlantikan seorang Speaker.
Namun dengan sentimen rakyat Perak yang kini jelas menolak BN, mereka pasti cuba mengelakkan pilihanraya diadakan dengan apa cara sekalipun."Saya percaya mereka terpaksa memilih untuk mengekalkan Sivakumar," tambah Teng.
Namun Speaker pula mempunyai bidangkuasa yang luas di dalam dewan dan kehadiran Sivakumar pastinya menjadi duri yang memeritkan untuk kerajaan rapuh BN dan Zambry selaku Menteri Besarnya.
"Sesuatu keputusan Speaker terhadap sesuatu Arahan Tetap tidak boleh dicabar kecuali dengan jalan mengemukakan satu usul (yang terpaksa melalui satu proses yang panjang termasuklah perbahasan di dewan berkenaan)."

