Sehingga kini terdapat lima orang tokoh pemuda telah menerima pencalonan untuk jawatan 'Ketua Pemuda UMNO Bahagian Setiawangsa' bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut yang bakal ditinggalkan oleh Dato' Izudin Ishak. Diantaranya ialah Naib Ketua Pemuda Bahagian sekarang, Azmi Badarudin, yang telah pun menerima tiga pencalonan. Turut mendapat tiga pencalonan setakat ini ialah Ghazali Mohamad daripada Pemuda UMNO Cawangan Kelumpuk Bunga Raya.
Gazali Mohamad yang dijangka akan dinobatkan sebagai Ketua Pemuda UMNO Cawangan Kelumpuk Bunga Raya pada sabtu ini, 26 Julai 2008 juga bakal menambahkan satu lagi pencalonan untuk dirinya. Begitu juga, Pemuda UMNO Cawangan Keramat Wangsa yang bersidang Jumaat lalu turut mencalonkan beliau sebagai Ketua Pemuda Bahagian.
Manakala Ketua Pemuda UMNO Cawangan Menara Seri Jati yang juga Setiausaha Kerja Pemuda UMNO Bahagian ini, Zulfadhil Sidek telah mendapat 6 pencalonan sekaligus menyaksikan beliau telah mendahului dari segi jumlah pencalonan untuk jawatan Ketua Pemuda Bahagian. Zulfadhil hanya memerlukan sekurang-kurangnya satu pencalonan sahaja lagi untuk melayakkan dirinya bertanding bagi jawatan tersebut.
Sementara itu, Eqhwan Mokhzani bakal Ketua Pemuda UMNO Cawangan Taman Setiawangsa Fasa Satu juga dilihat bakal memberikan saingan hebat bagi merebut jawatan ini, dan setakat ini beliau telah mendapat empat pencalonan. Sementara itu seorang ahli Pemuda UMNO Cawangan Kelumpuk Camar, Mohd. Hisham turut mendapat satu pencalonan daripada Pemuda UMNO Cawangan Jalan Besar Air Panas, namun begitu cawangannya sendiri tidak mencalonkan dirinya untuk menyertai pertandingan merebut jawatan Ketua Pemuda Bahagian musim ini.
Masing-masing yang telah dicalonkan itu dilihat mempunyai pengaruh tersendiri dan memiliki 'track record' yang melayakkan diri masing-masing untuk di ketengahkan sebagai pemimpin pemuda. Kesemua mereka dikatakan telah mencuba sedaya upaya untuk meyakinkan perwakilan pemuda cawangan-cawangan terhadap diri mereka.
Azmi Badarudin, 39 yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Kepujian Sains Pembangunan Manusia dari UPM bukanlah asing lagi dari kalangan Pemuda. Sebelumnya Azmi Badarudin merupakan ahli jawatankuasa Pemuda Bahagian Wangsa Maju daripada tahun 1995 hingga tahun 2001, sebelum menyandang jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Wangsa Maju pada tahun 2001 sehingga 2004. Beliau juga berjaya mempertahankan jawatannya sebagai Naib Ketua Pemuda Bahagian Setiawangsa semasa diadakan pemilihan jawatan bagi kawasan baru sehingga hari ini. Sebagai mengenang jasa baktinya di dalam kerja-kerja bermasyarakat, Azmi telah dianugerahkan pingat Bintang Cemerlang Melaka (BCM) pada tahun2002.
Manakala Gazali Mohamad, 37 merupakan seorang ahli perniagaan yang berjiwa besar, dan beliau begitu komited untuk menawarkan dirinya di dalam arena politik dan menyerahkan dirinya untuk dinilai oleh perwakilan Pemuda UMNO cawangan-cawangan di dalam Bahagian Setiawangsa bagi membolehkannya bertanding merebut jawatan nombor satu Pemuda Bahagian ini.
Syarikat miliknya yang kini beroperasi di Pusat Bandar Wangsa Maju merupakan pemegang francais bumiputra yang pertama bagi produk kosmetik 'Missha' dari Korea di negara ini. Hari ini cawangannya sendiri akan mengadakan persidangan, dan beliau dikatakan akan mendapat mandat dan sokongan daripada cawangan ini untuk beliau meneruskan misinya bertanding ke jawatan Ketua Pemuda Bahagian Setiawangsa.










