Samad Saim yang pernah tertewas di dalam pertandingan merebut jawatan Ketua UMNO Cawangan Persiaran Setiawangsa pada musim lalu, kini muncul dengan penuh bergaya memenanginya semula setelah beliau berjaya mengenepikan Zaharuddin Hashim dengan kelebihan 11 undi. Samad yang memperolehi 66 undi telah menewaskan Ketua Cawangan itu yang hanya mendapat 55 undi. Pengundian telah dijalankan secara 'undi sulit'.Locengwangsa mengucapkan setinggi tahniah kepada Sdra Samad Saim di atas kemunculannya semula di persada politik, khususnya untuk kembali memimpin UMNO Cawangan Persiaran Setiawangsa yang telah beliau ketuai sejak ia ditubuhkan pada tahun 1995. Sejak beliau ditewaskan oleh Zaharuddin pada tahun 2004 lalu, Samad dikatakan telah berehat panjang selama 4 tahun, dan mesyuarat agung cawangan yang diadakan kelmarin (26 Julai) telah menghambat dirinya supaya tidak berterusan memencilkan diri.
Sementara itu, kegagalan Zaharuddin bagi mempertahankan jawatan yang disandangnya sejak 4 tahun yang lalu bukan sahaja mengecewakan dirinya, malah penyokong-penyokong setianya juga dilihat seakan-akan tidak mahu mempercayainya. Zaharuddin juga dikatakan telah menghidu lebih awal bahawa dirinya akan ditentang oleh Samad Saim, dan beliau juga terpaksa menerima hakikat bahawa gelombang ini adalah kehendak ahli-ahli UMNO di cawangannya sendiri. Proses hukum demokrasi akan menyaksikan jatuh bangun seseorang pemimpin itu sebagai suatu kebiasaan yang harus diterima oleh semua pihak.
Samad Saim diharap dapat meneruskan kesinambungan perjuangan ini dengan memberikan tumpuan kepada permasalahan yang dihadapi oleh penduduk setempat yang bakal berpindah ke 'Pangsapuri Andika' sebagai satu penempatan baru kepada penduduk-penduduk rumah panjang di Setiawangsa ini. Difahamkan penduduk-penduduk rumah panjang ini akan menerima kunci rumah baru mereka bermula 5 Ogos ini. Projek perumahan kos rendah ini dibangunkan oleh I&P dengan kos RM42,000 seunit.
Di dalam mesyuarat agung UMNO Cawangan Persiaran Setiawangsa yang diadakan itu juga telah mencalonkan Dato' Sri Zulhasnan Rafique sebagai Ketua UMNO Bahagian, Dato' Halim Samad sebagai Timbalan Ketua dan Dato' Ahmad Fauzi Zahari sebagai Naib Ketua Bahagian.
Samad Saim telah menghubungi saya menyatakan kesyukurannya memenangi semula jawatan ini, dan beliau mengucapkan terima kasih kepada semua penyokongnya di atas mandat yang diberikan ini. Beliau seterusnya mahukan semua ahli UMNO di cawangan ini dapat bersatu hati menguatkan lagi UMNO demi masa depan kita semua.


No comments:
Post a Comment