Gempar.....dua peristiwa berlaku serentak semalam (4 April). Tun Dr. Mahathir Mohamad mantan Presiden UMNO selama 22 tahun yang bertindak keluar parti kerana marahkan Pak Lah kini masuk semula UMNO, setelah Pak Lah tidak lagi memimpin parti itu.Beliau dan isterinya telah menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Dato' Sri Najib Presiden UMNO yang baru saja menggantikan Pak Lah di dalam Perhimpunan Agung UMNO yang berakhir pada 28 Mac lepas.
Manakala pada hari yang sama juga telah berlaku kejutan di Bukit Selambau dimana 6000 ahli Parti Progresif Rakyat (PPP) di negeri Kedah yang diketuai Naib Presiden parti itu, V. Nagarajan telah bertindak keluar daripada parti itu yang disifatkan telah memalukan Barisan Nasional yang baru saja dipimpin oleh Dato' Sri Najib Tun Razak.V. Nagarajan telah menyerahkan borang kemasukannya di dalam PKR kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim beserta dengan 300 borang keahlian PKR yang lainnya (Peringkat Pertama), manakala selebihnya akan dibuat selepas pilihan raya kecil ini. Penyertaan 6000 ahli PPP itu meliputi 8 Bahagian daripada 62 buah cawangan dalam negeri Kedah yang turut dibubarkan serentak. Lapan Bahagian PPP itu ialah dari Bahagian Alor Star, Kubang Pasu, Kuala Kedah, Kulim, Baling, Sungai Petani dan Merbok.
Turut mengumumkan penyertaan ke dalam PKR ialah Ketua UMNO Cawangan Kg. Jerai, Marzuki Md. Akib yang disertai 51 ahli UMNO Cawangan berkenaan. Mereka telah menyerahkan borang keahlian PKR sempena majlis ceramah Anwar pada malam kelmarin.
Dato' Seri Anwar Ibrahim (Lihat foto di sebelah) dalam satu ceramahnya yang memukau malam tadi di Dewan Hock Seng Sg. Lalang di Bukit Selambau juga menyatakan bahawa satu pengumuman penting akan dibuat olehnya selepas 7 April ini yang membabitkan perkembangan politik semasa. Kira-kira 10,000 orang yang menghadiri ceramahnya itu ternanti-nantikan pengumuman penting itu yang dikatakan akan dibuat oleh Anwar sempena majlis ceramah tersebut.Namun begitu Anwar berkata setelah berbincang dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat yang lainnya, beliau hanya akan membuat pengumuman itu selepas selesai pilihan raya kecil di tiga buah kawasan pada 7 April nanti.
Dalam satu perkembangan yang lainnya, difahamkan Tun Dr. Mahathir Mohamad dijangka akan bergerak ke Bukit Gantang dan ke Bukit Selambau untuk membantu calon-calon BN di sana sebaik saja menyedari bahawa dirinya telah banyak membawa kerosakan kepada parti sejak Pak Lah memimpin UMNO. Biarlah Dr. M membetulkan semuanya ini!
Apakah kehadirannya kali ini di dalam misi memenangi hati rakyat di Bukit Gantang dan Bukit Selambau untuk menyokong BN mampu mengubah kebencian akar umbi terhadap UMNO/BN setelah bertubi-tubi beliau mencerca pemimpin parti itu yang dikatakannya digenangi dengan perasuah? Parti inilah yang pernah diramalkannya akan musnah di dalam PRU13 nanti.
Tun Dr. Mahathir dulunya sering mengingatkan ahli-ahli UMNO tentang kesetiaan, kesepaduan dan peri pentingnya nilai pengorbanan terhadap perjuangan UMNO, tetapi beliau jugalah yang mempamerkan ketidaksetiaan, mengkritik sehingga memalukan seluruh tubuh badan UMNO sehingga UMNO hampir direbahkan.
Apakah bentuk teladan yang dapat dimegahkan dari seorang pemimpin UMNO seperti Dr. Mahathir ini yang lidahnya penuh berbisa lagi bercabang? Kalau dia boleh mengkritik dan mencaci pemimpin parti, apalah salahnya jika kita pula menegur dia?
Dr. Mahathir bukanlah malaikat, tetapi kejayaan beliau selama ini bukan bermakna dia tidak boleh ditegur lagi. Apakah beliau saja yang boleh menegur pemimpin, sedangkan beliau juga pernah menjadi peneraju yang tidak kurang juga dengan serba serbi kelemahannya. Lagi pun tidak semua kritikan pedasnya betul belaka...oleh itu waspadalah Najib supaya lebih berhati-hati dengan orang seperti ini. Langit tidak selalunya cerah!
































