assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Friday, July 25, 2008

Kenapa harus ada persidangan terbang?

Kedengaran masih ada cawangan-cawangan tertentu di Bahagian Setiawangsa yang telah 'bersindiket' mengadakan 'mesyuarat agung terbang' tanpa mengikut peraturan yang sah sehinggakan ada ahli-ahli yang berbayar yurannya tidak dimaklumkan tentang mesyuarat agung cawangannya telah pun selesai bermesyuarat.

Fenomena ini memang sering berlaku di Bahagian ini malah berlaku juga di mana-mana bahagian yang lain, ia bagaikan suatu tradisi di mana wujudnya pihak tertentu yang berkepentingan berminat menyembunyikan mesyuarat agungnya kerana khuatir perkara-perkara teknikal yang tidak dapat diatasi akan menyebabkan mesyuarat agungnya menjadi masalah.

Diantara masalah teknikal yang sering dihadapi oleh cawangan-cawangan seumpama ini ialah seperti masalah korum yang tidak mencukupi yang boleh mengakibatkan persidangan tersebut akan ditangguh dan dibatalkan. Keadaan seperti ini sering berlaku kepada cawangan-cawangan bersifat 'AL-BUNIANI' dimana sebahagian besar ahli-ahlinya tidak bermastautin di dalam cawangan berkenaan, dan mereka ini hanya muncul apabila 'diperlukan', itupun jika mereka 'diseru' (notis) untuk hadir. Kadangkala ahli-ahli seperti ini gagal dihubungi kerana berlakunya pertukaran alamat dan juga pertukaran nombor telefon.

Berlaku juga fenomena dimana ketua-ketua cawangan yang bimbangkan dirinya akan ditentang di dalam persidangan cawangan, maka ahli-ahli yang dilihat tidak cenderung kepadanya akan disisihkan daripada menerima notis persidangan. Ketua cawangan akan menyembunyikan maklumat persidangan yang bakal diadakan, manakala wakil-wakil bahagian yang bersimpati dengan masalah ketua cawangan berkenaan, mereka bersekongkol pula untuk sindiketkan persidangan cawangan itu sehingga terdorong untuk mengesahkan yang tidak sah.

Persidangan terbang seperti ini akan diadakan di tempat-tempat tertentu di luar cawangannya, dan segala urusan persidangan termasuk melaksanakan pemilihan jawatan-jawatan yang dipertandingkan serta laporan-laporan tahunan telah tersedia untuk dibentangkan dengan mengenepikan fakta samada persidangan itu mencukupi korum atau pun tidak.

Tindakan bersindiket ini akhirnya diketahui oleh sebilangan ahli yang telah diketepikan, lalu mereka pula menghantar protes kepada pihak pengurusan parti untuk diambil tindakan mengikut lunas perlembagaan dan peraturan-peraturan persidangan yang telah termaktub. Kesan daripada sindiket kotor ini juga menjadikan UMNO semakin tidak bermaya dari kaca mata akar umbinya.

UMNO di peringkat akar umbi dikatakan mudah diperalatkan oleh pihak tertentu demi untuk mencapai matlamat dan cita-cita pihak yang berkenaan yang memerlukan dirinya disokong untuk menyertai pertandingan merebut jawatan tertentu di peringkat Bahagian. Nampaknya sindiket mesyuarat terbang ini boleh dikompromikan, kerana beberapa cawangan yang telah berbuat sedemikian dikatakan telah melakukannya dan mereka tidak diancam oleh pihak pengurusan Bahagian yang mengetahuinya. Mungkin cawangan berkenaan menganggap masalah ini adalah remeh temah, tetapi mereka tidak boleh berbangga menjadi ketua cawangan yang diselaputi dengan sindiket menipu ahli.

Seseorang yang dipilih secara demokratik tanpa meniti sindiket ini, bolehlah kita angkat topi kepadanya kerana dia menang dengan sokongan majoriti ahlinya. Sebagai contoh terdekat ialah bagaimana Dimyati Jaffar boleh menang Ketua Cawangan mengalahkan Zainal Masri di dalam suatu mesyuarat agung yang dihadiri lebih 90 orang ahli-ahlinya. Ahli-ahli yang hadir memperlihatkan kesungguhan untuk membuat penilaian terhadap kepimpinan yang lalu, dan mereka diberikan peluang untuk menukar pemimpin secara undi angkat tangan.

Keadaan yang berlaku di Cawangan Seksyen 10 Wangsa Maju ini jauh berbeza dengan mesyuarat agung yang diadakan secara bersembunyian yang berlaku di Pejabat UMNO Bahagian minggu lalu dan akan berlaku lagi selepas ini. Sebelum ini pun banyak yang menggeleng kepala bagaimana liciknya kepimpinan Wanita Bahagian Setiawangsa melarikan mesyuarat agung wanita cawangan daripada pengetahuan UMNO Cawangan. Konflik sedemikian jika tidak dibendung akan mencacatkan lagi keyakinan akar umbi terhadap kewibawaan UMNO di masa hadapan.

TAHNIAH! SHAARI DIPILIH MENGETUAI
CAWANGAN KERAMAT WANGSA
.


Locengwangsa mengucapkan tahniah kepada Mohd Shaari Sidek yang telah dinobatkan sebagai Ketua UMNO Cawangan Keramat Wangsa yang baru bagi menggantikan Haji Azizi Shaibie yang tidak mempertahankan jawatannya di dalam mesyuarat agung cawangan berkenaan yang diadakan malam ini, Jumaat, 25 Julai 2008. Shaari bukanlah begitu asing bagi ahli-ahli UMNO di cawangan ini kerana sebelum ini Shaari merupakan Setiausaha Cawangan, dan beliau juga pernah bergelumang di dalam Pergerakan Pemuda.

Tuan Haji Azizi Shaibie yang juga ahli jawatankuasa Bahagian Setiawangsa menyatakan bahawa beliau terpaksa melepaskan jawatan Ketua Cawangan ini di atas faktor kesihatan, dan beliau begitu yakin penggantinya akan dapat meneruskan kepimpinan di cawangan ini dengan sokongan yang akan diberikan oleh barisan ahli jawatankuasa yang baru dipilih.

Mesyuarat agung cawangan berkenaan juga telah mencalonkan Dato' Sri Zulhasnan Rafique sebagai Ketua Bahagian, manakala jawatan Timbalan Ketua Bahagian pula cawangan ini telah mencalonkan Dato' Halim Samad dan Dato' Ahmad Fauzi Zahari pula dicalonkan sebagai Naib Ketua Bahagian.

Locengwangsa: Saya mengucapkan terima kasih di atas ingatan cawangan ini mencalonkan saya sebagai Ahli Jawatankuasa Bahagian....Azizi dan Shaari merupakan sahabat perjuangan lama saya sejak dulu lagi.


UMNO CAWANGAN PESIARAN SETIAWANGSA BERSIDANG
PADA 26 JULAI 2008


UMNO Cawangan Pesiaran Setiawangsa akan bersidang pada Sabtu ini, 26 Julai 2008. Ketua Cawangan ini Zaharuddin dijangka akan menerima tentangan daripada bekas Ketua Cawangannya dahulu, Samad Saim yang dikatakan masih berminat untuk bertanding jawatan Ketua Cawangan berkenaan.

Zaharuddin pernah membuat kejutan pada tahun 2004 lalu, dimana beliau telah bertanding merebut jawatan Ketua Cawangan ini, sekaligus menyaksikan Samad Saim terpaksa akur dengan kehendak ahli-ahli cawangannya yang telah mempertaruhkan Zaharuddin untuk mengetuai cawangan tersebut.

UMNO Cawangan Pesiaran Setiawangsa terpaksa mengadakan mesyuarat agung sebanyak dua kali pada tahun berkenaan kerana menghadapi masalah teknikal, namun kedua-dua mesyuarat yang diadakan itu menyaksikan gelombang begitu kuat untuk menolak Samad Saim.

Di dalam mesyuarat agung kali keduanya pada tahun 2004, UMNO Cawangan ini telah mencalonkan Dato' Sri Zulhasnan Rafique sebagai Ketua Bahagian, Dato' Halim Samad pula sebagai Timbalan Ketua, dan Abdul Rahman Hashim sebagai Naib Ketua Bahagian. Mesyuarat agung musim ini, bagaimana..? Kita tunggu keputusannya Sabtu ini.




1 comment:

bianco said...

takut hilang kedudukan. hilang kedudukan hilang duit yang selama ini dimakan seorang diri