assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Sunday, March 4, 2012

SIAPA CALON BN DI WANGSA MAJU, UMNO ATAU MCA?

Dato' Dr. Mohd. Shafei Abdullah, Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju
dilihat lebih winnable menjadi calon BN Wangsa Maju kali ini.

Oleh Abdul Rahman Hashim

Insya Allah, pada malam ini (4 Mac 2012) gerakan menyuntik semangat memperkasakan Barisan Nasional di hati rakyat akan diteruskan di kawasan Parlimen Wangsa Maju. Saya sendiri telah dijemput untuk bersemuka dengan pengundi akar umbi di situ untuk menyampaikan ceramah politik secara bergandingan dengan penceramah daripada Parti Gerakan dan juga MIC.
Sudah tentu Dato' Dr. Mohd. Shafei Abdullah, Pengerusi BN Wangsa Maju yang juga Ketua UMNO Bahagian di situ mengharapkan sesuatu yang boleh membangkitkan kesedaran rakyat untuk melakukan transformasi merobah lanskap politik rakyat supaya mengembalikan keutuhan Barisan Nasional yang telah dirobek dalam PRU12 yang lalu. Parlimen Wangsa Maju yang menjadi kubu kuat UMNO/BN sebelum ini telah kecundang dan rebah di tangan PKR apabila Yew Tiong Look yang mewakili BN tumpas di tangan Wee Chee Keong daripada PKR. PKR menang dengan kelebihan 150 undi sahaja. Apa nak dikatakan, walaupun kelebihan 1 undi, BN telah kalah di situ.
UMNO di bawah kepimpinan Dato' Shafei Abdullah semakin berputar laju bagaikan putaran gasing menemui rakyat akar umbi dengan mengharapkan mandat supaya Wangsa Maju kembali semula ke tangan Barisan Nasional. Barisan Nasional Parlimen Wangsa Maju bermula dengan kejayaan Datuk Dr Kamal Salih pada tahun 1994, dituruti pula kemenangan Dato' Sri Zulhasnan Rafique pada tahun 1999, kemudiannya bersilih ganti kepada Yew Teong Look daripada MCA yang memenangi kerusi BN pada pilihan raya 2004, namun dalam PRU12 pada tahun 2008 Parlimen Wangsa Maju turut dilanda tsunami politik setelah BN ketinggalan hanya 150 undi untuk menobatkan Wee Chee Keong daripada PKR sebagai Wakil Rakyat pembangkang di Wangsa Maju.
UMNO, MCA, Gerakan dan juga MIC haruslah bergerak seiring dan sejalan untuk mempastikan kerusi ini tidak lagi dimiliki oleh pembangkang menjelang PRU13 nanti. Tidak wajar sama sekali kita terkeliru untuk mencari kemenangan, kerana kemenangan sebenarnya boleh dicapai jika BN dapat membuktikan sokongan padu kepada calonnya tanpa mengira dari parti komponen mana yang akan dipilih oleh pucuk pimpinan parti.
Jika sebelum ini calon UMNO yang diwakili oleh Kamal Salih, Zulhasnan dan Yew Teong Look daripada MCA boleh cipta kemenangan hasil sokongan semua pihak, maka jangan lagi memberi alasan kononnya semangat setiakawan dalam BN Wangsa Maju tidak bersemi lagi sehingga MCA boleh merajuk semata-mata Pengerusi BN Wangsa Maju kini berpindah kepada Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Dato' Shafei Abdullah.
Kekalahan Yew Teong Look di Wangsa Maju pada pilihan raya umum 2008 lepas bukan bermakna tiada langsung pengundi Melayu menyokong beliau. YTL harus juga melihat faktor sokongan pengundi Cina di situ yang lebih berpihak kepada Wee Chee Keong. Rata-rata keputusan Peti Undi yang majoriti pengundi Cina tidak berpihak kepada BN, sedangkan peti-peti undi yang dikuasai oleh majoriti pengundi Melayu walaupun berlaku penurunan namun masih ketara menyokong BN walaupun calonnya daripada MCA.
Yew Teong Look sebaik-baiknya tidak berterusan menuding jari ke arah UMNO akibat kekalahannya itu, kerana UMNO telah bekerja keras untuk mempengaruhi pengundi Melayu di situ supaya terima sahaja calon BN itu walaupun kedengaran ada yang tidak berpuas hati dengan prestasi YTL selama beliau menjadi wakil rakyat di situ.
Sebenarnya tidak timbul UMNO menolak MCA. Jika sentimen itu dipermainkan, mana mungkin YTL boleh menang di kawasan Melayu dalam PRU yang diadakan pada tahun 2004. Bukankah faktor sokongan pengundi Melayu yang memungkinkan YTL menang di Parlimen Wangsa Maju? Kini Wangsa Maju mempunyai lebih 53 peratus pengundi Melayu yang bakal memperkasakan kekuatan BN. Namun begitu jika semangat tolak ansur tidak dapat dijiwai oleh MCA dan lain-lain parti komponen BN di Wangsa maju sehingga isu yang remeh ini menjadi beban utama pula kepada faktor kekuatan BN, maka agar sukar diramalkan tentang masa depan BN Wangsa Maju untuk merampas kembali kerusi yang telah dimenangi oleh PKR sebelum ini.
Jika berbekalkan karisma kepimpinan Dato' Mohd. Shafei Abdullah yang mengetuai Jentera Barisan Nasional Wangsa Maju, dibuktikan pula dengan agenda rakyatnya selama ini, maka tidak mungkin BN boleh kecundang lagi dalam PRU13 nanti. Kebimbangan faktor sabotaj sesama sendiri agak sukar diramalkan untuk meraih kemenangan yang dihajati. Apalah maknanya jika benar ramalan Pakatan Rakyat kononnya MCA menjadi penghalang terbesar kepada BN untuk menawan semula Wangsa Maju.
Jika benar dakwaan Pakatan Rakyat itu, MCA haruslah membuktikan bahawa partinya bukanlah si pengkhianat kepada Barisan Nasional sebagaimana yang disangka oleh mereka. Yew Teong Look janganlah lagi memerangkap dirinya dengan berselindung di sebalik panji-panji Barisan Nasional untuk menghalang kemenangan BN dalam PRU13. Sewajarnya beliau memberikan sokongan padu kepada Shafei Abdullah sebagaimana sokongan yang telah diberikan oleh UMNO kepadanya ketika beliau memenangi kerusi ini pada PRU 2004.
Tidak ada maknanya jika YTL hanya mahukan jawatan Pengerusi BN dan mahukan dirinya pula dicalonkan semula dalam PRU13 nanti menjadi pra syarat untuk beliau menyokong membantu kemenangan BN. Beliau tidak harus mencemarkan nama baik partinya sendiri sedangkan MCA telah menyatakan akujanjinya untuk mempastikan BN menang cemerlang dalam PRU13 nanti.
MCA kena ingat juga bahawa ramai juga calonnya akan bertanding di beberapa kawasan yang majoriti pengundi Melayu. Undi Melayu juga penting untuk kemenangan mereka, maka YTL harus bertegas untuk menukar pendiriannya menjadi lebih patriotik terhadap Barisan Nasional.
Saya berharap saya mampu untuk berhadapan dengan kemelut politik ini di dalam majlis ceramah yang dianjurkan oleh BN Wangsa maju pada malam ini (4 Mac 2012). Misi untuk menawan semula kerusi Parlimen Wangsa Maju bukanlah kerja yang mudah, namun kita meyakini kerja yang rumit ini akan menjadi lebih mudah jika kita yakin dengan kekuatan yang dimiliki.




Sunday, February 26, 2012

BADRUL AMIN DIDATANGI OLEH PEGAWAI JAIP SEJURUS DISERANG DAN DIKURUNG DALAM BILIK

Ustadz Dr Badrul Amin bersama isteri keduanya.
(Ini bukan wanita yang disensasikan itu!)

Oleh Abdul Rahman Hashim

Media arus perdana sekali lagi terburu-buru dengan berita sensasinya dengan mendakwa bahawa seorang pemimpin PKR (Dr. Badrul Amin) telah ditangkap khalwat dengan seorang wanita yang masih bersuami di sebuah hotel di Kuantan, Pahang.

Gambaran yang cuba diberikan ialah seolah-olah Dr. Badrul Amin berselingkuh dengan wanita itu yang datang bersama-sama anaknya dengan tujuan untuk mendapatkan perlindungan setelah wanita itu menghubungi Dr. Badrul Amin mengadu tentang keselamatan dirinya yang sering bertelingkah dengan suaminya selama ini.

Selepas beliau diserang oleh sekumpulan 20 orang yang datang secara tiba-tiba pada jam 2.30 pagi, lalu suami kepada wanita itu membawa lari isteri dan anaknya keluar dari premis itu, dan kemudian Ustadz Dr. Badrul Amin dikurung seorang diri dalam sebuah bilik sebelum pegawai JAIP datang menyerbu 20 minit kemudiannya.

Namun hari ini hampir semua media arus perdana telah mensensasikan berita ini secara ala pornografi yang memualkan. Saya merasakan rentetan isu ini sekali lagi akan menjadi bola tanggung kepada UMNO/BN, kerana jelas ia berunsurkan tuduhan dan fitnah yang dilarang oleh Islam.

Berikut ini ialah kenyataan penuh Ustadz Dr. Badrul Amin:-

Saya menafikan dengan sekeras-kerasnya dakwaan media bahawa saya ditangkap khalwat oleh pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di Kuantan.

Saya ke Kuantan untuk menghadiri Temurapat Pemimpin Parti Keadilan Rakyat pada 24 Februari sehingga 26 Februari 2012. Saya mengambil peranan aktif di dalam Temurapat ini.

Pada petang 24 Februari 2012, wanita tersebut telah menghubungi saya dengan nada cemas dan menyatakan hasrat beliau untuk melarikan diri daripada rumah kerana bimbangkan keselamatan diri beliau. Saya dengan tegas menasihatkan beliau untuk tidak berbuat demikian.

Walau bagaimanapun pada jam 2.00 pagi 25 Februari 2012, beliau telah menghubungi saya memaklumkan bahawa beliau sudah tiba di lokasi Temurapat Pemimpin Keadilan.

Saya telah mengenali pasangan suami isteri ini sejak lebih setahun lalu semasa wanita itu bersama keluarganya mengikuti rombongan umrah saya. Pasangan suami isteri ini sering berhubung dengan saya bagi mendapatkan nasihat mengenai masalah keluarga yang mereka hadapi termasuk kes keganasan rumah tangga. Di dalam usaha membantu pasangan ini, saya dan isteri pernah menziarahi keluarga ini di Rompin.

Di atas rasa tanggungjawab melihat wanita tersebut bersama anaknya di awal pagi, saya membantu beliau mendapatkan bilik penginapan. Pada jam 2.30 pagi suami wanita tersebut bersama lebih kurang 20 orang yang tidak dikenali menyerbu dan menyerang saya. Suami wanita tersebut kemudiannya telah membawa isteri dan anaknya pergi secara paksa.

Lelaki-lelaki bersikap ala samseng ini berhenti memukul saya apabila pihak keselamatan tiba dan menghalang mereka. Namun mereka masih tidak membenarkan saya keluar dari bilik. Hanya setelah 20 minit dikurung oleh samseng tersebut, pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) tiba dan menahan saya yang berseorangan di dalam bilik.

Kenyataan Timbalan Pengarah JAIP bahawa saya ditahan oleh pegawai JAIP ketika berkhalwat adalah tidak benar sama sekali. Saya beranggapan bahawa kejadian ini merupakan satu tindakan terancang untuk memerangkap dan mengaibkan saya. Saya hanya dipanggil untuk membantu siasatan JAIP pada 27 Februari 2012. Saya akan hadir bersama peguam untuk memberi kerjasama penuh kepada siasatan ini.

Dengan penjelasan ini, saya berharap semua pihak menghentikan tohmahan dan fitnah terhadap saya. Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang membuat tuduhan dan fitnah terhadap saya.

Sunday, February 12, 2012

NAJIB DIMINTA JANGAN GADAI AQIDAH?




Oleh Abdul Rahman Hashim

Mufti Negeri Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang dilihat selama ini sebagai mesra UMNO telah membuat teguran lagi supaya Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak tidak menghadiri upacara menyembah Tuhan bagi agama-agama lain seperti Thaipusam, kerana menurutnya perbuatan itu sebagai kufur dan ia boleh merosakkan aqidah.

Menurut Tan Sri Harussani lagi apabila kita menghadiri upacara perayaan seperti itu seolah-olah kita merestui agama mereka. Beliau menyatakan juga bahawa tindakan sedemikian sebagai syirik seterusnya meminta Dato' Sri Najib supaya jangan menggadaikan aqidah!

Mufti itu berkata dengan nada kecewa...."Kita sepatutnya menjauhi perbuatan kufur yang boleh merosakkan aqidah kita. Perkara ini serius kerana ia masalah aqidah, saya wajib tegur...kalau tidak mahu dengar, terpulang...".

Tan Sri Harussani Zakaria menyatakan demikian ketika mengulas kehadiran Dato' Sri Najib Tun Razak di dalam satu perayaan Hari Thaipusam di Batu Caves pada 7 Februari lepas. Kehadiran Perdana Menteri dalam perayaan itu merupakan kunjungan kali ketiga sejak tahun 2010.

Hari Thaipusam
merupakan perayaan yang disambut oleh mereka yang beragama Hindu di seluruh dunia bagi menghormati dewa Hindu, Dewa Murugan atau juga dikenali sebagai Dewa Subramaniam.

Hari Thaipusam juga merupakan hari menunaikan nazar dan penganut Hindu juga mempercayai bahawa Hari Thaipusam merupakan hari menebus dosa di atas perbuatan dosa yang dilakukan selama ini.

Isu kehadirannya dalam perayaan agama Hari Thaipusam kini membangkitkan polemik yang mengundang keresahan seorang mufti yang begitu kecewa kerana Perdana Menteri tidak mempedulikan nasihatnya selama ini supaya jangan hadir lagi majlis-majis seperti itu.

Persoalannya sekarang ialah, mengapa Penasihat Agama Perdana Menteri Datuk Abdullah Zain dan juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Dato' Seri Jamil Khir Baharom yang menjaga JAKIM termasuk ulamak-ulamak lain dalam UMNO terlepas pandang dengan masalah ini sehingga membiarkan Perdana Menteri kita membakul sampahkan pandangan ikhlas yang dilontarkan oleh Mufti Perak itu?

Apakah pandangan Mufti Perak itu tidak selari dengan syariat Islam? Adakah Harussani hanya memberikan pendapatnya terkeluar dari landasan fatwa yang dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan? Atau apakah Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan fatwa bahawa menghadiri majlis-majlis penyembahan Tuhan agama lain boleh diraikan juga oleh umat Islam?

Sememangnya benar bahawa Islam adalah agama resmi negara, manakala menganuti agama-agama lain juga menjadi hak kebebasan kepada penganutnya, tetapi di dalam agama Islam kita dilarang keras supaya tidak merayakan atau menyerupai orang kafir.

Seingat saya, Mesyuarat Jawatankuasa Syariah Negeri Perak yang bersidang pada 19 Muharam 1425 bersamaan 11 Mac 2004 buat kali ke 162 telah membuat keputusan bahawa merayakan /menyerupai perayaan orang kafir adalah HARAM. Jadi, saya tidak pelik jika Mufti Perak mempertahankan ketetapan fatwa itu dengan meminta Perdana Menteri dan umat Islam supaya tidak menjadi kufur dengan perbuatan syirik itu.

Nasib baik kritikan pedas Mufti Perak itu tidak menjadi sajian berita di akhbar-akhbar arus perdana seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian atau pun dalam TV1/TV2/TV3 kerana yang ditegur itu ialah Dato' Sri Najib Tun Razak, bukannya Anwar Ibrahim atau Nik Aziz. Saya percaya jika teguran Harussani dibuat terhadap pemimpin-pemimpin pembangkang terutama yang melibatkan Anwar, pasti berita itu akan disensasikan dengan berbagai-bagai pungutan pendapat sehingga melampaui batas yang melibatkan keImanan Anwar dipersoalkan.

Mungkin juga puak-puak PERKASA akan membuat sindiran pedas meminta umat Islam negara ini jangan mempercayai lagi Anwar kerana tidak berpegang lagi dengan aqidah Islam akibat perbuatan syiriknya menghadiri perayaan Hari Thaipusam itu. Najib boleh bersenang hati kerana media-media arus perdana ini tidak membuat kecaman terhadapnya, cuma Mufti Perak sahaja yang dilihat tidak bersimpati dengannya lagi.

Menghadiri rumah terbuka Deepavali atau Tahun Baharu Cina atau Hari Krismas tidaklah sama dengan menghadiri hari penyembahan Tuhan mereka. Sepatutnya biarkan mereka sahaja yang merayakan upacara penyembahan Tuhan masing-masing. Kenapa pulak kita mesti rasa terhambat untuk turut serta bersama-sama mereka?

Mungkin sekadar menyaksikan upacara itu tidak menyebabkan kita menjadi kufur, namun begitu sebagai pemimpin negara yang beragama Islam kehadirannya yang sebegitu rupa telah diraikan dengan meriahnya oleh penganut-penganut Hindu yang sedang mendewakan Dewa Murugan yang dikenali juga sebagai Dewa Subramaniam. Di sinilah sensitifnya kehadiran Najib pada Hari Thaipusam itu yang mendukacitakan Mufti Perak itu.

Wednesday, February 1, 2012

DARJAH 'SERI MAHKOTA WILAYAH' UNTUK DATUK SERI HALIM SAMAD

Oleh Abdul Rahman Hashim

Program CSR KUB (M) Berhad

Rumah Terbuka Aidilfitri di rumah Datuk Seri Halim Samad

Penajaan KUB (M) Berhad sempena Perhimpunan Agung UMNO 2011

Datuk Seri Halim Samad bersama di dalam aktiviti Puteri Bahagian Setiawangsa

Datuk Seri Halim Samad (Tengah)
bersama Datuk Astaman dan Dato' Fauzi Zahari

Sekalung tahniah diberikan kepada Cikgu Halim Samad yang telah menerima anugerah 'Seri Mahkota Wilayah' di dalam satu istiadat pengurniaan darjah kebesaran bintang dan pingat Wilayah Persekutuan 2012 oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mua'zam Shah sempena Hari Wilayah Persekutuan yang diraikan hari ini. Anugerah SMW ini telah membawa gelaran DATUK SERI kepada penerimanya.

Datuk Seri Haji Abdul Halim Bin Abdul Samad, 73 merupakan Pengerusi KUB (M) Berhad, sementara jawatan politiknya pula beliau merupakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa dan pernah menjawat jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wliayah Persekutuan seawal penubuhan Wilayah Persekutuan pada tahun 1974.

Secara peribadi saya mengenali Datuk Seri Halim Samad sejak tahun 1979, kerana bermula pada tahun berkenaanlah saya membarisi Ahli Jawatankuasa Perhubungan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan di bawah kepimpinannya pada tahun 1979 hingga 1980, kerana pada masa itu sebagai Setiausaha Pemuda Bahagian saya turut mewakili Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Damansara bersama-sama dengan Ketua Pemuda Bahagian saya Allahyarham Zainuddin Bendahara dan Naib Ketuanya Zakaria Salleh. Pada masa itu Wilayah Persekutuan hanya mempunyai lima bahagian sahaja iaitu Setapak, Damansara, Kuala Lumpur Bandar, Sungai Besi dan juga Kepong.

Dalam era itu, Datuk Seri Abdul Halim Samad merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Setapak. Beliau juga pernah menjadi Timbalan Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa dan hari ini beliau masih lagi menjadi Timbalan Ketua UMNO di Bahagian Setiawangsa yang disandangnya sejak tahun 2004.

Sebagai seorang yang sudah lama bergelumang dalam kancah politik, Datuk Seri Abdul Halim Samad sewajarnya memperolehi pengiktirafan yang diterimanya hari ini. Beliau juga pernah menjadi Setiausaha Sulit Kanan kepada Dato' Sri Najib Tun Razak melampaui jangka masa yang panjang selama 20 tahun. Justeru, beliau dilihat sebagai orang kepercayaan Dato' Sri Najib bukan sekadar urusan di kantor, bahkan beliau amat intim dalam hal-hal kekeluargaan Perdana Menteri itu.

Perlantikannya sebagai Pengerusi KUB (M) Berhad pada Disember 2009 merupakan suatu kepercayaan dan keyakinan tinggi Dato' Sri Najib Tun Razak kepada Datuk Seri Abdul Halim Samad untuk melakukan transformasi di dalam syarikat konglemerat Melayu yang ditubuhkan oleh UMNO sejak sekian lama dahulu.

Datuk Harun Idris dan Datuk Hasan Harun merupakan tokoh UMNO yang pernah menjadi Pengerusi KUB (M) Berhad. Kemunculan nama Datuk Seri Abdul Halim Samad merupakan suatu iltizam korporat sebagai warisan kesinambungan untuk menjadikan KUB (M) Berhad lebih inovatif dan semakin perkasa sejajar dengan aspirasi transformasi yang digagaskan oleh Perdana Menteri.

Datuk Seri Abdl Halim Samad tidak sekadar menjadi Pengerusi KUB (M) Berhad, malah beliau juga merupakan Pengerusi Eksekutif Stamford College Berhad dan terlibat juga menerajui beberapa buah syarikat korporat yang lainnya. Dalam arti kata yang lain, Datuk Seri Abdul Halim Samad bukan sahaja dikenali sebagai seorang pendidik di beberapa buah sekolah sebelum ini, malah beliau kini merupakan tokoh korporat Melayu yang innocent dan terbukti beliau berjaya dengan sifat-sifat low profilenya.

Tuesday, January 31, 2012

BUDAYA FITNAH BUKAN LAGI KEBATILAN?

Oleh Abdul Rahman Hashim

Di antara fitnah besar pada zaman ini ialah budaya fitnah memfitnah dalam berpolitik. Ia adalah mainan kotor orang politik yang di warisi dari idelogi barat. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa ianya semakin terserlah sebagai “political game” yang terhias indah pada segala medium massa rakyat sehingga ia menjadi budaya kepada pemain-pemain politik yang begitu rakuskan kuasa.

Malangnya orang orang politik yang beragama Islam pun turut serta dalam ‘political games” yang jijik ini kerana mungkin mereka tidak mahu tersingkir dari arena atau gelanggang politik. Mereka tergamak menghalalkan permainan kotor ini atas alasan terpaksa (darurat). Sebab itu kita sering berhadapan dengan tentangan dari golongan ini apabila kita kata fitnah, mengumpat, mengata, memaki hamun, mengaibkan orang walaupun dalam berpolitik, adalah haram, iaitu berdosa besar.

Mereka kata dalam berpolitik perbuatan ini di benarkan oleh Islam berdasarkan hukum fiqh (maslahat politik). Tetapi itulah akibatnya, kata Imam Ghazali, apabila seseorang hanya mengambil fiqh dalam membuat keputusan ke atas sesuatu masaalah (tanpa pertimbangan ilmu tasauf) maka dia akan menjadi sombong dan akan merasakan diri dia sentiasa betul dan benar malah terlalu sukar untuk menerima pendapat orang lain.

Golongan ini pada zahirnya dilihat berpegang kuat kepada agama, tetapi pada hakikatnya mereka mematuhi pendapat dan fikiran dangkal mereka sendiri. Mereka membuat keputusan mengikut kehendak hawa nafsu atas kecenderungan dan keperluan sentimen politik mereka. Mereka kemudian cuba menyesuaikan agama mengikut selera politik mereka. Maka mereka pada hakikatnya adalah golongan yang memperalatkan agama untuk kepentingan dan “survival” kejijikan politik.

Berwaspadalah! Jangan kita terjebak dengan kemungkaran politik seumpama ini. Berpolitik bukannya bermakna seseorang itu mesti berada di dalam limbah yang digenangi dengan najis sehingga kita tidak mampu lagi untuk membezakan di antara yang makruf dan yang mungkar.

Jika Allah berfirman bahawa orang yang melakukan perbuatan memfitnah itu adalah lebih merbahaya daripada perbuatan membunuh, maka sewajarnya kita menjiwai kalam Tuhan itu malah perbuatan haram itu wajib kita menjauhinya kerana di situ ada DOSA.

DOSA bukanlah eksklusif hanya kepada musuh politik kita sedangkan mungkin kita lebih berdosa kerana menabur fitnah sesama manusia sehingga ia tidak terkawal lagi. Melakukan fitnah bukannya Tuhan menjanjikan PAHALA sebaliknya kita yang mendapat BALA. Kadang-kadang kita terlupa dek kerana nafsu serakah membencikan seseorang yang dimusuhi, maka kita telah menjerumuskan diri dengan kemurkaan Allah. Jika itu terjadi, nescaya politik kita akan menjurus kepada bibit-bibit kemusnahan. Na'uzubillah!

Sedapat mungkin jauhkan diri dari berhubung atau berinteraksi dengan pemimpin politik atau dengan mereka yang gemar menabur fitnah, mengata, mencerca, mengumpat dan mengaibkan orang lain.

Apabila kita berhadapan dengan isu-isu yang berbaur fitnah yang di cetuskan oleh orang politik, jangan libatkan diri, kerana kita mesti percaya bahawa perebuatan jijik itu akan mengotorkan jiwa dan akhlak politik kita. Seelok-eloknya minta nasihat dan pandangan alim ulama yang bebas (yang tidak berpihak), Kerana jiwa seorang ulamak akan berpegang teguh dengan syariat Islam yang menggesa umatnya supaya lebih mencintai kebaikan daripada terjebak dengan amalan kemungkaran.

Ulamak Hasan Al-Basri Rahimahumullah pernah mengungkapkan kata-katanya:

“Sesungguhnya fitnah ini, jika dia datang maka sudah diketahui oleh setiap alim dan jika dia sudah pergi maka baru diketahui oleh setiap yang jahil.”

Maksudnya lebih kurang begini, kita sebagai insan biasa kadang kadang kita tidak tahu bahawa sesuatu isu itu adalah isu berbentuk fitnah sehingga kita terikut-ikut dalam menyebarkannya. Adalah lebih baik kita bertanya kepada alim ulama untuk mendapatkan nasihat sebelum kita bertindak. Jika ada pula di kalangan orang-orang alim yang bertindak mengikut jalur fahaman politik yang dianutinya maka dibimbangi dia juga akan terjerumus dengan serakah fitnah sehingga sanggup pula membuat kenyataan berperisa fitnah semata-mata menuruti kehendak orang yang bersangka jahat terhadap musuh politiknya.

Budaya fitnah pada suatu ketika dahulu situasi dan tempatnya sangat terpinggir dan terpencil serta tersembunyi tetapi kini ianya terserlah dan terpampang di dada akhbar serta terdapat juga yang dibukukan di dalam buku yang berkulit indah dan dijual dengan harga yang berpatutan, malah ada juga yang mahal, media elektronik juga tidak ketinggalan memberi ruang sepuas-puasnya kepada budaya buruk ini.

Laman blog dan facebook serta laman maya yang lain juga turut mengambil bahagian untuk memburukkan lagi persoalan tersebut. Oleh itu masyarakat kita dari berbagai kalangan meratahnya setiap hari.Fitnah telah dihias indah sehingga kelihatan ia bukan lagi KEBATILAN.

Peringatan untuk kita dari Surah Al-Hujurat Ayat 6 yang bermaksud:-

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan".

Monday, January 9, 2012

ANWAR BUKAN PELIWAT, HASAN ALI DIPECAT

Anwar menyampaikan ucapan di hadapan penyokong-penyokongnya
di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebaik sahaja beliau diputuskan
tidak bersalah oleh Hakim Dato' Mohd. Zabidin Mohd Diah.

Oleh Abdul Rahman Hashim

Anwar tidak bersalah. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa Anwar Ibrahim bukanlah seorang peliwat sebagaimana yang didakwa oleh pembancuh kopinya Saiful. Sebelum kesnya dibawa ke Mahkamah, doktor yang memeriksa duburnya juga menyatakan bahawa tidak terdapat petanda objek yang menerobos ekzosnya.

Saiful tidak mahu berputus asa untuk memberitahu komuniti alam ini bahawa ekzosnya benar-benar telah dirosakkan oleh Anwar. Dia mengadu kepada Najib (Masa itu Najib TPM), dia mengadu kepada Ketua Polis Negara (Musa Hassan) dan akhirnya dia merelakan kes eksoznya diputuskan sendiri oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Bukan itu sahaja, Saiful juga berani bersumpah menjunjung Al-Quran di dalam masjid untuk membuktikan betapa eksoznya telah dibolosi oleh objek keras milik Anwar.

Anwar dicabar agar turut bersumpah, namun Anwar enggan berbuat demikian, sebaliknya Anwar meminta Mahkamah Syariah untuk mensabitkan Saiful melakukan QAZAF kerana membuat tuduhan zina tanpa membawa empat orang lelaki sebagai saksi terhadap dakwaannya itu. Permohonan QAZAF oleh Anwar telah ditolak oleh Mahkamah Syariah kerana mahukan kes itu diputuskan terlebih dahulu oleh Mahkamah Tinggi yang bakal dijalankan.

Sejak kes Saiful/Anwar berjalan lebih 3 tahun, Anwar telah dihadapkan dengan berbagai-bagai keaiban yang amat memalukan, sehingga budak-budak kecil pun ingin tahun apa maknanya MELIWAT? Kanak-kanak kecil juga ingin tahu apakah 'meliwat' itu bermakna 'melawat'? Hampir saban hari media utama negara menyiarkan kes meliwat Anwar/Saiful tanpa segan silu lagi, kerana di situ wujudnya agenda politik untuk memadamkan karier politik Anwar Ibrahim yang menjadi ancaman kepada kekuatan UMNO, kerana BN baru sahaja dinafikan majoriti 2/3 dalam PRU12 yang diadakan pada Mac 2008, malah BN telah kehilangan 5 negeri termasuk kalah 10 kerusi parlimen di Wilayah Persekutuan.

Dalam kes liwat II Anwar ini, marathon perbicaraannya telah melampaui 3 tahun dan kes ini merupakan antara yang paling lama dalam sejarah penghakiman negara. Kes rasuah Dato' Harun Idris dan kes pembunuhan yang melibatkan Datuk Mokhtar Hashim pun tidak sepanjang kes Anwar. Anwar telah diberikan peluang untuk membela dirinya, malah bukannya sedikit Anwar ditempelak kerana dikatakan sengaja melengah-lengahkan kesnya dengan 60 kali penundaan sebagai suatu siri penangguhan perbicaraan yang terpanjang.

Hendak menuduh dan mendakwa seseorang itu meliwat atau berzina terutamanya terhadap Anwar bukannya semudah kes rogol atau kes yang seumpamanya yang melibatkan orang awam yang lain, tetapi kes yang diketengahkan ini melibatkan seorang tokoh politik yang berprofil tinggi, malah Anwar dianggap seorang yang amat berpengaruh bukan sahaja di dalam negaranya bahkan kes ini juga diikuti oleh seantero dunia. Banyak kesan-kesan sampingan yang mungkin tercuit jika perbicaraannya tidak mencerminkan keadilan mengikut sistem perundangan negara ini.

Kes ini juga membuatkan ramai pemimpin-pemimpin atasan UMNO malah terheret juga Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan para menteri yang lainnya untuk membuat libasan kononnya Anwar benar-benar 'kaki belakang'. Anwar menghadapi serangan bertalu-talu sehingga ke dinding sebagai 'kaki belakang' walaupun Mahkamah Tinggi belum lagi membuat keputusan samada Anwar bersalah ataupun tidak bersalah.

Dato' Sri Najib, Presiden UMNO juga memilih tema ucapannya menyerang pemimpin Pakatan Rakyat itu dengan pelbagai hujah sehingga mendorong perwakilan yang lain berucap untuk mencerca Anwar Ibrahim sebagai pemimpin yang tidak bermoral sehingga terlupa bahawa di dalam UMNO pun banyak yang melakukan kecurangan yang disembunyikan.

Walaupun kes liwat ini dikatakan bukannya membabitkan UMNO, tetapi UMNO telah mengheret dirinya untuk menumpang sekaki sehingga membabitkan Dato' Sri Najib yang berminat sekali untuk memperkatakannya. Serangan yang dibuat terlalu peribadi sehinggakan tergambar seolah-olah manusia yang paling jelik di dunia ini hanyalah Anwar Ibrahim, bukannya UMNO!

Mengapa ini terjadi? Ia terjadi sedemikian kerana manusia yang bernama Anwar Ibrahim dianggap sebagai musuh nombor wahid oleh UMNO dan Barisan Nasional. Ketua Pembangkang itu bukannya kucing kurap; bukan pula cicak mengkarung, tetapi Anwar Ibrahim boleh menjadi hantu yang membayangi keruntuhan kuasa politik UMNO jika ianya tidak cermat diuruskan. Di dalam ucapannya di hadapan penyokong-penyokong yang berhimpun di luar Mahkamah, Anwar dengan nada penuh keazamannya untuk menumbangkan kerajaan UMNO dan merampas Putrajaya menjelang PRU 13.

UMNO janganlah meremehkan isu ini, kerana ia mampu mengalihkan sokongan rakyat sebagaimana yang telah berlaku dalam PRU12 yang lalu. Walaupun sokongan orang Melayu dilihat telah cenderung semula kepada UMNO/BN, tetapi bukannya semua! Sokongan orang Melayu masih terbelah dua di antara menyokonng UMNO/BN dan juga yang menyokong PAS dan PKR.

Kecondongan sokongan pengundi Cina kepada BN tidak sekuat PRU 2004 dan sebelumnya. Sejak PRU 2008 hingga ke saat ini pengundi Cina tidak lagi menjadi paksi kekuatan BN. Pengundi Cina merasakan di saat inilah mereka akan menunjukkan kuasa penentu untuk menolak dominasi UMNO/BN di dalam PRU13 yang bakal tiba.

Fix deposit (Deposit Tetap) BN di Sabah dan juga di Sarawak semakin tidak menentu. Di Sarawak sahaja kelihatannya 10 kerusi yang dikuasai oleh pengundi Cina bakal terbang berpindah hinggap pada dahan DAP dan juga PKR. Kemelut politik yang masih meruncing di dalam Parti SUPP dan juga SPDP jika tidak menemui noktahnya, pasti ia menjadi penyebab samada BN masih hilang majoriti 2/3 atau pun mungkin hilang kuasa.

Pastinya keputusan terlepasnya Anwar Ibrahim daripada dipenjarakan akibat tuduhan liwatnya itu, akan memberi kesan kepada kekuatan UMNO/BN yang sedang berkira-kira untuk mengadakan pilihan raya umum ke-13 menjelang Mac 2012 ini. Mungkin juga UMNO/BN berpendapat, dengan keputusan membebaskan Anwar dari dipasungkan di penjara Sungai Buloh akan memberi manfaat kepada UMNO, kerana UMNO tetap yakin bahawa orang Melayu sudah mual dan benci tegar kepada Anwar Ibrahim yang telah dilabelkan selama ini sebagai peliwat.

Dr. Hasan Ali (Foto kiri) juga begitu terburu-buru sehingga tidak sempat menunggu sehari lagi akan keputusan Mahkamah Tinggi KL terhadap kes Liwat Anwar, dengan mensabitkan pemecatannya di dalam PAS kerana faktor Anwar Ibrahim. Dia tidak menyangka Anwar Ibrahim yang dianggapnya pemmpin tidak bermoral telah dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur keesokan harinya.

Hasan Ali yang terlalu mengagungkan skrol ijazah dan master yang dimilikinya sebagai alasan untuk beliau merendahkan orang lain. Beliau merasakan dirinya sahaja yang selayaknya dipercayai bukan Anwar, bukan Mat Sabu, bukan Mahfuz, bukan Azmin malah dia semakin meninggikan egonya bahawa dirinya sahaja yang betul belaka.

Dr. Hasan Ali kini sinonim dengan Ibrahim Ali (lihat foto) yang juga menikam
Parti PAS setelah menang pilihan raya atas tiket parti itu.
Ibrahim Ali pernah dipecat dari UMNO dan beliau bergegas ke Munich,
German menemui Anwar Ibrahim yang sedang menjalani rawatan di sana.

Hasan Ali semakin terlupa bahawa semakin banyak dia berkata-kata semakin terserlah belang dirinya. Kelibat Hasan Ali telah lama dikesan oleh partinya sebagai anggota jemaah yang sudah 'mufarakah' kerana ruku' dan sujudnya tidak lagi mengikut rentak jemaah yang lain. Hasan Ali merelakan dirinya menjadi populis menghina parti idaman kalbunya sehingga sanggup berteduh di bawah bayangan Nik Aziz dan Hadi Awang untuk menyerang orang lain.

Namun begitu kedua-dua ulamak yang disanjungnya itu tetap berpegang teguh dengan keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Agung Parti untuk memecatnya. Oleh hal yang demikian eloklah Hasan Ali segera memohon menjadi Ahli UMNO yang mungkin menyamai dengan aspirasi perjuangannya untuk menjadikan Islam sebagai undang-undang dalam negara ini, mengukuhkan lagi ketuanan Melayu dan Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana yang diungkapkan.

Rasanya perjuangan itu juga menyamai dengan perjuangan yang dilaungkan oleh Ibrahim Ali yang kini menjadi sahabat seperjuangannya. Tidak banyak perbezaan di antara kedua-duanya, Ibrahim Ali sebelum ini menang bertanding atas tiket PAS dan kemudiannya menikam parti yang memenangkannya. Begitu juga Hasan Ali yang menang atas tiket PAS, tetapi bertindak menjadi populis untuk mencerca keputusan partinya sendiri akibat tindak tanduk jahatnya sejak kebelakangan ini.

Perdana Menteri, Dato' Sri Najib berkata isu pemecatan Hasan Ali adalah masalah dalaman parti PAS, bukannya masalah UMNO! Namun begitu isu Hasan Ali ini pastinya menjadi batu loncatan kepada UMNO kerana tindakan Hasan Ali selama ini lebih banyak menguntungkan UMNO. Apakah Hasan Ali masih tidak sedar untuk mempertahankan dirinya dengan menuding jari ke arah orang lain. PAS bukan lagi menjadi wadah perjuangannya, kerana parti itu telah memecat keahliannya.

Hasan Ali memang sinonim dengan Ibrahim Ali! Molek juga dia bergandingan memimpin PERKASA yang hanya menyebuk untuk PERKASAkan UMNO, dan bukan sebenar untuk memperkasakan MELAYU.


Thursday, December 29, 2011

JIKA ANWAR TIDAK DIPENJARAKAN UMNO AKAN HABIS - KU LI

Khabarnya, muafakat politik Anwar & Ku Li semakin intim?
Kedua-duanya bercita-cita besar menjadi PM...

Oleh Abdul Rahman Hashim

Tengku Razaleigh Hamzah, Ahli Parlimen Gua Musang semenjak 1974 yang juga Ketua UMNO Bahagian itu menjangkakan Anwar Ibrahim akan dipenjarakan, kerana menurutnya jika Anwar tidak dipenjarakan UMNO akan habis dalam PRU13 yang akan datang.

"Sekarang Anwar sedang menjadi dilema kepada Najib. Ini mengikut lojik yang kita lihat.Saya yakin Anwar akan masuk penjara. Kalau Anwar bebas UMNO akan habis. Tidak dapat tidak Anwar akan dipenjara", demikian komen Ku Li.

Tengku Razaleigh Hamzah juga meramalkan dalam pilihanraya umum ke 13 yang akan datang UMNO akan menerima kekalahan lagi. Menurutnya pengundi bukan Melayu didapati semakin menjauhkan diri dari Barisan Nasional.

Beliau juga berkata ada kemungkinan Barisan Nasional dan juga Pakatan Rakyat tidak memiliki majoriti yang meyakinkan. Bila terjadi sedemikian, katanya negara kita mungkin menghadapi krisis.

Menurut Ku Li, hampir 90% peratus pengundi China bersedia untuk mengundi Pakatan Rakyat. Ada pengundi India yang telah kembali menyokong Barisan Nasional, tetapi majoriti masih bersama Pakatan Rakyat. Pengundi Melayu pula kini terbahagi kepada dua.


Ku Li, yang juga bekas Menteri Kewangan Malaysia, menganggap pentabiran di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak ini amat lemah dan tidak memahami krisis ekonomi global yang sedang melanda dunia sekarang.


Mengikut Ku Li pentabiran sekarang ini selalu berdolak-dalik atau flip flop apabila mengemukakan sesuatu dasar. Dasar sorong tarik ini terjadi kerana ianya tidak difikirkan secara masak terlebih dahulu.


Ku Li, seorang bekas penuntut Malay College Kuala Kangsar (MCKK), berkata demikian dalam satu majlis makan tengah hari bersama beberapa orang murid tua MCKK minggu lalu.


Mengenai isu hak royalti minyak, Ku Li dengan tegas menyatakan bahawa perjanjian antara Petronas dengan negeri-negeri jelas disebutkan sebagai hak royalti dan tidak ada fasal yang menyebut wang ehsan.


Malah Ku Li amat berbangga kerana beliau sebagai Pengerusi Petronas 1974 telah bertanggung jawab membuat butiran perjanjian minyak ini atas arahan Tun Abdul Razak.


"Walaupun perjanjian ini dalam bahasa hukum-hakam tetapi amat jelas Petronas wajib memberi 5% kepada negeri dimana minyak ditemui."

Mengulas mengenai Tun Dr. Mahathir beliau berkata bahawa Mahathir ini bukanlah cerdik sangat. Dia selalu menjalankan dasar 'ad hoc'. Selalu mencuri idea dan pandangan orang lain dan mengakui sebagai haknya.

"Dia curi lah!. Saya selalu melihat dia 'playing to the gallery'," kata Ku Li, menerangkan pandangan dan pengalaman beliau selama 5 tahun bersama Mahathir Mohamad sebagai menteri.

Ku Li juga merumuskan bahawa pentabiran pimpinan Najib Razak kebelakangan ini bukan sahaja lemah malah dalam keadaan yang huru hara. Mengikut pandangan Ku Li, Najib Razak sebagai Presiden UMNO terlepas peluang yang amat besar di Perhimpunan Agong UMNO yang baru berlangsung. Ketika mata dan telinga seluruh negara berpusat memandang ke PWTC, Najib tidak melakukan apa-apa terhadap Shahrizat.

"Shahrizat sepatutnya dibuang. Termasuk beberapa orang menteri yang nama mereka telah busuk ditelinga orang ramai. Tetapi Najib senyap membisu," katanya.