assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Friday, March 26, 2010

PILIHAN RAYA KECIL LAGI...TITI TINGGI TERDAYA DIELAKKAN, HULU SELANGOR TAK TERDAYA DIELAKKAN!

Ahli Dewan Undangan Negeri BN Titi Tinggi di Perlis Yip Sun Onn akhirnya akur dengan pujukan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin BN supaya menarik balik notis perletakan jawatannya yang telah diserahkan kepada speaker DUN Perlis sebelum ini. Beliau dikatakan telah menghantar 'sms' kepada speaker untuk menarik semula hasrat perletakan jawatannya itu; sekaligus memberikan isyarat awal bahawa tidak ada kekosongan bagi kerusi DUN Titi Tinggi dan tidak akan berlaku pilihan raya kecil di kawasan DUN berkenaan.

Namun begitu usaha untuk mengelakkan berlakunya pilihan raya kecil tidak dapat dielakkan lagi apabila berlakunya kematian Ahli Parlimen Hulu Selangor (PKR) Dato' Dr. Zainal Abidin Ahmad (Foto di atas) pada 9.27 malam tadi. SPR tidak boleh lagi berkata bahawa kerusi itu 'tidak kosong' melainkan yang mati itu akan hidup kembali!

Speaker Dewan Rakyat terpaksa menghantar notis kepada pihak SPR tentang kekosongan kerusi Parlimen Hulu Selangor sebelum pihak SPR bersidang untuk memperakuinya serta menetapkan tarikh pilihanraya kecil bagi kawasan parlimen yang berkenaan.

Jika tidak dipujuk Yip Sun Onn ADUN Titi Tinggi daripada meletakkan jawatannya itu, sudah pasti akan berlaku dua pilihan raya kecil setelah kematian Ahli Parlimen Hulu Selangor. Pilihan raya kecil serentak seumpama ini pernah berlaku di DUN Bukit Selambau, DUN Batang Ai dan Parlimen Bukit Gantang tahun lepas.

Anggapan pihak tertentu yang mengandaikan bahawa BN takut menghadapi pilihan raya kecil hendaklah ditangkis, kerana kini pengaruh UMNO dan BN semakin di hati rakyat terutamanya di kalangan pengundi-pengundi Melayu. Cuma BN agak terkedu dengan masalah yang sedang menghimpit MCA kerana pengundi-pengundi Cina dikatakan masih tidak berpihak kepada BN, begitu juga dengan keupayaan MIC yang telah tewas ketika bertanding dalam PRU12 di Hulu Selangor.

Apakah BN kali ini akan mencalonkan semula G. Palanivel dari MIC yang hanya tewas 198 undi di tangan Dr. Zainal Ahmad (PKR) dalam PRU yang lepas? Atau apakah MIC kali ini berani untuk mempertaruhkan Presidennya sendiri Datuk Seri S. Samy Velu supaya bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor semata-mata kerana ianya menjadi hak MIC bagi kawasan itu?

Jika UMNO begitu yakin bahawa rakyat kini telah beralih arah menyokong BN, maka tidak ada masalahlah untuk meletakkan semula MIC bertanding di situ, kerana tentunya pengundi di sana tidak akan memandang siapakah calonnya asalkan calon itu berwajah Barisan Nasional.

Lagi pun Dato' Sri Najib Tun Razak amat menitik beratkan semangat 1MALAYSIA yang dikatakan telah diterima oleh rakyat, maka meletakkan calon berketurunan India di kawasan majoriti Melayu bukan lagi menjadi masalah kepada Barisan Nasional. Di sinilah cabaran dan ujian yang terpaksa dihadapi oleh Barisan Nasional terhadap gagasan pemimpinnya yang begitu pesona dengan konsep 1Malaysianya.


No comments: