Samsuri Shahrom
Samsuri Shahrom kini merupakan 'Pegawai Khas' kepada YB Dato' M. Saravanan, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan. Mungkin dahulu jika kita hendak berjumpa dan berurusan dengannya, kita terdorong untuk pergi ke IMKEDA iaitu di Institut Memandu Kenderaan Darat yang terletak di Jalan Enggang, Hulu Klang. Samsuri berada di situ kerana beliau merupakan seorang tenaga pengajar dan Pegawai QTI di Institut Pemanduan tersebut. Sebelum dilantik bertugas di pejabat Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Samsuri juga merupakan Pengarah di Institut Nation Drive, yang beroperasi di segambut, Kuala Lumpur.
Mulai 1 Julai 2008 lalu, Samsuri tidak lagi bertugas dengan institut pemanduan tersebut, kerana beliau kini berada di Tingkat 6, Bangunan DBKL yang menempatkan pejabat Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Dato' M. saravanan. Locengwangsa mengucapkan tahniah kepada beliau.
Samsuri Shahrom merupakan satu nama yang tidak asing lagi di kalangan warga politik di kawasan Parlimen Setiawangsa. Namanya juga tidak kurang hebatnya bagi mereka yang pernah berkecimpung di dalam arena politik di Bahagian Wangsa Maju dan juga di Bahagian Batu. Di Bahagian Batu, Samsuri Shahrom begitu sinonim dikaitkan dengan Allahyarham Datuk Azman Atar Othman, kerana beliau pernah menjawat jawatan Setiausaha UMNO Bahagian tersebut sekitar tahun 1988/89, dan pernah juga secara berani menentang Azman Atar bagi merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian itu sekitar tahun 1990. Samsuri ketika itu menjadi ahli di Cawangan Kelumpuk Camar AU3.
Saya sendiri cukup rapat dengannya dan terasa juga terhutang budi kepada beliau kerana dengan sokongan dan usaha beliau jugalah tertubuhnya UMNO Cawangan Seksyen 10 Wangsa Maju yang pernah saya mengetuainya pada tahun 1988.
Sebagai Setiausaha UMNO Bahagian Batu, beliau telah mengaturkan pertemuan diantara saya dengan Dato' Azman Atar Othman Ketua UMNO Bahagian Batu ketika itu, dan seterusnya menguruskan penubuhan cawangan ini. Sebelum saya mengetuai jawatankuasa penaja UMNO Cawangan Seksyen 10 Wangsa Maju, saya juga ketika itu mengetuai
Mengenali Samsuri Shahrom membuatkan saya teringat betapa beliau merupakan seorang yang 'mesra sahabat', berjiwa besar dan sentiasa 'bercinta' dengan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya. Maka sebab itu, saya tidak hairan kemunculan semulanya di dalam arena politik sejak di 'peti aiskan' oleh Azman Atar, beliau 'delivered' dengan penuh aura keyakinannya dan begitu diyakini pula oleh YB Dato' Sri Zulhasnan Rafique dengan melantiknya sebagai Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Setiawangsa.
Dato' Sri Zulhasnan Rafique memang dikenali seorang yang berpegang kepada prinsip ketegasan, kerana Zulhasnan juga memerlukan pembantu-pembantunya yang cekap, efisyen dan memiliki ketahanan mental dan fizikal untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang Wakil Rakyat, Ketua Parti bahkan tanggungjawab sebagai seorang Menteri. Samsuri dikatakan memenuhi cita rasa Zulhasnan itu, sebagaimana yakinnya beliau terhadap pembantu-pembantunya yang lain seperti kesetiaan Yusaini Amir, Haji Hashim Husin, Abdullah Mat dan tidak kurang juga dengan Haji Ahmad Hashim. Semua orang tahu bahawa rangkaian nama-nama ini merupakan 'gerak nadi' kepada Dato' Sri Zulhasnan Rafique. Samsuri juga dikatakan berada dalam kategori ini, walaupun beliau bukannya memegang 'tombak' di pejabat Wakil Rakyat Parlimen Setiawangsa.
Kepercayaan Dato' Sri Zulhasnan Rafique kepadanya bukan sekadar sebagai Ahli Jawatankuasa Bahagian, malah Ketua Bahagian itu juga pernah meletakkan kepercayaan kepada Samsuri di dalam dua pilihan raya yang lalu. Dalam pilihan raya umum yang diadakan pada tahun 2004, Samsuri dilantik sebagai 'Pegawai Pemantau' kepada calon BN yang dikehendaki bekerja rapat dengan pegawai SPR sepanjang gerak kerja pilihan raya tersebut.
Sementara dalam pilihan raya umum yang baru lalu juga, Samsuri sekali lagi diberikan kepercayaan oleh Pengerusi BN Parlimen Setiawangsa itu dengan meletakkannya sebagai 'Ketua Penerangan' Barisan Nasional bagi kawasan parlimen tersebut. Serentak dengan itu juga, Samsuri diberikan peranan yang lebih berat dengan memikul tanggungjawab sebagai 'Pengerusi Perhubungan, Pembangunan dan Media' di dalam Jentera Pilihan Raya bagi Kawasan Parlimen Setiawangsa. Sekali lagi, Samsuri memang terbukti dengan 'mesra sahabatnya' kerana beliau tidak melupakan kawannya dengan mempelawa saya untuk menjadi 'penceramah' di dalam pilihan raya umum yang lalu. Samsuri melihat walaupun 'Rahman Hashim' telah dipinggirkan dalam senario politik Setiawangsa, namun beliau merasakan Rahman Hashim juga perlu dilibatkan untuk membantu Dato' Sri Zulhasnan dalam menghadapi pilihan raya yang lalu.
Beliau yang datang sendiri menemui saya, telah menawarkan tugas ini kepada saya dan menyatakan bahawa nama saya telah dimaklumkan kepada Dato' Sri Zulhasnan dan telah direstui. Saya 'angkat topi' kepadanya, kerana beliau begitu mementingkan persahabatan walaupun menyedari tindakannya itu mungkin tidak disenangi oleh juak-juak yang lain di dalam UMNO Setiawangsa. Terima kasih, Samsuri...ingatan anda tetap bersemadi di hati saya.
Demikianlah sekelumit bicara yang dapat dirakamkan di sini apabila menyebut nama Samsuri. Bukannya mudah untuk mendapatkan keyakinan dan kepercayaan daripada Dato' Sri Zulhasnan itu, tetapi itulah dia Samsuri yang dilihat berjaya memenuhi kriteria yang dikehendaki oleh Dato' Sri Zulhasnan Rafique. Penulis sendiri, pernah bersama-sama bergelombang dengan Dato' Sri Zulhasnan Rafique pada tahun-tahun 1999, 2000 dan 2001 malah sebelumnya lagi, terutamanya ketika hendak mencaturkan pendakian politik Zulhasnan dalam hirarki kepimpinannya sejak di dalam Bahagian Wangsa Maju lagi.
Oleh kerana badai politik dilihat sentiasa tidak menentu, penulis terpinggir di pertengahan jalan kerana dikatakan secara fitnah tidak menyokong beliau semasa bertanding merebut jawatan Ketua Bahagian Wangsa Maju menentang Datuk Astaman Aziz pada tahun 2001. Penulis yang berhempas pulas siang dan malam hingga bertegang urat tengkok untuk 'convince' perwakilan cawangan supaya memberikan sokongan kepada Zulhasnan, telah dituduh oleh pecacai tertentu sebagai pembelot hingga diyakini oleh Zulhasnan sendiri.
Sebagai Pegawai Penyelaras Perhubungan dan Media kepada Dato' Sri Zulhasnan Rafique dalam tahun-tahun berkenaan, penulis begitu arif dengan budaya kerja Zulhasnan Rafique yang begitu mementingkan 'kerja buat' dan sentiasa fokus dengan tanggungjawabnya sebagai Wakil Rakyat. Saya percaya Samsuri juga dapat menjiwainya, maka sebab itulah tidak menjadi satu kehairanan Samsuri begitu diperlukan oleh orang seperti Zulhasnan Rafique.
Dato' M. Saravanan, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan tidak rugi mendapatkan Samsuri Shahrom sebagai Pegawai Khasnya. Sudah tentu kehadiran Samsuri di Tingkat 6, Bangunan DBKL itu telah mendapat blessing daripada Menterinya, Dato' Sri Zulhasnan Rafique. Orang yang ditunjukkan ini adalah tokoh yang mewarisi budaya kerja yang dikehendaki oleh Menterinya. Sedikit sebanyak Samsuri juga pernah diambil kira pandangannya oleh Zulhasnan dalam congak politik di Bahagian Setiawangsa.
Locengwangsa - Dato' M. Saravanan tidak perlu gusar kerana kehadiran Samsuri bukan sekadar membawa 'brief case' malah Samsuri boleh diajak berdiskusi dan beliau juga memang berupaya dengan gerak kerja masyarakat, terutamanya untuk mendekati masyarakat akar umbi di Kuala Lumpur ini. Berkhidmatlah dengan kejujuran, dedikasi dan yang penting ialah untuk meningkatkan semula keyakinan warga kota terhadap Barisan Nasional.