

Datuk Seri Zahrain Hashim (Foto kiri), Ahli Parlimen Bebas yang keluar PKR menyifatkan bekas bosnya Anwar Ibrahim (Foto Kanan) sebagai 'raksasa pelbagai wajah' ekoran pendiriannya yang sentiasa berubah-ubah dalam memperjuangkan orang Melayu dan kepentingan agama Islam.
Demikian hujah Zahrain Hashim di Dewan Rakyat semalam tentang mengapa beliau mengkhianati PKR setelah dimenangkan oleh rakyat Bayan Baru dalam PRU12 yang lalu. Beliau juga mendedahkan antara punca beliau hilang kepercayaan kepada kepimpinan Anwar ialah apabila PKR terlampau memperhambakan diri kepada DAP sedangkan ketua pembangkang itu pernah memberitahunya yang PKR tidak akan tunduk kepada parti itu.
Saya tidak mahu mengupas lebih lanjut mengenai hujahnya itu, namun sedikit saja komen saya...iaitu orang seperti Zahrain juga hendaklah diwaspadai oleh UMNO kerana beliau telah mengkhianati mandat parti yang telah memenangkan dirinya di Bayan Baru.
Jika keceluparannya menghina parti yang meletakkan dirinya sebagai Ahli Parlimen Bayan Baru, saya fikir orang seperti ini juga akan membahayakan UMNO. Beliau kelihatan tidak merasa malu mempamerkan dirinya sebagai orang yang tidak berterima kasih.
Sebelum beliau sayonara membenci PKR, beliau juga pernah membenci dan menghina UMNO. Hari ini beliau mencerca PKR, mungkin mengharapkan simpati UMNO yang pernah dicercainya. Saya percaya bukan sahaja UMNO tidak wajar menerimanya, malah rakyat di Bayan Baru yang dikhianatinya juga akan menolaknya. Adakah UMNO hendak mencalonkan orang seperti ini bertanding di Bayan Baru nanti?
Menurut rekodnya, UMNO tak pernah bertanding di Bayan Baru. Oleh itu jika Zahrain hendak menguji pengaruh peribadinya, eloklah beliau memohon restu UMNO daripada sekarang untuk beliau meminjam dan menyarung jersi UMNO/BN bagi membolehkan beliau bertarung semula di Parlimen Bayan Baru.
UMNO mungkin boleh mempercayainya jika beliau mampu membuktikan dirinya lebih perkasa setelah tidak berada dalam PKR. Jika Anwar dikatakannya sebagai raksasa pelbagai wajah, maka beliau juga tidak perlu menjadi seperti itu jika mahu diterima di dalam UMNO. Pemimpin UMNO di Bayan Baru bolehkah menerima Zaharain?
TERKINI......Sementara itu dalam satu perkembangan lain, Setiausaha Agung PKR Saifudin Nasution hari ini menyifatkan semua Ahli Parlimen PKR yang kini menjadi Ahli Parlimen Bebas terutamanya Zahrain Hashim (Ahli Parlimen Bayan Baru) sebagai askar upahan BN.
Menurutnya mereka digunakan oleh BN sebagai 'anjing penyerang' untuk menyerang Pakatan Rakyat kerana dalam BN sendiri terlalu sedikit Ahli Parlimennya yang mampu berbuat demikian. Saifudin mengeluarkan kenyataan tersebut di dalam satu sidang media yang diadakan di lobi parlimen hari ini.


No comments:
Post a Comment