Dato' Izudin dan Rafli Jusoh
akan beraksi jawatan Timbalan & Naib Ketua Bahagian
Kini menjadi teka-teki samada
Dato' Izudin Ishak mahu beraksi jawatan Timbalan Ketua ataupun Naib Ketua di Bahagian Setiawangsa? Senario terkini di Bahagian Setiawangsa menjadi lebih menarik kerana jawatan Timbalan Ketua Bahagian yang disandang oleh
Dato' Halim Samad kini bakal menjadi rebutan, dan menurut maklumat terkini yang dihidu menunjukkan Datuk Izudin Ishak, Ketua Pemuda UMNO Bahagian yang akan meninggalkan gelanggang pemudanya musim ini akan mencuba nasibnya untuk menentang Dato' Halim Samad bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian.
Beliau dikatakan sedang berusaha mempengaruhi beberapa ketua cawangan yang masih belum bersidang untuk mendapatkan pencalonan bagi jawatan nombor dua UMNO Bahagian itu. Sejak dimulakan persidangan tahunan cawangan pada 15 Julai lalu, nama Izudin tidak terbit untuk menyertai pertandingan jawatan Timbalan Ketua, sebaliknya beliau dikatakan lebih cenderung untuk bertanding bagi jawatan Naib Ketua Bahagian. Namun, beliau dikatakan tidak sanggup untuk berhadapan dengan penyandang jawatan ini iaitu
Kapten (B) Rafli Jusoh yang juga Ketua UMNO Cawangannya yang dilihat tidak mahu berundur dari jawatan Naib Ketua Bahagian.
Jika mengambil kira faktor sedemikian, Izudin dilihat tidak mempunyai pilihan lain kecuali berlumba sahaja di litar 'Timbalan Ketua' bersama-sama dengan seorang lagi calon yang telah bersedia lebih awal iaitu
Shuib Ibrahim. Jika inilah yang terjadi, maka jawatan Timbalan Ketua akan menyaksikan Dato' Halim Samad bakal menerima tentangan daripada dua calon yang sedang memburu pencalonan bagi jawatan tersebut. Dua calon yang berkenaan ialah Shuib Ibrahim dan juga Izudin sendiri.
Sehingga kini, Shuib telah memperolehi empat pencalonan daripada Cawangan Seksyen 10 Wangsa Maju, Cawangan Menara Seri Jati, Cawangan Taman Setapak Permai dan juga dari Cawangan Kg. Baru Air Panas. Manakala Dato' Izudin Ishak masih belum mendapat pencalonan bagi membolehkannya layak menyertai maraton Timbalan Ketua Bahagian ini.

Gambar Atas:
Haji Radzi Harun (Ketua Cawangan Taman Setapak Permai,
dan Haji Yusof Ishak (Ketua Cawangan Kg. Baru Air Panas).
Manakala gambar di bawah kelihatan Rosli Mohammad (kiri)
bersama Shuib Ibrahim (Kanan)
Dato' Izudin dikatakan sedang mengatur langkah untuk meminang ketua-ketua cawangan yang masih belum bersidang supaya mencalonkan dirinya. Walaupun beliau kecewa kerana dua orang harapannya
Ahmad Laili dan Zainal Masri tidak berjaya membolosi pencalonan untuk dirinya, namun beliau tidak putus harapan, dan sedang menyusun langkah untuk meyakinkan ketua-ketua cawangan yang dilihatnya
50-50 terhadap Dato' Halim Samad. Agak sukar bagi dirinya untuk mempengaruhi ketua-ketua cawangan yang dikatakan begitu cenderung bersama Shuib Ibrahim, seperti
Rosli Mohammad (Kelumpuk Bunga Raya),
Othman Baba (Semarak Utara),
Ramli Jaafar (Setapak Jaya 1A), begitu juga dengan
Ahmad Yahya Yaakob (Rampai Town) dan beberapa cawangan lain di Zon Air Panas/Titiwangsa.
Namun begitu, Dato' Izudin dijangkakan akan mendapat pencalonan jawatan Timbalan Ketua Bahagian daripada cawangannya sendiri (Seksyen 5 Wangsa Maju) dan beberapa cawangan lain yang mahukan supaya perebutan jawatan ini menjadi
'lebih meriah' dengan kehadiran Shuib dan juga Izudin. Persoalannya ialah mampukah Izudin melepasi kuota 7 pencalonan sebagaimana yang disyaratkan untuk jawatan Timbalan Ketua Bahagian ini? Sama-samalah kita melihat siapakah gerangan yang akan dicaturkan, siapakah pula yang bakal dimangsakan, dan siapakah pula yang berani mencukupkan pencalonan Izudin?
Dato' Izudin juga dilihat akan
'terhantuk' dengan Kapten (B) Rafli Jusoh bagi jawatan Naib Ketua Bahagian sekiranya pencalonan untuk jawatan Timbalan Ketua tidak mencukupi. Setakat ini Dato' Izudin lebih cenderung dan berkeupayaan untuk meraih sokongan bagi jawatan Naib Ketua Bahagian untuk berhadapan dengan calon-calon pujaan yang lainnya seperti Dato' Ahmad Fauzi Zahari, Ahmad Yamin dan juga
Zainal Tan Sri Mahmud.
Jika ini terjadi, peluang untuk
Dato' Ahmad Fauzi Zahari semakin beronak dan laluannya akan penuh berduri untuk menghambat jawatan Naib Ketua Bahagian. Penyokong-penyokong Dato' Halim Samad dikatakan dalam dilema samada memberikan sokongan kepada Dato' Fauzi atau Dato' Izudin. Kesungguhan Zainal Tan Sri Mahmud menyertai pertandingan merebut jawatan Naib Ketua Bahagian kali ini juga dilihat bakal mencerahkan peluangnya untuk merentasi kuota kelayakan yang diperlukan untuk memberi cabaran kepada Dato' Ahmad Fauzi Zahari dan Dato' Izudin Ishak.
EMPAT CAWANGAN LAGI BERSIDANG
SABTU DAN AHAD INI
( 2 & 3 OGOS 2008)
UMNO Cawangan Taman Seri Rampai, yang diketuai oleh
Cikgu Badarudin Ahmad akan mengadakan persidangannya pada pagi Sabtu ini, 2 Ogos 2008. Cawangan ini dijangka akan mengekalkan Cikgu Badarudin sebagai Ketua UMNO Cawangan yang telah disandangnya sejak 20 tahun lalu. Cikgu Badarudin yang juga ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Setiawangsa merupakan 'orang lama' yang masih aktif hingga ke hari ini.
Saya sendiri
(Abdul Rahman Hashim) mengenali dirinya sejak saya bergiat aktif dengan UMNO Bahagian Batu pada tahun 1988, dimana ketika itu saya merupakan Ketua UMNO Cawangan Seksyen 10 Wangsa Maju. Kami sama-sama berjuang seiring sejalan sewaktu UMNO Bahagian Batu dipimpin oleh Azman Atar lagi, dan turut bersama-sama dengan UMNO Bahagian Wangsa yang dipimpin oleh Tan Sri Dr. Kamal Salih hingga bertukar tangan kepada Datuk Astaman Abd. Aziz, seterusya di Bahagian Setiawangsa yang dipimpin oleh Dato' Sri Zulhasnan Rafique.
Saya sendiri telah bertukar cawangan untuk memimpin UMNO Cawangan Bukit Wangsa pada tahun 1995, tetapi Cikgu Badarudin masih bertahan di cawangan Taman Seri Rampai hingga ke hari ini, dan masih mampu mengekalkan kedudukan sebagai Ahli Jawatankuasa Bahagian sejak dari Bahagian Batu lagi hingga ke hari ini di Bahagian Setiawangsa.
Syabas kepada beliau....Selain daripada cawangan Taman Seri Rampai, turut bersidang pada hari sabtu ini (2 Ogos 2008) ialah UMNO Cawangan Pasar Air Panas yang akan berlangsung pada 8.30 malam, di Pejabat UMNO Bahagian Setiawangsa. Cawangan ini diketuai oleh
Wan Zainal Abidin Wan Chee yang telah mewarisi kepimpinan sebelum ini yang diketuai Azmir Haji Nawawi.

Begitu juga, UMNO Cawangan Semarak Utara yang diketuai oleh
Othman Baba (seperti di gambar kiri) akan mengadakan persidangannya pada petang Ahad ini (3 Ogos 2008). Beliau yang juga merupakan Pengerusi TEKUN Parlimen Setiawangsa dijangka akan mengekalkan kedudukan sebagai Ketua UMNO Cawangan ini yang pernah disandang oleh Zulkapli Husin, JP ketika berada di dalam Bahagian Wangsa Maju. Zulkapli Husin kini berpindah ke cawangan Taman P. Ramlee di dalam Bahagian Wangsa Maju, kerana beliau diperlukan untuk menjadi Setiausaha Bahagian berkenaan ketika berlakunya persempadan semula kawasan parlimen pada tahun 2004 lalu.
Pada ahad ini juga (3 Ogos 2008), turut mengadakan persidangannya ialah UMNO Cawangan Pekan Setapak yang kini jawatan ketua cawangannya dipangku oleh
Haji Satar. Cawangan ini akan bersidang di perkarangan Kedai Nasi Lemak Lentok, di AU5D Lembah Keramat.
Suatu perkara menarik yang sedang difokuskan ialah siapakah tokoh-tokoh yang bakal dicalonkan untuk bertanding jawatan Timbalan Ketua Bahagian, Naib Ketua Bahagian dan juga ahli jawatankuasa Bahagian? Tentunya calon-calon yang berkenaan sudah dapat meramalkan samada diri mereka akan dicalonkan atau sebaliknya.