Seorang Ahli Jawatankuasa Bahagian Setiawangsa, Zainal Masri kecundang di cawangannya sendiri apabila beliau tertewas sebagai Ketua UMNO Cawangan Seksyen 10 Wangsa Maju di tangan Dimyati Jaffar. Beliau yang hanya mendapat 35 undi daripada 94 ahli yang hadir dalam mesyuarat agung cawangan tersebut juga gagal mencalonkan Dato' Izudin Ishak bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian, sebaliknya nama Shuib Ibrahim telah menambat hati ahli-ahli di cawangan ini untuk dicalonkan bagi jawatan nombor dua di dalam bahagian Setiawangsa.
Sebagaimana yang dijangka Dato' Sri Zulhasnan Rafique telah dicalonkan semula bagi jawatan Ketua Bahagian, manakala Zainal Tan Sri Mahmud telah berjaya dicalonkan bagi jawatan Naib Ketua Bahagian. Mesyuarat agung UMNO Cawangan Seksyen 10 yang diadakan hari ini (19 Julai) juga menyaksikan nama-nama seperti Abdul Rahman Hashim, Rosli Mohammad, Roslan Rahman dan Hamzah Marakan yang dicalonkan sebagai 'Perwakilan Pujaan 7' UMNO Bahagian Setiawangsa ke Perhimpunan Agung UMNO Malaysia.
Keputusan mengejutkan ini juga berlaku di Cawangan Menara Seri Jati, di mana Ahmad Laili Tajul Arus Ketua Cawangan berkenaan telah gagal mencalonkan Datuk Halim Samad bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian, sekaligus menghampakan Dato' Izudin Ishak yang begitu mengharapkan pencalonan jawatan nombor dua UMNO Bahagian itu daripada Cikgu Mat Laili. Sebaliknya Dato' Izudin Ishak hanya dicalonkan sebagai Naib Ketua Bahagian di dalam mesyuarat agung cawangan tersebut yang diadakan pada Jumaat lalu 18 Julai 2008.
Pencalonan Datuk Halim Samad sebagai Timbalan Ketua Bahagian yang dibuat sendiri oleh Ahmad Laili telah menerima tentangan daripada salah seorang ahli cawangan yang hadir yang telah mencalonkan Shuib Ibrahim untuk jawatan itu, dan setelah undian dijalankan ternyata Ahmad Laili tidak berjaya menggunakan pengaruhnya apabila pencalonannya terhadap Datuk Halim Samad telah ditolak oleh majoriti ahli yang menghadiri mesyuarat agung tersebut, sebaliknya nama Shuib Ibrahim telah berjaya dinobatkan sebagai calon Timbalan Ketua Bahagian.
Sementara itu kegagalan Zainal Masri mempertahankan jawatan Ketua Cawangan di Seksyen 10 Wangsa Maju dan juga kegagalan Ahmad Laili pula mencalonkan Datuk Halim Samad bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian di cawangan Menara Seri Jati begitu menarik sekali untuk diperkatakan dalam episod awal percaturan merebut jawatan-jawatan penting di dalam UMNO musim ini, khususnya di Bahagian Setiawangsa.
Rata-rata mengandaikan bahawa Zainal Masri dan Ahmad Laili sedang bekerja keras untuk menentukan Datuk Izudin Ishak layak bertanding bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian, lagipun mereka berdua dikatakan orang penting Datuk Izudin untuk kejayaan misinya bertapak di dalam hirarki penting UMNO Bahagian ini.
Kegagalan misi mereka berdua mencalonkan Datuk Izudin sebagai Timbalan Ketua Bahagian dilihat sebagai suatu penolakan awal terhadap hasrat Datuk Izudin bagi merebut jawatan tersebut. Jika Datuk Izudin berterusan gagal meyakinkan cawangan-cawangan yang lain supaya mencalonkannya bagi jawatan nombor dua itu, maka Datuk Izudin tidak ada pilihan lain kecuali terpaksa berlaga dengan Ketua Cawangannya sendiri Kapten (B) Rafli Jusoh yang akan mempertahankan jawatan Naib Ketua Bahagian.
Jika ini berlaku akan menyulitkan lagi peluang Kapten (B) Rafli untuk memenangi jawatan yang disandangnya kini. Salah seorang diantara mereka berdua dikatakan akan terkorban, malah jika silap perhitungan kedua-duanya akan kecundang di tangan calon Naib Ketua yang lain, yang lebih berpotensi untuk memenangi jawatan itu.
Kring, kring....locengwangsa juga mengucapkan tahniah kepada Zainab Hasan dan Maria Munir yang telah berjaya memenangi jawatan Ketua Wanita dan Naib Ketua Wanita bagi Cawangan Seksyen 10 Wangsa Maju. Gandingan mereka berdua akan memantapkan lagi gandingan kepimpinan Dimyati Jaffar bersama Shukri Abdullah yang menang tanpa bertanding sebagai Timbalan Ketua Cawangan Seksyen 10 Wangsa Maju.
Kring...kring.... Menyebut pasal Wanita, kita agak kecewa apabila masih kedengaran wujudnya 'mesyuarat-mesyuarat terbang' di peringkat WANITA yang dikatakan direstui oleh Ketua Wanita Bahagian Setiawangsa. Kenapa harus dibiarkan mesyuarat-mesyuarat seperti ini terus berlaku, terutama yang membelakangkan UMNO Cawangan. Difahamkan sebanyak 8 buah cawangan pergerakan wanita yang dikatakan telah mengadakan 'mesyuarat bersembunyian' ini akan menghadapi tindakan protes, termasuk dengan kes tidak memaklumkan mesyuarat tersebut kepada UMNO Cawangan.



1 comment:
tahniah dan shabas matlaiili.. yang sebenarnyer nak kan shoooib timbalan...mana ada ketua cawangan yang handal boleh kalah dlm undian...banyak mainnnn..TETAPI..bang shooib memang best kalau jadi timbalan..dia ni betul punyer kawww
Post a Comment