assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Monday, September 15, 2008

911 Mala Petaka Kepada USA, 916 Kesatuan Rakyat Malaysia...

911 - Mala Petaka Kepada USA

916 - Putrajaya Menjadi Idaman?
911 (September, 11) merupakan angka mala petaka kepada Amerika Syarikat, kerana pada tarikh itu (11 September, 2001) rebahnya 'Twin Towers World Trade Centre' yang terletak di Kota Raya New York, AS. Lebih 2,974 nyawa menjadi mangsa korban, dan ribuan lagi mengalami kecederaan akibat serangan pengganas yang membawa dua pesawat yang merempuh bangunan yang menjadi kebanggaan AS itu.

Osama Ben Laden dikaitkan sebagai kepala pengganas Islam dari 'Kumpulan Al-Qaeda' yang merancang serangan yang memalukan negara Amerika Syarikat itu, sehingga membawa kepada serangan balas AS terhadap Afghanistan yang dikatakan memberi perlindungan kepada Osama Laden.

Pembentukan Malaysia

Manakala, 916 (September, 16) merupakan angka yang menjadi tarikh igauan seluruh rakyat negara ini, kerana sinonimnya tarikh itu sebagai nostalgia memperingati semula sejarah 'Pembentukan Malaysia' 45 tahun yang lalu. Pada 16 September, 1963, Negeri Sarawak, Sabah dan juga Singapura telah diisytiharkan keluar dari kepompong penjajah orang putih untuk menyertai pakatan membentuk sebuah negara baru yang dinamakan MALAYSIA bersama-sama dengan 11 negeri yang lain di Tanah Semenanjung yang sebelum ini disebut sebagai MALAYA.
Seluruh rakyat Malaysia hari ini patut berbangga kerana sejarah pembentukan Malaysia itu telah menjadi suatu gagasan yang memperkasakan 'Bangsa Malaysia' menjadi tuan tanah kedawung di bumi tanah tumpah darah sendiri.

Serumpun Warga

Malaysia terbentuk hasil penyatuan semua bangsa yang terdapat di negara ini. Melayu, China, India, Iban, Kadazan menjadi serumpun warga yang senada mengalunkan 'Lagu Negaraku' dan masing-masing juga beraku janji untuk menerima Islam sebagai agama resmi negara, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan disamping menghormati dan membenarkan anutan beragama dan menutur bahasa-bahasa ibunda yang lain di kalangan rakyat di negara ini.

Janji Sewarga

Jalur Gemilang merupakan panji negara yang juga menjadi panji kebangaan rakyat. Apakah kita sanggup untuk merelaikan 'Janji Sewarga' kerana terperangkap dengan sentimen perkauman sempit yang dicanangkan segelintir 'racist' yang menjarakkan hubungan yang cukup harmoni selama ini?

Biarkanlah perjuangan membela nasib bangsa masing-masing itu dijadikan suatu pendekatan untuk membina kekuatan jati diri rakyat Malaysia, dan bukannya memerangkap dan menjerat diantara bangsa-bangsa yang sewarga ini. Percikan api perkauman amat membahayakan diri, dan negara juga akan terpalit, jika tiupan baranya tidak dikawal dengan baik.

Selenggang Sehayun

Sikap hipocracy politikus yang menjulang kepimpinan politik dalam negara ini, hendaklah juga memahami bahawa negara Malaysia adalah negara yang terdiri daripada berbagai bangsa dan suku kaum serta menganuti berbagai agama dan juga budaya. Orang politiklah yang selalu meniupkan sentimen perkauman sehingga mereka lupa negara ini tertegak dengan pakatan untuk sewarga, selenggang dan juga sehayun. Demikianlah nostalgiknya 16 September (916) kepada rakyat Malaysia. Kita mendoakan negara ini akan terus dirahmati dan terus diperkasakan oleh tangan-tangan penguasa politik yang lebih bertanggungujawab.

Gelombang Anwarisme

Gelombang Anwarisme yang dikatakan bakal menjadi radar untuk mengubah haluan politik negara ini juga berhajat untuk mengambil berkat angka 916. Sejak akhir-akhir ini rakyat Malaysia begitu ternanti-nanti apakah yang bakal berlaku menjelangnya 16 September nanti. Anwar Ibrahim yang kini mengepalai saf pembangkang di Dewan Rakyat dikatakan begitu teruja untuk menghampiri Putrajaya.

Kekuatan gelombangnya menyaksikan bahtera UMNO berada dalam keadaan terumbang ambing dan bakal menjadi karam. Tekongnya semakin histeria akibat mentera anak-anak kapal yang semakin hilang kepercayaan terhadapnya. Walaupun tiupan angin kencang menjadi semakin ribut, namun tekong UMNO tidak sedikit pun merasakan kapal yang dikemudinya semakin karam.



Tekong yang bernama Pak Lah ini dilihat tidak sebijak Chedet. Beliau dilihat bukan saja bakal menerima tekanan kuat dari dalam kapalnya, malah suatu arus anjakan paradigma Anwarisme juga bakal memberikan hentakan kuat untuk menenggelamkan UMNO dari persada kerajaan. Apakah cita-cita Anwar untuk meranapkan dominasi UMNO memerintah negara ini akan menjadi kenyataan? Sama-samalah kita lihat perkembangan 916 ini. BN dan UMNO dikatakan semakin hampir untuk dipusarakan?

On Track

Ketua Umum KeAdilan itu menegaskan rancangan mengambil alih Kerajaan Persekutuan daripada pemerintahan Barisan Nasional pada 16 September ini berjalan seperti yang dirancangkan - On Track!

"Ya, ia tetap mengikut jadual" kata Anwar selepas beliau mempengerusikan mesyuarat pimpinan tertingginya di Ibu pejabat KeAdilan di Petaling Jaya 8 September lepas.

Pelan Peralihan Kuasa

Di dalam UMNO pula Pak Lah terus ditekan. Muhyiddin Yasin secara terbuka telah meminta Pak Lah mengkaji semula pelan peralihan kuasa supaya disegerakan. Beliau mahukan Najib diberikan masa yang mencukupi untuk menghadapi pilihan raya Ke-13 nanti. Manakala Tun Dr Mahathir akan dibawa masuk semula ke dalam UMNO. Najib pula meminta supaya ahli-ahli UMNO sendiri yang menentukan tempoh peralihan kuasa, bukannya individu tertentu, termasuk Pak Lah.
Menguncup

Penahanan ISA beberapa orang tokoh pembangkang dilihat semakin menguncupkan lagi kekuasaan UMNO yang berbaki ini. Syed Hamid Albar terus berdongeng sandiwara menyatakan penahanan itu dibuat bukan arahan kerajaan, tetapi bidang kuasa pihak polis. Seolah-olah badan kepolisan negara ini tidak terkait langsung dengan kuasa Kementerian Dalam Negeri yang diketuainya.

Pandangan Menyongsang

Zaid Ibrahim seorang lagi Menteri yang menjaga hal ehwal undang-undang telah melontarkan pandangan menyongsang dengan menyatakan beliau bersedia untuk meletakkan jawatannya kerana tidak berpuas hati dengan langkah kerajaan menggunakan Akta ISA untuk menahan individu yang terbabit.

Beliau berkata Akta ini digunakan ketika negara diancam pengganas komunis. Seterusnya beliau berkata, banyak klausa lain di dalam undang-undang negara untuk menahan mereka yang berkenaan, tetapi bukannya dengan ISA.

TERKINI - Diberitakan, Khairy Jamaludin (KJ) yang menjadi beban kepada UMNO hari ini telah menyelar tindakan Muhyiddin Yassin yang menyinggung bapa mertuanya. Kemelut di dalam UMNO semakin diperhatikan oleh rakyat. Tekanan dari dalam dan juga dari luar yang menghimpit UMNO ini, masih lagi tidak dirasai oleh Pak Lah. Beliau berkata, kekuatan masih berpihak kepadanya?

Saturday, September 13, 2008

Sikap 'double Standard' UMNO Bahagian semakin mencelarukan...

Memang berlaku 'double standard' yang cukup memualkan dan menjijikkan setelah UMNO Bahagian Setiawangsa mengiktiraf persidangan HARAM tanpa kehadiran Ketua dan Ahli Jawatankuasa Cawangan malah tanpa bernotis daripada jawatankuasa cawangan berkenaan.
cukup rencah
Insiden ini berlaku kepada UMNO Cawangan Rumah Pangsa Setapak Jaya 1A dimana persidangan asalnya pada 10 Ogos lalu yang cukup rencah dengan notisnya, juga sarat dengan kehadiran ahli yang melebihi korum, dan telah berlaku juga proses pertandingan merebut jawatan Ketua Cawangan yang cukup sengit yang telah disahkan oleh wakil jawatankuasa UMNO Bahagian, tiba-tiba diarahkan supaya bersidang semula semata-mata adanya bantahan daripada ahli yang tewas bertanding.

Persidangan 10 Ogos adalah sah
Walaupun Jawatankuasa Pengurusan MT UMNO telah membuat arahan melalui UMNO Bahagian supaya cawangan ini bersidang semula pada 13 September, namun cawangan Rumah Pangsa Setapak Jaya 1A telah mengemukakan rayuannya kepada Setiausaha Agung UMNO supaya persidangan semula itu tidak diadakan, kerana Ketua Cawangannya berpendapat bahawa persidangan yang diadakan pada 10 Ogos lalu adalah sah dan memenuhi kehendak peraturan persidangan dan juga perlembagaan UMNO.
pencabulan terancang
Tetapi malangnya telah berlaku juga pencabulan terancang yang dikatakan direstui oleh UMNO Bahagian, setelah mereka meneruskan juga persidangan kali kedua itu tanpa sebarang notis yang dikeluarkan oleh pemegang tampuk UMNO Cawangan Rumah Pangsa Setapak Jaya 1A, dan ianya juga tidak dihadiri oleh barisan kepimpinan jawatankuasa cawangan berkenaan. Walaupun sebilangan ahli telah hadir untuk diadakan persidangan itu, tetapi kehadiran mereka itu tanpa diundang kerana notis tidak dikeluarkan untuk tujuan tersebut. Persoalannya, kenapakah pihak UMNO Bahagian sendiri yang mengendalikan persidangan haram itu, sedangkan mereka tahu UMNO Cawangan telah mengemukakan rayuan dan bantahan untuk tidak mengadakan persidangan tersebut?
persidangan tanpa notis
Apakah persidangan tanpa notis, tanpa pembentangan laporan tahunan oleh jawatankuasa cawangan boleh diterima pakai oleh UMNO Bahagian? Jika demikian, kenapa pula persidangan Cawangan KLSC yang diadakan pada 16 Ogos lalu tanpa kehadiran Pemangku Ketua Cawangannya yang mempertikaikan status notis yang dikeluarkan itu sebagai TIDAK SAH, lalu diarahkan supaya bersidang semula?
perlakuan sumbang
Inilah dia perlakuan sumbang yang berlaku di dalam sistem pentadbiran UMNO Bahagian Setiawangsa yang jelas memperlihatkan sikap 'double standard' yang memalukan sehingga menaikkan api kemarahan UMNO Cawangan yang terbabit. Suasana menjadi lebih sulit lagi kerana terdapat dua pihak mendakwa diri mereka berhak untuk menerajui cawangan ini. Satu pihak telah menunaikan tanggungjawabnya secara sah, sedangkan terdapat satu pihak lagi yang mendakwa persidangan haram mereka itu telah disahkan oleh UMNO Bahagian.
Demikianlah celarunya UMNO di akhir zaman ini.

UMNO KLSC - Bersidang semula tapi tidak cukup korum.



UMNO Cawangan KLSC di Bahagian Setiawangsa yang diarah supaya bersidang semula oleh Jawatankuasa Pengurusan Majlis Tertinggi pada hari ini (13 September) telah ditangguh lagi kerana menghadapi masalah tidak mencukupi korum. Persidangan semula yang diadakan di Pejabat UMNO Bahagian Setiawangsa (Lihat Gambar Pejabat) pada hari ini hanya dihadiri oleh seramai 27 ahli sahaja, sedangkan korum yang diperlukan ialah seramai 53 orang. UMNO Cawangan KLSC yang diketuai Pemangkunya Dr. Zainul Fithri mempunyai keahlian seramai 212 orang ahli.

Jawatankuasa Pengurusan Majis Tertinggi telah mengarahkan supaya UMNO Cawangan ini bersidang semula setelah menerima bantahan yang dibuat oleh Profesor Dr. Zainul Fithri yang menyatakan persidangan yang diadakan pada 16 Ogos lalu sebagai tidak sah, kerana beliau mendakwa notis persidangan yang dikeluarkan itu bukannya arahan beliau. 

Di dalam persidangan yang diadakan pada 16 Ogos itu, Norsiah Kamaruddin yang juga Ketua Wanita Cawangan telah dipilih sebagai Ketua UMNO Cawangan oleh ahli-ahli yang hadir. Manakala wakil UMNO Bahagian, Muner Nasution dan Mohd. Rawi Hashim yang bertugas pada hari berkenaan telah membacakan watikah pengesahan persidangan tersebut, tanpa menyebut masalah teknikal yang tidak mewajarkan persidangan itu diadakan. 

Inilah 'trendy' yang berlaku dimana wakil jawatankuasa UMNO Bahagian yang bertugas di sesuatu persidangan cawangan sepatutnya memantau agar tidak berlakunya perlanggaran dari aspek aturan peraturan persidangan dan juga perlembagaan parti. Jika wujud keraguan yang memungkinkan ketidak sahihan persidangan berkenaan, sepatutnya menjadi tanggungjawab wakil UMNO Bahagian yang bertugas untuk memberikan pandangan dan juga nasihat serta teguran membina supaya ianya dituruti oleh UMNO Cawangan tersebut.

Agak melucukan, persidangan Cawangan KLSC yang diadakan di pejabat UMNO Bahagian pada 16 Ogos lalu telah DISAHKAN oleh wakil jawatankuasa UMNO Bahagian yang berkenaan, dan difahamkan Setiausaha UMNO Bahagian juga turut berada di pejabat UMNO Bahagian pada hari tersebut, tetapi tidak 'peka' untuk menasihati Norsiah supaya tidak meneruskan persidangan yang meragukan itu.

Agak memalukan juga, kerana persidangan yang diadakan semula ini telah menumpulkan semangat sebahagian daripada ahli yang hadir, dan mereka juga kesal dengan keadaan yang berlaku ini, ditambah pula dengan situasi sekarang ini yang menyaksikan percakaran peringkat tertinggi UMNO yang semakin meruncing.

Difahamkan wujudnya persefahaman yang bakal memulihkan semula UMNO KLSC. Dr. Zainul Fithri dikatakan akan berbuat sesuatu secara positif dengan mengemukakan rayuannya agar persidangan yang diadakan pada 16 Ogos itu sebagai boleh diterima pakai. Jika benar ini berlaku, tentunya kita angkat topi kepada Dr. Zainul Fithri yang telah sanggup mengenepikan kepentingan dirinya sendiri semata-mata untuk melihat UMNO Cawangan yang pernah dipimpinnya itu tidak dilanda masalah. Syabas Dr. Fithri!


Saturday, September 6, 2008

UMNO dalam kemelut disuruh bersidang semula??

Adakah patut dalam suasana UMNO sedang dilanda kemelut dan menghadapi krisis kepercayaan akar umbi, tiba-tiba berlaku pencabulan untuk menyulitkan lagi urusan persidangan yang sudah selesai, sehingga terpaksa diarah bersidang semula, semata-mata terdorong untuk melayani aduan yang tidak berasas yang dibuat oleh kelompok tertentu yang tertewas semasa didakan pertanding merebut jawatan Ketua Cawangan.

Awaludin Zaharin yang menentang Ramli Jaafar (Gambar) sebagai Ketua Cawangan telah mengemukakan aduan dan bantahannya menerusi sepucuk suratnya bertarikh 13 Ogos 2008 yang dialamatkan kepada Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Setiausaha Agung UMNO.
Menghalang Ramli Jaafar

Di dalam aduannya itu, Awaludin juga telah meminta persidangan cawangan ini diadakan semula di pejabat UMNO Bahagian Setiawangsa dan undian hendaklah dijalankan secara sulit, manakala beliau dengan angkuhnya meminta Setiausaha Agung UMNO supaya menghalang Ramli Jaafar (Ketua Cawangan) dan Syed Abu Bakar Syed Ab. Rahman yang telah mempengerusikan persidangan lalu daripada menyertai persidangan yang hendak diadakan semula itu.

UMNO Cawangan Rumah Pangsa Setapak Jaya 1A merupakan salah satu cawangan di dalam Bahagian Setiawangsa yang diarahkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Majlis Tertinggi UMNO supaya mengadakan persidangannya semula yang akan dipantau sepenuhnya oleh UMNO Bahagian. Selain cawangan tersebut, UMNO Cawangan KLSC dan UMNO Cawangan Jalan Pahang juga turut diarah bersidang semula.

Ramli Jaafar semasa ditemui telah mengesahkan bahawa beliau telah menerima surat daripada Setiausaha UMNO Bahagian Setiawangsa yang memaklumkan arahan yang dibuat oleh Ibu Pejabat UMNO itu, dan UMNO Bahagian pula telah menetapkan 13 September yang akan datang ini sebagai tarikh untuk diadakan semula persidangan berkenaan.

Namun begitu, Ramli Jaafar enggan membuat ulasan samada beliau akan mengadakannya semula sebagaimana yang diarahkan. Sebagai Ketua Cawangan yang telah mendapat mandat semula oleh ahli-ahli di dalam persidangan yang diadakan pada 10 Ogos lalu, Ramli menyatakan rasa kesalnya di atas keputusan yang dibuat oleh Ibu Pejabat UMNO itu, kerana proses undian telah berjalan lancar dimana semua pihak telah menerima keputusan undian tersebut. Beliau percaya, seandainya keputusan memihak kepada Awaludin sudah tentu perkara yang diragukan itu tidak berbangkit.
Sudah kalah baru nak protes

Ramli Jaafar juga mempersoalkan kenapa perkara yang dibangkitkan itu tidak dikemukakan semasa diadakan persidangan itu? Oleh kerana perkara sedemikian tidak dibangkitkan sebelum diadakan pengundian, maka isu kesahihan persidangan ini sepatutnya tidak berbangkit lagi. Kenapakah rumah sudah siap pahat masih berbunyi? Mengapakah sudah kalah baru nak protes?

Persidangan tersebut yang juga disahkan oleh dua orang wakil Bahagian iaitu Sakandar Khan dan Azhar Kassim juga mencukupi korum dengan kehadiran 119 ahli daripada 355 ahli yang menjelaskan yurannya pada tahun ini.

Kehadiran tersebut jelas membuktikan betapa proses demokrasi telah berjalan dengan baiknya di hari persidangan tersebut, sekaligus menyaksikan pertandingan merebut jawatan ketua cawangan telah dapat berjalan secara 'gentleman' dan demokratik. Ramli Jaafar telah memenangi jawatan Ketua Cawangan ini dengan perolehan 62 undi, manakala Awaluddin Zaharin yang menentangnya telah memperolehi 54 undi.

UMNO dan BN tertiarap

Ketika saya menulis rencana ini, UMNO yang sudah memerintah 51 tahun dikatakan sedang diperhatikan oleh seluruh dunia akibat kemelut yang dihadapinya. Pilihan raya umum ke-12 yang lepas telah menyaksikan ramai calon-calon BN termasuk calon UMNO tertiarap, sehingga UMNO tidak mampu lagi bertahan di lima buah negeri termasuk juga di Wilayah Persekutuan, manakala di peringkat persekutuan pula BN kehilangan majoriti 2/3 di Dewan Rakyat.

Tun Dr. Mahathir Mohamad pemimpin agung UMNO yang lepas pula telah meminta Pak Lah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Keengganan Pak Lah untuk melepaskan jawatannya, telah mendorong Dr. Mahathir keluar daripada UMNO dan hanya akan kembali ke dalam UMNO jika Pak Lah tidak lagi menerajui UMNO dan kerajaan.

Mukhriz anak Tun Mahathir tidak ikut jejak langkah ayahnya, tetapi beliau secara konsisten telah menjelajah ke seluruh negara meminta supaya tekanan terus diasak supaya Pak Lah tidak lagi meneruskan egonya untuk memimpin UMNO dan juga kerajaan. Penulis sendiri pernah mengikuti ucapan-ucapan Mukhriz di beberapa tempat dimana beliau telah berhujah untuk menggesa Pak Lah meletakkan jawatannya.

Tengku Razaleigh Hamzah tokoh veteran UMNO dari Gua Musang yang pernah menentang Dr. Mahathir sebagai Presiden UMNO pada tahun 1987, juga sedang kuat mengasak kepimpinan Pak Lah dan telah mempertaruhkan dirinya sekali lagi untuk menjadi calon penyelamat menentang Pak Lah sebagai Presiden UMNO di dalam Perhimpunan Agung kali ini.

Siri lawatan dan pertemuan yang dilakukan oleh Pak Lah dan Najib ke seluruh negara juga kedengaran suara-suara lantang dari akar umbi yang mahukan UMNO melakukan perubahan drastik untuk memulihkan semula keyakinan rakyat yang dikatakan sudah muak dan jelak dengan gelagat pemimpin-pemimpin UMNO hari ini.

Gelombang Anwarisme

Gelombang 'Anwarisme' juga menjadi faktor yang kuat sehingga rakyat melihat karismatiknya lebih menonjol dan menenggelami Pak Lah yang dikatakan 'pemimpin lowbatt' masa kini. Sogokan 'Sumpah Laknat' Saiful Bukhari dan beberapa lafaz sumpah yang dibuat di Permatang Pauh, termasuk 'Sumpah Najib' yang tidak kenal 'Altantuya' juga telah memakan diri. Semacam serba tak kena segala strategi yang dirancang untuk mempengaruhi rakyat yang sudah meluatkan pemimpin UMNO.

Sedarlah, UMNO yang menerajui perjuangan kemerdekaan ini semakin ditolak dan amat dibimbangi akan dipusarakan akibat gelombang tsunami 'Anwarisme' yang dikatakan bakal meragut kekuasaan yang ada di tangan Pak Lah.

KJ beban kepada UMNO

Khairy Jamaludin (KJ) begitu optimis untuk kuburkan karier politik Anwar di Permatang Pauh, rupa-rupanya niat jahat itu kian menjadi faktor kepada kehancuran UMNO. KJ dikatakan menjadi 'beban' kepada UMNO sehingga rakyat marhain pun tahu bahawa KJ bertindak lebih sudu daripada senduk. Malang sungguh nasib UMNO, akibat nila setitik rosak susu sebelanga.

Nampaknya Pak Lah masih leka dengan laporan-laporan yang mengatakan UMNO semakin kuat. Pak Lah dilihat semakin terlena dengan sokongan yang diterimanya, yang hanya membawa rebahnya UMNO. Benarlah kebanyakan orang berkata bahawa Pak Lah masih mendengar maklumat dan nasihat daripada mereka yang telah menjadi beban kepada UMNO. Rintihan dan keluh kesah masyarakat akar umbi telah dimanipulasikan oleh juak-juak yang hanya pandai mengampu bodek untuk kepentingan tertentu sahaja.

Sindrom Minta Maaf

Ingatlah, ketuanan Melayu yang digembar gemburkan oleh UMNO hari ini telah diperlekehkan oleh komponen parti BN sendiri. MCA dan Gerakan kerap menggunakan isu ini untuk mencabar keperkasaan UMNO yang dilihatnya sedang dipimpin oleh pemimpin yang lemah. Mereka tidak berani mengangkat suara semasa zaman Dr. Mahathir, tetapi hari ini UMNO sedang berhadapan dengan sindrom takut dan sindrom meminta maaf apabila hendak bercakap mengenai entiti dan integriti kemelayuan.

Pemuda UMNO semakin lesu tidak bermaya. Ketuanya kini sedang asyik berkempen untuk bertanding Naib Presiden pula. KJ yang dikatakan akan menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pemuda dilihat semakin menjadi beban kepada UMNO. Begitu juga dengan Khir Toyo yang berminat untuk menjadi Ketua Pemuda, juga dikatakan berselaput dengan berbagai isu sehingga Selangor kehilangan kuasa daripada tangannya sendiri.

Musim pemilihan jawatan di dalam UMNO pada tahun ini dilihat bakal meranapkan lagi pendominasian UMNO untuk terus bertakhta. Cacian, cercaan, penghinaan dan segala rupa bentuk gelagat UMNO akan terpercik ke muka sendiri, kerana maruah UMNO dikatakan bakal ditelan zaman. UMNO hanya akan lenyap dengan kelakuan tidak senonoh pemimpin-pemimpinnya yang hanya mementingkan pangkat dan darjat sehingga lupa kapal akan pecah dan akan tenggelam bila-bila masa bersama-sama dengan kemegahannya selama ini.



Monday, September 1, 2008

Ramadhan Al-Mubarak juga Bulan Siyasiah (Politik)


Ketibaan Ramadhan Al-Mubarak pada tahun ini begitu syahdu sekali kedatangannya, kerana di negara kita Ramadhan tiba menjelangnya 1 September 2008, setelah seluruh rakyat Malaysia merayakan Hari Kemerdekaan Negara Yang Ke-51 pada 31 Ogos lepas.

Ramadhan bukan sekadar dihiasi dengan ibadah puasa untuk menahan diri daripada makan dan minum dan apa saja yang membatalkan puasa, malah Ramadhan juga merupakan Bulan Siyasiah yakni bulan politik, kerana di bulan ini jugalah hukum dan peraturan lengkap bagi manusia diperturunkan Allah kepada RasulNya Nabi Muhamad SAW.

Apabila saya memperkatakan bahawa bulan Ramadhan sebagai Bulan Siyasah bukan bermakna ianya mengharuskan UMNO bertelagah sesama sendiri, dan bukan juga membawa makna bulan puasa ini kita harus berlumba-lumba untuk berderma memancing undi dengan melupakan langsung golongan yang selayaknya menerima bantuan kebajikan.

Ramadhan juga sebenarnya membawa maksud 'Bulan Kebajikan' di mana di dalamnya ada zakat fitrah yang menjadi kewajipan untuk dilaksanakan setiap umat Islam. Di bulan yang mulia ini juga umat Islam digalakkan bersedekah sebagai melengkapi amalan ibadah puasa kita di siang hari.

Oleh yang demikian perbanyakkanlah juga amalan bersedakah kepada mereka yang memerlukannya. Kita harus insaf bahawa masih banyak lagi insan-insan yang perlu diberikan bantuan, kerana mereka juga berhak untuk merayakan hari kemenangan yakni Hari Raya Idulfitri setelah 30 hari berpuasa di sepanjang bulan Ramadhan

Para pakar tafsir dan hadis merekodkan, Allah juga menurunkan kitab-kitab dan suhuf iaitu kitab-kitab kecil selain Zabur, Taurat, Injil dan Al Quran kepada para rasul terdahulu pada bulan Ramadhan.

PERISTIWA BADAR


Perang Badar - Badar adalah nama tempat di sebuah lembah yang terletak di antara Madinah dan Mekah. Tentera Islam mengawal lokasi strategik dengan menguasai sumber air yang terdapat di situ.

Perang ini melibatkan tentera Islam seramai 313 anggota berhadapan dengan 1,000 anggota tentera musyrikin Mekah yang lengkap bersenjata. Dalam peperangan ini, tentera Islam memenangi pertempuran dengan 70 tentera musyrikin terbunuh, 70 lagi ditawan manakala bakinya melarikan diri.

Peperangan ini adalah suatu yang luar biasa apabila tentera Islam yang kurang jumlah, lemah daripada sudut kelengkapandan berpuasa dalam bulan Ramadhan memenangi pertempuran Perang Badar. Ini membuktikan puasa bukan penyebab umat Islam bersikap lemah dan malas sebaliknya berusaha demi mencapai keredhaan Allah. Orang yang berjuang demi mencapai kerdhaan Allah pasti mencapai kemenangan yang dijanjikan.

Allah menegaskan dalam Surah Ali ‘Imran ayat 123 hingga 125.

Sesungguhnya Allah menolong kamu dalam Perang badar, sedangkan pada masa itu kamu orang yang lemah. Sebab itu bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mensyukurinya.

ISLAM MEMBUKA KOTA MEKAH

Peristiwa ini berlaku pada 10 Ramadhan tahun ke-6 Hijrah. Peristiwa kemuncak ini berlaku apabila musyrikin Mekah melanggar perjanjian Hudaibiah yang termeterai dengan orang Islam. Antara kandungan perjanjian ini menyebut, setiap suku Arab boleh memilih sama ada menjadi sekutu Muhammad ataupun sekutu Quraisy. Kedua-dua pihak tidak boleh berperang dalam tempoh 10 tahun dan tidak boleh membantu pihak lain berperang. Malangnya, dalam suku-suku Arab yang bersekutu itu, ada golongan yang bertelagah iaitu Bani Bakar dan Khuza’ah. bani Bakar bersekutu dengan Quraisy Mekah manakala Khuza’ah memilih bersekutu dengan Nabi Muhammad. Pada satu malam, Bani Bakar dengan pertolongan Quraisy Mekah menyerang perkampungan suku Khuza’ah di lembah Watir. Apabila berita itu sampai ke pengetahuan Nabi Muhammad, beliau mengerahkan ratusan ribu umat Islam marake Mekah tanpa pengetahuan penduduk musyrikin Mekah. Beliau menolak sebarang rundingan dengan pihak Quraisy sehingga kemaraan umat Islam hanya diketahui apapbila hampir memasuki Kota Mekah. Penduduk musyrikin menjadi jumlah yang kecil tanpa sebarang persiapan hanya bersembunyi di bukit, rumah ibadat dan rumah Abu Sufian.

Akhirnya umat Islam memasuki kota Mekah tanpa sebarang pertumpahan darah. Peristiwa ini menggambarkan pertolongan Allah kepada hamba-hamba yang ikhlas kepadaNya. Allah menyebut dalam Al Quran Surah Al Fath ayat 1: Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata. Sebahagian pakar tafsir Al Quran memberi maksud ‘kemenangan’ sebagai kemenangan membuka Mekah.
Locengwangsa mengucapkan 'Ramadhan Kareem' kepada semua umat Islam negara ini, khususnya kepada warga tempatan di Wangsa Maju dan Setiawangsa. Mudah-mudahan kekuatan dan semangat yang terbentuk di sepanjang Ramadhan ini akan terus memperkukuhkan lagi perjuangan siyasiah kita untuk membela agama, bangsa dan juga negara.



Saturday, August 23, 2008

Berapa lama lagikah UMNO ini...?

Persoalan tentang berapa lama lagi UMNO akan mendominasi pemerintahan di negara ini harus dijawab oleh warga UMNO sendiri yang mendukungnya hari ini. Generasi hari ini hanya mewarisi perjuangan terdahulu, dan UMNO hari ini perlulah dipanjangkan hayatnya supaya terus menjadi wadah perjuangan kepada bangsa Melayu secara berterusan demi untuk mengekalkan kuasanya setelah kita berjaya melepasi belenggu penjajahan sejak 1511 lagi hinggalah kita dimerdekakan pada tahun 1957.

446 tahun bangsa kita dijajah dengan penuh kehinaan. Kedatangan portugis merentasi Selat Melaka pada tahun 1509 bukan hanya untuk berdagang, malah mereka mengetahuinya betapa bangsa Melayu yang menjadi tuan di nusantara ini boleh dibuli dan dibeli, bahkan mereka juga mengetahuinya bahawa kekuatan Empayar Melaka boleh diruntuhkan kerana di kalangan penguasa yang bertakhta pada masa itu sering bertikam sesama sendiri, akibat kelicikan adu domba dan budaya fitnah yang melilit pemikiran pembesar-pembesar negara.

Dato' Onn Jaafar, Pengasas UMNO

Patih Karma Wijaya begitu angkuh mempengaruhi Sultan yang memerintah Melaka supaya singkirkan Hang Tuah dengan pelbagai rencah fitnah yang disajikan kepada baginda Sultan dengan membuat tuduhan palsu sehingga Sultan mempercayainya, lalu Hang Tuah yang bersetia dengan Sultan selama ini dijatuhkan hukuman mati tanpa mendapat keadilan yang saksama.

Si Jebat yang mewarisi pusaka keris Taming Sari daripada Si Tuah, telah diperkenankan oleh Sultan menjalankan tugas-tugas sebagai Laksamana menggantikan Hang Tuah. Hang Tuah yang begitu setia dengan Sultan meminta Hang Jebat supaya bersabar dan mematuhi perintah Sultan yang telah menjatuhkan hukuman mati terhadapnya.

Hang Jebat menyinga kerana Abang Tuahnya difitnah, lalu bertekad akan membalas dendam walaupun terpaksa berhadapan dengan kuasa Sultan. Sultan yang termakan fitnah itu merasakan dirinya tidak selamat lagi, lalu memerintahkan Hang Kasturi, Hang Lekiu dan Hang Lekir supaya segera menghapuskan Hang Jebat. Usaha memaksa mereka berlawan dengan Jebat tidak berhasil, kerana Jebat terlalu handal bermain senjata.

Pembelaan Si Jebat terhadap saudaranya Hang Tuah tidak dapat diterima oleh Tuah yang telah dikembalikan kepada baginda Sultan. Kesetiaan Hang Tuah kepada Raja telah mendorong dirinya untuk menghapuskan Hang Jebat yang membelanya. Akhirnya Tuah dan Jebat bertikam sesama sendiri, sedangkan mereka berdua seperguruan dengan Adi Putra. Hang Tuah dipuji oleh Sultan kerana berjaya membunuh musuh Sultan yang sedang membelanya.

Demikianlah malangnya satira kepahlawanan Melayu yang memaparkan sikap berkawan yang tidak kekal lama malah kelihatan rapuh sehingga sanggup berkorban apa saja walaupun yang di korbankan itu adalah kawan sendiri.

Meludah

Hendaknya UMNO tidak terjadi sedemikian, kerana kuasa yang ada sekarang ini akan menjadi punah sekiranya UMNO tidak dapat diperkasakan lagi. Percakaran sesama sendiri hanya untuk merebut jawatan, dilihat tidak membawa keuntungan kepada parti, sebaliknya parti bakal menjadi retak sehingga menjadi rebah di bumi sendiri. Perlembagaan UMNO sememangnya membenarkan proses demokrasi bagi memilih pemimpin, tetapi bukannya mengangkat seseorang pemimpin dengan 'meludah' orang lain yang tidak sekutu dengan pilihan kita.

Pertaruhan memilih pemimpin UMNO dewasa ini telah banyak ternoda dengan 'unsur rasuah' yang menghakiskan nilai dinamisme yang berteraskan kepada kewibawaan memikul tanggungjawab. Rakyat akar umbi tidak terasa aura pemimpin jenis ini, kerana dia dipilih hanya untuk menjaga kepentingan dirinya sendiri bersama-sama dengan kroni di sekelilingnya.

Malang sungguh nasib UMNO, kerana jati diri memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan negara semakin terketepi. Banyak isu maruah bangsa yang tidak berkesampaian untuk dibela oleh penguasa-penguasa di dalam UMNO. Mereka semakin dibenci rakyat sehingga UMNO turut menjadi alergik.

Bahasa Ibunda

Isu pendidikan anak bangsa terus dipersendakan sehingga UMNO terlupa untuk memartabatkan 'Bahasa Ibunda' kerana penguasa UMNO terpengaruh dengan sentimen globalisasi yang malu untuk meletakkan Bahasa Melayu terus bersaing di persada antarabangsa. Bahasa pusaka bangsa kita semakin ditenggelami akibat kealpaan UMNO untuk menyelamatkannya. Rupa-rupanya keris yang dikucup hanya sandiwara yang memalukan bangsa Melayu, kerana akhirnya pemegang keris berkenaan pancit di tengah jalan lalu minta maaf kerana dikatakan menyinggung bangsa lain di negara ini.

Isu ekonomi juga semakin dipersendakan, kerana UMNO dilihat begitu lemah untuk mengangkat taraf ekonomi anak bangsa yang memerlukan pembelaan. Pelbagai dasar ekonomi dicetuskan, tapi ianya turut tenggelam di tengah lautan kerakusan penguasa yang dilihat melonggokkan kekayaan kepada dinasti tertentu, dan masyarakat marhain terus dibebankan dengan kenaikan harga barang yang tidak dirasai oleh mereka yang kaya raya ini.

Pemuda UMNO hari ini tidak senyaring Pemuda UMNO dahulu. Pemuda UMNO dahulu sering terkehadapan untuk menjadi pembela bangsa sehingga segala dasar yang dicipta terpaksa berhadapan dengan pelbagai soalan daripada Pemuda UMNO. Pemimpin Pemuda dahulu sanggup dipenjarakan jika itulah yang dipertaruhkan untuk menegakkan martabat dan harakat agenda Melayu.

Singa Sarkis

Pemuda UMNO hari ini bercakap 'tidak serupa bikin' kerana perjuangan mereka tidak lagi bersalutkan keinsafan, sebaliknya mereka terdorong untuk bersekongkol dengan dasar-dasar yang begitu longgar yang menjerumuskan bangsa Melayu sebagai bangsa pinggiran. Zaman Syed Jaafar Albar yang dikenali sebagai 'Singa UMNO' telah meletakkan Pemuda UMNO sentiasa 'mengaum' tetapi kini suara Pemuda UMNO hanya menjadi 'Singa Sarkis'.

Pemuda UMNO di zaman Dato' Senu pula yang berslogankan 'Tahan Lasak' telah meletakkan maruah Pemuda UMNO sebagai benteng pertahanan yang sukar digugat, malah sentiasa siap siaga untuk menyerang jika bangsa Melayu disinggung.

Dato' Harun Wira Melayu

Sementara itu, Pemuda UMNO dalam era Dato' Harun Idris menjadi lebih berbisa tampak kelibat kepahlawanannya. Pemuda UMNO menjadi 'kumpulan pendesak' di samping menjadi pelopor kepada pembangunan negara. Dato' Harun Idris lagenda pemuda UMNO dijulang sebagai 'Wira Melayu' kerana berani menampilkan kejantanan Pemuda UMNO. Beliau dipenjarakan, tetapi semangat perjuagannya tidak terpenjara.

Pemuda UMNO di zaman Haji Suhaimi Kamarudin terkenal dengan slogan 'Era Bertindak' terus menyambung perjuangan Syed Jaafar Albar yang tidak lama menerajui Pemuda UMNO kerana telah meninggal dunia, dan Haji Suhaimi dilihat berjaya menampilkan tokoh-tokoh Pemuda yang digeruni seperti Kadir Sheikh Fadzir, Megat Junid, Rahim Thamby Chik, Isa Samad, Mokhtar Hashim, Najib Tun Razak, Tamrin Ghafar, Ajib Ahmad, Dusuki Ahmad dan ramai lagi yang kini telah menjadi veteran UMNO.

Penulis sendiri (Abdul Rahman Hashim), muncul di zaman ini iaitu pada tahun 1979 menjadi Pen. Setiausaha Pemuda UMNO Bahagian Damansara (Kini Lembah Pantai). Ketua Pemuda Bahagian saya ketika itu ialah Zainuddin Bendahara (Allahyarham), manakala Dato' Halim Samad ketika itu menjadi Ketua Pemuda Bahagian Setapak merangkap Ketua Badan Perhubungan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan.

Penggerak Zaman

Perjuangan Pemuda terus berkesinambungan dengan gagah perkasa apabila Anwar Ibrahim menerajuinya pada tahun 1982 dengan membawa slogan 'Pemuda Penggerak Zaman'. Beliau bergandingan dengan Dato' Sri Najib sebagai Naib Ketua Pemuda dan sebaris dengan barisan exconya ketika itu seperti Muhyidin Yasin, Suleiman Mohamed, Megat Junid, Fahmi Ibrahim, Ibrahim Ali, Dusuki Ahmad, Awang Jabar, Tamrin Ghafar, Nazri Aziz, Mazlan Harun, Mazlan Idris, Zahid Hamidi dan saya sendiri turut terlibat sebagai 'Setiausaha Biro Dakwah' Pemuda UMNO Malaysia.

Pemuda UMNO ketika itu semakin disegani dan digeruni, kerana iltizam perjuangan kami dalam Pemuda UMNO telah diterapkan dengan nilai perjuangan membela agama, bangsa dann juga negara. Pemuda UMNO cukup terlatih dengan ketahanan mental dan fizikalnya. Dato' Najib telah berjaya pula mewarisi kepimpinan Pemuda UMNO selepas Anwar, diikuti pula dengan era Rahim Thamby Chik, Zahid Hamidi dan kini Hishammuddin.

Walaupun kepimpinan Pemuda UMNO dilihat dengan pelbagai gayanya, tetapi Pemuda UMNO hari ini dilihat begitu 'lowbatt' dan seolah-olah tidak cukup vitamin untuk menggerakkan jiwa bangsa yang semakin tertekan ini.

UMNO mestilah diperkasakan. UMNO mesti dijiwai dengan sekuat hatinya. UMNO jangan gentar untuk memperkatakan yang benar walaupun pahit untuk ditelan. UMNO mesti teruskan semangat kemerdekaan agar negara tidak dijajah lagi dengan elemen pemikiran yang terjajah. Semua isu yang berbangkit hari ini hendaklah menjurus kepada perjuangan jati diri Melayu yang yang menjadi tonggak kepada perjuangan UMNO. Islam hendaklah terus dipertahankan kemuliaannya. Akhlak pemimpin patut dijadikan contoh dan teladan, bukannya dipersendakan sehingga dipandang jijik oleh rakyat.

UMNO hari ini tidak mahu pemimpin yang lemah, pemimpin yang tidak berjiwa rakyat, pemimpin korup, pemimpin yang bergelut dengan masalah moral dan kita sebenarnya mahukan UMNO yang bercita rasa rakyat, bergelut demi membela rakyat, bijak mengemudi bahtera, dan yang maha penting ialah mampu berktrampilan sebagai 'Pejuang Melayu' yang berpandangan jauh setara dengan pemikiran MAHATHIR yang berjaya melonjakkan Malaysia di persada dunia.


Wednesday, August 20, 2008

UMNO Bahagian Setiawangsa: Lima cawangan diarah bersidang semula?


Lima cawangan
di Bahagian Setiawangsa dikatakan akan bersidang semula pada 30 Ogos ini di atas sebab-sebab teknikal yang dihadapinya. Difahamkan Jawatankuasa Pengurusan UMNO Bahagian Setiawangsa yang bermesyuarat kelmarin telah memutuskan perkara ini dan akan mengarahkan UMNO Cawangan Setapak Jaya 1A, UMNO Cawangan KLSC, UMNO Cawangan Jalan Air Madu, UMNO Cawangan Jalan Pahang dan UMNO Cawangan Taman Setapak Permai supaya mengadakan semula persidangan masing-masing; dan difahamkan juga bahawa persidangan tersebut akan diadakan serentak pada 30 Ogos yang akan datang, di pejabat UMNO Bahagian Setiawangsa.

Aduan Ahli

Sebelum ini cawangan-cawangan yang berkaitan itu dikatakan telah menghadapi tindakan protes daripada ahli-ahli yang tidak berpuas hati di atas perjalanan persidangan yang dijalankan, dan Jawatankuasa Pengurusan UMNO Bahagian setelah meneliti segala aduan yang dikemukakan itu, telah mendapati ada kes-kes tertentu yang menyebabkan persidangan ini harus diadakan semula.

Sehingga berita ini ditulis, saya belum memperolehi sumber maklumat yang jelas untuk mengesahkan perkara seumpama ini. Namun demikian maklumat awal telah saya perolehinya sejak tengahari kelmarin yang menyebut terdapat tujuh cawangan yang dikatakan akan diarah bersidang semula, tetapi maklumat ini telah berubah dengan menyebutkan hanya terdapat tiga cawangan sahaja yang kemungkinan terlibat.

Jawatankuasa Pengurusan

Akhirnya ketetapan telah diambil oleh Jawatankuasa Pengurusan yang bersidang malam kelmarin dengan memuktamadkan bahawa terdapat lima cawangan sahaja yang terbabit dengan arahan ini. Mesyuarat pengurusan UMNO Bahagian Setiawangsa yang memutuskan perkara ini telah dipengerusikan sendiri oleh Dato' Sri Zulhasnan Rafique, yang turut dihadiri oleh Timbalannya Dato' Halim Samad serta sebahagian besar Pegawai-Pegawai Kanan UMNO Bahagian, termasuk Dato' Ahmad Fauzi Zahari selaku Bendahari Bahagian.

Lazimnya jawatankuasa pengurusan ini akan dianggotai oleh Ketua Bahagian, Timbalan Ketua, Naib Ketua, Ketua Pemuda, Ketua Wanita, Ketua Puteri, Setiausaha Bahagian, Ketua Penerangan dan juga Bendahari. Jawatankasa ini akan bersidang untuk memutuskan segala permasalahan yang bebangkit berkaitan dengan perjalanan persidangan cawangan-cawangan. Semua aduan yang berkaitan akan dikemukakan kepada jawatankuasa ini untuk diteliti dan diambil tindakan yang bersesuaian dengan kes-kes yang berbangkit itu.

Sementara itu, difahamkan Setiausaha UMNO Bahagian akan menghantar surat resmi kepada semua Ketua UMNO Cawangan yang berkenaan pada hari ini bagi memaklumkan keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa pengurusan UMNO Bahagian ini.

Persoalan samada Ketua-Ketua Cawangan yang terbabit ini telah dipanggil untuk memberikan keterangan balas masing-masing sebelum membuat keputusan sedemikian juga belum dapat dipastikan. Sudah tentu Ketua-Ketua Cawangan ini mempunyai keterangannya sendiri untuk didengar dan diteliti oleh Jawatankuasa Pengurusan sebagai penjelasan terhadap aduan yang dikemukakan oleh ahli-ahli yang membuat aduan.

Tidak Berpuas Hati

Jika setiap aduan yang diterima tanpa mendapatkan penjelasan kukuh daripada yang diadu, pastinya akan mengundang ketidakpuasan hati Ketua-Ketua Cawangan tersebut, dan mereka merasakan keputusan yang diambil oleh Jawatankuasa Pengurusan itu sebagai berat sebelah.

Apa pun diharapkan agar permasalahan seperti ini tidak mengundang kepada masalah yang lebih berat yang akan dihadapi oleh UMNO selepas ini. Sepatutnya menerusi musim persidangan yang diadakan sekarang ini, UMNO perlu diperkukuhkan dan seharusnya kita bijak untuk membawa hala tuju supaya UMNO sentiasa di hati rayat, dan bukannya diperlemahkan dengan isu-isu kecil yang boleh menimbulkan persengketaan sesama sendiri.

Kupasan selanjutnya bakal menyusul...