assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Saturday, November 15, 2008

Lima Dato' tersisih di Wangsa Maju, Ramli Manan Setiausaha Bahagian, Radzi Mustapha Ketua Penerangan dan Abd. Sani Ahmad Bendahari Bahagian...


Dato' Dr. Mohd. Shafie Abdullah
KETUA BAHAGIAN WANGSA MAJU YANG BARU


Dari Kiri: Dato' Zainal Nazeri, Datuk Astaman dan Dato' Norza Zakaria
ANTARA TIGA DATUK YANG TERSISIH DI WANGSA MAJU
---------------------------------------------------------------------------------
.
Dato' Zainal Nazeri Zainuddin akhirnya menghilangkan diri, Datuk Astaman Abd. Aziz pula ditewaskan untuk jawatan Timbalan Ketua Bahagian, Dato' Norza Zakaria tidak mendapat apa-apa pencalonan, manakala Datuk Manan dan Datuk Osman Bakar pula belayar malam bersama-sama dengan kapten kapalnya.

Lima Datuk sekapal dengan Dato' Zainal

Demikianlah menariknya episod lima orang Datuk di Bahagian Wangsa Maju yang dikatakan berada dalam satu kapal bersama Dato' Zainal Nazeri yang tidak kesampaian ke detinasi masing-masing untuk merempuh benteng pertahanan Dato' Mohd. Shafie Abdullah yang sudah lama berakar tunjang di Wangsa Maju. Kesemua Datuk-Datuk yang berkenaan secara kebetulannya tidak menetap di dalam kawasan Parlimen Wangsa Maju, kecuali Dato' Shafie telah disisih dan kecundang di dalam musim pemilihan jawatan di peringkat Bahagian Wangsa Maju baru-baru ini.
Setiausaha Bahagian, Bendahari dan
Ketua Penerangan dilantik
Nama-nama mereka juga tidak tersenarai ketika pengumuman Ketua UMNO Bahagian melantik jawatan-jawatan Setiausaha Bahagian, Bendahari Bahagian dan juga Ketua Penerangan Bahagian. Sebaliknya Dato' Dr. Shafie Abdullah telah mengumumkan perlantikan Ramli Manan daripada UMNO Cawangan Kg. Puah Bahagia sebagai Setiausaha UMNO Bahagian, Abd. Sani Ahmad Ketua UMNO Cawangan Kg. Wira Jaya sebagai Bendahari Bahagian dan Mohd. Radzi Mustapha Ketua UMNO Cawangan Taman Danau Kota pula sebagai Ketua Penerangan Bahagian.
Habib, Pegawai Khas Ketua Bahagian
Sementara itu, Saudara Habib orang kuat Dato' Shafie daripada cawangan Taman Setapak telah dilatik sebagai Pegawai Khas kepada Ketua UMNO Bahagian. Jawatan-jawatan lain seperti ahli jawatankuasa Bahagian yang dilantik oleh Ketua Bahagian masih belum diumumkan oleh Dato' Shafie
Pasukan Wangsa Maju Mantap


Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Wangsa Maju yang berlangsung pada 8 November lalu telah menyaksikan keunggulan Dato' Shafie membentuk sebuah pasukan yang mantap untuk memikul amanah akar umbi yang menuntut agar Parlimen Wangsa Maju yang kini terlepas ke tangan PKR dirampas semula ke tangan UMNO. Selama dua penggal UMNO kehilangan kerusi Parlimen Wangsa. PRU11 (2004) menyaksikan UMNO telah memberikan laluan kepada MCA dengan kemenangan YTL.
Begitu juga UMNO sekali lagi dilihat tidak berupaya untuk menuntut kembai kerusi Parlimen Wangsa Maju ini daripada MCA dan akhirnya MCA ditolak oleh pengundi dengan memberikan kemenangan kepada PKR di dalam PRU12 (2008). Kini Wangsa Maju telah dikuasai oleh parti pembangkang akibat persengketaan dalaman UMNO Wangsa Maju yang tidak berupaya untuk mencari noktahnya.
Ketepikan sentimen rampas semula Wangsa Maju
Kini ahli-ahli UMNO di Wangsa Maju harus mengenepikan segala sentimen keperibadian pemimpinnya dan berani menuntut supaya saf kepemimpinan UMNO yang diketuai oleh Dato' Shafie hari ini merangka satu agenda bersepadu untuk merakyatkan perjuangan UMNO. Sentuhan UMNO kali ini biarlah sampai ke lubuk hati sehingga terpancar semula keyakinan rakyat akar umbi kepadanya.
Jangan Kaya Rayakan Pemimpin Sahaja

UMNO jangan dilihat sebagai platform untuk mengkaya rayakan pemimpinnya sahaja, sedangkan rakyat masih menderita dengan pelbagai tekanan yang menghimpit kehidupan mereka. UMNO hari ini juga mesti bijak untuk menentukan keutamaan dalam misi perjuangannya. Rakyat yang tidak menjadi ahli UMNO juga harus tidak diketepikan dalam perjuangan membela agama, bangsa dan negara. Pendekata, di dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen seperti Malaysia ini. parti UMNO mestilah dilihat relevan untuk semua.
Setia Perkasa
Saya berkeyakinan penuh Dato' Shafie mampu untuk melakukan sentuhan ini, kerana saya mengenalinya sebagai seorang pemimpin yang gigih, tidak kenal berputus asa, memiliki ketahanan dan berdaya fikir, berketrampilan, berdedikasi, punyai jati diri dan sarat dengan pengikutnya yang setia perkasa. Beliau juga bijak berkata-kata sehingga mampu mempengaruhi dan memikat hati kawan dan juga lawan.
Zulhasnan pernah dilonjakkannya

Kekuatan dinastinya berputik sejak era Azman Atar di Bahagian Batu lagi. Azman Atar pernah bergelut dengannya, Dr. Kamal Salih juga pernah menghadapi laluan sukar untuk berhadapan dengannya, begitu juga dengan Dato' Sri Zulhasnan Rafique yang pernah dilonjakkannya sehingga mampu bertapak dalam gelanggang politik semasa di Wangsa Maju dahulu. Sememangnya tidak siapa boleh menafikan fakta-fakta yang saya sebutkan itu. Saya berani menyatakan demikian, kerana saya sendiri pernah berada dan terlibat dalam sepak terajang politik bersama-sama dengannya. Jika kita nakkan kekuatan politik di Wangsa Maju, kita jangan perkecilkan pengaruh Dato' Shafie di sana! Mengenepikannya bermakna menyongsang arus.
Permata Wangsa Maju

Sememangnya kejayaan beliau hari ini bukanlah datang bergolek. Shafie telah merentasi segala onak dan duri yang menjadikannya semakin matang. Beliau adalah permata di Wangsa maju yang bakal menyinari seluruh warganya.

Thursday, November 13, 2008

FENOMENA OBAMA DAN OBANGAU..

Senator Barack Hussein Obama

John McCain
Obama telah menang menjadi Presiden Amerika Syarikat yang ke-44 dengan penuh bergaya. Beliau menang setelah berhempas pulas berkempen dengan membawa misi dan visi yang jelas untuk melakukan perubahan bukan sahaja untuk negaranya, Amerika Syarikat malah untuk masa depan dunia keseluruhannya.

Ucapan Tahniah

Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, mengucapkan tahniah kepada Obama. Begitu juga Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak dan bekas Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim juga membuat ucapan yang sama.

Orang Kulit Hitam Pertama Jadi No. 1 AS
Seluruh dunia menyambut baik kemenangan 'Barack Hussein Obama' memimpin negara yang terkuat di dunia ini. Kejayaannya menumpaskan 'John McCain' sekaligus mencatatkan satu sejarah dimana beliau merupakan tokoh berkulit hitam yang pertama menjadi Pemimpin Nombor Satu Amerika Syarikat.
Tentunya seluruh warga kulit hitam di dunia ini, terutamanya di Benua Afrika merasakan martabat dan maruah mereka semacam terbela, kerana di Benua Afrika orang berkulit hitam dikatakan begitu tertekan dengan pelbagai masalah sosialnya, malah sering terjebak dengan gejolak politik yang terus menghimpit kehidupan mereka.

Obama bawa perubahan

Hari ini Obama menjadi kebanggaan mereka, dan beliau diharapkan dapat membawa perubahan radikal bukan sahaja untuk orang berkulit hitam, malah lebih besar daripada itu dunia mengharapkan sentuhan Obama dalam menangani beberapa isu-isu global.
Kita ingin melihat sejauh mana tangannya diikat oleh rejim zionis yang begitu berpengaruh di negara tersebut sehingga menyebabkan isu-isu yang menyentuh dunia Islam seringkali tidak berpihak kepada Islam. Isu Palestin yang ditindas oleh negara Yahudi Israel masih dilihat sikap hipocracy Amerika Syarikat yang terkedu yang jelas berpihak kepada negara Yahudi itu. Begitu juga kita hendak melihat sejauh mana Obama dapat menyelesaikan isu-isu yang membabitkan negara Iraq, Iran, Afghanistan, Pakistan dan banyak lagi negara Islam yang dicampurinya.

McCain akui kekalahannya

Apa yang menarik untuk diperhatikan ialah calon Presiden Amerika Syarikat yang kalah, John McCain meletakkan tanggungjawab kekalahan itu atas dirinya sendiri. Tampak, beliau seorang yang berjiwa besar. Kita kagum dengan sifat yang terpuji yang ditunjukkan oleh MacCain. Dia kalah bukan sebab dia tidak baik, tetapi kerana Obama lebih baik.

Menyalahkan lawan

Orang politik di negara ini sukar untuk menerima kelemahan diri. Saya belum pernah bertemu orang politik yang menyenaraikan kelemahan diri sendiri sebagai punca kekalahan. Apabila kalah dalam pertandingan merebut jawatan parti mahupun pilihanraya, dia pasti menyalahkan lawan. Apabila tewas pemilihan parti, dia menyalahkan orang lain dan menuduh ada yang belot. Begitu juga apabila tidak dipilih sebagai calon pilihanraya, dia akan menyalahkan pemimpin atasan yang buta pertimbangan.
OBANGAU

Yang ada dalam politik Malaysia ialah "Obangau". Ingat lagu "Bangau Oh Bangau"? Pertanyaan "mengapa bangau menjadi kurus" berakhir dengan meletakkan kesalahan kepada "katak memanggil hujan"; sedangkan katak tersebut mungkin tidak langsung mengenali sang bangau yang kurus itu
Itulah fenomena orang politik yang lebih suka menyalahkan orang lain. Walaupun diri sendiri penuh dengan kudis, tetapi yang dia nampak ialah kurap orang lain. Lantaran itulah sesetengah orang politik tidak mengubati kudisnya sendiri, tetapi meneropong kurap orang lain. Mentaliti pemimpin masih lagi dipengaruhi rasa dendam kesumat, bila menang menggunakan pendekatan mencantas tetapi bila kalah tidak dapat menerima realiti serta menyalahkan pihak-pihak lain.

Tidak sukar cari OBAMA dalam UMNO?

Tentulah tidak sukar mencari orang politik yang ingin menjadi Obama. Ada dalam UMNO, ada dalam PKR dan ada juga dalam PAS. Memang tidak susah nak cari. Tetapi yang susah ialah nak mencari orang politik macam McCain. Dalam ucapannya, McCain memikul kekalahan sendiri. Dia tidak menyalahkan orang lain. Katanya:

We fought — we fought as hard as we could. And though we feel short, the failure is mine, not yours.
McCain meminta semua rakyat Amerika bersama-sama Obama melangkah ke hadapan:

I urge all Americans ... I urge all Americans who supported me to join me in not just congratulating him, but offering our next president our good will and earnest effort to find ways to come together to find the necessary compromises to bridge our differences and help restore our prosperity, defend our security in a dangerous world, and leave our children and grandchildren a stronger, better country than we inherited. Whatever our differences, we are fellow Americans. And please believe me when I say no association has ever meant more to me than that. It is natural. It's natural, tonight, to feel some disappointment. But tomorrow, we must move beyond it and work together to get our country moving again.
Ucapan McCain penuh dengan pujian terhadap Obama:

In a contest as long and difficult as this campaign has been, his success alone commands my respect for his ability and perseverance. But that he managed to do so by inspiring the hopes of so many millions of Americans who had once wrongly believed that they had little at stake or little influence in the election of an American president is something I deeply admire and commend him for achieving. Senator Obama has achieved a great thing for himself and for his country. I applaud him for it, and offer him my sincere sympathy that his beloved grandmother did not live to see this day. Though our faith assures us she is at rest in the presence of her creator and so very proud of the good man she helped raise.

Dan McCain secara terbuka mengisytiharkan sokongan dan sedia membantu Obama:

These are difficult times for our country. And I pledge to him tonight to do all in my power to help him lead us through the many challenges we face. Tonight — tonight, more than any night, I hold in my heart nothing but love for this country and for all its citizens, whether they supported me or Senator Obama — whether they supported me or Senator Obama. I wish Godspeed to the man who was my former opponent and will be my president.And I call on all Americans, as I have often in this campaign, to not despair of our present difficulties, but to believe, always, in the promise and greatness of America, because nothing is inevitable here.

Persoalannya adakah ada McCain dalam politik Malaysia?
Siapa?


---------------------------------------------------------------------------------
OBAMA SEORANG MUSLIM...?

Sila klik di VIDEO BAR blog ini untuk melihat sendiri kebenaran Obama seorang muslim.

Sunday, November 9, 2008

Shafie menang Ketua Bahagian Wangsa Maju!

Datuk Shafie Abdullah telah menang tanpa bertanding sebagai Ketua UMNO Bahagian di Wangsa Maju. Sekalung tahniah kepada beliau yang telah berjaya memaksa Dato' Zainal Nazeri Zainuddin mengundurkan diri secara terhormat dalam masa 24 jam sebelum litar pertandingan dibuka. Agak mengejutkan juga apabila Dato' Zainal Nazeri tidak hadir di dalam mesyuarat agung bahagiannya, tanpa meninggalkan amanat sebelum berundur. UMNO Bahagian Wangsa Maju telah mengadakan persidangan perwakilannya 8 November lepas.
Shafie sudah lama berakar umbi
Locengwangsa sejak awal-awal lagi memang sudah menjangkakan betapa Datuk Shafie begitu kental degan pengaruhnya yang sudah berakar umbi begitu lama dalam arena politik di Wangsa Maju.
Dato' Zainal Nazeri yang hanya muncul dalam arena politik di Wangsa Maju pada tahun 2001 dilihat tidak sehebat sewaktu kemunculan awalnya dalam tahun berkenaan. UMNO Cawangan Bukit Wangsa merupakan tapak permulaannya dalam arena politik sehingga berjaya melakukan 'first timer' memenangi jawatan Timbalan Ketua Bahagian Wangsa Maju yang direbutnya bersama-sama dengan Ahmad Yahya Yaakob yang terkejut biawak dan akur dengan kekalahan yang menimpa dirinya di musim pemilihan jawatan pada tahun 2001.
Zainal pernah digeruni
Dato' Zainal Nazeri sebenarnya seorang yang amat pemurah dan senang didekati, malah beliau juga pernah digeruni oleh Dato' Sri Zuhasnan Rafique dan juga Datuk Astaman Abd. Aziz yang begitu tidak senang dengan kemunculan segera Dato' Zainal Nazeri.
Zainal Nazeri pernah bergandingan dengan Zulhasnan dan juga Shafie pada tahun 2001 ketika berhadapan dengan kabilah Datuk Astaman Abd. Aziz yang menyaksikan Zulhasnan kecundang apabila tertewas bertanding Ketua Bahagian di tangan Datuk Astaman yang beregu dengan Ahmad Yahya Yakob bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian yang bertembung dengan Dato' Zainal Nazeri.
Zainal pernah tewaskan Ahmad Yahya
Walaupun Zulhasnan tewas ketika itu, namun Zainal Nazeri lebih diterima jika dibandingkan dengan Ahmad Yahya Yaakob. Begitu juga Shafie ketika itu telah menang bertanding bagi jawatan Naib Ketua Bahagian mengalahkan Sulaiman Saleh yang berada dalam kabilah Datuk Astaman.
Astaman dan Zainal Nazeri bertukar cawangan untuk ke Wangsa Maju
Semasa berlakunya persempadanan semula kawasan parlimen pada tahun 2004, Datuk Astaman telah dilantik menjadi Ketua Penaja Bahagian Wangsa Maju, manakala Dato' Sri Zulhasnan Rafique yang masih menjadi ahli parlimen Wangsa Maju ketika itu dilantik menjadi Ketua Penaja Bahagian yang baru iaitu Bahagian Setiawangsa. Keahlian Datuk Astaman di Cawangan Setiawangsa Fasa II yang berada dalam Bahagian baru terpaksa dipindahkan ke Cawangan BB Wangsa Maju yang berada dalam Bahagian Wangsa Maju.
Dato' Zainal Nazeri Zainuddin juga terpaksa dipindahkan keahliannya daripada Cawangan Bukit Wangsa yang berada dalam Bahagian Setiawangsa, ke Cawangan Setapak Indah Fasa II yang kekal di Bahagian Wangsa Maju; bagi membolehkan beliau dilantik menjadi Timbalan Ketua Penaja Bahagian tersebut.
Pada waktu itu, Datuk Shafie Abdullah merupakan Naib Ketua Penaja Bahagian Wangsa Maju, sedangkan beliau sepatutnya dilantik menjadi Ketua Penaja Bahagian itu jika berasaskan kepada kekananannya dalam hirarki UMNO Bahagian Wangsa Maju. Rupa-rupanya beliau telah ditakdirkan untuk mengetuai Bahagian Wangsa Maju dengan penuh bergaya pada tahun ini, 2008.
Zulhasnan dominan di Bahagian Setiawangsa
Hari ini segala-galanya telah berubah, Dato' Sri Zulhasnan bukan sahaja dominan sebagai Ketua Bahagian di Setiawangsa malah beliau kini begitu bergaya dengan kedudukannya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan. Di musim pemilihan jawatan di dalam UMNO hari ini, Zulhasnan juga dikira layak untuk memasuki litar pertandingan Majlis Tertinggi. Kita mengharapkan beliau mendapat sokongan padu daripada seluruh perwakilan UMNO di Wilayah Persekutuan yang diketuainya.
Tahniah juga kepada Jaafar Arifin dan Cikgu Hamdan
Locengwangsa juga mengucapkan tahniah kepada Hj Jaafar Arifin yang berjaya memenangi jawatan Timbalan Ketua Bahagan menewaskan Datuk Astaman Abd. Aziz. Begitu juga kepada sahabat saya Cikgu Hamdan Yusof yang menang bertanding jawatan Naib Ketua Bahagian Wangsa Maju menewaskan Haji Zainuddin Othman. Saya tidak lupa mengucapkan tahniah kepada sahabat-sahabat saya seperti Abang Jo, Sani Ahmad, Habib yang juga telah memenangi dengan penuh bergaya bagi jawatan-jawatan yang ditandingi mereka.
Rampas semula kerusi Parlimen Wangsa Maju untuk UMNO
Segala-galanya sudah menjadi muktamad. Yang menang kenalah bekerja untuk mengatur langkah merampas semula kerusi Parlimen Wangsa Maju daripada tangan PKR kepada UMNO. Jangan kita bercakaran lagi sesama sendiri, akibatnya kuasa di tangan akan terlepas kepada orang lain. Saya yakin Dato' Dr. Mohd. Shafie Abdullah, Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju yang baru ini akan berbuat sesuatu mengukuhkan semula UMNO Bahagian yang dipimpinnya, dan sememangnya beliau mampu untuk melakukannya.

Shafie sewajarnya menang di Wangsa Maju!

Tuesday, November 4, 2008

Izudin, Presiden PENCINTA masih menyemai CINTA?

Datuk Izudin Ishak, Presiden Persatuan Warga Cinta Negara Malaysia - PENCINTA yang tertewas dalam percintaan dengan jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian Setiawanagsa yang ditandinginya baru-baru ini, rupa-rupanya masih menyemai CINTA dengan rakan taulannya di dalam UMNO.
Kecintaannya kepada para perwakilan samada yang mengundinya ataupun tidak mengundinya bukan bermakna beliau telah berputus cinta dengan jemaah UMNO dalam Bahagian Setiawangsa.
Belot di dalam percintaan?
Sebagai Presiden PENCINTA tentunya beliau lebih memahami dan menjiwai watak-watak politikus yang setia, yang berpura-pura, lidah bercabang, kaki ampu, bertali barut, bersandiwara, malah beliau juga lebih telus untuk memahami dan merasai siapa yang sebenarnya belot di dalam percintaan sehingga termungkir janji untuk mengundi dirinya tempoh hari.
Politik berkabilah
Tinjauan rambang semasa berlangsungnya mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Setiawangsa, 25 Oktober lepas, jelas terpancar senario politik berkabilah masih menebal sebagai faktor untuk menang atau pun kalah terhadap seseorang calon yang hendak bertanding. Kilauan duit yang dicegah oleh UMNO sebagai 'Politik Wang' kini semakin tidak diperdulikan oleh pengamal dan penggiat UMNO di semua peringkat.
BPR baru nak bertindak?
Dahulunya kita menjadi terkeliru apabila politik wang di dalam UMNO tidak dikategorikan sebagai rasuah yang membolehkan BPR menyiasat. Baru sekarang BPR diberikan laluan untuk melihat sejauh mana paus-paus di dalam UMNO melakukan amalan rasuah. Sebelum ini masalah politik wang di dalam UMNO hanya boleh diambil tindakan oleh Lembaga Disiplin UMNO yang tidak berdisiplin dan sering dipertikaikan kewibawaannya. Ikan bilis banyak yang terjala, manakala ikan paus banyak yang terlepas. Seekor dua ikan paus yang tertangkap bukannya menggambarkan kesucian UMNO daripada gejolak rasuah. Semua orang tahu masih banyak ikan paus yang terlepas daripada yang tertangkap.
UMNO dibenci ketuaannya
Ternampak jelas kilauan duit hanya memangsakan ikan-ikan bilis, sedangkan ancaman besar politik wang di dalam parti terbesar orang Melayu ini ialah dari kalangan mereka yang rakus berwajah korporat yang BERCINTA dengan kuasa yang terdapat di dalam UMNO. Keangkuhan dengan menunjukkan kuasa duit di kalangan mereka yang rakus untuk bertakhta di dalam UMNO, menjadikan UMNO yang sudah tua ini semakin dibenci ketuaannya.
Janganlah terlelong
UMNO yang semakin dimamah usia tuanya ini dilihat semakin diminati oleh golongan berwajah korporat ini, kenapa? Pada saya lebih afdal duit yang ada itu dicerakinkan dengan semangat jati diri untuk membangunkan bangsa dan agama, bukannya mempengaruhi akar umbi secara mata duitan - akhirnya menjadi budaya UMNO, siapa yang ada duit lebih layak menjadi pemimpin, walaupun dirinya diselaputi dengan serba serbi keangkuhan. UMNO yang sudah uzur ini janganlah terlelong akibat dikomersilkan sebegitu rupa. Seringkali kita terdengar pemimpin atasan UMNO mengingatkan ahli-ahlinya supaya tidak terjebak dengan politik wang, tetapi kebanyakan mereka itu lebih hipokrit sehingga tidak ternampak hanya mereka yang ada wang sahaja yang mendominasi 'politik wang' di dalam UMNO.
Melacurkan UMNO
Oleh itu marilah sama-sama kita bermuhasabah untuk menyuntik anti penuaan di dalam UMNO dengan mengenepikan virus yang membawa kuman di celah-celah duit yang melacurkan UMNO.
Mencurah di daun keladi
Kepada Datuk Izudin Ishak, jadikanlah mesej saya ini sebagai satu iktibar supaya PENCINTA yang diterajui ini dapat mendasari pakej politik yang dikehendaki di dalam UMNO, kerana UMNO masih menjadi wadah kepada perjuangan rakyat hari ini dan juga di masa hadapan.
Banyak elemen yang boleh diserapkan untuk menyemaikan semangat cintakan negara di kalangan ahli-ahli UMNO khususnya di Bahagian Setiawangsa ini. Mungkin siri-siri kursus berbentuk simposium, seminar dan sebagainya perlu dipergiatkan untuk membentuk syaksiah kepemimpinan di kalangan peneraju-peneraju UMNO di peringkat akar umbi. Jika PENCINTA mempunyai jaringan kewangan yang kukuh, rasanya curahkanlah ke arah membina bangsa dan negara yang berjati diri. Pelaburan untuk membina generasi yang cintakan tanah air akan lebih terjulang dan terbilang daripada mencurah ke daun keladi.
Makan Malam Bersama PENCINTA
Terima kasih kepada Datuk Izudin Ishak kerana ikhlas menjemput ke majlis makan malam anjuran PENCINTA yang diketuainya yang akan diadakan pada:-
Tarikh
Selasa, 4 Novemver 2008
Masa
8.00 malam
Tempat
Restoran Nelayan, Titiwangsa.

Locengwangsa - Saya mohon maaf kepda Datuk Izudin PENCINTA kerana tidak dapat bersama di dalam majlis yang dianjurkan itu, kerana saya masih berada di Kuching, Sarawak. Semoga majlis ini dapat mengeratkan lagi silturrahim untuk mengukuhkan kecintaan dalaman terhadap kesetiakawanan di dalam harakah perjuangan bangsa dan negara.

Kuching, Sarawak.

Thursday, October 30, 2008

UMNO Wilayah Persekutuan kena bantu Zulhasnan rebut jawatan MT.


Dato' Sri Zulhasnan Rafique

Setelah saya mendengar berita bahawa Dato' Sri Zulhasnan Rafique bersetuju untuk bertanding jawatan Majlis Tertinggi UMNO, terlintas di fikiran saya sememangnya beliau patut dan layak untuk turut serta di dalam sirkit pertandingan merebut 25 kerusi Majlis Tertinggi di dalamPerhimpunan UMNO musim ini.

Mulanya belum bersedia

Sebelum ini saya pernah bertanyakan tentang perkara ini dengan Dato' Sri Zulhasnan di dalam satu pertemuan di kediamannya sebelum musim persidangan cawangan dijalankan, dan beliau secara spontan menjawab 'belum bersedia' untuk bertanding. Pada mulanya saya agak terperanjat apabila mendengar jawapan beliau itu, namun saya berkeyakinan bahawa beliau mungkin akan mengubah fikirannya untuk tidak terkecuali bersama-sama Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri-Negeri yang lain yang telah membuat pengumuman lebih awal untuk menyertai pertandingan jawatan MT, termasuk Datuk Seri Shahidan Kasim yang bukan lagi menjadi Menteri Besar Perlis.

Mewakili Wilayah Persekutuan

Sebenarnya Zulhasnan atas kapasitinya sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, ditambah pula dengan kekuatan imej kepemimpinannya sebagai seorang Menteri yang bertanggungjawab terhadap pembangunan Wilayah Persekutuan; telah meletakkan kelayakan dirinya untuk mengisi jawatan Majlis Tertinggi sebagai mewakili sebuah negeri, yakni Wilayah Persekutuan.

13 Bahagian WP

Zulhasnan tidak perlu bimbang untuk turut serta bertanding, kerana kedudukan beliau yang mengetuai 13 Bahagian di Wilayah Persekutuan, menjadikan dirinya lebih berketrampilan daripada Pengerusi Perhubungan Negeri yang lain, terutama yang mempunyai bilangan Bahagian yang kurang daripada Wilayah Persekutuan.

Negeri Melaka misalnya, hanya mempunyai lima bahagian, begitu juga Perlis sebuah negeri yang hanya mempuyai kekuatan tiga buah bahagian sahaja. Kedua-dua negeri ini telah mempertaruhkan Pengerusi Perhubungan masing-masing untuk menyertai sirkit pertandingan di dalam Perhimpunan Agung kali ini.

Ali Rustam tanding Timbalan Presiden

Datuk Seri Mohd. Ali Rustam (DSAR) yang mengetuai UMNO Negeri Melaka lebih fokus dan terdorong untuk mempertaruhkan dirinya bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO, walaupun menyedari kekuatan UMNO negerinya hanya mempunyai lima bahagian sahaja. Mungkin faktor kedudukan dirinya yang tidak berkedudukan di peringkat Kerajaan Persekutuan, samada sebagai seorang Menteri Pusat mahupun sebagai Ahli Dewan Rakyat akan menyulitkan dirinya untuk meraih keyakinan para perwakilan nanti; namun begitu Mohd. Ali Rustam tidak memperlihatkan faktor sedemikian sebagai penghalang terbesar untuk dirinya menghampiri jawatan yang menjadi tradisi sebagai Timbalan Perdana Menteru kelak.

Ali Rustam Kelas Dunia

Datuk Seri Mohd. Ali Rustam walaupun dikatakan bukannya calon favourite untuk menjadi seorang Timbalan Perdana Menteri, namun beliau mempunyai 'track record' sebagai seorang pemimpin 'kelas dunia' (World Class).

Mohd. Ali Rustam walaupun memimpin sebuah negeri yang kecil, tetapi dunia mengiktirafnya sebagai pemimpin belia sedunia. Ali Rustam juga pernah memimpin Majlis Belia Malaysia, di samping mempunyai pengaruh yang besar di kalangan pemimpin UMNO di seluruh negara yang seangkatan dengannya di dalam Gerakan Belia 4B Malaysia.


Pejuang Bangsa Bumi Hang Tuah


Pendekata, Mohd. Ali Rustam memiliki semangat dan jiwa yang besar, kerana beliau cukup terlatih dalam selok belok kepimpinan dan kaya dengan budi bahasa serta bijak menggayakan dirinya persis seorang pejuang bangsa yang berasal dari bumi Hang Tuah.

Zulhasnan pemimpin berkarisma

Dato' Sri Zulhasnan Rafique apa kurangnya. Beliau bukan sahaja telah berjaya memenangi pilihan raya umum sebagai Ahl Parlimen sejak 1999, Zulhasnan juga tergolong daripada kalangan pemimpin pelapis yang berkarisma, dinamik lagi berjiwa rakyat. Kemunculannya tidak bermula dalam era Pak Lah sebagai PM, tetapi Zulhasnan muncul sebelum Dr. Mahathir melepaskan jawatannya kepada Pak Lah. Dr. Mahathir yang merestuinjya sebagai calon BN di Parlimen Wangsa Maju pada tahun 1999, kemudian meneruskan perjuangannya dengan memenangi pilihan raya umum tahun 2004 sebagai Ahli Parlimen Setiawangsa, seterusnya dinobatkan semula di dalam PRU12 yangt lepas.

PKR rebah di Setiawangsa

Asakkan gelombang tsunami politik PRU12 yang lalu, tidak memungkinkan 'Setiawangsa' menjadi mangsa ratahan oleh arus Pakatan Rakyat, sebaliknya calon PKR yang menentangnya tertewas dan rebah dengan majoriti yang selesa, jika dibandingkan dengan kekalahan mengejut calon-calon BN yang lainnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Pendakian karier politiknya semakin menyinar setelah beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan seterusnya dinaikkan pangkat sebagai Menteri penuh di kementerian yang sama pada tahun 2006 hingga ke hari ini. Sememangnyalah beliau menjadi pilihan di hati Pak Lah untuk meletakkannya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan. Beliau tidak dapat mengelak, kerana Perdana Menteri mempunyai kuasa untuk memilihnya mengangotai jemaah menteri.

Zulhasnan pasrah dengan kekuatannya

Biar pun ada yang bercakap sumbang konon masa depannya hanya bergantung kepada Pak Lah, dan selepas ketiadaan Pak Lah maka berkuburlah masa depan politiknya, namun Zulhasnan lebih pasrah dengan kekuatan dan keupayaan jati dirinya sebagai Ketua UMNO Bahagian, Ahli Parlimen, Pengerusi Perhubungan UMNO WP dan sebagai seorang Menteri Wilayah Persekutuan.

Ampu bodek Pak Lah?

Sebagai seorang Ketua UMNO Bahagian, beliau begitu berpengaruh di kalangan ahli-ahli UMNO akar umbi; begitu juga beliau memenangi tiga pilihan raya sebelum ini bukan kerana sifat ampu bodeknya terhadap Pak Lah, tetapi beliau berjaya meyakinkan Pak Lah sepertimana pemimpin-pemimpin UMNO yang lainnya berjaya membuktikan kesungguhan untuk menawan hati rakyat.

Kita mengharapkan Dato' Sri Zulhasnan Rafique akan dapat dibantu oleh seluruh jentera di dalam UMNO Wilayah Persekutuan. Janganlah kita mengkhianati mandat ini dengan mengatur langkah songsang supaya beliau kalah dalam pertandingan merebut jawatan MT kali ini.

Suleiman Mohamed sokong Zulhasnan

Saya begitu terharu dengan kenyataan tulus yang dibuat oleh Dato' Seri Dr. Suleiman Mohamed kepada saya semasa diadakan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Setiawangsa pada 25 Oktober lepas, bahawa beliau tidak berminat untuk bertanding MT, kerana beliau lebih menghormati untuk memberi laluan kepada Dato' Sri Zulhasnan, malah beliau berkata kepada saya bahawa beliau akan bekerja keras untuk membantu Zulhasnan memenangi jawatan MT ini. Mendengar perakuannya itu, maka saya terus bersalam dengannya sebagai menghargai di atas kesungguhan untuk membantu Zulhasnan bertanding MT.

Persahabatan bersama Dr. Suleiman

Saya telah berkawan dengan Dr. Suleiman sejak tahun 1984, ketika itu beliau Ketua Pemuda Bahagian Setapak dan juga Exco Pemuda UMNO Malaysia. Saya pernah terlibat dengan beliau di dalam Biro Latihan Pemuda UMNO Malaysia pada masa itu.

Dr. Suleiman Mohamed begitu berjasa kepada saya, kerana beiau juga pernah membiayai elaun bulanan saya sebagai 'Setiausaha Kerja Majlis Belia Wilayah Persekutuan' sekitar tahun 1987/1988/1989. Pengerusi Majlis Belia WP pada masa itu ialah Dato' Fuad Hassan, sementara Dato' Seri Dr. Suleiman Mohamed yang ketika itu sebagai Timbalan Menteri di JPM merupakan Penaung kepada Majlis Belia WP.

Jangan bersusah hati

Berbalik memperkatakan tentang kesediaan Zulhasnan bertanding jawatan MT UMNO, saya menyarankan agar kita semua dapat menyatakan sokongan kepadanya. Kita kena menghormati haknya sebagai ahli UMNO yang membenarkan dirinya menyertai pertandingan ini. Janganlah kita bersusah hati, berdengki hati dan busuk hati untuk menghalangnya mara ke hadapan dalam arena politik nasional.

Bijak mengguna mulut

Biarkanlah penyertaannya kali ini mendapat sokongan padu daripada semua perwakilan di Wilayah Persekutuan. Walaupun dalam politik, tikam menikam dianggap sebagai asam garam, namun kita harus mengelakkan diri daripada terjebak sebagai 'budak jahat' sehingga terlupa diri kita juga sedang diperhatikan oleh orang lain. Mungkin juga kita akan marah apabila menyedari ada pihak yang cuba menikam kita, namun sebagai seorang pemimpin politik kita hendaklah menampilkan keikhlasan dan berakal budi yang tinggi serta bijak 'mengguna mulut' tanpa membinasakan maruah peribadi orang lain.

Pembinasa yang binasa

Jika kita meletakkan martabat diri kita sebagai 'pembinasa' akhirnya diri kita turut dibinasakan. Begitu juga jika kita sering menuding jari memburukkan orang lain, akhirnya diri kita turut dibenci orang lain. Jadikan diri kita contoh teladan yang terbaik untuk diikuti oleh orang lain, bukannya melaga-lagakan diantara satu sama lain.

Semoga Dato' Sri Zulhasnan Rafique dapat mengambil iktibar daripada saranan yang saya kemukakan ini, kerana diri kita masih di kelilingi orang jenis itu...

(Sila komen tentang hasrat Dato' Sri Zulhasnan tanding jawatan MT)




Sunday, October 26, 2008

Zulhasnan, Halim Samad dan Fauzi Zahari Gandingan Trio Setiawangsa.

Dato' Sri Zulhasnan Rafique


Dato' Abd. Halim Samad



Dato' Ahmad Fauzi Zahari

Ucapan tahniah dan syabas kepada gandingan trio Setiawangsa Dato' Sri Zulhasnan Rafique, Dato' Abd. Halim Samad dan Dato' Ahmad Fauzi Zahari di atas kejayaan dan kemenangan masing-masing sebagai Ketua, Timbalan Ketua dan Naib Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa. Dato' Sri Zulhasnan telah memenangi jawatan Ketua Bahagian tanpa bertanding, manakala bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian Dato' Halim Samad yang memperolehi 159 undi telah berjaya menewaskan Shuib Haji Ibrahim yang mendapat 125 undi. Dato' Ahmad Fauzi Zahari pula telah berjaya mengenepikan tiga calon lain bagi jawatan Naib Ketua Bahagian dengan memperolehi 152 undi.


Izudin Ishak, 74 undi
Dato' Izudin Ishak mantan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Setiawangsa yang mempertaruhkan dirinya bertanding Naib Ketua Bahagian hanya berjaya memperolehi 74 undi, diikuti dengan calon lain Ahmad Yamin yang mendapat 44 undi. Seorang lagi calon under dog Zainal Abidin Tan Sri Mahmood hanya mendapat 20 undi sahaja.


Keputusan pertandingan ini telah diumumkan oleh Pengerusi Tetap UMNO Bahagian, Haji Abdullah Abdul Rahman kira-kira jam 8.20 malam tadi. Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Setiawangsa yang dirasmikan oleh Dato' Sri Zulhasnan Rafique ini telah diadakan pada 25 Oktober di Hotel Nikko, Jalan Ampang. Kira-kira 293 orang perwakilan telah menghadiri ke persidangan tersebut.

Muner, 199 undi

Sementara itu, bagi jawatan Ahli Jawatankuasa Bahagian seramai 20 orang telah terpilih daripada 50 calon yang bertanding. Muner Nasution Amin Nordin telah muncul sebagai calon popular setelah berjaya memperolehi undi tertinggi dengan 199 undi. Diikuti rapat di belakangnya ialah Othman Baba yang mendapat 194 undi, Shaari Sidek 193 undi, Haji Yahya Abu Bakar 190 undi dan Mohd. Rawi Hashim 189 undi.
Abd. Rahman Hashim, turut menang

Turut memenangi Ahli Jawatankuasa Bahagian ialah Azhar Kassim, Ahmad Laili Tajul Arus, Haji Yusof Ishak, Abas Mohd. Dom, Roziana Osman, A. Samad Saim, Razak Karim, Ismail Che' Wan, Yatim Mohamad, Hamzah Marakan, Yahya Mohd. Tahir, Abd. Hamid Mayuni Nek, Dimyati Jaffar, Haji Osman Sab dan Abdul Rahman Hashim
Dolah Rahman, Pengerusi tetap

Bagi jawatan Pengerusi Tetap pula, Haji Abdullah Abdul Rahman telah berjaya menewaskan Ahmad Yahya Yaakob. Beliau berjaya mendapat 164 undi berbanding dengan Ahmad Yahya yang mendapat 125 undi. Begitu juga bagi jawatan Timbalan Pengerusi Tetap, Syed Hussin Syed Mansor telah berjaya memperolehi 127 undi dengan mengenepikan dua calon lain iaitu Khir Kohari Parlan yang mendapat 116 undi, manakala Abidin Supardi hanya mendapat 44 undi sahaja.
Persidangan ini juga telah memilih tujuh orang wakil (G7) ke Perhimpunan Agung UMNO yang terdiri daripada Kpt (B) Rapli Jusoh, Abdullah Mat, Azhar Kassim, Hamzah Marakan, Abas Mohd. Dom, Haji Azizi Shaibie dan Ahmad Yahaya Yaakob.

Pencalonan Jawatan Presiden, Timbalan Presiden & Naib-Naib Presiden UMNO.

UMNO Bahagian Setiawangsa turut membuat pencalonan bagi jawatan-jawatan tertinggi UMNO dengan mencalonkan Dato' Sri Mohd. Najib Tun Razak sebagai Presiden UMNO. Sementara itu pencalonan bagi jawatan Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden telah menyaksikan beberapa nama telah dicalonkan. Dato' Sri Zulhasnan Rafique sendiri telah bangun mencalonkan Dato' Seri Mohd. Ali Rustam sebagai Timbalan Presiden, namun begitu nama-nama seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga Tan Sri Muhammad Mohd. Taib turut dicalonkan.

Setelah dibuat pengundian secara angkat tangan, Dato' Seri Mohd. Ali Rustam yang mendapat 120 undian telah berjaya mengenepikan Tan Sri Muhyiddin yang memperolehi 62 undi, manakala Tan Sri Muhammad Mohd. Taib hanya memperolehi sokongan 14 undi sahaja.

Bagi jawatan Naib Presiden pula terdapat empat nama dicalonkan. Dato' Sri Zulhasnan Rafique sendiri telah mencalonkan tiga nama iaitu Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein, Dato' Seri Mohd. Shafie Apdal dan Dato' Seri Jamaludin Jarjis sebagai Naib Presiden. Dua nama lain yang turut dicadangkan oleh perwakilan ialah Dato' Seri Dr. Zahid Hamidi dan Dato' Seri Syed Hamid Albar.

Namun begitu setelah dijalankan proses undian angkat tangan, Dato' Seri Mohd. Shafie Apdal telah berjaya mendahului calon-calon lain dengan mendapat 217 undi. Diikuti dengan dua calon lain yang telah berjaya melengkapkan tiga calon yang dikehendaki, iaitu Dato' Seri Hishammuddin yang telah mendapat 180 undi dan juga Dato' Seri Jamaludin Jarjis yang berjaya memperolehi sokongan 107 undi.

Nama-nama 25 orang Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang telah dicalonkan oleh Abdullah Mat, Setiausaha Bahagian telah menerima sokongan sebulat suara daripada perwakilan.


---------------------------------------------------------------------------------

Gambar-Gambar Persidangan Perwakilan
UMNO Bahagian Setiawangsa - 25 Oktober 2008



Atas: AJK Bahagian bergambar, Bawah: Sidang perwakilan


Atas:: Perwakilan Wanita bersama Dato' Fauzi, Bawah: Perwakilan Seksyen 10


Abd. Rahman Hashim berucap, gambar kanan: Diantara Chai-Chai yang tersebar




Sila lihat Senarai Penuhnya seperti di bawah.

---------------------------------------------------------------------------------
PENGERUSI TETAP
Haji Abdullah Abdul Rahman, 164 undi
Ahmad Yahaya Yaakob, 125 undi

TIMBALAN PENGERUSI TETAP
Syed Hussin Syed Mansor, 127 undi
Khir Johari Parlan, 116 undi
Abidin Supardi, 44 undi

KETUA BAHAGIAN
YB Dato' Sri Zulhasnan Rafique
(Menang Tanpa Bertanding)

TIMBALAN KETUA BAHAGIAN
Dato' Abdul Halim Samad, 159 undi
Shuib Haji Ibrahim, 125 undi

NAIB KETUA BAHAGIAN
Dato' Ahmad Fauzi Zahari, 152 undi
Dato' Izudin Ishak, 74 undi
Ahmad Yamin Dato' Rahim, 44 undi
Zainal Abidin Tan Sri Mahmood, 20 undi

AHLI JAWATANKUASA BAHAGIAN
20 Terpilih:
1. Muner Nasution Amin Nordin, 199 undi
2. Othman Baba, 194 undi
3. Shaari Sidek, 193 undi
4. Hj Yahya Abu Bakar, 190 undi
5. Mohd Rawi Hashim, 189 undi
6. Azhar Kassim, 172 undi
7. Ahmad Laili Tajul Arus, 167 undi
8. Hj Yusof Ishak, 159 undi
9. Abas Mohd Dom, 154 undi
10.Roziana Osman, 150 undi
11.A Samad Saim, 144 undi
12.Razak Karim, 141 undi
13.Ismail Che Wan, 140 undi
14.Yatim Mohamad, 138 undi
15.Hamzah Marakan, 138 undi
16.Yahya Mat Tahir, 119 undi
17.Abdul Hamid Mayuni, 117 undi
18.Dimyati Jaafar, 117 undi
19.Hj Osman Md Sab, 116 undi
20.Abdul Rahman Hashim, 114 undi

Tidak Terpilih:
Hamzah Kamaruddin, 113 undi
Mej (B) Habibah Baharom, 111 undi
Wan Zainal Abidin, 98 undi
Haji Mohd. Radzi Harun, 97 undi
Sakandar Khan, 95 undi
Rosli Mohammad, 91 undi
Roselan Abdul Rahman, 91 undi
Haji Badaruddin Ahmad, 84 undi
Md. Nasir Md. Amin, 81 undi
Mohamad Mohideen, 79 undi
Zainal Masri, 78 undi
Mohd. Salleh Mahmood, 75 undi
Haji Saatar Mohd. Ali, 77 undi
Mohd. Alias Hamzah, 71 undi
Haji Ahmad Hashim, 71 undi
Ambia Mohd. Noor, 65 undi
Mohd. Radzi Jaafar, 64 undi
Abdul Rashid Jaafar, 57 undi
Abu Bakar Ismail, 42 undi
Wan Yaacob Wan Hussin, 35 undi
Norsiah Kamaruddin, 34 undi
Md. Ramli Jaafar, 20 undi
Zamery Zainal, 19 undi

PEMERIKSA KIRA-KIRA
Badrun Masan, 181 undi
Mohd. Nasir Kasmin, 135 undi
Zaharuddin Hashim, 122 undi
Mat Zaki Ali, 98 undi
Asmadi Mat Tasir, 37 undi

TUJUH WAKIL KE PERHIMPUNAN AGUNG UMNO
7 terpilih:
1. Kpt. (B) Rapli Jusoh, 165 undi
2. Abdullah Mat, 161 undi
3. Azhar Kassim, 148 undi
4. Hamzah Marakan, 145 undi
5. Abas Mohd. Dom, 127 undi
6. Haji Azizi Shaibie, 120 undi
7. Ahmad Yahya Yaakob, 100 undi

Tidak Terpilih:
Yatim Mohamad, 97 undi
Othman baba, 97 undi
Abdul Rahman Hashim, 85 undi
Rosli Mohammad, 78 undi
Haji Yusof Ishak, 72 undi
Samsuri Shahrom, 70 undi
Sakandar Khan, 62 undi
Ahmad Laili Tajul Arus, 59 undi
Muner Amin Noordin, 54 undi
Haji Ahmad Hashim, 41 undi
Zainal Masri, 37 undi
Abu Bakar Ismail, 7 undi


TAHNIAH kepada yang berjaya, manakala yang tidak berjaya diharap dapat meneruskan perjuangan tanpa berbelah bahagi demi agama, bangsa dan negara. HIDUP UMNO!