Heboh dan gempita sekali jika kita melihat komentar di segala ruang media tempatan yang membicarakan samada wajar kalimat 'Allah' diguna pakai oleh agama lain selain daripada Islam. ALLAH di dalam konteks akidah Islam merupakan Tuhan yang Maha Esa, dan Maha Besar - tidak ada dua atau tiga melainkan hanya Allah sahaja yang disembah.Beriman kepada Allah merupakan 'Rukun Iman' yang pertama dimana semua umat Islam bukan sahaja wajib mengimaninya, bahkan umat Islam dilarang menduakannya dengan segala perbuatan syirik termasuk amalan khurafat yang menyesatkan akidah Islam.
Di dalam Islam Allah telah memerintahkan orang-orang yang beriman supaya mentaatiNya sebagai KHALIK yang Maha Pencipta, yang berkuasa di semesta alam. Allah adalah Tuhan yang menjadikan manusia dan segala makhluk yang ada di muka bumi dan mempunyai kekuasaan yang tidak boleh disamakan dengan apa jua bentuk sekalipun. Allah juga telah memerintahkan manusia supaya mengimani Nabi Muhammad SAW sebagai 'Rasul' akhir zaman, kerana Nabi Muhammad SAW merupakan utusan Allah yang memberi rahmat seluruh alam.
Allah yang disembah oleh umat Islam tidak sama dengan tuhan yang disembah oleh penganut agama yang lainnya. Allah yang disembah oleh umat Islam tidak mempunyai anak dan tidak diperanakkan, malah Allah tidak sama sekali mempunyai isteri (Mariam) untuk memperanakkan 'Isa' sebagaimana yang dipercayai oleh penganut 'Kristian'. Kepercayaan 'Meesiah anak Tuhan' sebagaimana yang diyakini oleh penganut agama nasrani itu telah menyimpang jauh untuk meletakkan kesucian 'Allah' yang tidak sama dengan sifat-sifat seperti manusia dan makhluk yang lainnya.
Allah yang diimani oleh penganut Islam adalah Tuhan yang telah menurunkan 'Al-Quran' kepada Nabi Muhammad SAW (sebagai mukjizat) untuk menjadi pegangan kepada seluruh umat manusia. Penganut agama lain tidak mempercayainya, kerana mereka tidak beriman dengan ALLAH.
Jika mereka mahukan ALLAH mereka juga WAJIB beriman tentang keRasulan Nabi Muhammad SAW, mereka juga WAJIB beriman dengan segala ketetapan yang terkandung di dalam kitab-kitab suci termasuk Al-Quranul Karim yang mewajibkan hanya Allah sahaja yang disembah, kerana di dalam Islam 'Tiada Tuhan lain yang disembah, melainkan Allah".
Oleh itu kalimat 'Allah' tidak selayaknya digunakan oleh agama lain untuk merujuk sebagai Tuhan sebagaimana yang diImani oleh umat Islam. Penggunaan nama Allah oleh penganut agama lain selain Islam telah mencemarkan kesucian Allah 'Tuhan Semesta Alam'.
Hakim yang bukan beragama Islam itu bukanlah layak untuk menghakimi 'Allah' yang bukan kepercayaannya. Adalah sesuatu yang mengaibkan apabila seorang hakim yang tidak menyembah Allah (Tidak Beriman) telah membenarkan kalimat 'Allah' dipersendakan sedemikian rupa.
Justeru wajarlah umat Islam tersentuh dan tersinggung dengan perlakuan biadap dan kurang ajar yang telah menghina kesucian dan kebesaran Allah itu. Tentunya hakim tersebut tidak merasakan berdosa untuk meletakkan 'Allah' seganding dengan pemikirannya yang mungkin tidak percaya bahawa Allah juga adalah Tuhan yang wajib beliau sembah.


No comments:
Post a Comment