Apa dah jadi...apa dah jadi, nampaknya umat Islam negara ini menjadi semakin keliru dan bercelaru, kerana sementara pihak kerajaan sedang menunggu keputusan mahkamah rayuan untuk menghalang kalimah Allah dari terus digunakan oleh majalah Katholik Kristian 'The Herald' di dalam penerbitannya itu, tiba-tiba salah seorang menterinya pula telah membuat kenyataan bahawa kalimah ALLAH boleh digunakan di negeri-negeri Sarawak, Sabah dan yang terkini beliau juga mengumumkan perkataan ALLAH tidak dihalang penggunaannya oleh masyarakat bukan Islam di Wilayah Persekutuan dan juga di Pulau Pinang.
Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri berkata, di negeri-negeri lain yang mempunyai enakmen agama Islam, maka masyarakat yang bukan Islam tidak boleh menggunakan perkataan Allah.
Demikian hujah menteri berkenaan yang dilihat sebagai satu kenyataan yang bakal mengundang polemik yang semakin bersimpul, malah ia dilihat telah menjerat pelaku-pelaku demonstrasi jalanan yang telah dibenarkan oleh kerajaan baru-baru ini, yang telah membahang sehingga berlakunya pembakaran dan vandalisme di beberapa buah gereja di negara ini.
Ada yang marah meluap-luap tak mahu ALLAH digerejakan. Beberapa pertubuhan NGO pula telah menyatakan bantahan, kerana menurut mereka ALLAH hanya milik Islam. Beberapa pemimpin politik juga saling kecam mengecam kerana masing-masing mempunyai pandangan yang berbeza.
Paling malang foto Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS telah disalibkan kerana pandangan beliau dikatakan tidak menggambarkan kecintaannya kepada Allah jika hendak dibandingkan dengan penunjuk-penunjuk perasaan jalanan itu.
Jumaat lalu, Nazri Aziz dipetik berkata penganut Kristian di Malaysia Timur tidak perlu bimbang kerana mereka boleh terus menggunakan kalimah tersebut bagi terjemahan 'God' dalam cetakan Bahasa Malaysia, kerana menurutnya mereka telah menggunakan kalimah Allah itu sejak 300 tahun yang lalu.




No comments:
Post a Comment