assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Monday, December 1, 2008

Mesyuarat AJK Bahagian Setiawanga 9 Disember?


Zulhasnan, Halim dan Fauzi Gandingan Trio Setiawangsa



Shuib, Izudin, Yamin dan Zainal bakal dilantik?

Spekulasi kuat mengatakan bahawa UMNO Bahagian Setiawangsa akan mengadakan mesyuarat ahli jawatankuasanya pada hari Selasa depan, 9 Disember 2008, iaitu sehari selepas menyambut Hari Raya Korban. UMNO Bahagian ini sejak selesai mengadakan persidangan perwakilannya pada 25 Oktober yang lalu masih belum lagi mengadakan mesyuarat ahli jawatankuasanya.
Setakat berita ini ditulis, saya masih belum lagi menerima sebarang notis daripada UMNO Bahagian mengenai tarikh sebenar mesyuarat tersebut. Namun begitu, semasa menghadiri majlis kesyukuran dan doa selamat anjuran Pemuda UMNO Bahagian tempoh hari, Sdra Azmi Badarudin Ketua Pemuda Bahagian semasa memberikan ucapannya telah membayangkan tentang kemungkinan mesyuarat ahli jawatakuasa Bahagian akan diadakan pada 9 Disember depan.
Persoalan bila mesyuarat ahli jawatankuasa Bahagian hendak diadakan kini telah menjadi bahan percakapan di kedai-kedai kopi di sekitar kawasan Setiawangsa. Berbagai andaian dibuat kerana semua Bahagian di Wilayah Persekutuan dikatakan telah pun membentuk barisan ahli jawatankuasa masing-masing. Mereka berkata, UMNO Bahagian Wangsa Maju yang terkemudian mengadakan Persidangan Perwakilannya juga telah mendahului UMNO Bahagian Setiawangsa dengan mengadakan mesyuarat ahli jawatankuasanya pada 20 November lalu. Itupun perlantikan pegawai-pegawainya telah dibuat terlebih awal daripada itu.
Sebelum ini juga Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Setiawangsa sendiri telah pun mengadakan mesyuarat pertama ahli jawatankuasa masing-masing, cuma UMNO Bahagian sahaja yang masih belum mengadakan mesyuarat ahli jawatankuasanya
Perkara ini dibangkitkan mungkin mereka sudah tidak sabar lagi untuk mengetahui siapakah yang bakal mengisi kekosongan bagi jawatan-jawatan seperti Setiausaha, Bendahari dan Ketua Penerangan Bahagian. Begitu juga siapakah tujuh orang lagi yang bakal dilantik menduduki ahli jawatankuasa Bahagian.
Di dalam perlembagaan UMNO Fasal 15, Ketua UMNO Bahagian diberikan kuasa melantik bagi jawatan-jawatan Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan dan tujuh orang ahli jawatankuasa UMNO Bahagian.
Semasa menyampaikan ucapan penggulungan di dalam Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian yang lalu, Dato' Sri Zuhasnan Rafique Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa telah menyebutkan bahawa beliau berkemungkinan akan melantik di kalangan calon-calon yang tewas untuk mengisi kekosongan bagi jawatan tertentu di dalam UMNO Bahagian kali ini. Beliau menyatakan perkara ini kerana mahukan supaya UMNO Bahagian Setiawangsa terus kukuh terutama sebagai persediaan menjelang PRU13 nanti.
Jika itu yang menjadi keazamannya, sama-samalah kita saksikan apakah Shuib Ibrahim yang tewas di tangan Dato' Halim Samad ketika merebut jawatan Timbalan Ketua Bahagian akan dilantik menduduki jawatan tertentu di dalam UMNO Bahagian? Begitu juga apakah Dato' Izudin Ishak, Ahmad Yamin dan Zainal Tan Sri Mahmood yang tewas bertanding bagi jawatan Naib Ketua Bahagian juga bakal ditawarkan untuk bersama-sama di dalam saf Dato' Sri Zulhasnan kali ini?
Bagaimana pula dengan bekas ahli jawatankuasa Bahagian yang lainnya yang tidak tersenarai di dalam Ahi Jawatankuasa Bahagian yang terpilih kali ini, seperti Dato' Baharum, Haji Mohamed Hashim Setpol Menteri Wilayah Persekutuan, Sakandar Khan, Md. Nasir Md. Amin, Cikgu Badarudin dan Ahmad Jais termasuk juga Haji Ahmad Hashim bekas Ketua Penerangan Bahagan. Apakah mereka ini turut diberikan pertimbangan untuk berada sekali di dalam kabinet Bahagian Setiawangsa?
Hamzah Kamarudin Ketua UMNO Cawangan Seksyen 6 Wangsa Maju juga menaruh harapan untuk dilantik, kerana beliau merupakan calon AJK yang tertewas yang mempunyai jumlah undi yang tertinggi di kalangan calon-calon AJK lain yang turut tertewas. Hamzah Kamarudin mendapat 113 undi, dan menduduki tangga yang ke-21 di dalam ranking ahli jawatankuasa Bahagian yang dipertandingkan.
Samsuri Shahrom yang kini bertugas sebagai Pegawai Khas kepada Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan juga terintai-terintai dan menaruh harapan agar dirinya dilantik setidak-tidaknya sebagai ahli jawatankuasa Bahagian.
Satu perkara yang cukup menarik untuk diperhatikan ialah siapakah yang bakal dilantik menjadi Setiausaha, Bendahari dan juga Ketua Penerangan Bahagian? Rata-rata membuat andaian bahawa Abdullah Mat (Pak Lah) (Lihat Gambar) bakal dilantik sekali lagi sebagai Setiausaha UMNO Bahagian, kerana beliau dilihat mempunyai hubungan yang rapat dengan Ketua UMNO Bahagian, malah faktor kecemerlangan tugasnya dikatakan begitu disenangi oleh Dato' Sri Zulhasnan Rafique.
Ada juga pendapat yang menyatakan bahawa Pak Lah tidak akan dilantik menyandang jawatan Setiausaha Bahagian kali ini, kerana beliau dikatakan akan ditarik ke Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan bagi mengisi jawatan tertentu yang dikosongkan.
Kepada mereka yang tidak senang hati dengan Pak Lah selama ini, tentunya mereka gembira dengan spekulasi ini. Namun begitu, bagi jawatan-jawatan penting di peringkat Pegawai ini dirasakan bakal diisi oleh mereka yang disenangi oleh Ketua Bahagian, bukannya mengikut acuan orang lain yang tidak berkenaan.
Tidak wajar rasanya, jika wujud pertikaian bagi mengisi jawatan penting ini, semata-mata tidak serasi dengan cermin kita. Biarlah ianya secocok dengan cermin yang dipegang oleh Ketua UMNO Bahagian sendiri.
Begitu juga kita ingin melihat pembentukan dan susunan biro-biro yang bakal dilantik oleh Dato' Sri Zulhasnan Rafique nanti. Pembahagian tugas dan tanggungjawab ini bakal digalas oleh semua mereka yang telah berjaya memenangi jawatan-jawatan yang dipertandingkan. Diharapkan tugas dan tanggugjawab ini benar-benar serasi dengan keupayaan masing-masing.
Apa pun kita tunggu sahaja pada 9 Disember nanti dan menyerahkan kebijaksanaan ini kepada Ketua UMNO Bahagian yang berkuasa untuk menentukannya.


Sunday, November 30, 2008

Pemuda Setiawangsa adakan majlis kesyukuran dan doa selamat.


Gambar Kiri: Azmi Badarudin (Kanan) dan Mohd. Ezani Abd. Rahman Pengerusi Biro Agama (Kiri).
Gambar Kanan: Dato' Halim Samad sedang berucap. Berbaju biru Ustadz Ismail Hashim


Gambar Kiri: Diantara tetamu yang hadir.
Gambar Kanan: Ustadz Ismail Hashim berbaju biru mengepalai bacaan Surah Yasin


Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Setiawangsa telah berjaya mengadakan majlis kesyukuran dan doa selamat di Pejabat UMNO Bahagian Setiawangsa, yang dihadiri oleh ahli-ahlinya kelmarin (Sabtu, 29 November 2008). Semasa memberikan ucapan, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Azmi Badaruddin berkata bahawa ini merupakan aktiviti pertama yang dapat diadakan sebelum mengakhiri tahun 2008, dan beliau juga mengucapkan tahniah dan syabas kepada Biro Agama, Kebajikan dan Pembangunan Islam di atas kejayaan mengelolakan majlis ini.

Dato' Haji Abdul Halim Samad Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa turut hadir di dalam majlis ini seterusnya menyampaikan ucapan sebagai mewakili Ketua UMNO Bahagian yang tidak dapat hadir. Majlis ini bermula dengan solat fardu maghrib diikuti dengan bacaan surah Yasin dan doa selamat serta tazkirah yang dipimpin oleh Ustadz Haji Ismail Hashim daripada JAKIM.

Beberapa orang ahli jawatankuasa Bahagian juga hadir meraikan majlis tersebut, antaranya ialah Abdul Rahman Hashim, Haji Yusof Ishak, Othman Baba, Haji Yahya Abu Bakar dan beberapa orang Ketua UMNO Cawangan yang terdiri daripada Haji Badarudin Ahmad, Abu Bakar (Pak Ngah), Rosli Mohamad, Wan Zainal dan juga Abdullah Mat.

Seri Wani Sabtu, Ketua Pergerakan Puteri Bahagian bersama-sama dengan beberapa orang ahli jawatankuasanya juga hadir, termasuk beberapa orang Ketua Pergerakan Wanita Cawangan. Haji Abdullah Abdul Rahman, Pengerusi Tetap UMNO Bahagian dan Yusaini Amir Setiausaha Akhbar Menteri Wilayah Persekutuan juga kelihatan di dalam majlis ini.
Locengwangsa turut mengucapkan tahniah kepada Pergerakan Pemuda Bahagian yang dipimpin oleh Azmi Badarudin beserta dengan saf ahli jawatankuasanya kerana telah berjaya membuat 'starting point' ini, di samping kejayaan mewujudkan laman blog mayanya sendiri iaitu http://www.pemuda118.blogspot.com/.

Monday, November 24, 2008

Shahrizat khianati janjinya? Rafidah akan terus pertahankan jawatan.


Kemelut politik Wanita UMNO Malaysia semakin meruncing. Tan Sri Rafidah Aziz Ketua Pergerakan Wanita UMNO dengan nada kesal dan kecewa mendakwa Dato' Seri Shahrizat Jalil telah memungkiri janjinya untuk akur dengan pelan peralihan kuasa yang telah dipersetujui bersama sebelum ini.

Sebagaimana yang dijangkakan, Rafidah Aziz juga telah mengambil ketetapan bahawa beliau akan terus mempertahankan jawatannya yang telah disandang sejak 1984 itu, dan menganggap pelan peralihan kuasa yang dirangka itu sudah pun ranap. Dalam artikata yang lainnya, kedua-dua jagoan Wanita UMNO ini akhirnya akan berentap sesama sendiri, setelah kedua-duanya tidak tersenarai di dalam jemaah menteri Pak Lah.

Rebutan kuasa yang berlaku di dalam Wanita UMNO ini juga dilihat sebagai pertarungan proksi, setelah Ketua Wanitanya Tan Sri Rafidah Aziz digugurkan dari jawatan Menteri walaupun beliau telah terbukti menang di dalam PRU12 lalu di kawasan Parlimen Kuala Kangsar. Manakala Naib Ketua Wanitanya Dato' Seri Shahrizat Jalil pula juga seorang Menteri ketika itu, telah ditewaskan oleh Nurul Izzah Anwar (PKR) di Parlimen Lembah Pantai, tetapi dilantik pula sebagai Penasihat Hal Ehwal Wanita kepada Perdana Menteri yang bertaraf Menteri.

Dalam sifir congak politik tentunya Shahrizat lebih rapat dengan Pak Lah jika dibandingkan dengan Rafidah. Pengguguran Rafidah Aziz daripada jawatan Menteri merupakan satu tamparan mengejut yang diterima oleh Pergerakan Wanita UMNO daripada Presiden partinya yang dilihat sebagai satu percubaan awal untuk melemahkan pengaruhnya dalam Wanita UMNO. Sebaliknya Perdana Menteri pula dilihat begitu 'excited' untuk memperkukuhkan kedudukan Shahrizat dengan menawarkan jawatan Penasihat yang bertaraf Menteri itu.

Tindakan memungkiri janji yang diperlakukan oleh Shahrizat itu sehingga membawa kepada ketetapan baru untuk mencabar Rafidah, tentunya dilihat mempunyai faktor 'membaling batu sembunyi tangan'. Shahrizat dilihat tergamak melukakan hati dan perasaan Ketuanya daripada menghampakan kehendak mentornya, Pak Lah.

Sebagai seorang yang telah dikecewakan, tentunya Rafidah akan terus bertindak untuk menebus maruahnya dengan berkata bahawa Wanita UMNO perlu berdiri teguh di belakangnya untuk mengembalikan haknya yang tercabul sehingga tidak ada seorang pun pemimpin kanan Wanita UMNO yang duduk sebagai Menteri. Jika ada pun hanya seorang 'Penasihat' kepada Perdana Menteri yang tertewas di dalam pilihan raya, yang dinaik taraf sebagai 'Menteri'. Itukah yang dibanggakan oleh Wanita UMNO?

Rasanya Rafidah mampu meraih sokongan dan simpati daripada perwakilan Wanita UMNO yang bakal membuat penentuannya di dalam Perhimpunan Agung pada bulan Mac tahun hadapan. Rafidah berkata, Shahrizat tidak perlu tergopoh gapah, kerana akhirnya nanti dia akan menyerahkan kuasanya kepada Shahrizat pada bulan Jun nanti, setelah membuat perlantikan Ketua-Ketua Wanita Perhubungan Negeri yang dipersetujui oleh Shahrizat juga.

Oleh kerana 'langit tidak selalu cerah' Shahrizat merelakan dirinya untuk mengkhianati Ketuanya yang pernah disanjung tinggi. Shahrizat terpengaruh dengan emosinya seolah-olah merasakan Rafidah akan menjadi sepertinya yang memungkiri janji. Shahrizat telah membuka pekong kelemahan dirinya di pusingan awal yang akan mengakibatkan dirinya bakal tersungkur.

Friday, November 21, 2008

Rafidah menerima tekanan, Shahrizat bertekad tanding Ketua Wanita



Nampaknya kemelut politik di dalam Pergerakan Wanita UMNO yang membabitkan Rafidah dan Shahrizat terus menjadi topik hangat di persada politik tanah air kini. Tan Sri Rafidah Aziz Ketua Pergerakan Wanita UMNO sejak 1984 lagi pernah ditewaskan oleh Dato' Sri Dr. Siti Zaharah Sulaiman suatu masa dahulu, kini semakin hampir dicabar sekali lagi. Tokoh kali ini yang bakal memberikan cabaran terhadap beliau ialah Naib Ketuanya sendiri, iaitu Dato' Seri Shahrizat Jalil yang kini menjadi Penasihat Hal Ehwal Wanita kepada Perdana Menteri.

Penganalisa politilk meramalkan Shahrizat mampu memberikan tekanan kepada Rafidah malah tekanan kali ini dilihat akan memberikan impak kepadanya untuk mengkaji semula pelan peralihan kuasa yang dirangka oleh Rafidah untuk menyerahkan baton Ketua Wanita kepada penggantinya pada bulan Jun 2009.

Jika Rafidah berdegil dan tetap mahukan pelan tersebut dipatuhi, maka sejarah Wanita UMNO bakal menyaksikan Rafidah akan tertiarap sekali lagi di dalam Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO yang akan diadakan pada Mac 2009; dan kali ini Wanita UMNO akan mengajarnya supaya tidak bersikap angkuh sehingga tidak nampak lampu isyarat merah sudah menyala di hadapan menyuruhnya berhenti.

Dato' Seri Shahrizat Jalil telah pun membuat pengumuman kelmarin (20 November 2008) dimana beliau telah menyatakan kesediaan dirinya untuk bertanding jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO di dalam Perhimpunan Agung Wanita pada bulan Mac 2009 nanti. Pengumumannya itu telah mendapat reaksi yang positif dari sebilangan besar Wanita UMNO Bahagian seluruh negara. Shahrizat dijangka akan menerima sokongan lebih daripada 100 Wanita Bahagian, termasuk Bahagian-Bahagian yang telah mencalonkan Rafidah. Tan Sri Rafidah Aziz telah mendapat 117 pencalonan, manakala Dato' Seri Shahrizat Jalil pula memperolehi 73 pencalonan daripada Wanita UMNO Bahagian yang telah mengadakan persidangan perwakilannya musim ini.

Kita menjangkakan Rafidah akan melenting dengan ketetapan yang diambil oleh Shahrizat itu, dan kemungkinan Rafidah akan tetap mempertahankan kedudukannya sebagai Ketua Wanita demi menjaga maruah dan air mukanya yang telah dicalarkan. Jika ini terjadi, rumahtangga Wanita UMNO akan terus bergolak dan drama tarik menarik rambut akan terus mencacat celakan imej Wanita UMNO.


Wednesday, November 19, 2008

Pemilik bengkel 10 anak, merayu DBKL jangan robohkan bengkelnya..

Setiawangsa, 19 November - Bengkel baiki kereta, bangsal besi buruk dan tapak sembelihan ayam antara yang dirobohkan oleh pihak DBKL, di Jalan Air Madu (Lot 28238), Air Panas, Setapak, hari ini.
-----------------------------------------------------------
Difahamkan pemilik tanah Air Panas Development Sdn Bhd telah buat rayuan kepada DBKL dan juga kepada Dato' Sri Zulhasnan supaya tindakan meroboh dapat
ditangguhkan sehingga satu bulan, tapi tidak diendahkan...
----------------------------------------------------------
DBKL keluar notis satu minggu pada 10 November dan telah berakhir pada 18 November. Menurut sumber yang dimaklumkan, tindakan dibuat kerana adanya aduan penduduk tempatan?
---------------------------------------------------------
Lebih 30 orang penguatkuasa DBKL telah menjalankan arahan pihak atasan untuk merobohkan bengkel ini...siapa orang atasan itu?
---------------------------------------------------------
Zaki Abd. Majid, seorang pengusaha bengkel membaiki kereta mempunyai 10 orang anak yang masih kecil mendiami rumah bengkel itu minta penguatkuasa jangan teruskan perobohan bengkelnya itu. Beliau minta simpati, tapi sebahagian bengkelnya telah pun dirobohkan.. Difahamkan dia diberi masa dua hari...ke mana anak-anak kecil ini akan dipindahkan?
---------------------------------------------------------
Semasa membuat tinjauan di sebelah petang 19 November, didapati mereka yang terlibat menjalankan perniagaan di tapak berkenaan bukan sahaja telah mendapat kebenaran tuan tanah (Air Panas Development Sdn Bhd), malah tidak mengganggu lalulintas, jauh sekali buat kacau ganggu. Tapi kenapa tindakan terus diambil?
---------------------------------------------------------
Encik Roslan Abd. Rahman yang berada di lokasi telah menghubungi Tuan Hj Hashim (Setiausaha Politik Menteri Wilayah Persekutuan) mempersoalkan tindakan yang telah diambil oleh pihak DBKL itu, yang dianggapnya sebagai tidak berperi kemanusiaan. Menurut katanya, nasib baik beliau sempat bergegas ke lokasi berkenaan dan berjaya membuat rayuan kepada Pegawai penguatkuasa DBKL (Encik Azlan Abdullah Pegawai Perancang Bandar) supaya tidak meneruskan tindakan meroboh sebahagian bengkel kereta milik Zaki Majid yang menempatkan anak-anaknya yang masih kecil di situ.

1.
2.

3.
4.
5.
6. 7.

8.

Keterangan Gambar:

Gambar 1 - Sisa bengkel besi buruk yang dirobohkan

Gambar 2 - Anak Encik Zaki Abd. Majid menunjukkan sebahagian daripada bengkel kereta bapanya yang dirobohkan.

Gambar 3 - Bengkel kereta Encik Zaki Majid yang telah dirobohkan.

Gambar 4 - Roslan (Dua dari kiri) pemilik tanah berkenaan bersama-sama dengan pengusaha-pengusaha bengkel yang terlibat.

Gambar 5 - Anak En. Zaki pengusaha bengkel kereta sedang melihat sisa-sisa runtuhan di depan rumahnya.

Gambar 6 & 7 - Kiri: En. M. Muraly (Pengusaha Isdany Metal & Trading) menunjukkan surat/notis yang diterimanya daripada DBKL.

Gambar 8 - Kedai tempat sembelihan ayam yang telah dirobohkan.

-----------------------------------------------------------

Sekadar Meraih Simpati DBKL...

1. Jika nak bertindak meroboh samada tapak penjaja tak berlesen, bangsal besi buruk, bengkel-bengkel membaiki kereta ataupun penempatan tertentu biarlah menyeluruh dan tidak kelihatan 'terpilih'. Nanti rakyat yang menderita itu akan menuduh bahawa tindakan DBKL itu ada unsur rasuah.

2. Jika ada rayuan meminta supaya tindakan meroboh itu dilanjutkan kepada satu tempoh, hendaklah dilayan! Berikan mereka masa yang mencukupi untuk mencari tapak lain bagi meneruskan kehidupan marhainnya.

3. Biarlah tindakan yang diambil itu tidak memperlihatkan unsur penindasan dan kezaliman pihak kerajaan terhadap rakyat yang memerlukan pembelaan. Pengusaha bengkel kereta yang terbabit terpaksa menanggung kerugian yang akan menyulitkan lagi kehidupan 12 anak beranak itu. Peralatan yang rosak akibat perobohan terpaksa mereka bayar ansuran juga kepada pihak bank yang memberikan pinjaman perniagaan, sedangkan perniagaannya telah terhenti akibat tindakan DBKL itu!

4. Jika terpaksa dirobohkan juga, usahakanlah penempatan keluarga ini di rumah PPR yang berdekatan. Difahamkan anak-anak kecil ini masih bersekolah di sekitar Air Panas. Anak yang paling kecil (anak ke-10) masih dalam usia 1 1/2 tahun. Kasihanilah mereka ini. UMNO Cawangan Air Madu kena bantu keluarga Melayu ini yang sedang menghadapi tekanan daripada kerajaan UMNO yang memerintah. Mereka sedang menghitung hari untuk diambil tindakan susulan DBKL

Saturday, November 15, 2008

Lima Dato' tersisih di Wangsa Maju, Ramli Manan Setiausaha Bahagian, Radzi Mustapha Ketua Penerangan dan Abd. Sani Ahmad Bendahari Bahagian...


Dato' Dr. Mohd. Shafie Abdullah
KETUA BAHAGIAN WANGSA MAJU YANG BARU


Dari Kiri: Dato' Zainal Nazeri, Datuk Astaman dan Dato' Norza Zakaria
ANTARA TIGA DATUK YANG TERSISIH DI WANGSA MAJU
---------------------------------------------------------------------------------
.
Dato' Zainal Nazeri Zainuddin akhirnya menghilangkan diri, Datuk Astaman Abd. Aziz pula ditewaskan untuk jawatan Timbalan Ketua Bahagian, Dato' Norza Zakaria tidak mendapat apa-apa pencalonan, manakala Datuk Manan dan Datuk Osman Bakar pula belayar malam bersama-sama dengan kapten kapalnya.

Lima Datuk sekapal dengan Dato' Zainal

Demikianlah menariknya episod lima orang Datuk di Bahagian Wangsa Maju yang dikatakan berada dalam satu kapal bersama Dato' Zainal Nazeri yang tidak kesampaian ke detinasi masing-masing untuk merempuh benteng pertahanan Dato' Mohd. Shafie Abdullah yang sudah lama berakar tunjang di Wangsa Maju. Kesemua Datuk-Datuk yang berkenaan secara kebetulannya tidak menetap di dalam kawasan Parlimen Wangsa Maju, kecuali Dato' Shafie telah disisih dan kecundang di dalam musim pemilihan jawatan di peringkat Bahagian Wangsa Maju baru-baru ini.
Setiausaha Bahagian, Bendahari dan
Ketua Penerangan dilantik
Nama-nama mereka juga tidak tersenarai ketika pengumuman Ketua UMNO Bahagian melantik jawatan-jawatan Setiausaha Bahagian, Bendahari Bahagian dan juga Ketua Penerangan Bahagian. Sebaliknya Dato' Dr. Shafie Abdullah telah mengumumkan perlantikan Ramli Manan daripada UMNO Cawangan Kg. Puah Bahagia sebagai Setiausaha UMNO Bahagian, Abd. Sani Ahmad Ketua UMNO Cawangan Kg. Wira Jaya sebagai Bendahari Bahagian dan Mohd. Radzi Mustapha Ketua UMNO Cawangan Taman Danau Kota pula sebagai Ketua Penerangan Bahagian.
Habib, Pegawai Khas Ketua Bahagian
Sementara itu, Saudara Habib orang kuat Dato' Shafie daripada cawangan Taman Setapak telah dilatik sebagai Pegawai Khas kepada Ketua UMNO Bahagian. Jawatan-jawatan lain seperti ahli jawatankuasa Bahagian yang dilantik oleh Ketua Bahagian masih belum diumumkan oleh Dato' Shafie
Pasukan Wangsa Maju Mantap


Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Wangsa Maju yang berlangsung pada 8 November lalu telah menyaksikan keunggulan Dato' Shafie membentuk sebuah pasukan yang mantap untuk memikul amanah akar umbi yang menuntut agar Parlimen Wangsa Maju yang kini terlepas ke tangan PKR dirampas semula ke tangan UMNO. Selama dua penggal UMNO kehilangan kerusi Parlimen Wangsa. PRU11 (2004) menyaksikan UMNO telah memberikan laluan kepada MCA dengan kemenangan YTL.
Begitu juga UMNO sekali lagi dilihat tidak berupaya untuk menuntut kembai kerusi Parlimen Wangsa Maju ini daripada MCA dan akhirnya MCA ditolak oleh pengundi dengan memberikan kemenangan kepada PKR di dalam PRU12 (2008). Kini Wangsa Maju telah dikuasai oleh parti pembangkang akibat persengketaan dalaman UMNO Wangsa Maju yang tidak berupaya untuk mencari noktahnya.
Ketepikan sentimen rampas semula Wangsa Maju
Kini ahli-ahli UMNO di Wangsa Maju harus mengenepikan segala sentimen keperibadian pemimpinnya dan berani menuntut supaya saf kepemimpinan UMNO yang diketuai oleh Dato' Shafie hari ini merangka satu agenda bersepadu untuk merakyatkan perjuangan UMNO. Sentuhan UMNO kali ini biarlah sampai ke lubuk hati sehingga terpancar semula keyakinan rakyat akar umbi kepadanya.
Jangan Kaya Rayakan Pemimpin Sahaja

UMNO jangan dilihat sebagai platform untuk mengkaya rayakan pemimpinnya sahaja, sedangkan rakyat masih menderita dengan pelbagai tekanan yang menghimpit kehidupan mereka. UMNO hari ini juga mesti bijak untuk menentukan keutamaan dalam misi perjuangannya. Rakyat yang tidak menjadi ahli UMNO juga harus tidak diketepikan dalam perjuangan membela agama, bangsa dan negara. Pendekata, di dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen seperti Malaysia ini. parti UMNO mestilah dilihat relevan untuk semua.
Setia Perkasa
Saya berkeyakinan penuh Dato' Shafie mampu untuk melakukan sentuhan ini, kerana saya mengenalinya sebagai seorang pemimpin yang gigih, tidak kenal berputus asa, memiliki ketahanan dan berdaya fikir, berketrampilan, berdedikasi, punyai jati diri dan sarat dengan pengikutnya yang setia perkasa. Beliau juga bijak berkata-kata sehingga mampu mempengaruhi dan memikat hati kawan dan juga lawan.
Zulhasnan pernah dilonjakkannya

Kekuatan dinastinya berputik sejak era Azman Atar di Bahagian Batu lagi. Azman Atar pernah bergelut dengannya, Dr. Kamal Salih juga pernah menghadapi laluan sukar untuk berhadapan dengannya, begitu juga dengan Dato' Sri Zulhasnan Rafique yang pernah dilonjakkannya sehingga mampu bertapak dalam gelanggang politik semasa di Wangsa Maju dahulu. Sememangnya tidak siapa boleh menafikan fakta-fakta yang saya sebutkan itu. Saya berani menyatakan demikian, kerana saya sendiri pernah berada dan terlibat dalam sepak terajang politik bersama-sama dengannya. Jika kita nakkan kekuatan politik di Wangsa Maju, kita jangan perkecilkan pengaruh Dato' Shafie di sana! Mengenepikannya bermakna menyongsang arus.
Permata Wangsa Maju

Sememangnya kejayaan beliau hari ini bukanlah datang bergolek. Shafie telah merentasi segala onak dan duri yang menjadikannya semakin matang. Beliau adalah permata di Wangsa maju yang bakal menyinari seluruh warganya.

Thursday, November 13, 2008

FENOMENA OBAMA DAN OBANGAU..

Senator Barack Hussein Obama

John McCain
Obama telah menang menjadi Presiden Amerika Syarikat yang ke-44 dengan penuh bergaya. Beliau menang setelah berhempas pulas berkempen dengan membawa misi dan visi yang jelas untuk melakukan perubahan bukan sahaja untuk negaranya, Amerika Syarikat malah untuk masa depan dunia keseluruhannya.

Ucapan Tahniah

Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, mengucapkan tahniah kepada Obama. Begitu juga Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak dan bekas Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim juga membuat ucapan yang sama.

Orang Kulit Hitam Pertama Jadi No. 1 AS
Seluruh dunia menyambut baik kemenangan 'Barack Hussein Obama' memimpin negara yang terkuat di dunia ini. Kejayaannya menumpaskan 'John McCain' sekaligus mencatatkan satu sejarah dimana beliau merupakan tokoh berkulit hitam yang pertama menjadi Pemimpin Nombor Satu Amerika Syarikat.
Tentunya seluruh warga kulit hitam di dunia ini, terutamanya di Benua Afrika merasakan martabat dan maruah mereka semacam terbela, kerana di Benua Afrika orang berkulit hitam dikatakan begitu tertekan dengan pelbagai masalah sosialnya, malah sering terjebak dengan gejolak politik yang terus menghimpit kehidupan mereka.

Obama bawa perubahan

Hari ini Obama menjadi kebanggaan mereka, dan beliau diharapkan dapat membawa perubahan radikal bukan sahaja untuk orang berkulit hitam, malah lebih besar daripada itu dunia mengharapkan sentuhan Obama dalam menangani beberapa isu-isu global.
Kita ingin melihat sejauh mana tangannya diikat oleh rejim zionis yang begitu berpengaruh di negara tersebut sehingga menyebabkan isu-isu yang menyentuh dunia Islam seringkali tidak berpihak kepada Islam. Isu Palestin yang ditindas oleh negara Yahudi Israel masih dilihat sikap hipocracy Amerika Syarikat yang terkedu yang jelas berpihak kepada negara Yahudi itu. Begitu juga kita hendak melihat sejauh mana Obama dapat menyelesaikan isu-isu yang membabitkan negara Iraq, Iran, Afghanistan, Pakistan dan banyak lagi negara Islam yang dicampurinya.

McCain akui kekalahannya

Apa yang menarik untuk diperhatikan ialah calon Presiden Amerika Syarikat yang kalah, John McCain meletakkan tanggungjawab kekalahan itu atas dirinya sendiri. Tampak, beliau seorang yang berjiwa besar. Kita kagum dengan sifat yang terpuji yang ditunjukkan oleh MacCain. Dia kalah bukan sebab dia tidak baik, tetapi kerana Obama lebih baik.

Menyalahkan lawan

Orang politik di negara ini sukar untuk menerima kelemahan diri. Saya belum pernah bertemu orang politik yang menyenaraikan kelemahan diri sendiri sebagai punca kekalahan. Apabila kalah dalam pertandingan merebut jawatan parti mahupun pilihanraya, dia pasti menyalahkan lawan. Apabila tewas pemilihan parti, dia menyalahkan orang lain dan menuduh ada yang belot. Begitu juga apabila tidak dipilih sebagai calon pilihanraya, dia akan menyalahkan pemimpin atasan yang buta pertimbangan.
OBANGAU

Yang ada dalam politik Malaysia ialah "Obangau". Ingat lagu "Bangau Oh Bangau"? Pertanyaan "mengapa bangau menjadi kurus" berakhir dengan meletakkan kesalahan kepada "katak memanggil hujan"; sedangkan katak tersebut mungkin tidak langsung mengenali sang bangau yang kurus itu
Itulah fenomena orang politik yang lebih suka menyalahkan orang lain. Walaupun diri sendiri penuh dengan kudis, tetapi yang dia nampak ialah kurap orang lain. Lantaran itulah sesetengah orang politik tidak mengubati kudisnya sendiri, tetapi meneropong kurap orang lain. Mentaliti pemimpin masih lagi dipengaruhi rasa dendam kesumat, bila menang menggunakan pendekatan mencantas tetapi bila kalah tidak dapat menerima realiti serta menyalahkan pihak-pihak lain.

Tidak sukar cari OBAMA dalam UMNO?

Tentulah tidak sukar mencari orang politik yang ingin menjadi Obama. Ada dalam UMNO, ada dalam PKR dan ada juga dalam PAS. Memang tidak susah nak cari. Tetapi yang susah ialah nak mencari orang politik macam McCain. Dalam ucapannya, McCain memikul kekalahan sendiri. Dia tidak menyalahkan orang lain. Katanya:

We fought — we fought as hard as we could. And though we feel short, the failure is mine, not yours.
McCain meminta semua rakyat Amerika bersama-sama Obama melangkah ke hadapan:

I urge all Americans ... I urge all Americans who supported me to join me in not just congratulating him, but offering our next president our good will and earnest effort to find ways to come together to find the necessary compromises to bridge our differences and help restore our prosperity, defend our security in a dangerous world, and leave our children and grandchildren a stronger, better country than we inherited. Whatever our differences, we are fellow Americans. And please believe me when I say no association has ever meant more to me than that. It is natural. It's natural, tonight, to feel some disappointment. But tomorrow, we must move beyond it and work together to get our country moving again.
Ucapan McCain penuh dengan pujian terhadap Obama:

In a contest as long and difficult as this campaign has been, his success alone commands my respect for his ability and perseverance. But that he managed to do so by inspiring the hopes of so many millions of Americans who had once wrongly believed that they had little at stake or little influence in the election of an American president is something I deeply admire and commend him for achieving. Senator Obama has achieved a great thing for himself and for his country. I applaud him for it, and offer him my sincere sympathy that his beloved grandmother did not live to see this day. Though our faith assures us she is at rest in the presence of her creator and so very proud of the good man she helped raise.

Dan McCain secara terbuka mengisytiharkan sokongan dan sedia membantu Obama:

These are difficult times for our country. And I pledge to him tonight to do all in my power to help him lead us through the many challenges we face. Tonight — tonight, more than any night, I hold in my heart nothing but love for this country and for all its citizens, whether they supported me or Senator Obama — whether they supported me or Senator Obama. I wish Godspeed to the man who was my former opponent and will be my president.And I call on all Americans, as I have often in this campaign, to not despair of our present difficulties, but to believe, always, in the promise and greatness of America, because nothing is inevitable here.

Persoalannya adakah ada McCain dalam politik Malaysia?
Siapa?


---------------------------------------------------------------------------------
OBAMA SEORANG MUSLIM...?

Sila klik di VIDEO BAR blog ini untuk melihat sendiri kebenaran Obama seorang muslim.