Seingat saya, UMNO/BN atau sebelum ini PERIKATAN belum pernah mencacatkan sejarah politiknya dengan menyerah kalah atau 'defeasit' kepada pembangkang sebelum bertempur! Kenyataan Perdana Menteri 'Satu Malaysia' yang memandang serong kepada perletakan jawatan ADUN Penanti yang menyebabkan pilihan raya kecil terpaksa diadakan di kawasan berkenaan, samalah juga pengertiannya bahawa UMNO/BN takut berhadapan dengan realiti politik ini, sehingga Tun Dr. Mahathir sendiri tersentak dengan pendirian yang dibuat oleh Dato' Sri Najib itu.Mantan Perdana Menteri yang masuk semula UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Barisan Nasional (BN) tidak sepatutnya mengaku kalah, sebaliknya perlu meletakkan calon bertanding jika pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Pulau Pinang diadakan.
“Saya fikir kalau kawasan itu kawasan UMNO, kita tentu bertanding, pasal kita ingat ini kawasan parti lawan, maka kita tak nak bertanding.
“Jadi kalau kita nak tunggu kawasan UMNO, nanti tidak ada kawasan UMNO, kita tak bertandinglah,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada forum Arah Tuju Melayu Muda anjuran Pemuda UMNO Raub yang diadakan di Raub kelmarin (Ahad).
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam bahawa BN akan meneliti sama ada mahu menyertai pilihan raya kecil DUN Penanti atau sebaliknya.
Amat jelas sekali tindakan atau pandangan yang dilemparkan oleh Perdana Menteri itu telah menimbulkan pelbagai reaksi yang menggambarkan seolah-olah UMNO tidak yakin lagi dengan sokongan rakyat akar umbi.
Kenapa harus kita mengandaikan dengan mempersoalkan kekosongan kerusi DUN Penanti itu sebagai satu permainan politik parti pembangkang yang telah dapat dikesan, sedangkan perlembagaan jelas menyatakan sekiranya berlaku kekosongan atas apa jua sebab sekali pun hendaklah suatu pilihan raya kecil diadakan di kawasan yang berkenaan.
Jadi, mengapa Najib perlu berkata bahawa pilihan raya kecil itu bukannya sebab peruntukan perlembagaan, kononnya kalau disebabkan perlembagaan baru kita menghormatinya. Apakah kenyataan itu akan mendorong pula tindakan SPR untuk mempersoalkan sekali lagi niat sebenar ADUN bekenaan yang telah meletakkan jawatannya, maka tidak perlu diadakan pilihan raya kecil di kawasan itu?
Jika SPR terheret sekali lagi dengan 'sindrom ketakutan' ini, maka rakyat semakin tidak yakin lagi dengan kewibawaan kerajaan yang didakwa sebagai 'kerajaan berhelah' yang telah menyimpang dari hasrat slogan ciptaan Perdana Menteri yang baru ini - 'Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan'.
Saya merasakan kebimbangan yang amat sangat apabila kenyataan Perdana Menteri itu akan dilihat sebagai pengecut sedangkan ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi tidak diajar sebagai pengecut! Tidak ada sebabnya UMNO/BN harus memberikan kemenangan percuma kepada PKR, semata-mata kita dilihat tidak mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi kerusi DUN Penanti.
Apakah UMNO patut terdorong dengan kenyataan yang memalukan ini sehingga menyerlahkan lagi ketakutan kita untuk berhadapan dengan rakyat? Kalau kita berani mengungkapkan slogan 'RAKYAT PATUT DIDAHULUKAN' maka inilah gelanggang yang terbaik untuk kita membuktikan betapa UMNO dan juga kerajaan persekutuan yang sedang dipimpin ini benar-benar berhati rakyat.
Apa jua keputusan yang bakal dibuat oleh rakyat hendaklah dihormati. Rakyat tidak boleh dianggap terlalu dungu sehingga boleh terbuai dengan mainan slogan yang menggunakan sentimen rakyat, seolah-olah rakyat Malaysia bukan dianggap sebagai 'rakyat' jika tidak menyokong UMNO/BN. Sentimen dan prasangka buruk ini hendaklah dijauhi oleh kumpulan arkitek yang mencanangkan slogan "SATU MALAYSIA - RAKYAT DIDAHULUKAN DAN PENCAPAIAN DIUTAMAKAN".
Kita mungkin boleh menghormati dengan kenyataan Najib menyatakan bahawa dirinya merupakan Perdana Menteri kepada semua rakyat di negara ini. Tetapi kita juga harus menasihatinya supaya tidak meminggirkan mana-mana rakyat yang tidak bersetuju dengan UMNO/BN.
Jika PM bersikap menyebelahi rakyat yang berpihak kepada partinya sahaja, maka matlamat 'SATU MALAYSIA' tidak mungkin tercapai, sebaliknya hanya satu slogan yang retorik sahaja. Dato' Sri Najib juga akan dilihat sebagai Perdana Menteri kepada orang-orang UMNO yang berjumlah 3 juta orang sahaja.
Oleh yang demikian sindrom benci kepada rakyat yang tidak memihak kepada UMNO/BN akhirnya akan membuatkan Perdana Menteri tidak disukai lagi oleh rakyat. Rakyat yang hendak didahulukan adalah rakyat Malaysia keseluruhannya, bukannya rakyat terpilih sahaja. Rakyat yang menjadi ahli dan menyokong mana-mana parti seperti PKR, PAS, DAP, UMNO, MCA, MIC, GERAKAN, PPP, PRS, PBS, SUPP, PBB kesemuanya mengiktiraf Dato' Sri Najib adalah Perdana Menteri mereka, cuma Dato' Sri Najib sahaja yang perlu mencari jalan untuk merakyatkan kepimpinannya.



























































