assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Wednesday, March 31, 2010

ISU APCO, MACAM MANA DOKUMEN PERJANJIANNYA TIRIS?




Ketua Pembangkang Dato' Seri Anwar Ibrahim begitu bergaya sekali mendedahkan maklumat tentang penglibatan kerajaan Malaysia dengan firma perunding komunikasi antarabangsa APCO WORLWIDE yang didakwanya ada kaitan dengan zionisme Israel.

Anwar mendedahkan perkara ini di Dewan Rakyat semalam serentak dengan upacara pelancaran 'Model Ekonomi Baru (MEB)' yang dirasmikan oleh Dato' Sri Najib Tun Razak Perdana Menteri di Hotel Shangrila Kuala Lumpur.

Persoalan yang timbul daripada isu pendedahan itu ialah bagaimana ketirisan boleh berlaku sehingga Anwar boleh memperolehi dokumen perjanjian Apco bersama kerajaan Malaysia, beserta dengan 'Surat LA' yang dikeluarkan oleh pejabat Perdana Menteri bertarikh 15 Julai 2009 kepada Mr. Paul Stadlen yang mewakili Mind Teams Sdn Bhd beralamat di Mid Valley, Kuala Lumpur.

Di dalam surat itu pihak kerajaan dikatakan bersetuju melantik firma tersebut sebagai firma perunding 'Public Affairs and Goverment Affairs Services' kepada kerajaan Malaysia.

Ekoran daripada pendedahan itu Apco terpaksa membuat penafian bahawa firmanya tidak terbabit dengan Israel dalam mencipta gagasan 1Malaysia sebagaimana wujudnya 1Israel sebelum ini.


Monday, March 29, 2010

SOI LEK MESTI KUATKAN MCA UNTUK MASA DEPAN BN

Dato' Seri Chua Soi Lek (Foto) Presiden baru MCA mesti bertindak pantas untuk memulihkan semula partinya setelah masyarakat Cina di negara ini kelihatan meluat dengan Barisan Nasional.

Kemenangannya mengalahkan Ong Ka Ting dan Ong Tee Keat kedua-duanya pernah menerajui parti terbesar masyarakat Cina negara ini dianggap satu kejayaan luar biasa Soi Lek setelah dirinya terkait dengan 'skandal sex' yang menggemparkan parti itu tidak berapa lama dahulu.

Sememangnya Chua Soi Lek terbukti memiliki aura yang bukan mudah untuk meyakinkan kepercayaan ahli partinya setelah beliau sendiri mengakui bahawa watak dalam CCTV yang melucahkan itu adalah dirinya.

Beliau kelihatan tidak panik menghadapi isu yang memalukan dirinya itu walaupun mengetahui CCTV lucah itu akan dipergunakan oleh musuh politiknya untuk menghancur punahkan masa depannya dalam MCA.

Siapa menyangka Soi Lek yang dilanda masalah itu mampu melakukan pendakian ke puncak dalam hirarki kepimpinan MCA hari ini setelah beliau berjaya mengenepikan seorang tokoh mantan Presiden MCA Ong Ka Ting dan juga penyandang jawatan Presiden Ong Tee Keat. Nak buat macam mana lagi, itulah kehendak perwakilan MCA dan mungkin BN terpaksa berpuas hati dengan keputusan itu!

Chua Soi Lek memenangi jawatan tertinggi itu dengan memperolehi 901 undi berbanding Ka Ting 833 undi manakala Tee Keat pula hanya mendapat 578 undi. Soi Lek menyifatkan kemenangannya satu permulaan baru dalam usaha membawa MCA maju ke hadapan seterusnya berjanji akan bekerja keras bersama rakan-rakan lain yang turut membarisi kepimpinannya untuk menyatu padukan masyarakat Cina di negara ini setelah komuniti itu dikatakan masih cenderung untuk berpihak kepada Pakatan Rakyat.

Apa pun tahniah diucapkan kepada Chua Soi Lek yang berkemungkinan dimasukkan semula di dalam jemaah menteri 1Malaysia. Apakah Ong Tee Keat akan melepaskan jawatannya sebagai Menteri untuk memberikan laluan kepada Presiden MCA yang baru itu? Sama-samalah kita melihatnya selepas ini.


Friday, March 26, 2010

PILIHAN RAYA KECIL LAGI...TITI TINGGI TERDAYA DIELAKKAN, HULU SELANGOR TAK TERDAYA DIELAKKAN!

Ahli Dewan Undangan Negeri BN Titi Tinggi di Perlis Yip Sun Onn akhirnya akur dengan pujukan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin BN supaya menarik balik notis perletakan jawatannya yang telah diserahkan kepada speaker DUN Perlis sebelum ini. Beliau dikatakan telah menghantar 'sms' kepada speaker untuk menarik semula hasrat perletakan jawatannya itu; sekaligus memberikan isyarat awal bahawa tidak ada kekosongan bagi kerusi DUN Titi Tinggi dan tidak akan berlaku pilihan raya kecil di kawasan DUN berkenaan.

Namun begitu usaha untuk mengelakkan berlakunya pilihan raya kecil tidak dapat dielakkan lagi apabila berlakunya kematian Ahli Parlimen Hulu Selangor (PKR) Dato' Dr. Zainal Abidin Ahmad (Foto di atas) pada 9.27 malam tadi. SPR tidak boleh lagi berkata bahawa kerusi itu 'tidak kosong' melainkan yang mati itu akan hidup kembali!

Speaker Dewan Rakyat terpaksa menghantar notis kepada pihak SPR tentang kekosongan kerusi Parlimen Hulu Selangor sebelum pihak SPR bersidang untuk memperakuinya serta menetapkan tarikh pilihanraya kecil bagi kawasan parlimen yang berkenaan.

Jika tidak dipujuk Yip Sun Onn ADUN Titi Tinggi daripada meletakkan jawatannya itu, sudah pasti akan berlaku dua pilihan raya kecil setelah kematian Ahli Parlimen Hulu Selangor. Pilihan raya kecil serentak seumpama ini pernah berlaku di DUN Bukit Selambau, DUN Batang Ai dan Parlimen Bukit Gantang tahun lepas.

Anggapan pihak tertentu yang mengandaikan bahawa BN takut menghadapi pilihan raya kecil hendaklah ditangkis, kerana kini pengaruh UMNO dan BN semakin di hati rakyat terutamanya di kalangan pengundi-pengundi Melayu. Cuma BN agak terkedu dengan masalah yang sedang menghimpit MCA kerana pengundi-pengundi Cina dikatakan masih tidak berpihak kepada BN, begitu juga dengan keupayaan MIC yang telah tewas ketika bertanding dalam PRU12 di Hulu Selangor.

Apakah BN kali ini akan mencalonkan semula G. Palanivel dari MIC yang hanya tewas 198 undi di tangan Dr. Zainal Ahmad (PKR) dalam PRU yang lepas? Atau apakah MIC kali ini berani untuk mempertaruhkan Presidennya sendiri Datuk Seri S. Samy Velu supaya bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor semata-mata kerana ianya menjadi hak MIC bagi kawasan itu?

Jika UMNO begitu yakin bahawa rakyat kini telah beralih arah menyokong BN, maka tidak ada masalahlah untuk meletakkan semula MIC bertanding di situ, kerana tentunya pengundi di sana tidak akan memandang siapakah calonnya asalkan calon itu berwajah Barisan Nasional.

Lagi pun Dato' Sri Najib Tun Razak amat menitik beratkan semangat 1MALAYSIA yang dikatakan telah diterima oleh rakyat, maka meletakkan calon berketurunan India di kawasan majoriti Melayu bukan lagi menjadi masalah kepada Barisan Nasional. Di sinilah cabaran dan ujian yang terpaksa dihadapi oleh Barisan Nasional terhadap gagasan pemimpinnya yang begitu pesona dengan konsep 1Malaysianya.


Thursday, March 25, 2010

SEBUTAN KES SAIFUL DILIWAT DITUNDA LAGI 10 MEI...

KUALA LUMPUR, 25 Mac: Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd pagi ini menetapkan 10 Mei depan bagi sebutan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pembancuh kopi Saiful Bukhari.

Perbicaraan itu berterusan sehingga 14 Mei dan kemudian akan disambung semula pada 31 Mei hingga 4 jun, 14 hingga 23 Julai dan 2 hingga 30 Ogos ini. Hakim membuat keputusan tersebut setelah pihak pendakwa dan peguambela gagal memberi tarikh yang sesuai untuk sebutan kes berkenaan.

Sebelum itu Karpal Singh mengingatkan mahkamah pada bulan Jun, tidak sesuai perbicaraan diadakan kerana Anwar sibuk dengan komitmennya dengan Dewan Rakyat.

Anwar menghadapi tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari, 25, di Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara jam 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Tuesday, March 23, 2010

GHAFUR SALLEH KATA, KALAU ZAHRAIN BOLEH GIGIT KETUA DIA, PASTI DIA AKAN GIGIT KETUA KITA!

(SILA KLIK VIDEO INI UNTUK IKUTI HUJAH GHAFUR SALLEH DI DEWAN RAKYAT)




Datuk Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan) kelmarin melahirkan rasa marahnya di Dewan Rakyat terhadap Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bebas-Bayan Baru) kerana menamakan beliau sebagai antara lapan wakil rakyat Barisan Nasional yang kononnya diumpan bagi menyertai rancangan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih kerajaan pada 16 September 2008.

(Foto Kiri: Datuk Abdul Ghafur Salleh)

"Saya sudah katakan saya tidak pernah diumpan, tidak pernah dipujuk dan tak pernah pergi Taiwan, bererti saya bukanlah golongan yang dipujuk untuk lompat. Jadi bererti umpan yang dibagi kepada rakan mungkin tidak cukup, jadi tidak lompat, umpan yang dibagi kepada Ahli Parlimen Bayan Baru ini besar, sebab itu dia lompat," katanya ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Abdul Ghapur mendesak Zahrain (Foto Kanan), yang baru-baru ini keluar daripada Parti Keadilan Rakyat untuk menjadi wakil Bebas, supaya menarik balik kenyataan yang menamakan beliau antara yang diumpan untuk lompat parti serta meminta maaf kepadanya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan Zahrain menyifatkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sebagai komunis.

"Bolehkah dalam dewan ini tunjuk satu orang antara kita ini komunis? Ini (tuduhan Zahrain) bukan bukti, ini salah dari segi peraturan, mana boleh duduk dalam Dewan Rakyat, Dewan Undangan Negeri seorang komunis," katanya.

Abdul Ghapur turut mempersoalkan tindakan Zahrain yang meninggalkan Parti Keadilan Rakyat dua tahun selepas mengetahui pembohongan peristiwa 16 September yang diilhamkan Anwar.

"Sekarang sudah jadi Bebas dan kemudian nanti mahu masuk Umno. Jangan terima orang seperti ini. Kalau dia boleh gigit ketua dia, dia boleh gigit ketua kita juga," katanya.

Abdul Ghapur berkata, beliau membangkitkan isu itu selepas dihubungi ramai pemberita setelah Zahrain menyebut namanya ketika membuat pendedahan di Dewan Rakyat mengenai rancangan Anwar mengambil alih kerajaan minggu lepas.

"Mungkin sekarang sudah gemuk, sudah kenyang, jadi macam-macam tohmahan, saya tidak tahu perjanjian dia dengan parti pembangkang, saya tidak tahu, saya bukan pernah di sana, tapi kenapa libatkan saya yang tidak ada dosa ini," katanya.

Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) kemudian bangun mencelah dan meminta Abdul Ghapur bertenang.

"Bayan Baru menceritakan, dia tidak menuduh Kalabakan, jadi...," kata Mohamad. Abdul Ghapur enggan memberi ruang serta mempertikaikan tindakan Mohamad mahu membela Zahrain.

"Takkan Sri Gading mahu bela, sedangkan saya dalam BN, mahu bela pembangkang yang mungkin mahu masuk Umno. Saya minta maaf saja, kalau orang seperti ini masuk Umno, mungkin Umno punya orang akan keluar," katanya.

Beliau juga enggan membenarkan Zahrain mencelah walaupun untuk memberi penjelasan berhubung perkara itu.Abdul Ghapur turut menyatakan pendiriannya berhubung tindakan keluar parti.

"Saya kalau keluar parti, (adalah kerana) saya tidak percaya kepada pucuk pimpinan, maka saya keluar...bukan kerana dibeli. Ini penting, jangan bikin tohmahan yang bukan-bukan," katanya.



Friday, March 19, 2010

SULTAN BATALKAN RASMI AGM PERKASA


Datuk Ibrahim Ali Presiden PERKASA takkan hilang keperkasaannya apabila baginda Sultan Sharafuddin Idris Shah telah membatalkan untuk merasmikan mesyuarat agung tahunan persatuan itu yang dijadualkan pada 27 Mac ini di PWTC.

Menurut Setiausaha Sulit baginda Mohamad Munir Banir pembatalan itu bagi mengelak salah tanggap dan manipulasi pihak-pihak tertentu terutamanya dalam keadaan politik sekarang.

Katanya, mulanya Sultan berkenan untuk berangkat dan menyampaikan titah ucapan perasmian dengan mengambil kira Perkasa mempertahankan institusi raja, hak-hak orang Melayu dan Bumiputera.

Dalam titah ucapan itu juga kata Mohamad Munir baginda bercadang untuk menasihat Perkasa supaya tidak ekstrem. Mungkin Sultan Selangor menyedari tindak tanduk Perkasa ekstrem dalam memperjuangkan beberapa isu maka baginda bercadang untuk menegur Perkasa. Bagaimana pun cadangan itu telah berubah di saat akhir.

Dengan pembatalan kehadiran baginda Sultan Selangor itu janganlah pula dijadikan isu sehingga menimbulkan polemik lain yang tidak melambangkan ketulusan perjuangan PERKASA. Datuk Ibrahim Ali hendaklah meneruskan perjuangan sucinya itu untuk memperkasakan bangsa yang menjadikan 'Raja-Raja Melayu' sebagai lambang ketuanan Melayu di negara ini.

Kita tidak mahu 'Raja Kita' dipersendakan kerana ketaatan tanpa berbelah bahagi rakyat selama ini kepada Rajanya membuktikan betapa institusi beraja telah membentuk syaksiah rakyat negara ini terutama yang berbangsa Melayu agar terus dipayungi dengan daulat Tuanku.

Sejak dulu lagi bangsa Melayu sanggup bergadai nyawa demi mempertahankan kedaulatan raja-rajanya. Lihat saja betapa Hang Tuah yang menjadi mangsa fitnah dan adu domba pembesar-pembesar istana pada masa itu sanggup menyerahkan jiwa raganya untuk menerima hukuman dari Raja yang ditaatinya, malah Hang Tuah yang telah disembunyikan oleh Mamanda Menteri akhirnya dititah untuk menghapuskan si Jebat yang telah menderhaka kepada baginda Sultan demi membela abangnya Si Tuah yang telah difitnahi oleh puak-puak Mandaliar.

Akhirnya Si Jebat mati ditikam Hang Tuah demi ketaatannya kepada Sultan. Kata-kata sakti Hang Tuah 'Melayu Takkan Hilang di Dunia' bagaikan amanat yang terus dimanterakan oleh pejuang-pejuang Melayu hingga ke hari ini untuk memperkasakan bangsanya.

PERKASA ditubuhkan kerana sayangkan bangsa Melayu dan bumiputera negara ini termasuk memperkuatkan Rajanya. Tentunya bangsa yang berdarah Melayu akan terhina jika ada di kalangan pengkhianat yang menghina dan merendah-rendahkan Rajanya.

Sebab itu apabila penjajah Inggeris mempersendakan Raja Melayu dengan memperkenalkan 'Malayan Union' untuk menghakis kekuasaan Melayu di bumi Melayu ini telah menerima tentangan hebat daripada pejuang-pejuang Melayu pada masa itu.

Rakyat marhain berdarah Melayu menggelisah pada masa itu kerana bimbangkan Raja-Raja Melayu akan terus diperkotak katikkan oleh 'orang putih' untuk meneruskan misi penjajahan mereka di Tanah Melayu.

Orang Melayu yang sayangkan keturunannya telah bangkit membentuk gelombang perjuangan rakyat untuk membebaskan cengkaman penjajah asing yang sudah bertapak sejak tahun 1511. Perhimpunan demi perhimpunan diadakan sebagai langkah demonstrasi rakyat yang menentang gagasan Malayan Union.

Rakyat berhimpun pada masa itu kerana ada yang tidak kena kepada masa depan bangsa Melayu. Rakyat bangkit kerana menyedari Raja Melayu sudah dihilangkan kuasanya. Raja-Raja Melayu hanya diberikan keistimewaan dalam hal ehwal keagamaan sahaja. Orang putih tidak percaya dengan feudalisme yang begitu kuat di hati rakyat Melayu, malah penjajah tidak mahu melihat Melayu menjadi tuan di negara ini.

Dalam artikata yang lainnya, tanpa perjuangan rakyat tidak mungkin kuasa yang dimiliki hari ini dapat dikembalikan setelah bangsa Melayu dijajah selama 446 tahun. Jika tanpa adanya perjuangan rakyat tidak mungkin juga institusi raja dapat bertahan hingga ke hari ini. Kedaulatan Raja Melayu terus bertakhta di singgahsana, kerana di situ adanya kekuatan jiwa rakyat yang menjadi benteng utama mempertahankan kemuliaan Rajanya.

Oleh yang demikian, sebagai seorang ahli biasa PERKASA tentunya saya turut kecewa kerana tidak dapat menyaksikan kehadiran Raja sanjungan saya ke majlis anjuran PERKASA pada 27 Mac ini. Namun begitu saya berkeyakinan Sultan Sharafuddin Idris Shah yang membatalkan kehadiranNya itu bukanlah kerana kemurkaan baginda Sultan terhadap perjuangan bangsanya.

Saya menjadi lebih yakin betapa baginda Sultan menghargai perjuangan yang digalas oleh PERKASA untuk memperkasakan ketuanan Melayu di bumi tercinta ini. Sewajarnya juga UMNO tidak mundur ke belakang sebagai menjaga hati golongan yang tidak menjiwai institusi Melayu yang semakin terpinggir dewasa ini.

Sementara itu PERKASA juga disarankan supaya tidak melihat entiti Melayu dari sudut politik yang sempit sehingga terperangkap dengan perjuangan partisan. Ingatlah, Melayu bukan hanya di dalam UMNO, Melayu juga ada di dalam PAS, Melayu juga ada di dalam PKR, Melayu juga ada di dalam DAP. Melayu yang ada di dalam PERKASA pula bukanlah Melayu yang bersifat adu domba sehingga tergamak untuk menambahkan lagi kekalutan yang menimpa bangsa Melayu kini.


Thursday, March 18, 2010

ZAHARAIN SIFATKAN ANWAR RAKSASA PELBAGAI WAJAH..

Datuk Seri Zahrain Hashim (Foto kiri), Ahli Parlimen Bebas yang keluar PKR menyifatkan bekas bosnya Anwar Ibrahim (Foto Kanan) sebagai 'raksasa pelbagai wajah' ekoran pendiriannya yang sentiasa berubah-ubah dalam memperjuangkan orang Melayu dan kepentingan agama Islam.

Demikian hujah Zahrain Hashim di Dewan Rakyat semalam tentang mengapa beliau mengkhianati PKR setelah dimenangkan oleh rakyat Bayan Baru dalam PRU12 yang lalu. Beliau juga mendedahkan antara punca beliau hilang kepercayaan kepada kepimpinan Anwar ialah apabila PKR terlampau memperhambakan diri kepada DAP sedangkan ketua pembangkang itu pernah memberitahunya yang PKR tidak akan tunduk kepada parti itu.

Saya tidak mahu mengupas lebih lanjut mengenai hujahnya itu, namun sedikit saja komen saya...iaitu orang seperti Zahrain juga hendaklah diwaspadai oleh UMNO kerana beliau telah mengkhianati mandat parti yang telah memenangkan dirinya di Bayan Baru.

Jika keceluparannya menghina parti yang meletakkan dirinya sebagai Ahli Parlimen Bayan Baru, saya fikir orang seperti ini juga akan membahayakan UMNO. Beliau kelihatan tidak merasa malu mempamerkan dirinya sebagai orang yang tidak berterima kasih.

Sebelum beliau sayonara membenci PKR, beliau juga pernah membenci dan menghina UMNO. Hari ini beliau mencerca PKR, mungkin mengharapkan simpati UMNO yang pernah dicercainya. Saya percaya bukan sahaja UMNO tidak wajar menerimanya, malah rakyat di Bayan Baru yang dikhianatinya juga akan menolaknya. Adakah UMNO hendak mencalonkan orang seperti ini bertanding di Bayan Baru nanti?

Menurut rekodnya, UMNO tak pernah bertanding di Bayan Baru. Oleh itu jika Zahrain hendak menguji pengaruh peribadinya, eloklah beliau memohon restu UMNO daripada sekarang untuk beliau meminjam dan menyarung jersi UMNO/BN bagi membolehkan beliau bertarung semula di Parlimen Bayan Baru.

UMNO mungkin boleh mempercayainya jika beliau mampu membuktikan dirinya lebih perkasa setelah tidak berada dalam PKR. Jika Anwar dikatakannya sebagai raksasa pelbagai wajah, maka beliau juga tidak perlu menjadi seperti itu jika mahu diterima di dalam UMNO. Pemimpin UMNO di Bayan Baru bolehkah menerima Zaharain?

TERKINI......Sementara itu dalam satu perkembangan lain, Setiausaha Agung PKR Saifudin Nasution hari ini menyifatkan semua Ahli Parlimen PKR yang kini menjadi Ahli Parlimen Bebas terutamanya Zahrain Hashim (Ahli Parlimen Bayan Baru) sebagai askar upahan BN.

Menurutnya mereka digunakan oleh BN sebagai 'anjing penyerang' untuk menyerang Pakatan Rakyat kerana dalam BN sendiri terlalu sedikit Ahli Parlimennya yang mampu berbuat demikian. Saifudin mengeluarkan kenyataan tersebut di dalam satu sidang media yang diadakan di lobi parlimen hari ini.