assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Tuesday, February 10, 2009

BARISAN EXCO PERAK TANPA DATUK NASA, JAMALUDIN DAN OSMAN JAILU?

Hari ini enam Ahli Yang Berhormat daripada Barisan Nasional telah mengangkat sumpah jawatan 'Exco Negeri Perak' di hadapan Paduka Seri Sultan Azlah Shah. Difahamkan ada empat lagi jawatan exco yang bakal mengisi kekosongan yang akan diisi kemudian.

Daripada enam yang mengangkat sumpah hari ini, nama Datuk Nasarudin Hashim ADUN Bota yang 'lompat melompat' tidak jadi diberikan habuan untuk sebaris dengan exco-exco yang dilantik itu.


Datuk Nasa, Osman Jailu dan Jamaludin

Begitu juga Jamaludin Radzi ADUN Behrang dan Kapt. (B) Mohd. Osman Jailu ADUN Changkat Jering yang kini 'Wakil Bebas Tanpa Parti' yang menyokong Barisan Nasional tidak dilantik semula sebagai Exco di dalam kerajaan baru ini.

Jamaludin Radzi dan Osman Jailu sebelum ini adalah Exco Kerajaan Negeri Perak di bawah Pakatan Rakyat yang telah diperangkap oleh kunco-kunco UMNO sehingga terpalit kes rasuahnya yang telah ditangguhkan sebutan kesnya pada hari ini 10 Februari 2009, kepada 15 Jun depan. Kedua-dua mereka ini tidak hadir di mahkamah kerana secara tiba-tiba TIDAK SIHAT. Difahamkan keempat-empat yang bakal dilantik menjadi Exco nanti, juga tidak menyenaraikan nama-nama pembelot ini.

Apakah kerana Jamaludin dan Osman Jailu bukannya ADUN UMNO/BN maka dianya tidak layak untuk sebaris dengan exco-exco yang terbukti setia dengan parti masing-masing, tidak seperti mereka? Atau apakah kerana kedua-dua bekas exco daripada PKR ini dikatakan bermasalah dengan kes rasuahnya yang masih tertangguh, maka perlantikannya hanya dibuat selepas berjaya melepasi halangan keputusan mahkamah? Pendapat saya, UMNO tidak akan memberikan keutamaan kepada kedua-dua pembelot ini, setelah mereka berjaya diperdayakan. Terdapat ramai lagi dari kalangan 28 orang YB daripada BN yang lebih layak dan terbaik jika dibandingkan dengan mereka berdua ini.

Atas alasan apa pula Datuk Nasarudin Hashim tidak disenaraikan? Saya berpendapat beliau juga tidak selayaknya untuk diangkat menjadi exco, kerana UMNO/BN perlu memberikan keutamaan kepada lain-lain Ahli Yang Berhormat DUN Perak yang terbukti kesetiaannya kepada parti.

Lagi pun mengheret Datuk Nasarudin menjadi exco semata-mata kerana dia terbukti berjaya meletakkan martabat BN sehingga ke takuk hari ini dengan memerintah semula negeri Perak, bukanlah alasan yang kukuh untuk membalas budinya itu. Jika nama Datuk Nasa diangkat menjadi exco sedangkan beliau tidak memegang sebarang jawatan penting di dalam UMNO Bahagian Parit, akan mengundang musibah terhadap maruah UMNO Bahagian Parit yang diketuai oleh Datuk Zaim yang juga ADUN Belanja di dalam Parlimen Parit.

Datuk Nasa dikatakan tidak sehaluan dengan Datuk Zaim, dan telah kalah di tangan Zaim ketika bertanding jawatan Ketua Bahagian baru-baru ini. Zaim mungkin akan merpersoalkan atas kapasiti apakah Nasa perlu dilonjakkan sebagai Exco? Dalam arti kata yang lainnya, Datuk Zaim merasakan dirinya lebih layak daripad Datuk Nasa untuk diangkat menjadi Exco Negeri Perak.

Monday, February 9, 2009

Nizar layak bertanding di Parlimen Bukit Gantang?

Al-Fatihah....kepada Allahyarham Haji Roslan Shaharum (Foto) Ahli Parlimen Bukit Gantang, Perak yang telah kembali ke rahmatullah tengah hari tadi. Beliau malam tadi turut berada di majlis ceramah 'Anwar Ibrahim' di kediaman Menteri Besar Perak.

Sesungguhnya pemergian Allahyarham adalah ketentuan Rabbul Jalil. Kita berharap tidak ada spekulasi nakal dengan pemergian Allahyarham itu yang mengakibatkan satu pilihan raya kecil terpaksa diadakan di kawasan Parlimen Bukit Gantang. Itu pun jika SPR tidak terdorong sekali lagi untuk meragui kesahihan 'surat kematian' yang bakal disahkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Kekosongan kerusi Parlimen Bukit Gantang rasanya layak digalas ganti oleh Menteri Besar Perak yang baru saja dititahkan meletakkan jawatannya oleh Paduka Seri Sultan Azlan Shah, iaitu siapa lagi kalau bukan Datuk Seri Ir. Haji Mohammad Nizar Jamaludin.

Nizar dilihat paling sesuai untuk diletakkan bertanding atas tiket PAS di Bukit Gantang, kerana di gelanggang inilah Nizar akan diuji sejauh mana rakyat Perak masih berdiri teguh bersamanya dalam meredahi gelombang politik yang memaksa kerajaan negeri pimpinannya dipendekkan tempohnya untuk 10 bulan sahaja.

Nizar telah dimalukan, Nizar dihalau keluar dari pejabatnya oleh SUKnya sendiri, Nizar dicerca sebagai penderhaka Sultan oleh pecacai UMNO yang pernah memalukan institusi Raja suatu ketika dahulu, Nizar dikatakan menjadi boneka kepada DAP; namun Nizar dampak ketenangannya, masih mampu tersenyum, malah pengaruhnya semakin semarak di hati rakyat yang telah meNyahkan UMNO/BN dalam PRU12 yang lepas.

Jika PAS ataupun Pakatan Rakyat mahu menebus maruahnya yang sedang dirobek oleh musuh politiknya, maka di gelanggang Bukit Gantanglah Nizar wajar dipertaruhkan. Jika dalam PRU12 yang lalu, UMNO telah meletakkan Bendahari Agungnya, Datuk Seri Azim Zabidi bertanding di kawasan ini, apakah beliau sanggup sekali lagi untuk berhadapan dengan Nizar kali ini di Bukit Gantang? Atau apakah UMNO dan BN kali ini sanggup mempertaruhkan Dr. Zambri Kadir yang baru saja mengangkat sumpah sebagai Mamak Bendahara yang baru bagi negeri Perak supaya bertarung dengan Nizar ? Jika ini berlaku, memang kena buku dengan ruasnya.

Biarlah Nizar menjadi galang ganti untuk membuktikan betapa rakyat negeri ini tetap bersamanya setelah dikudeta oleh Barisan Nasional. Terserahlah kepada pucuk pimpinan parti PAS untuk menimbangkan kewajaran Nizar bertanding sebagai Ahli Parlimen di Bukit Gantang.

Dalam PRU12 yang lalu, Haji Roslan Shaharum telah memenangi kerusi ini dengan majoriti 1,566 menewaskan Datuk Seri Azim Zabidi daripada UMNO/BN. Allahyarham Roslan memperolehi 20,015 undi, manakala Azim mendapat 18,449 undi. Calon Bebas yang turut bertanding pada masa itu hanya memperolehi 872 undi.

Satu perkara menarik yang perlu diberikan tumpuan ialah Kawasan Dewan Undangan Negeri Changkat Jering yang diwakili oleh Kapt. (B) Mohd. Osman Jailu berada di dalam kawasan Parlimen Bukit Gantang juga dimenangi oleh Pakatan Rakyat iaitu daripada PKR.

Kemungkinan besar DUN yang tidak diisytiharkan kosong oleh SPR ini setelah menerima notis kekosongan daripada Speaker Negeri Perak minggu lalu juga akan berhadapan dengan risiko untuk diadakan pilihan raya kecil apabila ADUNnya yang telah melompat sebagai wakil Bebas itu akan disabitkan kesalahan rasuah seksnya oleh mahkamah nanti. Jika ini juga tidak berlaku, jelaslah bahawa ADUN Changkat Jering ini telah diberikan perlindungan istimewa oleh kerajaan BN yang telah memerangkap dirinya menerima rasuah tersebut.

Datuk Seri Mohd. Najib yang baru saja dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Perak dilihat begitu alergik untuk berhadapan dengan pilihan raya, kerana beliau sendiri tidak begitu yakin dengan kekuatan UMNO negeri ini yang sedang bergelut sesama sendiri. Namun begitu Najib dikatakan pakar untuk mengatur strategi 'sorok menyorok' sehingga kedua-dua ADUN Behrang dan juga ADUN Changkat Jering ini berjaya disembunyikan sehingga isteri dan sanak keluarganya tidak mengetahui ke mana suami mereka menghilang untuk menghabiskan cuti sakit.

Di saat cemas ini, UMNO Perak di bawah pimpinan Najib dengan liciknya juga telah melepasi halangan dengan sifir pintarnya untuk meletakkan BN dalam kedudukan SERI 28-28 dengan Pakatan Rakyat, setelah berjaya memperdaya Datuk Nasarudin ADUN Bota kononnya Raja Muda Perak hendak berjumpa dengannya, lalu dia dibawa ke Putrajaya berjumpa Najib di sana untuk menghafal sifir lompatnya semula ke dalam UMNO meninggalkan PKR.

Oleh kerana berkedudukan SERI 28-28, telah memaksa pula Paduka Seri Sultan Azlan Shah menitahkan kesemua ADUN yang bermasalah itu menghadap ke Istana Kinta untuk mendapatkan kepastian samada mereka benar-benar menyokong BN atau PKR? Akhirnya ADUN DAP dari Jelapang, ADUN PKR dari Behrang dan ADUN PKR dari Changkat Jering telah mengisytiharkan diri masing-masing sebagai Wakil Bebas (Tidak Berparti) tetapi menyokong BN. Dengan itu 'Sifir Najib' berjaya meletakkan formula 28+3 sebagai majoriti kepada BN kononnya.

Kerajaan Pakatan Rakyat yang dipilih oleh rakyat menerusi PRU12 itu telah berjaya dikudetakan setelah diperkenan oleh Paduka Seri Sultan Perak yang telah menitahkan Nizar meletakkan jawatannya dengan serta merta. Demikianlah episod guling yang telah menyebabkan suhu kemarahan rakyat menghangat, sehingga ditakdirkan akan berlaku juga pilihan raya kecil di Parlimen Bukit Gantang yang mahu dielakkan oleh Najib.

Apa pun pilihan raya kecil tetap datang lagi dan kali ini di Bukit Gantang. Dia ibarat 'maut', kita cuba elakkannya tetapi dia tetap datang menemui kita.

Apakah episod malang UMNO/BN yang telah kecundang di Permatang Pauh di tangan Anwar, dan Kuala Terengganu juga tewas di tangan Wahid Endut, maka terpaksa pula ditewaskan di Bukit Gantang, Perak di tangan Nizar yang bakal dicalonkan nanti?

Sunday, February 8, 2009

LAUTAN MANUSIA BERHIMPUN DI IPOH DENGAR CERAMAH PAKATAN RAKYAT


TERKINI...
.UP-DATE PUKUL 11.15 MALAM
SEKITAR HIMPUNAN
KEMBALIKAN KERAJAAN RAKYAT

DI KEDIAMAN MENTERI BESAR
PADA 8 FEBRUARI, 2009, 9.00 MALAM
(LEBIH 30 RIBU YANG HADIR)

Dato' Seri Ir. Nizar Jamaludin sedang memulakan ucapan dari atas rumah beliau.


Kelihatan khalayak rakyat dari pandangan atas.

Kelihatan pengundi-pengundi muda,
para reformis muda
yang berhimpun mendengar ceramah Anwar.



Rakyat yang berada di luar tembok rumah MB
yang tidak dapat memasuki perkarangan rumah MB
yang sudah penuh.


Maaf, tidak berkesempatan untuk menyiarkan foto Datuk Seri Hj Hadi Awang dan Anwar Ibrahim yang turut menyampaikan ucapannya. Akan posting kemudian...tunggu!!

Perak ada dua MB. Angkara siapa?

Kemelut mutakhir politik di negeri Perak menyaksikan rakyat negeri itu kini mempunyai dua orang Menteri Besar, tapi kedua-duanya Melayu walaupun berlainan aliran parti yang dianutinya. Seorang daripada Parti PAS yang mewakili Pakatan Rakyat, manakala seorang lagi Mamak Bendahara yang baru mengangkat sumpah ialah daripada UMNO yang mewakili Barisan Nasional.

Datuk Seri Ir. Haji Mohammad Nizar Jamaluddin merupakan Menteri Besar Perak yang ke-10 yang dilihat oleh UMNO hanya layak mengetuai kerajaan negeri ini untuk 10 tahun sahaja, setelah rakyat negeri itu menolak UMNO dan BN di dalam PRU12 8 Mac 2008 lalu.

Dato’ Dr. Zambri Abd. Kadir, ADUN Pangkor pula setelah mengangkat sumpah di hadapan Sultan Perak pada 6 Februari lepas merupakan Menteri Besar Perak yang ke-11, yang menyaksikan reaksi ribuan rakyat negeri itu telah berhimpun di luar Istana Iskandariah, di Kuala Kangsar, bukannya untuk meraikan perlantikan tersebut, tetapi untuk menyatakan protes, marah dan sekaligus untuk menzahirkan kekecewaan mereka terhadap Paduka Seri Sultan Perak yang menitahkan Menteri Besar ke-10 itu meletakkan jawatannya serta merta.

Nizar terhina kerana pejabatnya telah dikepung oleh Polis, dan beliau telah dihalau keluar oleh SUK yang kelihatan berlagak lebih berkuasa daripada Menteri Besar. Keceluparannya juga menjadi faktor betapa rakyat akan bertindak menghukum kerajaan baru yang rapuh ini. Tapi dengar cerita Datuk Setiausaha Kerajaan Negeri Perak yang 'senama' dengan saya (Abdul Rahman Hashim) telah menelofon Nizar memohon maaf di atas kata-kata yang kasar yang telah terlempar kepada MB Perak itu tempoh hari.

Datuk Seri Dr. Haji Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak ketika mengulas kejadian rusuhan yang berlaku di luar Istana Iskandariah menganggap ianya bukan budaya rakyat negeri ini, tetapi beliau agak lupa betapa UMNO sendiri telah berpiket di Kuala Terengganu membantah tindakan Sultan yang tidak memperkenankan Idris Jusoh dilantik sebagai MB Terengganu.

Tidak sekadar berpiket, malah penyokong-penyokong Idris Jusoh daripada UMNO juga telah melemparkan kata-kata kesat kepada Sultan Mizan dengan mempamerkan perkataan ‘binatang’ kepada Baginda Tuanku, sebagai tanda protes dan marah dengan situasi campur tangan Istana terhadap perlantikan Menteri Besar.

Datuk Seri Shahidan Kassim juga dilihat bertindak kasar apabila Rajanya tidak memperkenankan perlantikan dirinya sebagai Menteri Besar selepas PRU12 yang lepas.Namun keadaan di kedua-dua negeri Terengganu dan juga Perlis itu tidak sama dengan keadaan di negeri Perak yang semakin gawat sekarang ini. Negeri Terengganu dan Perlis menyaksikan siapa juga yang tidak diperkenankan oleh Baginda Tuanku, calon itu datangnya daripada UMNO juga.

Tetapi di negeri Perak, Menteri Besar yang dititahkan segera meletakkan jawatannya adalah ‘Ketua Kerajaan Negeri’ yang dipilih oleh majoriti rakyat menerusi pilihan raya umum, tetapi di kudetakan secara hina sehingga menampakkan kebencian rakyat yang semakin meluap-luap terhadap Barisan Nasional dan juga UMNO.

Paduka Seri Sultan Perak secara tidak langsung terheret sama di dalam kancah politik ini apabila telah tidak memperkenankan permohonan Menteri Besarnya untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan rakyat membuat pengesahan sendiri kerajaan mana yang dikehendaki oleh mereka.

Najib Tun Razak dilihat berjaya dengan strategi kudetanya dengan mendakwa tiga orang DUN dari Pakatan Rakyat telah keluar parti masing-masing menjadi wakil Bebas, sementara ADUN Bota yang kini menjadi juara anugerah ‘Katak Lompat’ yang menewaskan penyandangnya Datuk Paduka Ibrahim Ali, telah goyah pendiriannya untuk masuk semula ke dalam UMNO iaitu parti yang telah dihinanya di hadapan 15 ribu warga Parit semasa berceramah di Stadium Bakri Rais, Bota Kanan.

Datuk Nasarudin Hashim di dalam ceramahnya yang berapi-api itu telah berkata bahawa dirinya bukanlah melompat katak, tetapi dia sebenarnya telah berhijrah dengan penuh keyakinannya untuk bersama-sama dengan PKR sekaligus ‘mufarakah’ dengan parti asalnya (UMNO).

Tiga ADUN dari Pakatan Rakyat yang kini menjadi wakil Bebas di DUN Perak tidak pula memasuki mana-mana parti komponen BN, tetapi mereka dikatakan memberikan sokongan kepada BN. Sepatutnya Jamaludin Radzi dan Mohd. Osman Jailu di UMNOkan, begitu juga ADUN Jelapang dari DAP itu di MCAkan atau masuk sahaja Gerakan. Persoalannya kenapa mereka tidak berbuat demikian?

Pada saya, percaturan politik sedemikian mendedahkan UMNO/BN berada dalam keadaan yang lebih merbahaya, dan risiko yang bakal dihadapi nanti ialah kerajaan yang dibentuk ini juga tidak mungkin bertahan lama. Apatah lagi Jamaludin dan Osman Jailu akan dihadapkan ke Mahkamah untuk berhadapan dengan kes rasuah seksnya yang semua orang tahu merupakan insiden yang diperangkap oleh UMNO sendiri, tetapi mungkin Jamaludin dan Osman Jailu meyakini bahawa UMNO/BN boleh memberikan perlindungan semula kepada mereka? Kalau tidak tak kan mereka sanggup mengkhianati parti asalnya (PKR) untuk menyokong UMNO/BN.

Dato’ Sri Najib pula ketika mengulas situasi ini berkata bahawa isu berkenaan tidak berbangkit kerana kedua-duanya bukanlah ahli UMNO. Dalam artikata yang lain, jika mereka disabitkan kesalahannya maka UMNO tidak perlu dikaitkan, kerana mereka bukan ADUN daripada UMNO cuma menyokong BN!

Jika kedua-duanya telah menyokong UMNO/BN di hadapan Najib dan juga Sultan Perak, mengapa Najib harus berdolak dalik menyatakan kesalahan rasuah mereka nanti tidak ada kena mengena dengan UMNO, sedangkan Najib berkata mereka berdualah yang telah membuatkan UMNO beroleh majoriti untuk merampas kerajaan Pakatan Rakyat.

Kewajaran menyelamatkan mereka berdua daripada disabitkan dengan kes rasuah ini merupakan ‘survival’ juga kepada kerajaan UMNO untuk lebih bertahan lama di Perak. Jika tidak, kerajaan ini akan dimalukan nanti oleh rakyat yang dilihat amat marah dengan taktik kudeta yang dikepalai oleh orang luar Perak, iaitu Najib Tun Razak.

Pilihan raya kecil yang mungkin berlaku di DUN Behrang dan juga DUN Changkat Jering nanti adalah sesuatu yang perlu dielakkan oleh kerajaan UMNO, kerana api membara rakyat Perak bakal memberi pukulan maut kepada UMNO sehingga kerajaan UMNO akan kehilangan dua kerusi, sekaligus menamatkan riwayat singkat pemerintahan UMNO/BN di Negeri Tok Sagor ini.

Dengan angkara menyeludup dan menyembunyikan dua ADUN Behrang dan Changkat Jering di Pekan, Pahang, telah mendorong kedua-duanya mengambil cuti sakit sehingga isteri dan anak-anak mereka tidak dapat mengesannya untuk diziarahi. Talian telefon masing-masing juga dikatakan ditutup, sehingga meresahkan banyak pihak takut-takut kedua-dua ADUN ini diletupkan dengan C4 pulak. Rupa-rupanya mereka muncul semula di khalayak lalu berkata mereka tidak melompat parti dan masih kekal sebagai ADUN dan akan menjalankan tugas seperti biasa sebagai Wakil Rakyat dan juga Exco Kerajaan Negeri Perak.

Kedua-dua mereka menyedari jika mereka mengambil tindakan keluar parti, jawatan mereka sebagai ADUN akan terlucut bagi membolehkan Speaker Negeri Perak mengeluarkan notis kepada SPR untuk mengosongkan kerusi DUN Behrang dan juga DUN Changkat Jering.

Ekoran daripada notis yang dikeluarkan oleh Speaker DUN Perak kepada SPR tentang kekosongan kedua-dua kerusi tersebut, telah memaksa SPR untuk membuat ketetapan samada kerusi berkenaan akan dikosongkan bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan. Namun begitu SPR sebagaimana yang dijangkakan, telah bertindak sebagai HAKIM di Mahkamah degan meragui kesahihan surat perletakan jawatan kedua-dua ADUN berkenaan sekaligus menyatakan mereka berdua masih lagi sebagai ADUN yang sah, dan tidak perlu lagi diadakan pilihan raya kecil di kawasan ini.

Lantaran keputusan SPR itu, kedua-dua ADUN Behrang dan Changkat Jering telah terdorong pula untuk keluar daripada PKR, tetapi tidak menyertai UMNO. Diikuti pula ADUN Jelapang daripada DAP juga turut mengikuti jejak langkah Jamaludin dan Osman Jailu untuk menjadi ADUN Bebas. PKR bukan sahaja telah kehilangan 3 kerusi, bahkan DUN Bota yang masuk PKR sebelumnya, juga masuk semula ke dalam UMNO. Keadaan getir ini telah menyusutkan bilangan kerusi Pakatan Rakyat daripada 32 kerusi menjadi 28 kerusi sekarang ini.

UMNO/BN dilihat seri 28-28 dengan Pakatan Rakyat, tetapi 3 DUN Bebas yang melompat telah menyatakan sokongan kepada BN. MB Perak, Nizar Jamaludin sebelumnya pula telah menghadap ke Istana Kinta untuk memohon perkenan Paduka Seri Sultan Perak supaya DUN Perak dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya umum Negeri Perak diadakan untuk tujuan mendapatkan mandat rakyat.

Nizar kata dia masih MB Perak...tapi BONEKA kepada DAP?

Saya mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada sahabat saya Prof. Dr. Fithri yang terpanggil untuk memberikan komennya terhadap 'posting' saya di blog ini bertarikh 7 Februari 2009 yang bertajuk "Tengku Razaleigh kata Nizar masih Menteri Besar yang sah".
Saya berpendapat elok kita semua meneliti pandangan beliau, kerana pandangan itu boleh dijadikan iktibar untuk umat Melayu di Negeri Perak, terutama dalam menghadapi kemelut politik yang masih hangat ini. Sila baca dan mengamati pandangan beliau:-

"....Pandangan Ku Li..mungkin pandangan yang mungkin berbeza dari pandangan mengikut fakta undang undang tubuh negeri perak. Baiklah saya tidak mahu berdebat tentang KULI. saya nak beritahu perkara sebenar.
Pertama: Ketika Nizar dan exconya ingin membuat keputusan agar tanah milik kekal kepada orang cina di kg baru diberikan selama 999 tahun..beliau telah dititah menghadap Paduka Sultan dan Sultan Perak telah menasihatkan agar keputusan ini ditangguhkan. Maka Nizar menjawab kpd Sultan bahawa, "patik akan tangguhkan tuanku." bila balik ke pejabat diadakan meeting maka ngeh dan ngah dari DAP menyatakan.."buat apa dengar cakap sultan. Sultan bukan ada kuasa. kita yang memerintah. Sultan Perak tu tunggul saja.
Begitu biadab sekali si keparat Cina DAP ini. Yang menentang keputusan ngeh dan ngah ini adalah adalah Jamaluddin dari Behrang, Osman Jailu dari Changkat Jering dan Zulkifli..mereka bertiga mahu ianya diminitkan bahawa mereka tidak bersetuju dengan keputusan ini. Nizar kemudiannya membuat undian. sudah tentu undian DAP akan lebih banyak kerana exco nya lebih ramai termasuk exco dari pkr yang bukan islam. Ini yang telah berlaku.
Kedua: ngeh dan ngah sewaktu berceramah dalam bahasa cina di Ipoh mengatakan bahawa orang Melayu nie bodoh dan bangsa yang paling pemalas. Kita akan dibodoh-bodohkan mereka dan mengkudakan mereka.. (ini adalah intipati yang dikatakan oleh mereka ketika orang melayu yang boleh berhasa cina dtg mendengar ceramah mereka).


Gambar demonstrasi di Kuala Kangsar, 6 Februari 2009

Ketiga: Ketika di majlis mengangkat sumpah..orang orang PAS setelah sembahyang Jumaat, menghalang kereta Paduka Raja dan sanggup berbaring di atas jalan. Mereka sanggup baring ditengah jalan tidak membenarkan Paduka Raja dan Raja Muda masuk ke istana. Tidak seorng cina pun yang datang, baring atau membaling batu kepada Paduka Raja dan Raja Muda Perak. Yang membaling batu ke arah mereka dan juga exco-exco Melayu adalah orang pas yang kononnya Islam tetapi diperalatkan oleh orang Cina. Ada kereta yang pecah tingkap belakangnya.
Keempat: Seorang exco Cina DAP kata, kerajaan perak adalah kerajaan cina dan bukan melayu. Kita guna melayu saja untuk dpt apa yang kita boleh amik.
Kelima: Kontrak pembalakan di perak telah diberikan kepada org DAP. orang Melayu menganga sahaja.
Keenam: Orang cina hidupkan api kemarahan dan hasut orang melayu PAS untuk biadab dengan sultan, dan mereka tidak buat apa apa..sebab mereka sudah menyuruh orang Melayu pas yang kononnya Islam membuat penghinaan kepada sultan.
Ketujuh: Kenapa orang pas Melayu...yang kononnya Islam menghina sultan?
Kelapan: Sewaktu saya sembahyang Jumaat, ketika khatib membaca doa untuk kesejahteraan Sultan... orang Melayu pas, sepatutnya menadah tangan tetapi sebaliknya menelungkupkan tangannya. Islam apa yang diperjuangan oleh Pas jika doa untuk Sultan sudah tidak lagi ada adab.
Kesembilan: Ketika DAP, PAS dan PKR menang kerusi piliharanya, mereka menang bukan dari satu parti tetapi dari parti yang berbeza beza krn dalam udang undang tubuh negeri perak, kerajaan boleh ditubuhkan apabila satu parti telah memenangi piliharaya dengan jumlah yang majoriti. Jika kita lihat peruntukan perlembagaan ini nyata bahawa umno adalah parti yang menang paling banyak kerusi..tetapi kenapa umno tidak buat tuntutan itu? kerana UMNO akur akan keputusan piliharaya dan Sultan telah memperkenankan agar ketiga tiga parti pembangkang ini menubuhkan kerajaan. Ketika itu mereka bersorak dan mengatakan DAULAT TUANKU, TUANKU SULTAN YANG ADIL. SULTAN YANG BIJAKSANA SULTAN YANG ARIF UNDANG UNDANG.

Kini setelah BN telah berjaya mengambil semula Perak dan diperkenankan oleh Paduka Sultan, kenapa kini mereka menghin Sultan, mengejek dan mengutuk Sultan yang mereka sanjung dahulu? apakah bila Sultan buat keputusan menyebelahi mereka ketika itu baru nak sanjung dan bila Sultan sudah tidak lagi menyebelahi mereka mereka nak hina? ini adalah politik murahan dan pas sememangnya tidak layak dipanggil parti Islam kerana mereka sanggup di perkudakan oleh orang Cina DAP keparat itu.
Saya telah mengGerakkan KAMI iaitu Kesatuan Anak Anak Muda Islam Negeri Perak yang dinaungi oleh 13 NGO Islam Perak, telah membuat laporan polis ke atas Karpal Singh, Nizar, Ngeh dan Ngah dan bekas speaker dun perak atas kebiadaban serta tingkahlaku penghasutan kepada rakyat untuk menderhaka kepada Sultan Perak dan menghina perlembagaan undang-undang tubuh negeri Perak.
Untuk pengetahun umum, pagi tadi Nizar dan exconya telah bermesyuarat exconya di rumah MB perak, di situ Nizar telah membuat keputusan untuk meluluskan perpindahan hak milik kekal kepada 99 tahun kepada orang Cina yang mana akan di back datedkan. ini jelas menunjukkan salah menggunakan kuasa dan kita akan melaporkan kepada sprm untuk disiasat atas penyalahgunaan kuasa yang diberikan itu. Lagi pun keputusan itu tidak sah kerana beliau bukan lagi MB perak. Jika fakta ini diperolehi dalam masa terdekat saya bersama KAMI dan NGO yang lain akan membuat laporan polis dan lapuran kepada sprm. Apa yang berlaku di Perak sangat-sangat memberikan tamparan kepada saya dan orang Perak.
UMNO harus bersatu. Buangkan sifat tamak kuasa, perebutan kuasa yang tidak berkesudahan, permusuhan yang berpanjangan...buanglah. bersatulah kita kerana kaum lain mengambil kesempatan atas kelemahan kita ini di dalam UMNO. Banyak lagi yg mahu saya ceritakan tetapi biarlah setakat ini sahaja."
Nota:
Profesor Dr. Fihtri merupakan 'Setiausaha Politik' kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.

Saturday, February 7, 2009

Tengku Razaleigh kata Nizar masih MB Perak yang sah?

Ahli Parlimen BN Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Foto) berkata Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaludin masih Menteri Besar Perak yang sah di sisi undang-undang tubuh negeri Perak, sehinggalah beliau meletakkan jawatan atas kerelaannya sendiri, atau disingkirkan melalui usul undi tidak percaya pada persidangan Dewan Undangan Negeri.
“Usul pada DUN sahaja yang boleh menyingkirkan Nizar daripada jawatan itu, selain itu tak kiralah berapa banyak majlis angkat sumpah, lompat melompat, sidang akhbar dan perisytiharan, atau apa jua iklan, paparan, sogokan atau tindakan dibuat ke atas persoalan ini tidak terpakai,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
“Perlembagaan tiada memperuntukkan kuasa untuk menyingkirkan Nizar dengan apa cara sekalipun, termasuk petisyen atau arahan daripada sesiapa juapun.”
Beliau juga berkata, sebuah kerajaan yang sah daripada segi perlembagaan adalah yang diberi mandat oleh rakyat dan hanya mandat itu yang menentukannya. Mandat rakyat kerana kerajaan yang ditubuhkan adalah berasaskan perlembagaan, yang mana ia dipilih melalui pilihan raya yang adil dan saksama.
“Untuk menguji mandat berkenaan maka kerajaan yang memerintah, mesti sama ada menyerahkan kembali kepada rakyat untuk menentukannya melalui pilihan raya negeri ataupun melalui usul undi tidak percaya pada persidangan dewan undangan negeri,’ kata Tengku Razaleigh.
Beliau berkata, untuk menyingkirkan dan menubuhkan kerajaan baru dengan kaedah ataupun cara selain itu adalah bererti melanggar Perlembagaan, melanggari undang-undang dan risiko menubuhkan sebuah kerajaan haram.

Friday, February 6, 2009

Dr. Zambri Kadir MB Perak yang baru klon Anwar?

Terlebih dahulu diucapkan tahniah kepada Datuk Dr. Zambri Kadir, (foto) ADUN Pangkor yang dilihat oleh Pak Lah sesuai untuk diangkat menjadi Menteri Besar Perak yang baru setelah melepasi pelbagai helah dan halangan untuk merampas kuasa daripada kerajaan Pakatan Rakyat yang telah diberikan mandat secara majoriti oleh rakyat negeri berkenaan di dalam PRU12 yang lalu.

Datuk Dr. Zambri merupakan tokoh politik klon Anwarisme yang memiliki kelayakan yang lebih wibawa daripada Datuk Seri Tajol Rosli yang dilihat sebelum ini sebagai 'Lowbatt' sehingga UMNO ditolak oleh rakyat dengan menukar kerajaan kepada Parti Pakatan Rakyat. Datuk Seri Ir. Mohd. Nizar Jamaludin daripada PAS telah ditakdirkan terpilih menjadi Menteri Besar dari Pakatan Rakyat walaupun komposisi partinya agak kecil di Dewan Undangan Negeri Perak.

Nizar diangkat secara 'boneka' kerana undang-undang tubuh negeri Perak berkehendakkan seseorang Menteri Besar itu mestilah dari kalangan orang Melayu. Namun kerajaan yang dipilih rakyat itu hanya mampu bertahan 10 bulan sahaja setelah ianya diceroboh mengikut pintu belakang oleh UMNO, sehingga memaksa Paduka Seri Sultan Perak menitahkan Nizar meletakkan jawatannya serta merta berkuatkuasa semalam (5 Februari).

Hari ini Dr. Zambri sahabat baik Anwar Ibrahim akan dinobatkan sebagai MB Perak yang baru. Beliau pernah ditahan ISA ketika bergelut dengan pergolakan politik yang telah merebahkan Anwar dari takhta kerajaan pada masa itu. Beliau dikatakan tokoh yang dilonjakkan oleh Anwar dan sememangnya pada waktu itu Dr. Zambri bersama-sama dengan Zahid Hamidi, Saifudin Nasution (kini dalam PKR) dan beberapa tokoh yang lainnya begitu cenderung dan mirip bersimpati dengan Anwar yang telah dikonspirasikan sebegitu rupa.

Ketokohan Dr. Zambri tentunya turut dibanggai oleh Anwar, bahkan saya jua optimis bahawa Dr. Zambri mampu melakukan sentuhan yang lebih baik sekiranya beliau diberikan suntikan 'political power root' tanpa dikacau ganggu samada dari dalam mahupun dari luar partinya.

Menerajui negeri yang hanya mempunyai majoriti yang tipis, apatah lagi terdapat dua ADUN Bebas yang belum lagi menyertai UMNO yang hanya menunggu masa untuk diNyahkan akibat kes rasuah seksnya, termasuk seorang lagi ADUN Jelapang daripada DAP juga keluar daripada partinya, tetapi tidak menyertai MCA atau Gerakan, akan membuatkan kerajaan pimpinan Dr. Zambri terdedah dengan mara bahaya.