Dato' Sri Zulhasnan Rafique, Ahli Parlimen Setiawangsa yang digugurkan jawatan menterinya di dalam kabinet Najib baru-baru ini dilihat tidak menghadapi masalah untuk menerima sokongan daripada ahli-ahli UMNO yang dipimpinnya di Bahagian Setiawangsa.
Beliau yang telah menjadi Ahli Parlimen sejak tahun 1999 merupakan satu-satunya calon UMNO yang telah menang mempertahankan kerusinya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, selain Tengku Adnan di Parlimen Putrajaya dan juga di Parlimen Labuan. Di dalam PRU2 lalu kerusi-kerusi UMNO di Parlimen Lembah Pantai dan Titiwangsa telah kecundang dengan mengejutnya di tangan PKR (Nurul Izzah) dan juga PAS (Dr. Lo' Lo').
Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Setiawangsa, Puan Hairunisha Ismail (Kak Ani) semasa menyampaikan ucapan aluannya di dalam persidangan perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian itu pada 1 Ogos lalu, telah menyatakan ikrar dan sokongan padu ahli-ahli Wanita terhadap kepimpinan Dato' Sri Zulhasnan Rafique.
Kak Ani dengan nada yang tulus telah menyatakan tidak menjadi masalah kepadanya untuk meneruskan sokongan memperkasakan UMNO yang dipimpin oleh Dato' Sri Zulhasnan di Setiawangsa. Jelasnya lagi, walaupun Dato' Sri Zulhasnan tidak lagi berjawatan menteri namun bukanlah
pangkat dan darjat yang menjadi ukuran untuk kita menampilkan sokongan secara konsisten terhadapnya.
Foto Atas: Dato' Halim (duduk) bersama-sama dengan Shuib Ibrahim (Dua dari kanan) dan Ahmad Hashim (Tiga dari kiri).
Foto Bawah: Dato' Ahmad Fauzi Zahari (Berdiri kiri sekali) bersama-sama Abd. Rahman Hashim (Berdiri kanan sekali)Untuk tujuan itu, Kak Ani dengan nada yang penuh bersemangat telah mengajak semua ahli UMNO di Setiawangsa supaya bersatu hati,
selenggang dan sehayun untuk mempastikan kerusi Parlimen Setiawangsa yang disandang oleh Zulhasnan (UMNO) hari ini dapat dipertahankan di dalam PRU13 nanti.
Salah seorang perwakilan daripada UMNO Cawangan Air Madu,
Roselan Abdul Rahman juga sependapat dengan saranan Ketua Pergerakan Wanita itu, dimana menurutnya sudah tiba masanya UMNO tidak lagi terjebak dengan isu-isu dalaman yang boleh melemahkan kekuatan parti.
Dimyati Jaffar, Ketua UMNO Cawangan Seksyen 10 Wangsa Maju pula mahukan supaya kepimpinan UMNO di semua peringkat diberikan suntikan semangat baru untuk memperkuatkan jenteranya di peringkat akar umbi. Beliau yang juga ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Setiawangsa bertekad untuk bekerja keras bersama-sama dengan kepimpinan yang diketuai oleh Dato' Sri Zulhasnan untuk memantapkan lagi perjuangan memenangi hati rakyat dalam menghadapi PRU13 nanti.
Radzi Jaafar daripada UMNO Cawangan Kg. Loke Yew ketika menyampaikan ucapan penangguhannya di persidagan perwakilan UMNO Bahagian Setiawangsa juga mahukan supaya UMNO tidak membiarkan fenomena perpecahan menjadi punca kepada kelemahan untuk kita mempertahankan kerusi di Parlimen Setiawangsa.
Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO Bahagian Setiawangsa,
Haji Ahmad Hashim ketika berucap mewakili ahli jawatankuasa UMNO Bahagian telah mengemukakan beberapa garis panduan untuk mengemaskini jentera penerangan yang membabitkan program-program seperti sudut pidato, siri penerangan isu semasa dan juga program bersemuka dengan rakyat untuk menjana kekuatan parti.
Dalam artikata yang lainnya, rata-rata pemimpin cawangan di Bahagian ini mahukan supaya Dato' Sri Zulhasnan meneruskan agenda memperkukuhkan keyakinan rakyat terhadap parti dengan memberikan keutamaan kepada rakyat akar umbi yang memerlukan pembelaan.
Pada mereka
elemen adu domba yang membabitkan keinginan pemimpin tertentu di Bahagian ini yang dikatakan akan dilonjakkan untuk bersaing dengan Zulhasnan di dalam pemilihan parti akan datang adalah sesuatu yang tidak sihat yang bakal melemahkan parti. Pecacai politik yang oportunis ini lebih gemar untuk mencaturkan supaya wujudnya pertembungan 'ayam laga' sebagai
'placing' untuk menjadi calon di dalam PRU3 nanti bagi kerusi Parlimen Setiawangsa.

Apakah
Dato' Halim Samad, Shuib Ibrahim dan Dato' Izudin Ishak (Lihat foto sebelah) yang dikatakan berada di dalam satu 'Kem Najib' akan bergandingan atau pun akan bersaing sesama sendiri untuk menggantikan Zulhasnan dari tampuk kerusi yang disandangnya hari ini? Sama-samalah kita menyaksikannya
siapa... yang menipu siapa? Pada saya
Dato' Ahmad Fauzi Zahari, Naib Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa haruslah mencongak dengan segala muhasabah apakah dirinya bakal disisih, walaupun beliau juga mempunyai ambisi untuk melonjak ke hadapan. Beliau dilihat begitu intim dan sinonim untuk bergandingan dengan Zulhasnan jika berlaku pertembungan dengan pakatan Halim/Shuib/Izudin.
Pencapaian jumlah undi G7 yang diperolehi oleh Shuib (125 undi) menggambarkan penggabungan ini telah berlaku, walaupun Dato' Halim & Shuib pernah bertembung dalam merebut jawatan Timbalan Ketua Bahagian pada tahun 2008 yang lalu. Pertikaman diantara mereka berdua ketika bertanding dahulu, walaupun telah mengalami kecederaan namun mereka telah sanggup untuk melupakannya demi untuk mengelakkan diri masing-masing daripada berlawan sesama sendiri di musim akan datang.
Harapan saya janganlah Setiawangsa menjadi medan kedai jahit (tailor) untuk mengukur saiz badan menempah bush jacket, di mana akhirnya yang dikejar tak dapat, yang dikendung keciciran. Jika ini terjadi, bukan sahaja Zulhasnan berjaya disisihkan, malah Halim Samad, Shuib, Izudin dan Fauzi hanya menggigit jari dan bush jacket yang ditempahnya bakal menjadi pakaian resmi untuk menyambut kedatangan
calon payung terjun di Setiawangsa. Kah..kah..kah..kah!