assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Monday, August 10, 2009

PILIHAN RAYA KECIL DUN PERMATANG PASIR. PENAMAAN CALON 17 OGOS, PENGUNDIAN 25 OGOS.

Terkini.
Pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir akan diadakan pada 25 Ogos, dan penamaan calon pula pada 17 Ogos. Umat Islam dijangka akan menyambut awal Ramadan pada 22 Ogos ini.

Demikian pengumuman yang dibuat oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Datuk Seri Abdul Aziz Mohd Yusof pagi ini. Pengerusi SPR itu berkata, pihaknya memutuskan untuk mengadakan pilihanraya kecil itu dalam bulan puasa "ia merupakan masa yang palng sesuai sekali untuk menyelesaikan secepat yang boleh kerana umat sedang berpuasa".

"Waktu itu juga merupakan masa cuti sekolah," katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Putrajaya hari ini. Pilihanraya kecil kelapan ini diadakan ekoran kematian ADUN tunggal di negeri tersebut, Datuk Hamdan Abdul Rahman pada 31 Julai lalu.

Permatang Pasir adalah satu daripada tiga kerusi negeri dalam parlimen Permatang Pauh yang diwakili ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pilihanraya umum lalu, Mohd Hamdan memperolehi 11,004 undi untuk menewaskan calon BN dari Umno, Ahmad Sahar Shuib dengan majoriti 5,433 undi. Ahmad Sahar mendapat 5,571 undi.

Kubu kuat PAS ini dipertahankan selama tiga penggal berturut-turut oleh allahyarham sejak pilihanraya umum 1999, sewaktu memuncak kemarahan orang ramai susulan insiden pemecatan Anwar daripada kerajaan dan Umno.

Di dalam perkembangan yang berkaitan, PAS dijangka akan mencalonkan ayam tambatannya 'Mohamad Sabu' untuk bersabung dengan calon UMNO yang bakal diumumkan nanti. Mat Sabu merupakan ahli jawatankuasa pusat PAS. Selain Mat Sabu, Peuruhjaya PAS Pulau Pinang, Salleh Man juga berada di dalam senarai pendek untuk dipertimbangkan sebagai calon di Permatang Pasir.

Pilihan raya kecil ini dijangka sengit, kerana UMNO ingin membuktikan betapa parti ini semakin diterima rakyat setelah pencapaian undi yang diperolehinya di dalam pilihan raya kecil Manek Urai baru-baru ini.


Wednesday, August 5, 2009

ZULHASNAN TERUS MENERIMA SOKONGAN PADU AKAR UMBI DI SETIAWANGSA

Dato' Sri Zulhasnan Rafique, Ahli Parlimen Setiawangsa yang digugurkan jawatan menterinya di dalam kabinet Najib baru-baru ini dilihat tidak menghadapi masalah untuk menerima sokongan daripada ahli-ahli UMNO yang dipimpinnya di Bahagian Setiawangsa.

Beliau yang telah menjadi Ahli Parlimen sejak tahun 1999 merupakan satu-satunya calon UMNO yang telah menang mempertahankan kerusinya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, selain Tengku Adnan di Parlimen Putrajaya dan juga di Parlimen Labuan. Di dalam PRU2 lalu kerusi-kerusi UMNO di Parlimen Lembah Pantai dan Titiwangsa telah kecundang dengan mengejutnya di tangan PKR (Nurul Izzah) dan juga PAS (Dr. Lo' Lo').

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Setiawangsa, Puan Hairunisha Ismail (Kak Ani) semasa menyampaikan ucapan aluannya di dalam persidangan perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian itu pada 1 Ogos lalu, telah menyatakan ikrar dan sokongan padu ahli-ahli Wanita terhadap kepimpinan Dato' Sri Zulhasnan Rafique.

Kak Ani dengan nada yang tulus telah menyatakan tidak menjadi masalah kepadanya untuk meneruskan sokongan memperkasakan UMNO yang dipimpin oleh Dato' Sri Zulhasnan di Setiawangsa. Jelasnya lagi, walaupun Dato' Sri Zulhasnan tidak lagi berjawatan menteri namun bukanlah pangkat dan darjat yang menjadi ukuran untuk kita menampilkan sokongan secara konsisten terhadapnya.


Foto Atas: Dato' Halim (duduk) bersama-sama dengan Shuib Ibrahim (Dua dari kanan) dan Ahmad Hashim (Tiga dari kiri).
Foto Bawah: Dato' Ahmad Fauzi Zahari (Berdiri kiri sekali) bersama-sama Abd. Rahman Hashim (Berdiri kanan sekali)


Untuk tujuan itu, Kak Ani dengan nada yang penuh bersemangat telah mengajak semua ahli UMNO di Setiawangsa supaya bersatu hati, selenggang dan sehayun untuk mempastikan kerusi Parlimen Setiawangsa yang disandang oleh Zulhasnan (UMNO) hari ini dapat dipertahankan di dalam PRU13 nanti.

Salah seorang perwakilan daripada UMNO Cawangan Air Madu, Roselan Abdul Rahman juga sependapat dengan saranan Ketua Pergerakan Wanita itu, dimana menurutnya sudah tiba masanya UMNO tidak lagi terjebak dengan isu-isu dalaman yang boleh melemahkan kekuatan parti.

Dimyati Jaffar, Ketua UMNO Cawangan Seksyen 10 Wangsa Maju pula mahukan supaya kepimpinan UMNO di semua peringkat diberikan suntikan semangat baru untuk memperkuatkan jenteranya di peringkat akar umbi. Beliau yang juga ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Setiawangsa bertekad untuk bekerja keras bersama-sama dengan kepimpinan yang diketuai oleh Dato' Sri Zulhasnan untuk memantapkan lagi perjuangan memenangi hati rakyat dalam menghadapi PRU13 nanti.

Radzi Jaafar daripada UMNO Cawangan Kg. Loke Yew ketika menyampaikan ucapan penangguhannya di persidagan perwakilan UMNO Bahagian Setiawangsa juga mahukan supaya UMNO tidak membiarkan fenomena perpecahan menjadi punca kepada kelemahan untuk kita mempertahankan kerusi di Parlimen Setiawangsa.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO Bahagian Setiawangsa, Haji Ahmad Hashim ketika berucap mewakili ahli jawatankuasa UMNO Bahagian telah mengemukakan beberapa garis panduan untuk mengemaskini jentera penerangan yang membabitkan program-program seperti sudut pidato, siri penerangan isu semasa dan juga program bersemuka dengan rakyat untuk menjana kekuatan parti.

Dalam artikata yang lainnya, rata-rata pemimpin cawangan di Bahagian ini mahukan supaya Dato' Sri Zulhasnan meneruskan agenda memperkukuhkan keyakinan rakyat terhadap parti dengan memberikan keutamaan kepada rakyat akar umbi yang memerlukan pembelaan.

Pada mereka elemen adu domba yang membabitkan keinginan pemimpin tertentu di Bahagian ini yang dikatakan akan dilonjakkan untuk bersaing dengan Zulhasnan di dalam pemilihan parti akan datang adalah sesuatu yang tidak sihat yang bakal melemahkan parti. Pecacai politik yang oportunis ini lebih gemar untuk mencaturkan supaya wujudnya pertembungan 'ayam laga' sebagai 'placing' untuk menjadi calon di dalam PRU3 nanti bagi kerusi Parlimen Setiawangsa.

Apakah Dato' Halim Samad, Shuib Ibrahim dan Dato' Izudin Ishak (Lihat foto sebelah) yang dikatakan berada di dalam satu 'Kem Najib' akan bergandingan atau pun akan bersaing sesama sendiri untuk menggantikan Zulhasnan dari tampuk kerusi yang disandangnya hari ini? Sama-samalah kita menyaksikannya siapa... yang menipu siapa?

Pada saya Dato' Ahmad Fauzi Zahari, Naib Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa haruslah mencongak dengan segala muhasabah apakah dirinya bakal disisih, walaupun beliau juga mempunyai ambisi untuk melonjak ke hadapan. Beliau dilihat begitu intim dan sinonim untuk bergandingan dengan Zulhasnan jika berlaku pertembungan dengan pakatan Halim/Shuib/Izudin.

Pencapaian jumlah undi G7 yang diperolehi oleh Shuib (125 undi) menggambarkan penggabungan ini telah berlaku, walaupun Dato' Halim & Shuib pernah bertembung dalam merebut jawatan Timbalan Ketua Bahagian pada tahun 2008 yang lalu. Pertikaman diantara mereka berdua ketika bertanding dahulu, walaupun telah mengalami kecederaan namun mereka telah sanggup untuk melupakannya demi untuk mengelakkan diri masing-masing daripada berlawan sesama sendiri di musim akan datang.

Harapan saya janganlah Setiawangsa menjadi medan kedai jahit (tailor) untuk mengukur saiz badan menempah bush jacket, di mana akhirnya yang dikejar tak dapat, yang dikendung keciciran. Jika ini terjadi, bukan sahaja Zulhasnan berjaya disisihkan, malah Halim Samad, Shuib, Izudin dan Fauzi hanya menggigit jari dan bush jacket yang ditempahnya bakal menjadi pakaian resmi untuk menyambut kedatangan calon payung terjun di Setiawangsa. Kah..kah..kah..kah!

Tuesday, August 4, 2009

BENARKAH KU LI, SHAHRIR SAMAD, AZMI KHALID DAN RUHANIE AHMAD AKAN MASUK PKR?



Berita Gempar!
Berita gempar yang baru diterima menyebut bahawa terdapat beberapa pemimpin tinggi UMNO akan masuk PKR. Mereka yang didakwa akan meninggalkan UMNO adalah Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Shahrir Samad, Datuk Seri Azmi Khalid dan Datuk Ruhanie Ahmad dari blog popular Kuda Kepang. Begitu yang ditulis oleh Sam Ahmad dalam PerakExpress.


Wednesday, July 29, 2009

PERGI JAHANAM UMNO...! PAS DAH NYANYUK KE..?



Ulasan saya:
Nabi Noh A.S dahulu ketika menjalankan tugas dakwahnya lebih 1000 tahun, tidak pernah pun mengeluarkan kata-kata nista "pergi jahanamlah kaum ku".

Abu Hurairah pernah berkata, Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya, "...seorang muslim adalah saudara kepada seorang muslim yang lain, tidak boleh membiarkan saudaranya dihina oleh orang lain..cukuplah seseorang itu dianggap jahat apabila ia menghina sesama muslim..." (Riwayat Muslim).

Kita perhatikan pula Firman Allah di dalam surah Al-Hujrat ayat 11 yang bermaksud, "....Janganlah sesuatu kaum itu mengejek-ngejek akan sesuatu kaum yang lain, kerana mungkin kaum yang diejek itu lebih baik daripada yang mengejek..."

Ertinya, orang yang suka mengejek dan menghina orang lain ialah orang yang dianggap oleh Allah dan RasulNya mempunyai ciri-ciri seorang yang jahat dan zalim. Rasanya tidak tergamak untuk saya melabelkan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat seorang ulamak PAS, seorang naqib kepada parti itu yang dikatakan mempunyai "Gaya kepimpinan Nabi" (Warasatul Anbia') tetapi tidak memiliki akhlak seorang Tok Guru.

Tok Guru dari parti PAS ini begitu bongkak apabila menuduh parti UMNO sama sahaja dengan komunis malah mengandaikan parti terbesar umat Melayu Islam di negara ini sebagai ajaran sesat seperti ajaran 'Ayah Pin'.

Terbaharu, beliau telah menempelak...."pergi jahanam, UMNO". Beginikah sifat sabar, zuhud, seorang yang berilmu dan berakhlak agama? Inikah ayat-ayat dakwah yang paling sesuai untuk menghina saudara seIslam kita daripada UMNO?

Nik Aziz nampaknya semakin menjaga hati DAP daripada menjaga hati umat Islam di dalam UMNO. Mungkinkah beliau sedang mencari-cari dalil naqli dan juga aqli yang mengharuskan dirinya untuk terus mengecam UMNO yang disifatkannya sebagai ...jahanam..?

Benarkah firman Allah yang menyuruh kita berdakwah secara bijaksana (hikmah) dan berlemah lembut itu sebagai 'tidak sesuai' untuk UMNO? Jika ianya tidak sesuai, apakah kaedah (uslub) yang paling bijaksana untuk PAS menyatakan bahawa Islam bukan lagi milik UMNO?

Pada saya jika PAS istiqamah dengan pendapat nyanyuk ini, benarlah firasat saya bahawa parti PAS lah lebih sesat daripada UMNO. Rasanya agak keterlaluan jika nak dilabelkan parti ini sebagai NYANYUK...tetapi hanya orang nyanyuk sahaja yang keliru sehingga tidak dapat membandingkan diantara orang yang beriman kepada Allah dengan orang yang tidak beriman. PAS dan UMNO hanyalah perkakas dunia untuk mencurahkan khidmat bakti sesama insan, tetapi bukanlah sebagai 'agama' sehingga menyesatkan aqidah umat Islam.

Orang PAS dan orang UMNO sama-sama akan dihisab di hari akhirat, kerana solat orang UMNO dengan solat orang PAS semua sama kiblatnya. Ayat 'pergi jahanam UMNO' sebenarnya telah membuka pekung kerosakan akhlak ulamak PAS berkenaan. Sehina-hina UMNO yang dilabelkan itu, janganlah kita terikut-ikut dengan akhlak ulamak jahat itu. Dia bukannya MALAIKAT. Dia insan kerdil yang bukan MAKSUM seperti Nabi yang kita imani. Dosa pahala yang ditanggung olehnya sama sahaja seperti orang lain yang beriman kepada Allah. Allah dan Rasul bukan hanya milik PAS tetapi untuk rahmat sekelian alam.


Saturday, July 25, 2009

LILIN MEMBAKAR DIRI? FATWA ULAMAK BAGAIKAN FATWA PUJANGGA.

Tak pasal pasal lilin pula menjadi isu politik. Dr. Zambery MB Perak telah mencabar Tuan Guru Nik Aziz supaya keluarkan fatwa terhadap perbuatan Nizar yang turut memegang lilin di dalam upacara mengingati si mati Teoh Beng Hock beberapa hari yang lalu.

Apabila beliau membuat cabaran itu, tentunya di dalam benak fikirannya berkata bahawa Nizar telah melakukan sesuatu yang haram di sisi Islam, cuma Zambry tidak mahu berkata begitu kerana beliau lebih berminat untuk menunggu fatwa Nik Aziz yang mengharamkan tindakan Nizar memegang lilin.

Nik Aziz di dalam reaksi cabaran terhadapnya pula telah menempelak Zambery dengan berkata bahawa dirinya bukanlah seorang mufti yang boleh mengeluarkan fatwa sewenang-wenangnya, tetapi beliau telah memberikan pandangannya bahawa upacara memasang lilin itu bukanlah satu upacara keagamaan sebaliknya ia adalah upacara tradisi (adat) sebagaimana kelaziman upacara menyala dan meniup lilin ketika menyambut hari jadi, sambil menyanyi lagu Selamat Hari Jadi.


Najib menyalakan pelita Deepavali


Nizar (Kiri) memegang lilin bersama pemimpin DAP

Jika Zambery atau sesiapa pun yang pernah menyambut hari jadi dengan upacara meniup lilin yang dicucuk di atas kek, apakah boleh kita mendakwanya telah menyimpang daripada ajaran Islam? Jika meniup lilin mengingati si mati berkehendakkan fatwa Nik Aziz, maka kita juga bimbang sindrom ini akan berjangkit kepada tradisi menyambut hari jadi yang menyalakan lilin dan meniupnya berkehendakkan juga fatwa....mungkin mufti Perak Harussani Zakaria boleh serasikan fatwanya mengikut selera Menteri Besarnya, Zambry?

Dahulu pun mufti ini pernah mengeluarkan fatwa bahawa 'sure heboh' itu haram di sisi Islam, tetapi kesudahannya karnival tV3 itu tidak menjadi haram apabila pertunjukkan tersebut diadakan di Lumut, Perak baru-baru ini. Adakah Zambery terlupa bahawa muftinya itu sering berubah-ubah fatwanya sehingga terkeliru umat Islam dibuatnya? (Lihat foto Zambery dengan muftinya, Harussani)

Bukan itu saja, kalau tak silap saya Majlis Fatwa Kebangsaan juga pernah mengeluarkan fatwanya bahawa upacara meletakkan kalungan bunga di Tugu Peringatan yang diadakan pada setiap tahun Hari Pahlawan itu sebagai 'haram', namun demikian upacara itu masih tetap dijalankan sehingga hari ini. Fatwa itu telah diketepikan, seolah-olah ianya hanya 'Fatwa Pujangga' (nyanyian S. Afendi)?

Demikianlah malangnya jika perkara remeh temeh dijadikan isu politik sehingga menuntut ianya difatwakan dan akhirnya fatwa itu menjadi bahan persendaan. Inilah padahnya jika ulamak sering menari mengikut rentak yang dipalu oleh umaraknya.

Nampaknya episod lilin yang dicanangkan oleh Zambery tidak mengena sasaran, sebaliknya dilihat telah membakar diri. UMNO hendaklah berhati-hati jika hendak bertikam dengan musuhnya. Pastikan di rumah sendiri tidak berlaku kecurangan sebelum menuding jari kepada orang lain. Lilin bukan sahaja dinyalakan oleh Nizar, tetapi pemimpin kita juga sering diundang ke upacara menyalakan lilin di Hari Deepavali.

PAS tidak mejadikannya sebagai isu mungkin kerana mereka menganggapkan bahawa itu adalah adat resam dan budaya Hindu. Orang Islam pun memasang pelita ketika menyambut malam tujuh lekor. Jadi, kenapa faktor lilin yang menjadi pilihan Zambery untuk berpolemik dengan musuhnya?


Wednesday, July 22, 2009

KU LI TOLAK PELAWAAN ZAID MASUK PKR, KENAPA UMNO MASIH TAKUTKANNYA?


Foto: Zaid Ibrahim (Kiri), Tengku Razaleigh Hamzah (Kanan)

Semalam Zaid Ibrahim dihebohkan sebagai berkata telah mempelawa Tengku Razaleigh Hamzah, Ahli Parlimen Gua Musang supaya menyertai PKR. Hari ini Ku Li telah menolaknya. Tengku Razaleigh Hamzah yang pernah menentang Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi jawatan Presiden UMNO pada tahun 1987 telah bertindak bersama-sama dengan konco-konco Kumpulan 11 mengheret UMNO ke Mahkamah, sehingga UMNO telah diharamkan sebelum dihidupkan semula oleh Dr. Mahathir pada tahun 1988 sebagai UMNO (Baru).

Almarhum Tunku Abdul Rahman, Allahyarham Tun Hussein Onn termasuk Tengku Razaleigh Hamzah enggan menerima penubuhan semula UMNO (Baru) yang ditaja oleh Dr. Mahathir Mohamad, sebaliknya Ku Li telah menubuhkan sebuah parti baru yang dinamakan 'Parti Melayu Semangat 46' yang telah disokong oleh Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn.

Kedua-dua bekas Presiden UMNO ini tidak menyertai UMNO yang baru saja dihidupkan itu, hinggalah ke akhir hayat mereka. Tunku Abdul Rahman sendiri telah merasmikan mesyuarat agung yang pertama Parti Melayu Semangat 46 itu pada 12 Oktober 1989.


Kiri: Ku Li bersama Tunku Abdul Rahman.
Kanan: Ku Li Bersama Dr. M
ahathir.

Sementara itu, sebahagian besar penyokong Ku Li yang disifatkan sebagai 'team B' di dalam UMNO telah berbondong-bondong mengisi borang keahlian Parti Semangat 46, kerana mereka tidak lagi mempercayai Dr. Mahathir untuk menerajui UMNO (Baru) yang mereka sifatkan parti itu tidak seasli Parti Melayu Semangat 46.

Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi hari ini, Dr. Rais Yatim pula telah bertindak agresif degan 'membakar jambatan' sebagai keputusan nekadnya untuk tidak bersama UMNO yang diterajui oleh Dr. Mahathir pada masa itu. Lanjutan daripada itu Dr. Rais Yatim telah diangkat menjadi Timbalan Presiden Parti Semangat 46, yang turut disertai oleh Shabery Chik, Datuk Radzi Sheikh Ahmad, Tengku Azlan Shah, Datuk Harun Idris, Zainal Abidin Zain, Datuk Ibrahim Ali, Datuk Manan Othman, Marina Yusof, Ilyani Ishak, Rahmah Othman dan ramai lagi yang secara jelas telah mengkhianati UMNO pada waktu itu.


Tokoh-tokoh Parti Melayu Semangat 46

Tengku Razaleigh yang tidak mempercayai dengan kekalahannya di tangan Dr. Mahathir itu, bukan sahaja telah memberikan sokongan moral kepada Kumpulan 11 yang menyebabkan UMNO diharamkan, malah Tengku Razaleigh atas sifatnya sebagai Presiden Parti Melayu Semangat 46 pada masa itu telah membentuk sebuah pakatan pembangkang yang kuat bersama-sama dengan Parti PAS, Hamim dan Berjasa di Kelantan yang dikenali sebagai 'Angkatan Perpaduan Umah atau APU'.

Bukan di Kelantan sahaja, malah Ku Li juga telah berjaya menjinakkan DAP di peringkat nasional untuk bersekongkol dengannya bagi menjahanamkan UMNO/BN. Bukan itu sahaja, Tengku Razaleigh juga telah berjaya mempengaruhi Datuk Joseph Pairin Kitingan, Presiden PBS (Foto) yang juga Ketua Menteri Sabah pada masa itu sehingga parti itu telah bertindak keluar BN di saat-saat genting ketika berhadapan dengan pilihan raya umum pada tahun 1990. Sebuah Gagasan Rakyat telah terbentuk di peringkat nasional yang dianggotai oleh Semagat 46, DAP, PBS, IPF dan PRM.

Di dalam pilihan raya umum yang diadakan pada tahun 1990 itu, bukan sahaja Sabah telah menjadi negeri yang dikuasai oleh pembangkang, malah pada tahun itu jugalah Kelantan telah berjaya dikuasai oleh PAS dengan pembentukan kerajaan campuran APU, dimana Nik Aziz telah diangkat menjadi MBnya, manakala Rozali Ishak daripada Semangat 46 telah dilantik menjadi Timbalan Menteri Besarnya.

Tengku Razaleigh sememangnya telah berjasa kepada PAS di Kelantan, kerana beliau telah berjaya menguatkan semula Parti PAS di Kelantan sehingga kerajaan UMNO/BN yang dipimpin oleh Dato' Mohamed Yaakob pada masa itu telah tumbang angkara pakatan APU yang dicetuskan oleh Ku Li. Sejak itu sehingga ke hari ini PAS masih lagi di tampuk kuasanya, dimana Ku Li yang kini telah meninggalkan APU menyertai semula UMNO pada tahun 1995 masih kelihatan terumbang ambing untuk merampas semula Kelantan daripada empayar Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat itu.

Kali terakhir Ku Li berkempen untuk menawan hati rakyat di Kelantan ialah ketika diadakan pilihan raya kecil Manek Urai baru-baru ini, ternyata usaha beliau untuk menebus kembali dosanya terhadap UMNO itu masih belum berhasil. Walaupun ada petanda peningkatan kepercayaan rakyat terhadap UMNO kian pulih, namun keyakinan rakyat itu bukanlah kerana Tengku Razaleigh tetapi PAS di situ terpaksa berhadapan dengan kekuatan sebuah jentera kerajaan yang menguasai federal 1Malaysia. Walaupun projek jutaan wang ringgit telah dijanjikan di Manek Urai, namun UMNO masih lagi gagal untuk menawan sebuah DUN yang hanya mempunyai jumlah pegundi sekitar 12 ribu orang.

Jika itulah fakta mengenai Tengku Razaleigh, hairan sungguh kenapalah Zaid Ibrahim beria-ia benar untuk meminjam Ku Li yang pernah mengkhianati UMNO supaya masuk di dalam PKR? Di dalam UMNO pun Tengku Razaleigh tidak diberikan pengiktirafan, sepatutnya PKR juga tidak terjebak dengan angan-angan mat jenin untuk memiliki orang seperti ini.

Apabila Tengku Razaleigh Hamzah telah menolak pelawaan Zaid Ibrahim supaya beliau masuk PKR, kenapa UMNO harus rasa gundah gulana? Jika Tan Sri Muhyidin Yasin berkata bahawa Tengku Razaleigh telah banyak berjasa kepada UMNO dan tidak semudah itu untuknya keluar semula UMNO menyertai PKR, ini juga bermakna bahawa Ku Li masih lagi berpengaruh dan tidak seharusnya UMNO membiarkannya menjadi melukut di tepi gantang seperti sekarang.

Tindakan mengenepikan Tengku Razaleigh Hamzah di dalam parti dan juga kerajaan janganlah dilihat seolah-olah jasanya tidak lagi dihargai oleh UMNO dan pengaruhnya pula tidak diperlukan lagi. Nampaknya UMNO lebih rela memberikan jawatan penting kepada Dr. Rais Yatim dan Shabery Chik di dalam barisan jemaah menteri daripada melantik Tengku Razaleigh Hamzah yang jauh lebih hebat daripada gurga dan khadamnya itu.

Saya lebih yakin bahawa UMNO semakin mantap jika Tengku Razaleigh dapat membarisi semula jemaah menteri seterusnya membantu Tok Pa untuk menebus semula dosanya terhadap UMNO di Kelantan. Tentunya Zaid Ibrahim bersimpati dengan Tengku Razaleigh Hamzah yang semakin dipinggirkan oleh UMNO bagaikan 'Quran Buruk' lantas beliau meyakinkan Tengku Razaleigh keadaan itu tidak mungkin berlaku di dalam PKR?


Sunday, July 19, 2009

CHUA JUI MENG KINI ANGGOTA PKR BAKAL CALON MENENTANG MCA DI JOHOR.

Datuk Chua Jui Meng (Fotonya bersama Anwar) akhirnya berterus terang juga telah keluar daripada MCA, dan tidak yakin lagi kepada parti asalnya, seterusnya mengumumkan akan menyertai PKR.

Chua Jui Meng yang juga mantan Menteri Kesihatan di zaman Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri telah membuat pengumuman yang mengejut itu di hadapan bos barunya Anwar Ibrahim di dalam satu majlis forum, sabtu kelmarin di sebuah hotel terkemuka di Bandar Sunway.

Tindakan Chua Jui Meng itu bakal mengundang pergolakan yang lebih serius di dalam parti terbesar komuniti China di negara ini. Ekoran daripada perkembangan politik ini, MCA dilihat akan terus dilanda krisis yang membimbangkan juga entiti kekuatan Barisan Nasional di Johor, terutamanya di kawasan-kawasan yang mempunyai bilangan pengundi China yang ramai.

Apakah Chua Jui Meng yakin bahawa tindakannya itu akan dituruti lebih ramai lagi pemimpin-pemimpin MCA yang lainnya, terutama di kalangan penyokong kuatnya? Datuk Chua Jui Meng walaupun tewas bertanding jawatan Presiden MCA di musim yang lalu, namun pengaruhnya masih bertaring, bukan sahaja di Johor malah di negeri-negeri lain juga.

Kehadiran Chua Jui Meng di dalam PKR tidak boleh dipandang enteng, kerana beliau juga bakal memberikan saingan yang hebat terhadap Barisan Nasional di dalam PRU 13 nanti. Setidak-tidakya Chua Jui Meng akan diberikan tempat oleh PKR untuk bertanding di mana-mana kawasan Parlimen di negeri Johor menentang calon MCA/BN di dalam pilihan raya tersebut.

Dato' Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Chua Jui Meng sebagai aset kepada partinya setelah Zaid Ibrahim juga bekas menteri kerajaan BN bertindak menyertai PKR. Anwar mengharapkan kedua-dua tokoh ini dapat menguatkan jentera PKR kerana kedua-duanya memiliki gaya kepimpinan yang bakal membarisi kabinet Anwar, jika Pakatan Rakyat mampu menewaskan Barisan Nasional dalam PRU13 nanti.

Satu soalan kepada MCA ialah sejauh mana parti ini mampu menyuntik kekuatan kepada Barisan Nasional? MCA hendaklah jujur kepada Datuk Sri Najib Tun Razak - apakah penyokong-penyokong partinya masih jujur untuk bersama-sama dengan rakan-rakan komponen yang lainnya untuk memperkuatkan jentera BN menjelang PRU13? Saya sendiri meraguinya....