Afendi Jeman, sahabat saya yang mengapalai Jawatankuasa Penaja UMNO Negeri Sarawak mungkin lebih berbangga dengan kejayaan ini sekiranya 'Taib Mahmud' merelakan UMNO bertapak di negeri ini sepertimana yang telah dirintis oleh Sabah.
Sementara itu, Barisan Nasional yang diterajui UMNO di bumi semenanjung terpaksa menerima hakikat betapa rakyat TIDAK MERESTUI untuk menghadiahkan kemenangan Bukit Gantang dan Bukit Selambau kepada Perdana Menteri yang baru, Dato' Sri Najib Tun Razak.
Keengganan majoriti rakyat di Parlimen Bukit Gantang, Perak dan DUN Bukit Selambau, Kedah untuk merestui rayuan Barisan Nasional yang 'MOHON RESTU RAKYAT' supaya memilih parti itu telah memberikan satu isyarat jelas betapa warga akar umbi telah menolak permohonan itu.
Walaupun Najib dan Muhyidin berkata bahawa keputusan dalam PRK kali ini bukanlah satu referendum rakyat menolak Barisan Nasional secara keseluruhannya, namun pucuk pimpinan baru Barisan Nasional ini hendaklah sentiasa bermuhasabah memikirkan dengan setulus hati bagaimana hendak memulihkan semula keyakinan rakyat terhadap UMNO dan BN.Saya melihat secara insaf betapa rakyat semakin jelik dan mual dengan taktik serangan yang ditubikan oleh UMNO/BN kepada pihak lawan yang begitu dangkal dan sering tersasar ke gawang sendiri.
Sebagai contohnya, kenapa terlalu ghairah sangat menggunakan isu derhaka kepada Raja sedangkan pihak lawan lebih arif malah rakyat marhain juga tahu bahawa UMNOlah yang telah menjuarai menghina Raja-Raja Melayu dengan segala pendedahan tingkah laku Raja/Sultan sehingga mendorong satu akta digubal untuk menghakiskan kekebalan Institusi Raja-Raja Melayu.
Sebab itu apabila UMNO mengheret Dr. Mahathir ke pentas Bukit Gantang dan Bukit Selambau sehari sebelum tarikh pembuangan undi (6 April) dengan menuding jari kepada Nizar Jamaludin yang disifatkan sebagai 'Calon Penderhaka Raja', akhirnya senjata itu telah menikam ke dada UMNO sendiri.
Rakyat sebagai 'Raja Demokrasi' telah membuat keputusan bahawa Nizar telah direstui sebagai bukan penderhaka, sebaliknya label penderhakaan itu dilihat hanya gimik politik yang dipenglipur larakan oleh UMNO untuk memikat hati rakyat supaya melupakan saja apa yang pernah UMNO lakukan terhadap Institusi Raja-Raja Melayu sehingga ada Raja Melayu yang telah diheret dengan kes mahkamah.
Sememangnya tidak dinafikan ada kebaikannya kepada rakyat apabila mengurangkan kekebalan Raja-Raja Melayu ini, tetapi amat buruk sifatnya jika memperdayakan Sultan yang tidak kebal lagi itu sehingga meruntuhkan sebuah kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat di Negeri perak.
Apabila keputusan Sultan Perak telah dipertikaikan di Mahkamah kerana Nizar enggan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Perak, ini juga bermakna betapa UMNO tidak cermat mentafsirkan undang-undang sehingga memperdayakan Sultan kononnya kedudukan seri 28-28 dengan Pakatan Rakyat telah memungkinkan BN merampas kuasa untuk membentuk kerajaan baru, setelah tiga ADUN yang tidak berparti itu diminta mengangguk supaya menyokong BN.
Kewajaran Menteri Besar ketika itu menasihati Sultan agar membubarkan DUN telah ditolak oleh Baginda sebaliknya titah perintah Sultan agar Nizar melepaskan jawatannya telah dijadikan isu kononnya Nizar telah derhaka kepada Sultan. Nizar belum lagi meletakkan jawatannya malah Nizar belum lagi diberikan undi tidak percaya oleh anggota Dewan, maka Nizar dari segi persepsi undang-undang tubuh negeri Perak masih sah seabagai Menteri Besar Perak.
Tun Dr. Mahathir sebelum merujuk semula ke dalam UMNO dan Tengku Razaleigh Hamzah juga beranggapan sedemikian yang menyifatkan tindakan Najib itu sebagai TIDAK BETUL. Apakah Tun Dr. Mahathir ingin menarik semula dakwaannya itu setelah masuk semula ke dalam UMNO dan kini menyerang pula Nizar sebagai penderhaka Sultan?
Selain daripada isu Raja yang digendangkan, UMNO/BN juga terlalu ghairah dengan isu tanah kononnya semasa Nizar menjadi Menteri Besar Perak beliau telah menganugerahkan tanah kepada komuniti Cina di Perak.
Isu yang dibiolakan ini sebenarnya telah menguntungkan Nizar, kerana pengundi Cina yang menjadi penentu di Bukit Gantang agak tersinggung dengan paluan gendang ini dan mereka menaganggap memang betullah UMNO yang tebal sentimen perkaumannya seolah-olah masyarakat Cina di negara ini tidak layak diberikan sebidang tanah untuk mereka usahakan penanaman sayur. Komuniti Cina di Perak angkat topi kepada Nizar kerana Nizar dilihat pemimpin yang tidak menganak tirikan mereka yang telah menjadi sebahagian daripada warga negara.
UMNO hendaklah mengubah hala tuju perjuangannya, supaya tidak dilihat anti kepada bangsa yang bukan Melayu di negara ini. Mereka tahu bahawa pemimpin UMNO gemar meniupkan semangat ketuanan Melayu apabila di pentas sendiri, dan memperdayakan Cina & India apabila berada di platfom BN dengan slogan perpaduan. Masihkah kita ingat betapa Sdra Ahmad Ismail, seorang Ketua UMNO Baagian di Pulau Pinang telah dikambing hitamkan (Digantung keahliannya) kerana beliau dikatakan telah mengungkit hak bangsa asing di negara ini sehingga menyinggung masyarakat Cina.
UMNO terpaksa mengikut kehendak pemimpin komponennya supaya segera bertindak kepada pemimpin UMNO Bahagian ini demi hendak menjaga hati. Inilah risiiko yang terpaksa dibayar oleh UMNO akibat terlalu gemar dengan sentimen perkauman yang didendangkan. Najib harus segera mencipta satu formula "SATU MALAYSIA" mengikut acuan rakyat yang berbilang bangsa di negara ini.
"Satu Malaysia" ialah negara yang yang dapat disatukan, diseragamkan dan diintegrasikan. 'Satu Malaysia' yang diimpikan bukanlah masyarakatnya yang masih tegar dengan sifat perkaumannya, sehingga sukar untuk disatukan akibat gejolak ketuanan bangsa masing-masing. Masyarakat Cina bimbang dengan api perkauman yang membara yang terdapat di dalam UMNO. Mereka juga ragu dengan MCA kerana parti yang berasaskan kaum Cina ini dikatakan sudah kehilangan taringnya. Begitu jugalah dengan MIC yang terpaksa tunduk dengan desakan Hindraf kerana parti India ini dikatakan sudah tidak relevan lagi untuk perjuangan komuniti India.
Sampai bilakah perjuangan berasaskan kaum ini harus ditebalkan sehingga terjalin suatu bentuk perjuangan yang baru iaitu "SATU MALAYSIA" yang sedang digagaskan oleh Perdana Menteri yang baru ini.
PKR sebagai sebuah parti berbilang kaum di negara ini telah muncul sebagai satu ancaman kepada UMNO yang masih mengharapkan simpati keMelayuannya sahaja. Sementara PAS pula merupakan komponen terkuat Pakatan Rakyat yang berlandaskan kepada perjuangan Islam begitu kuat wownya sehingga mendorong lebih ramai cendikiawan Melayu menyertai parti itu yang juga disokong kuat oleh golongan muda hari ini.Parti DAP yang dulunya dilihat terlalu chauvinistik dengan keCinaannya, kini telah berjaya dilembutkan oleh Anwar Ibrahim sehingga mereka telah bersekongkol untuk memenangi hati rakyat semua bangsa di negara ini, juga telah menganggap Anwar Ibrahim adalah pemimpin yang berjaya menyatu padukan semua kepentingan bangsa di negara ini.
Karismatik Anwar Ibrahim walaupun dianggap oleh UMNO sebagai pemimpin retorik, namun Anwar telah membuktikan auranya mampu menumpaskan pengaruh UMNO di mana saja odeon piliha nraya kecil diadakan. Ceramahnya yang sentiasa segar masih diminati ramai walau di ceruk mana sekalipun ia diadakan. Dia mampu menghimpunkan lima ribu, sepuluh ribu, dua puluh ribu malah di kuala Terengganu lebih 60 ribu lautan manusia begitu terpegun dengan ceramahnya.Di Bukit Selambau sendiri, beliau telah berceramah di Dewan Hock Seng yang mampu muat sekitar dua ribu orang, tetapi kehadiran orang ramai telah melempah di luar dewan sehingga mencecah lebih kurang 10 ribu orang yang berasak di atas bukit, di bawah bukit, di tepi jalan, di lorong-lorong sehingga trafic jam sejauh 10km.
Faktor Anwarisme ini hendaklah dilihat sebagai satu cabaran yang sentiasa merundung malang nasib UMNO dan BN. UMNO harus mampu mencipta tokoh seperti Anwar ini, bukannya Ezam, bukannya Zahid Hamidi, jauh sekali Hishammuddin. Najib sebenarya berkeupayaan untuk memintas Anwar, tetapi Najib hendaklah membuktikan dirinya bukan sahaja berkarisma malah Najib haruslah kelihatan bersih daripada sebarang gejala yang boleh merosakkan kariernya.




























