assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Saturday, September 6, 2008

UMNO dalam kemelut disuruh bersidang semula??

Adakah patut dalam suasana UMNO sedang dilanda kemelut dan menghadapi krisis kepercayaan akar umbi, tiba-tiba berlaku pencabulan untuk menyulitkan lagi urusan persidangan yang sudah selesai, sehingga terpaksa diarah bersidang semula, semata-mata terdorong untuk melayani aduan yang tidak berasas yang dibuat oleh kelompok tertentu yang tertewas semasa didakan pertanding merebut jawatan Ketua Cawangan.

Awaludin Zaharin yang menentang Ramli Jaafar (Gambar) sebagai Ketua Cawangan telah mengemukakan aduan dan bantahannya menerusi sepucuk suratnya bertarikh 13 Ogos 2008 yang dialamatkan kepada Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Setiausaha Agung UMNO.
Menghalang Ramli Jaafar

Di dalam aduannya itu, Awaludin juga telah meminta persidangan cawangan ini diadakan semula di pejabat UMNO Bahagian Setiawangsa dan undian hendaklah dijalankan secara sulit, manakala beliau dengan angkuhnya meminta Setiausaha Agung UMNO supaya menghalang Ramli Jaafar (Ketua Cawangan) dan Syed Abu Bakar Syed Ab. Rahman yang telah mempengerusikan persidangan lalu daripada menyertai persidangan yang hendak diadakan semula itu.

UMNO Cawangan Rumah Pangsa Setapak Jaya 1A merupakan salah satu cawangan di dalam Bahagian Setiawangsa yang diarahkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Majlis Tertinggi UMNO supaya mengadakan persidangannya semula yang akan dipantau sepenuhnya oleh UMNO Bahagian. Selain cawangan tersebut, UMNO Cawangan KLSC dan UMNO Cawangan Jalan Pahang juga turut diarah bersidang semula.

Ramli Jaafar semasa ditemui telah mengesahkan bahawa beliau telah menerima surat daripada Setiausaha UMNO Bahagian Setiawangsa yang memaklumkan arahan yang dibuat oleh Ibu Pejabat UMNO itu, dan UMNO Bahagian pula telah menetapkan 13 September yang akan datang ini sebagai tarikh untuk diadakan semula persidangan berkenaan.

Namun begitu, Ramli Jaafar enggan membuat ulasan samada beliau akan mengadakannya semula sebagaimana yang diarahkan. Sebagai Ketua Cawangan yang telah mendapat mandat semula oleh ahli-ahli di dalam persidangan yang diadakan pada 10 Ogos lalu, Ramli menyatakan rasa kesalnya di atas keputusan yang dibuat oleh Ibu Pejabat UMNO itu, kerana proses undian telah berjalan lancar dimana semua pihak telah menerima keputusan undian tersebut. Beliau percaya, seandainya keputusan memihak kepada Awaludin sudah tentu perkara yang diragukan itu tidak berbangkit.
Sudah kalah baru nak protes

Ramli Jaafar juga mempersoalkan kenapa perkara yang dibangkitkan itu tidak dikemukakan semasa diadakan persidangan itu? Oleh kerana perkara sedemikian tidak dibangkitkan sebelum diadakan pengundian, maka isu kesahihan persidangan ini sepatutnya tidak berbangkit lagi. Kenapakah rumah sudah siap pahat masih berbunyi? Mengapakah sudah kalah baru nak protes?

Persidangan tersebut yang juga disahkan oleh dua orang wakil Bahagian iaitu Sakandar Khan dan Azhar Kassim juga mencukupi korum dengan kehadiran 119 ahli daripada 355 ahli yang menjelaskan yurannya pada tahun ini.

Kehadiran tersebut jelas membuktikan betapa proses demokrasi telah berjalan dengan baiknya di hari persidangan tersebut, sekaligus menyaksikan pertandingan merebut jawatan ketua cawangan telah dapat berjalan secara 'gentleman' dan demokratik. Ramli Jaafar telah memenangi jawatan Ketua Cawangan ini dengan perolehan 62 undi, manakala Awaluddin Zaharin yang menentangnya telah memperolehi 54 undi.

UMNO dan BN tertiarap

Ketika saya menulis rencana ini, UMNO yang sudah memerintah 51 tahun dikatakan sedang diperhatikan oleh seluruh dunia akibat kemelut yang dihadapinya. Pilihan raya umum ke-12 yang lepas telah menyaksikan ramai calon-calon BN termasuk calon UMNO tertiarap, sehingga UMNO tidak mampu lagi bertahan di lima buah negeri termasuk juga di Wilayah Persekutuan, manakala di peringkat persekutuan pula BN kehilangan majoriti 2/3 di Dewan Rakyat.

Tun Dr. Mahathir Mohamad pemimpin agung UMNO yang lepas pula telah meminta Pak Lah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Keengganan Pak Lah untuk melepaskan jawatannya, telah mendorong Dr. Mahathir keluar daripada UMNO dan hanya akan kembali ke dalam UMNO jika Pak Lah tidak lagi menerajui UMNO dan kerajaan.

Mukhriz anak Tun Mahathir tidak ikut jejak langkah ayahnya, tetapi beliau secara konsisten telah menjelajah ke seluruh negara meminta supaya tekanan terus diasak supaya Pak Lah tidak lagi meneruskan egonya untuk memimpin UMNO dan juga kerajaan. Penulis sendiri pernah mengikuti ucapan-ucapan Mukhriz di beberapa tempat dimana beliau telah berhujah untuk menggesa Pak Lah meletakkan jawatannya.

Tengku Razaleigh Hamzah tokoh veteran UMNO dari Gua Musang yang pernah menentang Dr. Mahathir sebagai Presiden UMNO pada tahun 1987, juga sedang kuat mengasak kepimpinan Pak Lah dan telah mempertaruhkan dirinya sekali lagi untuk menjadi calon penyelamat menentang Pak Lah sebagai Presiden UMNO di dalam Perhimpunan Agung kali ini.

Siri lawatan dan pertemuan yang dilakukan oleh Pak Lah dan Najib ke seluruh negara juga kedengaran suara-suara lantang dari akar umbi yang mahukan UMNO melakukan perubahan drastik untuk memulihkan semula keyakinan rakyat yang dikatakan sudah muak dan jelak dengan gelagat pemimpin-pemimpin UMNO hari ini.

Gelombang Anwarisme

Gelombang 'Anwarisme' juga menjadi faktor yang kuat sehingga rakyat melihat karismatiknya lebih menonjol dan menenggelami Pak Lah yang dikatakan 'pemimpin lowbatt' masa kini. Sogokan 'Sumpah Laknat' Saiful Bukhari dan beberapa lafaz sumpah yang dibuat di Permatang Pauh, termasuk 'Sumpah Najib' yang tidak kenal 'Altantuya' juga telah memakan diri. Semacam serba tak kena segala strategi yang dirancang untuk mempengaruhi rakyat yang sudah meluatkan pemimpin UMNO.

Sedarlah, UMNO yang menerajui perjuangan kemerdekaan ini semakin ditolak dan amat dibimbangi akan dipusarakan akibat gelombang tsunami 'Anwarisme' yang dikatakan bakal meragut kekuasaan yang ada di tangan Pak Lah.

KJ beban kepada UMNO

Khairy Jamaludin (KJ) begitu optimis untuk kuburkan karier politik Anwar di Permatang Pauh, rupa-rupanya niat jahat itu kian menjadi faktor kepada kehancuran UMNO. KJ dikatakan menjadi 'beban' kepada UMNO sehingga rakyat marhain pun tahu bahawa KJ bertindak lebih sudu daripada senduk. Malang sungguh nasib UMNO, akibat nila setitik rosak susu sebelanga.

Nampaknya Pak Lah masih leka dengan laporan-laporan yang mengatakan UMNO semakin kuat. Pak Lah dilihat semakin terlena dengan sokongan yang diterimanya, yang hanya membawa rebahnya UMNO. Benarlah kebanyakan orang berkata bahawa Pak Lah masih mendengar maklumat dan nasihat daripada mereka yang telah menjadi beban kepada UMNO. Rintihan dan keluh kesah masyarakat akar umbi telah dimanipulasikan oleh juak-juak yang hanya pandai mengampu bodek untuk kepentingan tertentu sahaja.

Sindrom Minta Maaf

Ingatlah, ketuanan Melayu yang digembar gemburkan oleh UMNO hari ini telah diperlekehkan oleh komponen parti BN sendiri. MCA dan Gerakan kerap menggunakan isu ini untuk mencabar keperkasaan UMNO yang dilihatnya sedang dipimpin oleh pemimpin yang lemah. Mereka tidak berani mengangkat suara semasa zaman Dr. Mahathir, tetapi hari ini UMNO sedang berhadapan dengan sindrom takut dan sindrom meminta maaf apabila hendak bercakap mengenai entiti dan integriti kemelayuan.

Pemuda UMNO semakin lesu tidak bermaya. Ketuanya kini sedang asyik berkempen untuk bertanding Naib Presiden pula. KJ yang dikatakan akan menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pemuda dilihat semakin menjadi beban kepada UMNO. Begitu juga dengan Khir Toyo yang berminat untuk menjadi Ketua Pemuda, juga dikatakan berselaput dengan berbagai isu sehingga Selangor kehilangan kuasa daripada tangannya sendiri.

Musim pemilihan jawatan di dalam UMNO pada tahun ini dilihat bakal meranapkan lagi pendominasian UMNO untuk terus bertakhta. Cacian, cercaan, penghinaan dan segala rupa bentuk gelagat UMNO akan terpercik ke muka sendiri, kerana maruah UMNO dikatakan bakal ditelan zaman. UMNO hanya akan lenyap dengan kelakuan tidak senonoh pemimpin-pemimpinnya yang hanya mementingkan pangkat dan darjat sehingga lupa kapal akan pecah dan akan tenggelam bila-bila masa bersama-sama dengan kemegahannya selama ini.



Monday, September 1, 2008

Ramadhan Al-Mubarak juga Bulan Siyasiah (Politik)


Ketibaan Ramadhan Al-Mubarak pada tahun ini begitu syahdu sekali kedatangannya, kerana di negara kita Ramadhan tiba menjelangnya 1 September 2008, setelah seluruh rakyat Malaysia merayakan Hari Kemerdekaan Negara Yang Ke-51 pada 31 Ogos lepas.

Ramadhan bukan sekadar dihiasi dengan ibadah puasa untuk menahan diri daripada makan dan minum dan apa saja yang membatalkan puasa, malah Ramadhan juga merupakan Bulan Siyasiah yakni bulan politik, kerana di bulan ini jugalah hukum dan peraturan lengkap bagi manusia diperturunkan Allah kepada RasulNya Nabi Muhamad SAW.

Apabila saya memperkatakan bahawa bulan Ramadhan sebagai Bulan Siyasah bukan bermakna ianya mengharuskan UMNO bertelagah sesama sendiri, dan bukan juga membawa makna bulan puasa ini kita harus berlumba-lumba untuk berderma memancing undi dengan melupakan langsung golongan yang selayaknya menerima bantuan kebajikan.

Ramadhan juga sebenarnya membawa maksud 'Bulan Kebajikan' di mana di dalamnya ada zakat fitrah yang menjadi kewajipan untuk dilaksanakan setiap umat Islam. Di bulan yang mulia ini juga umat Islam digalakkan bersedekah sebagai melengkapi amalan ibadah puasa kita di siang hari.

Oleh yang demikian perbanyakkanlah juga amalan bersedakah kepada mereka yang memerlukannya. Kita harus insaf bahawa masih banyak lagi insan-insan yang perlu diberikan bantuan, kerana mereka juga berhak untuk merayakan hari kemenangan yakni Hari Raya Idulfitri setelah 30 hari berpuasa di sepanjang bulan Ramadhan

Para pakar tafsir dan hadis merekodkan, Allah juga menurunkan kitab-kitab dan suhuf iaitu kitab-kitab kecil selain Zabur, Taurat, Injil dan Al Quran kepada para rasul terdahulu pada bulan Ramadhan.

PERISTIWA BADAR


Perang Badar - Badar adalah nama tempat di sebuah lembah yang terletak di antara Madinah dan Mekah. Tentera Islam mengawal lokasi strategik dengan menguasai sumber air yang terdapat di situ.

Perang ini melibatkan tentera Islam seramai 313 anggota berhadapan dengan 1,000 anggota tentera musyrikin Mekah yang lengkap bersenjata. Dalam peperangan ini, tentera Islam memenangi pertempuran dengan 70 tentera musyrikin terbunuh, 70 lagi ditawan manakala bakinya melarikan diri.

Peperangan ini adalah suatu yang luar biasa apabila tentera Islam yang kurang jumlah, lemah daripada sudut kelengkapandan berpuasa dalam bulan Ramadhan memenangi pertempuran Perang Badar. Ini membuktikan puasa bukan penyebab umat Islam bersikap lemah dan malas sebaliknya berusaha demi mencapai keredhaan Allah. Orang yang berjuang demi mencapai kerdhaan Allah pasti mencapai kemenangan yang dijanjikan.

Allah menegaskan dalam Surah Ali ‘Imran ayat 123 hingga 125.

Sesungguhnya Allah menolong kamu dalam Perang badar, sedangkan pada masa itu kamu orang yang lemah. Sebab itu bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mensyukurinya.

ISLAM MEMBUKA KOTA MEKAH

Peristiwa ini berlaku pada 10 Ramadhan tahun ke-6 Hijrah. Peristiwa kemuncak ini berlaku apabila musyrikin Mekah melanggar perjanjian Hudaibiah yang termeterai dengan orang Islam. Antara kandungan perjanjian ini menyebut, setiap suku Arab boleh memilih sama ada menjadi sekutu Muhammad ataupun sekutu Quraisy. Kedua-dua pihak tidak boleh berperang dalam tempoh 10 tahun dan tidak boleh membantu pihak lain berperang. Malangnya, dalam suku-suku Arab yang bersekutu itu, ada golongan yang bertelagah iaitu Bani Bakar dan Khuza’ah. bani Bakar bersekutu dengan Quraisy Mekah manakala Khuza’ah memilih bersekutu dengan Nabi Muhammad. Pada satu malam, Bani Bakar dengan pertolongan Quraisy Mekah menyerang perkampungan suku Khuza’ah di lembah Watir. Apabila berita itu sampai ke pengetahuan Nabi Muhammad, beliau mengerahkan ratusan ribu umat Islam marake Mekah tanpa pengetahuan penduduk musyrikin Mekah. Beliau menolak sebarang rundingan dengan pihak Quraisy sehingga kemaraan umat Islam hanya diketahui apapbila hampir memasuki Kota Mekah. Penduduk musyrikin menjadi jumlah yang kecil tanpa sebarang persiapan hanya bersembunyi di bukit, rumah ibadat dan rumah Abu Sufian.

Akhirnya umat Islam memasuki kota Mekah tanpa sebarang pertumpahan darah. Peristiwa ini menggambarkan pertolongan Allah kepada hamba-hamba yang ikhlas kepadaNya. Allah menyebut dalam Al Quran Surah Al Fath ayat 1: Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata. Sebahagian pakar tafsir Al Quran memberi maksud ‘kemenangan’ sebagai kemenangan membuka Mekah.
Locengwangsa mengucapkan 'Ramadhan Kareem' kepada semua umat Islam negara ini, khususnya kepada warga tempatan di Wangsa Maju dan Setiawangsa. Mudah-mudahan kekuatan dan semangat yang terbentuk di sepanjang Ramadhan ini akan terus memperkukuhkan lagi perjuangan siyasiah kita untuk membela agama, bangsa dan juga negara.



Saturday, August 23, 2008

Berapa lama lagikah UMNO ini...?

Persoalan tentang berapa lama lagi UMNO akan mendominasi pemerintahan di negara ini harus dijawab oleh warga UMNO sendiri yang mendukungnya hari ini. Generasi hari ini hanya mewarisi perjuangan terdahulu, dan UMNO hari ini perlulah dipanjangkan hayatnya supaya terus menjadi wadah perjuangan kepada bangsa Melayu secara berterusan demi untuk mengekalkan kuasanya setelah kita berjaya melepasi belenggu penjajahan sejak 1511 lagi hinggalah kita dimerdekakan pada tahun 1957.

446 tahun bangsa kita dijajah dengan penuh kehinaan. Kedatangan portugis merentasi Selat Melaka pada tahun 1509 bukan hanya untuk berdagang, malah mereka mengetahuinya betapa bangsa Melayu yang menjadi tuan di nusantara ini boleh dibuli dan dibeli, bahkan mereka juga mengetahuinya bahawa kekuatan Empayar Melaka boleh diruntuhkan kerana di kalangan penguasa yang bertakhta pada masa itu sering bertikam sesama sendiri, akibat kelicikan adu domba dan budaya fitnah yang melilit pemikiran pembesar-pembesar negara.

Dato' Onn Jaafar, Pengasas UMNO

Patih Karma Wijaya begitu angkuh mempengaruhi Sultan yang memerintah Melaka supaya singkirkan Hang Tuah dengan pelbagai rencah fitnah yang disajikan kepada baginda Sultan dengan membuat tuduhan palsu sehingga Sultan mempercayainya, lalu Hang Tuah yang bersetia dengan Sultan selama ini dijatuhkan hukuman mati tanpa mendapat keadilan yang saksama.

Si Jebat yang mewarisi pusaka keris Taming Sari daripada Si Tuah, telah diperkenankan oleh Sultan menjalankan tugas-tugas sebagai Laksamana menggantikan Hang Tuah. Hang Tuah yang begitu setia dengan Sultan meminta Hang Jebat supaya bersabar dan mematuhi perintah Sultan yang telah menjatuhkan hukuman mati terhadapnya.

Hang Jebat menyinga kerana Abang Tuahnya difitnah, lalu bertekad akan membalas dendam walaupun terpaksa berhadapan dengan kuasa Sultan. Sultan yang termakan fitnah itu merasakan dirinya tidak selamat lagi, lalu memerintahkan Hang Kasturi, Hang Lekiu dan Hang Lekir supaya segera menghapuskan Hang Jebat. Usaha memaksa mereka berlawan dengan Jebat tidak berhasil, kerana Jebat terlalu handal bermain senjata.

Pembelaan Si Jebat terhadap saudaranya Hang Tuah tidak dapat diterima oleh Tuah yang telah dikembalikan kepada baginda Sultan. Kesetiaan Hang Tuah kepada Raja telah mendorong dirinya untuk menghapuskan Hang Jebat yang membelanya. Akhirnya Tuah dan Jebat bertikam sesama sendiri, sedangkan mereka berdua seperguruan dengan Adi Putra. Hang Tuah dipuji oleh Sultan kerana berjaya membunuh musuh Sultan yang sedang membelanya.

Demikianlah malangnya satira kepahlawanan Melayu yang memaparkan sikap berkawan yang tidak kekal lama malah kelihatan rapuh sehingga sanggup berkorban apa saja walaupun yang di korbankan itu adalah kawan sendiri.

Meludah

Hendaknya UMNO tidak terjadi sedemikian, kerana kuasa yang ada sekarang ini akan menjadi punah sekiranya UMNO tidak dapat diperkasakan lagi. Percakaran sesama sendiri hanya untuk merebut jawatan, dilihat tidak membawa keuntungan kepada parti, sebaliknya parti bakal menjadi retak sehingga menjadi rebah di bumi sendiri. Perlembagaan UMNO sememangnya membenarkan proses demokrasi bagi memilih pemimpin, tetapi bukannya mengangkat seseorang pemimpin dengan 'meludah' orang lain yang tidak sekutu dengan pilihan kita.

Pertaruhan memilih pemimpin UMNO dewasa ini telah banyak ternoda dengan 'unsur rasuah' yang menghakiskan nilai dinamisme yang berteraskan kepada kewibawaan memikul tanggungjawab. Rakyat akar umbi tidak terasa aura pemimpin jenis ini, kerana dia dipilih hanya untuk menjaga kepentingan dirinya sendiri bersama-sama dengan kroni di sekelilingnya.

Malang sungguh nasib UMNO, kerana jati diri memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan negara semakin terketepi. Banyak isu maruah bangsa yang tidak berkesampaian untuk dibela oleh penguasa-penguasa di dalam UMNO. Mereka semakin dibenci rakyat sehingga UMNO turut menjadi alergik.

Bahasa Ibunda

Isu pendidikan anak bangsa terus dipersendakan sehingga UMNO terlupa untuk memartabatkan 'Bahasa Ibunda' kerana penguasa UMNO terpengaruh dengan sentimen globalisasi yang malu untuk meletakkan Bahasa Melayu terus bersaing di persada antarabangsa. Bahasa pusaka bangsa kita semakin ditenggelami akibat kealpaan UMNO untuk menyelamatkannya. Rupa-rupanya keris yang dikucup hanya sandiwara yang memalukan bangsa Melayu, kerana akhirnya pemegang keris berkenaan pancit di tengah jalan lalu minta maaf kerana dikatakan menyinggung bangsa lain di negara ini.

Isu ekonomi juga semakin dipersendakan, kerana UMNO dilihat begitu lemah untuk mengangkat taraf ekonomi anak bangsa yang memerlukan pembelaan. Pelbagai dasar ekonomi dicetuskan, tapi ianya turut tenggelam di tengah lautan kerakusan penguasa yang dilihat melonggokkan kekayaan kepada dinasti tertentu, dan masyarakat marhain terus dibebankan dengan kenaikan harga barang yang tidak dirasai oleh mereka yang kaya raya ini.

Pemuda UMNO hari ini tidak senyaring Pemuda UMNO dahulu. Pemuda UMNO dahulu sering terkehadapan untuk menjadi pembela bangsa sehingga segala dasar yang dicipta terpaksa berhadapan dengan pelbagai soalan daripada Pemuda UMNO. Pemimpin Pemuda dahulu sanggup dipenjarakan jika itulah yang dipertaruhkan untuk menegakkan martabat dan harakat agenda Melayu.

Singa Sarkis

Pemuda UMNO hari ini bercakap 'tidak serupa bikin' kerana perjuangan mereka tidak lagi bersalutkan keinsafan, sebaliknya mereka terdorong untuk bersekongkol dengan dasar-dasar yang begitu longgar yang menjerumuskan bangsa Melayu sebagai bangsa pinggiran. Zaman Syed Jaafar Albar yang dikenali sebagai 'Singa UMNO' telah meletakkan Pemuda UMNO sentiasa 'mengaum' tetapi kini suara Pemuda UMNO hanya menjadi 'Singa Sarkis'.

Pemuda UMNO di zaman Dato' Senu pula yang berslogankan 'Tahan Lasak' telah meletakkan maruah Pemuda UMNO sebagai benteng pertahanan yang sukar digugat, malah sentiasa siap siaga untuk menyerang jika bangsa Melayu disinggung.

Dato' Harun Wira Melayu

Sementara itu, Pemuda UMNO dalam era Dato' Harun Idris menjadi lebih berbisa tampak kelibat kepahlawanannya. Pemuda UMNO menjadi 'kumpulan pendesak' di samping menjadi pelopor kepada pembangunan negara. Dato' Harun Idris lagenda pemuda UMNO dijulang sebagai 'Wira Melayu' kerana berani menampilkan kejantanan Pemuda UMNO. Beliau dipenjarakan, tetapi semangat perjuagannya tidak terpenjara.

Pemuda UMNO di zaman Haji Suhaimi Kamarudin terkenal dengan slogan 'Era Bertindak' terus menyambung perjuangan Syed Jaafar Albar yang tidak lama menerajui Pemuda UMNO kerana telah meninggal dunia, dan Haji Suhaimi dilihat berjaya menampilkan tokoh-tokoh Pemuda yang digeruni seperti Kadir Sheikh Fadzir, Megat Junid, Rahim Thamby Chik, Isa Samad, Mokhtar Hashim, Najib Tun Razak, Tamrin Ghafar, Ajib Ahmad, Dusuki Ahmad dan ramai lagi yang kini telah menjadi veteran UMNO.

Penulis sendiri (Abdul Rahman Hashim), muncul di zaman ini iaitu pada tahun 1979 menjadi Pen. Setiausaha Pemuda UMNO Bahagian Damansara (Kini Lembah Pantai). Ketua Pemuda Bahagian saya ketika itu ialah Zainuddin Bendahara (Allahyarham), manakala Dato' Halim Samad ketika itu menjadi Ketua Pemuda Bahagian Setapak merangkap Ketua Badan Perhubungan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan.

Penggerak Zaman

Perjuangan Pemuda terus berkesinambungan dengan gagah perkasa apabila Anwar Ibrahim menerajuinya pada tahun 1982 dengan membawa slogan 'Pemuda Penggerak Zaman'. Beliau bergandingan dengan Dato' Sri Najib sebagai Naib Ketua Pemuda dan sebaris dengan barisan exconya ketika itu seperti Muhyidin Yasin, Suleiman Mohamed, Megat Junid, Fahmi Ibrahim, Ibrahim Ali, Dusuki Ahmad, Awang Jabar, Tamrin Ghafar, Nazri Aziz, Mazlan Harun, Mazlan Idris, Zahid Hamidi dan saya sendiri turut terlibat sebagai 'Setiausaha Biro Dakwah' Pemuda UMNO Malaysia.

Pemuda UMNO ketika itu semakin disegani dan digeruni, kerana iltizam perjuangan kami dalam Pemuda UMNO telah diterapkan dengan nilai perjuangan membela agama, bangsa dann juga negara. Pemuda UMNO cukup terlatih dengan ketahanan mental dan fizikalnya. Dato' Najib telah berjaya pula mewarisi kepimpinan Pemuda UMNO selepas Anwar, diikuti pula dengan era Rahim Thamby Chik, Zahid Hamidi dan kini Hishammuddin.

Walaupun kepimpinan Pemuda UMNO dilihat dengan pelbagai gayanya, tetapi Pemuda UMNO hari ini dilihat begitu 'lowbatt' dan seolah-olah tidak cukup vitamin untuk menggerakkan jiwa bangsa yang semakin tertekan ini.

UMNO mestilah diperkasakan. UMNO mesti dijiwai dengan sekuat hatinya. UMNO jangan gentar untuk memperkatakan yang benar walaupun pahit untuk ditelan. UMNO mesti teruskan semangat kemerdekaan agar negara tidak dijajah lagi dengan elemen pemikiran yang terjajah. Semua isu yang berbangkit hari ini hendaklah menjurus kepada perjuangan jati diri Melayu yang yang menjadi tonggak kepada perjuangan UMNO. Islam hendaklah terus dipertahankan kemuliaannya. Akhlak pemimpin patut dijadikan contoh dan teladan, bukannya dipersendakan sehingga dipandang jijik oleh rakyat.

UMNO hari ini tidak mahu pemimpin yang lemah, pemimpin yang tidak berjiwa rakyat, pemimpin korup, pemimpin yang bergelut dengan masalah moral dan kita sebenarnya mahukan UMNO yang bercita rasa rakyat, bergelut demi membela rakyat, bijak mengemudi bahtera, dan yang maha penting ialah mampu berktrampilan sebagai 'Pejuang Melayu' yang berpandangan jauh setara dengan pemikiran MAHATHIR yang berjaya melonjakkan Malaysia di persada dunia.


Wednesday, August 20, 2008

UMNO Bahagian Setiawangsa: Lima cawangan diarah bersidang semula?


Lima cawangan
di Bahagian Setiawangsa dikatakan akan bersidang semula pada 30 Ogos ini di atas sebab-sebab teknikal yang dihadapinya. Difahamkan Jawatankuasa Pengurusan UMNO Bahagian Setiawangsa yang bermesyuarat kelmarin telah memutuskan perkara ini dan akan mengarahkan UMNO Cawangan Setapak Jaya 1A, UMNO Cawangan KLSC, UMNO Cawangan Jalan Air Madu, UMNO Cawangan Jalan Pahang dan UMNO Cawangan Taman Setapak Permai supaya mengadakan semula persidangan masing-masing; dan difahamkan juga bahawa persidangan tersebut akan diadakan serentak pada 30 Ogos yang akan datang, di pejabat UMNO Bahagian Setiawangsa.

Aduan Ahli

Sebelum ini cawangan-cawangan yang berkaitan itu dikatakan telah menghadapi tindakan protes daripada ahli-ahli yang tidak berpuas hati di atas perjalanan persidangan yang dijalankan, dan Jawatankuasa Pengurusan UMNO Bahagian setelah meneliti segala aduan yang dikemukakan itu, telah mendapati ada kes-kes tertentu yang menyebabkan persidangan ini harus diadakan semula.

Sehingga berita ini ditulis, saya belum memperolehi sumber maklumat yang jelas untuk mengesahkan perkara seumpama ini. Namun demikian maklumat awal telah saya perolehinya sejak tengahari kelmarin yang menyebut terdapat tujuh cawangan yang dikatakan akan diarah bersidang semula, tetapi maklumat ini telah berubah dengan menyebutkan hanya terdapat tiga cawangan sahaja yang kemungkinan terlibat.

Jawatankuasa Pengurusan

Akhirnya ketetapan telah diambil oleh Jawatankuasa Pengurusan yang bersidang malam kelmarin dengan memuktamadkan bahawa terdapat lima cawangan sahaja yang terbabit dengan arahan ini. Mesyuarat pengurusan UMNO Bahagian Setiawangsa yang memutuskan perkara ini telah dipengerusikan sendiri oleh Dato' Sri Zulhasnan Rafique, yang turut dihadiri oleh Timbalannya Dato' Halim Samad serta sebahagian besar Pegawai-Pegawai Kanan UMNO Bahagian, termasuk Dato' Ahmad Fauzi Zahari selaku Bendahari Bahagian.

Lazimnya jawatankuasa pengurusan ini akan dianggotai oleh Ketua Bahagian, Timbalan Ketua, Naib Ketua, Ketua Pemuda, Ketua Wanita, Ketua Puteri, Setiausaha Bahagian, Ketua Penerangan dan juga Bendahari. Jawatankasa ini akan bersidang untuk memutuskan segala permasalahan yang bebangkit berkaitan dengan perjalanan persidangan cawangan-cawangan. Semua aduan yang berkaitan akan dikemukakan kepada jawatankuasa ini untuk diteliti dan diambil tindakan yang bersesuaian dengan kes-kes yang berbangkit itu.

Sementara itu, difahamkan Setiausaha UMNO Bahagian akan menghantar surat resmi kepada semua Ketua UMNO Cawangan yang berkenaan pada hari ini bagi memaklumkan keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa pengurusan UMNO Bahagian ini.

Persoalan samada Ketua-Ketua Cawangan yang terbabit ini telah dipanggil untuk memberikan keterangan balas masing-masing sebelum membuat keputusan sedemikian juga belum dapat dipastikan. Sudah tentu Ketua-Ketua Cawangan ini mempunyai keterangannya sendiri untuk didengar dan diteliti oleh Jawatankuasa Pengurusan sebagai penjelasan terhadap aduan yang dikemukakan oleh ahli-ahli yang membuat aduan.

Tidak Berpuas Hati

Jika setiap aduan yang diterima tanpa mendapatkan penjelasan kukuh daripada yang diadu, pastinya akan mengundang ketidakpuasan hati Ketua-Ketua Cawangan tersebut, dan mereka merasakan keputusan yang diambil oleh Jawatankuasa Pengurusan itu sebagai berat sebelah.

Apa pun diharapkan agar permasalahan seperti ini tidak mengundang kepada masalah yang lebih berat yang akan dihadapi oleh UMNO selepas ini. Sepatutnya menerusi musim persidangan yang diadakan sekarang ini, UMNO perlu diperkukuhkan dan seharusnya kita bijak untuk membawa hala tuju supaya UMNO sentiasa di hati rayat, dan bukannya diperlemahkan dengan isu-isu kecil yang boleh menimbulkan persengketaan sesama sendiri.

Kupasan selanjutnya bakal menyusul...


Monday, August 18, 2008

Zulhasnan tiada tandingan, Shuib dahului 24 pencalonan Timbalan Ketua Bahagian, Halim pula 20 pencalonan.

Setelah 46 cawangan yang telah bersidang sehingga 17 Ogos lalu, jelas terbukti kekuatan Zulhasnan Rafique mendominasi pencalonan jawatan Ketua Bahagian Setiawangsa. Setakat ini dua cawangan sahaja lagi yang belum menyempurnakan persidangannya, dan dijangkakan UMNO Cawangan Dataran Sg. Bonus akan bersidang pada Rabu ini, 20 Ogos 2008 juga akan mengekalkan Dato' Sri Zulhasnan Rafique sebagai Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa untuk musm ini.

Sementara itu bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian, penyandangnya Dato' Halim Samad yang disebut-sebut akan memperolehi 27 pencalonan, tetapi hanya dicalonkan oleh 20 buah cawangan sahaja. Manakala, Shuib Ibrahim yang pernah membantu Halim memenangi jawatan ini pada musim lalu, telah melonjakkan jumlah pencalonannya untuk menentang Dato' Halim Samad dengan memperolehi 24 pencalonan kesemuanya.


Pak Ngah Bakar bersedia calonkan Shuib

Hampir pasti Shuib akan memperolehi satu lagi pencalonan terakhir untuknya menjadikan 25 pencalonan yang bakal diterimanya. Cawangan berkenaan yang akan mencalonkan beliau nanti ialah UMNO Cawangan Dataran Sg. Bonus yang diketuai oleh Abu Bakar Ismail (Gambar). Beliau yang ditemui baru-baru ini telah menyatakan kesediaannya untuk mencalonkan Shuib menentang Dato' Halim Samad bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian.

Seorang lagi calon yang hanya mendapat dua pencalonan bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian ialah Dato' Izudin Ishak yang dilihat kehampaan untuk menerjah kelayakan bertanding bagi jawatan nombor dua itu. Sebaliknya beliau hanya akan menumpukan cabaran untuk bertanding bagi jawatan Naib Ketua Bahagian bersama-sama dengan 4 calon lain yang juga layak bertanding.

Empat calon lain yang telah bersiap sedia itu ialah Kapten (B) Rafli Jusoh (Penyandang), Dato' Ahmad Fauzi Zahari, Ahmad Yamin Dato' Rahim dan Zainal Tan Sri Mahmud. Namun begitu difahamkan penyandang jawatan ini Kapten (B) Rafli Jusoh akan menarik diri dari sirkit pertandingan di musim ini untuk menumpukan sokongannya kepada Izudin Ishak yang dikatakan mendapat restu daripada UMNO Cawangan Seksyen 5 Wangsa Maju.

Zainal Tan Sri Mahmud pula telah memperolehi pencalonan yang mencukupi minggu ini, kerana tiga cawangan yang bersidang pada 16 & 17 Ogos lalu telah mencalonkan dirinya bagi jawatan Naib Ketua Bahagian. Tiga cawangan tersebut ialah UMNO Cawangan Bukit Wangsa, UMNO Cawangan Bukit Setiawangsa, iaitu cawangannya sendiri dan UMNO Cawangan Kg. Semarak. Sebelum ini terdapat dua cawangan telah memberikan perncalonan kepada beliau iaitu daripada Cawangan Seksyen 10 Wangsa Maju dan juga UMNO Cawangan Kelumpuk Bunga Raya.

Sehingga ini, Dato' Fauzi yang mendapat 18 pencalonan merupakan calon yang telah mendahului dari segi jumlah pencalonannya, jika dibandingkan dengan Ahmad Yamin yang memperolehi 10 pencalonan, diikuti dengan Dato' Izudin Ishak yang mendapat 9 pencalonan, Zainal Tan Sri Mahmud 5 pencalonan dan juga Kapten (B) Rafli Jusoh yang mendapat 5 pencalonan.


Sokongan merudum

Sementara itu, Dato' Ahmad Fauzi tidak lagi berada dalam kedudukan selesa, kerana beliau dikatakan terpaksa menerima kesan tempias penolakan beberapa cawangan yang dahulunya menyokong Dato' Halim Samad sebagai Timbalan Ketua Bahagian, tetapi tidak di musim ini. Sokongan merudum yang diterima oleh Halim di penghujung musim persidangan cawangan kali ini juga menyaksikan gandingan rapuh mereka berdua.

Dalam artikata lain Dato' Fauzi tidak boleh terlalu mengharap dengan gerak kerja yang dilakukan oleh pecacai-pecacai Dato' Halim yang juga dilihat cenderong menyokong calon-calon tertentu di peringkat Naib Ketua Bahagian. Begitu juga kemunculan Zainal Mahmud dan Dato' Izudin yang akan bertanding bagi jawatan ini juga dikatakan bakal meragut banyak jumlah undi yang sepatutnya diperolehi oleh Dato' Fauzi.

Kesan yang sama juga bakal dialami oleh Dato' Halim Samad yang akan ditentang oleh Shuib Ibrahim bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian. Dato' Halim Samad dilihat tidak boleh terlalu bergantung dengan pengaruh Dato' Fauzi yang dilihat semakin tohor. Dato' Fauzi juga dikatakan terpaksa berhempas pulas untuk melepasi halangan yang dihadapinya daripada terus memikirkan kedudukan Dato' Halim yang terus merudum.


Kak Ani bakal ditentang

Faktor Pergerakan Wanita, Pemuda dan juga Puteri juga dilihat saling mempengaruhi apabila memperkatakan kehangatan pertandingan di peringkat Timbalan Ketua Bahagian. Faktor Kak Ani dilihat lebih cenderong kepada Dato' Halim juga memberikan impak kepada mereka yang bertanding Timbalan Ketua Bahagian.

Kak Ani yang sebelum ini tidak pernah menghadapi tentangan, tetapi kali ini beliau menjadi cacing kepanasan apabila Raihana telah mencukupi pencalonan untuk menentang Ani, dan Raihana pula dikatakan calon proksi kepada Shuib Ibrahim yang bertanding jawatan Timbalan Ketua Bahagian.


Dato' Halim berang Wani sokong Shuib

Bagitu juga dengan Pergerakan Puteri, Dato' Halim Samad dilihat begitu berang kerana Seri Wani yang mendahului pencalonan Ketua Puteri dikatakan lebih mirip menyokong Shuib Ibrahim untuk menentang Dato' Halim Samad bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian. Siti Fatimah pula yang diharapkan untuk menjadi orang kuat Dato' Halim Samad kini berjaya melepasi kelayakan apabila memperolehi 3 pencalonan untuk menentang Seri Wani bagi jawatan Ketua Puteri Bahagian.

Lebih mengelirukan Dato' Halim apabila Cawangan Kelumpuk Bunga Raya mencalonkan Siti Fatimah sebagai Ketua Puteri Bahagian, sedangkan Ketua Cawangan ini Rosli Mohammad dikatakan tidak begitu berminat untuk menyokong Dato' Halim Samad bertandiing jawatan Timbalan Ketua Bahagian. Tentunya ada muslihat disebalik pencalonan cawangan ini terhadap Siti Fatimah yang kini dilihat semakin cenderong untuk menyokong Shuib Ibrahim. Seri Wani yang dilihat semakin dominan mengetuai Pergerakan Puteri dituduh pula sebagai P'ro Halim' supaya Wani dipinggirkan dari kelompok Pro Shuib.

Sunday, August 17, 2008

Tiga muka baru ketuai Wanita, Pemuda dan Puteri Bukit Wangsa.

Tiga muka baru telah dipilih mengetuai Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Cawangan Bukit Wangsa. Zaiton Baba (gambar) sebelum ini Naib Ketua Wanita Cawangan telah dipilih sebulat suara sebagai Ketua Wanita Cawangan yang baru menggantikan Normah Haji Ismail yang tidak hadir di dalam persidangan cawangan berkenaan pada Sabtu, 16 Ogos kelmarin.
Sementara itu seorang lagi muka baru, Mohd. Kama Renzi Abdul Rahman telah dipilih mengetuai Pergerakan Pemuda cawangan ini menggantikan Ahmad Jamil Gazali yang telah melepasi usia Pemuda. Begitu juga dengan Pergerakan Puterinya dimana Sarah Hanis Abdul Rahman (gambar kanan) telah dipilih mengetuai Pergerakan ini bagi menggantikan Arina Mohamed yang tidak menghadirkan diri di dalam persidangan kali ini.

Di dalam perkembangan yang lainnya, Abdul Rahman Hashim telah berjaya mengekalkan kedudukannya dengan menang tanpa bertanding mengetuai semula UMNO Cawangan Bukit Wangsa yang telah disandangnya sejak tahun 1995. Bagi jawatan Timbalan Ketua, Mohamad Haji Ibrahim juga telah dipilih sebulat suara untuk menyandang jawatan ini.


Abdul Rahman Hashim

Persidangan cawangan ini juga telah mencalonkan Dato' Sri Zulhasnan Rafique sebagai Ketua Bahagian Setiawangsa, Shuib Ibrahim sebagai Timbalan Ketua Bahagian dan juga Zainal Tan Sri Mahmud sebagai Naib Ketua Bahagian.

Manakala Raihana, Ghazali Mohamad dan Seri Wani Sabtu masing-masing telah dicalonkan sebagai Ketua Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Setiawangsa.


Norsiah Ketuai Cawangan KLSC...



Norsiah Kamaruddin, 49 (gambar) telah membuat kejutan apabila telah dinobatkan sebagai Ketua UMNO Cawangan KLSC yang baru, sekaligus melenyapkan peluang Profesor Dr. Zainul Fitri yang memangku jawatan ini untuk diangkat menjadi Ketua Cawangan. UMNO Cawangan KLSC telah bersidang pada pagi hari sabtu yang lalu (16 Ogos) yang diadakan di pejabat UMNO Bahagian Setiawangsa.

Norsiah juga dikatakan sedang hebat berkempen untuk menyertai pertandingan merebut jawatan Naib Ketua Wanita Bahagian di musim ini. Beliau yang akan bergandingan dengan Raihana yang akan bertanding jawatan Ketua Wanita Bahagian bakal bersaing dengan Hajah Normah Awang dari cawangan Jalan Air Jernih yang juga menawarkan diri untuk bertanding Naib Ketua Wanita Bahagian.

Di dalam persidangan ini UMNO Cawangan KLSC telah mencalonkan Dato' Sri Zulhasnan Rafique sebagai Ketua Bahagian, Shuib Ibrahim sebagai Timbalan Ketua Bahagian, manakala bagi jawatan Naib Ketua Bahagian pula, nama Dato' Izudin Ishak telah berjaya dicalonkan oleh cawangan ini.

Locengwangsa: Saya (Abdul Rahman Hashim) mengucapkan jutaan terima kasih kepada Cawangan KLSC yang telah mencalonkan saya untuk G7 dan AJK UMNO Bahagian Setiawangsa.


Cawangan Jalan Semarak & Rampai Town
juga calonkan Shuib sebagai
Timbalan Ketua Bahagian

UMNO Cawangan Jalan Semarak yang diketuai oleh Mohd. Rawi Hashim dan UMNO Cawangan Rampai Town yang diketuai Ahmad Yahya Yaakob, telah bersepakat mencalonkan Shuib Ibrahim sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa. Kedua-dua cawangan ini telah mengadakan persidangannya masing-masing pada hari Sabtu (16 Ogos), 8.30 malam.

Namun begitu pencalonan bagi jawatan Naib Ketua Bahagian telah menampakkan perbezaan kecenderungan masing-masing. Cawangan Jalan Semarak mencalonkan Dato' Izudin Ishak, manakala Cawangan Rampai Town pula telah mencalonkan Ahmad Yamin Dato' Rahim.

Sementara itu, UMNO Cawangan AU5D Lembah Keramat yang bersidang pada khamis lalu juga telah mencalonkan Shuib sebagai Timbalan Ketua Bahagian dan juga mencalonkan Dato' Izudin Ishak bagi jawatan Naib Ketua Bahagian. Zainal Tan Sri Mahmud yang mempunyai hubungan yang rapat dengan Ketua Cawangan ini, dikatakan hampa untuk mendapatkan pencalonan Naib Ketua Bahagian daripada Muner Nasution (gambar). Difahamkan Muner sebelum ini begitu cenderung untuk mencalonkan Zainal Tan Sri Mahmud bagi jawatan ini.

Langit memang tidak sentiasa cerah...oleh kerana mendong mengarak awan yang mengakibatkan hujan lebat, maka janji awal Muner kepada Zainal Tan SriMahmud telah termungkir. Zainal Tan Sri Mahmud mungkin terubat kehampaannya setelah UMNO Cawangan Bukit Wangsa mencalonkan beliau sebagai Naib Ketua Bahagian. Sehingga berita ini ditulis, Zainal Tan Sri Mahmud telah memperolehi tiga pencalonan untuk jawatan Naib Ketua Bahagian, dan beliau dikatakan akan memperolehi kelayakan minggu ini untuk menambahkan lagi dua pencalonan yang dikehendakinya.


(Berita selanjutnya bakal menyusul.....)

Friday, August 15, 2008

Ketua Puteri Setiawangsa: Seri Wani ditentang Siti Fatimah

Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Setiawangsa tidak terkecuali daripada bahang kehangatan merebut jawatan nombor satunya, apabila Seri Wani Sabtu (gambar di sebelah), Naib Ketua Puteri Bahagian ini yang dilihat mendominasi pencalonan bagi jawatan Ketua Puteri Bahagian, kini terpaksa menghadapi cabaran yang bakal disaingi oleh Pen. Setiausaha Pergerakan tersebut, Siti Fatimah Amir.

Seri Wani yang begitu bergaya dengan 14 pencalonan yang diperolehinya sebelum ini telah dikejutkan dengan kehadiran Siti Fatimah yang juga Ketua Puteri Cawangan Taman Setiawangsa Fasa Satu secara tiba-tiba, setelah dirinya berjaya mendapat dua pencalonan daripada Puteri UMNO Cawangan Kelumpuk Bunga Raya yang bersidang pada 9 Ogos lalu dan satu lagi pencalonan daripada cawangannya sendiri yang bersidang pada 10 Ogos lalu.

Seri Wani menjangkakan dirinya akan dicalonkan sebagai Ketua Puteri oleh Puteri Cawangan Kelumpuk Bunga Raya, tetapi telah berlaku pula pertukaran di saat-saat akhir, di mana cawangan tersebut telah mencalonkan nama Siti Fatimah untuk menyertai saingan ini. Mengesahkan lagi penyertaan Siti Norfatimah ialah setelah dirinya memperolehi kelayakan dua pencalonan daripada cawangan sendiri.

Keresahan mulai timbul di wajah Seri Wani yang mengharapkan dirinya tidak menghadapi sebarang tentangan untuk beliau menggantikan Roziana yang akan berpindah ke alam Wanita UMNO. Walaupun bilangan cawangan yang masih berbaki bakal menampilkan sokongan kepadanya namun dua pencalonan yang diterima oleh Siti Fatimah itu dikatakan telah melayakkan dirinya untuk menentang Seri Wani.

Sebelum ini Pergerakan Pemuda dan Wanita Bahagian Setiawangsa juga dilihat terjebak dengan perebutan jawatan Ketua masing-masing. Anggapan menyatakan bahawa Pergerakan Puteri Setiawangsa tidak mudah diperkotak katikkan oleh pencatur politik untuk kepentingan kabilah-kabilah tertentu, kini hampir menjadi kenyataan.

Walaupun frequency ini bukanlah menggambarkan suatu perpecahan akan berlaku di dalam Pergerakan Puteri, namun jika ia tidak dibendung aliran politik ini akan memerangkapkan wadah perjuangan Pergerakan Puteri menjadi 'tidak suci lagi'. Idealisme perjuangan untuk menawan hati generasi muda supaya menyertai UMNO akan menjarakkan lagi minatnya untuk berbuat demikian.

Kemungkinan mereka ini betambah jelik untuk terlibat dalam persengketaan politik merebut jawatan sehingga menghalalkan fitnah untuk memalukan pihak tertentu yang tidak sekandang dengannya. Budaya percambahan minda untuk segarkan UMNO, kemungkinan tidak lagi popular mengisi agenda perjuangan Puteri. Janganlah hendaknya arena Puteri ini dicemarkan dengan unsur-unsur yang tidak mencerminkan akal budi yang sihat.

Kita juga bimbang penyertaan golongan ini dalam Pergerakan Puteri akan menyongsangkan mentaliti mereka terhadap UMNO, kerana mereka menjadi keliru melihat gelagat 'pakcik-pakcik' dan 'makcik-makcik' di dalam UMNO yang bercakaran sesama sendiri sehingga lupa untuk menjadi teladan kepada generasi baru di dalam UMNO.

Diharapkan siapa juga yang meneraju Pergerakan Puteri di Bahagian ini agar dapat mengambil iktibar daripada pergelutan merebut jawatan yang berlaku sekarang ini. Pergerakan Puteri seharusnya fokus kepada objektif asalnya iaitu untuk mendorong dan mendidik generasi muda supaya terlibat di dalam gerak kerja kemasyarakatan untuk perkukuhkan politik UMNO, demi survival bangsa, agama dan negara.