assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Thursday, February 12, 2009

Najib dapat anugerah 'Datuk Patinggi' di Sarawak

Pagi tadi, 12 Februari 2009 Dato Sri Mohd. Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri telah dianugerahkan darjah kebesaran negeri Sarawak daripada TYT Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, di Astana, Petra Jaya, Kuching yang membawa gelaran 'Datuk Patinggi' kepada beliau. Selepas menerima anugerah tersebut, Najib telah menghadiri mesyuarat BN Negeri untuk meninjau perkembangan politik di negeri Bumi Kenyalang ini, dan esok beliau akan menemui rakyat di Bandaraya Miri sebelum pulang ke Kuala Lumpur.

Saya mengucapkan setinggi tahniah kepada Dato' Sri Mohd. Najib Tun Razak di atas penganugerahan tersebut dan ini merupakan satu penghormatan kerajaan dan seluruh rakyat Negeri Sarawak kepada bakal pengganti Perdana Menteri ke-V (Pak Lah) ini, yang tidak lagi mempertahankan jawatan Presiden UMNO kali ini.

Kebetulan sewaktu kunjungan Najib ke Bumi Kenyalang kali ini, saya turut berada di Kuching sejak satu minggu yang lalu. Lantaran itu, saya telah mengambil kesempatan yang berharga ini untuk tidak melepaskan peluang menanti ketibaanya di Hotel Hilton, Kuching kira-kira jam 10.45 malam kelmarin (11 Februari 2009), dan sempat juga saya bersalaman dengannya sebaik beliau melangkah masuk ke pintu lobi hotel berkenaan.

Turut kelihatan mengiringi Najib dan isterinya Rosmah masuk ke hotel penginapannya itu ialah Pehin Seri Haji Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak dan pembesar-pembesar negeri yang lainnya. Selain itu, saya juga melihat beberapa orang pemimpin UMNO daripada Sabah, Perak dan juga Wilayah Persekutuan turut setia menunggu ketibaannya di ruang legar hotel.

Saya bukanlah berhajat untuk menemui Timbalan Perdana Menteri sempena kunjungannya di Sarawak, lagi pun saya bukannya membuat temu janji dengan beliau, walaupun jika diberikan ruang berbuat demikian sudah tentu saya tidak akan menolaknya.

Selain berbangga untuk menyambut kedatangan bakal Perdana Menteri Malaysia Ke-VI di Sarawak, saya sebenarnya ingin menemui Dato' Dr. Mohd. Shafie Abdullah (Foto sebelah), Setiausaha Politiknya yang juga sahabat seperjuangan saya yang kini menjadi Ketua UMNO Bahagian di Wangsa Maju. Dato' Shafie ketika dihubungi menerusi telefon pagi kelmarin telah memaklumkan kepada saya bahawa beliau akan turut serta bersama-sama dengan Dato' Sri Najib dalam kunjungannya ke Sarawak kali ini, dan berharap kami boleh berjumpa sebelah malam di Kuching.

Saya berbanga sekali kerana Dato' Shafie telah meluangkan masanya bersama-sama saya dan rakan-rakan yang lainnya di Coffe House hotel berkenaan sehingga jam 2.00 pagi. Kami telah berbincang secara santai mengenai perkembangan politik semasa tanah air.

Semasa berbual di dalam telefon, sempat juga Dato' Shafie melontarkan pandangan sinisnya kepada saya tentang inti pati blog locengwangsa yang dikatakannya begitu kritis terhadap UMNO dan BN, terutama dalam isu yang berkaitan dengan pergolakan politik di negeri Perak sejak akhir-akhir ini.

Dato' Shafie yang sering melayari dan membaca blog locengwangsa ini juga berkata kepada saya bahawa tulisan saya yang menyentuh pergolakan politik negeri Perak dilihat begitu memihak kepada Parti Pakatan Rakyat, kerana saya juga dikatakan amat cenderung menghentam UMNO dan BN, sedangkan saya adalah Ketua UMNO Cawangan dan juga AJK UMNO Bahagian di Setiawangsa.

Sebenarnya saya berterima kasih dan 'salute' kepada Dato' Shafie kerana beliau merupakan Setiausaha Politik kepada penyandang Timbalan Perdana Menteri Malaysia, yang sentiasa berfikiran terbuka dan amat rasional tentang pandangan-pandangan kritis seumpama ini yang dilihat mampu memberikan gambaran sebenar tentang keresahan dan ketidak puasan hati akar umbi terhadap UMNO dan pimpinannya. Bersandarkan kepada prinsip inilah Dato' Shafie akhirnya berada di puncak kekuasaan di Wangsa Maju setelah sekian lama memegang watak 'budak nakal' yang tidak disukai oleh peneraju-peneraju sebelumnya.

UMNO yang dilanda 'sindrom getik' oleh rakyat akar umbi dewasa ini hendaklah segera dijiwai oleh setiap pemimpinnya di semua peringkat tanpa melihat persepsi kebencian rakyat itu sebagai penolakan mutlak terhadap parti yang begitu berjasa kepada agama, bangsa dan juga negara. Mengkritik sebenarnya menegur untuk kebaikan, dan bukannya unjuran kemusnahan idealisme perjuangan yang sempit.

Saya melihat jika kita terlalu cenderung untuk bersikap 'mengampu' dan 'mengipas' tanpa sebarang pandangan kritis yang konkrit hanya mengakibatkan UMNO sentiasa di kerumuni anai-anai yang akan merebahkan tiang serinya. Jangan lagi kita menuding jari menyalahkan orang lain, sedangkan cermin di dinding mentertawakan kita kerana tanpa disedari kipas di tangan bertukar menjadi keris beracun yang menghunus ke leher sendiri.

Biarlah UMNO menjadi sebuah parti umat Melayu yang sentiasa diperkasakan dengan cabaran perjuangan yang berlandaskan kepada kekuatan jati diri yang terarah kepada pembelaan rakyat akar umbi dan bukannya memunggah kekayaan untuk diri sendiri.

Janganlah hendaknya UMNO diltalkinkan setelah pemimpinnya terlalu asyik dilalaikan dengan bentuk sokongan yang membawa rebah. Pemikiran kita haruslah lebih kritis kerana ianya menyuburkan jiwa perjuangan, jika dibandingkan dengan 'kaki ampu' yang sering tersasar sehingga racun dikatanya ubat!

Ciri-ciri negatif seperti ini saya melihat tidak singgah dalam kotak pemikiran Dato' Shafie yang dulunya sentiasa terdedah dengan tohmahan kata nista sehingga kebaikan perjuangannya itu telah memungkinkan dirinya 'menjadi' seperti hari ini. Saya berkeyakinan bahawa idealisme pemikiran dan perjuangannya mampu menjana kuasa idealisme perjuangan bosnya, Najib yang kini diserang bertubi-tubi oleh musuhnya nun di sana!

Saya lebih berkeyakinan jika kita mampu memenuhi cita rasa rakyat dengan mendengar rintihan kalbunya dan segera bertindak mencari formula penyelesaiannya, pasti UMNO dan BN akan kembali dijulang rakyat. Mari kita saksikan apa yang bakal diterjemahkan oleh rakyat kepada UMNO yang bakal diterajui oleh anakanda Tun Razak ini di dalam gelanggang pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, Perak dan juga pilihan raya kecil di DUN Bukit Selambau, Kedah...

Memang benar, Pakatan Rakyat bukannya sekukuh Barisan Nasional, tetapi UMNO hendaklah menguruskan minda pemimpinnya yang sentiasa rakus kuasa, menebal pula pujukan rasuahnya, malah kita tidak mampu mempamerkan jati diri perjuangan yang tidak memikat hati rakyat. Penampilan imej UMNO yang carca marba tidak keharuan inilah yang menyebabkan UMNO menjadi layu tidak sekukuh yang disangkakan. Pakatan Rakyat dilihat mendapat simpati dan sokongan rakyat akibat mereka marah dan benci dengan watak-watak yang terdapat di dalam UMNO.

Rakyat tidak mengundi UMNO kerana mereka bencikan perwatakan sesetengah pemimpinnya. Ini bermakna ada sesuatu yang perlu diperbetulkan segera di dalam mengurus perjuangan UMNO di abad ini. Bertindaklah segera...berpijaklah di bumi nyata dan kembalikan maruah Melayu tanpa Melayu dikonda kondikan.

No comments: