Tiga pilihan raya kecil yang berjalan serentak mulai 29 Mac menyaksikan Barisan Nasional akan ditentang hebat oleh calon-calon daripada Pakatan Rakyat. BN yang kalah di dua PRK sebelum ini, iaitu di Permatang Pauh dan di Kuala Terengganu bertekad TIDAK MAHU kalah lagi di tiga-tiga buah kawasan pilihan raya kecil, iaitu di Parlimen Bukit Gantang (Perak), DUN Bukit Selambau (Kedah) dan juga DUN Batang Ai (Sarawak).
Di Parlimen Bukit Gantang, calon BN Ismail Sapian tak semena-mena telah ditentang oleh Dato' Seri Ir. Mohd. Nizar Jamaluddin yang menjadi calon PAS, yang pernah menjadi Menteri Besar Perak selama 10 bulan sebelum digulingkan secara kudeta oleh UMNO/BN pada 6 Februari lalu. Seorang calon Bebas, Kamarul Amizu juga turut bertanding merancakkan lagi pilihan raya kecil Bukit Gantang ini. (Lihat Foto)Manakala di Kawasan DUN Bukit Selambau pula telah mencatatkan satu sejarah dimana 15 calon yang akan berentap. Calom BN Dato' S. Ganesan dari MIC akan ditentang oleh calon PKR S. Manikumar dan 13 calon BEBAS yang lainnya yang terdiri daripada L. Sasila, T. Chandrajan, R. Loganathan, A. Jayagopal, S. Moganakumar, Vanesen Michael, Tan Hock Kuat, Mohd. Fazil Abd. Wahab, Anuar Abd. Hamid, Husaini Yacob, Abd. Rahim Abu, Radzi Md. Lazim dan Khamis Awang.
Di DUN Batang Ai pula menyaksikan satu lawan satu diantara calon BN Malcom Mussen Lamoh dari PRS ditentang hebat oleh calon PKR Jawah Gerang yang pernah menjadi Ahli Parlimen Lubok Antu sejak beberapa penggal sebelum ini.
Apa yang menarik daripada ketiga-tiga pilihan raya kecil ini ialah ianya diadakan serentak sebaik saja UMNO selesai mengadakan perhimpunannya yang menyaksikan berlakunya peralihan kuasa di dalam parti itu. Pak Lah yang juga Perdana Menteri secara resminya tidak lagi menjadi Presiden UMNO, kerana Dato' Sri Najib Tun Razak (Foto) telah dinobatkan sebagai Presiden UMNO yang ke-7 sekaligus bakal menjadi Perdana Menteri menggantikan Pak Lah.Perhimpunan Agung UMNO yang baru berlalu ini dikatakan telah menyuntik semangat baru kepada parti terbesar orang Melayu yang menjadi teras kepada BN, yang telah kehilangan kuasa di negeri Kedah, Kelantan, Selangor, Pulai Pinang dan juga di Perak semasa PRU12. Namun Perak telah kembali semula ke tangan UMNO setelah berjaya melepasi 'daya muslihat' yang tidak dipersetujui sendiri oleh Tun Dr. Mahathir dan juga Ku Li. Perak yang rapuh di tangan BN kini terpaksa berhadapan dengan gelombang kemarahan rakyatnya di dalam pilihan raya kecil di Parlimen Bukit Gantang 7 April ini.
Apakah Ismail Sapian (Calon BN) mampu merampas kembali kerusi P.059 Bukit Gantang ini setelah BN dikalahkan oleh Allahyarham Roslan Shaharum daripada PAS dalam PRU12 yang lalu? Mampukah Ismail Sapian mempengaruhi rakyat di kawasan Parlimen Bukit Gantang untuk menolak 'Nizar' yang didakwa oleh UMNO sebagai penderhaka kepada Sultan Perak itu?
Sesungguhnya rakyatlah yang berhak menjadi 'Raja' demokrasi apabila berlakunya pilihan raya kecil seperti ini. Walaupun Najib berkata bahawa pilihan raya kecil seperti ini bukanlah ukuran sebenar kehendak rakyat terhadap sesuatu parti, namun kesannya amat menikam kalbu jika BN terus ditolak olek rakyat di dalam pilihan raya kecil di dua Bukit dan satu Batang ini.
Jika suntikan semangat yang telah diperolehi di dalam Perhimpunan Agung UMNO juga gagal membawa kemenangan kepada BN di dalam pilihan raya kecil kali ini, tentunya akan membawa bencana kepada UMNO yag baru saja mendapat pemimpin barunya.
Najib, Muhyiddin, Zahid Hamidi, Hishammuddin, Shafie Apdal dan lain-lain pemimpin UMNO yang baru dinobatkan membarisi Ahli Majlis Tertinggi haruslah bermuhasabah dan segera melakukan pembedahan ulangan untuk mengetahui penyakit apakah lagi yang masih membarahi UMNO sehingga ianya ditolak oleh rakyat akar umbi.
Apakah pandangan Dr. Mahathir yang begitu kecewa dengan Pergerakan Pemuda UMNO kerana telah memilih PERASUAH menjadi Ketua pergerakan itu baru-baru ini sebagai beban kepada UMNO/BN sehingga ditolak oleh rakyat, terutamanya di kalangan generasi muda? Benarkah golongan muda di peringkat akar umbi begitu alergik dengan UMNO kerana wujudnya bebanan ini di dalam parti?
Saya lebih yakin bukan saja golongan muda yang berada di luar parti UMNO yang membenci perasuah ini, bahkan di dalam UMNO sendiri dilihat secara terbuka telah mengejek (boo) Ketua Pemuda ini apabila setiap kali namanya disebutkan. Tentu bersebab mereka tergamak memalukan pemimpin muda ini.
Apa pun kita mengharapkan UMNO dan BN segera bertindak untuk menangkis serangan bertubi yang bakal dilepaskan di sepanjang kempen pilihan raya kecil di tiga-tiga buah kawasan ini akibat terlalu banyak bola tanggung yang dihantar sehingga ianya mudah dikilas oleh pihak lawan.























