assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Friday, March 6, 2009

CALON-CALON MT DARI WP! BERTANDINGLAH SECARA BERPASUKAN....


DATO' SRI ZULHASNAN RAFIQUE
(Calon MT No. 22)

DATUK WIRA SYED ALI ALHABSHEE
(Calon MT No. 15)

DATO' MOHD. NORZA ZAKARIA
(Calon MT No. 38)

DATUK ASTAMAN ABD. AZIZ
(Calon MT No. 39)

Oleh:
Abdul Rahman Hashim

Saya ingin melanjutkan lagi wacana politik semasa yang mungkin tidak menyentuh kehangatan isu 'Perak' yang masih belum ada noktahnya. Begitu juga saya tidak mungkin untuk mengulas isu panas hari ini yang membabitkan ALTANTUYA yang terdapat di beberapa laman blog yang memetik sumber berita daripada 'The French Liberation News paper.' Saya lebih terdorong kali ini untuk menyentuh dan mengupas serba sedikit gelombang persaingan merebut jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO di dalam Perhimpunan Agung UMNO 2009 (PAU) yang membabitkan calon-calon daripada UMNO Wilayah Persekutuan.

Dalam posting saya bertarikh 24 Februari lalu saya telah membuat ulasan sepintas lalu mengenai empat calon daripada UMNO Wilayah Persekutuan yang telah 'confirm' bertanding jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, yang terdiri daripada Pengerusi Perhubungannya sendiri Dato' Sri Zulhasnan Rafique yang juga Menteri Wilayah Persekutuan; yang dituruti oleh Dato' Mohd. Norza Zakaria, Ketua Badan Perhubungan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan yang juga penyandang Ahli Majli Tertinggi, Datuk Wira Syed Ali Habshee, Ketua UMNO Bahagian Cheras dan juga Datuk Astaman Abd. Aziz, Bekas Ahli Parlimen Titiwangsa.

Dato' Sri Zulhasnan Rafique (Calon No. 22) dianggap calon favourite daripada UMNO Wilayah Persekutuan yang dijangka mampu memberikan saingan untuk berada di dalam ranking 25 teratas yang diperlukan bagi jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Tanpa mengenepikan harapan untuk menang, juga kelihatan berpihak kepada Dato' Norza Zakaria (Calon No. 38) seorang tokoh muda daripada UMNO Bahagian Wangsa Maju yang tidak lagi berada di bawah bumbung Pemuda. Untuk menang, Dato' Norza juga terpaksa menghadapi cabaran getir setelah isunya dikaitkan dengan tindakan SPRM yang telah menahannya kerana dikatakan terbabit dengan gejala politik wang.

Datuk Wira Syed Ali Alhabshee (Calon No. 15) juga bukanlah calang-calang tokoh yang tidak harus diketepikan. Pengasas dan Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) ini dilihat begitu berjasa kepada komunitinya di Bahagian Cheras kerana beliau dilihat berjaya merakyatkan UMNO menerusi agenda dan kemitraan pendidikan untuk warganya. Kelantangan dan keberanian beliau mengenengahkan beberapa isu politik mutakhir ini juga dilihat mampu mengkreditkan peluangnya untuk sebaris di dalam Majlis Tertinggi UMNO.

Manakala anakanda Tan Sri Aishah Ghani, Datuk Astaman Abd. Aziz (Calon No. 39) walaupun kini tidak berjawatan di dalam UMNO, namun beliau merasakan dirinya juga berhak untuk menawarkan diri bertanding sekali lagi sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO, walaupun tertewas di musim yang lalu.

Beliau yang pernah dikenakan tindakan disiplin oleh Lembaga Disiplin UMNO kerana terbabit dengan politik wang ketika bertanding jawatan MT musim lalu, tidak menganggapkan kariernya sudah berakhir. Beliau merasakan dirinya masih berkemampuan untuk menaburkan khidmat bakti kepada agama, bangsa dan negara walaupun tidak memegang jawatan penting di peringkat Bahagian, seperti juga dengan Dato' Norza Zakaria.

Jika boleh biarlah keempat-empat calon daripada WP ini bertanding dalam satu pasukan yang berpanjikan UMNO Wilayah Persekutuan dengan tekad sehati sejiwa, penuh keazaman dan keyakinan untuk menang, dan bukannya bertanding secara solo bagaikan tidak berminat untuk memperolehi sokongan sesama sendiri, jauh sekali untuk melihat rakan seperjuangannya turut memenangi sirkit pertandingan kali ini.

Janganlah kita berbangga dengan sikap individualistik sedemikian rupa, sedangkan keempat-empat calon ini sewajarnya digandingkan sebagai mewakili Wilayah Persekutuan dan berhak memperolehi sokongan dan juga undi secara 'enblock'. Persoalannya apakah Dato' Sri Zulhasnan, Syed Ali Alhabshee, Dato' Norza Zakaria dan Datuk Astaman Abd. Aziz masing-masing mampu memperolehi sejumlah undi enblock daripada negeri yang diwakilinya? Jika ini tidak mampu diyakini, kita bimbang kecelaruan sesama sendiri ini akan mengakibatkan yang dikendung kesemuanya keciciran.

Pada saya, jika kita merasakan wajar memberikan kemenangan kepada setiap Menteri Besar ataupun Ketua Menteri yang mengetuai Badan Perhubungan Negeri masing-masing, maka wajar jugalah kita menentukan kejayaan Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan yang kini mengetuai (Menteri) Kementerian Wilayah Persekutuan sebagai keutamaan untuk diangkat memenangi pertandingan Ahli Majlis Tertinggi ini.

Biarlah kemenangan itu mencerminkan solidariti yang berjaya ditampilkan oleh perwakilan daripada13 Bahagian di Wilayah Persekutuan. Janganlah dibiarkan sindrom perpecahan yang menjadi desas desus di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO di Wilayah Persekutuan ini dijadikan alasan kukuh oleh perwakilan negeri-negeri lain untuk menolak kesemua calon-calon daripada Wilayah Persekutuan.


Mereka pernah mengetuai UMNO Wilayah Persekutuan

Jika itu yang terjadi, saya lebih yakin selepas Perhimpunan Agung UMNO ini nanti tidak seorang pun daripada 13 Ketua UMNO Bahagian di Wilayah Persekutuan ini yang layak untuk diangkat menjadi Pengerusi Perhubungan. Akhirnya pertikaman sesama sendiri yang melanda UMNO Wilayah Persekutuan akan memaksa pucuk pimpinan meletakkan 'orang luar' untuk memimpin UMNO Wilayah Persekutuan. Siapakah orang luar yang dikatakan bakal menerajui UMNO WP? Tentunya di kalangan calon Timbalan Presiden ataupun calon Naib Presiden yang menang.

Keadaan sedemikian rupa bukanlah satu perkara yang pelik yang tidak pernah berlaku di WP ini. UMNO WP pernah diterajui oleh orang luar seperti Tun Ghafar Baba, Muhammad Muhd. Taib malah ianya juga pernah diterajui oleh Tun Hussein Onn sendiri.

Jika meletakkan salah seorang daripada 13 Ketua UMNO Bahagian untuk menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO WP, yang pastinya ialah akan ada pihak yang tidak berpuas hati dimana mereka ini pula (berkomplot) yang akan mensabotaj pemimpin baru itu sebagaimana yang pernah dilakukan terhadap pemimpin sebelumnya.

Inilah dia budaya yang sering berlaku di dalam UMNO WP, bukan sahaja terhadap Zulhasnan Rafique, malah pernah juga berlaku terhadap Drs. Suleiman Mohamed termasuk Tengku Adnan Mansor yang pernah menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO WP sebelum ini.

Kadang-kadang pertelingkahan yang berlaku itu tercetus akibat sindrom tidak puas hati di kalangan pemimpin tertentu yang tidak dilantik ke jawatan tertentu. Keangkuhan yang mengatasi kerelaan telah menjebakkan pemimpin tertentu memandang rendah terhadap pemimpin yang telah mengambil alih, sehingga mendorong kepada suatu bentuk tekanan untuk tidak menyokong pemimpin tertentu ini yang hendak bertanding ke jawatan Ahli MT, malah berlaku juga suatu 'reaksi memulau' yang tidak mencerminkan kematangan pemmpjn-pemimpin UMNO di WP.

Ada yang merasakan lebih bijaksana jika kita tidak menyokong pemimpin yang tidak disukai oleh pihak tertentu. Mereka langsung tidak terfikir untuk menjadi lebih bijaksana dengan menguatkan lagi barisan kepimpinan yang ada. Mereka terleka dengan keangkuhan yang melilit mentaliti sehingga tidak peka bahawa UMNO Wilayah Persekutuan perlu diperkasakan.

Oleh yang demikian, tidak wajarlah sekiranya terdapat tohmahan yang memandang rendah terhadap tindakan Datuk Kamaruddin Ambok (Foto) Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO WP, Datuk Redzuan Hamid (Foto), Setiausaha Badan Perhubungan UMNO WP dan Datuk Seri Dr. Suleiman Mohamed, Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa yang dilihat begitu kuat bekerja untuk kemenangan Ketuanya, Dato' Seri Zulhasnan Rafique yang bertanding jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Dr. Suleiman Mohamed juga pernah bertanding Ahli MT, dimana beliau juga merasakan wajar dirinya diberikan sokongan oleh semua perwakilan Wilayah Persekutuan. Dr. Suleiman menang kerana sebahagian besar pemimpin dan perwakilan daripada UMNO WP telah menunjukkan permuafakatan untuk menangkan ketuanya. Hari ini Dr. Suleiman telah mengambil tindakan yang betul untuk mempastikan Ketuanya di WP pula menang di dalam pertandingan merebut 25 kerusi Ahli MT.

Bukanlah yang lain-lain itu tidak menyokong Dato' Sri Zulhasnan, tetapi saya sekadar mengulas andaian buruk yang dilemparkan oleh sesetengah pihak yang tidak berminat melihat Zulhasnan menang kali ini. Di dalam blog 'budak Kuala Lumpur2' juga kelihatan komen-komen yang tidak menjurus kepada sokongan terhadap Zulhasnan, malah ada yang berhujah dengan menyenaraikan sifat-sifat buruk Zulhasnan, seolah-olah sifat buruk itu hanya ada pada Zulhasnan sahaja dan tidak ada kepada yang lainnya.

Begitu juga, saya melihat ada juga yang berminat untuk memperkatakan yang buruk terhadap kewibawaan Syed Ali Alhabshee sehingga sanggup merendah-rendahkan personalitinya yang juga bertujuan untuk menggagalkan dirinya seperti yang dilakukan terhadap Zulhasnan Rafique.

Sayang seribu kali sayang, mengapa ini harus terjadi kepada tokoh-tokoh UMNO Wilayah Persekutuan? Gejala seumpana inilah yang dibenci oleh akar umbi sehingga mereka menolak UMNO dan BN di dalam PRU12 yang lalu. Waspadalah dengan PRU13...!


Monday, March 2, 2009

NAJIB BAKAL DINOBATKAN PRESIDEN UMNO , PAK LAH BILA PULAK NAK SERAH JAWATAN PERDANA MENTERI?

Perhimpunan Agung UMNO 2009 kini semakin hampir untuk mengesahkan peralihan kuasa yang akan berlaku bukan sahaja di dalam kepimpinan parti UMNO bahkan kita akan sama-sama menyaksikan jawatan Perdana Menteri juga bakal berpindah tangan setelah Perhimpunan Agung UMNO nanti mengisytiharkan Dato' Sri Najib Tun Razak menang tanpa bertanding sebagai 'Presiden UMNO' setelah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menyandang jawatan nombor satu sejak tahun 2003 tidak lagi mempertahankan jawatannya kali ini.

Terdapat desas desus nakal yang cuba mengaitkan bahawa Pak Lah mungkin masih berminat untuk memanjangkan tempoh perkhidmatannya sebagai Perdana Menteri walaupun tidak menyandang jawatan Presiden UMNO, namun Pak Lah dilihat konsisten dengan janjinya akan menyerahkan kuasa kepada penggantinya dengan mengikut jadual yang telah dipersetujui.

Pak Lah dalam satu kenyataannya di Thailand semalam menegaskan bahawa beliau tetap akur dengan pelan peralihan kuasa yang telah dipersetujui itu dan berkata tidak timbul isu untuk beliau mengingkarinya.

Cuma Pak Lah perlu memberikan penjelasan segera bilakah beliau akan membuat pengumuman untuk meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri bagi membolehkan Presiden UMNO yang baru diperkenankan oleh Yang Dipertuan Agong untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri yang baru.

Adakah Pak Lah akan membuat pengumuman tersebut di dalam Perhimpunan Agung UMNO nanti semasa menyampaikan ucapan di dalam 'Taklimat Presiden' pada 24 Mac ATAU ketika mengadakan mesyuarat MT yang terakhir bagi dirinya pada 25 Mac, ATAU adakah beliau akan membuat pengumuman itu ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada 26 Mac, dan mungkin juga sesuai untuk beliau membuat pengumuman itu di dalam ucapan penggulungannya di hari terakhir Perhimpunan Agung pada 28 Mac.

Semua kemungkinan ini boleh dipilih oleh Pak Lah, kerana yang jelas ialah Dato' Sri Najib memerlukan mandat ini untuk memimpin gerak kerja pilihan raya kecil di Parlimen Bukit Gantang, DUN Bukit Selambau dan juga DUN Batang Ai di Lubuk Antu, Sarawak.

Ketika itu Dato' Sri Najib merupakan Presiden UMNO yang baru dan secara otomatis juga merupakan Pengerusi Barisan Nasional yang perlu menandatangani watikah calon BN yang bakal bertanding di dalam pilihan raya kecil tersebut. Pak Lah mungkin boleh membuat perakuan lebih awal sebelum menyerahkan jawatanya kepada Najib terhadap bakal-bakal calon BN itu nanti.

Namun begitu Najib juga harus diberikan peluang untuk menandatangani semua watikah calon-calon yang berkenaan atas sifatnya sebagai Presiden UMNO dan juga Pengerusi Barisan Nasional yang baru, sekaligus memimpin parti untuk berhadapan dengan Pakatan Rakyat yang bakal memberikan cabaran getir di tiga kawasan pilihan raya itu.

Sementara itu Perwakilan UMNO seluruh negara yang sedang didekati oleh tokoh-tokoh yang akan bertanding di dalam Perhimpunan Agung UMNO dijangka bakal bertandang lebih awal ke Kuala Lumpur di mana sebahagian besar daripada mereka ini juga dijangka akan menyerbu ke Bukit Gantang, Perak dan juga di Bukit Selambau, Kedah sebaik selesai Perhimpunan Agung UMNO pada 28 Mac ini, kerana keesokan harinya merupakan hari penamaan calon bagi kedua-dua pilihan raya kecil tersebut.

Satu perkara menarik yang bakal disaksikan nanti ialah apakah interaksi diantara mereka yang telah menang dengan mereka yang kalah bertanding di dalam Perhimpunan Agung UMNO. Sudah tentu kesan daripada pertandingan sengit di dalam UMNO itu yang melibatkan jawatan Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden dan Ahli-Ahli MT serta lain-lain jawatan di dalam Pergerakan Pemuda, Wanita dan juga Puteri akan memberikan impak terhadap sokongan yang diperlukan di dalam kedua-dua pilihan raya kecil yang bakal berlangsung pada 7 April nanti.

Kedudukan siapakah yang bakal memenangi jawatan Timbalan Presiden UMNO juga menyaksikan penyandangnya akan bergandingan dengan Dato' Sri Najib sebagai bakal Timbalan Perdana Menteri.

Jika Muhyidin Yassin menang sebagai Timbalan Presiden UMNO, laluannya lebih mudah untuk diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri. Jika Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka pula yang menang jawatan nombor dua ini, tentunya agak sulit untuk meletakkannya ke jawatan Timbalan Perdana Menteri, kerana kemungkinan beliau terpaksa melepaskan jawatan Ketua Menteri Melaka, seterusnya terpaksa dikorbankan mana-mana Ahli Parlimen di negerinya untuk mengosongkan kerusi berkenaan, bagi membolehkan dirinya bertanding di kawasan Parlimen itu sebelum beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Kedua-dua tokoh ini dikatakan sedang bersaing dengan sengitnya jika dibandingkan dengan Muhammad Muhd. Taib yang juga bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden ini. Kita serahkan kebijaksanaan ini kepada perwakilan UMNO untuk menentukannya.

Kita mengharapkan kemelut dalam UMNO ini tidak merebak di dalam pilihan raya kecil ini. Tentunya kita ingin melihat sejauh manakah UMNO mampu mempertautkan semula kekuatan yang ada untuk menghadapi pilihan raya kecil yang dianggap sebagai satu ujian terbesar bagi UMNO setelah tewas di dua pilihan raya kecil sebelumnya iaitu di Permatang Pauh dan juga di Kuala Terengganu.

Kekalahan di Bukit Gantang dan juga di Bukit Selambau perlu dielakkan oleh UMNO kali ini, kerana ianya akan memalukan Dato' Sri Najib yag baru saja dinobatkan sebagai peimimpin nombor satu di dalam UMNO dan juga bakal menjadi Perdana Menteri yang baru. UMNO dan BN perlu menang kali ini kerana ini merupakan satu hadiah istimewa dari rakyat untuknya. Jika berlaku sebaliknya, memang jelas UMNO perlu segera dijenamakan semula.

Friday, February 27, 2009

"PEMUDA UMNO CELAKA" - KARPAL SINGH DISERANG PEMUDA UMNO DI BANGUNAN PARLIMEN.

KECOH...."Pertama kali berlaku di dalam sejarah" - demikian kata Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia merujuk kepada insiden yang menimpa Pengerusi Kebangsaan DAP Karpal Singh yang dikepung oleh sekumpulan anggota Pemuda Umno di bangunan Parlimen petang kelmarin (26 Februari).

Di dalam kejadian tersebut Pemuda UMNO menuntut Wakil Rakyat OKU itu (Karpal Singh) meminta maaf kepada pergerakan tersebut kerana mendakwa mereka menghantar peluru kepadannya.


Ini ekoran tindakan Karpal menggunakan perkataan 'celaka' yang ditujukannya kepada Pemuda Umno semasa perbahasan di Dewan Rakyat kelmarin serta mendakwa pergerakan itu menghantar peluru kepadanya.

Karpal bagaimanapun menarik balik perkataan "celaka" itu setelah diarah oleh Timbalan Speaker Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Utara, Latt Sharizan Abdul dan Ketua Pemuda Umno Bahagian Gombak, Megat Zulkarnain Amiruddin mengepung ahli Parlimen Bukit Gelugor itu sambil meminta Karpal mengakui ada menyebut perkataan "Pemuda Umno celaka" dan meminta maaf kepada mereka.

Kejadian itu berlaku pada kira-kira jam 2.30 petang kelmarin ketika ahli parlimen Bukit Gelugor itu masuk melalui pintu utama bangunan tersebut.

Kira-kira 20 hingga 30 ahli Pemuda Umno terbabit dan mereka dipercayai dari Selangor and Kuala Lumpur

Bagaimanapun, Karpal kemudiannya menelefon ahli parlimen Batu Gajah, Fong Poh Kuan yang kemudian tiba bersama beberapa wakil rakyat Pakatan Rakyat lain.

Suasana kelam-kabut di kawasan Parlimen itu bertambah kecoh apabila dua ahli Parlimen Segambut, Lip Li Eng dan Bukit Bintang, Fong Kui Lun cuba mempertahankan Karpal.

Namun salah seorang daripada Ketua Pemuda terbabit, Zulkarnain menarik baju ahli Parlimen Segambut itu.

Ekoran itu berlaku kekecohan antara kumpulan penyokong Umno dengan wakil-wakil rakyat pembangkang di situ sebelum pengawal keselamatan tiba untuk meleraikan mereka.

Khairy berkata tuduhan yang dilemparkan anggota parlimen satu tuduhan liar, gila serta berniat jahat.

"Karpal sepatutnya tidak bersembunyi dan berselindung di belakang kekebalan seorang ahli parlimen dengan membuat tuduhan yang tiada asas dan kebenaran.

"Jika beliau ada bukti bahawa peluru tersebut dihantar oleh Pemuda Umno, kami dengan ini mencabar Karpal untuk menunjukkan bukti dalam 24 jam.

"Sekiranya beliau gagal memberi sebarang bukti, rakyat Malaysia bolehlah menganggap dirinya seorang penipu yang sudah hilang segala kredibiliti dan kewarasan," Khairy.

Tetapi menurut pemerhati kejadian tersebut, apa yang nyata Khairy bersama Pemudanyalah yang sudah hilang segala kredibiliti dan kewarasan apabila bertindak mengepung dan menyerang Karpal Singh di parlimen.

"Khairy selama ini meletakkan undang-undang di dalam tangannya untuk bertindak sesuka hati semata-mata kerana beliau menantu PM," tambahnya.

"Beliau menggunakan alasan "sentimen rakyat" sedangkan Pemuda UMNO tidak mewakili majoriti rakyat di negara ini."

Pandikar Amin Mulia menyatakan beliau akan meminta Kementerian Dalam Negeri supaya menyiasat perkara itu dan berjanji akan memastikan parkara itu tidak berulang.

Manakala Karpal pula dengan tegas berkata: "Saya mungkin kurang upaya, tetapi saya tidak tunduk kepada ugutan mana-mana pihak."

Sementara itu, Pengerusi Kelab Penyokong BN, Datuk Seri Tiong King Sing memberitahu pemberita bahawa kesemua 22 anggota Pemuda Umno yang terbabit, telah ditahan oleh polis Bukit Aman.

Beberapa orang pemerhati juga mendesak supaya Khairy Jamaluddin patut dikenakan tindakan yang berat kerana mendalangi serangan tersebut.

Tuesday, February 24, 2009

EMPAT CALON WP BERENTAP MAJLIS TERTINGGI UMNO


Dari Kiri:
Dato' Sri Zulhasnan Rafique, Dato' Norza Zakaria, Datuk Syed Ali Alhabshee dan Datuk Astaman

Empat calon daripada Wilayah Persekutuan akan berentap di dalam gelanggang pemilihan jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO tahun ini. Di dalam pengundian nombor calon yang diadakan hari ini (24 Februari) menyaksikan Dato' Sri Zulhasnan Rafique, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan mendapat nombor 22.

Datuk Syed Ali Alhabshee, Ketua UMNO Bahagian Cheras pula telah mendapat nombor 15, manakala Dato' Mohd. Norza Zakaria yang juga Ahi MT telah mendapat nombor 38 yang diikuti rapat dengan Datuk Astaman Abdul Aziz, bekas Ahli Parlimen Titiwangsa yang bernombor 39.

Seramai 51 calon telah mengesahkan akan bertanding bagi jawatan Ahli Majlis Tertingggi, manakala jawatan Timbalan Presiden UMNO menyaksikan tiga calon yang bakal bersaing iaitu Tan Sri Muhyidin Yassin (No. 1), Datuk Seri Mohd. Ali Rustam (No. 2) dan juga Tan Sri Muhammad Muhd. Taib (No.3).


Calon Tunggal Presiden


Calon-Calon Timbalan Presiden UMNO



Calon-Calon Naib Presiden UMNO

Bagi jawatan Naib Presiden UMNO pula menyaksikan lapan orang tokoh yang telah mengesahkan betanding bagi jawatan ini. Diantara tokoh-tokoh tersebut ialah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (No. 1), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (No. 2), Datuk Seri Dr. Rais Yatim (No. 3), Tan Sri Mohd. Isa Abd. Samad (No. 4), Datuk Seri Syed Hamid Albar (No. 5), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (No. 6), Tan Sri Rahim Tamby Chik (No. 7) dan juga Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn (No. 8).

Sementara itu Dato' Sri Mohd. Najib Tun Razak merupakan calon tunggal yang bakal dinobatkan sebagai Presiden UMNO menggantikan Pak Lah yang tidak mempertahankan jawatannya kali ini.

Satu perkara menarik yang perlu diberikan perhatian di Wilayah Persekutuan ini ialah sejauh manakah calon-calonnya mampu memenangi hati 169 orang perwakilan daripada 13 Bahagian seluruh Wilayah Persekutuan yang menjadi asas sokongan terhadap mereka. Sewajarnya kesemua 169 perwakilan ini memberikan keutamaan undi mereka kepada semua calon WP yang bertanding itu, sebelum mereka mengundi calon-calon yang lainnya.

Namun begitu andaian ini kemungkinan tidak menepati jangkaan, kerana masing-masing dikatakan mempunyai pendirian untuk menentukan pilihan di hati. Kita mendoakan kejayaan buat semua calon WP...! Insya Allah.




MELAYU BERSENGKETA MERUNTUHKAN EMPAYARNYA SENDIRI

Mengimbas senario politik negara hari ini, kelihatannya menjurus kepada keretakan yang amat merugikan umat Melayu. Apa tidaknya cabar mencabar di antara kabilah-kabilah Melayu yang sedang bergejolak dewasa ini merupakan persengketaan MELAYU yang tidak bernoktah yang bakal menjerumuskan hilangnya kekuasaan Melayu di negaranya sendiri.

Pupusnya dominasi Melayu di negara ini akan menyaksikan Islam tidak lagi di tampuk kuasa. Apabila Melayu dan Islam tidak berkuasa lagi di bumi Malaysia ini, maka Raja-Raja Melayu juga akan terpalit dan mungkin tidak lagi bernobat di singgahsana, akibat runtuhnya kuasa politik Melayu.

Lagak UMNO diperhatikan

UMNO yang menjadi tonggak kepada kekuasaan Melayu kini sedang diperhatikan lagaknya samada masih mampu mempertahankan dominasi apa yang sering disebutkan sebagai 'Ketuanan Melayu'. Gelagat semua pemimpin Melayu dari UMNO juga sedang diteropong oleh akar umbinya, samada UMNO yang dikemudikan hari ini masih berlandaskan kepada perjuangan membela 'Melayu' secara merakyat ataupun membela 'Melayu' secara retorik dengan terpekik di sana sini, tetapi yang untungnya 'orang lain'. Orang lain dilihat bertepuk tangan kerana melihat 'Melayu' sedang bertempur sesama sendiri.

Air Mata Darah

Pertempuran sekulit dan seagama ini tentunya mengakibatkan bukan sahaja banyak pihak yang terluka dan tercedera, malah kita akan menyaksikan 'perang saudara' ini juga bakal meruntuhkan EMPAYAR MELAYU dalam abad ini. Tawarikh duka ini bakal menjadi tatapan anak bangsa kita di masa hadapan. Jika ini yang terjadi, titisan air mata darah sekali pun tidak mungkin dapat mengembalikan semula takhta yang diruntuhkan oleh juragan-juragan politikus yang durjana ini.

Ketiga-tiga pemimpin UMNO, PAS dan PKR dilihat sama sahaja, mereka asyik bermegah dengan isu-isu yang tidak melambangkan keserasian untuk menyatu padukan umat Melayu yang sedang bersengekta ini. Mereka-mereka ini sebenarnya perlu segera ditegur, supaya pencak silat berpolitik jangan sampai tertikam sesama sendiri.

Ketangkasan bukan untuk merebahkan saudara sebangsa

Kita perlu ingatkan mereka juga bahawa ketangkasan bermain senjata bukannya untuk merebahkan saudara sebangsa dan seagama. Apakah Melayu yang berjenama UMNO, PAS dan PKR diharuskan oleh Agama Islam supaya berbunuh sesama sendiri? Apa bezanya kepercayaan dan juga pegangan akidah umat Islam di kalangan Melayu UMNO, Melayu PAS dan Melayu PKR? Jika mereka boleh berjemaah di dalam solat dan mengaminkan doa untuk menghambakan diri kepada Allah Rabbul Jalil, kenapa mereka masih bermufarakah sesama sendiri bagaikan anjing dengan kuching?

UMNO, PAS dan PKR kena selalu bermunajat



UMNO, PAS dan PKR kena bermunajat selalu memohon keampunan kepada Allah yang Maha Esa supaya digerakkan hati untuk saling bermuafakat dan tidak terdorong untuk menadah tangan berdoa memusnahkan kekuatan masing-masing. Apa faedahnya kekuatan majoriti yang ada pada umat Melayu di negara ini tetapi tidak dapat dimanfaatkan oleh anak bangsa sendiri, sebaliknya kekuatan ketiga-tiga parti ini dilihat semaikin tidak cermat ditangani dan tidak berhemah lagi dengan sanggup mendedahkan keburukan dan kebobrokan masing-masing tanpa menjiwai dosa dan pahala, sehingga tergamak mempamerkan keangkuhan (ego) masing-masing semata-mata tamakkan kuasa, sehingga kuasa Melayu dilihat akan melayang bagaikan debu yang berterbangan.

Rasanya tak payahlah kita menjadi 'wira - hero' yang perkasa, jika keperkasaan itu tidak bertempat. Melayu mesti perkasa mempertahankan identitinya. Melayu mesti diperkasakan dengan BAHASANYA kerana itulah jiwa bangsa kita.

Menjatuhkan air muka Melayu

Melayu mesti diperkasakan di negara ini dengan GENGGAMAN KUASANYA yang kukuh yang bersalutkan semangat kesatuan hati dan nurani tanpa diracuni dengan prasangka jahat sehingga sanggup menjatuhkan maruah dan air muka sesama sendiri yang MEMALUKAN MELAYU.


Carilah formula terbaik untuk mereka ini...

Sewajarnya ANWAR, HADI AWANG dan PAK LAH/NAJIB dijadikan lambang kehebatan kuasa Melayu abad ini. Mereka bukannya malaikat, dan bukan juga 'maksum', tetapi mereka ini adalah pemimpin Melayu yang masing-masing ada instink pengaruhnya. Mereka harus didorongkan untuk bersatu hati, dan bukannya dilaga-lagakan.

Sepatutnya mereka buangkan ego masing-masing dan fikirkanlah masa depan anak bangsa kita. Jangan biarkan anak, cucu cicit kita tidak lagi menikmati kekuasaan Melayu seperti kita hari ini, dan jika ini yang terjadi amat malanglah kita, kerana mungkin hayat kita tidak mampu bertahan pada masa itu untuk memberikan pembelaan kepada generasi Melayu yang malang itu Semuanya sudah terlambat.

Jika kita masih berminat membiarkan pertikaman ini berterusan, jawapannya ialah akan ada salah seorang yang mati ditikam. Sebenarnya yang menikam itu Melayu dan yang terbunuh itu pun juga Melayu. Sebagai anak Melayu samada dari UMNO, PAS ataupun PKR, sedarlah bahawa parti-parti lain seperti DAP, MCA, GERAKAN, MIC dan sekutu dengannya tidak sehaluan dengan kita dalam banyak perkara yang berkaitan dengan perjuangan memartabatkan Melayu.

Mereka ini juga sering melaung-laungkan hak masing-masing dan amat mencemburui dengan kejayaan kita, terutamanya jika kita bersatu. Sudah tentu ada yang bergembira jika melihat kita bersengketa sesama sendiri, kerana mereka yakin suatu hari nanti mereka mampu menguasai kerajaan di atas keruntuhan kuasa Melayu.

Sunday, February 22, 2009

Anak Ketua SPRM dituduh mengimpot bahan lucah ?

BERITA PANAS DARI AUSTRALIA.....Anak kepada Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Said Hamdan (Foto) Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bernama AHMAD SHAUQI BIN AHMAD SAID yang bekerja sebagai seorang Juruterbang MAS telah ditangkap dan didenda oleh mahkamah Australia kerana kesalahan membawa masuk bahan lucah kanak-kanak bawah umur (child pornography) ke negara Australia.

Ahmad Shauqi bin Ahmad Said kelihatan digari di Mahkamah Majistret Adelaide kerana dituduh mengimpot bahan yang dilarang itu.

Menurut sumber-sumber berita yang dipetik daripada beberapa laman web antarabangsa diantaranya 'AdelaideNow' (www.news.com.au/adelaidenow) bertarikh 8 Februari 2009, begitu juga berita ini disensasikan di dalam laman web ABC News.

Pegawai kastam Australia dikatakan telah menahan Shauqi yang berumur 25 tahun di Lapangan Terbang Antarabangsa Adelaide, selepas menemui 3 fail video mengandungi bahan lucah kanak-kanak bawah umur.

Video-video itu bertajuk "Reped (sic) Virgin', "10-Year Old" dan "High School Students."





"Bahan-bahan itu menjijikkan dan sangat tidak boleh diterima - sesiapa yang baik akan menerima kesan buruknya," kata Majistret Simon Smart.

Mr Smart berkata terdapat satu adegan rogol yang memaparkan seorang kanak-kanak perempuan bawah 18 tahun yang dipaksa untuk mengadakan hubungan seks dengan seorang lelaki yang lebih tua usianya.

Sementara itu, Syarikat Penerbangan MAS telah menggantung Ahmad Shauqi nombor kakitangannya 1086993 daripada melakukan penerbangan bagi membolehkan satu siasatan dalaman diambil oleh syarikat penerbangan nasional itu.

Di dalam beberapa kupasan/forum di internet rata-rata memberikan pendapat betapa kehinaan yang telah menimpa Ahmad Said Hamdan sebagai satu "balasan" terhadap sikap Ketua SPRM itu yang telah menjadi bahan kritikan rakyat yang kerana beliau dikatakan terlalu "banyak melakukan kesalahan pilih kasih dan bias" di dalam beberapa tindakannya.

Baru-baru ini Ahmad Said Hamdan telah mengeluarkan kenyataan semberononya yang mengaitkan Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor yang dikatakannya telah disiasat oleh SPRM berhubung dengan satu aduan yang menyebutkan Menteri Besar itu telah menyalahgunakan kuasanya berkaitan dengan penyenggaraan kereta peribadinya dan juga isu pembelian lembu korban yang dilihat ada kes untuk didakwa. Menurutnya kes ini akan dikemukakan kepada Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Banyak pihak mempertikaikan cara Ahmad Said bertindak, kerana mereka berpendapat Suruhanjaya (SPRM) hanya perlu menyerahkan hasil siasatannya kepada Jabatan Peguam Negara dan jabatan tersebut yang seharusnya menentukan samada ada kes atau tidak terhadap Khalid Ibrahim. Kalau Ahmad Said boleh membuat kenyataan sedemikian, maka agensi lain seperti Polis juga boleh membuat kenyataan bahawa hasil dari siasatan mereka, contohnya kes bunuh, "sianu dicadangkan didakwa kerana terdapat bukti dia telah membunuh mangsa".

Wednesday, February 18, 2009

BERITA PANAS...DUN PERAK BAKAL DIBUBAR? RAKYATLAH MENJADI RAJA DEMOKRASI..

TERKINI...PANAS LAGI HANGIT - Suasana politik negeri Perak semakin bergolak dan bergelut serta tidak keharuan. Dato' Dr. Zambry Kadir (Foto sebelah kri) yang baru saja diperkenankan oleh Sultan Azlan Shah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak Ke-11 telah digantung keanggotaannya sebagai ADUN selama 18 bulan, manakala kesemua barisan exconya pula turut digantung selama 12 bulan.

Dalam tempoh itu beliau tidak dibenarkan menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri yang bakal diadakan nanti. Keputusan ini telah dicapai di dalam mesyuarat khas Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak yang dipengerusikan oleh Speaker DUN, V. Sivakumar (Foto) yang juga ADUN DAP dari Tronoh hari ini.

Walaupun UMNO/BN berjaya mengkudetakan kerajaan Pakatan Rakyat dengan berkedudukan Seri 28-28 di Dewan Undangan Negeri, namun UMNO gagal memaksa ADUN Jelapang dari DAP menyertai mana-mana parti komponen BN. Begitu juga Jamaludin dan Man Jailu juga kedua-duanya ADUN PKR yang memilih untuk menjadi wakil Bebas kerana tidak berhasrat untuk menyertai UMNO

Tiga ADUN Bebas perkuatkan siapa?

Walaupun mereka bertiga dititah menghadap ke Bawah Duli Paduka Seri Sultan Perak untuk menyatakan sokongan mereka kepada BN, namun dari segi teknikalnya BN dan PR tetap berkedudukan Seri 28-28. Kerajaan yang tertegak secara kudeta ini dilihat tidak berkeupayaan untuk mentadbir kerajaan, tetapi Najib telah memilih untuk mempersembahkan kepada Sultan Perak bahawa BN mempunyai kekuatan ajaib yang DIPERKUATKAN oleh 3 ADUN yang kaki lompat ini, termasuk ADUN Bota yang telah kembali semula ke pangkuan UMNO meninggalkan PKR, sebagai hujah bijaksananya untuk merampas kerajaan daripada Pakatan Rakyat yang telah dipilih oleh rakyat di dalam PRU12 yang lalu.

Menteri Besar Perak dari Pakatan Rakyat, Datuk Seri Ir. Nizar Jamaludin setelah mendapati kerajaannya menjadi tidak stabil akibat kejayaan BN memancing 3 ADUNnya keluar daripada parti masing-masing, telah bertindak betul dengan memohon perkenan Sultan Perak supaya DUN Perak dibubarkan bagi membolehkan rakyat memilih semula kerajaan yang mereka kehendaki.

Tetapi Najib kelihatan lebih berjaya dengan diplomasinya meyakinkan Sultan Perak sehingga Sultan Azlan bukan sahaja tidak memperkenankan DUN dibubarkan, malah telah menitahkan Menteri Besarnya meletakkan jawatan serta merta. Akibatnya pemimpin yang dipilih oleh rakyat itu kini memperolehi simpati rakyat yang tidak dapat dihalang lagi.

Tun Dr. Mahathir tak setuju pencabulan kuasa seperti ini



UMNO dan BN sememangnya menampakkan kelibat untuk mengelakkan DUN dibubarkan kerana jika pilihan raya diadakan belum tentu lagi UMNO/BN mendapat laluan mudah untuk membentuk kerajaan. Silap-silap majoriti Pakatan Rakyat semakin bertambah. Maka sebab itu, kaedah merampas kuasa yang telah berlaku itu menjadi pilihan Najib untuk memperjudikan nasib UMNO berada di takhta yang rapuh seperti hari ini.

Dr. Mahathir telah membuat teguran yang membina supaya tidak diperlakukan sedemikian rupa. Begitu juga Tengku Razaleigh Hamzah turut menyatakan bahawa Nizar masih lagi MB Perak yang sah di sisi undang-undang tubuh negeri itu. Pendapat-pendapat tokoh negarawan bukannya kerana mereka terdorong untuk menyebelahi Pakatan Rakyat, tetapi cara pendekatan yang telah diambil itu bukanlah sesuatu yang bijak malah memberi ruang kepada pihak yang teraniaya untuk menggunakan saluran mahkahmah untuk menebus semula apa yang dikatakan sebagai hak rakyat terhadap mereka.

Pencabulan kuasa seperti ini juga mengundang kepada sentimen yang kini dijaja oleh UMNO iaitu penderhakaan terhadap Sultan. Sultan Perak telah diheret dalam gelanggang politik adu domba yang melibatkan cabar mencabar diantara penyokong-penyokong parti yang terbabit, dan masing-masing baru sekarang menampakkan mereka lebih setia dan taat lebih daripada HANG TUAH yang telah disembunyikan oleh Bendahara Melaka.

Bendahara Melaka menyembah derhaka sembunyikan Hang Tuah

Ketika negeri menjadi huru hara dakibat amukan Hang Jebat yang menbela dan kecewa dengan keputusan Rajanya yang menghukum Hang Tuah dibunuh, telah memaksa Bendahara 'MENYEMBAH DURHAKA' kepada Baginda Sultan menyatakan bahawa Hang Tuah masih hidup. Sembah Durhaka Mamak Bendahara ini mendapat sanjungan Sultan Melaka, lalu baginda menitahkan supaya Hang Tuah yang telah difitnah itu kembali ke pangkuan Istana untuk menggalas titah Tuanku spaya Jebat dihapuskan.

Hang Tuah sanggup dan berjaya membunuh Jebat yang membelanya. Mamak Bendahara yang menyembah durhaka kerana tidak menjalankan titah perintah Rajanya juga dipuji oleh Tuanku kerana kedudukan dan kemuliaanya masih di singgahsana.

Demikianlah satira Melayu yang begitu taat dengan Rajanya. Cuma sistem pemerintahan hari ini tidak lagi meletakkan Raja sebagai pemerintah yang mutlak kerana sistem feudal itu telah lama diNyahkan oleh penjajah sejak 446 tahun yang silam. Hari ini Raja Melayu telah diletakkan semula sebagai Payung Negara, cuma rakyat telah diberikan kuasa untuk memilih kerajaan menerusi sistem pilihan raya tanpa mengheret Sultan yang telah dmuliakan.

ADUN Bota dan Jelapang letak jawatan?

Menyorot kembali situasi politik di negeri Perak Darul Ridzwan ini, ianya semakin panas kerana ada ura-ura begitu kuat yang melibatkan ADUN Bota Datuk Nasarudin Hashim (Foto) dikatakan akan meletakkan jawatannya sebagai ADUN Bota pada bila-bila masa dari sekarang. Beliau dikatakan menghadapi tekanan yang kuat akibat tindak tanduknya sendiri yang tidak keharuan.

Datuk Nasa semakin kecewa dan bertambah GETIK kerana pengorbanan dirinya tidak dihargai oleh UMNO/BN yang tidak menyenaraikan dirinya di dalam barisan Exco Kerajaan BN. Begitu juga desas desus begitu kuat menyatakan ADUN Jelapang (Foto) dari DAP juga akan meletakkan jawatannya dalam masa yang terdekat ini. Jika ini yang terjadi Kerajaan BN akan kecundang di tengah jalan yang juga memungkinkan rakyat sekali lagi menjadi Raja Demokrasi.