assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Thursday, February 5, 2009

Nizar masih MB Perak? Pejabatnya di kepung FRU, SUK arahkan MB kosongkan pejabat...

EPISOD RAMPAS KUASA SEMAKIN BERLIKU

TERKINI.....Sidang media yang diadakan oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Ir. Mohd. Nizar Jamaludin yang turut disertai oleh Anwar, Hadi Awang, Lim Kit Siang dan lain-lain pemimpin Pakatan Rakyat baru saja selesai.

Nizar berkata beliau masih kekal sebagai Menteri Besar Perak yang sah, dan beliau tidak berhasrat untuk meletak jawatan sebagai Menteri Besar. Kedudukan seri diantara BN-28 dan PR-28, manakala Bebas-3, memperlihatkan tidak ada pihak (BN/PR) yang mempunyai majoriti.

Maka sebab itu Nizar berkata kewajaran baginya membubarkan Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan rakyat membuat pilihan yang baru di dalam satu pilihan raya umum Negeri Perak. Namun begitu Paduka Seri Sultan Perak telah tidak memperkenankan nasihat Menteri Besar itu dengan alasan MB Perak itu tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar dari kalangan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Perak, seterusnya menitahkan supaya Nizar meletakkan jawatan serta merta.

Dalam satu perkembangan yang lain, keadaan di Ipoh terutamanya di Bangunan SUK kelihatan Pasukan FRU telah membuat kepungan di sekitar bangunan yang menempatkan pejabat Menteri Besar sebaik sahaja mendapat arahan daripada pihak tertentu. Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Dr. Abdul Rahman Hashim telah mengarahkan MB Perak dan semua exconya supaya mengosongkan pejabat masing-masing dengan segera. Mereka diarahkan juga supaya memulangkan semua aset kerajaan negeri, termasuk kunci pejabat dan menyerahkan kenderaan resmi masing-masing dengan segera. Kesemua mereka juga dilarang memindahkan sebarang dokumen dari bilik masing-masing.

Begitu juga sekitar kawasan Stadium Negeri yang bakal menerima kehadiran dan limpahan lebih 100 ribu manusia untuk mendengar ceramah dari pemimpin Pakatan Rakyat pada malam ini juga telah dikepung oleh FRU, kerana perhimpunan ini dikatakan tidak mempunyai permit daripada pihak Polis.

UMNO mendakwa memiliki kecukupan untuk membentuk kerajaan setelah dua ADUN yang bermasalah itu keluar PKR, tapi tidak masuk UMNO; dan seorang lagi ADUN Jelapang dari DAP yang turut keluar menjadi wakil Bebas, tapi tidak masuk MCA.

Manakala ADUN Bota yang berjaya merebut takhta 'katak lompat' daripada Datuk Ibrahim Ali telah melompat sekali lagi mengikut pusingan U setelah meninggalkan UMNO selama 10 hari, dan kemudiannya masuk semula UMNO.

(Difahamkan petang esok akan berlangsung upacara mengangkat sumpah di hadapan Sultan Perak bagi menjuruskan maksud pembentukan kerajaan baru yang berjaya dirampas oleh BN dari Pakatan Rakyat.)

UMNO terpaksa menerima sokongan dan juga kehadiran pemegang-pemegang watak kitul ini untuk berkuasa di Perak, dengan tidak memperdulikan apa yang mungkin berlaku terhadap DUN Behrang dan DUN Changkat Jering yang dikatakan terlibat dengan 'rasuah seks' yang bakal mengheret satu lagi pilihan raya kecil di kedua-dua DUN itu nanti.

Speaker DUN Perak juga kelmarin telah mengemukakan permohonan ke Mahkamah supaya status ADUN Behrang, ADUN CHangkat Jering dan ADUN Jelapang dikosongkan kerana mereka dianggapnya telah meletakkan jawatan sebagai ADUN di kawasan masing-masing.

Memandangkan kes-kes yang timbul ini akan merumitkan lagi keadaan, maka nasihat MB Perak kepada Paduka Seri Sultan Perak ialah supaya DUN dibubarkan untuk diadakan pilihan raya umum di negeri ini.



Lim Guan Eng sedang pujuk ADUN Jelapang sertai semula Pakatan Rakyat..

TERKINI....Di dalam kekalutan dan kemelut poltik yang sedang melanda Perak Darul Ridzwan dan Sultan Azlan Shah pula tidak perkenankan DUN dibubarkan, ADUN Jelapang Hee Yit Foong (Foto) yang merajuk kelmarin, kini dikatakan sedang dirayu oleh DAP agar kembali ke Pakatan Rakyat bagi memulihkan Kerajaan Pakatan Rakyat yang kini menghadapi dilema.

Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelapang itu, Hee Yit Foong supaya memikirkan semula keputusannnya keluar dari Pakatan Rakyat dan menjadi wakil Bebas, lapor Bernama.

Lim yang kesal dengan tindakan Hee itu yang sebelumnya merupakan anggota DAP, menegaskan, Hee sepatutnya memikirkan tanggungjawab dan amanah yang telah diberi oleh rakyat kepadanya pada pilihan raya umum lepas.

"Kami berharap agar beliau dapat memikirkan semula keputusannya.

"Kalau tidak menyertai semula parti sekurang-kurangnya beliau tidak mengambil keputusan yang boleh mengabaikan kepentingan rakyat," katanya kepada pemberita pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Hee beserta dua orang lagi wakil rakyat PKR, iaitu Adun kawasan Changkat Jering, Kapt (B) Mohd Osman Jailu dan Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi, telah keluar daripada parti masing-masing untuk menjadi ADUN Bebas sekaligus menjadi pelengkap kepada kerakusan BN untuk merampas semula kerajaan negeri Perak.

Sultan Perak tidak perkenan DUN dibubar....Nizar dititah meletakkan jawatannya?

TERKINI....Sehingga jam 3.30 petang ini, MB Perak masih belum mengadakan sidang medianya. Namun begitu beliau bersama-sama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan lain-lain pemimpin Pakatan Rakyat yang turut berada di kediaman resmi MB Perak itu telah bersedia bila-bila masa untuk mengadakan sidang khas media tersebut.

Di dalam satu perkembangan lain, difahamkan Baginda Sultan Perak Sultan Azlan Shah memutuskan untuk tidak memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan menitahkan supaya Menteri Besar Mohammad Nizar Jamaluddin dan barisan exconya meletak jawatan berkuat kuasa serta merta.

Pejabat Sultan Perak dalam satu kenyataan hari ini berkata, baginda setelah menemui kesemua 28 anggota dewan daripada Barisan Nasional dan juga tiga anggota Bebas, baginda yakin bahawa Mohammad Nizar telah terhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada kalangan anggota dewan.

“Sekiranya Mohammad Nizar tidak meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama ahli-ahli MMK (Majlis Mesyuarat Kerajaan), maka jawatan Menteri Besar serta ahli-ahli MMK tersebut dianggap telah dikosongkan,” kata kenyataan itu.

Najib dua kali menghadap Sultan, Nizar juga dititah menghadap..

TERKINI......setakat ini Datuk Sri Najib Tun Razak telah dua kali menghadap Sultan Perak, setelah kali kedua diminta membawa menghadap bersama ke empat-empat ADUN yang melompat. Manakala Menteri Besar Perak Datuk Seri Ir. Mohd. Nizar Jamaluddin juga dititah mengadap ke Istana Kinta, Ipoh kira-kira jam 12.45 tengahari tadi, dan kelihatan tersenyum mesra keluar daripada Istana Kinta kira-kira 20 minit selepas itu.

Datuk Seri Najib dalam satu kenyataan ringkasnya di Bangunan UMNO Perak, di Ipoh selepas bermesyuarat dengan semua pemimpin UMNO Negeri Perak berkata bahawa kita bersedia menunggu dan mematuhi apa jua keputusan yang dititahkan oleh Baginda Sultan Perak.

Sementara itu MB Perak pula akan mengadakan sidang medianya petang ini untuk memaklumkan sesuatu yang penting selepas beliau diterima menghadap Sultan Perak sebentar tadi. Sebelum dititah menghadap, MB Perak telah mengiringi Pak Lah Perdana Menteri di dalam satu upacara resmi kerajaan di Bagan Serai.

Nantikan pengumuman terus daripada mulut MB Perak sendiri sebentar saja lagi...


Wednesday, February 4, 2009

MB Perak gelabah nak bubar DUN, Najib pula yakin BN akan bentuk kerajaan baru di Perak

4.15 petang - Terkini...Menteri Besar Perak Datuk Seri Ir. Mohd. Nizar Jamaludin dalam keadaan yang sungguh terdesak terpaksa menghadap Sultan Azlan Shah sekali lagi untuk mendapatkan perkenan ke Bawah Duli Tuanku bagi membolehkan Dewan Undangan Negeri Perak di bubarkan serta merta.

Sementara itu di Putrajaya Datuk Sri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Perak sedang bersedia untuk mengadakan sidang media tergemparnya bagi tujuan pengumuman penting berhubung dengan perkembangan terkini politik negeri Perak.

Difahamkan dua ADUN Perak (Pasangan Belangkas) iaitu Jamaluddin Mohd. Radzi dan Mohd. Osman Jailu (Kedua-dua dari DUN Behrang dan Changkat Jering) telah membuat pengumuman menyertai UMNO. Begitu juga perkembangan terkini menyaksikan ADUN Bota, Datuk Nasarudin Hashim yang yang sebelum ini menyertai PKR akan kembali semua ke pangkal jalan menyertai UMNO.


Akhirnya masuk UMNO..??

Jika ini yang terjadi, keadaan politik negeri Perak akan terus bergelora dan menjadi semakin tidak menentu. Jika pasangan belangkas itu menyertai UMNO, kemudian kes rasuahnya akan disabitkan, maka sudah pasti kedua-dua kerusi itu akan menjadi kosong, seterusnya memaksa satu pilihan raya kecil diadakan. Mana-mana parti yang mengharapkan penyertaannya, pasti akan menanggung beban yang menyebabkan rakyat akan mengadilinya di dalam satu lagi pilihan raya kecil.

Mari kita tungu apakah yang terjadi dalam masa sesingkat ini. BN atau Pakatan Rakyat yang rebah...

SPR kini mengHAKIMI niat dua ADUN yang tak jadi masuk UMNO.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekali lagi akan terjebak dengan sandiwara politik semasa tanah air, setelah bertindak menjadi HAKIM dengan meragui kesahihan surat perletakan jawatan dua ADUN dari Behrang yang memberang tak keharuan dan ADUN Changkat Jering yang masing-masing telah pun mengisytiharkan keluar parti asalnya (PKR), tapi tak berminat pula nak masuk UMNO (buat masa ini?).

Pasangan belangkas ini (Foto kanan) memilih untuk menjadi ADUN Bebas yang jelas menggambarkan perwatakan sebenar diri mereka. Parti manakah yang bakal menerima dua ADUN yang bermasalah ini? Sama-sama kita saksikan dengan penuh debaran. Kedua-duanya dikatakan begitu bingung untuk menentukan hala tujunya dalam politik, kerana kedua-duanya akan dihadapkan ke mahkamah sedikit masa lagi kerana terlibat dengan masalah rasuah.

Jika kali ini tak jadi pilihan raya kecil, namun jika kedua-duanya disabitkan kesalahan rasuahnya nanti akan memaksa juga satu pilihan raya kecil berlaku di kedua-dua kawasan ADUN berkenaan. Itupun jika MB Besar Perak tidak berniat untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri dalam masa terdekat ini. Apakah jika MB Perak menggunakan kuasanya nanti untuk membubarkan Dewan Undangan Negerinya, maka SPR terpaksa berlagak sebagai sebuah mahkamah lagi dengan mempertikaikan kesahihan notis yang akan dikemukakan kepadanya? Sangat menarik untuk diperhatikan kewibawaan SPR selepas ini.

Persoalan dan kemelut baru yang mengheret dalam pergolakan politik negeri Perak kini ialah penampilan SPR yang dilihat lebih berminat untuk membincangkan niat surat yang telah dikemukakan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Perak yang diidakwanya ada keraguan, sekaligus SPR telah membuat keputusan untuk mengekalkan status Jamaludin Radzi dan Osman Jailu sebagai ADUN di kawasan masing-masing.

Lanjutan daripada keputusan SPR itu, telah mengundang pula penampilan kenyataan Speaker Negeri Perak V. Sivakumar yang bertegas untuk mengekalkan maksud surat asal yang telah dikemukakan kepada SPR supaya kedua-dua DUN ini dikosongkan bagi membolehkan suatu pilihan raya kecil diadakan di kawasan berkenaan. Dalam artikata yang lainnya, hasrat untuk melihat pilihan raya kecil bagi kedua-dua kawasan DUN ini tidak menjadi kenyataan. Namun begitu Speaker DUN Perak memaklumkan bahawa kedua-dua pembelot itu tidak akan dibenarkan menghadiri sidang DUN yang bakal diadakan nanti, kerana Speaker menganggap mereka telah meletakkan jawatan.

SPR juga didakwanya telah melakukan kesilapan besar apabila cuba bertindak sebagai mahkamah dengan menyatakan wujud keraguan daripada surat perletakan jawatan kedua-dua ADUN tersebut yang telah dikemukakan oleh Speaker Negeri Perak. V. Sivakumar juga berkata bahawa SPR telah gagal menjalankan tanggungjawabnya sehingga membelakangkan undang-undang dengan menolak notis yang telah dikeluarkan oleh 'Speaker' sebuah Dewan Undangan Negeri yang diberikan kuasa untuk memaklumkan kepada SPR tentang kekosongan kerusi di negeri berkaitan.

Hak untuk mempertikaikan keraguan surat perletakan jawatan kedua-dua ADUN bekenaan sepatutnya dikemukakan oleh empunya diri menerusi injunksi mahkamah dan bukannya SPR. Setelah mahkamah berpuas hati dengan hujah yang dikemukakan maka menjadi bidang kuasa pula pihak mahkamah untuk menentukan arahannya kepada pihak SPR tentang kewajaran ataupun keraguan surat-surat perletakan jawatan tersebut.

Menteri Besar Perak juga telah membuat kenyataan bahawa satu bantahan akan dikemukakan dalam masa 48 jam selepas SPR membuat keputusan itu, sebelum ianya dikemukakan kepada mahkamah untuk tindakan selanjutnya.

Ketika mengulas kes SPR ini, Anwar Ibrahim di dalam kenyataan di laman webnya (http://anwaribrahimblog.com) berkata bahawa kuasa untuk menentukan kesahihan surat tersebut bukanlah di dalam bidang kuasa SPR bahkan ianya harus dirujuk ke mahkamah.

Menurutnya kuasa SPR hanya untuk memastikan kelicinan perjalanan proses pilihan raya. Seterusnya Anwar mempersoalkan mengapa harus SPR melanggar batas bidang kuasa yang dimiliki oleh Speaker DUN Perak?

Malah menurutnya lagi pengkaji undang-undang menganggap keputusan SPR itu bercanggah dengan perlembagaan persekutuan, dan ianya bakal mengundang kemelut yang lebih rumit, kerana katanya kuasa Speaker DUN Negeri berkenaan telah dinafikan.

Seterusnya Anwar telah berkata, mungkin hanya tok dalang yang pandai bermain silap mata dengan menghilangkan orang tanpa dikesan sahaja mampu menjawabnya. Siapa pemain silap mata yang menjadi tok dalang yang dimaksudkan Anwar itu?


MAKLUMAT TERKINI !!

Difahamkan MB Perak akan menghadap Baginda Sultan Azlan Shah sekali lagi pada hari ini (Antara jam 1.00 tengahari - 3.00 petang) untuk mendapatkan perkenan baginda membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak dalam tempoh yang terdekat ini. Sama-sama kita tunggu dengan penuh debaran...

Monday, February 2, 2009

Dua Exco Perak nafi letak jawatan dan masih kekal ADUN PKR. BN menggigit jari...

Situasi politik negeri Perak nampaknya semakin panas dan cukup dramatik untuk diikuti. Dalam kegawatan kononnya dua orang Exco Kerajaan Negeri Perak iaitu Jamaluddin Mohd. Radzi (ADUN Behrang) dan Kapt (B) Mohd. Osman Mohd. Jailu (ADUN Changkat Jering) menghilangkan diri yang dikatakan sebagai langkah untuk keluar daripada PKR menyertai UMNO/BN, tiba-tiba kita dikejutkan dengan kenyataan bahawa mereka berdua tidak meletakkan jawatan, sebaliknya pasangan belangkas ini dipetik sebagai berkata 'masih kekal' sebagai Wakil Rakyat DUN bagi kawasan yang diwakilinya.

Ini bermakna hasrat BN untuk menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat dengan 'membeli' atau 'menyogok' atau 'memancing' atau apa jua istilah pra rasuah terhadap dua ADUN PKR yang sedang berhadapan dengan kemelut kes rasuahnya di mahkamah nanti dilihat semakin berkecai. BN juga dilihat menggigit jari....kempunan untuk melihat kehadiran mereka berdua. Kesian....

Setelah Sepaker Dewan Undangan Negeri Perak sendiri menyerahkan surat yang dikatakan sebagai aku janji kesetiaan kepada parti yang diwakilinya kepada pihak SPR, maka kedua-duanya yang dikuarantin di Pekan, Pahang itu muncul secara tiba-tiba mengeluarkan kenyataan untuk menafikan perletakan jawatan tersebut.

Kedua-duanya menjadi bebal bagaikan cacing kepanasan malah menjadi kalimayo tidak keharuan samada nak merebut 'habuan' yang ditawarkan oleh BN, ataupun mengekalkan kedudukannya sebagai Exco dan juga ADUN yang disandangnya sejak Mac tahun lalu. Kedua-duanya dikatakan mengalami trauma dan 'pening lalat' kerana begitu tertekan dengan masalah yang bakal dihadapinya (kes rasuah).

Difahamkan ada 'wow' menarik yang ditawarkan sehingga mereka terbayang kesnya bakal digugurkan oleh kerajaan BN, sekaligus merasakan dirinya terselamat daripada jaringan hukuman yang akan menyebabkan hilang kelayakan mereka sebagai seorang wakil rakyat.

Dia merasakan jika menjadi wakil rakyat BN nanti, kes rasuahnya boleh dilindungi oleh kerajaan UMNO/BN yang dilihatnya boleh berkompromi dengan masalah rasuah yang menimpanya. Pak Lah sendiri mengakui bahawa akan ada ADUN PKR yang akan meloncat masuk BN. Siapa lagi, kalau bukan Jamaludin dan juga Osman Jailu yang dikatakan telah bertindak mengeluarkan barang pejabat masing-masing dan juga menyerahkan kunci kereta resmi Exco sebelum mereka menghilangkan diri untuk menyertai UMNO.

Jika begitu keadaannya, mengapa tiba-tiba Jamaludin Mohd. Radzi dan Osman Jailu telah menunjukkan minatnya semula terhadap parti yang telah memenangkan dirinya semasa PRU12 yang lalu? Berasaskan kepada kenyataan media oleh kedua-dua YB ini, jelas memperlihatkan bahawa diri mereka berhasrat untuk membuat pusingan U (u turn) ke dalam PKR yang diwakilinya selama ini. Ini juga bermakna bahawa UMNO telah dipersendakan oleh mereka berdua, setelah mengkhianati parti asalnya, PKR.

Persoalannya sekarang apakah surat makluman Speaker DUN Perak itu akan dijadikan asas yang kukuh oleh pihak SPR untuk mengadakan satu pilihan raya kecil setelah kedua-dua ADUN berkenaan dikatakan sebagai telah mengosongkan kerusi masing-masing. Difahamkan juga MB Perak telah menghadap Baginda Sultan Azlan Shah hari ini (2 Februari 2009) untuk menyembah maklum kepada baginda tentang suasana terkini politik negeri Perak. Difahamkan baginda Sultan Perak telah memperkenankan supaya diadakan pilihan raya kecil bagi kedua-dua kawasan DUN Behrang dan DUN Cangkat Jering.

Jika berlaku juga pilihan raya kecil bagi kedua-dua kawasan DUN ini, bermakna kedua-duanya tidak boleh lagi bertanding dalam pilihan raya berkenaan, dan PKR terpaksa memilih calon yang lebih berwibawa untuk mempertahankan semula kerusi yang dimenangi dalam PRU12. Demikianlah episod si luncai dengan labu-labunya yang akan membawa padah kepada dirinya sendiri. PKR dilihat begitu terlepas beban apabila kedua-dua belangkas ini termakan jerat untuk memasuki UMNO. Namun begitu UMNO juga dilihat begitu serik untuk diperdayakan lagi oleh petualang seperti dua insan ini. Janganlah lagi ada petualang seperti ini di dalam PKR ataupun UMNO selepas ini. UMNO harus menjadikan insiden ini sebagai satu pengajaran betapa lemahnya strategi memancing ikan yang tidak mengena ini.




Lampiran 1.

Surat penafian YB Jamaludin Mohd. Radzi, ADUN Behrang:

Merujuk kepada laporan media semalam yang menyatakan saya telah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Ahli Dewan Unangan Negeri (Adun) kawasan Behrang.

Sukacita saya sekai lagi ingin menegaskan bahawa laporan tersebut adalah tidak benar sama sekali.

Ini kerana saya masih berkhidmat sebagai wakil rakyat dan sehingga kini tidak mempunyai sebarang rancangan untuk melepaskan jawatan setelah dipilih oleh rakyat.

Berhubung dakwaan bahawa saya telah menghilangkan diri kerana mahu melompat parti, suka saya menjelaskan bahawa saya tidak pernah menghilangkan atau melarikan diri daripada mana-mana pihak.

Sebaliknya, ingin saya jelaskan bahawa saya telah bercuti dari 28 Januari hingga 30 Januari 2009 kerana sakit.

Pada 31 Januari 2009 hingga 1 Februari 2009 pula adalah cuti hujung minggu dan tempoh tersebut digunakan oleh saya untuk berehat.

Bagaimanapun, laporan berita semalam yang kononnya saya telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai wakil rakyat benar-benar mengejutkan saya.

Dalam hubungan ini, adalah jelas kenyataan yang dibuat oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah tidak berasas sama sekali.

Lebih-lebih lagi saya sendiri semalam tidak berada di Perak, apatah lagi untuk menghantar sendiri surat peletakan jawatan saya ke rumah beliau.

Kenyataan tuan Speaker tersebut benar-benar mengejut saya dan telah menimbulkan kekeliruan dan kegemparan di seluruh negara sedangkan perkara ini tidak sepatutnya berlaku.

Buat masa ini, saya akan meneruskan tugas saya dan tanggungjawab saya seperti biasa dan tidak timbul isu kononnya saya telah bertukar parti.

Saya berharap penjelasan ini akan menghuraikan kekeliruan yang ada dan saya berharap pemimpin Pakatan Rakyat tidak membuat sebarang kenyataan yang tidak benar demi kepentingan politik pihak tertentu.

Yang benar,
YB Jamaluddin Mohd Radzi
2 Februari 2009

---------------------------------------------------------------------------------------

Lampiran 2.

Surat Penafian peletakan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Changkat Jering.


Adalah saya, Yang Berhormat Kapten (B) Mohd Osman Mohd Jailu, Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Changkat Jering, ingin menafikan bahawa saya telah meletakkan jawatan saya sebagai wakil rakyat.

Saya juga ingin menegaskan bahawa saya tidak pernah pergi ke rumah Speaker Dewan Undangan Negeri Perak bagi menyerahkan surat peletakan jawatan saya seperti yang didakwa.

Sebaliknya, saya masih berkhidmat sebagai wakil rakyat seperti biasa dan sehingga kini tidak timbul soal saya telah melompat parti.

Saya berharap penjelasan saya ini akan merungkai segala kekeliruan yang timbul.

Pada masa yang sama, saya juga berharap para pemimpin Pakatan Rakyat terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri menghentikan sebarang kenyataan yang berunsur tohmahan terhadap saya.

Sebagai wakil rakyat yang dipilih oleh majoriti penduduk di kawasan Changkat Jering, saya merasakan bahawa tugas saya sebagai wakil rakyat masih banyak dan mesti diteruskan berdasarkan amanah yang dipikul di bahu saya.

Sekian.

Yang benar,
YB Kapt (B) Mohd Osman Mohd Jailu