Masjid Haghia Sophia (Asalnya gereja kristian ortodoks terbesar kerajaanRom Byzantine, Gereja Haghia Sophia). Tapi sekarang sudah dijadikan
muzium terkenal di negara Turki selepas kejatuhan Uthmaniyah pada 1924
pimpinan Kamal Atartuk.
Saya agak terkejut apabila isu penggunaan kalimat 'Allah' di majalah Herald yang telah dibenarkan oleh pihak Mahkmah Tinggi di negara ini tempoh hari telah mencetuskan ketegangan sehingga beberapa buah gereja di sekitar Lembah Kelang telah dibakar. Dilaporkan sebuah surau di Kelang, Selangor juga telah dicerobohi pagi sabtu yang lepas dengan simbahan air kencing, dan terdapat juga kesan-kesan pintu kaca surau tersebut yang terpecah akibat lontaran objek keras. Angkara siapakah ini?
Semuanya ini berlaku dengan sifat 'amarah' yang meluap-luap oleh mereka yang bertindak pasif kononnya kecintaan kepada Allah telah menghalalkan tindakan menceroboh rumah-rumah ibadat yang lainnya. Mungkin juga ketaksuban daripada tindakan ini mereka merasakan Allah akan memberikan bonus pahala kepada mereka sebagai jaminan untuk masuk ke syurga.
Jikalau mereka tidak taksub dengan kepercayaan ini, maka atas kapasiti apakah sehingga ada yang merelakan dirinya menjadi orang upahan 'berjihad' untuk memusnahkan gereja? Saya tidak fikir kerja terkutuk ini sanggup dilakukan oleh mana-mana mua'allim atau imam masjid/surau, semata-mata marahkan manusia lain yang bukan beragama Islam menyebut nama 'Allah'.
Lagipun sebagai seorang imam yang mu'allim tentunya mereka merasakan tindakan sedemikian tidak mencerminkan akhlak yang baik, bahkan saya pasti agama Islam sendiri bukanlah satu agama yang sempit yang mengharuskan gereja patut dibakar semata-mata kerana mereka menyebut dan menggunakan kalimah Allah mengikut kepercayaan mereka.
Gara-gara tidak menjiwai toleransi di dalam Islam jugalah yang telah mengakibatkan 'kepala lembu' yang dianggap suci oleh penganut agama Hindu pernah diarak malah dipijak secara hina oleh segolongan mereka yang juga mempercayai Allah, tetapi tidak terlintas di fikiran mereka bahawa orang lain juga boleh menghina Allah Taala dengan pelbagai cara yang mengaibkan. Bukankah elok kita bertindak secara 'berhikmah' dengan segala kebijakan mengikut 'uslub dakwah Islamiah' yang lebih tertib tanpa menghina penganut agama lain.
Memang betul dan tepat sekali apa yang Allah firmankan, "Jangan kamu hina Tuhan bagi orang yang tidak menyembah Allah (yakni orang kafir), kerana nanti mereka pula akan menghina Tuhan kamu, yakni ALLAH..."
Pada pandangan saya, gereja itu tidak bersalah dan tidak wajar dibakar. Jika kita marahkan penggunaan kalimat Allah di dalam majalah HERALD yang telah dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi itu, maka sepatutnya kita menjadi lebih tertib untuk menjaga kesucian nama Allah dengan memberikan hujah yang beralas mengikut persepsi perlembagaan negara ini yang menjadikan Islam sebagai agama resmi.
Jika Islam telah menjadi agama resmi negara, maka wajarlah penggunaan kalimat Allah tidak dipergunakan di dalam mana-mana penerbitan agama lain kerana ia boleh menimbulkan keraguan di kalangan penganut agama Islam di negara ini. Sewajarnyalah pihak kerajaan khususnya pihak berkuasa yang menjaga hal ehwal Islam di negara ini supaya lebih berhati-hati dengan memperincikan secara jelas tentang kesucian agama Islam, terutama yang membabitkan pegangan aqidah umat Islam tetap terpelihara.
Saya amat bersetuju dengan pandangan-pandangan yang telah meminta supaya isu nama Allah ini tidak dipolitikkan, kerana orang politik seringkali tersasar dalam penghujahan mereka sehingga mereka terlupa bahawa Islam orang-orang UMNO adalah sama dengan Islam orang-orang PAS. Kita semua beriman kepada Allah dan beriman juga kepada Rasul-Rasul. Islam UMNO dan Islam PAS, semuanya bertuhankan Allah Rabbul Jalil. Kita semua bersaudara, kerana memutuskan silaturrahim sesama Islam lebih dibenci Allah daripada bersekongkol dengan musuh-musuh Islam yang tidak beriman dengan Allah.
Oleh yang demikian adalah lebih baik jika kita umat Islam melupakan sengketa yang tidak digalakkan oleh agama. Janganlah kita berpecah-belah berpanjangan di atas perkara remeh temeh sehingga kita terlupa untuk mencari noktahnya. Jika kita meyakini bahawa Islam adalah anutan agama yang diredhai Allah, maka tidak wajarlah kita menjadikan Islam sebagai alasan untuk kita terus berkabilah.



No comments:
Post a Comment