Dato' Dr. Mohd. Shafie AbdullahKETUA BAHAGIAN WANGSA MAJU YANG BARU
Dari Kiri: Dato' Zainal Nazeri, Datuk Astaman dan Dato' Norza Zakaria
ANTARA TIGA DATUK YANG TERSISIH DI WANGSA MAJU
---------------------------------------------------------------------------------
.
Dato' Zainal Nazeri Zainuddin akhirnya menghilangkan diri, Datuk Astaman Abd. Aziz pula ditewaskan untuk jawatan Timbalan Ketua Bahagian, Dato' Norza Zakaria tidak mendapat apa-apa pencalonan, manakala Datuk Manan dan Datuk Osman Bakar pula belayar malam bersama-sama dengan kapten kapalnya.
Lima Datuk sekapal dengan Dato' Zainal
Demikianlah menariknya episod lima orang Datuk di Bahagian Wangsa Maju yang dikatakan berada dalam satu kapal bersama Dato' Zainal Nazeri yang tidak kesampaian ke detinasi masing-masing untuk merempuh benteng pertahanan Dato' Mohd. Shafie Abdullah yang sudah lama berakar tunjang di Wangsa Maju. Kesemua Datuk-Datuk yang berkenaan secara kebetulannya tidak menetap di dalam kawasan Parlimen Wangsa Maju, kecuali Dato' Shafie telah disisih dan kecundang di dalam musim pemilihan jawatan di peringkat Bahagian Wangsa Maju baru-baru ini.
Setiausaha Bahagian, Bendahari dan
Ketua Penerangan dilantik
Nama-nama mereka juga tidak tersenarai ketika pengumuman Ketua UMNO Bahagian melantik jawatan-jawatan Setiausaha Bahagian, Bendahari Bahagian dan juga Ketua Penerangan Bahagian. Sebaliknya Dato' Dr. Shafie Abdullah telah mengumumkan perlantikan Ramli Manan daripada UMNO Cawangan Kg. Puah Bahagia sebagai Setiausaha UMNO Bahagian, Abd. Sani Ahmad Ketua UMNO Cawangan Kg. Wira Jaya sebagai Bendahari Bahagian dan Mohd. Radzi Mustapha Ketua UMNO Cawangan Taman Danau Kota pula sebagai Ketua Penerangan Bahagian.
Habib, Pegawai Khas Ketua Bahagian
Sementara itu, Saudara Habib orang kuat Dato' Shafie daripada cawangan Taman Setapak telah dilatik sebagai Pegawai Khas kepada Ketua UMNO Bahagian. Jawatan-jawatan lain seperti ahli jawatankuasa Bahagian yang dilantik oleh Ketua Bahagian masih belum diumumkan oleh Dato' Shafie
Pasukan Wangsa Maju Mantap
Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Wangsa Maju yang berlangsung pada 8 November lalu telah menyaksikan keunggulan Dato' Shafie membentuk sebuah pasukan yang mantap untuk memikul amanah akar umbi yang menuntut agar Parlimen Wangsa Maju yang kini terlepas ke tangan PKR dirampas semula ke tangan UMNO. Selama dua penggal UMNO kehilangan kerusi Parlimen Wangsa. PRU11 (2004) menyaksikan UMNO telah memberikan laluan kepada MCA dengan kemenangan YTL.
Begitu juga UMNO sekali lagi dilihat tidak berupaya untuk menuntut kembai kerusi Parlimen Wangsa Maju ini daripada MCA dan akhirnya MCA ditolak oleh pengundi dengan memberikan kemenangan kepada PKR di dalam PRU12 (2008). Kini Wangsa Maju telah dikuasai oleh parti pembangkang akibat persengketaan dalaman UMNO Wangsa Maju yang tidak berupaya untuk mencari noktahnya.
Ketepikan sentimen rampas semula Wangsa Maju
Kini ahli-ahli UMNO di Wangsa Maju harus mengenepikan segala sentimen keperibadian pemimpinnya dan berani menuntut supaya saf kepemimpinan UMNO yang diketuai oleh Dato' Shafie hari ini merangka satu agenda bersepadu untuk merakyatkan perjuangan UMNO. Sentuhan UMNO kali ini biarlah sampai ke lubuk hati sehingga terpancar semula keyakinan rakyat akar umbi kepadanya.
Jangan Kaya Rayakan Pemimpin Sahaja
UMNO jangan dilihat sebagai platform untuk mengkaya rayakan pemimpinnya sahaja, sedangkan rakyat masih menderita dengan pelbagai tekanan yang menghimpit kehidupan mereka. UMNO hari ini juga mesti bijak untuk menentukan keutamaan dalam misi perjuangannya. Rakyat yang tidak menjadi ahli UMNO juga harus tidak diketepikan dalam perjuangan membela agama, bangsa dan negara. Pendekata, di dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen seperti Malaysia ini. parti UMNO mestilah dilihat relevan untuk semua.
Setia Perkasa
Saya berkeyakinan penuh Dato' Shafie mampu untuk melakukan sentuhan ini, kerana saya mengenalinya sebagai seorang pemimpin yang gigih, tidak kenal berputus asa, memiliki ketahanan dan berdaya fikir, berketrampilan, berdedikasi, punyai jati diri dan sarat dengan pengikutnya yang setia perkasa. Beliau juga bijak berkata-kata sehingga mampu mempengaruhi dan memikat hati kawan dan juga lawan.
Zulhasnan pernah dilonjakkannya
Kekuatan dinastinya berputik sejak era Azman Atar di Bahagian Batu lagi. Azman Atar pernah bergelut dengannya, Dr. Kamal Salih juga pernah menghadapi laluan sukar untuk berhadapan dengannya, begitu juga dengan Dato' Sri Zulhasnan Rafique yang pernah dilonjakkannya sehingga mampu bertapak dalam gelanggang politik semasa di Wangsa Maju dahulu. Sememangnya tidak siapa boleh menafikan fakta-fakta yang saya sebutkan itu. Saya berani menyatakan demikian, kerana saya sendiri pernah berada dan terlibat dalam sepak terajang politik bersama-sama dengannya. Jika kita nakkan kekuatan politik di Wangsa Maju, kita jangan perkecilkan pengaruh Dato' Shafie di sana! Mengenepikannya bermakna menyongsang arus.
Permata Wangsa Maju
Sememangnya kejayaan beliau hari ini bukanlah datang bergolek. Shafie telah merentasi segala onak dan duri yang menjadikannya semakin matang. Beliau adalah permata di Wangsa maju yang bakal menyinari seluruh warganya.