assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Wednesday, March 11, 2009

ANWAR & PAK LAH - MEREKA BERJUMPA DI MADRASAH NURUL IMAN 3 JAM SEBELUM NAJIB BENTANG BAJET MININYA DI PARLIMEN.

Semuanya berlaku dengan ketentuan dan takdir Illahi jua. Majlis Maulidur Rasul yang diadakan di Madrasah Nurul Iman, di Hulu Langat, Selangor Darul Ehsan pada hari Selasa, 10 Mac tiba-tiba menyaksikan pertemuan dua pemimpin di antara Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia yang juga Ketua Umum PKR (Foto di atas). Pertemuan yang penuh spekulatif ini berlaku 3 jam sebelum Najib membentangkan 'Bajet Mini RM60 Billion' di Dewan Rakyat.



Pak Lah tiba 12.16 tengah hari. Anwar tiba 12.45 tengah hari

Pak Lah dan Anwar menjadi tetamu kepada Al-Fadhil Sheikh Mahmud Al-Majzub iaitu seorang tokoh agama yang menjadi pengasas Madrasah Nurul Iman yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Ayah. Pak Lah telah tiba di madrasah itu kira-kira jam 12.16 tengah hari, manakala Anwar dan isterinya Wan Azizah pula tiba 30 minit kemudiannya, seterusnya mereka berdua telah dibawa makan semeja bersama-sama dengan Sheikh Mahmud AlMajzub, sebelum mereka mendirikan solat zuhur berjemaah kira-kira jam 1.40 tengahari.

Difahamkan lebih 1,000 orang tetamu yang hadir telah menyaksikan pertemuan yang penuh spekulasi ini dan rata-rata mereka menunjukkan reaksi yang positif kerana mereka mengharapkan pertemuan sempena Maulidur Rasul ini akan menjadi titik tolak ke arah penyatuan dan permuafakatan yang lebih terbuka.

Sudah tentu Sheikh Mahmud Al-Majzub yang mengundang kedua-dua tokoh pemimpin ini datang ke madrasahnya adalah untuk mempertautkan semula diantara mereka berdua yang dilihat sering terjebak dengan perbalahan politik yang pada fikirannya tidak mendatangkan keuntungan kepada umat Islam di negara ini.

Sheikh Mahmud difahamkan telah menjadi 'perantara' pertemuan enam mata itu yang berlangsung selama 20 minit di rumahnya itu. Namun begitu tidak diiketahui apakah intipati perbincangan mereka, walaupun ada juga kemungkinan mereka menyentuh tentang isu-isu semasa terutama berkaitan dengan peralihan kuasa kepada Najib yang akan berlaku di dalam Perhimpunan Agung UMNO pada penghujung Mac ini.



Pertemuan 'Silatuurahim' ini turut dihadiri oleh beberapa orang tokoh ulamak daripada Indonesia, Gambia, India, Pattani dan lain-lain. Turut sama adalah Ketua Sami Budha dari Bangkok, serta bekas Timbalan Perdana Menteri Thailand Prof. Dr. Bhokin. Namun mereka tidak terlibat dengan sesi bersemuka diantara Pak Lah, Anwar dan Sheikh Mahmud AlMajzub.

Setelah satu jam setengah mereka dipertemukan, Pak Lah telah meninggalkan majlis ini pada jam 2.15 petang, manakala Anwar dan isteri pula telah meninggalkan majlis tersebut pada jam 2.50 petang untuk sama-sama menghadiri sesi pembentangan 'Bajet Mini' di Dewan Rakyat oleh Menteri Kewangan yang bakal mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi nanti.

Sunday, March 8, 2009

BENARKAH UMNO SEMAKIN SILU MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU?

SAYU dan MEMILUKAN
Sebenarnya apabila saya melihat pejuang-pejuang bahasa kita yang ingin mengadu kepada Rajanya sendiri diburu, dihambat dan kemudiannya di suraikan pula mereka ini dengan tembakan gas pemedih mata oleh FRU menjadikan hati saya semakin sayu, pilu dan bersimpati; sehingga berderai airmata kesedihan setelah terbaca ungkapan Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said (Foto) yang turut menyertai perhimpunan membantah PPSMI di Masjid Negara pada petang Sabtu, 7 Mac yang berkata:-

"Rupa-rupanya begini caranya untuk menyelamatkan bahasa..."

Puluhan ribu anak Melayu tanpa penyertaan UMNO telah berhimpun di Masjid Negara Kuala Lumpur (Sila lihat senarai NGO yang hadir menyertai perhimpunan di bawah artikel ini). Datuk A. Samad Said adalah diantara pejuang dan pencinta bahasa yang turut berada di tengah-tengah lautan manusia yang tidak senang dengan apa yang telah diperlakukan terhadap bahasa Melayu sejak akhir-akhir ini.

Jika seorang Sasterawan Negara sudah mengeluh sedemikian rupa memikirkan masa depan bahasa Melayu yang semakin dipinggirkan di negara sendiri, apakah yang patut UMNO lakukan sekarang? UMNO sebagai sebuah parti yang berlandaskan kepada perjuangan memartabatkan 'Ketuanan Melayu' sepatutnya lebih tersinggung apabila berdesing suara umat Melayu yang mewakili pelbagai pertubuhan mulai bangkit mempertahankan maruah bahasa ibunda yang menjadi bahasa resmi negara sejak 52 tahun kita di merdekakan oleh Penjajah Inggeris.

Apabila isu ini dikemundangkan, kita harus melihat persepsinya ialah betapa patriotiknya bangsa Melayu terhadap bahasanya. Melayu sebagai sebuah bangsa memiliki aura bahasanya sendiri sebagaimana warga Tionghua yang telah bangkit mempertahankan bahasa ibundanya. Turut bersuara mempertahankan Bahasa Tamil ialah golongan minoriti yang berbangsa India di negara ini.

Tekanan daripada mereka ini telah memperlihatkan kejayaanya setelah kerajaan berkompromi mengekalkan juga jenama Sek
olah Jenis Kebangsaan Cina dan juga Sekolah JenisKebangsaan Tamil sejak dahulu lagi sehingga sekarang. Para pejuang dan pencinta bangsa Cina/india telah berjaya melembutkan pemimpin Melayu UMNO yang menerajui Kementerian Pelajaran sehingga identiti keCinaan dan keIndiaan bagi penjenamaan sekolah berkenaan dikekalkan, sekaligus telah menggagalkan hasrat murni kerajaan untuk memperkenalkan konsep Sekolah Wawasan sebagai usaha penyatuan sebuah bangsa dan warga Malaysia yang lebih bersepadu.

Ironi daripada skets
a ini ialah betapa besarnya kejayaan Parti MCA, Gerakan dan juga DAP yang dilihat berada di belakang tabir opera perjuangan yang dipelopori oleh NGO yang mewakili ras masing-masing. MIC juga turut menjuarai perjuangan memartabatkan Bahasa Tamil.

Malangnya apabila pejuang bangsa dan pencinta bahasa Melayu mempersoalkan kegelisahan umat Melayu di negara ini terhadap masa depan bahasanya, tidak mendapat pembelaan yang sepatutnya daripada Parti terbesar Melayu ini (UMNO). Apakah dasar menggunakan bahasa Melayu kepada mata pelajaran Matematik dan Sains yang dipraktiskan sebelum ini merupakan satu dasar yang silap, sehingga memaksa ianya dirombak pada tahun 2003 dengan menggunakan pelbagai alasan globalisasi untuk menggantikan penggunaan BM kepada BI dalam mata pelajaran tersebut?

Pada saya perjuangan memartabatkan 'bahasa bangsa' hendaklah dilakukan sendiri oleh bangsa itu sendiri, jika bukan kita, siapakah yang hendak diharapkan lagi untuk mengekalkan bahasa nenek moyang kita? UMNO mestilah serius memikirkan perkara ini, kerana di pundak parti inilah diletakkan segala harapan oleh bangsa Melayu di negara ini. Janganlah kita perlekehkan dan menghina pejuang-pejuang bahasa ibunda kita itu, semata-mata kita terdorong dengan persepsi sempit kononnya perjuangan mereka itu didalangi oleh parti-parti pembangkang (PAS/PKR). Apakah bangsa Melayu yang menganuti parti PAS dan PKR tidak layak untuk membanggai bahasa Melayu sepertimana juga Melayu di dalam UMNO?

Jika pun ada penglibatan parti-parti ini, mereka mungkin melihat UMNO tidak boleh lagi diharapkan untuk mendepani isu bahasa Melayu, kerana UMNO sendiri yang telah menggunakan pengaruhnya untuk menukar penggunaan bahasa dalam mata pelajaran matematik dan juga Sains dari BM kepada BI pada tahun 2003 sehingga ia menjadi kemelut hari ini.

Datuk Seri Hishammuddin Tun Huseein, Panglima Ketuanan Melayu yang sentiasa menghunus KERIS adat, kini dilihat sebagai Menteri Pelajaran yang semakin malu dan hilang keyakinan untuk mendaulatkan Bahasa Melayu yang menjadi bahasa perjuangan UMNO. Sepatutnya apabila kita berani bertempik atas slogan Ketuanan Melayu, kita juga harus berani menjiwai bahawa Melayu itu ada bahasanya sendiri yang perlu dipertahankan. Sesungguhnya bahasa itu adalah jiwa kepada bangsa.

Justeru, menukar penggunaan Bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris terhadap mata pelajaran Matematik/Sains juga memberi pengertian betapa UMNO tidak lagi yakin dengan bahasanya sehingga kita dilihat lebih yakin dengan bahasa penjajah itu untuk memajukan bangsa yang pernah dicengkam penjajah Inggeris sebelum kita Merdeka. Jika benar dakwaan ini, UMNO akan menjerumuskan maruahnya kerana tidak yakin lagi dengan kekuatan Bahasa Melayu sebagai bahasa resmi negara ini.

Jika ada niat untuk mengantarabangsakan Bahasa Melayu di persada dunia, saya agak kurang yakin impian ini boleh tercapai kerana usaha merakyatkan Bahasa Melayu pu
n gagal ditangani dengan sebaik-baiknya oleh UMNO. Melayu GLOKAL yang pernah dicanangkan oleh bakal PM Najib Tun Razak juga hanya menjadi angan-angan mat jenin kerana bahasa ibundanya dilihat gagal diperkasakan.

Apa pun rakyat mungkin hanya membanggai UMNO kerana Perhimpunan Agungnya yang bakal diadakan pada 24 - 29 Mac ini akan menyaksikan semua pahlawan UMNO hanya segak BERBAJU MELAYU tetapi bahasanya mulai dikerandakan. Kita nak saksikan bagaimanakah caranya pemidato UMNO berhujah mempertahankan BAHASA INGGERIS sebagai Bahasa yang diyakini untuk mengantarabangsakan MELAYU.
-----------------------------------------------------------------------------------------

NGO MELAYU YANG BERHIMPUN

Lebih daripada 40 pertubuhan NGO terlibat di dalam perhimpunan yang berlandsung pada petang Sabtu, 7 Mac. Mereka termasuklah:

1. Kumpulan Prihatin
2. Persatuan Linguistik Malaysia (PLM)
3. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
4. Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI)
5. Majlis Profesor Sains Dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia
6. Wadah Pencerdasan Umat (WADAH)
7. Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM)
8. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
9. Institut Alam Tamadun Melayu,Ukm (ATMA)
10. Persatuan Penulis Nasional (PENA)
11. Persatuan Eksekutif & Usahawan Bumiputera Malaysia (PESUMA)
12. Persatuan Bekas Pelajar ITM (PBP-ITM)
13. Persatuan Suluh Budiman (PSB)
14. Persatuan Mahasiswa Islam Timur Tengah (PMITT)
15. Persatuan Pengajian Melayu Malaysia (PPMM)
16. Persatuan Seniman Malaysia (Seniman)
17. Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA)
18. Teras Pengupayaan Melayu (Teras)
19. Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS)
20. Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi)
21. Persatuan Alumni Sekolah Alam Shah (Pasas)
22. Kesatuan Sekerja DBP
23. Persatuan Penulis Kuala Lumpur (Kalam)
24. Persatuan Penulis Johor (PPJ)
25. Persatuan Penulis Muar
26. Persatuan Ulama Malaysia Pulau Pinang (Pumpp)
27. Gabungan Mahasiswa Darulaman (Persada)
28. Gabungan Mahasiswa Bersatu Perak (Bersatu)
29. Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat(Kgmmb)
30. Persatuan Sains Keadaan Pepejal (Pskp)
31. Persatuan Biologi Gunaan Malaysia
32. Persatuan Sains Matematik Malaysia
33. Majlis Profesor Sains Dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia
34. Kesatuan Pelajar Islam Perak (KPIP)
35. Kesatuan Pelajar Islam Johor (KPIJ)
36. Gamis
37. Persatuan Pendidik Insan Negeri Sembilan (PPINS)
38. Ikatan Pengkajian Islam Pahang (Ikatan)
39. Persatuan Kebajikan Dan Pendidikan Islam Wilayah Persekutuan Dan Selangor Darul Ehsan (Pepias)
40. Persatuan Kebajikan Dan Pendidikan Islam Negeri Kedah (Persida)
41. Persatuan Kebajikan Islam Sarawak (Perkepis)
42. Kesatuan Pelajar Islam Melaka (KPIM)
43. Persatuan Pembimbing Pelajar Islam Kelantan (PPIK)
44. Persatuan Pembimbing Pelajar Islam Pulau Pinang (Pembimbing)
45. Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Wilayah Persekutuan (PPIWP)
46. Persatuan Sejarah Malaysia (PSM)
47. Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM)
48. Institut Peradaban Melayu, UPSI


Friday, March 6, 2009

CALON-CALON MT DARI WP! BERTANDINGLAH SECARA BERPASUKAN....


DATO' SRI ZULHASNAN RAFIQUE
(Calon MT No. 22)

DATUK WIRA SYED ALI ALHABSHEE
(Calon MT No. 15)

DATO' MOHD. NORZA ZAKARIA
(Calon MT No. 38)

DATUK ASTAMAN ABD. AZIZ
(Calon MT No. 39)

Oleh:
Abdul Rahman Hashim

Saya ingin melanjutkan lagi wacana politik semasa yang mungkin tidak menyentuh kehangatan isu 'Perak' yang masih belum ada noktahnya. Begitu juga saya tidak mungkin untuk mengulas isu panas hari ini yang membabitkan ALTANTUYA yang terdapat di beberapa laman blog yang memetik sumber berita daripada 'The French Liberation News paper.' Saya lebih terdorong kali ini untuk menyentuh dan mengupas serba sedikit gelombang persaingan merebut jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO di dalam Perhimpunan Agung UMNO 2009 (PAU) yang membabitkan calon-calon daripada UMNO Wilayah Persekutuan.

Dalam posting saya bertarikh 24 Februari lalu saya telah membuat ulasan sepintas lalu mengenai empat calon daripada UMNO Wilayah Persekutuan yang telah 'confirm' bertanding jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, yang terdiri daripada Pengerusi Perhubungannya sendiri Dato' Sri Zulhasnan Rafique yang juga Menteri Wilayah Persekutuan; yang dituruti oleh Dato' Mohd. Norza Zakaria, Ketua Badan Perhubungan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan yang juga penyandang Ahli Majli Tertinggi, Datuk Wira Syed Ali Habshee, Ketua UMNO Bahagian Cheras dan juga Datuk Astaman Abd. Aziz, Bekas Ahli Parlimen Titiwangsa.

Dato' Sri Zulhasnan Rafique (Calon No. 22) dianggap calon favourite daripada UMNO Wilayah Persekutuan yang dijangka mampu memberikan saingan untuk berada di dalam ranking 25 teratas yang diperlukan bagi jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Tanpa mengenepikan harapan untuk menang, juga kelihatan berpihak kepada Dato' Norza Zakaria (Calon No. 38) seorang tokoh muda daripada UMNO Bahagian Wangsa Maju yang tidak lagi berada di bawah bumbung Pemuda. Untuk menang, Dato' Norza juga terpaksa menghadapi cabaran getir setelah isunya dikaitkan dengan tindakan SPRM yang telah menahannya kerana dikatakan terbabit dengan gejala politik wang.

Datuk Wira Syed Ali Alhabshee (Calon No. 15) juga bukanlah calang-calang tokoh yang tidak harus diketepikan. Pengasas dan Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) ini dilihat begitu berjasa kepada komunitinya di Bahagian Cheras kerana beliau dilihat berjaya merakyatkan UMNO menerusi agenda dan kemitraan pendidikan untuk warganya. Kelantangan dan keberanian beliau mengenengahkan beberapa isu politik mutakhir ini juga dilihat mampu mengkreditkan peluangnya untuk sebaris di dalam Majlis Tertinggi UMNO.

Manakala anakanda Tan Sri Aishah Ghani, Datuk Astaman Abd. Aziz (Calon No. 39) walaupun kini tidak berjawatan di dalam UMNO, namun beliau merasakan dirinya juga berhak untuk menawarkan diri bertanding sekali lagi sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO, walaupun tertewas di musim yang lalu.

Beliau yang pernah dikenakan tindakan disiplin oleh Lembaga Disiplin UMNO kerana terbabit dengan politik wang ketika bertanding jawatan MT musim lalu, tidak menganggapkan kariernya sudah berakhir. Beliau merasakan dirinya masih berkemampuan untuk menaburkan khidmat bakti kepada agama, bangsa dan negara walaupun tidak memegang jawatan penting di peringkat Bahagian, seperti juga dengan Dato' Norza Zakaria.

Jika boleh biarlah keempat-empat calon daripada WP ini bertanding dalam satu pasukan yang berpanjikan UMNO Wilayah Persekutuan dengan tekad sehati sejiwa, penuh keazaman dan keyakinan untuk menang, dan bukannya bertanding secara solo bagaikan tidak berminat untuk memperolehi sokongan sesama sendiri, jauh sekali untuk melihat rakan seperjuangannya turut memenangi sirkit pertandingan kali ini.

Janganlah kita berbangga dengan sikap individualistik sedemikian rupa, sedangkan keempat-empat calon ini sewajarnya digandingkan sebagai mewakili Wilayah Persekutuan dan berhak memperolehi sokongan dan juga undi secara 'enblock'. Persoalannya apakah Dato' Sri Zulhasnan, Syed Ali Alhabshee, Dato' Norza Zakaria dan Datuk Astaman Abd. Aziz masing-masing mampu memperolehi sejumlah undi enblock daripada negeri yang diwakilinya? Jika ini tidak mampu diyakini, kita bimbang kecelaruan sesama sendiri ini akan mengakibatkan yang dikendung kesemuanya keciciran.

Pada saya, jika kita merasakan wajar memberikan kemenangan kepada setiap Menteri Besar ataupun Ketua Menteri yang mengetuai Badan Perhubungan Negeri masing-masing, maka wajar jugalah kita menentukan kejayaan Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan yang kini mengetuai (Menteri) Kementerian Wilayah Persekutuan sebagai keutamaan untuk diangkat memenangi pertandingan Ahli Majlis Tertinggi ini.

Biarlah kemenangan itu mencerminkan solidariti yang berjaya ditampilkan oleh perwakilan daripada13 Bahagian di Wilayah Persekutuan. Janganlah dibiarkan sindrom perpecahan yang menjadi desas desus di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO di Wilayah Persekutuan ini dijadikan alasan kukuh oleh perwakilan negeri-negeri lain untuk menolak kesemua calon-calon daripada Wilayah Persekutuan.


Mereka pernah mengetuai UMNO Wilayah Persekutuan

Jika itu yang terjadi, saya lebih yakin selepas Perhimpunan Agung UMNO ini nanti tidak seorang pun daripada 13 Ketua UMNO Bahagian di Wilayah Persekutuan ini yang layak untuk diangkat menjadi Pengerusi Perhubungan. Akhirnya pertikaman sesama sendiri yang melanda UMNO Wilayah Persekutuan akan memaksa pucuk pimpinan meletakkan 'orang luar' untuk memimpin UMNO Wilayah Persekutuan. Siapakah orang luar yang dikatakan bakal menerajui UMNO WP? Tentunya di kalangan calon Timbalan Presiden ataupun calon Naib Presiden yang menang.

Keadaan sedemikian rupa bukanlah satu perkara yang pelik yang tidak pernah berlaku di WP ini. UMNO WP pernah diterajui oleh orang luar seperti Tun Ghafar Baba, Muhammad Muhd. Taib malah ianya juga pernah diterajui oleh Tun Hussein Onn sendiri.

Jika meletakkan salah seorang daripada 13 Ketua UMNO Bahagian untuk menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO WP, yang pastinya ialah akan ada pihak yang tidak berpuas hati dimana mereka ini pula (berkomplot) yang akan mensabotaj pemimpin baru itu sebagaimana yang pernah dilakukan terhadap pemimpin sebelumnya.

Inilah dia budaya yang sering berlaku di dalam UMNO WP, bukan sahaja terhadap Zulhasnan Rafique, malah pernah juga berlaku terhadap Drs. Suleiman Mohamed termasuk Tengku Adnan Mansor yang pernah menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO WP sebelum ini.

Kadang-kadang pertelingkahan yang berlaku itu tercetus akibat sindrom tidak puas hati di kalangan pemimpin tertentu yang tidak dilantik ke jawatan tertentu. Keangkuhan yang mengatasi kerelaan telah menjebakkan pemimpin tertentu memandang rendah terhadap pemimpin yang telah mengambil alih, sehingga mendorong kepada suatu bentuk tekanan untuk tidak menyokong pemimpin tertentu ini yang hendak bertanding ke jawatan Ahli MT, malah berlaku juga suatu 'reaksi memulau' yang tidak mencerminkan kematangan pemmpjn-pemimpin UMNO di WP.

Ada yang merasakan lebih bijaksana jika kita tidak menyokong pemimpin yang tidak disukai oleh pihak tertentu. Mereka langsung tidak terfikir untuk menjadi lebih bijaksana dengan menguatkan lagi barisan kepimpinan yang ada. Mereka terleka dengan keangkuhan yang melilit mentaliti sehingga tidak peka bahawa UMNO Wilayah Persekutuan perlu diperkasakan.

Oleh yang demikian, tidak wajarlah sekiranya terdapat tohmahan yang memandang rendah terhadap tindakan Datuk Kamaruddin Ambok (Foto) Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO WP, Datuk Redzuan Hamid (Foto), Setiausaha Badan Perhubungan UMNO WP dan Datuk Seri Dr. Suleiman Mohamed, Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa yang dilihat begitu kuat bekerja untuk kemenangan Ketuanya, Dato' Seri Zulhasnan Rafique yang bertanding jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Dr. Suleiman Mohamed juga pernah bertanding Ahli MT, dimana beliau juga merasakan wajar dirinya diberikan sokongan oleh semua perwakilan Wilayah Persekutuan. Dr. Suleiman menang kerana sebahagian besar pemimpin dan perwakilan daripada UMNO WP telah menunjukkan permuafakatan untuk menangkan ketuanya. Hari ini Dr. Suleiman telah mengambil tindakan yang betul untuk mempastikan Ketuanya di WP pula menang di dalam pertandingan merebut 25 kerusi Ahli MT.

Bukanlah yang lain-lain itu tidak menyokong Dato' Sri Zulhasnan, tetapi saya sekadar mengulas andaian buruk yang dilemparkan oleh sesetengah pihak yang tidak berminat melihat Zulhasnan menang kali ini. Di dalam blog 'budak Kuala Lumpur2' juga kelihatan komen-komen yang tidak menjurus kepada sokongan terhadap Zulhasnan, malah ada yang berhujah dengan menyenaraikan sifat-sifat buruk Zulhasnan, seolah-olah sifat buruk itu hanya ada pada Zulhasnan sahaja dan tidak ada kepada yang lainnya.

Begitu juga, saya melihat ada juga yang berminat untuk memperkatakan yang buruk terhadap kewibawaan Syed Ali Alhabshee sehingga sanggup merendah-rendahkan personalitinya yang juga bertujuan untuk menggagalkan dirinya seperti yang dilakukan terhadap Zulhasnan Rafique.

Sayang seribu kali sayang, mengapa ini harus terjadi kepada tokoh-tokoh UMNO Wilayah Persekutuan? Gejala seumpana inilah yang dibenci oleh akar umbi sehingga mereka menolak UMNO dan BN di dalam PRU12 yang lalu. Waspadalah dengan PRU13...!


Monday, March 2, 2009

NAJIB BAKAL DINOBATKAN PRESIDEN UMNO , PAK LAH BILA PULAK NAK SERAH JAWATAN PERDANA MENTERI?

Perhimpunan Agung UMNO 2009 kini semakin hampir untuk mengesahkan peralihan kuasa yang akan berlaku bukan sahaja di dalam kepimpinan parti UMNO bahkan kita akan sama-sama menyaksikan jawatan Perdana Menteri juga bakal berpindah tangan setelah Perhimpunan Agung UMNO nanti mengisytiharkan Dato' Sri Najib Tun Razak menang tanpa bertanding sebagai 'Presiden UMNO' setelah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menyandang jawatan nombor satu sejak tahun 2003 tidak lagi mempertahankan jawatannya kali ini.

Terdapat desas desus nakal yang cuba mengaitkan bahawa Pak Lah mungkin masih berminat untuk memanjangkan tempoh perkhidmatannya sebagai Perdana Menteri walaupun tidak menyandang jawatan Presiden UMNO, namun Pak Lah dilihat konsisten dengan janjinya akan menyerahkan kuasa kepada penggantinya dengan mengikut jadual yang telah dipersetujui.

Pak Lah dalam satu kenyataannya di Thailand semalam menegaskan bahawa beliau tetap akur dengan pelan peralihan kuasa yang telah dipersetujui itu dan berkata tidak timbul isu untuk beliau mengingkarinya.

Cuma Pak Lah perlu memberikan penjelasan segera bilakah beliau akan membuat pengumuman untuk meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri bagi membolehkan Presiden UMNO yang baru diperkenankan oleh Yang Dipertuan Agong untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri yang baru.

Adakah Pak Lah akan membuat pengumuman tersebut di dalam Perhimpunan Agung UMNO nanti semasa menyampaikan ucapan di dalam 'Taklimat Presiden' pada 24 Mac ATAU ketika mengadakan mesyuarat MT yang terakhir bagi dirinya pada 25 Mac, ATAU adakah beliau akan membuat pengumuman itu ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada 26 Mac, dan mungkin juga sesuai untuk beliau membuat pengumuman itu di dalam ucapan penggulungannya di hari terakhir Perhimpunan Agung pada 28 Mac.

Semua kemungkinan ini boleh dipilih oleh Pak Lah, kerana yang jelas ialah Dato' Sri Najib memerlukan mandat ini untuk memimpin gerak kerja pilihan raya kecil di Parlimen Bukit Gantang, DUN Bukit Selambau dan juga DUN Batang Ai di Lubuk Antu, Sarawak.

Ketika itu Dato' Sri Najib merupakan Presiden UMNO yang baru dan secara otomatis juga merupakan Pengerusi Barisan Nasional yang perlu menandatangani watikah calon BN yang bakal bertanding di dalam pilihan raya kecil tersebut. Pak Lah mungkin boleh membuat perakuan lebih awal sebelum menyerahkan jawatanya kepada Najib terhadap bakal-bakal calon BN itu nanti.

Namun begitu Najib juga harus diberikan peluang untuk menandatangani semua watikah calon-calon yang berkenaan atas sifatnya sebagai Presiden UMNO dan juga Pengerusi Barisan Nasional yang baru, sekaligus memimpin parti untuk berhadapan dengan Pakatan Rakyat yang bakal memberikan cabaran getir di tiga kawasan pilihan raya itu.

Sementara itu Perwakilan UMNO seluruh negara yang sedang didekati oleh tokoh-tokoh yang akan bertanding di dalam Perhimpunan Agung UMNO dijangka bakal bertandang lebih awal ke Kuala Lumpur di mana sebahagian besar daripada mereka ini juga dijangka akan menyerbu ke Bukit Gantang, Perak dan juga di Bukit Selambau, Kedah sebaik selesai Perhimpunan Agung UMNO pada 28 Mac ini, kerana keesokan harinya merupakan hari penamaan calon bagi kedua-dua pilihan raya kecil tersebut.

Satu perkara menarik yang bakal disaksikan nanti ialah apakah interaksi diantara mereka yang telah menang dengan mereka yang kalah bertanding di dalam Perhimpunan Agung UMNO. Sudah tentu kesan daripada pertandingan sengit di dalam UMNO itu yang melibatkan jawatan Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden dan Ahli-Ahli MT serta lain-lain jawatan di dalam Pergerakan Pemuda, Wanita dan juga Puteri akan memberikan impak terhadap sokongan yang diperlukan di dalam kedua-dua pilihan raya kecil yang bakal berlangsung pada 7 April nanti.

Kedudukan siapakah yang bakal memenangi jawatan Timbalan Presiden UMNO juga menyaksikan penyandangnya akan bergandingan dengan Dato' Sri Najib sebagai bakal Timbalan Perdana Menteri.

Jika Muhyidin Yassin menang sebagai Timbalan Presiden UMNO, laluannya lebih mudah untuk diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri. Jika Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka pula yang menang jawatan nombor dua ini, tentunya agak sulit untuk meletakkannya ke jawatan Timbalan Perdana Menteri, kerana kemungkinan beliau terpaksa melepaskan jawatan Ketua Menteri Melaka, seterusnya terpaksa dikorbankan mana-mana Ahli Parlimen di negerinya untuk mengosongkan kerusi berkenaan, bagi membolehkan dirinya bertanding di kawasan Parlimen itu sebelum beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Kedua-dua tokoh ini dikatakan sedang bersaing dengan sengitnya jika dibandingkan dengan Muhammad Muhd. Taib yang juga bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden ini. Kita serahkan kebijaksanaan ini kepada perwakilan UMNO untuk menentukannya.

Kita mengharapkan kemelut dalam UMNO ini tidak merebak di dalam pilihan raya kecil ini. Tentunya kita ingin melihat sejauh manakah UMNO mampu mempertautkan semula kekuatan yang ada untuk menghadapi pilihan raya kecil yang dianggap sebagai satu ujian terbesar bagi UMNO setelah tewas di dua pilihan raya kecil sebelumnya iaitu di Permatang Pauh dan juga di Kuala Terengganu.

Kekalahan di Bukit Gantang dan juga di Bukit Selambau perlu dielakkan oleh UMNO kali ini, kerana ianya akan memalukan Dato' Sri Najib yag baru saja dinobatkan sebagai peimimpin nombor satu di dalam UMNO dan juga bakal menjadi Perdana Menteri yang baru. UMNO dan BN perlu menang kali ini kerana ini merupakan satu hadiah istimewa dari rakyat untuknya. Jika berlaku sebaliknya, memang jelas UMNO perlu segera dijenamakan semula.

Friday, February 27, 2009

"PEMUDA UMNO CELAKA" - KARPAL SINGH DISERANG PEMUDA UMNO DI BANGUNAN PARLIMEN.

KECOH...."Pertama kali berlaku di dalam sejarah" - demikian kata Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia merujuk kepada insiden yang menimpa Pengerusi Kebangsaan DAP Karpal Singh yang dikepung oleh sekumpulan anggota Pemuda Umno di bangunan Parlimen petang kelmarin (26 Februari).

Di dalam kejadian tersebut Pemuda UMNO menuntut Wakil Rakyat OKU itu (Karpal Singh) meminta maaf kepada pergerakan tersebut kerana mendakwa mereka menghantar peluru kepadannya.


Ini ekoran tindakan Karpal menggunakan perkataan 'celaka' yang ditujukannya kepada Pemuda Umno semasa perbahasan di Dewan Rakyat kelmarin serta mendakwa pergerakan itu menghantar peluru kepadanya.

Karpal bagaimanapun menarik balik perkataan "celaka" itu setelah diarah oleh Timbalan Speaker Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Utara, Latt Sharizan Abdul dan Ketua Pemuda Umno Bahagian Gombak, Megat Zulkarnain Amiruddin mengepung ahli Parlimen Bukit Gelugor itu sambil meminta Karpal mengakui ada menyebut perkataan "Pemuda Umno celaka" dan meminta maaf kepada mereka.

Kejadian itu berlaku pada kira-kira jam 2.30 petang kelmarin ketika ahli parlimen Bukit Gelugor itu masuk melalui pintu utama bangunan tersebut.

Kira-kira 20 hingga 30 ahli Pemuda Umno terbabit dan mereka dipercayai dari Selangor and Kuala Lumpur

Bagaimanapun, Karpal kemudiannya menelefon ahli parlimen Batu Gajah, Fong Poh Kuan yang kemudian tiba bersama beberapa wakil rakyat Pakatan Rakyat lain.

Suasana kelam-kabut di kawasan Parlimen itu bertambah kecoh apabila dua ahli Parlimen Segambut, Lip Li Eng dan Bukit Bintang, Fong Kui Lun cuba mempertahankan Karpal.

Namun salah seorang daripada Ketua Pemuda terbabit, Zulkarnain menarik baju ahli Parlimen Segambut itu.

Ekoran itu berlaku kekecohan antara kumpulan penyokong Umno dengan wakil-wakil rakyat pembangkang di situ sebelum pengawal keselamatan tiba untuk meleraikan mereka.

Khairy berkata tuduhan yang dilemparkan anggota parlimen satu tuduhan liar, gila serta berniat jahat.

"Karpal sepatutnya tidak bersembunyi dan berselindung di belakang kekebalan seorang ahli parlimen dengan membuat tuduhan yang tiada asas dan kebenaran.

"Jika beliau ada bukti bahawa peluru tersebut dihantar oleh Pemuda Umno, kami dengan ini mencabar Karpal untuk menunjukkan bukti dalam 24 jam.

"Sekiranya beliau gagal memberi sebarang bukti, rakyat Malaysia bolehlah menganggap dirinya seorang penipu yang sudah hilang segala kredibiliti dan kewarasan," Khairy.

Tetapi menurut pemerhati kejadian tersebut, apa yang nyata Khairy bersama Pemudanyalah yang sudah hilang segala kredibiliti dan kewarasan apabila bertindak mengepung dan menyerang Karpal Singh di parlimen.

"Khairy selama ini meletakkan undang-undang di dalam tangannya untuk bertindak sesuka hati semata-mata kerana beliau menantu PM," tambahnya.

"Beliau menggunakan alasan "sentimen rakyat" sedangkan Pemuda UMNO tidak mewakili majoriti rakyat di negara ini."

Pandikar Amin Mulia menyatakan beliau akan meminta Kementerian Dalam Negeri supaya menyiasat perkara itu dan berjanji akan memastikan parkara itu tidak berulang.

Manakala Karpal pula dengan tegas berkata: "Saya mungkin kurang upaya, tetapi saya tidak tunduk kepada ugutan mana-mana pihak."

Sementara itu, Pengerusi Kelab Penyokong BN, Datuk Seri Tiong King Sing memberitahu pemberita bahawa kesemua 22 anggota Pemuda Umno yang terbabit, telah ditahan oleh polis Bukit Aman.

Beberapa orang pemerhati juga mendesak supaya Khairy Jamaluddin patut dikenakan tindakan yang berat kerana mendalangi serangan tersebut.

Tuesday, February 24, 2009

EMPAT CALON WP BERENTAP MAJLIS TERTINGGI UMNO


Dari Kiri:
Dato' Sri Zulhasnan Rafique, Dato' Norza Zakaria, Datuk Syed Ali Alhabshee dan Datuk Astaman

Empat calon daripada Wilayah Persekutuan akan berentap di dalam gelanggang pemilihan jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO tahun ini. Di dalam pengundian nombor calon yang diadakan hari ini (24 Februari) menyaksikan Dato' Sri Zulhasnan Rafique, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan mendapat nombor 22.

Datuk Syed Ali Alhabshee, Ketua UMNO Bahagian Cheras pula telah mendapat nombor 15, manakala Dato' Mohd. Norza Zakaria yang juga Ahi MT telah mendapat nombor 38 yang diikuti rapat dengan Datuk Astaman Abdul Aziz, bekas Ahli Parlimen Titiwangsa yang bernombor 39.

Seramai 51 calon telah mengesahkan akan bertanding bagi jawatan Ahli Majlis Tertingggi, manakala jawatan Timbalan Presiden UMNO menyaksikan tiga calon yang bakal bersaing iaitu Tan Sri Muhyidin Yassin (No. 1), Datuk Seri Mohd. Ali Rustam (No. 2) dan juga Tan Sri Muhammad Muhd. Taib (No.3).


Calon Tunggal Presiden


Calon-Calon Timbalan Presiden UMNO



Calon-Calon Naib Presiden UMNO

Bagi jawatan Naib Presiden UMNO pula menyaksikan lapan orang tokoh yang telah mengesahkan betanding bagi jawatan ini. Diantara tokoh-tokoh tersebut ialah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (No. 1), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (No. 2), Datuk Seri Dr. Rais Yatim (No. 3), Tan Sri Mohd. Isa Abd. Samad (No. 4), Datuk Seri Syed Hamid Albar (No. 5), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (No. 6), Tan Sri Rahim Tamby Chik (No. 7) dan juga Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn (No. 8).

Sementara itu Dato' Sri Mohd. Najib Tun Razak merupakan calon tunggal yang bakal dinobatkan sebagai Presiden UMNO menggantikan Pak Lah yang tidak mempertahankan jawatannya kali ini.

Satu perkara menarik yang perlu diberikan perhatian di Wilayah Persekutuan ini ialah sejauh manakah calon-calonnya mampu memenangi hati 169 orang perwakilan daripada 13 Bahagian seluruh Wilayah Persekutuan yang menjadi asas sokongan terhadap mereka. Sewajarnya kesemua 169 perwakilan ini memberikan keutamaan undi mereka kepada semua calon WP yang bertanding itu, sebelum mereka mengundi calon-calon yang lainnya.

Namun begitu andaian ini kemungkinan tidak menepati jangkaan, kerana masing-masing dikatakan mempunyai pendirian untuk menentukan pilihan di hati. Kita mendoakan kejayaan buat semua calon WP...! Insya Allah.




MELAYU BERSENGKETA MERUNTUHKAN EMPAYARNYA SENDIRI

Mengimbas senario politik negara hari ini, kelihatannya menjurus kepada keretakan yang amat merugikan umat Melayu. Apa tidaknya cabar mencabar di antara kabilah-kabilah Melayu yang sedang bergejolak dewasa ini merupakan persengketaan MELAYU yang tidak bernoktah yang bakal menjerumuskan hilangnya kekuasaan Melayu di negaranya sendiri.

Pupusnya dominasi Melayu di negara ini akan menyaksikan Islam tidak lagi di tampuk kuasa. Apabila Melayu dan Islam tidak berkuasa lagi di bumi Malaysia ini, maka Raja-Raja Melayu juga akan terpalit dan mungkin tidak lagi bernobat di singgahsana, akibat runtuhnya kuasa politik Melayu.

Lagak UMNO diperhatikan

UMNO yang menjadi tonggak kepada kekuasaan Melayu kini sedang diperhatikan lagaknya samada masih mampu mempertahankan dominasi apa yang sering disebutkan sebagai 'Ketuanan Melayu'. Gelagat semua pemimpin Melayu dari UMNO juga sedang diteropong oleh akar umbinya, samada UMNO yang dikemudikan hari ini masih berlandaskan kepada perjuangan membela 'Melayu' secara merakyat ataupun membela 'Melayu' secara retorik dengan terpekik di sana sini, tetapi yang untungnya 'orang lain'. Orang lain dilihat bertepuk tangan kerana melihat 'Melayu' sedang bertempur sesama sendiri.

Air Mata Darah

Pertempuran sekulit dan seagama ini tentunya mengakibatkan bukan sahaja banyak pihak yang terluka dan tercedera, malah kita akan menyaksikan 'perang saudara' ini juga bakal meruntuhkan EMPAYAR MELAYU dalam abad ini. Tawarikh duka ini bakal menjadi tatapan anak bangsa kita di masa hadapan. Jika ini yang terjadi, titisan air mata darah sekali pun tidak mungkin dapat mengembalikan semula takhta yang diruntuhkan oleh juragan-juragan politikus yang durjana ini.

Ketiga-tiga pemimpin UMNO, PAS dan PKR dilihat sama sahaja, mereka asyik bermegah dengan isu-isu yang tidak melambangkan keserasian untuk menyatu padukan umat Melayu yang sedang bersengekta ini. Mereka-mereka ini sebenarnya perlu segera ditegur, supaya pencak silat berpolitik jangan sampai tertikam sesama sendiri.

Ketangkasan bukan untuk merebahkan saudara sebangsa

Kita perlu ingatkan mereka juga bahawa ketangkasan bermain senjata bukannya untuk merebahkan saudara sebangsa dan seagama. Apakah Melayu yang berjenama UMNO, PAS dan PKR diharuskan oleh Agama Islam supaya berbunuh sesama sendiri? Apa bezanya kepercayaan dan juga pegangan akidah umat Islam di kalangan Melayu UMNO, Melayu PAS dan Melayu PKR? Jika mereka boleh berjemaah di dalam solat dan mengaminkan doa untuk menghambakan diri kepada Allah Rabbul Jalil, kenapa mereka masih bermufarakah sesama sendiri bagaikan anjing dengan kuching?

UMNO, PAS dan PKR kena selalu bermunajat



UMNO, PAS dan PKR kena bermunajat selalu memohon keampunan kepada Allah yang Maha Esa supaya digerakkan hati untuk saling bermuafakat dan tidak terdorong untuk menadah tangan berdoa memusnahkan kekuatan masing-masing. Apa faedahnya kekuatan majoriti yang ada pada umat Melayu di negara ini tetapi tidak dapat dimanfaatkan oleh anak bangsa sendiri, sebaliknya kekuatan ketiga-tiga parti ini dilihat semaikin tidak cermat ditangani dan tidak berhemah lagi dengan sanggup mendedahkan keburukan dan kebobrokan masing-masing tanpa menjiwai dosa dan pahala, sehingga tergamak mempamerkan keangkuhan (ego) masing-masing semata-mata tamakkan kuasa, sehingga kuasa Melayu dilihat akan melayang bagaikan debu yang berterbangan.

Rasanya tak payahlah kita menjadi 'wira - hero' yang perkasa, jika keperkasaan itu tidak bertempat. Melayu mesti perkasa mempertahankan identitinya. Melayu mesti diperkasakan dengan BAHASANYA kerana itulah jiwa bangsa kita.

Menjatuhkan air muka Melayu

Melayu mesti diperkasakan di negara ini dengan GENGGAMAN KUASANYA yang kukuh yang bersalutkan semangat kesatuan hati dan nurani tanpa diracuni dengan prasangka jahat sehingga sanggup menjatuhkan maruah dan air muka sesama sendiri yang MEMALUKAN MELAYU.


Carilah formula terbaik untuk mereka ini...

Sewajarnya ANWAR, HADI AWANG dan PAK LAH/NAJIB dijadikan lambang kehebatan kuasa Melayu abad ini. Mereka bukannya malaikat, dan bukan juga 'maksum', tetapi mereka ini adalah pemimpin Melayu yang masing-masing ada instink pengaruhnya. Mereka harus didorongkan untuk bersatu hati, dan bukannya dilaga-lagakan.

Sepatutnya mereka buangkan ego masing-masing dan fikirkanlah masa depan anak bangsa kita. Jangan biarkan anak, cucu cicit kita tidak lagi menikmati kekuasaan Melayu seperti kita hari ini, dan jika ini yang terjadi amat malanglah kita, kerana mungkin hayat kita tidak mampu bertahan pada masa itu untuk memberikan pembelaan kepada generasi Melayu yang malang itu Semuanya sudah terlambat.

Jika kita masih berminat membiarkan pertikaman ini berterusan, jawapannya ialah akan ada salah seorang yang mati ditikam. Sebenarnya yang menikam itu Melayu dan yang terbunuh itu pun juga Melayu. Sebagai anak Melayu samada dari UMNO, PAS ataupun PKR, sedarlah bahawa parti-parti lain seperti DAP, MCA, GERAKAN, MIC dan sekutu dengannya tidak sehaluan dengan kita dalam banyak perkara yang berkaitan dengan perjuangan memartabatkan Melayu.

Mereka ini juga sering melaung-laungkan hak masing-masing dan amat mencemburui dengan kejayaan kita, terutamanya jika kita bersatu. Sudah tentu ada yang bergembira jika melihat kita bersengketa sesama sendiri, kerana mereka yakin suatu hari nanti mereka mampu menguasai kerajaan di atas keruntuhan kuasa Melayu.