assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Wednesday, April 8, 2009

BN mohon restu rakyat, tapi rakyat menolaknya.

Barisan Nasional akhirnya tumpas di dua kawasan pilihan raya kecil N.25 Bukit Selambau dan P.059 Bukit Gantang. Kejayaan BN di N.29 Batang Ai, Sarawak sekadar mampu dibanggai oleh Ketua Menterinya, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta kuncu-kucu komponennya di negeri yang TIDAK MERESTUI Umno bertapak di Bumi Kenyalang itu.

Afendi Jeman, sahabat saya yang mengapalai Jawatankuasa Penaja UMNO Negeri Sarawak mungkin lebih berbangga dengan kejayaan ini sekiranya 'Taib Mahmud' merelakan UMNO bertapak di negeri ini sepertimana yang telah dirintis oleh Sabah.

Sementara itu, Barisan Nasional yang diterajui UMNO di bumi semenanjung terpaksa menerima hakikat betapa rakyat TIDAK MERESTUI untuk menghadiahkan kemenangan Bukit Gantang dan Bukit Selambau kepada Perdana Menteri yang baru, Dato' Sri Najib Tun Razak.

Keengganan majoriti rakyat di Parlimen Bukit Gantang, Perak dan DUN Bukit Selambau, Kedah untuk merestui rayuan Barisan Nasional yang 'MOHON RESTU RAKYAT' supaya memilih parti itu telah memberikan satu isyarat jelas betapa warga akar umbi telah menolak permohonan itu.

Walaupun Najib dan Muhyidin berkata bahawa keputusan dalam PRK kali ini bukanlah satu referendum rakyat menolak Barisan Nasional secara keseluruhannya, namun pucuk pimpinan baru Barisan Nasional ini hendaklah sentiasa bermuhasabah memikirkan dengan setulus hati bagaimana hendak memulihkan semula keyakinan rakyat terhadap UMNO dan BN.

Saya melihat secara insaf betapa rakyat semakin jelik dan mual dengan taktik serangan yang ditubikan oleh UMNO/BN kepada pihak lawan yang begitu dangkal dan sering tersasar ke gawang sendiri.

Sebagai contohnya, kenapa terlalu ghairah sangat menggunakan isu derhaka kepada Raja sedangkan pihak lawan lebih arif malah rakyat marhain juga tahu bahawa UMNOlah yang telah menjuarai menghina Raja-Raja Melayu dengan segala pendedahan tingkah laku Raja/Sultan sehingga mendorong satu akta digubal untuk menghakiskan kekebalan Institusi Raja-Raja Melayu.

Sebab itu apabila UMNO mengheret Dr. Mahathir ke pentas Bukit Gantang dan Bukit Selambau sehari sebelum tarikh pembuangan undi (6 April) dengan menuding jari kepada Nizar Jamaludin yang disifatkan sebagai 'Calon Penderhaka Raja', akhirnya senjata itu telah menikam ke dada UMNO sendiri.

Rakyat sebagai 'Raja Demokrasi' telah membuat keputusan bahawa Nizar telah direstui sebagai bukan penderhaka, sebaliknya label penderhakaan itu dilihat hanya gimik politik yang dipenglipur larakan oleh UMNO untuk memikat hati rakyat supaya melupakan saja apa yang pernah UMNO lakukan terhadap Institusi Raja-Raja Melayu sehingga ada Raja Melayu yang telah diheret dengan kes mahkamah.

Sememangnya tidak dinafikan ada kebaikannya kepada rakyat apabila mengurangkan kekebalan Raja-Raja Melayu ini, tetapi amat buruk sifatnya jika memperdayakan Sultan yang tidak kebal lagi itu sehingga meruntuhkan sebuah kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat di Negeri perak.

Apabila keputusan Sultan Perak telah dipertikaikan di Mahkamah kerana Nizar enggan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Perak, ini juga bermakna betapa UMNO tidak cermat mentafsirkan undang-undang sehingga memperdayakan Sultan kononnya kedudukan seri 28-28 dengan Pakatan Rakyat telah memungkinkan BN merampas kuasa untuk membentuk kerajaan baru, setelah tiga ADUN yang tidak berparti itu diminta mengangguk supaya menyokong BN.

Kewajaran Menteri Besar ketika itu menasihati Sultan agar membubarkan DUN telah ditolak oleh Baginda sebaliknya titah perintah Sultan agar Nizar melepaskan jawatannya telah dijadikan isu kononnya Nizar telah derhaka kepada Sultan. Nizar belum lagi meletakkan jawatannya malah Nizar belum lagi diberikan undi tidak percaya oleh anggota Dewan, maka Nizar dari segi persepsi undang-undang tubuh negeri Perak masih sah seabagai Menteri Besar Perak.

Tun Dr. Mahathir sebelum merujuk semula ke dalam UMNO dan Tengku Razaleigh Hamzah juga beranggapan sedemikian yang menyifatkan tindakan Najib itu sebagai TIDAK BETUL. Apakah Tun Dr. Mahathir ingin menarik semula dakwaannya itu setelah masuk semula ke dalam UMNO dan kini menyerang pula Nizar sebagai penderhaka Sultan?

Selain daripada isu Raja yang digendangkan, UMNO/BN juga terlalu ghairah dengan isu tanah kononnya semasa Nizar menjadi Menteri Besar Perak beliau telah menganugerahkan tanah kepada komuniti Cina di Perak.

Isu yang dibiolakan ini sebenarnya telah menguntungkan Nizar, kerana pengundi Cina yang menjadi penentu di Bukit Gantang agak tersinggung dengan paluan gendang ini dan mereka menaganggap memang betullah UMNO yang tebal sentimen perkaumannya seolah-olah masyarakat Cina di negara ini tidak layak diberikan sebidang tanah untuk mereka usahakan penanaman sayur. Komuniti Cina di Perak angkat topi kepada Nizar kerana Nizar dilihat pemimpin yang tidak menganak tirikan mereka yang telah menjadi sebahagian daripada warga negara.

UMNO hendaklah mengubah hala tuju perjuangannya, supaya tidak dilihat anti kepada bangsa yang bukan Melayu di negara ini. Mereka tahu bahawa pemimpin UMNO gemar meniupkan semangat ketuanan Melayu apabila di pentas sendiri, dan memperdayakan Cina & India apabila berada di platfom BN dengan slogan perpaduan. Masihkah kita ingat betapa Sdra Ahmad Ismail, seorang Ketua UMNO Baagian di Pulau Pinang telah dikambing hitamkan (Digantung keahliannya) kerana beliau dikatakan telah mengungkit hak bangsa asing di negara ini sehingga menyinggung masyarakat Cina.

UMNO terpaksa mengikut kehendak pemimpin komponennya supaya segera bertindak kepada pemimpin UMNO Bahagian ini demi hendak menjaga hati. Inilah risiiko yang terpaksa dibayar oleh UMNO akibat terlalu gemar dengan sentimen perkauman yang didendangkan. Najib harus segera mencipta satu formula "SATU MALAYSIA" mengikut acuan rakyat yang berbilang bangsa di negara ini.

"Satu Malaysia" ialah negara yang yang dapat disatukan, diseragamkan dan diintegrasikan. 'Satu Malaysia' yang diimpikan bukanlah masyarakatnya yang masih tegar dengan sifat perkaumannya, sehingga sukar untuk disatukan akibat gejolak ketuanan bangsa masing-masing. Masyarakat Cina bimbang dengan api perkauman yang membara yang terdapat di dalam UMNO. Mereka juga ragu dengan MCA kerana parti yang berasaskan kaum Cina ini dikatakan sudah kehilangan taringnya. Begitu jugalah dengan MIC yang terpaksa tunduk dengan desakan Hindraf kerana parti India ini dikatakan sudah tidak relevan lagi untuk perjuangan komuniti India.

Sampai bilakah perjuangan berasaskan kaum ini harus ditebalkan sehingga terjalin suatu bentuk perjuangan yang baru iaitu "SATU MALAYSIA" yang sedang digagaskan oleh Perdana Menteri yang baru ini.

PKR sebagai sebuah parti berbilang kaum di negara ini telah muncul sebagai satu ancaman kepada UMNO yang masih mengharapkan simpati keMelayuannya sahaja. Sementara PAS pula merupakan komponen terkuat Pakatan Rakyat yang berlandaskan kepada perjuangan Islam begitu kuat wownya sehingga mendorong lebih ramai cendikiawan Melayu menyertai parti itu yang juga disokong kuat oleh golongan muda hari ini.

Parti DAP yang dulunya dilihat terlalu chauvinistik dengan keCinaannya, kini telah berjaya dilembutkan oleh Anwar Ibrahim sehingga mereka telah bersekongkol untuk memenangi hati rakyat semua bangsa di negara ini, juga telah menganggap Anwar Ibrahim adalah pemimpin yang berjaya menyatu padukan semua kepentingan bangsa di negara ini.

Karismatik Anwar Ibrahim walaupun dianggap oleh UMNO sebagai pemimpin retorik, namun Anwar telah membuktikan auranya mampu menumpaskan pengaruh UMNO di mana saja odeon piliha nraya kecil diadakan. Ceramahnya yang sentiasa segar masih diminati ramai walau di ceruk mana sekalipun ia diadakan. Dia mampu menghimpunkan lima ribu, sepuluh ribu, dua puluh ribu malah di kuala Terengganu lebih 60 ribu lautan manusia begitu terpegun dengan ceramahnya.

Di Bukit Selambau sendiri, beliau telah berceramah di Dewan Hock Seng yang mampu muat sekitar dua ribu orang, tetapi kehadiran orang ramai telah melempah di luar dewan sehingga mencecah lebih kurang 10 ribu orang yang berasak di atas bukit, di bawah bukit, di tepi jalan, di lorong-lorong sehingga trafic jam sejauh 10km.

Faktor Anwarisme ini hendaklah dilihat sebagai satu cabaran yang sentiasa merundung malang nasib UMNO dan BN. UMNO harus mampu mencipta tokoh seperti Anwar ini, bukannya Ezam, bukannya Zahid Hamidi, jauh sekali Hishammuddin. Najib sebenarya berkeupayaan untuk memintas Anwar, tetapi Najib hendaklah membuktikan dirinya bukan sahaja berkarisma malah Najib haruslah kelihatan bersih daripada sebarang gejala yang boleh merosakkan kariernya.

9 comments:

Anonymous said...

Salam Tn. Abd. Rahman,

Inilah satu analisa yg cemerlang, jujur dan tepat. Sebenarnya rakyat dahagakan pemimpin seperti tuan yg berpijak dibumi nyata bukan mengidap penyakit penafian seperti yg tertulis di akhbar2 arus perdana, TV1, TV2 dan TV3. Apabila berita yg keluar tidak mahu menceritakan yg pahit, inilah jadinya rakyat menolak terus BN, dan nampaknya mmg tidak berdaya lagi untuk bangun.

Ramli Mohd Yunus said...

Saudara Rahman,

Sebagai seorang Ahli Jawatankuasa Bahagian, saya kagum dan teruja dengan huraian dan pandangan saudara.

Saya juga begitu dan amat setuju dengan pandangan dan sikap saudara. UMNO kena belajar dari sejarah dan realiti politik masakini.

Sila lah jengok jengok blog saya. Kita serupa sahabat....

Ramli Mohd Yunus

khalqisli.blogspot.com said...

salam buat Man...

alhamdulillah.pandangan yg begitu baik dan sedap setiap org mmbacanya..Pak lili begitu berminat membaca setiap pendapat Aman dlm setiap siri2 penceritaan..

Pandangan yg begitu ikhlas jujur..malah sentiasa mengakui segala kebenaran yg berlaku..terlalu sukar nak mencari blog penyokong UMNO yg sebegini...
Sentiasa menerima segala kebenaran..bukan pada setengah penulis or org UMNO yg lain sentiasa lari dari kesilapan dan kelemahan parti itu sendiri...

YAB Dato' Zamri sendiri masih tidak mengakui kekalahan Bukit gantang..masih sikap ego melanda diri..masih bangga memperkatakan bahaya bukan semua tpt UMNO kalah..ada peti undi yg UMNO menang katanya...itu semua tidak penting ..kita cuma nak totaly ....mungkin org makin muak dgn sikap pemimpin yg sebegini...tidak habis2 dgn sikap ego..rakyat suka pada pemimpin yg telus..jujur...
malah apa yg berlaku di bukit gantang sehari sebelum pilihanraya..semua rakyat dah tahu apabila Nizar mengimamkan solah dimasjid kemudian memberi sedikit Tazkirah..semua itu atas permintaan Imam masjid itu sendiri berdasarkan ilmu dan kemapuan yg ada pada Nizar..malah itulah pghormatan yg diberikan oleh rakyat kepada Nizar...Dimasjid yg sama ketika itu dihadhiri juga Tan Sri Muhyidin dan Zamri sendiri....kenapa Imam tidak meminta zamri jadi imam.....ini sudah tentu ketokohan zamri langsung tiada utk jadi imam...
Zamri tau semua itu...tapi dia telah membohongi rakyat dlm ceramahnya yang mengatakan VNizar telah merampas mickrofon dari Imam masjid...kenapa zamri sebagai seorang pemimpin malah MB...sanggup membohongi rakyat yg sememaang dah tahu kedudukan sebenar...ini lah satu punca rakyat bertambah muak...ok la..byk lagi rasanya Pak lili nak coret dlm ni...tp pnjang sgt plak nnt..Paklili ada disana ketika kejadian itu..

Wassalam.

Anonymous said...

salam,
Bro Rahman .

Salah seorang yang layak menduduki panel badan bebas PARTI UMNO yang di cadangkan oleh Dato Seri Najib PM .

Tonenation Raakyat ada , kritis dan seni Politik Tanah Air berakar dan bertunjang kan realiti ada kala nya membakar jarang sekali merenjis . Raja pentas ketika beraksi bagai IKON ketika ini.

Bro bila nak buat road show diSetiawangsa . Permit no problem Dato Zul (BOS)ada .
Pada Dato Zul jangan dikandang Bro Rahman tu lepaskan dipentas tempatnya . Saya percaya ramai lagi pendekar yang bersuara raakyat akan bersama disetiawangsa seiring bersama Dato MT calon No22 tempat ke22 Tahniah dato .

ok Bro
Salam .

Anonymous said...

Salam, Bro..

IKHLAS....DARI HATI...
Dahulu saya adalah penyokong umno/bn kini tidak lagi saya menyokong PAS dan pakatan rakyat.

MENGAPA ? kerana bagi saya,umno kini bukan lagi seperti zaman mambantu rakyat TAPI zaman membantu kroni...batang tubuh persiden sendiri telah tercemar dengan skandalnya...bro..cuba bro fikir dengan akal yang waras tanpa guna lawak jenaka atau majik...

BAGAIMANA? Dua polis UTK itu perolehi C4 tanpa kelulusan dari najib sebagai menteri pertahanan dan APA KEJADAHNYA beliau di bunuh dan SIAPA yang memadamkan senarai rekod kemasukan Altantuya ke Malaysia?...persoalan2 ini bermain di fikiran rakyat marhain yang cuba di perbodohkan oleh Mahkamah Malaysia yang cuba melindung orang kenamaan.

Bro...Najib semenag tak bersih...macamana kami nak sokong BRo...Peninglah bro. tenguk orang umno angkat dan sanjung Najib jadi PM ke 6...mual dan loya...

Kamaludin said...

Asslamualaikum wbt.

Saya memang mengharapkan ramai lagi pemimpin umno seperti saudara ini yang tidak meniupkan sentimen perkauman. Mungkin saudara banyak bergaul dengan semua bangsa yang berada di sekeliling saudara. Saya memang membesar di sekeliling bangsa cina dan perasaan perkauman saya memang sungguh nipis sekali. Ini bukan bererti saya tidak cintakan melayu.

Tetapi sampai bila kita akan hidup dalam keadaan yang penuh dengan syak wasangka ini. Sepatutnya pemimpin-pemimpin menyedarkan setiap ahli akan hakikat yang malaysia ini berbilang kaum dan setiap warganegara ada haknya. Kita selalu iri hati dengan orang cina yang mengawal ekonomi negara, tapi bagi saya memang patut pun mereka mendapatnya kerana mereka memang bekerja keras untuk itu. Kalau kita orang melayu bekerja sekuat dan serajin mereka kita juga boleh berjaya. Kita juga kena sedar, kita juga mendapat kenikmatan dari kerja keras mereka melalui pendapatan negara yang dihasilkan oleh mereka.

Bagi Umno untuk memulihkan imej memang sukar tapi tidak mustahil. Bermula dari pemimpim hingga ke ahli biasa semuanya kena berubah. Allah telah menukilkannya dalam alQuran, kalau suatu kaum itu nak berubah mereka mesti mengubah apa yang dalam diri mereka, dari segi cara memandang, etika, jatidiri, tingkahlaku dan segalanya. Tunjukkan pada orang lain di malaysia ini macamana sebenarnya orang melayu Islam, dan tunjukkan yang orang melayu ini boleh dipercayai.

Anonymous said...

Rahman

Inilah dunia org berpolitik. Kita mmg seronok tunjuk kehebatan kita dgn kata2 yang hebat dan sedap telinga org mendengarnya. Tapi, sebelum kita menulis busuk org lain kita bau badan kita sendiri. Aku tak paham apa yg kau tak puas hati dgn Tun Dr Mahathir sampai kau panggil dia Surat Khabar Lama. Kau sedar tak anak bini kau hidup senang masa zaman siapa? Kau ukur diri kau sendiri rahman. Masa pemilihan bahagian Setiawangsa setiap mlm kau dengan kelumpuk yang melawan zulhasnan. Tapi bila kelumpuk kau kalah dgn pantas kau kipas zulhasnan jd pengikut2 menteri wilayah. Mcm ni ke org yg layak nak kutuk Tun Dr Mahathir???? Kenapa kau tak usik BOS baru kau Zulhasnan pasal kehancuran Wilayah dlm PRU 12??? Gajah depan mata kau takut nak 'SOUND' tp seluar dalam org lain kau sibuk nak tau warna apa.....

Lg satu kalau kau betul hebat berpolitik dan memperjuangkan jalan yg betul kenapa dari tahun 1979 berpolitik sampai skrg kau jd AJK bahagian jer??? Takde pun kau jd Ketua Bahagian........

Pasal perkauman, kau sedar tak apa yg kau usulkan tak ubah mcm apa yg diperkatakan DAP MALAYSIAN MALAYSIA. Kau nak angkat bangsa lain kenapa?? Kenapa kita mesti takut nak ckp yg Malaysia ialah hak org MELAYU??? Kenapa ORG MELAYU mesti kena jaga hati bangsa lain??? Kau baca ruangan iklan utk mencari kerja dalam surat khabar ada tak iklan yg tulis utk org cina sahaja dan mesti fasih berbahasa dan menulis dalm bahasa cina shj. Ni apa maknanye????

Maafla kalau aku katakan yg blog kau ni mcm ada agenda yg tak elok. Kalau kau nak jd pengkritik politik elok kau keluar dari UMNO dan jadi penganalisis dan pengkritik politik. Lagi masyukkk. Lg byk kau dpt dr apa yg kau dpt masa pemilihan kat bahagian Setiawangsa ari tu....... Kau pun paham la sape yg kau bawa kan???

Anonymous said...

Salam bro Rahman,

Sebenarnya rakyat Malaysia sudah tak sanggup lagi mempunyai PM dan pemerintahan yg dimonopoli oleh keluarga Razak, Hussein Onn, dan Mahathir. Seolah-olah Kerajaan Malaysia ini harta milik keluarga mereka yg diserahkan secara bergilir-gilir. Oleh itu cukuplah Najib yg menjadi PM yg terakhir dari keluarga ini dan tidak perlu lagi diwasiatkan untuk Hishamuddin dan Mukriz. Cukuplah setakat itu... dan bagaimana untuk menamatkannya? Kita semua perlu bersatuhati memilih kerajaan yg baru.

Anonymous said...

rumusan pasca prk yang mantap!

muhammad hafiz