assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Friday, March 19, 2010

SULTAN BATALKAN RASMI AGM PERKASA


Datuk Ibrahim Ali Presiden PERKASA takkan hilang keperkasaannya apabila baginda Sultan Sharafuddin Idris Shah telah membatalkan untuk merasmikan mesyuarat agung tahunan persatuan itu yang dijadualkan pada 27 Mac ini di PWTC.

Menurut Setiausaha Sulit baginda Mohamad Munir Banir pembatalan itu bagi mengelak salah tanggap dan manipulasi pihak-pihak tertentu terutamanya dalam keadaan politik sekarang.

Katanya, mulanya Sultan berkenan untuk berangkat dan menyampaikan titah ucapan perasmian dengan mengambil kira Perkasa mempertahankan institusi raja, hak-hak orang Melayu dan Bumiputera.

Dalam titah ucapan itu juga kata Mohamad Munir baginda bercadang untuk menasihat Perkasa supaya tidak ekstrem. Mungkin Sultan Selangor menyedari tindak tanduk Perkasa ekstrem dalam memperjuangkan beberapa isu maka baginda bercadang untuk menegur Perkasa. Bagaimana pun cadangan itu telah berubah di saat akhir.

Dengan pembatalan kehadiran baginda Sultan Selangor itu janganlah pula dijadikan isu sehingga menimbulkan polemik lain yang tidak melambangkan ketulusan perjuangan PERKASA. Datuk Ibrahim Ali hendaklah meneruskan perjuangan sucinya itu untuk memperkasakan bangsa yang menjadikan 'Raja-Raja Melayu' sebagai lambang ketuanan Melayu di negara ini.

Kita tidak mahu 'Raja Kita' dipersendakan kerana ketaatan tanpa berbelah bahagi rakyat selama ini kepada Rajanya membuktikan betapa institusi beraja telah membentuk syaksiah rakyat negara ini terutama yang berbangsa Melayu agar terus dipayungi dengan daulat Tuanku.

Sejak dulu lagi bangsa Melayu sanggup bergadai nyawa demi mempertahankan kedaulatan raja-rajanya. Lihat saja betapa Hang Tuah yang menjadi mangsa fitnah dan adu domba pembesar-pembesar istana pada masa itu sanggup menyerahkan jiwa raganya untuk menerima hukuman dari Raja yang ditaatinya, malah Hang Tuah yang telah disembunyikan oleh Mamanda Menteri akhirnya dititah untuk menghapuskan si Jebat yang telah menderhaka kepada baginda Sultan demi membela abangnya Si Tuah yang telah difitnahi oleh puak-puak Mandaliar.

Akhirnya Si Jebat mati ditikam Hang Tuah demi ketaatannya kepada Sultan. Kata-kata sakti Hang Tuah 'Melayu Takkan Hilang di Dunia' bagaikan amanat yang terus dimanterakan oleh pejuang-pejuang Melayu hingga ke hari ini untuk memperkasakan bangsanya.

PERKASA ditubuhkan kerana sayangkan bangsa Melayu dan bumiputera negara ini termasuk memperkuatkan Rajanya. Tentunya bangsa yang berdarah Melayu akan terhina jika ada di kalangan pengkhianat yang menghina dan merendah-rendahkan Rajanya.

Sebab itu apabila penjajah Inggeris mempersendakan Raja Melayu dengan memperkenalkan 'Malayan Union' untuk menghakis kekuasaan Melayu di bumi Melayu ini telah menerima tentangan hebat daripada pejuang-pejuang Melayu pada masa itu.

Rakyat marhain berdarah Melayu menggelisah pada masa itu kerana bimbangkan Raja-Raja Melayu akan terus diperkotak katikkan oleh 'orang putih' untuk meneruskan misi penjajahan mereka di Tanah Melayu.

Orang Melayu yang sayangkan keturunannya telah bangkit membentuk gelombang perjuangan rakyat untuk membebaskan cengkaman penjajah asing yang sudah bertapak sejak tahun 1511. Perhimpunan demi perhimpunan diadakan sebagai langkah demonstrasi rakyat yang menentang gagasan Malayan Union.

Rakyat berhimpun pada masa itu kerana ada yang tidak kena kepada masa depan bangsa Melayu. Rakyat bangkit kerana menyedari Raja Melayu sudah dihilangkan kuasanya. Raja-Raja Melayu hanya diberikan keistimewaan dalam hal ehwal keagamaan sahaja. Orang putih tidak percaya dengan feudalisme yang begitu kuat di hati rakyat Melayu, malah penjajah tidak mahu melihat Melayu menjadi tuan di negara ini.

Dalam artikata yang lainnya, tanpa perjuangan rakyat tidak mungkin kuasa yang dimiliki hari ini dapat dikembalikan setelah bangsa Melayu dijajah selama 446 tahun. Jika tanpa adanya perjuangan rakyat tidak mungkin juga institusi raja dapat bertahan hingga ke hari ini. Kedaulatan Raja Melayu terus bertakhta di singgahsana, kerana di situ adanya kekuatan jiwa rakyat yang menjadi benteng utama mempertahankan kemuliaan Rajanya.

Oleh yang demikian, sebagai seorang ahli biasa PERKASA tentunya saya turut kecewa kerana tidak dapat menyaksikan kehadiran Raja sanjungan saya ke majlis anjuran PERKASA pada 27 Mac ini. Namun begitu saya berkeyakinan Sultan Sharafuddin Idris Shah yang membatalkan kehadiranNya itu bukanlah kerana kemurkaan baginda Sultan terhadap perjuangan bangsanya.

Saya menjadi lebih yakin betapa baginda Sultan menghargai perjuangan yang digalas oleh PERKASA untuk memperkasakan ketuanan Melayu di bumi tercinta ini. Sewajarnya juga UMNO tidak mundur ke belakang sebagai menjaga hati golongan yang tidak menjiwai institusi Melayu yang semakin terpinggir dewasa ini.

Sementara itu PERKASA juga disarankan supaya tidak melihat entiti Melayu dari sudut politik yang sempit sehingga terperangkap dengan perjuangan partisan. Ingatlah, Melayu bukan hanya di dalam UMNO, Melayu juga ada di dalam PAS, Melayu juga ada di dalam PKR, Melayu juga ada di dalam DAP. Melayu yang ada di dalam PERKASA pula bukanlah Melayu yang bersifat adu domba sehingga tergamak untuk menambahkan lagi kekalutan yang menimpa bangsa Melayu kini.


No comments: