assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Sunday, June 29, 2008

Najib kata Rosmah difitnah, Anwar pun jadi mangsa fitnah..

Rosmah dan Najib ditekan dengan isu Altantuya....
Anwar pula dengan isu sodomi.


Nampaknya seminggu dua ini rakyat akan diheret sekali lagi dengan 'sindrom fitnah politik' yang membabitkan personaliti 'politikus' negara. Suhu politik yang hangat sejak tsunami PRU12 lalu, telah dipanaskan lagi dengan terkeluarnya Tun Dr. Mahathir Mohamad daripada UMNO kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan Pak Lah, dan beliau hanya akan masuk semula ke dalam UMNO setelah Pak Lah tidak berwajah lagi di dalam hirarki kepimpinan negara. Dato' Mukhriz pula tidak mengikuti jejak langkah ayahandanya, tetapi beliau akan memberikan tekanan dari dalam supaya Pak Lah meletakkan jawatannya dengan segera.

Baru-baru ini pula, Raja Blog 'Raja Petra Kamarudin' juga telah memanaskan lagi iklim politik negara dengan kenyataan 'Akuan Bersumpahnya' pada 18 Jun lalu, dimana beliau dikatakan akan mendedahkan segala bukti berkaitan pembunuhan Altantuya Shaariibuu di dalam Mahkamah nanti dengan menyatakan Rosmah Mansor isteri Dato' Sri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri merupakan salah seorang daripada tiga individu yang ada di tempat kejadian ketika wanita Mongolia itu dibunuh. Dua orang lagi ialah Leftenan Kolonel Aziz Buyong (pakar letupan C4), orang yang bertanggungjawab meletakkan C4 pada tempat-tempat tertentu di badan Altantuya, dan isteri Aziz, yang juga pegawai peribadi Rosmah.

Di dalam kenyataan bersumpah itu juga, Raja Petra mengaitkan PM Abdullah Badawi ada menerima laporan bertulis dari pihak perisikan tentera dan PM dikatakan telah menyerahkan laporan tersebut kepada menantunya (KJ) untuk disimpan dengan selamat.

Dalam akuan tersebut nama-nama seperti Rosmah Mansor, PM Abdullah Badawi dan Khairy Jamaluddin (KJ) disebut dengan jelas. Malah Rosmah dikaitkan secara langsung dalam pembunuhan tersebut.

Namun akuan bersumpah itu segera dinafikan oleh mereka yang terbabit. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan tegas menyatakan tidak menerima apa-apa laporan bertulis dari pihak perisikan tentera, bahkan menantu beliau, Khairy Jamaluddin turut menafikan ada menyimpan laporan tersebut.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak turut menafikan sekeras-kerasnya pembabitan isterinya dalam pembunuhan Altantuya sebagaimana yang didakwa oleh Raja Petra Kamarudin pengendali blog Malaysia Kini. Beliau mendakwa Raja Petra telah cuba memfitnah isterinya itu dan beranggapan bahawa dakwaan itu sebagai 'sampah'. Datuk Sri Najib juga beranggapan bahawa dakwaan Raja Petra itu berniat jahat dan cuba menjatuhkan imej beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri. Persoalannya ialah, kalau benar dakwaan itu berniat jahat dan memalukan wajarlah Najib dan Rosmah menyaman saja Raja Petra.

Belum pun reda dengan isu Rosmah/Altantuya ini, terpercik satu lagi cerita panas yang akan menghangatkan lagi suhu politik negara, dan kali ini membabitkan sekali lagi mantan Timbalan Perdana Menteri 'Anwar Ibrahim' yang didakwa meliwat seorang lelaki berusia 23 tahun, Saiful Bukhari Azlan pembantu khasnya. Di dalam laporan polis yang dibuatnya di Pondok Polis Hospital Kuala Lumpur, Saiful Bukhari mendakwa dirinya telah diliwat pada 26 Jun lalu di sebuah kondominum di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Anwar mendakwa laporan polis tersebut sebagai satu rekaan dan ia juga didakwa sebagai percubaan jahat pihak tertentu untuk memburuk-burukkan dirinya buat kali yang kedua. Ketua Umum PKR ini juga menganggap dakwaan itu sebagai fitnah dan beliau menafikan sekeras-kerasnya pembabitan beliau dalam pekerjaan yang terkutuk itu.

Semasa ulasan berita ini dibuat, penulis difahamkan bahawa Anwar kini telah ditempatkan di pejabat Kedutaan Turki, di Kuala Lumpur setelah beliau dibawa keluar daripada Hotel Quality Shah Alam pada pagi ini. Sidang media yang dijadualkan hari ini juga tidak dihadiri oleh Anwar, sebaliknya Wan Azizah dan pemimpin-pemimpin kanan PKR yang lainnya telah menberikan kenyataan di dalam sidang media tersebut. difahamkan ribuan penyokong Anwar dan PKR telah berkumpul di Hotel Quality Shah Alam dan juga di Pejabat Kedutaan Turki untuk memberikan sokongan kepada Anwar.

Di dalam satu kenyataan yang dibuat oleh Wan Azizah, beliau menyatakan bahawa Saiful Bukhari Azlan merupakan seorang sukarelawan yang diambil bertugas di pejabat PKR untuk membantu gerak kerja parti tersebut ketika menghadapi pilihan raya umum yang lalu. Wan Azizah juga berkata, bahawa beliau mempunyai bukti Saiful Bukhari ada menemui seorang pegawai kanan Dato' Sri Najib pada hari laporan polis itu dibuat, dan beliau mengesyaki ada perancangan rapi dibuat dalam kes ini.

Demikianlah episod awal 'sandiwara bangsawan' yang sedang dipentaskan dalam senario politik negara yang semakin menarik untuk ditontoni oleh rakyat Malaysia, yang melibatkan kes Rosmah, isteri Timbalan Perdana Menteri yang dituduh dan 'didakwa' terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya, dan kes Anwar, mantan Timbalan Perdana Menteri yang didakwa meliwat pembantu peribadinya. Semua yang terbabit itu telah membuat PENAFIAN dan menganggap itu FITNAH! Rakyat Malaysia semakin berdebar untuk melihat sejauh mana kes ini akan memberi kesan kepada politik negara. Anwar mendakwa dirinya bersama Pakatan Rakyat semakin hampir dengan 'Putrajaya', manakala Najib pula dikatakan sedang berkira-kira untuk menerjah Pak Lah di dalam perebutan jawatan Presiden UMNO pada Disember ini, kerana ahli UMNO dikatakan sedang mencari formula untuk memperkasakan semula kepimpinannya.

Locengwangsa - Janganlah kecewakan rakyat akibat persengketaan yang tak berkesudahan ini. Kita rasa malu kerana dengan seorang wanita 'Mongolia' dan isu 'Eksoz' ini akan menjadikan negara ini dibayangi kemusnahan. Eloklah kita bersatu, membina negara bangsa menuju kejayaan. Terasa sayu dan insaf apabila meneliti kenyataan Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat yang meminta kita semua jauhi fitnah, dan jangan mudah mangaibkan orang dengan pelbagai tuduhan tanpa asas yang kukuh.

No comments: