assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Monday, February 9, 2009

Nizar layak bertanding di Parlimen Bukit Gantang?

Al-Fatihah....kepada Allahyarham Haji Roslan Shaharum (Foto) Ahli Parlimen Bukit Gantang, Perak yang telah kembali ke rahmatullah tengah hari tadi. Beliau malam tadi turut berada di majlis ceramah 'Anwar Ibrahim' di kediaman Menteri Besar Perak.

Sesungguhnya pemergian Allahyarham adalah ketentuan Rabbul Jalil. Kita berharap tidak ada spekulasi nakal dengan pemergian Allahyarham itu yang mengakibatkan satu pilihan raya kecil terpaksa diadakan di kawasan Parlimen Bukit Gantang. Itu pun jika SPR tidak terdorong sekali lagi untuk meragui kesahihan 'surat kematian' yang bakal disahkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Kekosongan kerusi Parlimen Bukit Gantang rasanya layak digalas ganti oleh Menteri Besar Perak yang baru saja dititahkan meletakkan jawatannya oleh Paduka Seri Sultan Azlan Shah, iaitu siapa lagi kalau bukan Datuk Seri Ir. Haji Mohammad Nizar Jamaludin.

Nizar dilihat paling sesuai untuk diletakkan bertanding atas tiket PAS di Bukit Gantang, kerana di gelanggang inilah Nizar akan diuji sejauh mana rakyat Perak masih berdiri teguh bersamanya dalam meredahi gelombang politik yang memaksa kerajaan negeri pimpinannya dipendekkan tempohnya untuk 10 bulan sahaja.

Nizar telah dimalukan, Nizar dihalau keluar dari pejabatnya oleh SUKnya sendiri, Nizar dicerca sebagai penderhaka Sultan oleh pecacai UMNO yang pernah memalukan institusi Raja suatu ketika dahulu, Nizar dikatakan menjadi boneka kepada DAP; namun Nizar dampak ketenangannya, masih mampu tersenyum, malah pengaruhnya semakin semarak di hati rakyat yang telah meNyahkan UMNO/BN dalam PRU12 yang lepas.

Jika PAS ataupun Pakatan Rakyat mahu menebus maruahnya yang sedang dirobek oleh musuh politiknya, maka di gelanggang Bukit Gantanglah Nizar wajar dipertaruhkan. Jika dalam PRU12 yang lalu, UMNO telah meletakkan Bendahari Agungnya, Datuk Seri Azim Zabidi bertanding di kawasan ini, apakah beliau sanggup sekali lagi untuk berhadapan dengan Nizar kali ini di Bukit Gantang? Atau apakah UMNO dan BN kali ini sanggup mempertaruhkan Dr. Zambri Kadir yang baru saja mengangkat sumpah sebagai Mamak Bendahara yang baru bagi negeri Perak supaya bertarung dengan Nizar ? Jika ini berlaku, memang kena buku dengan ruasnya.

Biarlah Nizar menjadi galang ganti untuk membuktikan betapa rakyat negeri ini tetap bersamanya setelah dikudeta oleh Barisan Nasional. Terserahlah kepada pucuk pimpinan parti PAS untuk menimbangkan kewajaran Nizar bertanding sebagai Ahli Parlimen di Bukit Gantang.

Dalam PRU12 yang lalu, Haji Roslan Shaharum telah memenangi kerusi ini dengan majoriti 1,566 menewaskan Datuk Seri Azim Zabidi daripada UMNO/BN. Allahyarham Roslan memperolehi 20,015 undi, manakala Azim mendapat 18,449 undi. Calon Bebas yang turut bertanding pada masa itu hanya memperolehi 872 undi.

Satu perkara menarik yang perlu diberikan tumpuan ialah Kawasan Dewan Undangan Negeri Changkat Jering yang diwakili oleh Kapt. (B) Mohd. Osman Jailu berada di dalam kawasan Parlimen Bukit Gantang juga dimenangi oleh Pakatan Rakyat iaitu daripada PKR.

Kemungkinan besar DUN yang tidak diisytiharkan kosong oleh SPR ini setelah menerima notis kekosongan daripada Speaker Negeri Perak minggu lalu juga akan berhadapan dengan risiko untuk diadakan pilihan raya kecil apabila ADUNnya yang telah melompat sebagai wakil Bebas itu akan disabitkan kesalahan rasuah seksnya oleh mahkamah nanti. Jika ini juga tidak berlaku, jelaslah bahawa ADUN Changkat Jering ini telah diberikan perlindungan istimewa oleh kerajaan BN yang telah memerangkap dirinya menerima rasuah tersebut.

Datuk Seri Mohd. Najib yang baru saja dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Perak dilihat begitu alergik untuk berhadapan dengan pilihan raya, kerana beliau sendiri tidak begitu yakin dengan kekuatan UMNO negeri ini yang sedang bergelut sesama sendiri. Namun begitu Najib dikatakan pakar untuk mengatur strategi 'sorok menyorok' sehingga kedua-dua ADUN Behrang dan juga ADUN Changkat Jering ini berjaya disembunyikan sehingga isteri dan sanak keluarganya tidak mengetahui ke mana suami mereka menghilang untuk menghabiskan cuti sakit.

Di saat cemas ini, UMNO Perak di bawah pimpinan Najib dengan liciknya juga telah melepasi halangan dengan sifir pintarnya untuk meletakkan BN dalam kedudukan SERI 28-28 dengan Pakatan Rakyat, setelah berjaya memperdaya Datuk Nasarudin ADUN Bota kononnya Raja Muda Perak hendak berjumpa dengannya, lalu dia dibawa ke Putrajaya berjumpa Najib di sana untuk menghafal sifir lompatnya semula ke dalam UMNO meninggalkan PKR.

Oleh kerana berkedudukan SERI 28-28, telah memaksa pula Paduka Seri Sultan Azlan Shah menitahkan kesemua ADUN yang bermasalah itu menghadap ke Istana Kinta untuk mendapatkan kepastian samada mereka benar-benar menyokong BN atau PKR? Akhirnya ADUN DAP dari Jelapang, ADUN PKR dari Behrang dan ADUN PKR dari Changkat Jering telah mengisytiharkan diri masing-masing sebagai Wakil Bebas (Tidak Berparti) tetapi menyokong BN. Dengan itu 'Sifir Najib' berjaya meletakkan formula 28+3 sebagai majoriti kepada BN kononnya.

Kerajaan Pakatan Rakyat yang dipilih oleh rakyat menerusi PRU12 itu telah berjaya dikudetakan setelah diperkenan oleh Paduka Seri Sultan Perak yang telah menitahkan Nizar meletakkan jawatannya dengan serta merta. Demikianlah episod guling yang telah menyebabkan suhu kemarahan rakyat menghangat, sehingga ditakdirkan akan berlaku juga pilihan raya kecil di Parlimen Bukit Gantang yang mahu dielakkan oleh Najib.

Apa pun pilihan raya kecil tetap datang lagi dan kali ini di Bukit Gantang. Dia ibarat 'maut', kita cuba elakkannya tetapi dia tetap datang menemui kita.

Apakah episod malang UMNO/BN yang telah kecundang di Permatang Pauh di tangan Anwar, dan Kuala Terengganu juga tewas di tangan Wahid Endut, maka terpaksa pula ditewaskan di Bukit Gantang, Perak di tangan Nizar yang bakal dicalonkan nanti?

1 comment:

Anonymous said...

Izinkan saya menyatakan pandangan saya mengenai PRK Parlimen Bukit Gantang.

Seperti kita telah maklum masih terdapat kalangan ramai yang mempertikaikan cara perlantikan BN memerintah Negeri Perak oleh YAM Tuanku Sultan Perak. Seperti ucapan Ketua Penerangan Bhg Taiping yang saya hadiri semalam dalam program Menjunjung Daulat terhadap Kuasa Kesultanan Sultan Perak : Beliau menyebut selalu nya pengikut PR dikaburi dengan fatwa "setengah ayat' dan disambung-sambung untuk menguatkan hujjah dan cerita malah menyakinkan pengikut mereka adalah orang benar, dilandasan yang benar sebaliknya setiap pekataan yang tertulis didalam Perlembangaan Kanun Tubuh Kerajaan Negeri Perak hendaklah dibaca berturutan. Dengan demikian baru jelas maksud dan makna yang tersirat dan tersurat.

Berbalik kepada PRU12, apa yang berlaku sebenarnya , penduduk Bukit Gantang tidak menolak UMNO & BN sepenuhnya tetapi lebih kepada faktor CALON itu sendiri.

Sekiranynya pengurusan tertinggi UMNO & BN benar-benar mahu merampas kembali Parlimen Bukit Gantang letak lah Calon pilihan penduduk Bkt Gantang dan bukan dikalangan yang telah diiktirafkan sebagai MANTAN barisan pimpinan UMNO atau BN atau calon istimewa dari luar.

Pendapat saya, PRK kali ini PR akan betemu buku dengan ruas dan letak sesiapa pun orang kanan PR yang pasti mereka akan kecundang ditangan calon muka baru anak tempatan yang bermastautin didalam Bahagian Bukit Gantang itu sendiri. Saya percaya barisan kepimpinan BN dan UMNO tidak akan membiarkan pisang berbuah dua kali untuk melihat peristiwa PP dan KT berulang.

Untuk PAS atau PR sediakan payung sebelum hujan kerana yang pasti BN tidak akan kecundang lagi.