assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Sunday, October 19, 2008

Pemilihan UMNO Bahagian Setiawangsa, 25 Oktober ini...

TERKINI....Antara calon lain yang bertanding
Sila lihat di bawah artikel ini!
--------------------------------------------------------------------------
CALON-CALON TIMBALAN KETUA UMNO BAHAGIAN SETIAWANGSA


Gambar Kiri: Dato' Halim Samad. Gambar Kanan: Shuib Ibrahim

UMNO Bahagian Setiawangsa akan mengadakan Persidangan Perwakilannya pada Sabtu yang akan datang ini, 25 Oktober, 2008. Persidangan yang diadakan di Hotel Nikko, Jalan Ampang ini akan dirasmikan sendiri oleh Ketua UMNO Bahagiannya, Dato' Sri Zulhasnan Rafique yang juga Menteri Wilayah Persekutuan.
Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian ini telah pun mengadakan persidangan perwakilan masing-masing pada 12 Oktober yang lepas; yang menyaksikan Hairunnisha Bivee Ismail berjaya mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Pergerakan Wanita Bahagian. Sementara itu Azmi Badarudin pula telah berjaya merebut jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian, manakala Seri Wani Sabtu telah muncul sebagai Ketua Pergerakan Puteri Bahagian yang baru.
Zulhasnan Masih perkasa
Dato' Halim Digugat oleh Shuib
Sepertimana yang telah diperkatakan, Dato' Sri Zulhasnan Rafique yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan telah membuktikan keperkasaannya di Bahagian Setiawangsa apabila berjaya mendominasi sebagai calon tunggal bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian untuk sesi 2008 - 2011. Namun begitu Dato' Halim Samad penyandang jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa menjadi tidak senang duduk setelah jawatannya itu dicabar oleh sahabat karibnya dahulu, Shuib Ibrahim yang dilihat mampu memberikan saingan hebat terhadapnya.
Empat Calon Naib Ketua Bahagian
Bakal Memperagakan Jenama Perjuangan
Bagi jawatan Naib Ketua Bahagian pula memperlihatkan empat calon yang akan berentap bagi menggantikan penyandangnya sekarang iaitu Kpt (B) Rafli Jusoh yang tidak mempertahankan jawatannya kali ini. Dato' Ahmad Fauzi Zahari, Dato' Izudin Ishak, Ahmad Yamin Dato' Rahim dan Zainal Tan Sri Mahmood merupakan empat calon yang telah mengesahkan untuk menyertai sirkit pertandingan merebut jawatan nombor tiga UMNO Bahagian kali ini. Keempat-empat calon ini telah menunjukkan keyakinan masing-masing dan dikatakan sedang menghias diri untuk muncul sebagai model yang bakal memperagakan jenama perjuangan untuk masa depan UMNO Bahagian Setiawangsa.

CALON-CALON NAIB KETUA UMNO BAHAGIAN SETIAWANGSA

Dari Kiri - Zainal Tan Sri Mahmood, Dato' Izudin Ishak dan Dato' Ahmad Fauzi Zahari. Gambar Bawah: Ahmad Yamin Dato' Rahim

Siapakah yang bakal berjaya memikat hati para perwakilan yang menjadi juri pada 25 Oktober nanti? Semuanya bergantung kepada kebijaksanaa calon yang akan bertanding, di samping tidak memperlekehkan jari jemari perwakilan yang akan mengundi nanti. Harus diingatkan juga bahawa semua jawatan yang dipertandingkan itu bukanlah menjadi hak milik persendirian sehingga sanggup menghamburkan kata-kata nista kepada orang lain yang dilihat tidak cenderung kepada dirinya. Calon yang bertanding hanyalah pemikul amanah kepada sebuah parti yang sedang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.
Berjati Diri, Bukannya Kaki Ampu

Oleh sebab itu, kita harus memilih calon-calon yang berpotensi, berkeupayaan dan memiliki ciri-ciri dinamika sebagai seorang pemimpin yang berjati diri, bukannya dari kalangan mereka yang kaki ampu, berkepentingan diri dan diselaputi dengan sifat keangkuhan sehingga memandang rendah kebijakan orang lain.
UMNO mesti diperkuatkan dengan penggemblengan tenaga semua kabilah yang terdapat di dalam UMNO. Tidak semestinya mereka yang tidak sekabilah dengan kita semasa musim pertandingan kali ini dilihat sebagai musuh, sedangkan mereka juga berhak untuk menuding diri kita sebagai musuhnya. Jika inilah yang berlaku di dalam UMNO, terimalah padahnya nanti, kerana gelagat kita sedang diperhatikan oleh generasi muda yang sedang dipikat untuk mendekati UMNO.
Sokong Membawa Rebah
Pemimpin UMNO yang bakal diletakkan di singgahsana Bahagian Setiawangsa ini hendaklah pemimpin yang selenggang sehayun sebagai saf kepemimpinan yang boleh bekerja bersama-sama dengan Ketuanya. Dato' Sri Zulhasnan Rafique yang sudah diangkat sebagai Ketua UMNO Bahagian ini tidak mungkin dapat membahterai kepimpinannya, jika di kelilingi oleh juak-juak yang hanya menyokong membawa rebah.
Calon-calon Timbalan Ketua, Naib Ketua dan Ahli Jawatankuasa Bahagian yang sedang dipertandingkan ini haruslah menjuruskan diri masing-masing untuk menjadi benteng kekuatan parti, bukannya pelonjak kepada kehancuran parti. Janganlah ada hendaknya dari kalangan calon-calon yang bertanding merasakan jawatan-jawatan yang direbut ini mempunyai 'hak istimewa peribadi' sehingga terlupa jawatan-jawatan tersebut adalah 'Kepunyaan Parti' yang akan ditentukan oleh ahli-ahli secara demokrasi bagi setiap peringkat bermula daripada Cawangan membawa kepada Bahagian dan seterusnya ke Peringkat Perhimpunan Agung UMNO.
Menang bukannya Keemenangan Peribadi
Yang Kalah Jangan Disisihkan
Harus juga diingatkan bahawa calon yang menang, bukannya kemenangan total peribadi, tetapi ianya adalah kemenangan total untuk kita semua. Manakala calon yang kalah pula, bukanlah bakal menerima hukuman untuk disisihkan, mereka juga berhak untuk diajak berpasukan sebagai paksi kekuatan dalaman UMNO dalam menghadapi cabaran yang mendatang.

------------------------------------------------------------------------------
DI ANTARA MEREKA YANG MENAWARKAN DIRI
(Tapi ini bukan CHAI tau....)


Ahmad Yahya Yaakob (Tanding Pengerusi Tetap dan G7)


Kiri: Rosli Mohamad, Kanan: Ahmad Laili Tajul Arus
Tanding AJK dan G7


Kiri: Abd. Rahman Hashim, Kanan: Othman Baba
Tanding AJK dan G7.



Kiri: Dimyati Jaffar (Tanding AJK) - Kanan: Muner Nasution (Tanding AJK & G7)


Kiri: Haji Radhi Harun (Tanding AJK) - Kanan: Samsuri Shahrom (Tanding G7)


Kiri: Haji Yusof Ishak, Kanan: Wan Zainal
Tanding AJK


Kiri: Abdullah Mat, Kanan: Haji Ahmad Hashim
Tanding G7


Kiri: Sekandar Khan, Kanan: Hamzah Marakan
Tanding AJK dan G7


Kiri: Roselan Abd. Rahman, Kanan: Abu Bakar Ismail
Tanding AJK


Kiri: Abas Mat Dom, Kanan: Nasir Mohd. Amin
Tanding AJK & G7


Kiri: Mohd. Radzi Jaafar, Kanan: Mohd. Alias Hamzah
Tanding AJK


Friday, October 17, 2008

Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2008 Parlimen Setiawangsa

YB Dato' Sri Zulhasnan Rafique, Menteri Wilayah Persekutuan dan juga Ahli Parlimen Setiawangsa bersama isterinya Y.Bhg Datin Sri Nooriah Ana Razak yang juga Pengerusi Yayasan Amal Wangsa akan mengadakan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri pada hari Ahad ini, 19 Oktober 2008, bermula jam 11.00 pagi hingga 4.00 petang; bertempat di Dataran Terbuka Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Setiawangsa, di Seksyen 5 Wangsa Maju.
Jom beramai-ramai kita berhari raya dengan pemimpin kita ini..! Kesempatan ini juga eloklah kita bermaaf-maafan, mengeratkan lagi ikatan silaturrahim dan berazam untuk mengukuhkan lagi solidariti wadah perjuangan di dalam UMNO, khususnya di Bahagian Setiawangsa ini.
Biarlah hendaknya musim memilih pemimpin di dalam UMNO tahun ini kita terhindar daripada unsur-unsur perpecahan yang akan melemahkan parti kita.
Apa pun Locengwangsa mengucapkan TAHNIAH kepada Dato' Sri Zulhasnan Rafique yang telah berjaya mendominasi kepimpinan UMNO Bahagian Setiawangsa tanpa sebarang pertandingan.

Sunday, October 12, 2008

TAHNIAH! Ani, Azmi dan Wani menang terajui Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian Setiawangsa


# Hairunnisha Bivee Ismail


# Azmi Badaruddin


# Seri Wani Sabtu


Hairunnisha Bivee Ismail, Azmi Badaruddin dan Seri Wani Sabtu telah memenangi jawatan Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri di Bahagian Setiawangsa yang ditandinginya hari ini. Hanirunnisha atau lebih dikenali Ani Avon telah mencatat kejayaan dengan memperolehi 102 undi apabila berjaya menewaskan pencabarnya Rahana Ishak yang hanya mendapat 61 undi.
Begitu juga dengan Azmi Badaruddin telah menang merebut jawatan Ketua Pemuda Bahagian yang dikosongkan oleh Datuk Izudin Ishak dengan memperolehi 65 undi, menewaskan tiga calon yang lainnya. Tiga calon berkenaan yang kecundang ialah Eqhwan Mokhzanee Muhammad yang memperolehi 50 undi, manakala calon pujaan Datuk Izudin Ishak, Zulfadil Sidek hanya mendapat 26 undi. Seorang lagi calon yang menyertai pertandingan ini Ghazali Mohammad, hanya mampu meraih 10 undi sahaja.

Sementara itu bagi pertandingan merebut jawatan Ketua Puteri UMNO Bahagian ini pula, telah menyaksikan pertandingan satu lawan satu diantara Seri Wani Sabtu dengan Siti Fatimah (Gambar kiri) yang berkesudahan dengan kemenangan Seri Wani yang memperolehi 53 undi berbanding dengan Siti Fatimah yang hanya mampu memikat 21 undi sahaja.
Semua keputusan pertandingan merebut jawatan-jawatan ini telah dicapai di dalam Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Setiawangsa yang diadakan serentak di Pusat Dagangan Dunia Putra pagi ini (12 Oktober 2008) yang telah dirasmikan oleh YB Dato' Sri Zulhasnan Rafique, Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa.

Sementara itu Hajah Normah Awang, Mohamad Hameli dan Norhayatina telah muncul dengan kejayaan masing-masing sebagai Naib Ketua Wanita, Pemuda dan juga Puteri UMNO Bahagian Setiawangsa.

Locengwangsa mengucapkan setinggi tahniah kepada Hairunnisha, Azmi dan Seri Wani serta kepada semua yang telah berjaya memenangi merebut jawatan-jawatan yang telah dipertandingkan itu. Semoga mereka ini mampu membangkitkan keinsafan di kalangan anggota sayap masing-masing untuk memperkuatkan parti dalam menghadapi perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan juga negara.

Ingatlah, yang menang kini menggalas tanggungjawab, manakala yang tewas janganlah mengasingkan diri sehingga terlupa dirinya juga ahli UMNO yang mempunyai tanggungjawab untuk memperkasakan parti. Yang menang bukanlah menang semuanya, manakala yang tewas bukanlah tewas kesemuanya. Yang menang ialah UMNO. Hidup UMNO!

-----------------------------------------------------------------------------

Gambar Sekitar Persidangan Wanita, Pemuda
dan Puteri UMNO Bahagian Setiawangsa







Sunday, October 5, 2008

Musim memilih pemimpin - Yang MAMPU atau PENGAMPU?

Hari ini (5 Oktober) sudah masuk hari kelima kita berhari raya, setelah sebulan kita menyempurnakan ujian Allah dengan menunaikan fardhu puasa di bulan ramadan. Syawal merupakan hari kemenangan kepada umat Islam, dan kita mesti bersyukur kehadrat Illahi kerana usia kita masih berkesempatan untuk merayakan Aidilfitri pada tahun ini, sambil bermaaf-maafan dan manjalinkan ikatan silaturrahim sesama muslimin dan muslimat.
Kerdil di sisi Allah
Lazimnya apabila kita bermaaf-maafan, kita menyedari dengan penuh keinsafan betapa manusia sebagai insan yang lemah yang tidak dapat melarikan diri daripada melakukan kesalahan, bukan sahaja terhadap sesama manusia, malah kita juga terlalu kerdil di sisi Allah. Hanya keampunan yang dapat dipohon agar kesilapan lalu dan kata-kata nista dapat disifarkan secara 0-0.
Sifarkan Sikap Negatif
Agak sukar juga untuk kita mensifarkan sikap yang negatif seperti berhasad dengki, tamak haloba, bersangka buruk, fitnah memfitnahi dan berbagai lagi sikap buruk manusia walaupun kita telah menghulurkan tangan bermaaf-maafan sempena hari lebaran ini.
Penggiat politik lagi sukar untuk dipercayai, kerana mereka telah melazimkan diri untuk bergelumang dengan senda gurau yang bersulamkan kata-kata nista sehingga terlupa perbuatan memfitnah sesama manusia adalah satu dosa yang terkutuk.
Berintegriti
Barangkali mereka tidak ada orientasi untuk menjadi seorang pemimpin yang baik yang bercirikan sifat-sifat kepemimpinan yang dituntut oleh agama dan MAMPU menjadi penggiat politik yang berintegriti yang merangkumi aspek syakhsiah seperti berikut:-
.
MAMPU
  • Bijaksana
  • Amanah
  • Dinamis
  • Berkarisma
  • Berjiwa rakyat
  • Berhati mulia
  • Tulus ikhlas
  • Berwawasan
  • Bertanggungjawab
  • Berhemah
  • Budiman
  • Setiakawan
  • Muafakat
  • Pejuang Agama
  • Pejuang Bangsa
  • Patriotis
Kemampuan untuk menjiwai ciri-ciri kepemimpinan yang tersebut hendaklah juga terkehadapan dalam menongkah arus perjuangan UMNO yang sedang dilanda krisis kepimpinan akibat terlalu sarat dengan kes-kes ampu oleh PENGAMPU-PENGAMPU yang bercita-cita rakus untuk meletakkan diri masing-masing sebagai 'Pemimpin'. Pengampu di dalam dunia politik UMNO memang ramai dan mereka ini begitu ghairah sekali untuk 'placing' di dalam saf kepemimpinan UMNO di semua peringkat.
.
KAKI AMPU, dia juga adalah:
  • Temberang
  • Angkuh (Egois)
  • Batu Api
  • Kaki Kipas
  • Tin Kosong
  • Cakap Tak Serupa Bikin
  • Mungkiri Janji
  • Berfoya-foya
  • Kedekut (Tahi Hidung Masin)
  • Mengungkit
  • Pentingkan diri sendiri
  • Menabur fitnah
  • Tikam belakang
  • Lidah bercabang
  • Sombong
  • Memandang hina
  • Hati busuk
  • Kaki Hantuk
  • Hasad dengki
  • Makan kawan sendiri
  • Chah Keting
Oleh yang demikian jadikanlah ciri-ciri di atas sebagai rujukan untuk kita memilih pemimpin di dalam UMNO, samada di peringkat Puteri, Pemuda, Wanita mahupun di peringkat lebih atas lagi. Janganlah diri kita terjebak lagi dengan kesilapan yang membodohkan diri kita, sehingga kita tidak terasuh untuk mengenali yang mana satu kaca dan yang mana permata.
darjat dan martabat
Kini, sudah sampai masanya UMNO menolak pemimpin yang hanya MAMPU menjadi PENGAMPU, dan sebaik-baiknya kita lebih berhikmah untuk mengangkat seseorang menjadi pemimpin yang MAMPU mengangkat darjat dan martabat perjuangan dalam menegakkan agama, bangsa dan juga negara. Biarlah mereka yang hanya MAMPU menjadi PENGAMPU ini tidak bersekongkol untuk menjahanamkan UMNO yang masih diperlukan untuk sebuah bangsa yang bermaruah di bumi Melayu ini. Ayuh segera kita lakukan 'reform' di dalam UMNO untuk transisi perjuangan yang lebih terarah. Kita mesti yakinkan generasi hari ini betapa UMNO tidak akan mewariskan perjuangan ini kepada petualang yang tiada kerja lain, yang hanya bijak MENGAMPU sahaja.
anai-anai dalam UMNO
Waspadalah kita dengan kaki ampu ini yang menjadi anai-anai di dalam UMNO. Kepada calon-calon yang bakal bertanding untuk merebut jawatan tertinggi di dalam UMNO di semua peringkat hendaklah beringat dari sekarang bahawa diri kita mungkin tidak diperlukan jika kita tidak berkemampuan menjadi pemimpin yang berjati diri.
manis di bibir, berkarat di hati
Pemimpin mengampu ini tidak bertahan lama, kerana dia tidak memiliki tiang seri untuk memperkasakan UMNO. Keperkasaan UMNO hanya terletak kepada mereka yang MAMPU mencurahkan pengorbanan untuk menyuburkan wadah perjuangan yang masih belum selesai ini. Kita menjadi rimas dengan gelagat pemimpin yang berjenama AMPU ini. Pemimpin AMPU hanya manis di bibir, tetapi berkarat di hati. Pengampu hanya pandai memuji di depan, tapi mengutuk di belakang.
kekuatan aura
Manakala pemimpin yang MAMPU pula adalah mereka yang terbukti keikhlasannya untuk mengemudi perjuangan secara kolektif yang bersendikan kekuatan auranya. Pemimpin jenama ini lazimnya memiliki 'Political Will' yang menjurus kepada kemantapan sebuah perjuangan yang terarah dan fokus.
Biarpun ramai yang menawarkan diri untuk menjadi pemimpin, tetapi biarlah pemimpin berjenama MAMPU mendepani perjuangan UMNO, daripada terjebak dengan kepalsuan pemimpin berjenama AMPU.

Kunjungan Berhari Raya Di Rumah Terbuka Dato' Sri Zulhasnan



Ketua Panitia Locengwangsa.blogspot.com (Abdul Rahman Hashim) bersama-sama dengan Rosli Mohammad juga anggota Panitia Locengwangsa turut menghadiri ke majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dato' Sri Zulhasnan Rafique, Menteri Wilayah Persekutuan yang diadakan Jumaat lepas (3 Oktober). Kami merasa bangga kerana dapat bersua muka dengan beliau sempena Rumah Terbuka tersebut.

Saya dan isteri, Nora Nordin bersama-sama dengan Rosli dan isterinya, Nora Tarmizi telah mengambil peluang daripada majlis rumah terbuka tersebut untuk bermaaf-maafan dengan YB Dato' Sri Zulhasnan dan isterinya, Datin Sri Anna Razak sempena hari lebaran yang mulia ini, sambil menikmati sajian makanan yang sungguh enak yang disediakan untuk para tetamu. Difahamkan ramai sahabat-sahabat seperjuangan yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Bahagian Setiawangsa dan juga Ketua-Ketua UMNO Cawangan 4 Peringkat telah menghadiri ke majlis rumah terbuka ini.

Majlis rumah terbuka ini turut dihadiri para VIP yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin politik dan ahli-ahli korporat di sebelah malamnya.

Thursday, October 2, 2008

Rumah Terbuka Dato' Sri Zulhasnan Rafique....

YB Dato' Sri Zulhasnan Rafique, Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan dan juga Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa akan mengadakan Rumah Terbuka Aidilfitri pada tarikh, masa dan tempat seperti berikut:-
Tarikh
Hari Jumaat, 3 Oktober 2008
Masa
Dari jam 2.00 petang - 6.00 petang
Tempat
No. 41 Jalan Puncak Setiawangsa,
Taman Setiawangsa,
Kuala Lumpur.

JOM beramai-ramai khususnya warga Setiawangsa berhari raya di rumah beliau.

Siapa sebenarnya yang GILA KUASA?

Dalam mengupas artikel 'UMNO Berkuasa Yang GILA Kuasa' dalam blog ini yang ditulis pada 28 September lalu, terdapat satu komen yang dibuat oleh seseorang yang menamakan dirinya sebagai 'abupirate' telah mengupas panjang lebar mengenai siapa yang gila kuasa? Elok rasanya saya 'copy' tanpa sebarang penyuntingan untuk tatapan kita semuanya...
--------------------------------------------------------------------------------
abupirate menulis.....
Dalam Umno ada dua orang yang memasang angan-angan atau bercita-cita besar untuk menduduki kekuasaan negara. Mereka ialah Najib Razak dan Khairy Jamaluddin. Hakikatnya pilihan raya ke - 12 adalah pertandingan antara pembangkang dengan parti memerintah Barisan Nasional. Rasanya orang ramai tidak begitu berminat untuk mengetahui apakah kesudahannya nanti. BN pasti akan menang dan membentuk Kerajaan sekali lagi.
tanda-tandan kubra
Tidak ada tanda-tanda kubra menunjukkan rakyat akan melakukan perubahan ke atas Kerajaan yang berkuasa selama ini. Walaupun Dr Mahathir Mohamad membuat seruan dan mengkritik kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi namun kesilapan-kesilapan tertentu dilakukannya sebelum ini (Mahathir) masih dikenang rakyat. Ini menjadikan rakyat membuat kesimpulan Dr Mahathir lebih kurang Abdullah saja atau setengahnya lebih parah daripada Abdullah. Justeru apa yang menarik tentang pilihan raya ini ialah satu game yang berlaku di sebaliknya.
kilau dalam kilat
Game yang dimaksudkan itu perlawanan antara mereka yang bercita-cita besar dalam politik untuk menjadi Perdana Menteri. Dalam Umno ada dua orang yang memasang angan-angan atau bercita-cita besar untuk menduduki kekuasaan negara. Mereka ialah Najib Razak dan Khairy Jamaluddin.Mereka ini sedang bertempur secara aman. Kalau orang tidak dapat membaca kilau dalam kilat tidak nampak akan game kedua orang ini. Mereka seolah sedang bermain catur menerusi internet! Khairy sedang berusaha mengumpulkan kekuatan dan pengaruh. Najib juga begitu sedang memperluas dan memantapkan pengaruhnya.
tali refia yang rapuh?
Dalam mengejar cita-cita untuk menjawat jawatan yang pernah disandang oleh bapanya (Razak Hussein) dan juga bapa saudaranya (Huseein Onn) Najib tidak gentar kepada orang lain. Muhyuddin Yassin dan Ali Rustam umpama tali refia yang rapuh dan mudah putus dan mudah pecah. Kena air tali itu memberai. Muhyuddin dan Ali Rustam bukan pencabarnya. Mereka berdua tidak ubah seperti budak penjaga lembu bagi Najib. Orang yang Najib takut ialah Khairy. Anak muda yang bukan sembarangan. Dari segi kelulusan, intellegent, kepetahan dan berfikir Khairy jauh menyerlahkan kehebatan berbanding dengan Najib.
KJ berwarna macam burung buk-buk
Dilihat kepada warna kulitnya juga menjelaskan akan kehebatan Khairy. Dia berwarna macam burung buk-buk yang keras tetapi mempunyai kepintaran tinggi dan tahu mengubat anaknya yang kepatahan kaki.Najib dalam usia seperti Khairy lebih banyak jadi tukang ikut telunjuk saja. Jarang bahkan tidak ada pemikiran, falsafah yang ditunjuki Najib. Malahan kegagalan banyak dicatat Najib misalnya sewaktu menjadi Menteri Besar Pahang rekod perkhidmatnya amat teruk sekali sehingga Pahang hampir-hampir bankrup. Najib dalam usia itu lebih banyak berfoya-foya daripada berkerja.
Siapa main selamat?
Semasa memimpin Pergerakan Pemuda Umno juga Najib tidak seberani dan sebiadab Khairy dalam mempertahankan isu mengenai negara dan juga Umno. Sikap ‘main selamatnya’ mengecewakan banyak orang termasuk Tengku Razaleigh Hamzah dan Anwar Ibrahim. Najib tidak pernah pendapat perhatian daripada sesiapa tidak seperti Khairy yang mendapat perhatian istimewa oleh Dr Mahathir Mohamad. Kalau Khairy tidak bisa, tidak terror dan mampu mengugat politik Dr Mahathir masakan Dr Mahathir menghabiskan air liur mengulas dan mengupas mengenai Khairy. Ada kalanya Dr Mahathir menghentam Khairy seprerti mana beliau menghentam Gorge W Bush atau Paul Keting.
Siapa yang jadi puppet?
Ketrampilan Khairy sangat ditakuti Najib. Sebaliknya pula bagi Khairy orang yang paling ditakuti bukan ketuanya Hishamuddin Hussein tetapi, sepupu Hishamuddin, Najib Razak. Hishamuddin sudah lama diratah hidup-hidup oleh Khairy. Sejak Khairy menjawat jawatan Naib Ketua Pemuda, Hishamuddin menjadi papet. Khairy tidak merasa hairan dan gentar kepada orang lain. Kebetulan pula Najib adalah orang nombor dua dan berpengaruh. Inilah yang menjadikan Khairy terpaksa mengatur strategi dan mencari seribu helah termasuk dengan cara baik.Pilihan raya ini adalah kesempatan terbaik untuk kedua mereka mengatur strategi masing-masing bagi memastikan mereka terlepas dari jerat yang dipasang oleh antara mereka.sekali jerat tak kena..jangan lokek menembur umpan..
Pengaruh Pak Lah semakin lemah?
Baik Khairy ataupun Najib mereka menggunakan pilihan raya ini. Itu sebab pilihan raya ini adalah game menentukan masa depan bagi Najib dan Khairy. Mereka berada dalam parti yang sama tetapi mempunyai cita-cita dan harapan berbeza. Doa mereka juga berbeza. Najib walaupun mahu pilihan raya ini BN menang, namun beliau tidak suka kalau kemenangan itu sampai gemilang dan cemerlang. Bagi Najib cukup setakat berjaya tubuh Kerajaan. Najib mendoakan prestasi BN kali ini merosot. Beliau mahu jadikan kemerosotan itu sebagai tanda bahawa pengaruh Abdullah semakin lemah dan menurun.
Saham Khairy Jatuh?
Bila pengaruh Abdullah menurun maka senanglah untuk para pengikutnya membuat alasan bagi meminta Abdullah turun dan Najib naik. Kemerosotan pilihan raya ini juga menyebabkan prestasi dan saham Khairy akan jatuh mendadak. Kejatuhan itu tentu akan diambil kesempatan oleh penyokong Najib untuk melanyak Khairy. Harapan Khairy untuk menduduki kerusi Ketua Pemuda dengan gampang akan jadi sebaliknya. Pasti akan ada calon proksi Najib menentang Khairy. Berlainan dengan Khairy. Beliau mahukan BN kekalkan kecemerlangan piliahn raya lalu.
bergasak sesama sendiri
Bagi Khairy kalau pilihan raya ini dapat mengekalkan prestasi tahun 2004 ia adalah kejayaan besar. Kecemerlangan itu menjadikan saham naik mencanak. Dalam percaturan dan peperangan ini, kedua mereka kini sedang bergasak sesama sendiri dalam diam. Khairy yang mendapat mandat daripada bapa mertuanya sedang mengatur dan memilih calon yang menjadi pendokong dan penyokongnya. Khairy harus lakukan demikian memastikan orang-orangnya menguasai di peringkat Kerajaan Negeri dan juga Parlimen.
Najib Pening Kepala
Keadaan inilah menjadi Najib pening kepala. Najib juga berbuat demikian. Beliau harus tempatkan orang-orangnya seberapa banyak yang boleh. Ada kalanya mereka bertembung dalam memilih calon di sesuatu kawasan. Calon-calon yang mendapat restu Najib dibantah oleh Khairy atas berbagai alasan. Begitu juga calon yang dipilih Khairy diprotes oleh orang Najib. Bagaimana pun pertembungan tersebut tidak memberi kesan kepada BN. Ia tidak sampai menyebabkan calon BN baik calon pro Khairy atau pro Najib akan kalah.
Sokong Najib, Muyiddin
Kalah menang mereka terletak kepada pemikiran dan sikap pengundi di kawasan-kawasan berkenaan. Tetapi yang nyata pilihan raya ke - 12 ini adalah pilihan raya bagi menentukan pengaruh siapa antara Khairy dan Najib paling kuat. Tentu selepas pilihan raya kelak kita akan tahu dan dapat meramal nasib politik Najib dan Khairy. Tunggu! Akhir mukadimah`Walau pun BAHTERA ku condong ke barat biar tenggelam dari mematah haluan.. NAJIB, MUHYIDDIN jadi PM..kita tetap SOKONG dan SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR BATIN AMIN.

October 1, 2008 8:16 AM
abupirate.