assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Sunday, February 26, 2012

BADRUL AMIN DIDATANGI OLEH PEGAWAI JAIP SEJURUS DISERANG DAN DIKURUNG DALAM BILIK

Ustadz Dr Badrul Amin bersama isteri keduanya.
(Ini bukan wanita yang disensasikan itu!)

Oleh Abdul Rahman Hashim

Media arus perdana sekali lagi terburu-buru dengan berita sensasinya dengan mendakwa bahawa seorang pemimpin PKR (Dr. Badrul Amin) telah ditangkap khalwat dengan seorang wanita yang masih bersuami di sebuah hotel di Kuantan, Pahang.

Gambaran yang cuba diberikan ialah seolah-olah Dr. Badrul Amin berselingkuh dengan wanita itu yang datang bersama-sama anaknya dengan tujuan untuk mendapatkan perlindungan setelah wanita itu menghubungi Dr. Badrul Amin mengadu tentang keselamatan dirinya yang sering bertelingkah dengan suaminya selama ini.

Selepas beliau diserang oleh sekumpulan 20 orang yang datang secara tiba-tiba pada jam 2.30 pagi, lalu suami kepada wanita itu membawa lari isteri dan anaknya keluar dari premis itu, dan kemudian Ustadz Dr. Badrul Amin dikurung seorang diri dalam sebuah bilik sebelum pegawai JAIP datang menyerbu 20 minit kemudiannya.

Namun hari ini hampir semua media arus perdana telah mensensasikan berita ini secara ala pornografi yang memualkan. Saya merasakan rentetan isu ini sekali lagi akan menjadi bola tanggung kepada UMNO/BN, kerana jelas ia berunsurkan tuduhan dan fitnah yang dilarang oleh Islam.

Berikut ini ialah kenyataan penuh Ustadz Dr. Badrul Amin:-

Saya menafikan dengan sekeras-kerasnya dakwaan media bahawa saya ditangkap khalwat oleh pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di Kuantan.

Saya ke Kuantan untuk menghadiri Temurapat Pemimpin Parti Keadilan Rakyat pada 24 Februari sehingga 26 Februari 2012. Saya mengambil peranan aktif di dalam Temurapat ini.

Pada petang 24 Februari 2012, wanita tersebut telah menghubungi saya dengan nada cemas dan menyatakan hasrat beliau untuk melarikan diri daripada rumah kerana bimbangkan keselamatan diri beliau. Saya dengan tegas menasihatkan beliau untuk tidak berbuat demikian.

Walau bagaimanapun pada jam 2.00 pagi 25 Februari 2012, beliau telah menghubungi saya memaklumkan bahawa beliau sudah tiba di lokasi Temurapat Pemimpin Keadilan.

Saya telah mengenali pasangan suami isteri ini sejak lebih setahun lalu semasa wanita itu bersama keluarganya mengikuti rombongan umrah saya. Pasangan suami isteri ini sering berhubung dengan saya bagi mendapatkan nasihat mengenai masalah keluarga yang mereka hadapi termasuk kes keganasan rumah tangga. Di dalam usaha membantu pasangan ini, saya dan isteri pernah menziarahi keluarga ini di Rompin.

Di atas rasa tanggungjawab melihat wanita tersebut bersama anaknya di awal pagi, saya membantu beliau mendapatkan bilik penginapan. Pada jam 2.30 pagi suami wanita tersebut bersama lebih kurang 20 orang yang tidak dikenali menyerbu dan menyerang saya. Suami wanita tersebut kemudiannya telah membawa isteri dan anaknya pergi secara paksa.

Lelaki-lelaki bersikap ala samseng ini berhenti memukul saya apabila pihak keselamatan tiba dan menghalang mereka. Namun mereka masih tidak membenarkan saya keluar dari bilik. Hanya setelah 20 minit dikurung oleh samseng tersebut, pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) tiba dan menahan saya yang berseorangan di dalam bilik.

Kenyataan Timbalan Pengarah JAIP bahawa saya ditahan oleh pegawai JAIP ketika berkhalwat adalah tidak benar sama sekali. Saya beranggapan bahawa kejadian ini merupakan satu tindakan terancang untuk memerangkap dan mengaibkan saya. Saya hanya dipanggil untuk membantu siasatan JAIP pada 27 Februari 2012. Saya akan hadir bersama peguam untuk memberi kerjasama penuh kepada siasatan ini.

Dengan penjelasan ini, saya berharap semua pihak menghentikan tohmahan dan fitnah terhadap saya. Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang membuat tuduhan dan fitnah terhadap saya.

1 comment:

Anonymous said...

Bukan terburu-buru. Mereka sengaja. Yg penting dapat keluarkan berita besar-besaran. Sekurang-kurang dapat tunjukkan pada rakyat Malaysia. Nanti kalau berita itu silap pun tak apa sebab jika disaman pun pasti ada puak/kaum/kumpulan yg mendapat manfaat akan membayarkan.
Masa itu, org kampung semua dah baca beita yg mengaibkan org itu....yg penafian langsung tak keluar berita...\Adnan M