assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Tuesday, September 30, 2008

Selamat Menyambut Hari Lebaran Aidilfitri, Minal 'Aidin Wal Faizin Wal Maqbulin..



Sidang Panitia 'Locengwangsa' mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua pelawat dan pembaca 'locengwangsa.blogspot.com' yang selama ini telah memberikan dorongan, sokongan dan tidak kurang juga dengan pandangan-pandangan yang mewajahkan lagi intisarinya. Blog ini akan dilocengkan secara berterusan sebagai sahabat maya anda semua. Kami juga mengalu-alukan sekiranya anda ingin mengucapkan selamat hari raya menerusi blog ini. Sila e-mailkannya (beserta gambar jika perlu) kepada locengwangsa@gmail.com


Dengan Ingatan Tulus Ikhlas, Salam Aidilfitri
daripada kami sekeluarga:
  • Abdul Rahman Hashim
    Nora Nordin

    Saiful Ammar
    Sarah Hanis & Ilyas
    Saiful Adli
    Amirul 'Izzat
    Adi Putra Shahreeza
    Ayu Puteri Wahida
  • Aiman Farhan
    Arief Ikmal
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Walillahilham.

Wassalam & Terima Kasih






Sunday, September 28, 2008

UMNO berkuasa yang GILA kuasa

Jika dilihat secara makrifat, UMNO yang kini di tampuk kuasa seakan-akan semakin hilang taringnya sebagai penguasa di negara ini, angkara penguasa-penguasanya terlalu gilakan kuasa sehingga liat untuk melepaskan kuasa. Apakah UMNO hari ini yakin dengan kuasa yang berbaki ini untuk meyakinkan rakyat akar umbi supaya UMNO terus mendominasi kuasanya?
Adakah pemimpin UMNO hari ini sedar betapa gelagat mereka sedang diperhatikan oleh rakyat, dan akhirnya rakyat diperlihatkan ungkapan-ungkapan pemimpinnya yang diselaputi dengan 'hipocracy' yang menjuruskan kekuasaan UMNO yang rapuh untuk terus berkuasa.
wujud chah keting
Kenyataan-kenyataan yang menyongsang telah mengakibatkan pemimpin UMNO tidak sekata lagi dalam mempertahankan kuasa yang ada pada ketua mereka. Kewibawaan dan keperkasaan 'Ketua Parti' tidak lagi berbisa untuk diagungkan, kerana wujudnya 'chah keting' di dalam Majlis Tertinggi UMNO sendiri.
Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi yang telah mewarisi takhta Che' Det pada Oktober 2003 dianggap begitu lemah untuk memimpin UMNO. Pelbagai dasar koridornya dilihat tidak menyengat dan gagal menarik pelaburan untuk merakyatkan gagasan ekonomi yang dirancang. Sebenarnya kerancakan untuk merakyatkan pertumbuhan ekonomi di negara ini memerlukan iltizam kepimpinan yang lebih dinamik, dan maaf cakap, bukannya seperti Pak Lah!
populariti merudum
Sejak memimpin negara dan UMNO, faktor memanjakan KJ dan anaknya Kamaludin telah mengakibatkan popularitinya merudum hingga ke paras kebencian yang melampau. Remote control di tingkat 4 dikatakan begitu mendasari pemikiran politiknya. Tun Dr. Mahathir turut menyatakannya begitu sebagai tanda bersetujunya beliau dengan pendapat-pendapat yang lain yang membidas kepimpinan Pak Lah.
Ketika mempertahankan kritikan tersebut, Pak Lah juga pernah berkata bahawa Dr. Mahathir juga sama sepertinya memberikan muka kepada anaknya. Samada andaian itu benar ataupun tidak, tetapi kenyataan itu sudah cukup membuktikan betapa beliau dikatakan masih 'referency' kepada KJ dalam tindak tanduk politiknya.
Kini KJ yang meminta supaya dirinya dicalonkan sebagai Ketua Pemuda UMNO semakin menjadi liablity kepada kepimpinan Pak Lah. KJ kini menjadi semakin gelisah setelah MT membuat ketetapan menangguhkan perhimpunan agung UMNO yang dijadualkan pada bulan Disember tahun ini kepada Mac tahun hadapan.
KJ bimbang
Beliau tidak bersetuju dengan ketetapan tersebut bukan bermakna beliau bersetuju untuk menyegerakan peralihan kuasa yang bakal melenyapkan kuasa bapa mertuanya di dalam UMNO dan juga negara, tetapi KJ lebih bimbang dengan pengumuman bapa mertuanya pada 9 Oktober nanti untuk tidak bertanding sebagai Presiden UMNO dalam perhimpunan agung pada bulan Mac depan, yang akan memberi kesan kepada pencalonannya sebagai Ketua Pemuda UMNO.
Sudah pasti KJ akan berhadapan dengan sindrom kebencian terhadap dirinya, dan kemungkinan besar KJ menghadapi laluan lebih sukar untuk melepasi pencalonan bagi jawatan yang diidamkan itu setelah Pak Lah mengumumkan tidak bertanding jawatan Presiden.
KJ lebih selesa dengan peralihan kuasa pada tahun 2010 sebagaimana yang dipinta oleh Pak Lah sebelum ini, kerana Pak Lah dikatakan akan bertanding jawatan Presiden di dalam Perhimpunan Agung UMNO yang dijadualkan pada bulan Disember depan, dan hanya akan memindahkan kuasanya kepada Timbalannya nanti pada 2010 (Belum pasti Najib..).
KJ merasakan pengaruh bapa mertuanya itu mampu melonjakkan namanya untuk menggantikan Hishammuddin mengetuai Pemuda UMNO, seterusnya dilantik menjadi Menteri. KJ juga kecewa dengan desakan yang membuatkan bapa mertuanya kelihatan untuk berundur lebih awal.
Pak Lah terkejut
Sebelum ini Tan Sri Muhyidin Yasin, Naib Presiden UMNO telah membuat gesaan supaya Pak Lah menyegerakan peralihan kuasanya tanpa menunggu 2010. Desakan sedemikian telah membuatkan Pak Lah terkejut, kerana Muhyiddin adalah Menteri kabinetnya. Begitu juga Dr. Rais Yatim secara terbuka menggesa supaya jawatan Presiden UMNO dan Timbalan Presiden dipertandingkan untuk memberi ruang dan peluang ahli-ahli di peringkat akar umbi untuk menentukan sendiri peralihan kuasa di dalam UMNO.
Dato' Sri Najib juga telah terbabas membuat kenyataan menyinggung bosnya itu dengan menyatakan respon terhadap saranan yang dibuat oleh Tan Sri Muhyidin Yasin. Dato' Sri Najib bersetuju supaya perwakilan UMNO yang menentukan peralihan kuasa, sekaligus telah menyanggah keputusan yang telah dicapai sebelumnya untuk menunggu sehingga 2010.
wujud tekanan
Pak Lah mulai terasa wujudnya suatu tekanan yang mendesak supaya beliau memikirkan untuk menyegerakan peralihan kuasa. Dipercayai bahawa diantara Pak Lah dan Najib telah kerap berbincang untuk mencari satu formula bagaimana untuk menyekat desakan yang begitu berombak menyuruhnya berhenti lebih awal.
Pak Lah telah menampakkan bunga-bunga untuk menyerahkan kuasanya kepada Najib dengan mengumumkan pertukaran jawatan Menteri Kewangan yang disandangnya kepada Dato' Sri Najib, manakala Pak Lah sendiri akan mengambil alih jawatan Menteri Pertahanan yang disandang oleh Najib sebelum ini. Apakah relevan daripada pertukaran jawatan itu? Terlalu banyak andaian dibuat mengenainya, namun begitu Pak Lah berkata ianya suatu proses transisi di dalam pelan peralihan kuasa yang telah dibincangkannya dengan Najib.
Transisi ikut telunjuk
Nampaknya Pak Lah begitu berminat untuk melakukan transisi kepimpinan UMNO mengikut telunjuknya tanpa menyedari bahawa proses pemilihan jawatan di dalam UMNO yang semakin hampir merupakan landasan terbaik untuk melakukan 'reformasi' kepada UMNO dan juga kerajaan.
Ketetapan yang menangguhkan Perhimpunan Agung UMNO hingga ke bulan Mac tahun hadapan dilihat oleh Tengku Razaleigh Hamzah sebagai kebudak-budakan. Beliau yang disebut-sebut akan memperolehi pencalonan yang mencukupi untuk bertanding jawatan Presiden UMNO begitu kecewa dengan ketetapan yang diambil dan menyifatkannya sebagai satu sandiwara ataupun permainanm kebudak-budakan - 'mula-mula jadi, kemudian tak jadi, dulu Disember kemudian Mac, kemudian Jun'.
Menyerah Harta
Beliau menyifatkan pelan Perdana Menteri untuk menyerah kuasa kepada Timbalannya itu, umpama 'menyerahkan harta', dari seorang kepada yang lain. Beliau seterusnya dengan nada kecewanya menggesa supaya ahli-ahli UMNO menolak penangguhan itu, kerana beliau mendakwa tiada peruntukan dalam perlembagaan UMNO yang membuat demikian.
Katanya, jika ada pun peralihan kuasa mengikut perlembagaan parti, ia mesti dilkakukan setiap tiga tahun sekali di semua peringkat. Tengku Razaleigh juga menyifatkannya sebagai tidak demokratik dan Malaysia akan menjadi bahan ketawa masyarakat antarabangsa.

Friday, September 26, 2008

Mesyuarat Bahagian diteruskan, Perhimpunan Agung UMNO ditangguh sehingga Mac 2009.

Majlis Tertinggi UMNO telah membuat ketetapannya pada hari ini untuk menangguhkan Perhimpunan Agung UMNO serta pemilihan parti dari Disember tahun ini ke bulan Mac tahun depan. Sementara itu Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian yang dijadualkan bermula 9 Oktober ini tetap diteruskan. Keputusan luar jangka ini telah diambil di dalam mesyuarat khas MT yang diadakan hari ini di Ibu Pejabat UMNO.
Mesyuarat yang dipengerusikan sendiri oleh Presidennya Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi telah berlangsung selama lebih kurang setengah jam sahaja setelah Pak Lah dan Dato' Sri Najib selesai mengadakan perundingan tertutup setengah jam sebelumnya.
Persis Lowbatt
Sebelum ini pelbagai peringkat di dalam UMNO telah memperkatakan isu peralihan kuasa ini yang memberi gambaran betapa lesunya kepimpinan UMNO persis 'lowbatt' yang bakal menghilangkan hayatnya.
UMNO di bawah kepimpinan Pak Lah dikatakan antara yang paling lemah sehingga meyebabkan UMNO ditolak oleh rakyat di lima buah negeri, iaitu di Kedah, Perak, Pulau Pinang, Selangor dan juga Kelantan. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga telah mencatatkan rekod terburuknya setelah sembilan kawasan parlimen kecuali Parlimen Setiawangsa yang telah dimenangi oleh parti pembangkang.
Dato' Sri Zulhasnan Rafique, Menteri Wilayah Persekutuan yang turut bertanding di kawasan Parlimen Setiawangsa nyaris tertewas kerana kemenangannya telah dapat ditampung dengan kelebihan undi pos yang diperolehinya.
bijak mencuri peluang
Gelombang Anwarisme dikatakan begitu kuat mempengaruhi fakta kemenangan Pakatan Rakyat yang bijak mencuri peluang di sebalik kelemahan UMNO yang di pimpin oleh Pak Lah. Rakyat tidak lagi rasa bersalah untuk mengenepikan UMNO yang telah banyak berjasa kepada bangsa Malaysia sehingga negara mencapai kemerdekaan sejak 51 tahun lalu.
UMNO dahulu dilihat sungguh perkasa, tetapi tidak hari ini. UMNO selepas Che' Det tidak berupaya untuk menyekat kebencian yang meluap-luap oleh penyokong akar umbi yang selama ini begitu selamat berada di bawah kekuasaan UMNO. UMNO semakin tidak relevan lagi jika faktor kepimpinan ini tidak diselesaikan segera.
Sebelum ini berbagai pandangan dan juga kritikan telah diasak supaya UMNO segera dipulihkan. Rata-rata berpendapat jika isu peralihan kuasa ini lambat ditangani, nescaya UMNO akan terperangkap dengan desakan rakyat supaya segera diturunkan takhtanya. Anwar Ibrahim dan konco-konconya dalam Pakatan Rakyat pula tentu terpaksa mengubah sauhnya setelah melihat perkembangan mutakhir di dalam UMNO ini.
sudah mual
Walaupun Mat Sabu daripada PAS berkata bahawa pembangkang lebih sukakan pemimpin yang lemah seperti Pak Lah supaya lebih lama lagi memimpin UMNO, namun mereka juga berpendapat kemunculan Najib yang bakal mengganti Pak Lah tidak memberikan apa-apa impak kepada rakyat yang sememangnya sudah mual dengan sikap kedua-dua pemimpin besar UMNO itu.
Mereka memberikan gambaran betapa UMNO hari ini ketandusan pemimpin yang bakal membuka ruang secukupnya kepada pakatan pembangkang untuk bersaing dengan parti yang bakal rebah itu. Pada mereka walaupun Najib lebih baik daripada Pak Lah, tetapi Najib juga bakal melilitkan UMNO dengan pelbagai masalah peribadinya.
Iktibar Kepada Najib
Keputusan yang telah diambil oleh Majlis Tertinggi UMNO hari ini haruslah menjadi iktibar kepada Dato' Sri Najib supaya dirinya tidak menjadi mangsa sebagaimana yang telah berlaku terhadap Pak Lah. Mampukah Najib melakukan perubahan terhadap UMNO yang sedang dilanda pelbagai masalah ini?
Satu lagi persoalan yang jangan dipandang remeh, iaitu mampukah Najib untuk melepasi berbagai halangan sebelum sampai ke destinasi Mac 2009? Dalam politik, macam-macam boleh terjadi. Pak Lah yang sudah pun mengumumkan untuk melepaskan jawatannya pada tahun 2010, tiba-tiba tersekat di tengah jalan sehingga memaksa beliau mempercepatkannya.
Disayonarakan
Pak Lah semakin tidak diperlukan lagi oleh UMNO, dan tempoh peralihan yang bakal dijadualkan semula ini hanya memenuhi tuntutan supaya Presiden UMNO disayonarakan secara lebih terhormat. Apakah Che'Det akan masuk semula dalam UMNO setelah Pak Lah tidak lagi memimpin UMNO? Sama-samalah kita saksikan percaturan politik yang semakin berliku ini.

Thursday, September 25, 2008

Ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri


RAHANA ISHAK

Rahana Binti Ishak (Gambar), Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Setiawangsa merangkap Ketua Pergerakan Wanita UMNO Cawangan Bukit Setiawangsa mengucapkan Selamat Berpuasa dan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri serta menyusun sepuluh jari memohon maaf zahir dan batin kepada semua ahli-ahli Pergerakan Wanita UMNO di dalam Bahagian Setiawangsa.

Di dalam sepucuk surat yang disertakan dengan kad ucapan hari raya yang diutuskan kepada semua Ketua Pergerakan Wanita UMNO Cawangan dalam Bahagian Setiawangsa, Rahana juga menyatakan bahawa beliau berterima kasih dan begitu menghargai di atas pencalonan dan juga kepercayaan daripada Wanita UMNO Cawangan yang telah mencalonkan dirinya untuk bertanding jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Setiawangsa.

Rahana Ishak yang telah menerima 11 pencalonan bagi jawatan Ketua Wanita Bahagian ini juga telah menyatakan kesediaannya untuk berhadapan dengan penyandang jawatan ini, Hairunnisa Bivee Ismail pada musim kali ini.


ZAINAL ABIDIN TAN SRI MAHMOOD

Zainal Abidin Tan Sri Mahmood (Gambar), Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Setiawangsa juga Ketua UMNO Cawangan Bukit Setiawangsa bersama-sama isterinya Ahsiah Bt Suleiman dan anak-anaknya Zarissa, Amir Fariz, Zafirah dan Amir Faisal mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri - Dengan Ingatan Tulus Ikhlas, Maaf Zahir dan Batin kepada semua Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian 4 Peringkat, termasuk juga kepada semua Ketua-Ketua UMNO Cawangan, Ketua-Ketua Pemuda, Wanita dan Puteri Cawangan.

Beliau yang juga calon Naib Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa mengiringi ucapan Hari Raya ini dengan dua rangkap pantun:-

Taming Sari keris keramat
Keris warisan Hang Perwira
Bersatu berjuang mencapai matlamat
Hidup bangsa maju negara.

Bersalaman bermaafan di Hari Raya
Tanda persaudaraan amalan mulia
Tanpa persengketaan maju negara
Tanpa iman musnah segala.

Zainal Abidin Tan Sri Mahmood
25 September 2008.

Monday, September 15, 2008

911 Mala Petaka Kepada USA, 916 Kesatuan Rakyat Malaysia...

911 - Mala Petaka Kepada USA

916 - Putrajaya Menjadi Idaman?
911 (September, 11) merupakan angka mala petaka kepada Amerika Syarikat, kerana pada tarikh itu (11 September, 2001) rebahnya 'Twin Towers World Trade Centre' yang terletak di Kota Raya New York, AS. Lebih 2,974 nyawa menjadi mangsa korban, dan ribuan lagi mengalami kecederaan akibat serangan pengganas yang membawa dua pesawat yang merempuh bangunan yang menjadi kebanggaan AS itu.

Osama Ben Laden dikaitkan sebagai kepala pengganas Islam dari 'Kumpulan Al-Qaeda' yang merancang serangan yang memalukan negara Amerika Syarikat itu, sehingga membawa kepada serangan balas AS terhadap Afghanistan yang dikatakan memberi perlindungan kepada Osama Laden.

Pembentukan Malaysia

Manakala, 916 (September, 16) merupakan angka yang menjadi tarikh igauan seluruh rakyat negara ini, kerana sinonimnya tarikh itu sebagai nostalgia memperingati semula sejarah 'Pembentukan Malaysia' 45 tahun yang lalu. Pada 16 September, 1963, Negeri Sarawak, Sabah dan juga Singapura telah diisytiharkan keluar dari kepompong penjajah orang putih untuk menyertai pakatan membentuk sebuah negara baru yang dinamakan MALAYSIA bersama-sama dengan 11 negeri yang lain di Tanah Semenanjung yang sebelum ini disebut sebagai MALAYA.
Seluruh rakyat Malaysia hari ini patut berbangga kerana sejarah pembentukan Malaysia itu telah menjadi suatu gagasan yang memperkasakan 'Bangsa Malaysia' menjadi tuan tanah kedawung di bumi tanah tumpah darah sendiri.

Serumpun Warga

Malaysia terbentuk hasil penyatuan semua bangsa yang terdapat di negara ini. Melayu, China, India, Iban, Kadazan menjadi serumpun warga yang senada mengalunkan 'Lagu Negaraku' dan masing-masing juga beraku janji untuk menerima Islam sebagai agama resmi negara, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan disamping menghormati dan membenarkan anutan beragama dan menutur bahasa-bahasa ibunda yang lain di kalangan rakyat di negara ini.

Janji Sewarga

Jalur Gemilang merupakan panji negara yang juga menjadi panji kebangaan rakyat. Apakah kita sanggup untuk merelaikan 'Janji Sewarga' kerana terperangkap dengan sentimen perkauman sempit yang dicanangkan segelintir 'racist' yang menjarakkan hubungan yang cukup harmoni selama ini?

Biarkanlah perjuangan membela nasib bangsa masing-masing itu dijadikan suatu pendekatan untuk membina kekuatan jati diri rakyat Malaysia, dan bukannya memerangkap dan menjerat diantara bangsa-bangsa yang sewarga ini. Percikan api perkauman amat membahayakan diri, dan negara juga akan terpalit, jika tiupan baranya tidak dikawal dengan baik.

Selenggang Sehayun

Sikap hipocracy politikus yang menjulang kepimpinan politik dalam negara ini, hendaklah juga memahami bahawa negara Malaysia adalah negara yang terdiri daripada berbagai bangsa dan suku kaum serta menganuti berbagai agama dan juga budaya. Orang politiklah yang selalu meniupkan sentimen perkauman sehingga mereka lupa negara ini tertegak dengan pakatan untuk sewarga, selenggang dan juga sehayun. Demikianlah nostalgiknya 16 September (916) kepada rakyat Malaysia. Kita mendoakan negara ini akan terus dirahmati dan terus diperkasakan oleh tangan-tangan penguasa politik yang lebih bertanggungujawab.

Gelombang Anwarisme

Gelombang Anwarisme yang dikatakan bakal menjadi radar untuk mengubah haluan politik negara ini juga berhajat untuk mengambil berkat angka 916. Sejak akhir-akhir ini rakyat Malaysia begitu ternanti-nanti apakah yang bakal berlaku menjelangnya 16 September nanti. Anwar Ibrahim yang kini mengepalai saf pembangkang di Dewan Rakyat dikatakan begitu teruja untuk menghampiri Putrajaya.

Kekuatan gelombangnya menyaksikan bahtera UMNO berada dalam keadaan terumbang ambing dan bakal menjadi karam. Tekongnya semakin histeria akibat mentera anak-anak kapal yang semakin hilang kepercayaan terhadapnya. Walaupun tiupan angin kencang menjadi semakin ribut, namun tekong UMNO tidak sedikit pun merasakan kapal yang dikemudinya semakin karam.



Tekong yang bernama Pak Lah ini dilihat tidak sebijak Chedet. Beliau dilihat bukan saja bakal menerima tekanan kuat dari dalam kapalnya, malah suatu arus anjakan paradigma Anwarisme juga bakal memberikan hentakan kuat untuk menenggelamkan UMNO dari persada kerajaan. Apakah cita-cita Anwar untuk meranapkan dominasi UMNO memerintah negara ini akan menjadi kenyataan? Sama-samalah kita lihat perkembangan 916 ini. BN dan UMNO dikatakan semakin hampir untuk dipusarakan?

On Track

Ketua Umum KeAdilan itu menegaskan rancangan mengambil alih Kerajaan Persekutuan daripada pemerintahan Barisan Nasional pada 16 September ini berjalan seperti yang dirancangkan - On Track!

"Ya, ia tetap mengikut jadual" kata Anwar selepas beliau mempengerusikan mesyuarat pimpinan tertingginya di Ibu pejabat KeAdilan di Petaling Jaya 8 September lepas.

Pelan Peralihan Kuasa

Di dalam UMNO pula Pak Lah terus ditekan. Muhyiddin Yasin secara terbuka telah meminta Pak Lah mengkaji semula pelan peralihan kuasa supaya disegerakan. Beliau mahukan Najib diberikan masa yang mencukupi untuk menghadapi pilihan raya Ke-13 nanti. Manakala Tun Dr Mahathir akan dibawa masuk semula ke dalam UMNO. Najib pula meminta supaya ahli-ahli UMNO sendiri yang menentukan tempoh peralihan kuasa, bukannya individu tertentu, termasuk Pak Lah.
Menguncup

Penahanan ISA beberapa orang tokoh pembangkang dilihat semakin menguncupkan lagi kekuasaan UMNO yang berbaki ini. Syed Hamid Albar terus berdongeng sandiwara menyatakan penahanan itu dibuat bukan arahan kerajaan, tetapi bidang kuasa pihak polis. Seolah-olah badan kepolisan negara ini tidak terkait langsung dengan kuasa Kementerian Dalam Negeri yang diketuainya.

Pandangan Menyongsang

Zaid Ibrahim seorang lagi Menteri yang menjaga hal ehwal undang-undang telah melontarkan pandangan menyongsang dengan menyatakan beliau bersedia untuk meletakkan jawatannya kerana tidak berpuas hati dengan langkah kerajaan menggunakan Akta ISA untuk menahan individu yang terbabit.

Beliau berkata Akta ini digunakan ketika negara diancam pengganas komunis. Seterusnya beliau berkata, banyak klausa lain di dalam undang-undang negara untuk menahan mereka yang berkenaan, tetapi bukannya dengan ISA.

TERKINI - Diberitakan, Khairy Jamaludin (KJ) yang menjadi beban kepada UMNO hari ini telah menyelar tindakan Muhyiddin Yassin yang menyinggung bapa mertuanya. Kemelut di dalam UMNO semakin diperhatikan oleh rakyat. Tekanan dari dalam dan juga dari luar yang menghimpit UMNO ini, masih lagi tidak dirasai oleh Pak Lah. Beliau berkata, kekuatan masih berpihak kepadanya?

Saturday, September 13, 2008

Sikap 'double Standard' UMNO Bahagian semakin mencelarukan...

Memang berlaku 'double standard' yang cukup memualkan dan menjijikkan setelah UMNO Bahagian Setiawangsa mengiktiraf persidangan HARAM tanpa kehadiran Ketua dan Ahli Jawatankuasa Cawangan malah tanpa bernotis daripada jawatankuasa cawangan berkenaan.
cukup rencah
Insiden ini berlaku kepada UMNO Cawangan Rumah Pangsa Setapak Jaya 1A dimana persidangan asalnya pada 10 Ogos lalu yang cukup rencah dengan notisnya, juga sarat dengan kehadiran ahli yang melebihi korum, dan telah berlaku juga proses pertandingan merebut jawatan Ketua Cawangan yang cukup sengit yang telah disahkan oleh wakil jawatankuasa UMNO Bahagian, tiba-tiba diarahkan supaya bersidang semula semata-mata adanya bantahan daripada ahli yang tewas bertanding.

Persidangan 10 Ogos adalah sah
Walaupun Jawatankuasa Pengurusan MT UMNO telah membuat arahan melalui UMNO Bahagian supaya cawangan ini bersidang semula pada 13 September, namun cawangan Rumah Pangsa Setapak Jaya 1A telah mengemukakan rayuannya kepada Setiausaha Agung UMNO supaya persidangan semula itu tidak diadakan, kerana Ketua Cawangannya berpendapat bahawa persidangan yang diadakan pada 10 Ogos lalu adalah sah dan memenuhi kehendak peraturan persidangan dan juga perlembagaan UMNO.
pencabulan terancang
Tetapi malangnya telah berlaku juga pencabulan terancang yang dikatakan direstui oleh UMNO Bahagian, setelah mereka meneruskan juga persidangan kali kedua itu tanpa sebarang notis yang dikeluarkan oleh pemegang tampuk UMNO Cawangan Rumah Pangsa Setapak Jaya 1A, dan ianya juga tidak dihadiri oleh barisan kepimpinan jawatankuasa cawangan berkenaan. Walaupun sebilangan ahli telah hadir untuk diadakan persidangan itu, tetapi kehadiran mereka itu tanpa diundang kerana notis tidak dikeluarkan untuk tujuan tersebut. Persoalannya, kenapakah pihak UMNO Bahagian sendiri yang mengendalikan persidangan haram itu, sedangkan mereka tahu UMNO Cawangan telah mengemukakan rayuan dan bantahan untuk tidak mengadakan persidangan tersebut?
persidangan tanpa notis
Apakah persidangan tanpa notis, tanpa pembentangan laporan tahunan oleh jawatankuasa cawangan boleh diterima pakai oleh UMNO Bahagian? Jika demikian, kenapa pula persidangan Cawangan KLSC yang diadakan pada 16 Ogos lalu tanpa kehadiran Pemangku Ketua Cawangannya yang mempertikaikan status notis yang dikeluarkan itu sebagai TIDAK SAH, lalu diarahkan supaya bersidang semula?
perlakuan sumbang
Inilah dia perlakuan sumbang yang berlaku di dalam sistem pentadbiran UMNO Bahagian Setiawangsa yang jelas memperlihatkan sikap 'double standard' yang memalukan sehingga menaikkan api kemarahan UMNO Cawangan yang terbabit. Suasana menjadi lebih sulit lagi kerana terdapat dua pihak mendakwa diri mereka berhak untuk menerajui cawangan ini. Satu pihak telah menunaikan tanggungjawabnya secara sah, sedangkan terdapat satu pihak lagi yang mendakwa persidangan haram mereka itu telah disahkan oleh UMNO Bahagian.
Demikianlah celarunya UMNO di akhir zaman ini.

UMNO KLSC - Bersidang semula tapi tidak cukup korum.



UMNO Cawangan KLSC di Bahagian Setiawangsa yang diarah supaya bersidang semula oleh Jawatankuasa Pengurusan Majlis Tertinggi pada hari ini (13 September) telah ditangguh lagi kerana menghadapi masalah tidak mencukupi korum. Persidangan semula yang diadakan di Pejabat UMNO Bahagian Setiawangsa (Lihat Gambar Pejabat) pada hari ini hanya dihadiri oleh seramai 27 ahli sahaja, sedangkan korum yang diperlukan ialah seramai 53 orang. UMNO Cawangan KLSC yang diketuai Pemangkunya Dr. Zainul Fithri mempunyai keahlian seramai 212 orang ahli.

Jawatankuasa Pengurusan Majis Tertinggi telah mengarahkan supaya UMNO Cawangan ini bersidang semula setelah menerima bantahan yang dibuat oleh Profesor Dr. Zainul Fithri yang menyatakan persidangan yang diadakan pada 16 Ogos lalu sebagai tidak sah, kerana beliau mendakwa notis persidangan yang dikeluarkan itu bukannya arahan beliau. 

Di dalam persidangan yang diadakan pada 16 Ogos itu, Norsiah Kamaruddin yang juga Ketua Wanita Cawangan telah dipilih sebagai Ketua UMNO Cawangan oleh ahli-ahli yang hadir. Manakala wakil UMNO Bahagian, Muner Nasution dan Mohd. Rawi Hashim yang bertugas pada hari berkenaan telah membacakan watikah pengesahan persidangan tersebut, tanpa menyebut masalah teknikal yang tidak mewajarkan persidangan itu diadakan. 

Inilah 'trendy' yang berlaku dimana wakil jawatankuasa UMNO Bahagian yang bertugas di sesuatu persidangan cawangan sepatutnya memantau agar tidak berlakunya perlanggaran dari aspek aturan peraturan persidangan dan juga perlembagaan parti. Jika wujud keraguan yang memungkinkan ketidak sahihan persidangan berkenaan, sepatutnya menjadi tanggungjawab wakil UMNO Bahagian yang bertugas untuk memberikan pandangan dan juga nasihat serta teguran membina supaya ianya dituruti oleh UMNO Cawangan tersebut.

Agak melucukan, persidangan Cawangan KLSC yang diadakan di pejabat UMNO Bahagian pada 16 Ogos lalu telah DISAHKAN oleh wakil jawatankuasa UMNO Bahagian yang berkenaan, dan difahamkan Setiausaha UMNO Bahagian juga turut berada di pejabat UMNO Bahagian pada hari tersebut, tetapi tidak 'peka' untuk menasihati Norsiah supaya tidak meneruskan persidangan yang meragukan itu.

Agak memalukan juga, kerana persidangan yang diadakan semula ini telah menumpulkan semangat sebahagian daripada ahli yang hadir, dan mereka juga kesal dengan keadaan yang berlaku ini, ditambah pula dengan situasi sekarang ini yang menyaksikan percakaran peringkat tertinggi UMNO yang semakin meruncing.

Difahamkan wujudnya persefahaman yang bakal memulihkan semula UMNO KLSC. Dr. Zainul Fithri dikatakan akan berbuat sesuatu secara positif dengan mengemukakan rayuannya agar persidangan yang diadakan pada 16 Ogos itu sebagai boleh diterima pakai. Jika benar ini berlaku, tentunya kita angkat topi kepada Dr. Zainul Fithri yang telah sanggup mengenepikan kepentingan dirinya sendiri semata-mata untuk melihat UMNO Cawangan yang pernah dipimpinnya itu tidak dilanda masalah. Syabas Dr. Fithri!