assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Tuesday, June 2, 2009

SUASANA POLITIK TERENGGANU MASIH MEMBAHANG, STADIUMNYA PULA YANG RUNTUH..

Di dalam suasana politik Terengganu yang dikatakan masih membahang, tiba-tiba Stadium Sultan Mizan yang bernilai lebih RM450 juta telah rebah ke bumi. Bumbung utama Stadium Bolasepak Gong Badak, Terengganu yang dirasmikan oleh Sultan Terengganu pada 10 Mei tahun lalu, telah runtuh kira-kira jam 7.30 pagi ini. Perkara itu disahkan oleh timbalan pengerusi Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat), Tengku Ahmad Tengku Hussein ketika dihubungi hari ini.

Kejadian itu mengakibatkan sebuah kereta kancil dan empat buah motosikal tertimbus.

Sementara itu, seorang wartawan sambilan, Sazali Mohd Nor yang dihubungi di tempat kejadian berkata, stadium yang berusia kira-kira setahun ini berkapasiti menampung kira-kira 50,000 penonton.

Menurutnya, stadium mempunyai dua bumbung - bumbung tinggi di sebelah kiri dan bumbung rendah di sebelah kanan.

Sazali berkata, yang runtuh adalah kesemua bahagian bumbung tinggi di sebelah kiri.

Sementara itu, sumber yang mengetahui mengenai projek tersebut, berkata beliau tidak terperanjat dengan kejadian tersebut.

Menurutnya, juruperunding-juruperunding yang terbabit dalam projek tersebut telah lama menyuarakan kebimbangan mereka tentang keadaan bumbung utama stadium yang dibuat oleh kontraktor asing.

"Walaupun sudah tahun memintanya dari kontraktor asng tersebut, difahamkan mereka masih belulm menerimanya," katanya.,

Sumber itu berkata, projek pembinaan stadium tersebut dijalankan di bawah penyeliaan Jabatan Kerja Raya.

Monday, June 1, 2009

SEPATUTNYA UMNO MENJANTANKAN PARTINYA...


Dua Pemimpin UMNO miliki kejantanannya?

Kenapa kita harus mempersoalkan kejayaan orang lain, sedangkan kita sendiri seolah-olah merasakan boleh menang jika kita menyertai pertandingan itu. Demikianlah yang telah terjadi kepada UMNO yang merasakan kejayaan PKR di DUN Penanti itu bertanding sebagai sesuatu yang mencemburukannya.

Dato' Sri Najib Tun Razak sendiri ketika mengulas kejayaan PKR beranggapan parti itu tidak perlu terlalu ghairah dengan keputusan tersebut kerana katanya peratusan yang keluar mengundi di dalam pilihan raya kecil DUN Penanti membuktikan bahawa rakyat di situ tidak bersetuju dengan cara PKR mengosongkan kerusi tersebut.

Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalannya pula menyifatkan keputusan yang diambil oleh UMNO untuk tidak bertanding di dalam pilihan raya kecil DUN Penanti sebagai sesuatu yang telah diterima oleh rakyat di kawasan tersebut. Oleh itu tambahnya, PKR janganlah terlalu bergembira dengan keputusan yang telah diperolehi itu.

Di dalam pilihan raya kecil DUN Penanti yang tidak disertai oleh UMNO kelmarin (31 Mei) menyaksikan UMNO sendiri tidak begitu gembira dan memandang sinis dengan kejayaan yang dicapai oleh PKR yang telah menundukkan tiga calon bebas yang lainnya. Kemungkinan timbulnya rasa kesal mereka di atas pemulauan UMNO/BN di dalam pilihan raya itu.

Dalam arti kata lain persepsi di sebalik kenyataan itu juga memberi makna bahawa PKR sudah menghadapi kemerosotan pengaruh, kerana mereka dikatakan gagal memperolehi sokongan undi yang lebih besar jika dibandingkan dengan sokongan yang diterima dalam PRU12 lalu.

Pada saya, analisa sinis yang digembar gemburkan oleh parti yang hanya berani membuat komen setelah rumah berjaya disiapkan, merupakan satu tindakan yang kurang bijaksana, kerana sepatutnya UMNO lebih relevan memperjantankan partinya memasuki gelanggang daripada berkokok di luar.

Tidak ada maknanya jika kita hanya bijaklaksana dengan komentar terhadap kejayaan yang telah dibuktikan oleh majoriti pengundi di situ. Kita bagaikan syok sendiri dengan tindakan memulaukan pilihan raya itu. Apa pun ulasan dan hujah yang hendak kita lontarkan terhadap kemenangan itu, bagaikan anjing menyalak bukit sahaja. Yang menang tetap dengan kemenangannya walaupun menang dengan satu undi. Lebih baik kita tidak membuat sebarang ulasan kerana kita sejak awal lagi enggan masuk gelanggang pertarungan ini.

Kegagalan UMNO menampilkan diri tidak mewajarkan kita untuk mencemburui dengan kejayaan yang telah mereka kecapi. Walaupun kita mengandaikan parti itu sudah kehilangan pengaruhnya, namun kegagalan kita menyertai pertandingan berlawan dengan mereka adalah lebih memalukan. Komen yang kita lontarkan terhadap mereka saling tak tumpah bagaikan keris yang tidak ada saktinya lagi.

Kesaktian UMNO selama ini adalah berpaksikan kepada kepercayaan rakyat yang meyakini kehebatan dan ketangkasan pejuangnya yang berpantang undur sebelum mati. UMNO jika hendak memacu era kecemerlangannya semula, haruslah memacunya dengan penuh keinsafan, keyakinan diri, keberanian untuk berjuang serta memilki azimat kesaktiannya yang dimenterakan oleh rakyat akar umbi.

Walaupun saya di antara ahli UMNO yang kecewa dengan kejayaan yang dicapai oleh PKR di DUN Penanti, namun saya lebih kecewa kerana parti saya tidak seperkasa dulu yang berani kerana benar dan takut kerana salah.


PKR MENANG DUN PENANTI, MAJORITI BESAR 5,558 UNDI


PKR Menang

KEPUTUSAN RASMI Calon PKR, Mansor Othman memenangi pilihanraya kecil DUN Penanti dengan memperolehi 6,052 undi. Beliau menang dengan majoriti 5,558 undi. Manakala tiga calon bebas - Aminah Abdullah mendapat 392 undi, Khan Ari (494) dan Kamarul Ramizu Idris (56). Kesemua mereka hilang wang deposit RM5,000

Jumlah pemilih yang keluar mengundi dalam pilihanraya kecil DUN Penanti ialah 46.15 peratus atau 7,100 orang. Peratusan ini juga merupakan hanya hampir separuh daripada 82.1 peratus pengundian dalam pilihanraya umum lalu.

Sunday, May 31, 2009

DUN PENANTI PKR MENANTI UMNO, DUN MANEK URAI PULA UMNO MENANTI PAS..SIAPA LEBIH KUAT?


Siapa lebih tangkas?

Hari ini, 31 Mei 2009 merupakan hari mengundi untuk 15,384 pengundi berdaftar di DUN Penanti. Pilihan raya kecil di DUN Penanti yang dianggap oleh UMNO/BN sebagai tidak mengikut perlembagaan dan membazirkan wang rakyat telah menyebabkan parti itu tidak menyertai pertandingan, sekaligus memberikan laluan mudah untuk calon PKR memenanginya nanti.
Walaupun UMNO tidak mempersudikan calonnya untuk bertarung dengan PKR, namun terdapat empat calon lain yang telah menyertainya, di antara empat calon itu ialah Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman; 59; dan tiga calon bebas - bekas ketua wanita PKR, Pulau Pinang, Aminah Abdullah, 56; bekas ketua Pemuda Gerakan Cawangan Telok Wang, Penanti, Nai Khan Ari a/l Nai Keow, 41 dan pakar motivasi Kamarul Ramizu Idris, 42.

Sepanjang tempoh berkempen, kelihatannya gelanggang Penanti tidak sehebat dan serancak pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh yang mempertarungkan Anwar Ibrahim dengan Ariff Shah, kerana ketika itu UMNO belum lagi terlintas untuk 'memulaukan' pilihan raya kecil itu, walaupun kekosongan kerusi tersebut boleh juga dianggap sebagai satu permainan politik pembangkang untuk mengembalikan Anwar di dalam arena politik nasional.

Dalam pilihan raya kecil itu, rata-rata meramalkan terlalu sukar untuk calon UMNO menundukkan Anwar yang tidak lagi bertanding atas tiket UMNO/BN sejak dirinya dipecat oleh UMNO pada tahun 1998. Kali terakhir Anwar bertanding di situ ialah dalam pilihan raya umum yang diadakan pada tahun 1994. Pada masa itu Anwar adalah Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan juga Timbalan Presiden UMNO.

Kali pertama Anwar dipertaruhkan sebagai calon UMNO di kawasan parlimen Permatang Pauh ialah dalam pilihan raya umum pada tahun 1982. Sejak itu Permatang Pauh merupakan kubu kuat UMNO yang terlalu sukar untuk PAS memenanginya semula.

Apabila Anwar digulingkan secara hina oleh musuh-musuhnya di dalam UMNO, maka majoriti pengundi di Permatang Pauh telah beralih arah dan didapati ramai juga pengundi-pengundi dari kalangan ahli UMNO yang bersimpati dengan Anwar mengundi isterinya Wan Azizah yang bertanding atas tiket Parti KeAdilan di dalam pilihan raya umum 1999, yang telah menewaskan bekas Imam Besar Masjid Negara yang diharapkan dapat mengekalkan dominasi UMNO di kawasan itu.

(Foto - Datuk Firdaus dari Masjid Negara ke jalanan dan tewas di Permatang Pauh)

Terbukti percubaan meletakkan Dato' Firdaus Ismail bertanding di situ tidak melonglaikan pengaruh Anwarisme yang diwarisi oleh isterinya Wan Azizah sehingga gagal direbut untuk pilihan raya yang berikutnya pada tahun 2004 dan juga pilihan raya umum 2008. Wan Azizah memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh selama tiga penggal sehinggalah beliau meletakkan jawatan untuk mengosongkan kerusi itu selepas enam bulan memenanginya, sekaligus memberi laluan kepada suaminya (Anwar) yang sudah terlepas iddah akibat dipenjarakan selama 6 tahun untuk bertanding menggantikannya.

UMNO telah gagal untuk menyekat kemaraan pengaruh dan gelombang reformasi Anwar yang telah memenangi kerusi itu dengan majoriti yang besar. Dipercayai ribuan ahli UMNO juga turut menyokong dan mengundinya di dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh itu. Berbagai taktik dan helah telah diadaptasikan sehingga media arus perdana dipergunakan untuk ditayang semula adegan sensasi 'Anwar berdansa' dengan seorang wanita di dalam satu majlis makan malam ketika Anwar di tampuk kuasanya di dalam kerajaan dahulu.

Bukan itu sahaja, di dalam pilihan raya kecil itu juga tidak semena-mena orang yang mendakwa dirinya telah diperlakukan secara luar tabie oleh Anwar telah berakad sumpah di hadapan Imam Masjid Wilayah Persekutuan bahawa dirinya telah dicerobohi sedemikian rupa oleh Anwar.


(Foto - Saiful bersumpah di Masjid WP )

Sememangnya isu 'eksoz' Saiful ini diharapkan dapat meranapkan peluang Anwar untuk menang dalam pilihan raya itu, namun isu ini telah memakan diri UMNO sendiri. Rakyat di Permatang Pauh tidak menghiraukan sumpahan Saiful itu, malah mereka lebih berminat untuk mengembalikan kemenangan Anwar di gelanggang asalnya.

Apakah pilihan raya kecil DUN Penanti yang tidak disertai oleh calon UMNO ini mampu mengembalikan kekuatan UMNO yang baru saja dipimpin oleh Najib sebagai Presiden barunya? Walaupun UMNO mengharapkan calon PKR itu akan kecundang, namun begitu hakikatnya ialah UMNO terlebih awal telah mengumumkan tidak akan bertanding di kawasan DUN itu, yang tidak memungkinkan lagi calon PKR itu kecundang. Agak sukar juga bagi calon-calon bebas itu untuk menang, kerana mereka bukanlah calon tajaan UMNO.

Hanya UMNO saja yang dilihat berkemampuan untuk menyaingi kehebatan calon PKR di situ, tetapi UMNO tidak mahu menggunakan peluang ini, kerana mungkin UMNO merasakan mempunyai peluang menewaskan Anwar di dalam pilihan raya umum ke-13 nanti. Kini jentera UMNO telah digerakkan ke Manek Urai di Kelantan, dan mungkinkah UMNO lebih yakin untuk menang di situ jika dibandingkan dengan DUN Penanti?

Mustahil penyertaan UMNO di dalam pilihan raya kecil DUN Manek Urai pada 14 Julai nanti dibuat berdasarkan kepada peluang untuk menang adalah tipis. Najib, Muhyiddin dan Mustapha Mohamad lebih optimis untuk melihat UMNO menang di Manek Urai, di Kelantan jika dibandingkan dengan DUN Penanti di Pulau Pinang. Jika tidak, mana mungkin keberanian itu begitu cepat dinyatakan oleh mereka sebaik saja berlakunya kekosongan kerusi DUN tersebut.

UMNO bertanding di situ seolah-olah jika menang BN boleh membentuk kerajaannya di Kelantan. Persoalan bertanding akan membazirkan wang rakyat di dalam pilihan raya kecil di DUN Manek Urai sudah tidak berbangkit lagi, kerana tentunya mereka yakin rakyat Kelantan khususnya pengundi DUN Manek Urai akan lebih percaya kepada UMNO yang dipimpin oleh Najib daripada PAS Kelantan yang diketuai oleh Tuan Guru Nik Aziz.

Sama-samalah kita saksikan episod parti mana yang diterima oleh rakyat dan parti mana yang akan ditolak oleh rakyat. Sesungguhnya pilihan raya kecil DUN Penanti akan dinantikan keputusannya malam ini, sementara DUN Manek Urai pula akan menjadi lebih menarik kerana UMNO begitu yakin dengan kemenangan yang hendak dijulangnya di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.


TERKINI DARI DUN PENANTI....
SETAKAT PUKUL 3.00 PETANG 42.2%
TELAH KELUAR MENGUNDI,
AHLI UMNO JUGA ADA YANG
KELUAR MENGUNDI!!

Setakat pukul 3.00 petang tadi, sebanyak 42.2% pengundi telah keluar membuang undi. Demikian menurut maklumat yang dikeluarkan oleh SPR. SPR mensasarkan 70% jumlah pengundi yang akan keluar mengundi hari ini.

Sementara itu kelihatan juga ramai ahli UMNO yang telah keluar mengundi. Ahli-ahli UMNO ini merasakan mereka juga mempunyai hak sebagai seorang 'pemilih' yang berdaftar untuk memilih calon yang mereka kehendaki.

Calon Bebas Aminah Abdullah yang disebut oleh Azmin Ali sebagai 'Minah Ronggeng' mendakwa ramai ahli wanita UMNO yang telah keluar mengundi. Beliau sendiri telah membawa beberapa orang ahli wanita UMNO tersebut, yang didakwanya akan memberikan undi kepada dirinya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh (Dato' Abd. Jalil Majid) yang juga pernah menang di DUN Penanti tidak tahu menahu tentang maklumat ahli-ahli UMNO yang keluar mengundi hari ini. Oleh kerana UMNO tidak bertanding kali ini, maka beliau berkata terpulanglah kepada masing-masing untuk menggunakan haknya.

Manakala di pihak PKR, Pengarah Jentera Pilihan rayanya Saifudin Nasution berkata pihaknya yakin 75% daripada jumlah pengundi yang telah keluar membuang undi hari ini telah memangkah calon PKR, Mansor Othman.


Friday, May 29, 2009

AWANG ADEK ZIARAH KELUARGA ALLAHYARHAM HAMZAH KUNJOO MARAKAN

Dato' Dr. Awang Adek Hussin, Timbalan Menteri Kewangan Malaysia telah mengejutkan penduduk di Taman Setapak Jaya apabila beliau telah menjengukkan mukanya di dalam satu majlis tahlil arwah untuk Allahyarham Hamzah Kunjoo Marakan, ketua masyarakat di situ yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Setiawangsa yang diadakan kelmarin (Khamis, 28 Mei), di rumah Allahyarham No. 12 Jalan Rejang 2, Taman Setapak Jaya.

(Foto: Kelihatan Awang Adek bersama balu allahyarham Hawa Bivee Ismail (dua dari kiri), Puan Hairunnisa Bivee Ismail (Kiri sekali). Turut kelihatan Dato' Halim Samad (Kanan sekali)

Awang Adek Hussin bukanlah Ketua UMNO Bahagian di situ dan bukan juga wakil rakyat parlimen Setiawangsa, namun begitu ingatan dan keluhuran hatinya terhadap Allahyarham Hamzah telah membuatkan beliau terpanggil untuk menziarahi keluarga ini.

Awang Adek merasakan dirinya terhutang budi dan berterima kasih serta menghargai sokongan yang telah arwah Hamzah berikan kepadanya ketika beliau bertanding ahli MT UMNO Mac lalu. Allahyarham Hamzah Kunjoo Marakan merupakan salah seorang wakil UMNO Bahagian Setiawangsa (G7) ke Perhimpunan Agung UMNO 2009 yang lalu.


Membaca Surah Yasin


Hidangan Jamuan

Kehadiran Dato' Dr. Awang Adek Hussin di majlis ini telah disambut oleh Puan Hairunnisa Ismail, Ketua Wanita UMNO Bahagian Setiawangsa yang merupakan kakak ipar kepada arwah Hamzah. Turut berada di majlis tersebut yang menyambut kedatangannya ialah Dato' Halim Samad, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa, Dato' Ahmad Fauzi Zahari, Naib Ketua UMNO Bahagian dan juga ketua-ketua UMNO Cawangan di dalam bahagian tersebut.

Allahyarham Hamzah Kunjoo Marakan telah kembali ke rahmatullah pada hari Sabtu lepas (23 Mei). Beliau telah meninggalkan seorang balu Hawa Bivee Ismail dan empat orang anak. Pemergiannya merupakan satu kehilangan kepada masyarakat di Setapak Jaya yang dipimpinnya sejak sekian lama. Allahyarham begitu aktif dengan kepelbagaian kegiatannya yang sentiasa mendapat sambutan daripada masyarakat tempatan.

Marilah kita mendoakan semoga rohnya dicucuri rahmat dan di tempatkan di kalangan orang yang soleh. Al-Fatihah!

Thursday, May 28, 2009

PILIHAN RAYA KECIL DUN MANEK URAI 14 JULAI INI, UMNO AKAN SERTAI CABARAN KERANA IA IKUT PERLEMBAGAAN...

Pilihanraya kecil DUN Manek Urai, Kelantan ditetapkan pada 14 Julai ini, sementara penamaan calonnya jatuh pada 6 Julai - memberikan lapan hari tempoh berkempen.

Dalam pengumumannya di Putrajaya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyatakan 12,293 pemilih termasuk 25 pemilih pos dijangka membuang undi di kerusi tersebut, bawah parlimen Kuala Krai.

Pilihanraya itu dipanggil akibat kekosongan susulan kematian penyandangnya Ismail Yaakub daripada PAS pada 22 Mei lalu.

Sebagaimana yang dibayangkan oleh Perdana Menteri, UMNO/Barisan Nasional dijangka akan meletakkan calonnya, kerana kekosongan seperti ini dikatakan menepati kehendak perlembagaan jika dibandingkan dengan DUN Penanti?

Apakah tindakan SPR mengadakan pilihan raya kecil di DUN Penanti yang dianggap oleh UMNO sebagai tidak mengikut kehendak perlembagaan, maka SPR juga dianggap tidak mengikut perlembagaan? Nampaknya SPR menjadi susah hendak menjelaskannya, kerana SPR tentunya beranggapan tindakannya itu adalah betul.

Ulasan selanjutnya akan menyusul...

Wednesday, May 27, 2009

CHIN PENG PEMIMPIN KOMUNIS, BUKANNYA PEJUANG KEMERDEKAAN TULEN


Chin Peng, 82, atau nama sebenarnya Ong Boon Hua, bukanlah seorang pejuang tulen kemerdekaan negara ini. Jika Chin Peng dianggap sebagai pejuang kemerdekaan tentunya dia tidak tergamak untuk melancarkan perjuangan bersenjata sehingga mengorbankan ribuan nyawa perajurit-perajurit yang dianggapnya sebagai 'anjing kerajaan'.

Gerombolan Chin Peng telah melakukan pengkhianatan terhadap keamanan negara ini, malah Chin Peng dan konco-konconya yang bergerak atas nama Parti Komunis Malaya telah melakukan jenayah membunuh, maka dengan angkara itu juga dia sebenarnya tidak layak untuk bergelar sebagai wira kemerdekaan, lagi pun Chin Peng telah berhutang darah dengan ribuan jiwa yang menjadi mangsa keganasan perjuangan komunisme yang tidak berhati perut itu.

Pada tahun 1940, dalam usianya 18 tahun, Chin Peng telah diterima untuk menyertai Parti Komunis Malaya iaitu satu cabang Parti Komunis China di seberang laut. Dia turut menyertai Force 136, satu pasukan bersenjata yang ditubuhkan oleh perisik British bagi menentang Jepun di Tanah Melayu.


British yang agak tertekan dengan kemaraan tentera Jepun pada waktu itu, telah memperkudakan anak kelahiran Kg. Kok, Setiawan ini yang mengetuai MPAJA atau Malayan People Japanese Army, sebuah pasukan gerila bagi menentang pendudukan Jepun ketika itu di bumi Malaya.


Tentera British (Pasukan Special Air Services dan M16) yang diterjunkan di hutan Perak, telah memberi pelbagai senjata, kewangan, latihan dan lain-lain persenjataan bagi memperkuatkan Force 136 dan MPAJA untuk berperang dengan tentera Jepun.


Sebagai mengenang jasanya terhadap perjuangan menentang pendudukan Jepun di Tanah Melayu ini, maka pihak British telah menjemput Chin Peng ke London untuk menerima medal 'Order of the British Empire' kerana sumbangannya yang besar memimpin MPAJA dan Force 136.

Chin Peng merasakan inilah peluang terbaik bagi dirinya untuk
mengkomuniskan Tanah Melayu ini setelah Jepun menyerah kalah. Namun demikian penjajah British mulai sedar dengan pergerakan PKM ini, lalu pihak British mengatur langkah untuk menghapuskannya. Parti Komunis Malaya semakin berani bertindak dengan memperkuatkan lagi pasukan gerilanya bukan sahaja untuk berpertang dengan tentera British malah telah mengancam keselamatan orang awam yang tidak mengikut telunjuknya.

Orang Melayu tidak dapat menerima perjuangan PKM yang jelas begitu militan dengan fahaman Karl Marx dan Leninisme yang menjadi sumber rujukan kepada perjuangan mereka. Chin Peng menyedari betapa perjuangan komunisme agak sukar diterapkan di kalangan orang Melayu pada masa itu, kerana orang Melayu begitu kuat dengan pegangan agama Islam yang dianggap sebagai candu oleh 'Marxisme' (komunisme).

Penolakan orang-orang Melayu terhadap komunisme telah menyulitkan lagi PKM untuk diterima sebagai pejuang kemerdekaan. Orang Melayu tidak boleh menerima Chin Peng yang begitu kuat untuk membawa fahaman komunis di negara ini.

Chin Peng gagal untuk meyakinkan orang Melayu, malah rejim Chin Peng telah melakukan tindakan ganas yang melampaui batas dengan melakukan pencerobohan terhadap anak-anak gadis Melayu, memusnahkan prasarana awam termasuk menyerang balai-balai polis yang menjadi tempat perlindungan orang awam.

Ramai anggota polis dan askar yang telah terbunuh akibat serang hendap yang dilakukan oleh pengganas komunis yang diketuai Chin Peng. Perajurit-perajurit ini dibunuh kerana mereka dikatakan menjadi anjing kepada British yang menjajah negara ini. Tindakan ganas ini telah menyebabkan perjuangan mereka ditolak oleh rakyat akar umbi.

Rakyat pada masa itu bukan menolak aspirasi kemerdekaan, tetapi mereka tidak boleh bersekongkol dengan PKM yang melakukan keganasan yang tidak mententeramkan kehidupan seharian mereka. Bukannya mereka tidak menghargai perjuangan menentang penjajah, tetapi mereka bencikan bajingan-bajingan komunis yang dilihat lebih zalim daripada askar British.

Perjuangan menegakkan kemerdekaan di negara ini dilihat tidak secocok jika bergandingan dengan fahaman Marxisme dan Leninisme yang menjadi ikutan kepada Parti Komunis Malaya. Chin Peng tidak bijak untuk menjiwai hakikat ini, kerana beliau bukanlah seorang yang patriotis yang berjiwa merdeka, sebaliknya Chin Peng lebih cenderung untuk meletakkan '
Tanah Melayu' ini sebagai 'Jalur Komunisme' yang ditolak oleh rakyat.

Oleh yang demikian biarlah CHIN PENG menghabiskan sisa-sisa hidupnya di alam buangan di Bangkok, daripada dia terus dicerca sebagai bajingan komunis yang telah membunuh wira bangsa kita.