assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Wednesday, January 28, 2009

UMNO jadi 'kalimayo' pujuk Datuk Nasa. Tapi sayangnya, semua terlambat...

Mengenangkan alkisah ADUN Bota, Datuk Nasarudin Hashim (Foto) yang telah 'teghobang' (terbang) ke PKR meninggalkan UMNO telah membuatkan UMNO Bahagian Paghit (Parit) ,UMNO Negeri Peghak (Perak) bahkan UMNO Pusat juga kelihatan jadi 'kalimayo' (Istilah orang Parit bermaksud 'pening lalat').
Misi memujuknya supaya kembali ke pangkal jalan tidak menghasilkan kejayaan. Beliau bukan sahaja telah berikrar di hadapan Anwar, malah beliau juga hari ini telah berkunjung ke pejabat Dato' Seri Ir. Nizar MB Perak di Ipoh,


Datuk Nasa bersama MB Perak


Datuk Nasa bersalaman dengan Pengerusi BBC DUN Perak,
Khalil Idham, YB Hj Hussin (kiri) dan Setpol MB Hj Misbahul Munir.


Dalam arti kata lain, 'semuenye udah terlambat' (Teylor Paghit). Teman ini oghang Paghit (Anak Lambor), teringat dengan bait-bait lagu merdu yang 'ponah' (pernah) didendangkan oleh penyanyi anak kelahiran Rungkup, Bagan Datoh, Perak, Shidee yang lunak mengalunkan lagu 'Sayang Semuanya Sudah Terlambat'. Elok juga Datuk Zahid Hamidi dengo lagu anak Rungkup, Bagan Datoh ini...

"Sayang Semuanya Sudah Terlembat" (Sila Klik Video)



Lirik/Bait Lagu Rangkap Terakhir...
"Sayang semuanya
Sudah terlambat
Tak guna engkau kesalkan lagi
Sayang semuanya sudah terlambat
Anggaplah aku tiada lagi
Terlanjur luka biarlah hatiku terluka
Apa terjadi biarkan ku tanggung sendiri."

Tajol Rosli (Foto) mantan MB Perak yang memimpin UMNO/BN Negeri berkenaan telah ditolak oleh rakyat negerinya sendiri dalam PRU12 yang lalu, dengan menobatkan parti gabungan 'Pakatan Rakyat' mengambil alih kuasa kerajaan Darul Ridzwan. Isnin lepas, teman difahamkan Dato' Tajol juga telah menyerahkan surat perletakan jawatannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak. Datuk Sri Najib dikatakan akan menerajui sendiri UMNO Perak setelah mengetahui Tajol bukan pemimpin yang berwibawa untuk menyatu padukan UMNO Perak. Siapa juga yang memimpin UMNO Perak terpaksa berhadapan dengan arus kebangkitan rakyat yang telah 'getik' (Meluat) dan menolak kerajaan UMNO.

Kuasa rakyat menjadi hakiki sehingga tersungkurnya kerajaan UMNO yang cukup memalukan dalam era Presidennya yang Ke-VI, Pak Lah. Bukan sahaja Perak, UMNO dalam era Pak Lah juga menyaksikan negerinya sendiri Pulau Pinang turut dibaham oleh kuasa harimau sehingga DAP berjaya membentuk dan mengetuai kerajaan negeri Mutiara itu. UMNO Pulau Pinang yang diketuainya tidak lagi 'Cemerlang, Gemilang dan Terbilang'.

Negeri Kedah Jelapang Padi juga telah mencatatkan rekod kesuramannya kali ini, apabila kepimpinan MB barunya Datuk Seri Mahadzir Khalid iaitu bekas Setiausaha Politik Pak Lah dahulunya, juga telah ditolak oleh rakyat negerinya sendiri. Sekali lagi UMNO dalam era Pak Lah menyaksikan Kedah Darul Aman tumbang di jalapang padinya. PAS dengan penuh bergaya membentuk kerajaan barunya.

Negeri Selangor Darul Ehsan merupakan negeri yang terkaya di Malaysia, tetapi pemimpin UMNO negeri ini telah menghina Pegawai Kerajaannya sendiri dengan menghadiahkan 'PENYAPU' sehingga menjadi 'ketulah rakyat', maka rakyat jugalah yang menghukum KHIR TOYO dengan memasukkan UMNO ke dalam botol untuk dicampakkan ke dalam laut sebelum ianya menjadi toyol menakutkan rakyat.

UMNO yang berjenamakan Khir Toyo kini terpaksa berbangga dengan kegagalan silamnya, lalu jadi kalimayo menggunakan isu lembu pula untuk menjatuhkan pemimpin yang telah dipilih oleh rakyatnya sendiri.

Dia tidak malu dengan rekod kegagalannya dalam memperkasakan UMNO sehingga PKR berjaya melemahkannya, seterusnya mereka telah berjaya pula mengambil alih pentadbiran di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dengan membentuk kerajaan baru; dalam pada itu Khir Toyo yang kini menjadi Ketua Pembangkang DUN Selangor tanpa segan silu mencari-cari kesilapan orang lain seolah-olah mahukan rakyat Selangor mempercayainya lagi.

Negeri Kelantan Darul Naim yang masuk penggal ke-V kerajaan PAS memerintah negeri Cik Siti Wan Kembang ini, dilihat begitu dominan sehingga mereka dengan mudahnya berjaya mematahkan niat buruk "KJ" yang menggunakan slogan 'Pade Doh' sehingga melenyapkan impian 'Annuar Musa' untuk menjadi MB Kelantan yang baru.

UMNO Terpasung Dengan Jeratnya

Sekali lagi UMNO yang terbilang dengan 'cah ketingnya' di negeri Serambi Mekah ini terpasung dengan jeratnya sendiri. Tuan Guru Nik Aziz yang serba sederhana kehidupannya telah menjadi pilihan di hati rakyat sehingga PAS terlalu kebal untuk dibinasakan oleh UMNO. Ibrahim Ali 'si cicak mengkarung' ini jika tidak menggunakan lambang bulan (PAS), tentunya dia takkan menang di Pasir Mas.

(Foto - Ibrahim Ali di tengah bersama Penulis di kiri sekali, Gambar Tahun 1984 semasa sama-sama di dalam Pemuda UMNO Malaysia) Memetik semula apa yang pernah Ibrahim Ali perkatakan kepada saya suatu ketika dahulu bahawa terlalu sukar untuk dia menang di Pasir Mas jika masih menggunakan lambang dacing, tetapi menjadi mudah untuk menang jika bertanding atas tiket pembangkang. Sebab itu dia menang dalam PRU12 kerana Nik Aziz merestuinya bertanding atas tiket bulan. Sebelumnya dia kalah dalam pilihan raya kecil DUN Pengkalan Pasir sebab bertanding atas tiket BEBAS. Sahabat saya ini (Ibrahim Ali) memang lantang dan begitu berterus terang dalam perjuangannya, tetapi sayang dia terlalu bahaya kerana mudah menggigit tangan orang yang berbudi dengannya.

UMNO Hilang Kesaktiannya

Demikianlah episod lima buah negeri termasuk satu lagi di Wilayah Persekutuan yang telah menjadi mangsa kepada kebencian rakyat terhadap UMNO yang sudah hilang kesaktian pemimpinnya. Pada saya, UMNO tidak perlu dipersalahkan, tetapi kebijakan pemimpinnya perlu dibijaksanakan supaya tidak lagi digenangi dengan gejala perosak yang dibenci oleh rakyat. PRU13 hanya berbaki tiga empat tahun saja lagi.

UMNO dan BN harus cermat dan smart untuk membatasi era kepimpinannya supaya lebih dinamik, lebihkan wownya, tidak korupsi, berhati mulia, berjiwa rakyat, membela rakyat, bijak mengurus negara, saksama dalam sistem pengadilannya dan yang penting sekali ialah sentiasa perkasa membela jati diri keMelayuannya.

Bahasa Melayu di Bawah Tangga

Bahasa ibunda kita jangan diletakkan di bawah tangga sahaja, kita mesti bertanggungjawab mendaulatkan bahasa nenek moyang kita, bukannya berbangga dengan bahasa kolonial yang pernah menjajah minda orang Melayu. Insaflah, UMNO hari ini perlukan jati dirinya. UMNO bukan sahaja mesti diMelayukan lagi, malah UMNO hari ini juga mestilah kelihatan Melayu yang berbudi pekerti, Melayu yang diterima oleh semua rakyat Malaysia. Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) atau UMNO ini mestilah ada kilaunya untuk mendepani isu-isu rakyat yang memerlukan pembelaan kita.

Melayu UMNO, Melayu PAS, Melayu PKR

Hendaknya Melayu di dalam UMNO, tidaklah menganggap Melayu di dalam PAS dan Melayu di dalam PKR sebagai musuh yang perlu diperangi sehingga Melayu sesama Melayu akan berbunuhan sesama sendiri demi ketulenan parti masing-masing kononnya.

Melayu dalam UMNO, PAS dan PKR semuanya beragama Islam, semuanya membaca Al-Quran yang sama yang memfardhukan keseragaman solat lima waktunya. Janganlah membiarkan pergelutan kuasa sesama Melayu sehingga membawa kepada kehancuran. Wahai Najib, Anwar dan Nik Aziz, buangkan ego masing-masing, carilah noktahnya sekarang...!!

Monday, January 26, 2009

Zahid arah pegawai kerajaan pusat jangan hadir mesyuarat kerajaan negeri Perak, ADUN Bota pula keluar BN .

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan, Datuk Seri Dr. Mohd. Zahid Hamidi (Foto) secara tiba-tiba bertindak dengan emosinya dengan membuat arahan menghalang pegawai kerajaan Pusat menyertai mesyuarat-mesyuarat kerajaan negeri Perak. Beliau yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Perak berkata bahawa arahan ini akan berkuat kuasa serta merta.
ADUN Bota keluar UMNO
Berita panas terbaru daripada Negeri Perak pula melaporkan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri BN Kawasan Bota Datuk Nasaruddin Hashim (Foto kanan) telah bertindak agresif mengumumkan dirinya keluar daripada UMNO sama seperti tindakan yang dibuat oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad. Tun Dr. Mahathir Mohamad keluar UMNO kerana kecewa dengan kepimpinan Pak Lah dan beliau bersedia masuk semula ke dalam UMNO apabila Pak Lah tidak lagi memimpin parti ini.
Datuk Nasarudin Hashim yang juga bekas Pengerusi FELCRA pula bertindak keluar daripada UMNO dan telah membuat keputusan menyertai PKR. Tindakan yang diambil oleh ADUN Bota ini benar-benar telah memberikan tamparan kepada UMNO dan BN Negeri Perak yang dilihat merestui dengan arahan Zahid Hamidi untuk konfront dengan kerajaan Pakatan Rakyat.
Saya secara peribadi mengenali rapat dengan Datuk Nasarudin Hashim ini., malah saya pernah menemuinya di Ibu Pejabat FELCRA yang berdekatan dengan tempat tinggal saya di Seksyen 10 Wangsa Maju (Lihat Foto sebelah: YB Datuk Nasarudin Hashim di tengah) Saya bertemu dengan beliau pada ketika itu untuk membincangkan hal-hal berkaitan dengan permohonan tanah di Negeri Sarawak, yang bakal dimajukan secara usahasama diantara Skuad 69 PDRM Sarawak dengan Felcra.
Kebetulan pula beliau adalah Wakil Rakyat di kampung kelahiran saya di Lambor Kanan, Parit, Perak; telah membuatkan hubungan kami semakin akrab. Selepas daripada pertemuan itu, kami sering berjumpa di luar minum teh tarik di warung mamak di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.
Dahulunya kawasan Bota ini pernah diwakili oleh bapa saudara saya, Dato' Ahmad Hambal Yeop Majlis yang juga Ketua UMNO Bahagian Parit. Semasa Allahyarham Datuk Ahmad Hambal Yeop Majlis memimpin UMNO Bahagian ini, Datuk Nasarudin Hashim merupakan Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Parit. Beliau juga merupakan penyokong kuat Dato' Ahmad Hambal Yeop Majlis.
Apabila mendapat tahu bahawa Datuk Nasarudin Hashim telah bertindak keluar daripada UMNO, saya agak terperanjat. Saya menjadi lebih terkejut apabila beliau membuat pengumuman ini di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, sekaligus mengumumkan dirinya telah menyeberang ke dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).
UMNO hilang satu kerusi lagi
Tentunya beliau telah menemui Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum membuat pengumuman tersebut (Lihat foto Anwar menyarungkan baju PKR kepada Datuk Nasarudin) Terkeluarnya Datuk Nasarudin Hashim daripada UMNO, dengan sendirinya menyaksikan betapa BN yang memerlukan suntikan pemulihannya setelah kalah di dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu, telah kehilangan satu kerusi di negeri yang kini dikuasai oleh Pakatan Rakyat.
Dengan perkembangan ini juga kerajaan Pakatan Rakyat yang terdiri daripada tiga komponen parti iaitu PKR, DAP dan PAS kini mempunyai 32 kerusi, berbanding dengan BN yang tinggal 27 kerusi.
Sementara itu di dalam satu perkembangan yang lainnya, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Perak Dato' Seri Tajol Rosli Ghazali telah mengadakan mesyuarat tergempar yang dihadiri oleh semua pemmpin UMNO dan juga ADUN BN Negeri Perak bagi membincangkan isu yang menghimpit UMNO dan Barisan Nasional ini.
Dato' Tajol dikatakan sedang berusaha untuk menghubungi Datuk Nasarudin bagi mendapatkan gambaran sebenar tentang tindakannya itu, seterusnya beliau berkata akan mengusahakan supaya Datuk Nasarudin dapat bertemu Pak Lah dan juga Najib dalam masa yang terdekat ini.
Di dalam suasana yang getir ini timbul satu persoalan, kewajaran apakah Zahid Hamidi mengeluarkan arahan supaya dijurangkan hubungan kakitangan kerajaan pusat negeri Perak dengan kerajaan negeri yang sedang memerintah?
Zahid dapat arahan Kabinet ke?
Adakah arahan yang serupa akan dibuat terhadap Pegawai Kerajaan Pusat bagi negeri-negeri lain yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat? Rakyat mungkin ingin tahu apakah arahan ini telah diputuskan oleh jemaah Menteri?
Sesungguhnya tindakan yang dibuat oleh Zahid ini pasti akan menikam diri sendiri, dan kesan daripada arahan bebal ini akan menyebabkan majoriti rakyat yang telah membuat keputusan menolak BN di negeri berkenaan di dalam PRU12 lalu, akan terus alergik dengan UMNO dan BN.
UMNO Desperado
Arahan ini sebenarnya juga tidak mendatangkan keuntungan kepada UMNO, malah keputusan ini dilihat tidak mempunyai daya tarikan untuk melemahkan kepercayaan rakyat negeri Perak kepada kerajaan yang telah mereka pilih sendiri.
Arahan keras yang dibuat oleh Zahid ini juga telah menyulitkan lagi harapan UMNO dan BN untuk merampas semula negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat. Sebagai sebuah parti yang mempunyai track record kematangannya, tindakan terburu-buru Zahid Hamidi melambangkan kerakusan UMNO yang menjadi Desperado di negeri Perak.


Thursday, January 22, 2009

Najib Akui UMNO Tidak Mesra Rakyat...Muhyiddin kata UMNO perlu ada WOW!

Saya mula menulis coretan ini pada jam 2.30 pagi, 22 Januari 2009. Siang tadi saya agak lama di Warung Kopi Starbucks di Great Eastern Mall, di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, bersama dengan rakan/sahabat handai seperjuangan saya di dalam UMNO iaitu Saudara Rosli Mohammad, Ketua UMNO Cawangan Kelumpuk Bunga Raya sejak pukul 4.00 petang dan kami beredar meninggalkan Great Eastern Mall pada jam 6.30 petang. Kami memang selalu bertemu di sana secara santai sambil bertukar-tukar fikiran mengenai pelbagai topik, dan tentuya topik mengenai politik semasa kebangsaan dan juga 'Setiawangsa' tidak dapat dipisahkan di dalam wacana santai kami.
Saya dan Rosli tidak berduaan sahaja. Saudara Hamzah Kamarudin Ketua UMNO Cawangan Seksyen 6 Wangsa Maju turut bersama kami. Beliau memang sering di tempat ini, dan kehadirannya hari ini kelihatan lebih awal dari saya dan juga Rosli.
Sebelah malamnya, saya dan Rosli bertemu dengan Samsuri Shahrom (Pegawai Khas Timbalan Menteri WP) di sekitar Kompleks Damai, Jalan Lumut (Berrdekatan Hotel Vistana). Agak lama juga saya tidak bertemu Samsuri. Kali terakhir bersama beliau ialah di Pejabat UMNO Bahagian Setiawangsa selepas mesyuarat AJK Bahagian bulan Disember lepas.
Secara santai kami tidak melepaskan wacana ini bertanyakan mengenai hal ehwal politik di Bahagian kami, Setiawangsa. Secara ikhlas saya menyatakan di sini bahawa skop topik yang dicanaikan ialah menjurus kepada bagaimana kaedah terbaik untuk 'Mesrakan UMNO' yang diperkatakan oleh Datuk Sri Najib hari ini sebagai 'Kurang Mesra Rakyat' dengan merujukkan ia menjadi salah satu punca kepada BN yang tewas di Kuala Terengganu di dalam PRK P036 17 Januari lepas.
Saya berpendapat, UMNO bukan sahaja perlu lebih mesra rakyat, malah UMNO yang sakit tua ini perlu ditambah nilai dengan segala unsur sinergi untuk menjadikannya lebih berdaya tahan. UMNO mesti fokus untuk menterjemahkan kehendak dan kebencian yang ditunjukkan oleh generasi muda yang kini menguasai pentas pilihan raya.
WOW UMNO
Slogan mesra rakyat yang ditampilkan tidak menjadi 'WOW' kerana UMNO masih dihingar bingarkan dengan pergelutan merebut kuasa yang dilihat masih dicemari dengan RASUAH, sehingga Datuk Husam Musa Naib Presiden PAS di dalam ceramahnya di Kuala Terengganu melabelkan UMNO sebagai parti Melayu yang digenangi dengan masalah rasuah yang berpanjangan.
UMNO juga tidak ada WOW kerana pemimpin-pemimpinnya dilihat terlalu elitis dan bergaya sehingga menyaksikan golongan yang menguasai kepemimpinan parti ini hanya mementingkan jawatannya sahaja sehingga sanggup membeli dan merasuah undi yang tidak sanggup dilakukan oleh golongan pemimpin akar umbi yang marhain.
Perakus kuasa
Golongan yang marhain di akar umbi ini dilihat menjadi alat kepada perakus kuasa, walaupun bakat kepimpinan perasuah ini tidak merakyatkan UMNO secara leluhurnya.
Sekali lagi UMNO dilihat semakin tidak mesra rakyat, kerana sikap pemimpin elit jenis ini telah menguasai legasi kepimpinan yang tidak dapat menjiwai hati nurani rakyat yang dihimpit kesusahan tanpa diberikan pembelaan yang sewajarnya.
UMNO di peringkat cawangan yang menggalas hati nurani rakyat akar umbi juga dilihat hanya tampil secara bermusim pada setiap tahun ketika hendak mengadakan persidangan tahunannya sahaja. Itu pun kadang-kadang intipati persidangan tahunan yang diadakan sekadar untuk melengkapkan 'Borang 9' sahaja dengan memilih penjawat jawatan yang boleh menyokong pelobi jawatan di peringkat Bahagian.
Upload & Download Pemimpin
Agak mengecewakan juga apabila persidangan tahunan yang diadakan itu tidak dijadikan platform untuk mengangkat permasalahan rakyat setempat seperti masalah penjaja, masalah prasarana pendidikan dan bantuan kebajikan kepada golongan yang daif. Usul yang berunsurkan pembelaan kepada rakyat tidak menjadi keutamaan, sebaliknya sesuatu persidangan yang dijalankan dilihat begitu tertumpu kepada perebutan jawatan untuk menaikkan (Upload) dan menjatuhkan (Download) pemimpin.
Seringkali pula persidangan yang sedemikian telah diatur rapi oleh pelobi-pelobi jawatan tertentu yang berkepentingan untuk menguatkan kabilah masing-masing dan kemudiannya kelumpuk kabilah tertentu ini akan berusaha dengan sepenuh dayanya untuk mengatur langkah strategik menggulingkan pemimpin yang tidak sehaluan dengannya.
Demi untuk mejayakan cita-cita rakus pemimpin tertentu ini, ada yang sanggup dan terpaksa berusaha mendapatkan 'sumber biaya' untuk diagih-agihkan kepada perwakilan tertentu dengan tujuan untuk melobi undi.
Siapa Perasuah UMNO?
Lazimnya tokoh yang mempunyai kemampuan dari segi kewangan walaupun ia cetek dalam diplomasi politiknya bakal menjadi 'perasuah UMNO' sehingga ramai yang terpaksa menerima rasuahnya. Benarkah kriteria seseorang yang mahu menjadi ketua kabilah di dalam UMNO MESTI dari golongan orang kaya? Mengapakah fenomena meletakkan orang yang berduit sahaja yang layak untuk merasuah ketua-ketua cawangan serta perwakilan untuk diangkat sebagai pemimpin? Sepatutnya orang yang berduit di dalam UMNO menghulurkan sumbangan seadanya untuk membantu menguatkan struktur parti supaya setiap pemimpin cawangan dapat menggerakkan aktiviti masyarakat yang diwakilinya.
Mereka harus ikhlas untuk membantu parti, dan bukannya terdorong menjadi manusia yang hanya untuk memperkecilkan orang lain yang dianggap naif sehingga merendahkan martabat seseorang Ketua Cawangan yang dilihatnya boleh dibuli dengan wang ringgit.
Berjihad membantu UMNO
Jika UMNO hendak bertahan lama, hanya golongan konglomerat yang berhati mulia tanpa prejudis dengan jawatan yang diidamkan, serta mereka ini juga sanggup mempertaruhkan harta kekayaannya untuk berjihad membantu UMNO mensifarkan kemiskinan tanpa gilakan jawatan dalam parti, sudah pasti UMNO akan kembali di hati rakyat.
Kombinasi kekayaan yang dimiliki dengan keupayaan berbakti kepada masyarakat menerusi perjuangan UMNO akan melahirkan UMNO yang penuh kejiwaan. Kebijakan mengatur program merakyatkan UMNO akan menjadikan UMNO sentiasa di hati rakyat.
Kesejagatan UMNO
UMNO di semua peringkat, terutamanya di peringkat cawangan harus digerakkan nadinya sehingga mereka merasakan suatu kehilangan tanpa UMNO. UMNO zaman moden ini mesti kelihatan 'sejagat' tanpa menghakiskan nilai-nilai budaya keMelayuan yang diwarisi. UMNO jangan berdolak dalik lagi untuk mempertahankan kesucian agama Islam yang dianuti oleh umat Melayu, dan jangan pula memandang rendah martabat bahasa nenek moyang kita ini. Bahasa adalah jiwa bangsa!
Perlekehkan Bahasa Melayu jangan memimpin UMNO
Jika pemimpin UMNO merasa malu dengan bahasanya sendiri, lebih baik dia berundur sahaja daripada menjadi pemimpin Parti Kebangsaan Melayu Bersatu ini. Lebih ramai lagi pemimpin yang dilihat lebih berjiwa Melayu, yang layak memperjuangkan bahasa Melayu ini. Pemimpin Melayu yang bacul seumpama ini adalah pengkhianat kepada bangsa Melayu, dan tidak sewajarnya diberikan tempat menjadi pemimpin UMNO.
Merakyatkan Setiawangsa
Akhirnya saya nak angkat topi kepada Hamzah Kamaruddin yang begitu sinikal dengan mengingatkan supaya kita tidak berpecah belah untuk menguatkan UMNO di Bahagian Setiawangsa yang dipimpin oleh DS Zulhasnan Rafique. Sambil beliau berbangga dengan kehadiran semula saya di dalam barisan Ahli Jawatankuasa Bahagian Setiawangsaa, Hamzah juga mengharapkan lebih banyak lagi penggerak UMNO yang boleh membantu memperkuatkan pimpinan UMNO Setiawangsa.
Secara optimistik, Hamzah juga melihat betapa banyak peluang ekonomi yang harus diceburi oleh anak bangsa kita, dan beliau percaya UMNO di bawah kepimpinan DS Zulhasnan Rafique yang kini menjawat jawatan Menteri WP dapat berbuat sesuatu yang bermanfaat untuk warga di Setiawangsa ini.




Wednesday, January 21, 2009

BARRACK HUSSEIN OBAMA 'ADI KUASA' TIGA ALAM.


Detik Bersejarah Obama mengangkat sumpah
sebagai Presiden AS Ke-44





Barrack Hussein Obama, 47, kini (20 Januari 2009) telah dinobatkan sebagai orang kulit hitam pertama dari 'tiga alam' berada di puncak adi kuasa Amerika Syarikat yang ke-44. Perisytiharan dirinya sebagai Presiden Amerika Syarikat yang baru ini telah disaksikan di hadapan khalayak rakyat yang dianggarkan berjumlah lebih 2 juta orang yang telah berkampung di perkarangan 'Bangunan Capitol' di Washington DC.

Seluruh dunia turut menyaksikannya menerusi siaran-siaran secara langsung yang dipancarkan samada di kaca TV negara masing-masing, mahupun menerusi 'live' di laman-laman internet. Aura Obama mania dilihat bakal membawa satu perubahan daripada yang sejahat-jahat yang pernah dilakukan oleh Bush durjana sebelumnya, kepada suatu bentuk kepimpinan terbaik dan yang terpuji yang bakal digalas oleh Barrack Hussein Obama.

Seluruh dunia turut terpukau dengan nada ucapan sulungnya yang dilihat berunsurkan ' Public Diplomacy' yang menjadi satu harapan kepada warga dunia yang melihat Amerika Syarikat sebagai sebuah kuasa dunia. Di pundak Obamalah dunia ingin melihat imej Amerika Syarikat dapat dipulihkan, daripada dasar lanunnya yang suka berperang kepada suatu dasar toleransi yang lebih terbuka, lagi adil dan saksama kepada semua.

Obama Insan Tiga Alam

Sebagai seorang yang berasal daripada keturunan berkulit hitam di Benua Afrika (Kenya), dan kini bernegara sebagai seorang Anglo American, Obama juga pernah bertapak selama lima tahun di negara Indonesia (Lihat Foto di atas: Obama bersama bapa tirinya di Indonesia) iaitu sebuah negara Islam yang terbesar di dunia semasa di bangku 'sekolah dasar' di negara tersebut. Zaman kanak-kanaknya di Indonesia Obama dikenali sebagai 'Barry'. Detik kehidupannya yang merentasi tiga benua inilah yang menjadikan Barrack Hussein Obama dikenali sebagai 'insan 3 alam' iaitu alam Afrika, alam anglo-Amerika dan juga alam Melayu.

Terlalu banyak cabaran yang perlu direntasi oleh Obama yang berkulit hitam yang kini mendiami 'Rumah Putih'. Agak sukar untuk diramalkan samada Obama mampu untuk melakukan perubahan sebagaimana yang diharapkan oleh dunia. Dasar Parti Demokrat yang diwakilinya lebih dilihat terikat kepada kecenderungan memihak kepada negara Yahudi Laknatullah. Tentunya negara Islam akan merasa kecewa jika Obama yang berkacukan Muslim ini akan terus berada di bawah ketiak busuk Israel.

Hulubalangnya pro Israel

Jika dilihat hulubalang-hulubalang yang dilantiknya, seperti Hillary Clinton yang menjadi Setiausaha Negara AS , ditambah pula dengan sikap Naib Presidennya yang bertegas memihak kepada negara Yahudi itu, tentunya niat perubahan yang hendak dilakukan oleh Obama terutama yang berkaitan dengan isu 'Timur Tengah' kemungkinan ia hanya tinggal harapan sahaja. Sejauh mana Obama dapat memusingkan mentaliti zionis supaya semangat cintakan keamanaan dapat diterjemahkan di bumi Palestin yang sudah lama ditindas oleh Israel, sama-samalah kita melihatya nanti.

Oleh itu janganlah kita meletakkan harapan yang tinggi melangit kepada Barrack Hussein Obama ini, yang tidak lagi berbangga terhadap kesucian agama bapanya (Islam). Apa yang penting ialah seluruh umat Islam di dunia ini harus bersatu padu, memperkukuhkan ikatan silaturrahim dan jangan lupa berpegang kepada Al-Quran dan Hadis Nabi yang menuntut agar umatnya tidak berpecah belah, seterusnya menjanjikan kemenangan jika kita berpegang teguh dengan tali Allah.

SILA KLIK VIDEO - UCAPAN SULUNG OBAMA SEBAGAI PRESIDEN AS
20 JANUARI 09.

Sunday, January 18, 2009

Calon Mesra Rakyat BN tewas di Kuala Terengganu

Wan Ahmad Farid Wan Salleh, calon 'Mesra Rakyat' daripada Barisan Nasional yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu akhirnya kecundang dan pasrah dengan kekalahan yang diterimanya daripada calon PAS 'Mohd. Abdul Wahid Endut' yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu di dalam pilihan raya kecil P.036 Kuala Terengganu yang diadakan kelmarin, 17 Januari 2009.
Kemenangan Mohd. Abdul Wahid Endut (MAWE) yang juga ADUN Wakaf Mempelam ini sememangnya telah diduga sejak dari awal lagi apabila namanya telah diumumkan sebagai calon PAS untuk berhadapan dengan calon BN yang telah diumumkan terlebih awal oleh Timbalan Perdana Menteri.
MAWE telah memperolehi 32,883 undi, manakala Wan Farid telah menerima 30,252. Calon Bebas pula Azharudin Mamat hanya mendapat 193 undi sahaja. Kejayaan MAWE dengan majoriti 2,631 undi telah memeranjatkan BN kerana Pak Lah dan Najib telah menunjukkan optimistik masing-masing untuk mengulangi kemenangan Barisan Nasional yang telah dicapai oleh Datuk Razali Ismail dalam PRU12 yang lalu.
Namun begitu impian kedua-dua pemimpin No. 1 dan No. 2 negara itu tidak menjadi kenyataan, kerana rakyat di Kuala terengganu telah menghantar satu mesej yang jelas betapa mereka jelik dengan parti UMNO yang dikatakan oleh Datuk Husam Musa Naib Presiden PAS sebagai parti perasuah yang tidak mampu lagi mempertahankan 'Ketuanan Melayu' yang dilaung-laungkan oleh parti itu selama ini.
UMNO Parti Tua
Sindrom parti UMNO yang sudah tua sebagaimana yang pernah digambarkan oleh Tun Musa Hitam sebelum ini telah menampakkan kebenarannya. Telahan yang dibuat oleh Musa Hitam itu seakan-akan beliau sudah menjangkakan betapa UMNO akan menerima padahnya dengan isyarat yang jelas daripada rakyat akar umbi yang mahukan UMNO melakukan evolusi kepemimpinannya.
Lambakan generasi muda yang telah mulai memenuhi ruang registri pengundi di negara ini sebenarnya telah memberikan suatu isyarat untuk UMNO supaya lebih bersedia melakukan perubahan segera di dalam struktur organisasinya.
UMNO yang semakin usang ini tidak perlu lagi melayani kerakusan kuasa yang yang sedang dihambat oleh golongan pemimpin yang tidak sedar lagi betapa dirinya tidak sesuai lagi untuk membarisi dalam hirarki UMNO yang sewajarnya digilap dengan tenaga baru, pemikiran baru dengan elegensi wajahnya sesuci embun pagi.
UMNO abad ini yang sedang mengejar Wawasan 2020 tidak memerlukan lagi golongan order lama yang semakin mengkaratkan wajahnya. Sebaik-baiknya UMNO lebih bersiap siaga untuk menggilirkan larian maratonnya kepada penerima baton yang lebih berdaya saing untuk meneruskan perjuangan selanjutnya.
Tanpa kita mengenepikan daya fikir order lama (otai) yang perlu ditimba pengalaman silamnya, UMNO juga perlulah bersedia untuk melengkapkan agenda perjuangannya secara tuntas terutama dalam menghadapi cabaran global yang hanya mampu digalas oleh mereka yang berilmu dengan lebih profesional dan mengangkasa sifatnya.
Vacuum
Sewajarnya kita mengambil iktibar untuk mengisi 'vacum' yang terdapat di dalam kerangka perjuangan UMNO yang semakin dituntut untuk diperkasakan hari ini. Tentunya kebimbangan ini tidak dirasai sangat oleh perakus kuasa yang terlupa bahawa dirinya 'umur kata pergi, kubur kata mari', malah golongan otai ini semakin perasan untuk terus mengintai takhta-takhta Timbalan Presiden, Naib Presiden dan lain-lain jawatan di semua peringkat.
Pewaris UMNO
Perakus kuasa ini juga dilihat semacam tidak berkeyakinan untuk membuat keputusan yang terbaik bagi UMNO, sehingga mereka terlupa untuk mewariskan keris pusaka mereka kepada 'Pewaris UMNO' yang lebih bersinergi. Inilah dia simpton yang dihadapi oleh UMNO hari ini sehingga tuli untuk mengangkat martabat bangsa yang semakin terbiar ini.
UMNO Pejuang Bahasa Melayu?
Perjuangan kebangsaan Melayu yang sedang diamanahkan kepada UMNO kini menyaksikan betapa bahasanya semakin menjadi kelas kedua. Bahasa Melayu yang menjadi bahasa kepada 250 juta umat Melayu di seluruh dunia ini dianggap tidak ada kelas lagi untuk dipertuturkan.
Aduan pencinta bahasa nenek moyang (bangsa Melayu) yang sedang dirintih kepada UMNO yang mengaku sebagai Parti terbesar umat Melayu di negara ini, dilihat sebagai mencurah air di daun keladi sahaja.
Amat malang sekali apabila melihat mereka yang cintakan bahasa Melayu ini terpaka berpekik di jalanan merintih betapa bahasa ibunda mereka tidak lagi di hati UMNO. UMNO dilihat menjadi serba salah untuk mengembalikan kedaulatan bahasa ibunda Melayu dalam mata pelajaran Matematik dan Sains, sebaliknya UMNO sedang mencari alasan kukuh untuk mempertahankan bahasa penjajah ini menjajahi pemikiran anak-anak kita ini.
Inilah isu-isu kecil yang dijeritkan oleh pencinta bahasa Melayu di kalangan rakyat akar umbi terutamanya orang kampung yang begitu kecewa melihat kegagalan pejuang UMNO yang berkulit sawo matang mengaku sebagai pejuang Melayu tulen, tetapi terkandas dalam memartabatkan bahasanya sendiri. Inilah yang rakyat MARAH dan ia menjadi bahan ejekan yang meranapkan supremasi UMNO terutama di dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu ini.
Seperkara lagi yang menjadi igauan UMNO ketika menghadapi pilihan raya kecil di Kuala Terengganu ini ialah betapa rapuhnya soilidariti UMNO BAHAGIAN KUALA TERENGGANU sendiri yang dipimpin oleh Wan Farid yang dikatakan terlalu banyak musuh di dalam selimut, dan ada pula gunting di dalam lipatan.
Wujudnya kabilah di dalam kepimpinan UMNO Bahagian Kuala Terengganu yang menyaksikan kumpulan yang pro Wan Farid dan kumpulan yang pro dengan Arwah Datuk Razali Ismail telah menjarakkan lagi hubungan berkabilah di dalam UMNO Kuala Terengganu. Rata-rata ternampaknya kelibat tidak berpuas hati pihak tertentu di dalam puak-puak ini yang masih bersengketa sehingga wujudnya 'cah keting' yang mengakibatkan lumpuhnya jentera parti untuk berhadapan dengan hamparan hijau parti PAS yang bijak mengintai peluang ini untuk mencipta kemenangan.
Sudahlah calon BN ini dikatakan oleh Tun Dr. Mahathir sebagai 'Calon benar-benar pilihan yang sangat buruk' , namun memang benar gelagat dan perwatakan Wan Farid yang diminta supaya lebih bersikap mesra rakyat, ternyata beliau benar-benar tidak mampu untuk mengalihkan tanggapan masyarakat tempatan yang melihat dirinya terlalu 'elitis' dan 'egoistik'.
Sememangnya calon pilihan Pak Lah ini tidak menepati selera rakyat di Kuala Terengganu. Kenyataan Pak Lah yang menyebut bahawa Wan Farid bukanlah seorang yang sombong dengan alasan Wan Farid tidak pernah berlaku sombong terhadapnya selama menjadi Setiausaha Politiknya di Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, ternyata bahawa pilihan Pak Lah itu telah memakan diri. Dia tidak sombong dengan Pak Lah, tapi dia ada rekod kesombongannya dengan rakyat jelata di kawasannya sendiri.

Pak Lah Tidak Bijak Laksana



Nampaknya Pak Lah tidak terlalu bijak laksana untuk menilai seseorang yang tidak dapat diterima oleh rakyat semata-mata Wan Farid yang dikatakan tidak kelihatan sombong dengan bosnya. Begitu juga betapa Pak Lah tidak mahu menerima andaian banyak pihak yang menyatakan menantunya KJ menjadi punca kebencian rakyat terhadap UMNO. Beliau agak marah dan tersinggung dengan tanggapan ini lalu mempertahankannya sehingga KJ dlihat semakin mue dengan gelagat yang menjadi kebencian rakyat.
Demikianlah gaya di hujung kuasa kepimpinan Pak Lah yang bakal menyerahkan keris ketuanan UMNO (Presiden) kepada penggantinya Najib, yang akan dinobatkan sebagai Presiden UMNO pada 25 Mac nanti.
Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam satu kenyataan terbarunya pula menyifatkan keputusan pilihan raya kecil di Kuala Terengganu itu sebagai penolakan rakyat kepada kepimpinan Pak Lah yang telah dianggapnya sebagai pemimpin korup. Beliau juga meramalkan parti BN akan menghadapi kekalahan teruk di dalam pilihan raya akan datang jika Najib yang mengambil alih nanti masih gagal membasmi perbuatan rasuah ini.


Friday, January 16, 2009

Anwar kata, jika Pakatan Rakyat memerintah, Najib akan dilantik Duta Malaysia ke Mongolia?

"Saya nak tanya tuan-tuan sekelian, apa kita nak buat kepada Najib yang banyak sangat masalah ni...jika kita memerintah Malaysia nanti? Tanya Anwar kepada lebih 10 ribu orang yang membanjiri majlis ceramah di kawasan Peti Undi Pantai di Nesan Empat Kuala Terengganu semalam (15 Januari 09).
Lalu bergema jawapan daripada hadirin, "Tangkap dia, tangkap dia...".
Kemudian Anwar berkata, "Jangan...jangan...dia (Najib) orang baik, tapi jika kita memerintah nanti, kita akan lantik Najib sebagai 'Duta' Malaysia ke Mongolia..."
Mendengar jawapan Anwar itu, lalu semua yang hadir turut ketawa besar seolah-olah bersetuju dengan saranan itu, lalu mereka menyambutnya dengan kata-kata...'setuju...setuju!'.
Demikian sebahagian daripada intipati ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang begitu bersemangat yang berselang seli dengan unsur gurau senda yang amat memikat hati dan jiwa orang yang mendengarnya.
Anwar yang tiba kira-kira jam 11.50 malam di lokasi ceramah agak lewat memulakan giliran ceramahnya terpaksa meredah jalan di Bandaraya Terengganu yang begitu sesak terutama di lokasi menuju ke tempat ceramah yang terletak di persimpangan jalan di Nesan Empat.
Orang ramai yang hadir sejak jam 9.00 malam, begitu sabar menunggu kehadiran Anwar yang tidak muncul-muncul, terutama apabila jam sudah menunjukkan 11.45 malam, kerana permit ceramah yang dibenarkan hanya berbaki 15 minit saja lagi.
Orang ramai yang berpusu-pusu masuk ke kawasan ceramah tidak terasa menunggu lama, kerana sebelumnya mereka telah mendengar beberapa ceramah yang tidak kurang hebatnya daripada YB Abdullah Sani, Ahli Parlimen Kuala Langat daripada PKR, begitu juga turut menyampaikan ceramah selepasnya ialah Profesor Dr. Mohd. Nor Manuty Ahli Majlis Tertinggi PKR.
Saya melihat orang ramai tidak berganjak, kerana mereka juga telah dihidangkan dengan ceramah yang amat menarik yang disampaikan oleh YB Datuk Husam Musa, Naib Presiden PAS yang banyak menyentuh mengenai kepincangan dalaman UMNO yang dikatakannya amat parah dewasa ini.
Keresahan orang ramai yang menyangka Anwar tidak mungkin dapat sampai ke lokasi ceramah telah kembali ceria dan semakin membara kehangatannya apabila Anwar sampai pada jam 11.50 malam, dan terus diberikan ruang terbatas itu kepada Anwar sehinggalah Anwar menamatkan ceramah ringkasnya kira-kira jam 12.20 malam.
Aura Anwar memukau
Walaupun singkat, namun ternyata aura yang ada pada Anwar telah berjaya memukau 10 ribu orang yang mendengarnya. Saya yang berada di majlis ceramah ini agak malu dan tercabar apabila hampir kesemua penceramah sehinggalah kepada giliran Anwar, rata-rata mereka telah menyentuh mengenai kepincangan dalaman UMNO dan kerajaan BN dengan penuh sindiran tajam yang menikam kalbu.
Agak tercabar juga, apabila Husam Musa berjata bahawa UMNO hari ini tidak seperti UMNO dahulu. Beliau berkata UMNO hari ini merupakan parti orang Melayu yang kononnya berpaksikan 'Kebangsaan Melayu' tetapi tidak sedikit pun menampakkan perasaan cemas apabila bahasa nenek moyang umat Melayu ini semakin dihakiskan penggunaannya. Husam berkata lagi bahawa UMNO tidak peka lagi malah semakin menyanjungi bahasa yang diguna pakai oleh penjajah kita dahulu.
Bahasa Melayu dan Ketuanan Melayu yang diabaikan UMNO
Husam menyoal, kenapa pemimpin UMNO hari ini yang bercakap mengenai ketuanan Melayu tetapi mereka tidak rasa bersalah kepada orang Melayu di negara ini apabila Bahasa Melayu ditukar menjadi Bahasa Malaysia, malah Bahasa Melayu yang di Malaysiakan ini tidak lagi layak untuk diajar dalam mata pelajaran Matematik dan Sains di negara Malaysia ini.
Oleh itu Husam dengan penuh syahdu terus berkata batapa UMNO tidak lagi layak untuk membicarakan mengenai kepentingan Melayu di negara ini. Menurutnya, pemimpin UMNO hanya sibuk dengan kerakusan kuasa yang sedang direbutnya hari ini, bahkan UMNO dikatakan semakin tidak relevan lagi di kalangan generasi muda hari ini, kerana UMNO hari ini digenangi dengan masalah rasuah yang begitu membuncitkan pemimpin-pemimpinnya sahaja. Sosio ekonomi anak bangsa tidak menjadi agenda utama UMNO lagi, kerana mereka sedang menggunakan jawatan yang ada untuk memunggah kekayaan.
Monsoon Cup dan Parit Monsoon
Oleh yang demikian, Husam menyeru supaya orang Melayu terutamanya di Kuala Terengganu ini menolak UMNO dan memberikan sokongan kepada 'Mohd. Abdul Wahid Endut' (Foto) yang mewakili PAS, kerana PAS menurut Husam adalah parti yang lebih bertanggungjawab untuk menjadi alternatif kepada bangsa Melayu. Husam mendakwa lagi bahawa pemimpin UMNO di Terengganu lebih cenderung berbelanja besar untuk menganjurkan Monsoon Cup daripada memikirkan masalah 'Parit Monsoon' yang menyebabkan kemungkinan masalah banjir yang sering berlaku di kawasan ini.




Tuesday, January 13, 2009

Muhyiddin Yassin rayu pengundi Kuala Terengganu tidak pandang rupa paras calonnya?

Naib Presiden UMNO yang bakal beradu nasibnya bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO pada Mac 2009 ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin (Foto) telah merayu pengundi-pengundi di Kuala Terengganu supaya tidak mengundi calon mengikut rupa paras.
"Selalunya orang kita melihat pada personaliti seseorang dan perwatakan, sehingga melupai soal lain yang perlu dimiliki oleh seseorang pemimpin seperti prestasi dan kebolehan dalam memenuhi hasrat rakyat.
"Calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid (foto) seperti orang kata jarang senyum, seperti saya juga. Kadang kala kita merasa terganggu dengan anggapan ini, tanpa mereka melihat kepada soal kebolehan sebenar Wan Ahmad Farid," katanya.
Kenapa sehingga begitu sekali Tan Sri Muhyiddin perlu merayu pengundi supaya jangan melihat rupa paras? Tentunya beliau terpanggil untuk berkata sedemikian, kerana rata-rata masyarakat setempat di Kuala Terengganu dikatakan amat mengenali Datuk Wan Farid sebagai seorang pemimpin UMNO yang kelihatan bermasalah dengan slogan 'Mesra Rakyat' sebagaimana yang terpampang di atas bill board dan juga kain-kain rentang BN.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga berasa hairan kenapa masyarakat di sini terutamanya ahli-ahli UMNO sendiri yang membesarkan isu Wan Farid sebagai orang sombong, sedangkan menurutnya Wan Farid begitu mesra dengannya ketika beliau mejadi Setiausaha Politik kepada Menteri Keselamatan Dalam Negeri (Pak Lah).
Sebagaimana yang dilaporkan sebelum ini, mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad juga merujuk dengan perwatakan calon BN ini yang sombong dan tidak mesra rakyat, sebagai calon pilihan yang sangat buruk?
Sebenarnya Datuk Wan Farid bukannya tidak 'handsome', tetapi beliau tidak memiliki aura sebagai pemimpin yang boleh menandingi kehebatan calon PAS Mohd. Abdul Wahid Endut yang dilihat lebih mesra rakyat, memiliki pula keluhuran budi bahasanya sehingga menguatkan lagi hujah betapa sifat-sifat bangga diri, keceluparan, kesombongan yang ada pada Wan Farid selama ini sedang di modified semata-mata kerana beliau kini sebagai calon pilihan Barisan Nasional.
Sindrom Rupa Paras
Barisan Nasional kini berhadapan dengan sindrom rupa paras yang jarang sekali diketengahkan di dalam kempen-kempen pilihan raya sebelum ini. Karpal Singh (Foto) yang berkerusi roda juga tidak menghadapi masalah rupa paras semasa bertanding di dalam setiap pilihan raya. Begitu juga Mendiang P. Patto daripada DAP yang pernah memenangi kerusi Parlimen Menglembu di Perak juga tidak pernah disentuh tentang rupa parasnya.
Walaupun Karpal Singh dan P. Patto tidak sekacak Datuk Wan Farid, tetapi kedua-duanya tetap menjadi pilihan hati rakyat yang mengundi di kawasan berkenaan. Sesungguhnya sindrom rupa paras yang dimiliki oleh Wan Farid di Kuala Terengganu sedang hangat diperkatakan, sehingga mereka terkeliru bahawa Wan Farid sebenarnya mempunyai rupa paras yang kacak, cuma kekacakannya tidak diserikan dengan keluhuran budi bahasa. Rakyat sudah tidak lagi melihat keceriaan pada wajahnya, kerana mereka diigaukan dengan sikapnya yang dikatakan sombong dan sebagainya.
Wakil Rakyat Macho tapi dibenci rakyat
Sebenarnya bukan Wan Farid sahaja yang sedemikian, malah ada juga di kalangan Wakil Rakyat lain yang kelihatan macho, tetapi lama kelamaan dia dibenci rakyat. Rakyat tidak suka melihat kekayaan seseorang Wakil Rakyat yang melempah ruah, sedangkan rakyat diwakilinya hidup merempat dililit dengan kemiskinan.
Rakyat akan membenci dengan perwatakan Wakil Rakyat yang ada rupa paras seperti ini, tetapi tidak berjiwa rakyat. Kadang-kadang isteri Wakil Rakyat juga menjadi faktor kebencian rakyat terhadap wakil rakyat. Isterinya yang sombong kerana berbangga dengan rupa paras suaminya yang handsome, sehingga terlupa suaminya terkena kutukan hebat angkara sang isterinya yang celupar bahasa, yang over acting dan berlagak ala masalle.
Kita berharap Wan Farid tidaklah seburuk sebagaimana yang disangkakan itu. Biarlah rupa parasnya yang kacak itu sepadan dengan budi bahasa yang dikehendaki untuk seorang yang bergelar Wakil Rakyat kelak.