assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Monday, May 11, 2009

NIZAR MB PERAK YANG SAH...BUKANLAH HADIAH ZAMBRY UNTUK HARI PENUBUHAN UMNO KE-63 TAHUN HARI INI...

Kemelut Negeri Perak yang berpanjangan sejak 6 Februari lalu yang menyaksikan negeri ini mempunyai dua Menteri Besar, kini telah berakhir apabila mahkamah tinggi memutuskan bahawa Dato' Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaludin adalah MENTERI BESAR yang sah.

Ini bermakna semua barisan exco kerajaan Pakatan Rakyat di Perak yang dikudetakan oleh UMNO/BN sebelum ini turut TIDAK SAH, sebaliknya kerajaan rampasan Barisan Nasional yang dikepalai oleh Dato' Seri Zambry Abd. Kadir hanya mampu berbulan madu selama 3 bulan sahaja.

Tempoh 3 bulan ini juga memberikan petunjuk bahawa Zambry adalah satu-satunya Menteri Besar di negara ini yang telah mencatat rekod terpendek di persada takhta kerajaan kudetanya. Zambry mungkin terkilan kerana tidak berkesampaian untuk mengkalungkan hadiah kepada UMNO yang sedang merayakan hari penubuhannya yang ke-63 hari ini.

Saya berpendapat keputusan mahkamah tinggi ini boleh membuka jalan untuk menyelesaikan krisis politik Perak. Sekiranya Mohammad Nizar masih mempunyai sokongan yang mencukupi, beliau boleh meneruskan tugasnya sebagai MB Perak.

Akan tetapi, sekiranya beliau tidak mempunyai sokongan yang mencukupi, beliau boleh memohon perkenan Baginda Sultan untuk membubarkan DUN supaya satu pilihan raya baru diadakan. Dengan itu, kita kembalikan mandat kepada rakyat, dan biarlah rakyat yang memutuskan siapakah yang mereka mahu memerintah Perak selepas ini.

Apa pun saya mengucapkan "SELAMAT MENYAMBUT ULANGTAHUN YANG KE-63" kepada UMNO yang merayakannya hari ini (11 Mei 2009). Jangan lupa bahawa parti ini telah banyak menaburkan jasa baktinya kepada negara ini sejak dahulu lagi. Cuma sejak akhir-akhir ini kelihatan UMNO sudah mula dilupakan oleh rakyat terbanyak.


Sunday, May 10, 2009

Di INDIA SIDANG PARLIMENNYA PUN PERNAH KECOH, TAPI DI MALAYSIA SAHAJA POLISNYA BOLEH MENCEROBOH SIDANG DUN...

Saksikan.....tak ada polis dalam dewan mereka, tapi di DUN Perak polis telah melakukan tindakan mengusir speakernya!


INDIA


RUSIA


UKRAINE


TURKI


MEXICO

ITALI


MALAYSIA - DUN PERAK

Di negara-negara lain termasuk negara INDIA berlaku juga kekecohan di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Di kalangan Wakil Rakyat mereka ada juga yang bertumbuk, bergasak dan tolak menolak sesama sendiri apabila isu yang diperdebatkan menjadi semakin hangat, tetapi tidak pernah pula kedengaran perlunya campur tangan pihak polis untuk memasuki dewan sehingga imej dewan dicemari dengan beberapa tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh pihak polis terhadap wakil-wakil rakyat tertentu yang sedang menjalankan sidang di dewan tersebut.

Namun begitu insiden yang memalukan itu telah berlaku di negara Malaysia yang telah mencatatkan rekod pencemaran terhadap 'Perdana Menteri 1Malaysia' di mana wakil rakyat (Barisan Nasional) boleh membawa masuk anggota polis (SB) untuk membelasah wakil-wakil rakyat pihak lawan dengan mengheret dan mengusung Speaker yang sedang menjalankan tugasnya di Dewan Undangan Negeri Perak pada 7 Mei lalu.

Speaker yang masih sah di sisi undang-undang telah diusung keluar bersama-sama dengan kerusi yang didudukinya. Semuanya ini dilakukan oleh 'pelaku dan pelaga' yang berjenama UMNO iaitu parti yang saya anuti sejak dahulu lagi.

Penguasa-penguasa parti ini bukan sahaja kelihatan rakus ketika merampas kuasa dahulu, malah mereka juga telah menampilkan suatu pementasan yang tidak melambangkan demokrasi tulen setelah mereka sendiri mencipta satu babak sumbang (18SX) apabila melantik seorang speaker yang baru di hadapan speaker yang masih tertonggok duduk di kerusinya di dalam dewan. Rantaian anggota polis yang berada di dalam dewan terpaksa disuraikan setelah Nizar memohon perkenan Raja Nazrin supaya anggota-anggota polis itu diperintahkan keluar dari dewan.

Biar pun usul undi tidak percaya terhadap speaker telah dihalang oleh speaker yang bertugas, namun tindakan melantik seorang lagi speaker ketika dewan sedang bersidang bukanlah satu teladan yang baik untuk dipratontonkan kepada rakyat, dan sudah tentulah babak sumbang ini tidak boleh dijadikan rujukan terbaik untuk pelajar-pelajar sekolah yang mahukan fakta demokrasi tulen di negara ini dalam subjek sejarah yang dipelajari.

Jika fakta ini diambil, sama jugalah kita mendorong mereka melakukan pencerobohan terhadap Guru Besar sekolah yang mereka tidak sukai dengan mengangkat pula seorang guru kanan yang lain menjadi Guru Besar yang baru. Keengganan Guru Besar yang tidak lagi dipercayai itu mengosongkan kerusinya akan menyebabkan kerusinya diusung keluar oleh sepasukan polis yang dikonspirasikan untuk menghina seorang guru besar.

Mungkinkah ini kurikulum baru terbaik tajaan UMNO untuk diikuti oleh generasi muda hari ini? Jika benar andaian ini, memang jelaslah UMNO bakal diusung keluar dalam PRU13 nanti seperti yang telah mereka lakukan terhadap Sivakumar pada 7 Mei 2009.

Sebagai pengikut rejim UMNO sejak dulu hingga kini, saya merasakan inilah rekod terburuk yang julung kali dilakukan oleh UMNO ketika hendak mengembalikan semula takhtanya yang sudah dirobohkan oleh rakyat dalam PRU12 yang lalu. Saya sendiri terasa dihina apabila parti ini semakin dipersendakan akibat 'kong kalikong' ciptaan kita sendiri.

Friday, May 8, 2009

SIVAKUMAR DIUSUNG KELUAR DEWAN SECARA HINA, BAKAL MENGUSUNG UMNO JUA...

Saya terperanjat dengan insiden kebudak-budakan yang disandiwarakan oleh juragan-juragan UMNO di DUN Perak semalam, sehingga mereka tidak sedar pementasan ALA KUDETA ini sebenarnya bakal menjerat leher UMNO yang semakin alergik dari kaca mata rakyat terbanyak di negeri Datuk Maharaja Lela ini.

Ingatlah, majoriti rakyat di negeri 'Tok Sagor' ini sudah pun membuat keputusan menolak UMNO/BN semasa diadakan PRU12 yang lalu, sehingga saya tak percaya benarkah negeri kelahiran saya (Perak) sudah jatuh ke tangan pembangkang pada masa itu?

Bukan itu sahaja, saya juga menjadi kalimayo setelah UMNO mendabik dada berkuasa semula di negeri ini, tetapi tidak mampu hendak menyekat penolakan rakyat terbanyak terhadap UMNO/BN dalam pilihan aya kecil di Parlimen Bukit Gantang tempoh hari. Apa jua hujah yang dialaskan oleh Zambry tentang kekalahan partinya di Bukit Gantang, jelas menampakkan tanda aras majoriti rakyat negeri Perak telah menolak kepimpinannya.

Melihatkan keadaan tegang yang berlaku di DUN Perak semalam, saya menjadi semakin tidak percaya benarkah UMNO sudah menjadi desperado sehingga sanggup mengenepikan keluhuran undang-undang yang dijunjung demi untuk merampas kuasa untuk menjadi 'penguasa' yang dibenci rakyat?




Aduuh...kenapa cara ini yang dilakukan..???

Tahukah betapa tindakan yang tidak bersopan ini bukanlah satu teladan yang baik yang boleh mengembalikan kepercayaan rakyat kepada UMNO/BN, sebaliknya tindakan mengusung speaker Sivakumar keluar dari dewan bakal mengundang kebencian rakyat yang akan menghukum kita (UMNO) dalam PRU13 nanti?

UMNO berjenama 786 di Perak ini berada dalam tanda aras bahaya sekarang ini. Kuasa yang dirampas tidak sekuat mana pun, bila-bila masa kuasa kudeta ini akan diruntuhkan akibat tindakan yang tidak strategik yang dilakukan oleh pemguasa-penguasa yang rakus ini. Dr. Mahathir sendiri konsisten dengan pendapatnya betapa UMNO tidak cermat dan terlalu gopoh untuk mengembalikan kuasa di negeri yang telah menolak UMNO/BN ini.

Golongan muda yang kini bakal mendominasi peti-peti undi sedang asyik memerhati gelagat UMNO ini, dan tentunya mereka semakin pelik untuk mempercayai kewajaran 'parti tertua' ini bertindak ala membabi buta yang bakal menjahanamkan diri.

Inilah kereta lama yang semakin disisihkan

Saya terasa malu kerana ketegangan politik di negeri Perak ini telah tercetus akibat kegelojohan pencatur dan pelaga UMNO negeri ini, termasuk penyibuk yang senama dengan saya (ABDUL RAHMAN HASHIM - SUK) yang dilihat tidak cermat mengendalikan isu sehingga kita ditertawakan, kerana hanya Perak sahaja yang mempunyai dua MB, dua speaker dan dua set barisan exco negerinya. Inilah akibatnya orang yang gila talak sedang memegang kuasa yang bakal dihina oleh rakyatnya sendiri....

Monday, May 4, 2009

PAS SEMAKIN ANGKUH TIDAK HARGAI LAGI PAKATAN RAKYAT, UMNO MESTI AMBIL PELUANG INI UNTUK MENANG DI DUN PENANTI...

Nampaknya gagasan Pakatan Rakyat yang dipelopori oleh PKR, PAS dan DAP juga tidak mampu untuk menjadi alternatif kepada parti gabungan Barisan Nasional yang dianggap sudah usang itu.

Keampuhan PKR, PAS dan DAP yang berjaya mengurangkan majoriti 2/3 dominasi Barisan Nasional di Dewan Rakyat di dalam PRU12 yang lalu mungkin menjadi rapuh dan kian menampakkan tanda-tanda kepincangannya.

Harapan untuk mengambil alih pemerintahan negara yang menjadi matlamat Pakatan Rakyat mungkin tidak kesampaian dan bakal ditolak oleh rakyat setelah mereka sendiri menampakkan indikasi pertelagahan yang tidak melambangkan kesepakatan sesama mereka.

PAS secara terbuka telah memperlihatkan wujudnya 'dalang-dalang' tertentu yang berhasrat untuk memecah belahkan uniti yang sudah dijalin erat selama ini dengan membuat cabaran demi cabaran untuk mengugut PKR dalam menghadapi pilihan raya kecil DUN Penanti di Pulau Pinang yang bakal berlangsung pada 31 Mei nanti. Ekoran daripada pertelagahan yang disengajakan itu, juga memperlihatkan ada pihak di dalam parti itu yang bersikap membaling batu menyembunyikan tangannya.

Gelagat seumpama ini menyerlahkan lagi keangkuhan PAS seolah-olah parti ini tidak perlu lagi kepada sebuah gabungan yang kuat untuk mengunyah Barisan Nasional yang menjadi musuh tradisi mereka selama ini.

Mereka ini lebih yakin kononnya tanpa 'Anwar' PAS mampu secara bersendirian untuk bertempur dengan BN yang semakin mendapat suntikan kuat akibat daripada perpecahan yang telah mereka cetuskan sekarang ini.

Mungkinkah golongan ini nanti tergamak pula untuk mengambil sikap memberikan sokongan kepada calon UMNO semata-mata alergiknya mereka kepada PKR? Jika itulah pendirian PAS, saya rasa elok sangatlah UMNO segera membuat keputusan untuk bertanding menentang Pakatan Rakyat yang kian retak menanti belah itu, kerana PAS kali ini nampaknya lebih yakin untuk mengalahkan sekutu mereka sendiri.

Tindakan cabul mereka ini bakal mengundang kepada keruntuhan Pakatan Rakyat, dan jika ini terjadi lanskap politik negara juga akan menyaksikan episod-episod siapa cerdik dan siapa dungu yang akhirnya rakyat tertipu. Inilah dia politik ala Malaysia. Ingatlah, dalam teori politik tidak ada musuh yang kekal dan tidak ada juga kawan yang kekal. Hari ini mereka bercakaran, esok mereka boleh berpeluk arab.

Inilah masa yang terbaik untuk mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada UMNO/BN kerana parti-parti yang sedang memerintah Pulau Pinang ini telah terjebak dengan percakaran sesama sendiri yang tidak menguntungkan lagi rakyat Pulau Pinang.

Jika percubaan PAS kali ini menghasilkan kejayaannya, saya syorkan lebih baik selepas ini mereka 'cium mulut' semula dengan UMNO. Mungkin cium mulut dengan UMNO lebih manis daripada berkulum lidah dengan PKR yang sedang mereka ludah sekarang ini.



Thursday, April 30, 2009

SYED SOBRI TAK JADI LETAK JAWATAN ADUN KUALA NERANG?

Datuk Syed Sobri Syed Hashim, Ahli Dewan Undangan Negeri N.07 Kuala Nerang (Foto) akhirnya menafikan yang beliau akan meletakkan jawatannya itu. Di dalam satu kenyataannya yang telah dipetik oleh beberapa akhbar kelmarin, Syed Sobri telah membuat penafian tentang desas desus kononnya beliau telah menghantar surat perletakan jawatan sebagai ADUN Kuala Nerang kepada Dato' Sri Najib Tun Razak.

Sebelum ini tersebar luas berita mengenai hasratnya untuk meletakkan jawatan tersebut setelah beliau dikatakan begitu tertekan dengan masalah kewangan yang dihadapinya. Ekoran masalah itu difahamkan Syed Sobri telah mengutus sepucuk surat bertarikh 23 April 2009 kepada Perdana Menteri dengan menyatakan alasan-alasan bernada kecewa yang membabitkan masalah kehimpitan kewangan yang dihadapinya selama ini.

Beliau juga dikatakan telah mendapatkan pandangan dan nasihat daripada keluarga terdekatnya termasuk di kalangan rakan-rakan yang mendorong beliau untuk meneruskan niatnya meletakkan jawatan sebagai ADUN Kuala Nerang yang telah dimenanginya dalam PRU12 yang lalu.

Kedudukannya sebagai Wakil Rakyat yang tidak menjadi Ketua UMNO Bahagian di Padang terap juga dilihat sebagai faktor yang menghalangnya untuk memperolehi peruntukan (grant) yang setimpal untuk membolehkan beliau menumpukan khidmat sebagai ADUN di Kuala Nerang.

Kekurangan 'political fund' juga dinyatakan sebagai alasan kecewanya yang mendorong untuk beliau meletakkan jawatan. Difahamkan tindakan Syed Sobri ini tidak disenangi oleh pucuk pimpinan parti dan usaha memujuknya supaya dapat menarik balik hasrat perletakan tersebut sedang dilakukan bagi mengelakkan pilihan raya kecil diadakan.

Di saat ini UMNO/BN seboleh-bolehnya mahu mengelakkan diri daripada terjebak dengan fenomena pilihan raya kecil yang dilihat lebih memihak kepada Pakatan Rakyat untuk memenanginya. Perletakan jawatan DUN Penanti di Pulau Pinang yang mengundang satu pilihan raya kecil diadakan di DUN berkenaan pada 31 Mei ini telah mendorong Dato' Sri Najib membuat kenyataan awalnya untuk memikirkan kewajaran UMNO menyertai pilihan raya kecil tersebut.

Hasrat Perdana Menteri itu telah mendorong pula Tun Dr. Mahathir Mohamad membuat ulasan pedasnya yang jelas memperlihatkan betapa tidak bersetujunya beliau dengan pendirian yang dibuat oleh Najib. Pendirian Najib itu dilihat sebagai pengecut dan menyerah diri sebelum bertempur.

Jika Najib merasakan tidak perlu menyertai pilihan raya kecil di DUN Penanti, apakah jika berlaku juga kekosongan di DUN Kuala Nerang nanti, UMNO turut memulaukannya? Kerisauan untuk menerima kekalahan di DUN Penanti tidak sama dengan kegelisahannya di DUN Kuala Nerang yang diwakili oleh UMNO.

Sepatutnya UMNO tidak perlu memperlihatkan kegusarannya itu, sebaliknya UMNO harus diperkasakan dengan slogan Iban AGI IDUP AGI NGELABAN (Selagi hidup kita pasti melawan). BIARKU PARAI ENGGAI KU PULAI (Biarpun diri terkorban, Takkan aku pualng).

LAILA TAIB WANITA PERTAMA SARAWAK KEMBALI KE RAHMATULLAH...AL-FATIHAH!

Wanita pertama negeri Sarawak, Datuk Amar Puan Sri Dr. Laila Taib telah kembali ke rahmatullah kira-kira jam 3.45 petang pada hari Rabu, 29 April 2009. Isteri tercinta Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak ini telah menghembuskan nafas terakhirnya di kediaman resminya di Demak Jaya Kuching, Sarawak.

(Foto: Almarhumah Laila Taib (Kanan) bersama anaknya Datuk Seri Sulaiman (Tengah) dan suaminya Pehin Sri Abdul Taib Mahmud (Kiri).

Almarhumah Laila Taib, 68 juga telah meninggalkan 4 orang anak kesayangannya Jamilah, Mahmud, Sulaiman Abdul Rahman dan Hanifah; termasuk 15 orang cucu.

Ibu kepada Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abd. Taib ini telah dipertemukan jodohnya bersama Abdul Taib Mahmud pada 13 Januari 1959, di Adelaide, Australia. Pada masa itu Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sedang mengikuti pengajian undang-undang di negara tersebut. Nama remaja Laila Taib pada masa itu ialah Lejla Chalecki.

Saya mengucapkan takziah kepada YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud sekeluarga di atas pemergian Almarhumah isteri kesayangannya itu. Seluruh warga Bumi Kenyalang telah merasakan kehilangan wanita pertama negeri Sarawak ini. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya....Al-Fatihah!

Monday, April 20, 2009

KERAJAAN YANG BERJIWA RAKYAT KENAPA TAKUT BERHADAPAN DENGAN RAKYAT?

Seingat saya, UMNO/BN atau sebelum ini PERIKATAN belum pernah mencacatkan sejarah politiknya dengan menyerah kalah atau 'defeasit' kepada pembangkang sebelum bertempur! Kenyataan Perdana Menteri 'Satu Malaysia' yang memandang serong kepada perletakan jawatan ADUN Penanti yang menyebabkan pilihan raya kecil terpaksa diadakan di kawasan berkenaan, samalah juga pengertiannya bahawa UMNO/BN takut berhadapan dengan realiti politik ini, sehingga Tun Dr. Mahathir sendiri tersentak dengan pendirian yang dibuat oleh Dato' Sri Najib itu.

Mantan Perdana Menteri yang masuk semula UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Barisan Nasional (BN) tidak sepatutnya mengaku kalah, sebaliknya perlu meletakkan calon bertanding jika pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Pulau Pinang diadakan.

“Saya fikir kalau kawasan itu kawasan UMNO, kita tentu bertanding, pasal kita ingat ini kawasan parti lawan, maka kita tak nak bertanding.

“Jadi kalau kita nak tunggu kawasan UMNO, nanti tidak ada kawasan UMNO, kita tak bertandinglah,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada forum Arah Tuju Melayu Muda anjuran Pemuda UMNO Raub yang diadakan di Raub kelmarin (Ahad).

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam bahawa BN akan meneliti sama ada mahu menyertai pilihan raya kecil DUN Penanti atau sebaliknya.

Amat jelas sekali tindakan atau pandangan yang dilemparkan oleh Perdana Menteri itu telah menimbulkan pelbagai reaksi yang menggambarkan seolah-olah UMNO tidak yakin lagi dengan sokongan rakyat akar umbi.

Kenapa harus kita mengandaikan dengan mempersoalkan kekosongan kerusi DUN Penanti itu sebagai satu permainan politik parti pembangkang yang telah dapat dikesan, sedangkan perlembagaan jelas menyatakan sekiranya berlaku kekosongan atas apa jua sebab sekali pun hendaklah suatu pilihan raya kecil diadakan di kawasan yang berkenaan.

Jadi, mengapa Najib perlu berkata bahawa pilihan raya kecil itu bukannya sebab peruntukan perlembagaan, kononnya kalau disebabkan perlembagaan baru kita menghormatinya. Apakah kenyataan itu akan mendorong pula tindakan SPR untuk mempersoalkan sekali lagi niat sebenar ADUN bekenaan yang telah meletakkan jawatannya, maka tidak perlu diadakan pilihan raya kecil di kawasan itu?

Jika SPR terheret sekali lagi dengan 'sindrom ketakutan' ini, maka rakyat semakin tidak yakin lagi dengan kewibawaan kerajaan yang didakwa sebagai 'kerajaan berhelah' yang telah menyimpang dari hasrat slogan ciptaan Perdana Menteri yang baru ini - 'Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan'.

Saya merasakan kebimbangan yang amat sangat apabila kenyataan Perdana Menteri itu akan dilihat sebagai pengecut sedangkan ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi tidak diajar sebagai pengecut! Tidak ada sebabnya UMNO/BN harus memberikan kemenangan percuma kepada PKR, semata-mata kita dilihat tidak mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi kerusi DUN Penanti.

Apakah UMNO patut terdorong dengan kenyataan yang memalukan ini sehingga menyerlahkan lagi ketakutan kita untuk berhadapan dengan rakyat? Kalau kita berani mengungkapkan slogan 'RAKYAT PATUT DIDAHULUKAN' maka inilah gelanggang yang terbaik untuk kita membuktikan betapa UMNO dan juga kerajaan persekutuan yang sedang dipimpin ini benar-benar berhati rakyat.

Apa jua keputusan yang bakal dibuat oleh rakyat hendaklah dihormati. Rakyat tidak boleh dianggap terlalu dungu sehingga boleh terbuai dengan mainan slogan yang menggunakan sentimen rakyat, seolah-olah rakyat Malaysia bukan dianggap sebagai 'rakyat' jika tidak menyokong UMNO/BN. Sentimen dan prasangka buruk ini hendaklah dijauhi oleh kumpulan arkitek yang mencanangkan slogan "SATU MALAYSIA - RAKYAT DIDAHULUKAN DAN PENCAPAIAN DIUTAMAKAN".

Kita mungkin boleh menghormati dengan kenyataan Najib menyatakan bahawa dirinya merupakan Perdana Menteri kepada semua rakyat di negara ini. Tetapi kita juga harus menasihatinya supaya tidak meminggirkan mana-mana rakyat yang tidak bersetuju dengan UMNO/BN.

Jika PM bersikap menyebelahi rakyat yang berpihak kepada partinya sahaja, maka matlamat 'SATU MALAYSIA' tidak mungkin tercapai, sebaliknya hanya satu slogan yang retorik sahaja. Dato' Sri Najib juga akan dilihat sebagai Perdana Menteri kepada orang-orang UMNO yang berjumlah 3 juta orang sahaja.

Oleh yang demikian sindrom benci kepada rakyat yang tidak memihak kepada UMNO/BN akhirnya akan membuatkan Perdana Menteri tidak disukai lagi oleh rakyat. Rakyat yang hendak didahulukan adalah rakyat Malaysia keseluruhannya, bukannya rakyat terpilih sahaja. Rakyat yang menjadi ahli dan menyokong mana-mana parti seperti PKR, PAS, DAP, UMNO, MCA, MIC, GERAKAN, PPP, PRS, PBS, SUPP, PBB kesemuanya mengiktiraf Dato' Sri Najib adalah Perdana Menteri mereka, cuma Dato' Sri Najib sahaja yang perlu mencari jalan untuk merakyatkan kepimpinannya.

Ingatlah, kalau BN menarik diri juga akhirnya yang menang ialah PKR, dan yang kalah ialah rakyat yang sedang menyokong UMNO/BN. Sikap menyerah kalah akan menyebabkan lebih ramai pengundi hilang keyakinan kepada Barisan Nasional.