assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Friday, February 13, 2009

PILIHAN RAYA YANG TERPAKSA......

Setelah SPR berpuas hati dengan kesahihan surat perletakan jawatan ADUN Selambau, V. Arumugam dan juga kematian Ahli Parlimen Bukit Gantang, Roslan Shaharum (kedua-duanya dari Pakatan Rakyat), maka ianya telah memaksa SPR menetapkan juga tarikh pilihan raya kecil bagi kedua-dua kawasan pilihan raya itu pada 7 April depan.

Penamaan calon bagi kedua-dua kawasan ini juga telah ditetapkan pada 29 Mac 2009, iaitu selepas Perhimpunan Agung UMNO. Ketetapan ini dibuat pada hari ini setelah SPR bermesyuarat di Ibu Pejabatnya di Putrajaya.

Walaupun ada yang mempersoalkan kenapa penetapan tarikh pilihan raya kecil ini agak lewat diadakan, namun ianya masih dalam lingkungan 60 hari seperti yang ditetapkan di dalam akta SPR. Lagi pun SPR berpendapat tarikh ini didapati memberi keselesaan kepada semua pihak yang terlibat.

Di dalam suasana kegawatan politik yang menghangat dewasa ini tentunya pilihan raya kecil seperti ini mahu dielakkan oleh UMNO dan Barisan Nasional, terutama kedua-duanya merupakan kerusi yang dimiliki oleh Pakatan Rakyat di negeri yang juga telah dikuasai oleh Pakatan Rakyat di dalam PRU12 yang lalu.

UMNO/BN terpaksa juga menerima hakikat bahawa pilihan raya kecil di Bukit Gantang dan Bukit Selambau merupakan ranjau yang perlu dihadapi untuk membuktikan kepada rakyat bahawa UMNO/BN masih relevan di negara ini. UMNO/BN yang baru saja berkedudukan Seri 28-28 dirasakan tidak berupaya untuk berhadapan dengan pilihan raya umum di negeri Perak sebagaimana yang dikehendaki oleh kerajaan Pakatan Rakyat, kerana mood rakyat masih berpihak kepada Pakatan Rakyat.

UMNO/BN hanya dapat mempamerkan kehebatannya mencairkan tiga ketul ais batu termasuk satu ketul ais dari Bota yang sekejap selesa berada dalam freezer UMNO, kemudian berpindah ke dalam freezer PKR dan akhirnya mencairkan dirinya semula ke dalam UMNO. Apa jua hujah dan alasan yang diberikan oleh juara 'Piala Lompat Katak' ini tidak memungkinkan dirinya akan dipercayai lagi oleh mana-mana pihak.

Dato' Zaim, Ketua UMNO Bahagian Parit yang dicabar oleh Datuk Nasa semasa bertanding jawatan Ketua Bahagian di Parit, tentunya merasa lega kerana musuhnya kini semakin menghampiri jurang kebinasaan akibat perbuatan durjananya sendiri.

Dalam suasana yang genting dan rapuh inilah UMNO yang mahu mengelakkan pilihan raya diadakan dalam masa sesingkat ini, terpaksa juga pasrah kerana segala-galanya telah ditentukan oleh Allah SWT. Sewaktu mengambil alih kerajaan Perak, UMNO langsung tidak menjangkakan akan berlaku kematian mengejut di kalangan Ahli Yang Berhormat di negeri ini.

Nasib baik kematian ini berlaku ke atas seorang Ahli Parlimen, dan bukannya dari kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Jika ianya berlaku di kalangan mana-mana ADUN di negeri Perak tentunya UMNO/BN yang berkedudukan Seri 28-28 akan bertambah cemas melihat gelombang jiwa dan perasaan rakyat yang semakin panas dipermainkan di negeri ini. Logika di depan mata menunjukkan penanda aras kehancuran UMNO jika berlaku juga pembubaran DUN Negeri Perak tempoh hari.

Sememangnya UMNO berterima kasih dan wajar membentangkan sepanduk dirgahayu di jalanan di seluruh negara kepada Sultan yang dilihatnya telah memihak kepada UMNO sehingga UMNO bertakhta semula di negeri tersebut, walaupun dalam keadaan yang rapuh.

Manakala mereka yang berdukacita dan tidak menggemari permainan silap mata ini telah dianggap sebagai penderhaka kepada Sultan, bahkan Muftinya juga semakin kuat mengeluarkan fatwa kipasnya dengan mentaklikkan penderhakaan seumpama itu sebagai berdosa, dan mungkin juga tidak berdosa jika petualang-petualang UMNO di Negeri Terengganu dan juga Negeri Perlis yang juga dikatakan telah menderhaka kepada Sultannya.

Kehilangan imuniti dan cercaan yang dilemparkan ke muka Raja-Raja Melayu oleh UMNO pada 1993 yang lalu mungkinkah perbuatan derhaka itu juga dianggap berdosa? Semua bentuk media arus perdana yang dikuasai kerajaan UMNO pada masa itu telah menjadi lidah penyambung untuk menggegarkan hati nurani rakyat dengan memaparkan kedurjanaan Raja/Sultan negeri-negeri tertentu yang mereka anggap sebagai zalim dan wajar kekebalannya dihapuskan.

Semua wakil rakyat daripada pembangkang PAS, DAP dan Semangat 46 ketika itu telah menentang cadangan yang dibuat oleh UMNO pada masa itu, namun setelah road show ke seluruh negara di buat, akhirnya Sultan/Raja Melayu terpaksa pasrah bahawa diri mereka bukanlah kebal lagi seperti sistem feudal Raja-Raja Melayu purbakala. Semuanya angkara UMNO...

Thursday, February 12, 2009

Najib dapat anugerah 'Datuk Patinggi' di Sarawak

Pagi tadi, 12 Februari 2009 Dato Sri Mohd. Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri telah dianugerahkan darjah kebesaran negeri Sarawak daripada TYT Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, di Astana, Petra Jaya, Kuching yang membawa gelaran 'Datuk Patinggi' kepada beliau. Selepas menerima anugerah tersebut, Najib telah menghadiri mesyuarat BN Negeri untuk meninjau perkembangan politik di negeri Bumi Kenyalang ini, dan esok beliau akan menemui rakyat di Bandaraya Miri sebelum pulang ke Kuala Lumpur.

Saya mengucapkan setinggi tahniah kepada Dato' Sri Mohd. Najib Tun Razak di atas penganugerahan tersebut dan ini merupakan satu penghormatan kerajaan dan seluruh rakyat Negeri Sarawak kepada bakal pengganti Perdana Menteri ke-V (Pak Lah) ini, yang tidak lagi mempertahankan jawatan Presiden UMNO kali ini.

Kebetulan sewaktu kunjungan Najib ke Bumi Kenyalang kali ini, saya turut berada di Kuching sejak satu minggu yang lalu. Lantaran itu, saya telah mengambil kesempatan yang berharga ini untuk tidak melepaskan peluang menanti ketibaanya di Hotel Hilton, Kuching kira-kira jam 10.45 malam kelmarin (11 Februari 2009), dan sempat juga saya bersalaman dengannya sebaik beliau melangkah masuk ke pintu lobi hotel berkenaan.

Turut kelihatan mengiringi Najib dan isterinya Rosmah masuk ke hotel penginapannya itu ialah Pehin Seri Haji Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak dan pembesar-pembesar negeri yang lainnya. Selain itu, saya juga melihat beberapa orang pemimpin UMNO daripada Sabah, Perak dan juga Wilayah Persekutuan turut setia menunggu ketibaannya di ruang legar hotel.

Saya bukanlah berhajat untuk menemui Timbalan Perdana Menteri sempena kunjungannya di Sarawak, lagi pun saya bukannya membuat temu janji dengan beliau, walaupun jika diberikan ruang berbuat demikian sudah tentu saya tidak akan menolaknya.

Selain berbangga untuk menyambut kedatangan bakal Perdana Menteri Malaysia Ke-VI di Sarawak, saya sebenarnya ingin menemui Dato' Dr. Mohd. Shafie Abdullah (Foto sebelah), Setiausaha Politiknya yang juga sahabat seperjuangan saya yang kini menjadi Ketua UMNO Bahagian di Wangsa Maju. Dato' Shafie ketika dihubungi menerusi telefon pagi kelmarin telah memaklumkan kepada saya bahawa beliau akan turut serta bersama-sama dengan Dato' Sri Najib dalam kunjungannya ke Sarawak kali ini, dan berharap kami boleh berjumpa sebelah malam di Kuching.

Saya berbanga sekali kerana Dato' Shafie telah meluangkan masanya bersama-sama saya dan rakan-rakan yang lainnya di Coffe House hotel berkenaan sehingga jam 2.00 pagi. Kami telah berbincang secara santai mengenai perkembangan politik semasa tanah air.

Semasa berbual di dalam telefon, sempat juga Dato' Shafie melontarkan pandangan sinisnya kepada saya tentang inti pati blog locengwangsa yang dikatakannya begitu kritis terhadap UMNO dan BN, terutama dalam isu yang berkaitan dengan pergolakan politik di negeri Perak sejak akhir-akhir ini.

Dato' Shafie yang sering melayari dan membaca blog locengwangsa ini juga berkata kepada saya bahawa tulisan saya yang menyentuh pergolakan politik negeri Perak dilihat begitu memihak kepada Parti Pakatan Rakyat, kerana saya juga dikatakan amat cenderung menghentam UMNO dan BN, sedangkan saya adalah Ketua UMNO Cawangan dan juga AJK UMNO Bahagian di Setiawangsa.

Sebenarnya saya berterima kasih dan 'salute' kepada Dato' Shafie kerana beliau merupakan Setiausaha Politik kepada penyandang Timbalan Perdana Menteri Malaysia, yang sentiasa berfikiran terbuka dan amat rasional tentang pandangan-pandangan kritis seumpama ini yang dilihat mampu memberikan gambaran sebenar tentang keresahan dan ketidak puasan hati akar umbi terhadap UMNO dan pimpinannya. Bersandarkan kepada prinsip inilah Dato' Shafie akhirnya berada di puncak kekuasaan di Wangsa Maju setelah sekian lama memegang watak 'budak nakal' yang tidak disukai oleh peneraju-peneraju sebelumnya.

UMNO yang dilanda 'sindrom getik' oleh rakyat akar umbi dewasa ini hendaklah segera dijiwai oleh setiap pemimpinnya di semua peringkat tanpa melihat persepsi kebencian rakyat itu sebagai penolakan mutlak terhadap parti yang begitu berjasa kepada agama, bangsa dan juga negara. Mengkritik sebenarnya menegur untuk kebaikan, dan bukannya unjuran kemusnahan idealisme perjuangan yang sempit.

Saya melihat jika kita terlalu cenderung untuk bersikap 'mengampu' dan 'mengipas' tanpa sebarang pandangan kritis yang konkrit hanya mengakibatkan UMNO sentiasa di kerumuni anai-anai yang akan merebahkan tiang serinya. Jangan lagi kita menuding jari menyalahkan orang lain, sedangkan cermin di dinding mentertawakan kita kerana tanpa disedari kipas di tangan bertukar menjadi keris beracun yang menghunus ke leher sendiri.

Biarlah UMNO menjadi sebuah parti umat Melayu yang sentiasa diperkasakan dengan cabaran perjuangan yang berlandaskan kepada kekuatan jati diri yang terarah kepada pembelaan rakyat akar umbi dan bukannya memunggah kekayaan untuk diri sendiri.

Janganlah hendaknya UMNO diltalkinkan setelah pemimpinnya terlalu asyik dilalaikan dengan bentuk sokongan yang membawa rebah. Pemikiran kita haruslah lebih kritis kerana ianya menyuburkan jiwa perjuangan, jika dibandingkan dengan 'kaki ampu' yang sering tersasar sehingga racun dikatanya ubat!

Ciri-ciri negatif seperti ini saya melihat tidak singgah dalam kotak pemikiran Dato' Shafie yang dulunya sentiasa terdedah dengan tohmahan kata nista sehingga kebaikan perjuangannya itu telah memungkinkan dirinya 'menjadi' seperti hari ini. Saya berkeyakinan bahawa idealisme pemikiran dan perjuangannya mampu menjana kuasa idealisme perjuangan bosnya, Najib yang kini diserang bertubi-tubi oleh musuhnya nun di sana!

Saya lebih berkeyakinan jika kita mampu memenuhi cita rasa rakyat dengan mendengar rintihan kalbunya dan segera bertindak mencari formula penyelesaiannya, pasti UMNO dan BN akan kembali dijulang rakyat. Mari kita saksikan apa yang bakal diterjemahkan oleh rakyat kepada UMNO yang bakal diterajui oleh anakanda Tun Razak ini di dalam gelanggang pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, Perak dan juga pilihan raya kecil di DUN Bukit Selambau, Kedah...

Memang benar, Pakatan Rakyat bukannya sekukuh Barisan Nasional, tetapi UMNO hendaklah menguruskan minda pemimpinnya yang sentiasa rakus kuasa, menebal pula pujukan rasuahnya, malah kita tidak mampu mempamerkan jati diri perjuangan yang tidak memikat hati rakyat. Penampilan imej UMNO yang carca marba tidak keharuan inilah yang menyebabkan UMNO menjadi layu tidak sekukuh yang disangkakan. Pakatan Rakyat dilihat mendapat simpati dan sokongan rakyat akibat mereka marah dan benci dengan watak-watak yang terdapat di dalam UMNO.

Rakyat tidak mengundi UMNO kerana mereka bencikan perwatakan sesetengah pemimpinnya. Ini bermakna ada sesuatu yang perlu diperbetulkan segera di dalam mengurus perjuangan UMNO di abad ini. Bertindaklah segera...berpijaklah di bumi nyata dan kembalikan maruah Melayu tanpa Melayu dikonda kondikan.

Wednesday, February 11, 2009

Zambry dan Nizar, dua Menteri Besar berkedudukan Seri 28-28.

Episod politik negeri Tok Sagor ini semakin bercelaru dengan kehangatan penguasa-penguasa politiknya yang sedang berebut untuk menaiki takhta dengan menggunakan formula 'sifir seri' yang menyaksikan masing-masing berkedudukan seri 28-28.
Barisan Nasional dikatakan masih menguasai permainan kerana telah berjaya memaksa tiga pemain yang tidak berjersi masuk ke padang untuk menguatkan Barisan dalam menghadapi gelombang Pakatan Rakyat yang tertipu dengan kelicikan dan kelincahan tiga pemain yang dikatakan begitu terdorong untuk menyepak bola ke gawang sendiri. Mereka bertiga telah menanggalkan jersi lamanya kerana menyedari taktik permainannya tidak lagi mengikut rentak sebagaimana yang diharapkan.
Namun begitu tiga pemain ini tidak berminat untuk memakai jersi berlambang 'dacing kati' kerana mereka dikatakan begitu selesa bermain tanpa jersi, lagipun mereka juga menyedari posisi yang digalas terhadap mereka bagaikan melukut di tepi gantang.
Pelbagai strategi digunakan untuk memenangi permainan dalam merebut piala sumbangsih 'Menteri Besar Perak Darul Ridzwan'. Penonton di dalam stadium semakin ghairah dengan jeritan kumpulan sorak masing-masing untuk mempastikan pasukan masing-masing menang dalam episod kali ini.
Dr. Zambry Kadir yang dilantik sebagai pengemudi pasukan Barisan dilihat berada di atas trek untuk menuju ke puncak kejayaan, sedangkan Ir. Nizar daripada Pakatan Rakyat juga masih berkeyakinan untuk melakukan kejutan mempertahankan kejuaraannya.
Pasukan Ir. Nizar yang masih menggunakan 'Laman Menteri Besar' di Ipoh untuk berkubu dikatakan tidak mahu beralah walaupun diasak bertubi-tubi oleh pasukan Barisan yang diketuai oleh Dr. Zambry yang kini sudah berjaya bertapak di singgahsana kekuasaan. Beliau telah dinobatkan sebagai pasukan yang layak bertakhta walaupun berkedudukan seri 28-28.
Nampaknya pasukan Pakatan Rakyat terpaksa mengalihkan fokusnya untuk membuktikan betapa pasukannya masih bertakhta di hati rakyat. Penyokongnya di Bukit Gantang sedang melipatgandakan usaha dan tenaga untuk memberikan signal yang lebih jelas kepada penguasa yang bertakhta di Pejabat SUK Negeri Perak ini, supaya lebih bersedia untuk digulingkan secara demokrasi.
Dr. Zambry haruslah memperkuatkan barisannya yang dilihat masih rapuh, kerana ramai sangat pencatur yang berminat untuk melihat UMNO rebah di dalam gelanggang kali ini. Kita mendoakan siapa juga yang menang janganlah sampai menang sorak kampung yang tergadai.

Tuesday, February 10, 2009

BARISAN EXCO PERAK TANPA DATUK NASA, JAMALUDIN DAN OSMAN JAILU?

Hari ini enam Ahli Yang Berhormat daripada Barisan Nasional telah mengangkat sumpah jawatan 'Exco Negeri Perak' di hadapan Paduka Seri Sultan Azlah Shah. Difahamkan ada empat lagi jawatan exco yang bakal mengisi kekosongan yang akan diisi kemudian.

Daripada enam yang mengangkat sumpah hari ini, nama Datuk Nasarudin Hashim ADUN Bota yang 'lompat melompat' tidak jadi diberikan habuan untuk sebaris dengan exco-exco yang dilantik itu.


Datuk Nasa, Osman Jailu dan Jamaludin

Begitu juga Jamaludin Radzi ADUN Behrang dan Kapt. (B) Mohd. Osman Jailu ADUN Changkat Jering yang kini 'Wakil Bebas Tanpa Parti' yang menyokong Barisan Nasional tidak dilantik semula sebagai Exco di dalam kerajaan baru ini.

Jamaludin Radzi dan Osman Jailu sebelum ini adalah Exco Kerajaan Negeri Perak di bawah Pakatan Rakyat yang telah diperangkap oleh kunco-kunco UMNO sehingga terpalit kes rasuahnya yang telah ditangguhkan sebutan kesnya pada hari ini 10 Februari 2009, kepada 15 Jun depan. Kedua-dua mereka ini tidak hadir di mahkamah kerana secara tiba-tiba TIDAK SIHAT. Difahamkan keempat-empat yang bakal dilantik menjadi Exco nanti, juga tidak menyenaraikan nama-nama pembelot ini.

Apakah kerana Jamaludin dan Osman Jailu bukannya ADUN UMNO/BN maka dianya tidak layak untuk sebaris dengan exco-exco yang terbukti setia dengan parti masing-masing, tidak seperti mereka? Atau apakah kerana kedua-dua bekas exco daripada PKR ini dikatakan bermasalah dengan kes rasuahnya yang masih tertangguh, maka perlantikannya hanya dibuat selepas berjaya melepasi halangan keputusan mahkamah? Pendapat saya, UMNO tidak akan memberikan keutamaan kepada kedua-dua pembelot ini, setelah mereka berjaya diperdayakan. Terdapat ramai lagi dari kalangan 28 orang YB daripada BN yang lebih layak dan terbaik jika dibandingkan dengan mereka berdua ini.

Atas alasan apa pula Datuk Nasarudin Hashim tidak disenaraikan? Saya berpendapat beliau juga tidak selayaknya untuk diangkat menjadi exco, kerana UMNO/BN perlu memberikan keutamaan kepada lain-lain Ahli Yang Berhormat DUN Perak yang terbukti kesetiaannya kepada parti.

Lagi pun mengheret Datuk Nasarudin menjadi exco semata-mata kerana dia terbukti berjaya meletakkan martabat BN sehingga ke takuk hari ini dengan memerintah semula negeri Perak, bukanlah alasan yang kukuh untuk membalas budinya itu. Jika nama Datuk Nasa diangkat menjadi exco sedangkan beliau tidak memegang sebarang jawatan penting di dalam UMNO Bahagian Parit, akan mengundang musibah terhadap maruah UMNO Bahagian Parit yang diketuai oleh Datuk Zaim yang juga ADUN Belanja di dalam Parlimen Parit.

Datuk Nasa dikatakan tidak sehaluan dengan Datuk Zaim, dan telah kalah di tangan Zaim ketika bertanding jawatan Ketua Bahagian baru-baru ini. Zaim mungkin akan merpersoalkan atas kapasiti apakah Nasa perlu dilonjakkan sebagai Exco? Dalam arti kata yang lainnya, Datuk Zaim merasakan dirinya lebih layak daripad Datuk Nasa untuk diangkat menjadi Exco Negeri Perak.

Monday, February 9, 2009

Nizar layak bertanding di Parlimen Bukit Gantang?

Al-Fatihah....kepada Allahyarham Haji Roslan Shaharum (Foto) Ahli Parlimen Bukit Gantang, Perak yang telah kembali ke rahmatullah tengah hari tadi. Beliau malam tadi turut berada di majlis ceramah 'Anwar Ibrahim' di kediaman Menteri Besar Perak.

Sesungguhnya pemergian Allahyarham adalah ketentuan Rabbul Jalil. Kita berharap tidak ada spekulasi nakal dengan pemergian Allahyarham itu yang mengakibatkan satu pilihan raya kecil terpaksa diadakan di kawasan Parlimen Bukit Gantang. Itu pun jika SPR tidak terdorong sekali lagi untuk meragui kesahihan 'surat kematian' yang bakal disahkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Kekosongan kerusi Parlimen Bukit Gantang rasanya layak digalas ganti oleh Menteri Besar Perak yang baru saja dititahkan meletakkan jawatannya oleh Paduka Seri Sultan Azlan Shah, iaitu siapa lagi kalau bukan Datuk Seri Ir. Haji Mohammad Nizar Jamaludin.

Nizar dilihat paling sesuai untuk diletakkan bertanding atas tiket PAS di Bukit Gantang, kerana di gelanggang inilah Nizar akan diuji sejauh mana rakyat Perak masih berdiri teguh bersamanya dalam meredahi gelombang politik yang memaksa kerajaan negeri pimpinannya dipendekkan tempohnya untuk 10 bulan sahaja.

Nizar telah dimalukan, Nizar dihalau keluar dari pejabatnya oleh SUKnya sendiri, Nizar dicerca sebagai penderhaka Sultan oleh pecacai UMNO yang pernah memalukan institusi Raja suatu ketika dahulu, Nizar dikatakan menjadi boneka kepada DAP; namun Nizar dampak ketenangannya, masih mampu tersenyum, malah pengaruhnya semakin semarak di hati rakyat yang telah meNyahkan UMNO/BN dalam PRU12 yang lepas.

Jika PAS ataupun Pakatan Rakyat mahu menebus maruahnya yang sedang dirobek oleh musuh politiknya, maka di gelanggang Bukit Gantanglah Nizar wajar dipertaruhkan. Jika dalam PRU12 yang lalu, UMNO telah meletakkan Bendahari Agungnya, Datuk Seri Azim Zabidi bertanding di kawasan ini, apakah beliau sanggup sekali lagi untuk berhadapan dengan Nizar kali ini di Bukit Gantang? Atau apakah UMNO dan BN kali ini sanggup mempertaruhkan Dr. Zambri Kadir yang baru saja mengangkat sumpah sebagai Mamak Bendahara yang baru bagi negeri Perak supaya bertarung dengan Nizar ? Jika ini berlaku, memang kena buku dengan ruasnya.

Biarlah Nizar menjadi galang ganti untuk membuktikan betapa rakyat negeri ini tetap bersamanya setelah dikudeta oleh Barisan Nasional. Terserahlah kepada pucuk pimpinan parti PAS untuk menimbangkan kewajaran Nizar bertanding sebagai Ahli Parlimen di Bukit Gantang.

Dalam PRU12 yang lalu, Haji Roslan Shaharum telah memenangi kerusi ini dengan majoriti 1,566 menewaskan Datuk Seri Azim Zabidi daripada UMNO/BN. Allahyarham Roslan memperolehi 20,015 undi, manakala Azim mendapat 18,449 undi. Calon Bebas yang turut bertanding pada masa itu hanya memperolehi 872 undi.

Satu perkara menarik yang perlu diberikan tumpuan ialah Kawasan Dewan Undangan Negeri Changkat Jering yang diwakili oleh Kapt. (B) Mohd. Osman Jailu berada di dalam kawasan Parlimen Bukit Gantang juga dimenangi oleh Pakatan Rakyat iaitu daripada PKR.

Kemungkinan besar DUN yang tidak diisytiharkan kosong oleh SPR ini setelah menerima notis kekosongan daripada Speaker Negeri Perak minggu lalu juga akan berhadapan dengan risiko untuk diadakan pilihan raya kecil apabila ADUNnya yang telah melompat sebagai wakil Bebas itu akan disabitkan kesalahan rasuah seksnya oleh mahkamah nanti. Jika ini juga tidak berlaku, jelaslah bahawa ADUN Changkat Jering ini telah diberikan perlindungan istimewa oleh kerajaan BN yang telah memerangkap dirinya menerima rasuah tersebut.

Datuk Seri Mohd. Najib yang baru saja dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Perak dilihat begitu alergik untuk berhadapan dengan pilihan raya, kerana beliau sendiri tidak begitu yakin dengan kekuatan UMNO negeri ini yang sedang bergelut sesama sendiri. Namun begitu Najib dikatakan pakar untuk mengatur strategi 'sorok menyorok' sehingga kedua-dua ADUN Behrang dan juga ADUN Changkat Jering ini berjaya disembunyikan sehingga isteri dan sanak keluarganya tidak mengetahui ke mana suami mereka menghilang untuk menghabiskan cuti sakit.

Di saat cemas ini, UMNO Perak di bawah pimpinan Najib dengan liciknya juga telah melepasi halangan dengan sifir pintarnya untuk meletakkan BN dalam kedudukan SERI 28-28 dengan Pakatan Rakyat, setelah berjaya memperdaya Datuk Nasarudin ADUN Bota kononnya Raja Muda Perak hendak berjumpa dengannya, lalu dia dibawa ke Putrajaya berjumpa Najib di sana untuk menghafal sifir lompatnya semula ke dalam UMNO meninggalkan PKR.

Oleh kerana berkedudukan SERI 28-28, telah memaksa pula Paduka Seri Sultan Azlan Shah menitahkan kesemua ADUN yang bermasalah itu menghadap ke Istana Kinta untuk mendapatkan kepastian samada mereka benar-benar menyokong BN atau PKR? Akhirnya ADUN DAP dari Jelapang, ADUN PKR dari Behrang dan ADUN PKR dari Changkat Jering telah mengisytiharkan diri masing-masing sebagai Wakil Bebas (Tidak Berparti) tetapi menyokong BN. Dengan itu 'Sifir Najib' berjaya meletakkan formula 28+3 sebagai majoriti kepada BN kononnya.

Kerajaan Pakatan Rakyat yang dipilih oleh rakyat menerusi PRU12 itu telah berjaya dikudetakan setelah diperkenan oleh Paduka Seri Sultan Perak yang telah menitahkan Nizar meletakkan jawatannya dengan serta merta. Demikianlah episod guling yang telah menyebabkan suhu kemarahan rakyat menghangat, sehingga ditakdirkan akan berlaku juga pilihan raya kecil di Parlimen Bukit Gantang yang mahu dielakkan oleh Najib.

Apa pun pilihan raya kecil tetap datang lagi dan kali ini di Bukit Gantang. Dia ibarat 'maut', kita cuba elakkannya tetapi dia tetap datang menemui kita.

Apakah episod malang UMNO/BN yang telah kecundang di Permatang Pauh di tangan Anwar, dan Kuala Terengganu juga tewas di tangan Wahid Endut, maka terpaksa pula ditewaskan di Bukit Gantang, Perak di tangan Nizar yang bakal dicalonkan nanti?

Sunday, February 8, 2009

LAUTAN MANUSIA BERHIMPUN DI IPOH DENGAR CERAMAH PAKATAN RAKYAT


TERKINI...
.UP-DATE PUKUL 11.15 MALAM
SEKITAR HIMPUNAN
KEMBALIKAN KERAJAAN RAKYAT

DI KEDIAMAN MENTERI BESAR
PADA 8 FEBRUARI, 2009, 9.00 MALAM
(LEBIH 30 RIBU YANG HADIR)

Dato' Seri Ir. Nizar Jamaludin sedang memulakan ucapan dari atas rumah beliau.


Kelihatan khalayak rakyat dari pandangan atas.

Kelihatan pengundi-pengundi muda,
para reformis muda
yang berhimpun mendengar ceramah Anwar.



Rakyat yang berada di luar tembok rumah MB
yang tidak dapat memasuki perkarangan rumah MB
yang sudah penuh.


Maaf, tidak berkesempatan untuk menyiarkan foto Datuk Seri Hj Hadi Awang dan Anwar Ibrahim yang turut menyampaikan ucapannya. Akan posting kemudian...tunggu!!

Perak ada dua MB. Angkara siapa?

Kemelut mutakhir politik di negeri Perak menyaksikan rakyat negeri itu kini mempunyai dua orang Menteri Besar, tapi kedua-duanya Melayu walaupun berlainan aliran parti yang dianutinya. Seorang daripada Parti PAS yang mewakili Pakatan Rakyat, manakala seorang lagi Mamak Bendahara yang baru mengangkat sumpah ialah daripada UMNO yang mewakili Barisan Nasional.

Datuk Seri Ir. Haji Mohammad Nizar Jamaluddin merupakan Menteri Besar Perak yang ke-10 yang dilihat oleh UMNO hanya layak mengetuai kerajaan negeri ini untuk 10 tahun sahaja, setelah rakyat negeri itu menolak UMNO dan BN di dalam PRU12 8 Mac 2008 lalu.

Dato’ Dr. Zambri Abd. Kadir, ADUN Pangkor pula setelah mengangkat sumpah di hadapan Sultan Perak pada 6 Februari lepas merupakan Menteri Besar Perak yang ke-11, yang menyaksikan reaksi ribuan rakyat negeri itu telah berhimpun di luar Istana Iskandariah, di Kuala Kangsar, bukannya untuk meraikan perlantikan tersebut, tetapi untuk menyatakan protes, marah dan sekaligus untuk menzahirkan kekecewaan mereka terhadap Paduka Seri Sultan Perak yang menitahkan Menteri Besar ke-10 itu meletakkan jawatannya serta merta.

Nizar terhina kerana pejabatnya telah dikepung oleh Polis, dan beliau telah dihalau keluar oleh SUK yang kelihatan berlagak lebih berkuasa daripada Menteri Besar. Keceluparannya juga menjadi faktor betapa rakyat akan bertindak menghukum kerajaan baru yang rapuh ini. Tapi dengar cerita Datuk Setiausaha Kerajaan Negeri Perak yang 'senama' dengan saya (Abdul Rahman Hashim) telah menelofon Nizar memohon maaf di atas kata-kata yang kasar yang telah terlempar kepada MB Perak itu tempoh hari.

Datuk Seri Dr. Haji Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak ketika mengulas kejadian rusuhan yang berlaku di luar Istana Iskandariah menganggap ianya bukan budaya rakyat negeri ini, tetapi beliau agak lupa betapa UMNO sendiri telah berpiket di Kuala Terengganu membantah tindakan Sultan yang tidak memperkenankan Idris Jusoh dilantik sebagai MB Terengganu.

Tidak sekadar berpiket, malah penyokong-penyokong Idris Jusoh daripada UMNO juga telah melemparkan kata-kata kesat kepada Sultan Mizan dengan mempamerkan perkataan ‘binatang’ kepada Baginda Tuanku, sebagai tanda protes dan marah dengan situasi campur tangan Istana terhadap perlantikan Menteri Besar.

Datuk Seri Shahidan Kassim juga dilihat bertindak kasar apabila Rajanya tidak memperkenankan perlantikan dirinya sebagai Menteri Besar selepas PRU12 yang lepas.Namun keadaan di kedua-dua negeri Terengganu dan juga Perlis itu tidak sama dengan keadaan di negeri Perak yang semakin gawat sekarang ini. Negeri Terengganu dan Perlis menyaksikan siapa juga yang tidak diperkenankan oleh Baginda Tuanku, calon itu datangnya daripada UMNO juga.

Tetapi di negeri Perak, Menteri Besar yang dititahkan segera meletakkan jawatannya adalah ‘Ketua Kerajaan Negeri’ yang dipilih oleh majoriti rakyat menerusi pilihan raya umum, tetapi di kudetakan secara hina sehingga menampakkan kebencian rakyat yang semakin meluap-luap terhadap Barisan Nasional dan juga UMNO.

Paduka Seri Sultan Perak secara tidak langsung terheret sama di dalam kancah politik ini apabila telah tidak memperkenankan permohonan Menteri Besarnya untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan rakyat membuat pengesahan sendiri kerajaan mana yang dikehendaki oleh mereka.

Najib Tun Razak dilihat berjaya dengan strategi kudetanya dengan mendakwa tiga orang DUN dari Pakatan Rakyat telah keluar parti masing-masing menjadi wakil Bebas, sementara ADUN Bota yang kini menjadi juara anugerah ‘Katak Lompat’ yang menewaskan penyandangnya Datuk Paduka Ibrahim Ali, telah goyah pendiriannya untuk masuk semula ke dalam UMNO iaitu parti yang telah dihinanya di hadapan 15 ribu warga Parit semasa berceramah di Stadium Bakri Rais, Bota Kanan.

Datuk Nasarudin Hashim di dalam ceramahnya yang berapi-api itu telah berkata bahawa dirinya bukanlah melompat katak, tetapi dia sebenarnya telah berhijrah dengan penuh keyakinannya untuk bersama-sama dengan PKR sekaligus ‘mufarakah’ dengan parti asalnya (UMNO).

Tiga ADUN dari Pakatan Rakyat yang kini menjadi wakil Bebas di DUN Perak tidak pula memasuki mana-mana parti komponen BN, tetapi mereka dikatakan memberikan sokongan kepada BN. Sepatutnya Jamaludin Radzi dan Mohd. Osman Jailu di UMNOkan, begitu juga ADUN Jelapang dari DAP itu di MCAkan atau masuk sahaja Gerakan. Persoalannya kenapa mereka tidak berbuat demikian?

Pada saya, percaturan politik sedemikian mendedahkan UMNO/BN berada dalam keadaan yang lebih merbahaya, dan risiko yang bakal dihadapi nanti ialah kerajaan yang dibentuk ini juga tidak mungkin bertahan lama. Apatah lagi Jamaludin dan Osman Jailu akan dihadapkan ke Mahkamah untuk berhadapan dengan kes rasuah seksnya yang semua orang tahu merupakan insiden yang diperangkap oleh UMNO sendiri, tetapi mungkin Jamaludin dan Osman Jailu meyakini bahawa UMNO/BN boleh memberikan perlindungan semula kepada mereka? Kalau tidak tak kan mereka sanggup mengkhianati parti asalnya (PKR) untuk menyokong UMNO/BN.

Dato’ Sri Najib pula ketika mengulas situasi ini berkata bahawa isu berkenaan tidak berbangkit kerana kedua-duanya bukanlah ahli UMNO. Dalam artikata yang lain, jika mereka disabitkan kesalahannya maka UMNO tidak perlu dikaitkan, kerana mereka bukan ADUN daripada UMNO cuma menyokong BN!

Jika kedua-duanya telah menyokong UMNO/BN di hadapan Najib dan juga Sultan Perak, mengapa Najib harus berdolak dalik menyatakan kesalahan rasuah mereka nanti tidak ada kena mengena dengan UMNO, sedangkan Najib berkata mereka berdualah yang telah membuatkan UMNO beroleh majoriti untuk merampas kerajaan Pakatan Rakyat.

Kewajaran menyelamatkan mereka berdua daripada disabitkan dengan kes rasuah ini merupakan ‘survival’ juga kepada kerajaan UMNO untuk lebih bertahan lama di Perak. Jika tidak, kerajaan ini akan dimalukan nanti oleh rakyat yang dilihat amat marah dengan taktik kudeta yang dikepalai oleh orang luar Perak, iaitu Najib Tun Razak.

Pilihan raya kecil yang mungkin berlaku di DUN Behrang dan juga DUN Changkat Jering nanti adalah sesuatu yang perlu dielakkan oleh kerajaan UMNO, kerana api membara rakyat Perak bakal memberi pukulan maut kepada UMNO sehingga kerajaan UMNO akan kehilangan dua kerusi, sekaligus menamatkan riwayat singkat pemerintahan UMNO/BN di Negeri Tok Sagor ini.

Dengan angkara menyeludup dan menyembunyikan dua ADUN Behrang dan Changkat Jering di Pekan, Pahang, telah mendorong kedua-duanya mengambil cuti sakit sehingga isteri dan anak-anak mereka tidak dapat mengesannya untuk diziarahi. Talian telefon masing-masing juga dikatakan ditutup, sehingga meresahkan banyak pihak takut-takut kedua-dua ADUN ini diletupkan dengan C4 pulak. Rupa-rupanya mereka muncul semula di khalayak lalu berkata mereka tidak melompat parti dan masih kekal sebagai ADUN dan akan menjalankan tugas seperti biasa sebagai Wakil Rakyat dan juga Exco Kerajaan Negeri Perak.

Kedua-dua mereka menyedari jika mereka mengambil tindakan keluar parti, jawatan mereka sebagai ADUN akan terlucut bagi membolehkan Speaker Negeri Perak mengeluarkan notis kepada SPR untuk mengosongkan kerusi DUN Behrang dan juga DUN Changkat Jering.

Ekoran daripada notis yang dikeluarkan oleh Speaker DUN Perak kepada SPR tentang kekosongan kedua-dua kerusi tersebut, telah memaksa SPR untuk membuat ketetapan samada kerusi berkenaan akan dikosongkan bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan. Namun begitu SPR sebagaimana yang dijangkakan, telah bertindak sebagai HAKIM di Mahkamah degan meragui kesahihan surat perletakan jawatan kedua-dua ADUN berkenaan sekaligus menyatakan mereka berdua masih lagi sebagai ADUN yang sah, dan tidak perlu lagi diadakan pilihan raya kecil di kawasan ini.

Lantaran keputusan SPR itu, kedua-dua ADUN Behrang dan Changkat Jering telah terdorong pula untuk keluar daripada PKR, tetapi tidak menyertai UMNO. Diikuti pula ADUN Jelapang daripada DAP juga turut mengikuti jejak langkah Jamaludin dan Osman Jailu untuk menjadi ADUN Bebas. PKR bukan sahaja telah kehilangan 3 kerusi, bahkan DUN Bota yang masuk PKR sebelumnya, juga masuk semula ke dalam UMNO. Keadaan getir ini telah menyusutkan bilangan kerusi Pakatan Rakyat daripada 32 kerusi menjadi 28 kerusi sekarang ini.

UMNO/BN dilihat seri 28-28 dengan Pakatan Rakyat, tetapi 3 DUN Bebas yang melompat telah menyatakan sokongan kepada BN. MB Perak, Nizar Jamaludin sebelumnya pula telah menghadap ke Istana Kinta untuk memohon perkenan Paduka Seri Sultan Perak supaya DUN Perak dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya umum Negeri Perak diadakan untuk tujuan mendapatkan mandat rakyat.