
Kemelut politik Wanita UMNO Malaysia semakin meruncing. Tan Sri Rafidah Aziz Ketua Pergerakan Wanita UMNO dengan nada kesal dan kecewa mendakwa Dato' Seri Shahrizat Jalil telah memungkiri janjinya untuk akur dengan pelan peralihan kuasa yang telah dipersetujui bersama sebelum ini.
Sebagaimana yang dijangkakan, Rafidah Aziz juga telah mengambil ketetapan bahawa beliau akan terus mempertahankan jawatannya yang telah disandang sejak 1984 itu, dan menganggap pelan peralihan kuasa yang dirangka itu sudah pun ranap. Dalam artikata yang lainnya, kedua-dua jagoan Wanita UMNO ini akhirnya akan berentap sesama sendiri, setelah kedua-duanya tidak tersenarai di dalam jemaah menteri Pak Lah.
Rebutan kuasa yang berlaku di dalam Wanita UMNO ini juga dilihat sebagai pertarungan proksi, setelah Ketua Wanitanya Tan Sri Rafidah Aziz digugurkan dari jawatan Menteri walaupun beliau telah terbukti menang di dalam PRU12 lalu di kawasan Parlimen Kuala Kangsar. Manakala Naib Ketua Wanitanya Dato' Seri Shahrizat Jalil pula juga seorang Menteri ketika itu, telah ditewaskan oleh Nurul Izzah Anwar (PKR) di Parlimen Lembah Pantai, tetapi dilantik pula sebagai Penasihat Hal Ehwal Wanita kepada Perdana Menteri yang bertaraf Menteri.
Dalam sifir congak politik tentunya Shahrizat lebih rapat dengan Pak Lah jika dibandingkan dengan Rafidah. Pengguguran Rafidah Aziz daripada jawatan Menteri merupakan satu tamparan mengejut yang diterima oleh Pergerakan Wanita UMNO daripada Presiden partinya yang dilihat sebagai satu percubaan awal untuk melemahkan pengaruhnya dalam Wanita UMNO. Sebaliknya Perdana Menteri pula dilihat begitu 'excited' untuk memperkukuhkan kedudukan Shahrizat dengan menawarkan jawatan Penasihat yang bertaraf Menteri itu.
Tindakan memungkiri janji yang diperlakukan oleh Shahrizat itu sehingga membawa kepada ketetapan baru untuk mencabar Rafidah, tentunya dilihat mempunyai faktor 'membaling batu sembunyi tangan'. Shahrizat dilihat tergamak melukakan hati dan perasaan Ketuanya daripada menghampakan kehendak mentornya, Pak Lah.
Sebagai seorang yang telah dikecewakan, tentunya Rafidah akan terus bertindak untuk menebus maruahnya dengan berkata bahawa Wanita UMNO perlu berdiri teguh di belakangnya untuk mengembalikan haknya yang tercabul sehingga tidak ada seorang pun pemimpin kanan Wanita UMNO yang duduk sebagai Menteri. Jika ada pun hanya seorang 'Penasihat' kepada Perdana Menteri yang tertewas di dalam pilihan raya, yang dinaik taraf sebagai 'Menteri'. Itukah yang dibanggakan oleh Wanita UMNO?
Rasanya Rafidah mampu meraih sokongan dan simpati daripada perwakilan Wanita UMNO yang bakal membuat penentuannya di dalam Perhimpunan Agung pada bulan Mac tahun hadapan. Rafidah berkata, Shahrizat tidak perlu tergopoh gapah, kerana akhirnya nanti dia akan menyerahkan kuasanya kepada Shahrizat pada bulan Jun nanti, setelah membuat perlantikan Ketua-Ketua Wanita Perhubungan Negeri yang dipersetujui oleh Shahrizat juga.
Oleh kerana 'langit tidak selalu cerah' Shahrizat merelakan dirinya untuk mengkhianati Ketuanya yang pernah disanjung tinggi. Shahrizat terpengaruh dengan emosinya seolah-olah merasakan Rafidah akan menjadi sepertinya yang memungkiri janji. Shahrizat telah membuka pekong kelemahan dirinya di pusingan awal yang akan mengakibatkan dirinya bakal tersungkur.


4 comments:
Tengok keturunan In.... mainannya. Bermaharajalele nanti padah. Tengok apae jadi kesultanan melake. Pembesar melayu senang makan bodek langsung tak nampak
PERGERAKAN PEMUDA UMNO SETIAWANGSA BLOG ( pemuda118.blogspot.com ) EMAIL ( pemuda118@gmail.com )
Salam perjuangan,
“Bapak di sane tu penyamun. Abang di sini tu penyangak. Hah, dah kena dah. Penyamun bertemu si penyangak” - Tan Sri P.Ramlee
“Memperkasa Generasi Baru”
Pergerakan Pemuda
UMNO Cawangan Taman IKS
Bahagian Batu WP
http://pemudaiks.blogspot.com
Salam. Blog Rasmi Pergerakan Puteri Setiawangsa (puteri118.blogspot.com). Aktiviti terdekat Puteri Setiawangsa akan mengadakan Program Membeli Uniform & Peralatan Sekolah untuk yang kurang berkemampuan (seramai 40 orang yang telah dikenalpasti). Di samping itu lawatan ke Galeri Petronas, Jejantas Udara Menara berkembar dan Petrosains pd 27 Disember ini dr 9.00pg - 6.00ptg).
Post a Comment