Datuk Yusof HamidUMNO Bahagian Batu tidak terkecuali daripada aksi perebutan jawatan yang bakal menyaksikan pertembungan diantara Datuk Yusof Hamid yang akan mempertahankan jawatan Ketua Bahagian, dan beliau dijangka akan menerima tentangan sengit daripada Yahya @ Abas Mat Ghani. Sehingga berita ini ditulis, Datuk Yusof Hamid telah memperolehi 12 pencalonan, manakala Yahya @ Abas Mat Ghani hanya mendapat 4 pencalonan.
Turut beraksi memeriahkan lagi proses demokrasi memilih jawatan di dalam UMNO Bahagian ini ialah bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian, dimana Johari Md. Isa penyandang bagi jawatan ini yang menerima 12 pencalonan akan menghadapi saingan hebat daripada Ramlan Saleh yang baru saja menerima 4 pencalonan.
Begitu juga bagi jawatan Naib Ketua Bahagian, akan menyaksikan pertembungan dua tokoh yang akan berentap secara satu lawan satu diantara Rahim Suboh dengan Hassan Jamaludin, Ketua UMNO Cawangan Taman Dato' Senu. Rahim Suboh, 49 yang juga Ketua UMNO Cawangan Pangsapuri Fasa 3B, Bandar Baru Sentul ini telah mendapat 12 pencalonan, dan beliau dikatakan telah menerima tawaran bertanding merebut jawatan Naib Ketua Bahagian musim ini secara bergandingan dan selenggang sehayun bersama-sama dengan Datuk Yusof Hamid bagi jawatan Ketua Bahagian dan Johari Md. Isa bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian.
Gandingan mantap tiga serangkai diantara Datuk Yusof Hamid, Johari dan Rahim Suboh dikatakan begitu sinonim dan serasi sebagai langkah untuk memperkasakan imej UMNO di Bahagian Batu dalam menghadapi cabaran politik di masa hadapan. Persamaan dari segi jumlah pencalonan yang diterima oleh mereka setakat ini juga memperlihatkan hasrat ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi supaya kepimpinan UMNO Bahagian ini dapat digerakkan secara bersepadu, sepasukan dan seiring sejalan.
Kehadiran Rahim Suboh bagi mengisi kekosongan jawatan Naib Ketua Bahagian yang bakal ditinggalkan oleh Ramlan Saleh yang bertanding bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian pada musim ini dikatakan mendapat sokongan menyeluruh bukan sahaja direstui oleh Ketua Bahagiannya, malah beliau tidak menghadapi masalah untuk diterima oleh sebilangan besar daripada 42 ketua-ketua cawangan di Bahagian ini. Kemunculan Rahim Suboh seorang ahli perniagaan yang bersedia bertanding bagi jawatan nombor tiga ini juga begitu disenangi oleh Wanita, Pemuda dan juga Puteri.
Dalam artikata yang lain, Johari dan Rahim dilihat menjadi pelengkap untuk mewarnai keceriaan dan kekuatan pimpinan yang diterajui oleh Dato' Yusof Hamid di Bahagian ini. Apa pun, tidak wajarlah jua untuk diperlekehkan kehadiran calon-calon lain yang turut menawarkan diri seperti Yahya Mat Ghani, Ramlan dan juga Hasan Jamaludin. Sudah tentu masing-masing mempunyai penyokong tersendiri yang berhak untuk menentukan kejayaan calon-calon pujaan mereka.
Diharapkan UMNO Bahagian Batu akan terus diperkukuhkan untuk menentukan Barisan Nasional kembali di hati rakyat.
Locengwangsa dalam mengupas tentang UMNO Bahagian Batu ini, terkenang juga nostalgia bersama-sama dengan Datuk Dr. Azman Atar Othman, Datuk Azrat Gull, Dr. Noridah, Mohamad Mat Jid, Zakaria Md. Dewa, Rohim Jusoh, Maimun Alwi, Radhiah Wahi dan ramai lagi sahabat-sahabat seperjuangan termasuk dengan semua calon-calon Ketua Bahagian, Timbalan Ketua Bahagian dan Naib Ketua Bahagian yang akan bertanding di musim ini. Ketua Panitia Locengwangsa (Abdul Rahman Hashim) merasakan terhutang budi juga kepada UMNO Bahagian Batu, kerana bukannya sedikit pengalaman yang telah ditimba menerusi persahabatan dengan tokoh-tokoh pejuang UMNO
Bahagian Batu ini.
Yusof Hamid
Datuk Azrat Gull
Mantan Ketua UMNO Bahagian Batu Datuk Azrat Gull
Semasa beliau memimpin UMNO Bahagian Batu, beliau berjaya dengan projek raksasa rakyat dengan membangunkan projek perumahan kos rendah PPRT yang terletak di Pekan Batu dan juga di Batu Muda. Projek yang dibangunkan oleh Syarikat Perumahan Negara ini telah dirasmikan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menjadi Timbalan Perdana Menteri ketika itu.
Datuk Azrat Gull begitu yakin walaupun beliau tidak lagi berada di puncak kuasa di dalam UMNO Bahagian Batu, namun kesinambungan perjuangan membela rakyat di kawasan ini akan dapat diteruskan oleh Yusof Hamid yang menjadi Ketua UMNO Bahagian Batu sekarang. Datuk Yusof Hamid menerima tentangan daripada Yahya Mat Ghani yang sedang rancak memburu pencalonan untuk melayakkan dirinya dalam litar pertandingan merebut jawatan nombor satu UMNO Bahagian ini.
Datuk Azrat Gull meletakkan harapan tinggi supaya Datuk Yusof Hamid dapat dipilih semula menerajui UMNO Bahagian Batu secara bergandingan dengan calon Timbalannya Johari Md. Isa dan calon Naibnya Rahim Suboh. Sebagai tokoh veteran Datuk Azrat Gull melihat kepimpinan Datuk Yusof Hamid akan dapat diperkasakan lagi dengan wujudnya gandingan mantap mereka bertiga di samping kombinasi ahli jawatankuasa Bahagian yang selenggang sehayun dengan kepimpinannya.
Tanpa memperkecilkan Yahya Mat Ghani, Datuk Azrat Gull merasakan Datuk Yusof Hamid mempunyai kelebihan untuk memenangi jawatan Ketua Bahagian yang telah disandangnya sejak beberapa tahun yang lalu, kerana Yusof dilihat sebagai tokoh yang telah merentasi banyak pengalaman pahit maung dan sepak terajang dalam politik. Yusof Hamid pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Batu semasa Bahagian ini diterajui oleh Azman Atar Othman.
Azman Atar begitu menyenangi kesetiaan Yusof Hamid yang pernah dilantik menjadi Setiausaha UMNO Bahagian Batu sehinggalah beliau dapat bergandingan pula dengan Datuk Azrat Gull sebagai Timbalan Ketua Bahagian. Bintangnya semakin menyinar setelah beliau secara automatik dilantik sebagai Pemangku Ketua UMNO Bahagian Batu menggantikan Datuk Azrat Gull yang menghadapi masalah muflisnya.
Datuk Azrat Gull tidak berkecil hati untuk melepaskan kedudukannya kepada Datuk Yusof Hamid, kerana beliau akur dengan kehendak perlembagaan parti yang memaksanya berbuat demikian. Padanya perjuangan dan kesetiaan terhadap UMNO tetap menjadi darah daging walaupun terhalang dengan masalah yang dihadapinya. Lagi pun beliau menganggapkan ini sudah menjadi suratan takdir yang memungkinkan suatu 'hikmah' tersirat di sebaliknya. Apa saja budi dan bakti yang tercurah selama ini dianggapkannya sebagai 'jariah' untuk membantu golongan yang memerlukannya.
Menyorot kembali sirah pembabitan beliau di dalam UMNO, Datuk Azrat Gull yang menjadi ahli UMNO sejak tahun 1967 telah terlibat secara aktif menjadi Ketua UMNO Cawangan Kg. Batu apabila beliau berjaya menewaskan Senator Dato' Ibrahim Yaakob bagi jawatan ini pada tahun 1974. Beliau juga pernah dinobatkan sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Batu semasa Anwar Ibrahim menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia (Sekitar tahun 1982 - 1987).
Manakala pada tahun 1990 beliau telah melonjakkan pendakian politiknya apabila berjaya merebut jawatan Naib Ketua Bahagian Batu menewaskan calon yang direstui oleh Datuk Azman Atar pada masa itu, iaitu Zakaria Md. Dewa. Sebelum dipilih mengetuai UMNO Bahagian Batu, beliau juga pernah berentap dengan Dato' Halim Samad bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian dan memenanginya.
Pembabitannya dalam dunia perniagaan telah memperlihatkan kejayaan Datuk Azrat Gull dalam merentasi cabaran hidup, kerana sebelumnya beliau hanyalah seorang 'Pengembala Lembu' di Tangga China (Kini, Tangga China bertukar kepada Datuk Keramat). Seingat saya, di Tangga China inilah terletaknya 'Malayan Command' yang hari ini lebih dikenali sebagai 'Mindef' di Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur.
Di tapak Mindef inilah Azrat Gull dikatakan hari-hari memerah susu lembu untuk dijual bagi menyara kehidupan keluarganya. Azrat Gull yang lahir pada tahun 1947 di Jalan Raja Muda, Kg. Bahru, Kuala Lumpur kini mencecah usia 62 tahun, dan kelihatan dirinya masih sihat dan bertenaga.
Kini beliau masih menumpukan perhatian kepada dunia perniagaan yang diceburinya sejak dahulu iaitu sebagai Pemaju Perumahan dan hari ini beliau telah melebarkan lagi empayar perniagaannya dengan membangunkan sebuah 'Pelabuhan' yang terletak di Bagan Datoh, Perak. Pelabuhan seluas 2 ribu ekar yang dibangunkannya kini dijadikan pusat pertukaran barang dagangan diantara tiga negeri, iaitu Malaysia, Indonesia dan juga Thailand (IMPGT).











