
Mungkin saya agak ketinggalan dengan beberapa isu yang tidak sempat diulas di dalam blog saya ini. Namun kehidupan seharian selama saya tidak muncul dalam 'posting' masih tetap terisi dengan aktiviti-aktiviti politik yang lain, malah saya merasakan banyak input yang telah dapat saya timba sepanjang dua minggu yang berlalu.

Foto Kiri: Abd. Rahman Hashim Foto Kanan: Pusat ILMU Janda Baik.
Pada 22, 23 dan 24 Januari lepas, saya telah sempat menyertai 'Kursus Bela Nusa' yang telah mengumpulkan 384 para penceramah UMNO dari seluruh negara yang telah berkampung selama tiga hari dua malam di Institut Latihan Memperkasa UMNO atau ILMU di Janda Baik, Bentong, Pahang.
Saya sendiri yang mewakili UMNO Bahagian Setiawangsa bersama-sama dengan seorang lagi rakan seperjuangan iaitu Sdra Halim Tuah merupakan diantara 'Penceramah UMNO' yang telah menerima watikah pentauliahan oleh Biro Penerangan UMNO Malaysia yang dipimpin oleh Datuk Haji Ahmad Haji Maslan, Ketua Penerangan UMNO Malaysia; setelah kami ditubikan dengan pelbagai maklumat dan dibekalkan juga dengan pelbagai kaedah strategi menyerang terhadap gerombolan pembangkang Pakatan Rakyat yang telah banyak disentuh oleh para moderator yang terbabit.

Sebahagian penceramah UMNO yang berkursus
Secara keseluruhannya bolehlah saya anggapkan kursus tersebut sebagai berjaya, kerana semua peserta yang hadir telah menunjukkan semangat kental sebagai hulubalang UMNO yang 'wira perkasa' malah kami disarankan supaya lebih bersiapsiaga untuk menghadapi kancah-kancah politik yang lebih mencabar di masa-masa hadapan.
Hakikat yang dibentangkan dalam kursus itu bukan sahaja ke arah mengukuhkan 'saf' di dalam UMNO, bahkan UMNO sebagai sebuah parti politik terbesar umat Melayu di negara ini dituntut supaya melakukan muhasabah kerana situasi hari ini memperlihatkan orang Melayu telah berada di persimpangan yang amat merbahaya.
UMNO jangan lagi mendabik dada dengan kekuatan lampau, kerana hari ini umat Melayu dilihat tidak lagi cenderung untuk menguatkan harakat perjuangannya bersama UMNO. Umat Melayu di negara ini kelihatannya sedang bersuka ria bagaikan karnival 'Sure Heboh' di sebalik tembok kabilah masing-masing yang menjadikan Melayu kini 'Sure' hilang kekuatannya.
Senario majoriti lebih 60 peratus umat Melayu di bumi Malaysia hari ini bukan lagi menjadi simbol kemegahan malah Melayu di negara ini tidak lagi berada dalam 'Zon Selesa' setelah pemimpin-pemimpin Melayu yang menguasai kelompok parti masing-masing sering bertelagah sesama sendiri untuk mengejar 'Mimpi Syahid' membunuh bangsa sendiri serta mengaibkan Islam yang menjadi pegangan mereka selama ini.
Diantara mereka tidak sekata lagi apabila berbicara mengenai ALLAH yang disembahnya. Kelihatannya juga seolah-olah cara solat orang Islam UMNO dengan solat orang Islam PAS dan PKR juga tidak sama? Mereka terlupa bahawa kekuatan Melayu/Islam selama ini telah berjaya dipunahkan hanya semata-mata umat Islam hari ini berkiblatkan simbol parti masing-masing yang langsung tidak termaktub di dalam kitab suci Al-Quran.
Islam bersimbol parti nampaknya tidak membawa apa-apa manfaat kepada umatnya jika dibandingkan dengan Islam yang berpegang teguh dengan 'Al-Quran dan As-Sunnah'. Seringkali umat Islam di negara ini menjadi berkeceramuk apabila orang politik membuahkan pendapatnya terhadap isu-isu agama. Begitu juga ulamak-ulamak yang berparti ini seringkali tersasar apabila berhujah, malah dalam beberapa isu mereka kelihatannya lebih berpihak untuk menjaga hati orang lain daripada menjaga hati umat Islam sendiri.
Keikhlasan dan ketulusan dalam berhukum hakam semakin menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat Islam semata-mata terikut telunjuk ideologi politik tertentu. Pernah umat Islam dikelirukan oleh seorang mufti yang telah mengharamkan 'Sure Heboh' di negerinya, tetapi membisu apabila 'Jom Heboh' pula diadakan setelah bertukar Menteri Besarnya. Ulamak ini nampaknya telah mengaibkan dirinya kerana terdorong dengan politik partisan yang sempit.
Begitu juga dengan seorang lagi ulamak yang kini mengetuai sebuah parti Islam di negara ini. Dahulunya telah berfatwa kononnya bersekutu dengan parti-parti bukan Islam dalam membentuk kerajaan adalah HARAM dan menjadi KAFIR, tetapi hari ini parti tersebut dilihat menjadi akrab dengan sebuah parti bukan Islam yang terang-terangan menolak negara Islam yang diperjuangkan oleh parti Islam ini.
Parti Islam ini juga dilihat sedang bersekongkol dan bercumbuan bersama DAP dan PKR untuk menjatuhkan UMNO yang sedang dimusuhinya. Islam pada mereka hanya bersimbolkan 'bulan' yang menjadi simbol keagungan partinya selama ini. Parti ini telah memaksimakan keyakinan untuk memperkasakan 'Parti Roket' jika dibandingkan dengan parti yang bersimbolkan 'Keris Terhunus' kerana mereka bimbang dengan tenungan makrifat 'si mata satu'. Begitu juga dengan isu kalimah Allah. Parti-parti yang diketuai oleh orang Islam dilihat semakin tidak sekata, malah mereka lebih terdorong untuk menjaga hati orang lain demi kerana undi. Isu ini kelihatannya telah menjadikan PAS lebih liberal daripada UMNO yang juga tidak mahu ketinggalan sebagai pejuang Islam tulen.
PKR yang dilihat kemajmukannya tidak berupaya lagi untuk memperjuangkan Islam, kerana mereka harus mewarna warnikan identiti perjuangannya. Pendekata, jika berlaku lagi tekanan terhadap isu-isu Islam, PKR bukanlah penyelamatnya. PKR nampaknya tidak berminat untuk mejadi juara kepada Islam malah parti ini juga bukanlah dominan untuk umat Melayu di negara ini.
LIM GUAN ENG DIKTATOR?
Apabila Datuk Seri Zahrain Mohd. Hashim, Ahli Parlimen Bayan Baru daripada PKR menuding Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang sebagai diktator dan berfikiran komunis, tentunya beliau mempunyai asas yang kukuh untuk berkata sedemikian. Apakah Zahrain sebagai anak Melayu akan berterusan gembira apabila melihat di hadapan matanya tindak tanduk pemimpin parti 'chauvinist' itu tidak lagi membela orang-orang Melayu di negeri Pulau Pinang? Tentunya Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP akan melebihkan kreditnya terhadap penyokong-penyokong partinya daripada yang lain.Walaupun tindakan Zahrain itu tidak banyak memberikan keuntungan politiknya, namun Zahrain juga mengetahuinya jika beliau terkeluar daripada PKR semata-mata marahkan Lim Guan Eng dan ingin masuk UMNO, apakah UMNO akan mencalonkannya semula untuk bertanding di Bayan Baru dalam PRU13 nanti? Saya rasa Zahrain juga lebih maklum bahawa kemenangannya dalam PRU12 lalu adalah hasil sokongan yang telah diberikan oleh pengundi Cina yang menjadi majoriti di kawasan itu. Orang Melayu daripada BN amat sukar memenangi kawasan ini.
Tetapi saya percaya Zahrain mungkin tidak memikirkan itu semua. Beliau lebih memikirkan bagaimana untuk menyelesaikan masalah peribadi yang menimpanya sejak kebelakangan ini. Beliau dikatakan akan belayar malam bersama beberapa orang lagi pejuang PKR untuk bersauh ke destinasi BN yang pernah dicercanya dahulu. Orang-orang UMNO di Bayan Baru tentunya tidak lupa akan cercaan dan maki hamun yang pernah dilemparkan terhadap mereka sewaktu pilihan raya lepas.
Namun begitu perkembangan yang berlaku terhadap Zahrain Mohd. Hashim tentunya akan mendapat simpati daripada UMNO/BN yang begitu dahagakan pencapaian 2/3 di Dewan Rakyat.


















