assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Tuesday, March 31, 2009

Kepala Harimau, Ayam Jantan, Ikan, sertai pilihan raya di Bukit Selambau...

15 Calon Bukit Selambau

Pilihan raya kecil di Kawasan DUN Bukit Selambau yang akan berlangsung pada 7 April depan akan menyaksikan lambang-lambang seperti kepala harimau, ayam jantan, ikan, kapal terbang, basikal, kelapa sawit, payung, kunci, telefon, kerusi, jam, bas dan buku yang akan digunakan oleh 13 calon bebas yang akan bertanding menentang calom BN dan PKR.

Lambang-lambang ini bakal memeriahkan dan akan mewarnai kempen-kempen yang sedang berjalan di Bukit Selambau sejak 29 Mac lalu sehingga tarikh pembuangan undinya pada7 April 2009 nanti.

Persoalannya ialah kenapa begitu ramai calon bebas yang ghairah untuk bertanding di DUN Bukit Selanbau ini? Apakah ini satu indikasi yang memperlihatkan wujudnya ketidak puasan hati di kalangan pengundi terhadap calon BN dan juga PKR yang tidak dapat diterima oleh mereka? UMNO yang mengidamkan kerusi ini tentunya terkilan kerana inilah peluang terbaik untuk UMNO mencipta kemenangan, tetapi terpaksa akur dengan calon MIC (Datuk S. Ganesen) yang telah ditetapkan oleh parti.

Begitu juga dengan calon PKR (Manikumar) yang dilihat tidak disenangi oleh pengundi-pengundi India, sehingga ada yang merajuk dan kecewa serta mengugut untuk keluar parti. Nampaknya kedua-dua calon berketurunan India ini menjadi tidak senang duduk, kerana selain mereka akan muncul di gelanggang nanti ialah calon-calon berkepala harimau, dalam ladang kelapa sawit, berkokok ayam jantan, deringan jam, berkunci, sekilas ikan, berpayung, berbasikal, menaiki bas, membaca buku, berkerusi, bertelefon, atas kapal terbang.

Daripada 15 calon yang diumumkan layak bertanding itu adalah terdiri daripada 6 calon Melayu, 8 calon India dan 1 calon Cina. Komposisi calon-calon yang menyertai pertandingan di dalam pilihan raya kecil Bukit Selambau ini juga bakal menyaksikan undi yang bertaburan untuk melingkupkan peluang BN dan juga PKR memenangi PRK tersebut.

Di dalam PRU12 yang lalu kedua-dua calon BN dan PKR tewas di tangan calon Bebas, dan akhirnya calon bebas tersebut telah memasuki PKR seterusnya dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Kedah sebelum beliau meletakkan jawatannya bagi membolehkan PRK diadakan di kawasan ini. Jika calon bebas menang kali ini, apakah mereka berpeluang untuk diserapkan sekali lagi sebagai Exco Kerajaan Negeri Kedah?

Jika mereka menyertai UMNO/MIC peluang untuk dilantik sebagai anggota Exco akan terlepas begitu saja, kerana penyertaan itu tidak membawa arti kepada BN untuk memerintah semula negeri Kedah. Oleh yang demikian, cita-cita untuk menjadi anggota Exco hanya terbentang luas sekiranya calon bebas yang menang itu masuk Pakatan Rakyat. Sama-sama kita saksikan betapa uniknya PRK di Bukit Selambau kali ini.

Lambang Parti Yang Bertanding di Bukit Selambau


Datuk S. Ganesen
(Barisan Nasional)

S. Manikumar
(PKR)

Lambang-Lambang Calon Bebas
Bukit Selambau

R. Loganathan
(lambang kelapa sawit)

Tan Hock Huat
(kunci)


Radzi Md Lazim
(kerusi)

Mohd Fadzil Abdul Wahab
(kepala harimau)

Abdul Rahim Abu
(jam loceng)

L. Sarala
(basikal)

A. Jayagopal
(payung)

S. Moganakumar
(buku)

Khamis Awang
(ayam jantan)

Husaini Yaacob
(bas)

M. Vanesan
(ikan)


Mejar (B) Anuar Abd Hamid
(telefon)

T.Chandrarajan
(kapal terbang)

Monday, March 30, 2009

Sejauh mana peralihan kuasa di dalam UMNO mempengaruhi pilihan raya kecil di dua Bukit dan satu Batang?

Tiga pilihan raya kecil yang berjalan serentak mulai 29 Mac menyaksikan Barisan Nasional akan ditentang hebat oleh calon-calon daripada Pakatan Rakyat. BN yang kalah di dua PRK sebelum ini, iaitu di Permatang Pauh dan di Kuala Terengganu bertekad TIDAK MAHU kalah lagi di tiga-tiga buah kawasan pilihan raya kecil, iaitu di Parlimen Bukit Gantang (Perak), DUN Bukit Selambau (Kedah) dan juga DUN Batang Ai (Sarawak).

Di Parlimen Bukit Gantang, calon BN Ismail Sapian tak semena-mena telah ditentang oleh Dato' Seri Ir. Mohd. Nizar Jamaluddin yang menjadi calon PAS, yang pernah menjadi Menteri Besar Perak selama 10 bulan sebelum digulingkan secara kudeta oleh UMNO/BN pada 6 Februari lalu. Seorang calon Bebas, Kamarul Amizu juga turut bertanding merancakkan lagi pilihan raya kecil Bukit Gantang ini. (Lihat Foto)

Manakala di Kawasan DUN Bukit Selambau pula telah mencatatkan satu sejarah dimana 15 calon yang akan berentap. Calom BN Dato' S. Ganesan dari MIC akan ditentang oleh calon PKR S. Manikumar dan 13 calon BEBAS yang lainnya yang terdiri daripada L. Sasila, T. Chandrajan, R. Loganathan, A. Jayagopal, S. Moganakumar, Vanesen Michael, Tan Hock Kuat, Mohd. Fazil Abd. Wahab, Anuar Abd. Hamid, Husaini Yacob, Abd. Rahim Abu, Radzi Md. Lazim dan Khamis Awang.

Di DUN Batang Ai pula menyaksikan satu lawan satu diantara calon BN Malcom Mussen Lamoh dari PRS ditentang hebat oleh calon PKR Jawah Gerang yang pernah menjadi Ahli Parlimen Lubok Antu sejak beberapa penggal sebelum ini.

Apa yang menarik daripada ketiga-tiga pilihan raya kecil ini ialah ianya diadakan serentak sebaik saja UMNO selesai mengadakan perhimpunannya yang menyaksikan berlakunya peralihan kuasa di dalam parti itu. Pak Lah yang juga Perdana Menteri secara resminya tidak lagi menjadi Presiden UMNO, kerana Dato' Sri Najib Tun Razak (Foto) telah dinobatkan sebagai Presiden UMNO yang ke-7 sekaligus bakal menjadi Perdana Menteri menggantikan Pak Lah.

Perhimpunan Agung UMNO yang baru berlalu ini dikatakan telah menyuntik semangat baru kepada parti terbesar orang Melayu yang menjadi teras kepada BN, yang telah kehilangan kuasa di negeri Kedah, Kelantan, Selangor, Pulai Pinang dan juga di Perak semasa PRU12. Namun Perak telah kembali semula ke tangan UMNO setelah berjaya melepasi 'daya muslihat' yang tidak dipersetujui sendiri oleh Tun Dr. Mahathir dan juga Ku Li. Perak yang rapuh di tangan BN kini terpaksa berhadapan dengan gelombang kemarahan rakyatnya di dalam pilihan raya kecil di Parlimen Bukit Gantang 7 April ini.

Apakah Ismail Sapian (Calon BN) mampu merampas kembali kerusi P.059 Bukit Gantang ini setelah BN dikalahkan oleh Allahyarham Roslan Shaharum daripada PAS dalam PRU12 yang lalu? Mampukah Ismail Sapian mempengaruhi rakyat di kawasan Parlimen Bukit Gantang untuk menolak 'Nizar' yang didakwa oleh UMNO sebagai penderhaka kepada Sultan Perak itu?

Sesungguhnya rakyatlah yang berhak menjadi 'Raja' demokrasi apabila berlakunya pilihan raya kecil seperti ini. Walaupun Najib berkata bahawa pilihan raya kecil seperti ini bukanlah ukuran sebenar kehendak rakyat terhadap sesuatu parti, namun kesannya amat menikam kalbu jika BN terus ditolak olek rakyat di dalam pilihan raya kecil di dua Bukit dan satu Batang ini.

Jika suntikan semangat yang telah diperolehi di dalam Perhimpunan Agung UMNO juga gagal membawa kemenangan kepada BN di dalam pilihan raya kecil kali ini, tentunya akan membawa bencana kepada UMNO yag baru saja mendapat pemimpin barunya.

Najib, Muhyiddin, Zahid Hamidi, Hishammuddin, Shafie Apdal dan lain-lain pemimpin UMNO yang baru dinobatkan membarisi Ahli Majlis Tertinggi haruslah bermuhasabah dan segera melakukan pembedahan ulangan untuk mengetahui penyakit apakah lagi yang masih membarahi UMNO sehingga ianya ditolak oleh rakyat akar umbi.

Apakah pandangan Dr. Mahathir yang begitu kecewa dengan Pergerakan Pemuda UMNO kerana telah memilih PERASUAH menjadi Ketua pergerakan itu baru-baru ini sebagai beban kepada UMNO/BN sehingga ditolak oleh rakyat, terutamanya di kalangan generasi muda? Benarkah golongan muda di peringkat akar umbi begitu alergik dengan UMNO kerana wujudnya bebanan ini di dalam parti?

Saya lebih yakin bukan saja golongan muda yang berada di luar parti UMNO yang membenci perasuah ini, bahkan di dalam UMNO sendiri dilihat secara terbuka telah mengejek (boo) Ketua Pemuda ini apabila setiap kali namanya disebutkan. Tentu bersebab mereka tergamak memalukan pemimpin muda ini.

Apa pun kita mengharapkan UMNO dan BN segera bertindak untuk menangkis serangan bertubi yang bakal dilepaskan di sepanjang kempen pilihan raya kecil di tiga-tiga buah kawasan ini akibat terlalu banyak bola tanggung yang dihantar sehingga ianya mudah dikilas oleh pihak lawan.

Wednesday, March 18, 2009

NAK DISIPLINKAN UMNO, ALI RUSTAM DIHARAM BERTANDING, KJ DAPAT DISKAUN DIBERI AMARAN, KHIR TOYO PULA TAK BERSALAH DAN RAMAI LAGI YANG KENA GANTUNG..!!

Inilah dia UMNO...sebagai sebuah parti yang besar macam-macam karenah yang berlaku di dalamnya. Bukan tak pernah diingatkan, malah amaran juga telah diberikan berkali-kali, sehingga berbuih-buih mulut, malah bertitisan air mata 'Tun Che' Det' yang sedih dan sebak melihat tingkah laku pemimpin-pemimpin UMNO dalam era mutakhir ini yang sering terjebak dengan gejala politik wang yang sama ertinya dengan perbuatan rasuah, terima duit kopi, masyuk dan juga makan suap.

Semua jenama jijik yang saya gunakan ini begitu tidak asing lagi di dalam Parti Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO yang dilahirkan untuk menggagaskan perjuangan rakyat bagi sebuah kemerdekaan bangsa dulunya, tetapi kini telah dicemari dengan unsur dagangan sehingga jawatan yang hendak disandang terpaksa dibayar dengan harga yang lumayan.


Sesiapa yang BERWANG akan dilihat sebagai BERUANG yang bakal mendominasi kepimpinan UMNO biar pun dirinya tidak memiliki hala tuju perjuangan yang serasi dengan aspirasi rakyat akar umbi. Rakyat marhain walaupun otak bergeliga tetapi tidak berupaya menjadi BERWANG@BERUANG pasti dirinya kekal sebagai POLITIKUS yang mudah dimamah oleh BERUANG-BERUANG UMNO ini.

Akibat jurang pemisah diantara politikus yang menjadi BERUANG dengan politikus TIDAK BERWANG maka perjuangan hakiki UMNO telah terpalit dengan najis yang ditinggalkan oleh BERUANG UMNO ini.

Maka sebab itu UMNO hari ini dilihat tidak BERDISIPLIN lagi, sehingga memerlukan sebuah 'Lembaga Disiplin' untuk mendisplin pemimpin-pemimpinnya. Rakyat akar umbi hanya mampu menggelengkan kepala setelah melihat dengan penuh kejijikan wajah-wajah pemimpin UMNO di dada-dada akhbar juga dipaparkan di kaca TV yang WANTED sebagai perasuah untuk memikat ahli-ahli marhain UMNO yang mereka kategorikan sebagai pelahap untuk makanan BERUANG ini.

Kita menjadi tidak silu lagi untuk menyatakan kerunsingan terhadap watak BERUANG di dalam UMNO ini. Malah ada di kalangan warga UMNO yang taksub sehingga memarahi 'Guru Disiplin UMNO' Tengku Ahmad Rithauden Ismail yang dikatakan tidak keharuan dalam menyeragamkan tindakannya. Kali ini ada yang melanggar lampu merah tapi hanya diberikan AMARAN sahaja.

KJ menantu Pak Lah sering mendapat keistimewaan, dan kali ini dialah yang dapat DISKAUN AMARAN walaupun dia juga dikatakan terlibat dengan gejala rasuah (Di dalam UMNO lebih manis dinamakan Politik Wang). Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia ini terselamat kerana dia boleh bertanding. Khir Toyo semakin mendabik dada kerana Lembaga Disiplin UMNO mengesahkan dirinya bukan PERASUAH dan sekaligus menjadi calon BERWANG yang bukan BERUANG?

Ali Rustam yang dikambing hitamkan kali ini telah diperdayakan hukumannya dengan MELARANG dirinya bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO, sedangkan Isa Samad juga telah dikambing hitamkan sebelumnya telah DIGANTUNG keahliannya di dalam UMNO selama 6 tahun. Habis semua jawatan politiknya terlucut kecuali jawatan Ahli Parlimen Jempol yang tidak dimangsakan.

Nampaknya Ali Rustam berjaya diselamatkan daripada kehilangan jawatan Ketua Menteri Melaka, Pengerusi Perhubuhgan UMNO Melaka, Ketua UMNO Bahagian Batu Berendam, malah jawatan tertinggi yang disandangnya iaitu Naib Presiden UMNO yang masih berbaki 7 hari lagi, juga terselamat! Ali Rustam bernasib baik kerana hukuman terhadapnya telah diringankan tidak seperti yang dialami oleh Isa Samad.

Ali hanya diharamkan bertanding, namun tindakan yang dihadapinya sudah cukup mengaibkan dirinya yang begitu optimistik untuk menang sebagai Timbalan Presiden UMNO. Kini, impiannya untuk menjadi bakal Timbalan Perdana Menteri telah diselubungi lebai malang. Najib meminta supaya Datuk Ali Rustam menerima tindakan ini secara terbuka dan mengharapkan Ali Rustam terus setia bersama UMNO.

Kini bakal Timbalan Presiden UMNO yang akan menjadi Timbalan Perdana Menteri kelak ialah diantara Tan Sri Muhyiddin Yasin dan juga Tan Sri Muhamad Muhd. Taib yang masing-masing begitu berdebar sambil mencongak apakah semua penyokong Ali Rustam akan memihak kepada mereka. Justeru, penganalisa politik meramalkan siapa juga diantara dua calon Timbala Presiden UMNO yang disokong oleh penyokong-penyokong Datuk Ali Rustam, dialah yang bakal menang!

Ali Rustam walaupun kecewa namun dirinya kini menjadi faktor penentu kepada bakal Timbalan Perdana Menteri yang perlu dimenangkan sebagai Timbalan Presiden UMNO. Ali Rustam kini dianggap kambing hitam yang mampu memenangkan dan meranapkan impian Muhyiddin Yasin dan juga Muhamad Muhd. Taib yang menjadi bakal Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Ali Rustam diharamkan bertanding kali ini, tetapi dia ada hak mengundi. Ali dan kumpulannya akan undi siapa..Muhyiddin atau Mat Taib? Nampaknya Mat Taib lebih cerah untuk diberikan sokongan oleh penyokong Ali Rustam, kerana mereka dikatakan lebih cenderung menuding jari kepada Muhyiddin yang memasang jerat sehingga Ali Rustam yang terperangkap. Nampaknya dendam ini bakal memangsakan Muhyiddin.

Demikianlah episod yang cukup memalukan UMNO yang hendak dirobah oleh bakal Presidennya selepas ini. Najib dikatakan begitu komited untuk melakukan 'reformasi' supaya parti yang dianggap oleh Musa Hitam sebagai sudah tua ini dapat segera ditampankan. Najib akui dan optimis tindakan mendisiplinkan pelaku rasuah di dalam UMNO kini, bakal menjulang kemenangan PRU13.

Seluruh warga UMNO harus mengakui bahawa gejala rasuah yang melilit perjuangan UMNO sejak akhir-akhir ini telah menjurangkan kepercayaan akar umbi terhadap parti yang pernah berjasa memerdekakan negara ini. Ingatlah bahawa UMNO akan hanyut jika pendayungnya masih berselingkuh dan berlagak sebagai BERWANG@BERUANG.

Monday, March 16, 2009

Bergantang-gantang isu bakal terdedah di Bukit Gantang. Apa nak jadi Perak selepas ini? Rakyatlah menjadi RAJA demokrasi.

Pilihan raya kecil P.59 Parlimen Bukit Gantang di Perak terpaksa juga diadakan, walaupun seboleh mungkin hendak dielakkan oleh kerajaan BN, terutama sekiranya membabitkan PRK Peringkat DUN Perak. Ismail Sapian, (Foto) bekas Ketua Penerangan UMNO Baagian Bukit Gantang yang tewas ketika bertanding jawatan Ketua Bahagian tahun lalu kini terpilih menjadi calon BN di dalam pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang yang bakal diadakan pada 7 April depan.

Sementara Pakatan Rakyat masih berahsia untuk menamakan calonnya, walaupun Ir. Nizar Jamaludin merupakan nama yang disebut-sebutkan menjadi favourite di kalangan rakyat akar umbi di kawasan itu. Difahamkan PAS akan menamakan calonnya nanti pada 26 Mac ini.

Alergiknya pilihan raya kecil DUN Perak kepada BN ialah kerana kedudukan parti ini masih terumbang ambing dalam berkedudukan seri 28-28 dengan Parti Pakatan Rakyat, dan jika BN kalah dalam pilihan raya kecil kali ini (DUN) pasti kerajaan yang baru dirampasnya akan kembali semula ke pangkuan Pakatan Rakyat.

Nasib baik pilihan raya kecil kali ini hanya berlaku di peringkat kawasan Parlimen yang tidak menjejaskan kedudukan kerusi di DUN Perak. Namun begitu pilihan raya kecil Bukit Gantang masih dianggap penting kepada kedua-dua parti yang bakal berentap kerana inilah medan yang bakal menyaksikan kecenderungan sebenar rakyat Perak dalam kemelut yang masih berpanjangan ini. Rasanya bergantang-gantanglah isu yang akan dipolitikkan di sepanjang pilihan raya kecil Bukit Gantang nanti.

Keadaan politik negeri Perak sebenarnya masih belum menampakkan redanya, malah ia dilihat semakin berliku-liku. Sejak kerajaan Pakatan Rakyat dikudetakan pada 5 Februari lepas, UMNO/BN telah bergegas ke Istana Kinta di Ipoh untuk menyembah maklum kepada Baginda Sultan Perak tentang kejayaannya merampas kuasa bagi membolehkan BN membentuk kerajaan baru di Perak. Ir. Nizar Jamaludin MB Perak pula telah mohon 'menyembah derhaka' (Bahasa Istana) agar DUN Perak dibubarkan, kerana keadaan politik dilihat semakin bergelut dan tidak menentu.

Baginda Sultan tidak memperkenankan nasihat Menteri Besarnya itu, malah telah menitahkan MB Perak Ir. Nizar Jamaludin supaya meletakkan jawatannya bagi membolehkan Dr. Zambry Kader mengangkat sumpah sebagai MB yang baru pada 6 Februari seterusnya sebagai laluan kepada BN membentuk kerajaannya.

Osman Jailu ADUN Changkat Jering, Jamaludin Radzi ADUN Behrang dan ADUN Jelapang dari DAP bolehlah mendabik dada masing-masing betapa berjasanya mereka bertiga kepada Barisan Nasional setelah mereka berjaya menyumbatkan gol dengan menjadikan BN dan PR berkedudukan seri 28-28, manakala diri mereka masih tidak berminat menyertai mana-mana parti dalam BN. Sebagai wakil Bebas mereka juga boleh berubah fikiran untuk cenderung ke mana-mana selepas ini, kerana mereka bertiga tidak terikat dengan kusa Whip BN di DUN Perak.

Keadaan sedemikian rupa sebenarnya bukanlah menguntungkan sangat malah amat membahayakan UMNO dan BN sendiri. Dalam arti kata lain, BN setakat ini hanya berpuas hati dengan kedudukan seri walaupun menyedari kerajaannya tidak seampuh yang diharapkan.

Kerapuhan memimpin sebuah kerajaan secara kudeta ini menjadikan BN semakin tertekan, dan kerajaan rapuh seumpama ini juga akan sentiasa terdedah dengan segala macam ancaman bukan sahaja ancaman rakyat akar umbinya, bahkan Dr. Zambry sekiranya berkulit cerah macam bosnya Najib Razak, sudah pasti merah padam mukanya dengan pucat lesinya sekali, kerana terlalu banyak lubang-lubang angin dari segi perundangan yang membabitkan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak sendiri yang dikatakan telah dicabuli oleh pihak yang merampas kuasa.

Dr. Mahathir & Ku Li kata kerajaan Perak sekarang TIDAK SAH

Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri dalam komennya di majlis anjuran MUBARAK Wilayah Persekutuan (Lihatfoto di sebelah) telah mengecam tindakan yang diambil oleh UMNO/BN di Perak, dan beliau menegaskan bahawa kerajaan yang dirampas itu adalah TIDAK SAH menurut undang-undang tubuh negeri berkenaan. Sebelum itu, Tengku Razaleigh Hamzah juga berkata bahawa Nizar masih dianggap MB yang sah, kerana UMNO/BN sendiri dianggapnya sebagai tersasar dalam menghalalkan cara untuk berkuasa di Perak.

Dato' Sri Najib Tun Razak sendiri ketika mengulas mengenai tindakan Speaker DUN Perak V. Sivakumar yang telah mengarahkan Persidangan DUN Perak (Tergempar) diadakan 2 Mac yang lepas, menganggapnya sebagai TIDAK SAH kerana menurutnya kerajaan baru yang diambil alih ini masih dalam keadaan delima dengan beberapa kes yang akan dihadapkan ke Mahkamah.

Ini bermakna, Najib sendiri begitu bingung dengan keadaan yang berlaku di negeri ini, sehingga beliau terlupa bahawa Speaker DUN Perak masih mempunyai kuasa-kusa tertentu yang tidak boleh dipertikaikan, terutama yang berkaitan dengan hak memanggil sidang DUN.

Dalam kes ini, sekali lagi UMNO/BN dilihat tidak cermat menangani isu berkenaan sehingga sanggup menggunakan kekuatan ketumbukan pasukan polis (FRU) untuk menghalang Speaker dan ADUN yang lainnya memasuki dewan persidangan di Wisma Darul Redzuan, sehingga hak mereka sebagai ahli DUN telah dicabuli. Akhirnya semua ADUN yang terbabit terpaksa bersidang di bawah pokok (Pokok Demokrasi)

Rakyat memerhati senario duka ini, dan begitu jelas sekali betapa UMNO telah terheret dengan sentimen akar umbi yang diciptanya sendiri yag bakal mengundang hukuman rakyat kepadanya di dalam pilihan raya kecil di Bukit Gantang nanti. Walaupun saya menyedari betapa pentingnya kerajaan yang baru ini mempertahankan kuasanya yang rapuh ini, namun janganlah sampai kita diperbodohkan dan dihina kerana terlalu dungu dalam pentafsiran undang-undang yang jelas telah dicabuli oleh UMNO sendiri.

Apa pun yang terpancar daripada yang tersirat dalam fatamorgana politik dangkal di negeri Perak ini bakal menyaksikan kes-kes menarik yang dinantikan di beberapa mahkamah yang akan menentukan masa depan lanskap politik di negeri Tok Sago ini. Apa nak jadi politik negeri Perak selepas ini? Biarlah rakyat yang menjadi Raja Demokrasinya.

--------------------------------------------------------------------------------------

Kes-Kes Politik Perak Di Mahkamah

Kesahihan Tiga Kerusi DUN Perak yang melompat parti
dirujuk ke Mahkamah Persekutuan


IPOH: Mahkamah Tinggi Ipoh membenarkan persoalan undang-undang membabitkan pentafsiran Perlembagaan Perak berhubung pihak mana bertanggungjawab memutuskan pengesahan kedudukan tiga kerusi bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lompat, telah dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan.

Pesuruhjaya Kehakiman Ridwan Ibrahim memutuskan demikian untuk memastikan sama ada Speaker Dewan Undangan Negeri, V Sivakumar, atau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang berkuasa untuk memutuskan kekosongan bagi ketiga-tiga kerusi Dewan Undangan Negeri itu.


Sivakumar boleh diwakili peguam peribadi..

PUTRAJAYA (13 Mac): Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar boleh diwakili oleh peguam peribadi.

Panel tiga hakim memutuskan perkara itu selepas mendapati tiada peruntukan yang menyatakan Speaker mesti diwakili oleh penasihat undang-undang negeri kerana di bawah Akta Tatacara Kerajaan, Speaker bukan seorang pegawai kerajaan negeri. END





Saturday, March 14, 2009

ZULHASNAN, SYED ALI ALHABSHEE KINI SEGANDING UNTUK MENANG MT...

Dato' Sri Zulhasnan Rafique kini boleh menarik nafas lega kerana UMNO Wilayah Persekutuan yang diterajuinya kini semakin kukuh dan mantap setelah Datuk Wira Syed Ali Alhabshee, Ketua UMNO Bahagian Cheras yang masing-masing akan bertanding jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO di dalam Perhimpunan Agung UMNO penghujung Mac ini dikatakan sudah SEGANDING untuk menuju puncak kemenangan.

sebelum ini mereka berdua dikatakan 'berlaga angin', namun perkembangan mutakhir memperlihatkan kedua-dua calon MT ini sudah mencapai kata sepakat untuk melupakan segala yang pahit itu, kerana mereka lebih yakin bahawa kemenangan hanya boleh tercapai dengan adanya penyatuan diantara semua Ketua-Ketua UMNO Bahagian di Wilayah Persekutuan.

Terdapat empat calon daripada UMNO Wilayah Persekutuan yang akan bertanding di dalam Majlis Tertinggi. Selain Dato' Sri Zulhasnan dan Datuk Wiira Syed Ali Alhabshee yang turut bertanding juga ialah Datuk Astaman Abd. Aziz dan juga Dato' Norza Zakaria.
Gambar-Gambar Calon MT UMNO
(Klik di gambar untuk saiz besar)

Semalam (13 Mac) UMNO Wilayah Persekutuan telah memperlihatkan kejayaannya dalam menganjurkan 'Majlis Memperkenalkan Calon-Calon Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia' bersama dengan Perwakilan UMNO Wilayah Persekutuan. Majlis ini diadakan di Dewan Merdeka PWTC dengan dihadiri lebih 1,000 orang yang terdiri daripada perwakilan-perwakilan dan juga para penyokong masing-masing.Hampir semua calon-calon MT telah menghadiri ke majlis ini, termasuk calon-calon Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden dan juga calon Ahli MT.

Hanya beberapa orang calon saja yang tidak sempat menghadiri ke majlis ini, diantaranya ialah Dato' Seri Mohd. Zain, Menteri Kerja Raya, Datuk Noraini Ahmad, termasuk Tan Sri Rahim Tamby Chik calon Naib Presiden. Namun demikian, mereka telah menghantarkan wakil masing-masing untuk diperkenalkan kepada para perwakilan yang hadir.

Dato' Sri Zulhasnan Rafique selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan yang menjadi tuan rumah kepada majlis ini telah menerima pujian daripada kalangan yang hadir, kerana telah berjaya menampilkan kelainan yang lebih menarik semasa sesi memperkenalkan calon-calon Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Setiap calon yang diperkenalkan oleh Datuk Hj Rezuan Hamid, Setiausaha Perhubungan UMNO WP yang bertindak sebagai moderator bagi sesi ini telah dimeriahkan dengan sistem bunyi ala 'star track' ketika slide gambarnya terpapar di layar putih. Hadirin begitu terpesona dengan penampilan ini dan mereka telah memberikan tepukan apabila nama-nama calon ini diperkenalkan persis 'Malam Anugerah Selebriti', cuma tiada calon yang diumumkan menjuarai ataupun memenangi bagi setiap jawatan yang dipertandingkan.

Saya juga amat kagum kerana pihak penganjur juga telah mencetak 'phamplet - aturcara' yang mengandungi gambar-gambar dan nombor calon yang bertanding kerana ianya dapat membantu mempromosikan calon-calon yang terbabit kepada khalayak perwakilan. Wilayah Persekutuan merupakan negeri kelapan yang telah dikunjungi oleh calon-calon untuk misi kempen sebelum gelanggang pertandingan dibuka pada 26 Mac ini.

Dato' Sri Zulhasnan Rafique (Calon MT No. 22) dan Datuk Wira Syed Ali Alhabshee (Calon MT No. 15) dilihat sebagai gandingan calon pilihan daripada Wilayah Persekutuan yang mampu memberikan saingan untuk mengisi 25 jawatan Ahli MT yang dipertandingkan. Keyakinan ini semakin mantap kerana mereka yakin solidariti yang sedang diperkukuhkan ini memperlihatkan petanda baik untuk menuju puncak kejayaan yang diharapkan.

Terdapat 50 calon Ahli MT yang bakal merebut jawatan ini, manakala terdapat lapan calon yang akan berentap untuk tiga jawatan Naib Presiden UMNO dan tiga orang tokoh pula dijangka bersaing hebat untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO.

UMNO Wilayah Persekutuan mempunyai kekuatan seramai 169 orang perwakilan daripada 13 buah Bahagian iaitu Setiawangsa, Wangsa Maju, Titiwangsa, Kepong, Segambut, Batu, Lembah Pantai, Bukit Bintang, Bandar Tun Razak, Cheras, Seputih, Putrajaya dan juga Labuan.

Saya sempat berbual singkat dengan Dato' Sri Zulhasnan Rafique selepas berakhir majlis ini, dan saya telah menyampaikan ucapan tahniah kepadanya di atas kesempurnaan perjalanan majlis yang baru saja selesai itu. Begitu juga saya telah sempat berbual dengan Datuk Wira Syed Ali Alhabshee dimana kami telah berbicara mengenai blog masing-masing yang banyak mengupas isu-isu semasa.

Sebelum saya pulang, saya juga berkesempatan duduk bersama dengan Tuan Haji Ahmad Hashim, Ketua Penerangan UMNO Bahagian Setiawangsa yang juga Setiausaha Sulit kepada Menteri Wilayah Persekutuan itu di lobby lounge Hotel SeriPacific. Kami begitu selesa bertukar-tukar fikiran mengenai pelbagai isu politik, terutama yang bersangkutan dengan kaedah terbaik untuk merakyat UMNO sebagai persediaan menghadapi PRU13 nanti. Beliau begitu komited untuk mempastikan Dato' Sri Zulhasnan mencapai kemenangan dalam misinya merebut jawatan Ahli MT kali ini.

Saya menjadi terkejut apabila mendengar desas desus di ruang legar hotel ini yang bercakap mengenai seorang calon Timbalan Pesiden UMNO yang dikatakan bakal menghadapi tindakan disiplin akibat terjebak dengan gejala politik wang. Difahamkan terdapat 18 orang lagi yang turut dikenakan tindakan termasuk juga seorang Ketua UMNO Bahagian dari Wilayah Persekutuan.

POLITIK WANG - SELEPAS NORZA, KINI SEORANG CALON TIMBALAN PRESIDEN BAKAL DIKENAKAN TINDAKAN DISIPLIN. SIAPA..?


Calon-Calon Timbalan Pesiden UMNO.

Semasa saya berada di PWTC malam tadi (13 Mac) mengikuti majlis memperkenalkan calon-calon MT kepada perwakilan UMNO daripada Wilayah Persekutuan, terdengar desas desus dari kalangan para perwakilan yang berlegar-legar di sekitar PWTC dan juga di ruang legar Hotel Seri Pacific memperkatakan tentang kedudukan salah seorang calon Timbalan Presiden UMNO dikatakan bakal menghadapi tindakan disiplin oleh Lembaga Disiplin parti.

Selain calon Timbalan Presiden itu terdapat 18 orang lagi termasuk seorang Ketua Bahagian daripada Wilayah Persekutuan juga dikatakan bakal dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin UMNO....saya sedang mendapatkan kesahihan mengenai berita gempar ini. TUNGGU !!!!

Wednesday, March 11, 2009

ANWAR & PAK LAH - MEREKA BERJUMPA DI MADRASAH NURUL IMAN 3 JAM SEBELUM NAJIB BENTANG BAJET MININYA DI PARLIMEN.

Semuanya berlaku dengan ketentuan dan takdir Illahi jua. Majlis Maulidur Rasul yang diadakan di Madrasah Nurul Iman, di Hulu Langat, Selangor Darul Ehsan pada hari Selasa, 10 Mac tiba-tiba menyaksikan pertemuan dua pemimpin di antara Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia yang juga Ketua Umum PKR (Foto di atas). Pertemuan yang penuh spekulatif ini berlaku 3 jam sebelum Najib membentangkan 'Bajet Mini RM60 Billion' di Dewan Rakyat.



Pak Lah tiba 12.16 tengah hari. Anwar tiba 12.45 tengah hari

Pak Lah dan Anwar menjadi tetamu kepada Al-Fadhil Sheikh Mahmud Al-Majzub iaitu seorang tokoh agama yang menjadi pengasas Madrasah Nurul Iman yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Ayah. Pak Lah telah tiba di madrasah itu kira-kira jam 12.16 tengah hari, manakala Anwar dan isterinya Wan Azizah pula tiba 30 minit kemudiannya, seterusnya mereka berdua telah dibawa makan semeja bersama-sama dengan Sheikh Mahmud AlMajzub, sebelum mereka mendirikan solat zuhur berjemaah kira-kira jam 1.40 tengahari.

Difahamkan lebih 1,000 orang tetamu yang hadir telah menyaksikan pertemuan yang penuh spekulasi ini dan rata-rata mereka menunjukkan reaksi yang positif kerana mereka mengharapkan pertemuan sempena Maulidur Rasul ini akan menjadi titik tolak ke arah penyatuan dan permuafakatan yang lebih terbuka.

Sudah tentu Sheikh Mahmud Al-Majzub yang mengundang kedua-dua tokoh pemimpin ini datang ke madrasahnya adalah untuk mempertautkan semula diantara mereka berdua yang dilihat sering terjebak dengan perbalahan politik yang pada fikirannya tidak mendatangkan keuntungan kepada umat Islam di negara ini.

Sheikh Mahmud difahamkan telah menjadi 'perantara' pertemuan enam mata itu yang berlangsung selama 20 minit di rumahnya itu. Namun begitu tidak diiketahui apakah intipati perbincangan mereka, walaupun ada juga kemungkinan mereka menyentuh tentang isu-isu semasa terutama berkaitan dengan peralihan kuasa kepada Najib yang akan berlaku di dalam Perhimpunan Agung UMNO pada penghujung Mac ini.



Pertemuan 'Silatuurahim' ini turut dihadiri oleh beberapa orang tokoh ulamak daripada Indonesia, Gambia, India, Pattani dan lain-lain. Turut sama adalah Ketua Sami Budha dari Bangkok, serta bekas Timbalan Perdana Menteri Thailand Prof. Dr. Bhokin. Namun mereka tidak terlibat dengan sesi bersemuka diantara Pak Lah, Anwar dan Sheikh Mahmud AlMajzub.

Setelah satu jam setengah mereka dipertemukan, Pak Lah telah meninggalkan majlis ini pada jam 2.15 petang, manakala Anwar dan isteri pula telah meninggalkan majlis tersebut pada jam 2.50 petang untuk sama-sama menghadiri sesi pembentangan 'Bajet Mini' di Dewan Rakyat oleh Menteri Kewangan yang bakal mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi nanti.