"Selain berperanan sebagai penyumbang ekonomi negara, penjaja dan peniaga kecil juga mempunyai hak dan kuasa untuk menentukan
hala tuju negara" - Dato' Sri Najib, Perdana Menteri.
Dato' Sri Najib Tun Razak semalam telah mengumumkan beberapa insentif
penting untuk golongan peniaga dan penjaja kecil termasuk menurunkan
kadar bayaran pendaftaran kali pertama bagi perniagaan pemilik tunggal
dan perkongsian kepada RM50 untuk tempoh lima tahun sekali gus.
Sebelum ini, penjaja dan peniaga kecil perlu membayar RM30 bagi
pendaftaran perniagaan Pemilikan Tunggal dan RM60 bagi Perniagaan
Perkongsian, yang perlu diperbaharui setiap tahun. Perdana Menteri turut mengumumkan pemberian diskaun sehingga 50
peratus terhadap kadar kompaun bagi pendaftaran lewat perniagaan dan
bayaran pendaftaran lewat.
Pengumunan tersebut disambut dengan tepukan gemuruh daripada
kira-kira 15,000 warga penjaja dan peniaga kecil yang menghadiri Majlis
Ramah Mesra Warga Penjaja dan Peniaga Kecil 1Malaysia di Dataran Merdeka
malam tadi. Perdana Menteri berkata diskaun kadar kompaun itu akan berkuatkuasa 1 Jun sehingga 31 Dis 2012.
“Ini merupakan pemberian istimewa kerajaan pimpinan Barisan Nasional
(BN) kepada warga penjaja dan peniaga kecil di negara ini,” katanya.
Bagi menjamin kesejahteraan jangka panjang pula, Najib turut
memaklumkan bahawa kerajaan akan memperkenalkan satu skim insurans
berkelompok khusus untuk golongan penjaja dan peniaga kecil selepas
proses mengemas kini data pendaftaran golongan itu dibuat.
“Kalau golongan peniaga ini sakit, mereka tidak ada SOCSO (Pertubuhan
Keselamatan Sosial), jadi beban kos rawatan hospital itu sangat berat
pada keluarga.
“Jadi pada golongan ini, yang pendapatannya tidak tetap, kita kena
fikir perlindungan untuk mereka, bukan sahaja pada masa senang, tetapi
juga semasa mereka susah, kita tetap jaga kebajikan mereka,” katanya.
Najib berkata kerajaan akan meneliti semua maklumat berhubung
golongan penjaja dan peniaga kecil dan memaklumkan mengenai butir-butir
skim insurans itu tidak lama lagi.
Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail
Sabri Yaakob dan Presiden Persatuan Penjaja Dan Peniaga-peniaga Kecil
Malaysia (PPPKM) Datuk Ramli Norani.
Pada majlis itu, Najib turut bersetuju dengan cadangan Ramli untuk
meletakkan tanggungjawab bagi menjaga hal ehwal penjaja dan peniaga
kecil di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan.
“Dengan ini jika ada masalah (penjaja dan peniaga kecil) sudah ada
tempat untuk dirujuk dan mendapatkan perlindungan dan Datuk Seri Ismail
Sabri boleh jadi bapa (mereka),” katanya secara berseloroh.
Sehingga kini, terdapat kira-kira sejuta penjaja dan peniaga kecil di
seluruh negara. Sebelum ini, tiada kementerian khusus bertanggungjawab
menjaga hal ehwal penjaja dan peniaga kecil. Perdana Menteri berkata kejayaan PPPKM menghimpunkan sejumlah besar
ahlinya malam ini secara aman dan tertib memberi isyarat jelas bahawa
tindakan mengadakan demonstrasi jalanan tidak perlu jika mahu membuat
sebarang kenyataan.
“Apa perlu demonstrasi jalanan untuk membuat kenyataan…kenyataan
peniaga kecil malam ini sudah cukup kuat, hebat dan lebih bermakna dan
menunjukkan mereka juga punya kekuatan sebagai sebuah kumpulan yang
penting dalam masyarakat,” katanya.


