
Adakah patut dalam suasana UMNO sedang dilanda kemelut dan menghadapi krisis kepercayaan akar umbi, tiba-tiba berlaku
pencabulan untuk menyulitkan lagi urusan persidangan yang sudah selesai, sehingga terpaksa diarah bersidang semula, semata-mata terdorong untuk melayani aduan yang tidak berasas yang dibuat oleh kelompok tertentu yang tertewas semasa didakan pertanding merebut jawatan Ketua Cawangan.
Awaludin Zaharin yang menentang Ramli Jaafar (Gambar) sebagai Ketua Cawangan telah mengemukakan aduan dan bantahannya menerusi sepucuk suratnya bertarikh 13 Ogos 2008 yang dialamatkan kepada Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Setiausaha Agung UMNO.
Menghalang Ramli Jaafar
Di dalam aduannya itu, Awaludin juga telah meminta persidangan cawangan ini diadakan semula di pejabat UMNO Bahagian Setiawangsa dan undian hendaklah dijalankan secara sulit, manakala beliau dengan angkuhnya meminta Setiausaha Agung UMNO supaya menghalang Ramli Jaafar (Ketua Cawangan) dan Syed Abu Bakar Syed Ab. Rahman yang telah mempengerusikan persidangan lalu daripada menyertai persidangan yang hendak diadakan semula itu.
UMNO Cawangan Rumah Pangsa Setapak Jaya 1A merupakan salah satu cawangan di dalam Bahagian Setiawangsa yang diarahkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Majlis Tertinggi UMNO supaya mengadakan persidangannya semula yang akan dipantau sepenuhnya oleh UMNO Bahagian. Selain cawangan tersebut, UMNO Cawangan KLSC dan UMNO Cawangan Jalan Pahang juga turut diarah bersidang semula.
Ramli Jaafar semasa ditemui telah mengesahkan bahawa beliau telah menerima surat daripada Setiausaha UMNO Bahagian Setiawangsa yang memaklumkan arahan yang dibuat oleh Ibu Pejabat UMNO itu, dan UMNO Bahagian pula telah menetapkan 13 September yang akan datang ini sebagai tarikh untuk diadakan semula persidangan berkenaan.
Namun begitu, Ramli Jaafar enggan membuat ulasan samada beliau akan mengadakannya semula sebagaimana yang diarahkan. Sebagai Ketua Cawangan yang telah mendapat mandat semula oleh ahli-ahli di dalam persidangan yang diadakan pada 10 Ogos lalu, Ramli menyatakan rasa kesalnya di atas keputusan yang dibuat oleh Ibu Pejabat UMNO itu, kerana proses undian telah berjalan lancar dimana semua pihak telah menerima keputusan undian tersebut. Beliau percaya, seandainya keputusan memihak kepada Awaludin sudah tentu perkara yang diragukan itu tidak berbangkit.
Sudah kalah baru nak protes
Ramli Jaafar juga mempersoalkan kenapa perkara yang dibangkitkan itu tidak dikemukakan semasa diadakan persidangan itu? Oleh kerana perkara sedemikian tidak dibangkitkan sebelum diadakan pengundian, maka isu kesahihan persidangan ini sepatutnya tidak berbangkit lagi. Kenapakah rumah sudah siap pahat masih berbunyi? Mengapakah sudah kalah baru nak protes?
Persidangan tersebut yang juga disahkan oleh dua orang wakil Bahagian iaitu Sakandar Khan dan Azhar Kassim juga mencukupi korum dengan kehadiran 119 ahli daripada 355 ahli yang menjelaskan yurannya pada tahun ini.
Kehadiran tersebut jelas membuktikan betapa proses demokrasi telah berjalan dengan baiknya di hari persidangan tersebut, sekaligus menyaksikan pertandingan merebut jawatan ketua cawangan telah dapat berjalan secara 'gentleman' dan demokratik. Ramli Jaafar telah memenangi jawatan Ketua Cawangan ini dengan perolehan 62 undi, manakala Awaluddin Zaharin yang menentangnya telah memperolehi 54 undi.
UMNO dan BN tertiarap
Ketika saya menulis rencana ini, UMNO yang sudah memerintah 51 tahun dikatakan sedang diperhatikan oleh seluruh dunia akibat kemelut yang dihadapinya. Pilihan raya umum ke-12 yang lepas telah menyaksikan ramai calon-calon BN termasuk calon UMNO tertiarap, sehingga UMNO tidak mampu lagi bertahan di lima buah negeri termasuk juga di Wilayah Persekutuan, manakala di peringkat persekutuan pula BN kehilangan majoriti 2/3 di Dewan Rakyat.
Tun Dr. Mahathir Mohamad pemimpin agung UMNO yang lepas pula telah meminta Pak Lah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Keengganan Pak Lah untuk melepaskan jawatannya, telah mendorong Dr. Mahathir keluar daripada UMNO dan hanya akan kembali ke dalam UMNO jika Pak Lah tidak lagi menerajui UMNO dan kerajaan.
Mukhriz anak Tun Mahathir tidak ikut jejak langkah ayahnya, tetapi beliau secara konsisten telah menjelajah ke seluruh negara meminta supaya tekanan terus diasak supaya Pak Lah tidak lagi meneruskan egonya untuk memimpin UMNO dan juga kerajaan. Penulis sendiri pernah mengikuti ucapan-ucapan Mukhriz di beberapa tempat dimana beliau telah berhujah untuk menggesa Pak Lah meletakkan jawatannya.
Tengku Razaleigh Hamzah tokoh veteran UMNO dari Gua Musang yang pernah menentang Dr. Mahathir sebagai Presiden UMNO pada tahun 1987, juga sedang kuat mengasak kepimpinan Pak Lah dan telah mempertaruhkan dirinya sekali lagi untuk menjadi calon penyelamat menentang Pak Lah sebagai Presiden UMNO di dalam Perhimpunan Agung kali ini.
Siri lawatan dan pertemuan yang dilakukan oleh Pak Lah dan Najib ke seluruh negara juga kedengaran suara-suara lantang dari akar umbi yang mahukan UMNO melakukan perubahan drastik untuk memulihkan semula keyakinan rakyat yang dikatakan sudah muak dan jelak dengan gelagat pemimpin-pemimpin UMNO hari ini.
Gelombang Anwarisme
Gelombang 'Anwarisme' juga menjadi faktor yang kuat sehingga rakyat melihat karismatiknya lebih menonjol dan menenggelami Pak Lah yang dikatakan 'pemimpin lowbatt' masa kini. Sogokan 'Sumpah Laknat' Saiful Bukhari dan beberapa lafaz sumpah yang dibuat di Permatang Pauh, termasuk 'Sumpah Najib' yang tidak kenal 'Altantuya' juga telah memakan diri. Semacam serba tak kena segala strategi yang dirancang untuk mempengaruhi rakyat yang sudah meluatkan pemimpin UMNO.
Sedarlah, UMNO yang menerajui perjuangan kemerdekaan ini semakin ditolak dan amat dibimbangi akan dipusarakan akibat gelombang tsunami 'Anwarisme' yang dikatakan bakal meragut kekuasaan yang ada di tangan Pak Lah.
KJ beban kepada UMNO
Khairy Jamaludin (KJ) begitu optimis untuk kuburkan karier politik Anwar di Permatang Pauh, rupa-rupanya niat jahat itu kian menjadi faktor kepada kehancuran UMNO. KJ dikatakan menjadi 'beban' kepada UMNO sehingga rakyat marhain pun tahu bahawa KJ bertindak lebih sudu daripada senduk. Malang sungguh nasib UMNO, akibat nila setitik rosak susu sebelanga.
Nampaknya Pak Lah masih leka dengan laporan-laporan yang mengatakan UMNO semakin kuat. Pak Lah dilihat semakin terlena dengan sokongan yang diterimanya, yang hanya membawa rebahnya UMNO. Benarlah kebanyakan orang berkata bahawa Pak Lah masih mendengar maklumat dan nasihat daripada mereka yang telah menjadi beban kepada UMNO. Rintihan dan keluh kesah masyarakat akar umbi telah dimanipulasikan oleh juak-juak yang hanya pandai mengampu bodek untuk kepentingan tertentu sahaja.
Sindrom Minta Maaf
Ingatlah, ketuanan Melayu yang digembar gemburkan oleh UMNO hari ini telah diperlekehkan oleh komponen parti BN sendiri. MCA dan Gerakan kerap menggunakan isu ini untuk mencabar keperkasaan UMNO yang dilihatnya sedang dipimpin oleh pemimpin yang lemah. Mereka tidak berani mengangkat suara semasa zaman Dr. Mahathir, tetapi hari ini UMNO sedang berhadapan dengan sindrom takut dan sindrom meminta maaf apabila hendak bercakap mengenai entiti dan integriti kemelayuan.
Pemuda UMNO semakin lesu tidak bermaya. Ketuanya kini sedang asyik berkempen untuk bertanding Naib Presiden pula. KJ yang dikatakan akan menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pemuda dilihat semakin menjadi beban kepada UMNO. Begitu juga dengan Khir Toyo yang berminat untuk menjadi Ketua Pemuda, juga dikatakan berselaput dengan berbagai isu sehingga Selangor kehilangan kuasa daripada tangannya sendiri.
Musim pemilihan jawatan di dalam UMNO pada tahun ini dilihat bakal meranapkan lagi pendominasian UMNO untuk terus bertakhta. Cacian, cercaan, penghinaan dan segala rupa bentuk gelagat UMNO akan terpercik ke muka sendiri, kerana maruah UMNO dikatakan bakal ditelan zaman. UMNO hanya akan lenyap dengan kelakuan tidak senonoh pemimpin-pemimpinnya yang hanya mementingkan pangkat dan darjat sehingga lupa kapal akan pecah dan akan tenggelam bila-bila masa bersama-sama dengan kemegahannya selama ini.